Thursday, May 25, 2006

Di Bumi Ini Kita Ditemukan...

Ana ada satu cerita. Perihal empat orang pelajar Tingkatan Dua Al-Farabi kira-kira 13 tahun nan lalu.

Malam itu Malam Kebudayaan Islam. Bersama-sama 17 orang penyanyi latar di belakang, mereka dengan segak bergayanya mengenakan songkok hitam berlilit riben biru muda. Entahlah siapa empunya idea. Sampin songket bagi 17 orang di belakang itu cuma dua warnanya; hitam dan merah. Bagi para pelajar berempat, sebagai tekong-tekong nasyid, sampin-sampin songket mereka sudah tentulah lebih istimewa, maklumlah siapa lagi pembekalnya kalau bukan Abang Taufik.

Dewan penuh sesak dengan para pelajar ASPURA dan ASPURI. Penghuni ASPUCAW di Padang Menora pun ada sekali, datang dengan bas. Gilang-gemilang kelihatan suasana, sesudah tahun-tahun sebelumnya sekadar persembahan ala kadar. Waktu itu dewan sekolah belum wujud, justeru dewan makan jadi galang gantinya. Belon warna-warni bergantungan, renda pintal-pintalan bersilangan. Permaidani biru pengalas pentas, lebihan permaidani lama Masjid Negeri.

Kesemua lagu pernah dibawakan oleh kumpulan nasyid paling popular waktu itu, Nada Murni. Lagu pertama berentak boria, dibawakan semula oleh Mat Fudge, satu-satunya manusia di atas pentas yang berkasut hitam. Kasut teman pengawas manalah dipinjamnya.

"Assalamu'alaikum kami mulakan,
Ahlan wa sahlan kami ucapkan
Saudara saudari tuan dan puan
Malam Budaya Islam kami sembahkan"


Kumpulan Suara Putera tampil ke hadapan
Mengajak kebaikan sambil menghiburkan
Mana yang baik jadi teladan
Semoga hidup dalam keredhaan"


Kalau antum terperasan, nama kumpulan itu sepatutnya Nada Murni tetapi telah ditukar ganti hasil pemikiran kreatif Mat Fudge sendiri.

Lagu nyanyian Min sebuah lagu Arab mengenai seorang pemuda Bani Tamin. Ada unsur-unsur propaganda kehebatan Abuya di situ. Lagu dendangan Mat Redth pula terlebih tarik disebabkan sukar untuk berhenti. "Janjiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii... Allah pasti akan tiba, asalkan syaratnya dapat dipenuhi". Ana secara kebetulan tercuri dengar seorang senior Dorm Hamzah berkata kepada Mat Redth sesudah selesai persembahan, "Budak-budak pompuan teruja tengok hang tarik macam tu".

Lagu nyanyian Mat Ghoset, mengundang geli hati para hadirin dan anggota kumpulan nasyid. "Untuk mandi, untuk minum, untuk tanaman, untuk ambil ikan, untuk main sampan, ambil pasir, di antara nikmatnya...". Maaflah Mat Ghoset, baris itu masih memberi ana rasa kecindan walau enta saat itu sedaya upaya 'mengawal ketampanan'.

Lagu terakhir bertajuk Zikir Kifarat, gabungan nasyid dan dikir barat. Sekira-kiranya, malam itu, Mat Fudge membolot 2 lagu. Begitu mendayu-dayu di permulaan dan di pengakhiran, begitu rancak di pertengahan.

Persembahan kemudiannya ditutup dengan bertelutnya Mat Fudge, tanpa diduga, memohon maaf di atas segala kekurangan. Aduhai, Mat Fudge, aduhai.

Itu cerita 13 tahun nan lalu. Apa pula cerita mereka tahun 2006 ini? Baiklah, ana ceritakan seorang demi seorang.

Tekong nasyid bernama Mat Ghoset @ Mohd Nasir Che Embee telah pun berkeluarga. Bertemu jodoh dengan orang Kajang, waktu sama-sama menuntut di UIAM. Satu al-Kuliyyah pula. Sekarang ini bekerja di sebuah syarikat perunding IT di Lembah Klang.

Tekong nasyid berikutnya, kawan-kawan menggelarnya Min @ Azmin Mat Shariff. Teman sekamar Mat Ghoset di UIAM. Juga bekerja di sebuah syarikat IT. Sudah sebulan lebih dia bergelar suami. Cinta rakan sebaya di bumi Irshad yang kekal karar. 3 & 4 haribulan baru berkenduri. Ana pun dijemputnya sekali. Kalau tiada aral melintang, insya-Allah ana pasti datang.

Tekong nasyid yang namanya Mat Fudge @ Mohd Fadzil Ismail terdahulu menuntut di UM, Jurusan Syar'iyyah. Kini menjadi ustaz KAFA, mengajar di Prai. Dengarnya bulan Julai ini bakal mengadakan walimah. Bakal orang rumahnya seorang ustazah, anak mami kata Min. Sudah jodohnya.

Mereka pun hidup bahagia aman sentosa buat selama-lamanya. Demikianlah adanya.

Eh, apa pula cerita tekong nasyid yang seorang lagi itu? Oh, dia itu. Nama penuhnya ana kurang periksa, tapi kawan-kawan memanggilnya Mat Redth sahaja. Kelihatannya masih thiqah seperti dulu. Entah betul entahkan tidak. Masih lagi mengejar cita-citanya, dengar-dengarnya pegawai jabatan agama. "Ligan jangan tak ligan", kata ana apabila berjeromoh dengannya di Masjid Pongsu Seribu, tempat kami warga ASPURA sembahyang Jumaat selalu, "Tak buleh ligan enta dok Bagan". Dia tersengih. Tapi ana tahu, dalam diam-diam dia sedang mengusahakan sesuatu.

Kata Mat Redth, dia pernah ditanya oleh seorang pegawai Bank Islam Parit Buntar, "Ni yang dulu dok nasyid tu kan? La dok nasyid dak lagi?". Rupa-rupanya pegawai itu senior kami semasa di Irshad dulu. Kakak angkat kepada teman sekelas kami, Cikgu Nor Hanita (Selamat Pengantin Baru, Cikgu!). Cerita Hanita, kakak angkatnya pernah berkata, "Mat Redth tu comel la". "Ha, ha, ha,", ana dan Mat Redth sama-sama tertawa. "Iya ka comel?", dia bertanya, sebelum ketawa bergema semula.

"Bila lagi?", ana menduga Mat Redth. "Pernah dengar penyanyi bernama Jasni?", gilirannya bertanya. "Suami kepada Neng Yatimah dan bapa kepada Roseyatimah itu bukan?" balas ana, kurang pasti. "Dia pernah menggubah sebuah lagu untuk isterinya, antara barisnya berbunyi begini : Sudah memang di dalam suratan, Jodoh pertemuan takdirnya Tuhan". Dan ana segera tahu, bahawa Mat Redth telah menjawab persoalan ana nan itu.

Wednesday, May 24, 2006


Suatu Malam Kebudayaan Islam, talamiz Tingkatan Satu dan Dua berpadu suara. Tekong-tekong nasyid di hadapan sekali. Dari kiri : Min (dengan mikrofon), Mat Ghoset, Mat Fudge & Mat Redth. [foto ihsan As-Sirehi] Posted by Picasa

Min dan Mat Redth, sesudah show. [foto ihsan As-Sirehi]. Posted by Picasa

Wednesday, May 17, 2006

Keramat Kasih Sayangnya...

Bas Min Sen nombor 97 bertolak dari pekan Nibong Tebal. Kira-kira setengah jam, akhirnya bas loncat itu berhenti di depan Masjid Baru, berhampiran Panggung Wayang Sian Cheng. Turun dua penumpang. Waktu tengah hari rembang. Panas lit-lit. Tanpa payung. Sedangkan jauh lagi hendak menapak ke rumah. Baru beberapa langkah, menyedari akan teriknya mentari, si wanita menyuruh si kanak-kanak berteduh di bawah naungan bayangnya yang menimpa bahu jalan, sambil hayunan kaki diteruskan bersama-sama. Iya, memang redup, betul-betul redup. Terlintas oleh kanak-kanak itu, betapa si wanita lebih rela dirinya dibakar bahang suria asalkan anaknya kekal selesa. Dan visual itu tersimpan kemas dalam ingatan sampai bila-bila.

Mak, Selamat Hari Ibu yang terlambat, Selamat Hari Guru yang terlewat.

Kampung Gurun, Sungai Bakap
17 Mei 2006 (Rabu)

Tuesday, May 16, 2006

Selamat Hari Guru, Cikgu...

Sejurus letusan Merapi, ceritera-ceritera ini dikira sesuai diaktifkan sesudah berkurun dipendam.

* * * * *

CERITERA 1

Pada pandanganku ia tergolong orang yang cengil. Cara dan tutur katanya aku kira bercanggah dengan nilai-nilai aku yang sedia ada. Tambahan pula ia bukan orang utara, satu lagi faktor yang menambah burukkan konflik. Demikian, waktunya tidaklah menjadi waktu favourite aku. Begitulah keadaan itu berterusan buat beberapa lama. Suatu hari, ia mengumumkan akan meninggalkan madrasah ini. Kebetulan masa itu baru selesai peperiksaan. Aku masih tidak berasa apa-apa; sedih atau apa jua. Sehinggalah tiba suatu hari cuti hujung minggu. Seseorang menyampaikan sesuatu padaku. Seusai ku buka balutannya, rupa-rupanya hadiah berupa bekas pensel diperbuat daripada kain. Hadiah peribadi sempena tempat pertama dalam kelas. Di dalamnya penuh berisi pen, pensel dan segala macam alat tulis. Kira-kira secekak jugalah. Di tangga kayu, aku melengung buat sekian waktu. Gaji yang ia terima tidaklah seberapa, maklum sahaja Sekolah Agama Rakyat. Tapi masih juga mengeluarkan sejumlah belanja untuk hadiah itu. Tuhan, adakah selama ini pandangan mataku yang menipu? Atau su'uddzon ku yang terlalu?


CERITERA 2

Di penghujung perhimpunan, ada satu pengumuman. Apa yang aku bimbangi telah menjadi kenyataan. Dalam ramai-ramai junior yang terperangkap dengan roll-call hujung minggu, akulah satu-satunya yang senior yang diumumkan nama. Apalah alasan yang hendak diberi kepada warden selepas ini. Menghampiri detik penentuan itu memang menggetarkan sukma. Perlukah aku beritahu bahawa aku menyiapkan kerja kursus Geografi di rumah. Serasa-rasa, tidaklah begitu konkrit alasan itu. "Habislah aku kali ini", aku menyesali diri. Sewaktu saat berjumpa warden, entah bagaimana ia ada sekali. "Dia takdak di asrama sebab demam masa tu", ia bersuara. Memang aku demam pun, tapi itu minggu sebelumnya. Namun alasannya diterima, sementelahan aku menambah perisa dengan raut wajah kesian dan muka innocent yang memang sejak azali telah sedia ada. Tuhan, bantuan-Mu memang datang tanpa disangka, dan ia pula menjustifikasikan sifat mesra pelajar di dalam kelas kepada anak didiknya.


CERITERA 3

Ia sepupuku, walau kami tidak sebaya dan ia pula telah berkeluarga. Goalkeeper di Penang Free School waktu remaja. "Supersafe", demikian tertera dalam The Star pada suatu ketika. Pinjaman JPA, ialah penjaminku. Sewaktu bersiap untuk PAC, ialah yang meminjamkan buku Public Speaking yang menjadi buku rujukannya itu. Tapi suatu ketika, ia dirongrong barah tulang. Dan chemotherapy di USM Kubang Kerian sangat-sangat merenggut mudanya. Hinggakan tatkala aku berziarah ke rumahnya, hampir-hampir aku tidak mengenali susuk seruh dan cengkungnya. Lama ia derita begitu sampai suatu malam, dalam tempoh persiapan ke DPA 2/2003. Buat pertama kali seumur hidup, aku berserta Pak Ngah bergegas pulang menaiki bas haram di Puduraya, apabila ia dijemput pulang menghadap Ilahi. Kad ucapan hari raya dan kad ucap selamat lengkap berstem yang tak sempat dihantar. Biarlah kad-kad itu tersimpan dalam laci ingatan.


CERITERA 4

Ia memang tahu aku ini memang pendiam dan segan-segan orangnya. Maklumlah pelajar baru di sekolah. Berdepan pula dengan masyarakat majmuk sedangkan sebelumnya aku dikelilingi kaum yang sama. Lalu suatu hari ia menyuruhku membawakan buku-buku latihan ke bilik guru. Puas ditolak sedaya upaya, akhirnya terpaksa juga aku melakukan kerja sosial sebegitu. Iyalah, bilik guru itu kan punyalah ramai cikgu, salah seorangnya merupakan kawannya, emak aku. Ish, segan aku.

Suatu hari, semasa kursus DPA 2/2003. 26 Mac 2006, hari Jumaat, 6.55 petang. Aku terima SMS daripada emak mengatakan ia agak kritikal di Hospital Besar Kuala Lumpur. Aku tiada kenderaan sendiri waktu itu. Alternatifnya menumpang kereta kawan-kawan atau teksi. Entah mengapa aku berasakan aku seakan-akan menunggu masa paling sesuai untuk menziarahinya. Tanpa aku sedari, masa paling sesuai itu tidak akan pernah ada. 29 Mac 2006, hari Isnin, 7.12 pagi. Satu lagi mesej daripada emak. Ia telah meninggal dunia malam tadi. Benar-benar kejutan. Kedua-dua mesej itu masih aku simpan dalam handphone sebagai tanda ingatan. Sesekali ingatan itu bertukar jadi kekesalan. Ada masa kebersalahan.


CERITERA 5

Menuruni tangga, tahu-tahu kedengaran suara menjerit-jerit, "Cikgu, cikgu!". Ah, apa pula semua ini? Aku mendongak ke atas. Rupa-rupanya beberapa pelajar perempuan Matrikulasi. Tersilap laluan aku ini, sememangnya di kawasan itu terletaknya kelas-kelas pelajar perempuan. Tahun itu, pelajar lelaki dan perempuan diasingkan kepada kelas-kelas yang berlainan, dengar-dengarnya atas desakan golongan Islamis. Entahlah, tapi aku memang suka begitu, lebih selesa. Barangkali sebab aku bukannya Pemburu Buaya. Aku tahu, di mana-mana sudah menjadi fenomena, pelajar perempuanlah membentuk majoriti 2/3. Tapi mengapa aku dipanggil sebegitu? Melihat-lihat diri sendiri, mungkin disebabkan beg hitam persis dibawa seorang cikgu. Dan mungkin juga sedikit skema apabila berkemeja lengan panjang, bertali leher dan berkaca mata, sungguhpun rambut tidaklah pula dibelah tengah. Ia dan kawan-kawannya hanya ku kenali setahun dua kemudian.

* * * * *

Tarikh keramat ini, perasaan bercampur-baur dengan kenangan suka duka. Kepada Ustazah Noreha yang entah di mana, semoga dimaafkan kekhilafan waktu belumpun menginjak remaja. Kepada Cikgu Khamariah, semoga cikgu sentiasa bahagia, terutama melihatkan tokoh sanjungan cikgu itu kembali menjadi warga merdeka. Kepada Allahyarham Teacher Yasmin dan Allahyarham Abang Mat, sekalung doa dan al-Fatihah sewangi narwastu. Kepada Marina Stephanie Rozels & Associates, aku sudahnya tidaklah pula menjadi cikgu walaupun kalian menggelar aku begitu.

Kepada sekalian warga pendidik yang pernah mengisi lembaran kenanganku, "Selamat Hari Guru, Cikgu!".

Kampung Gurun, Sungai Bakap
16 Mei 2006 (Rabu)

Tuesday, May 02, 2006


Kepada Allah Berserah...

"Tanjung Sekijang nun di kuala,
Tempat nelayan mengail gelama;
Istana Hinggap di Kuala Danga,
Pantai berkelah keluarga diraja."


Apakah lagi antara perkara yang menyukakan aku selain melayan perasaan begini. Lari jauh-jauh dari situasi kalut-serabut-karut di Wilayah Persekutuan Ketiga.

Merenung lautan tak bertepi. Di seberang sana sebuah pulau yang ralit bermain Layang-Layang Tak Bertali, membiarkannya melayah tinggi ke sana ke mari. Telah ditakdirkan ia takkan berdaulat sehingga kiamat, dibayangkan dengan taukan mahkota Sang Nila Utama ke laut waktu gelora. Telah tersurat juga di bumi tandus hasil mahsul itu, orang yang suci hatinya dianiaya saudara sebangsa.

"Carik baju raja,
Dilanggari todak;
Bukan disahaja,
Menurut akal budak."


Ratusan tahun kemudian, kerana 'menurut akal budak' jugalah (walau kali ini spesies limau purut tiga serangkai) aku terseret ke sini.

Cis, berani sungguh tuan hamba membuat onar begini? Kalau diturutkan amarah hamba, mahu sahaja hamba meneladani Sang Rajuna Tapa, membuka luas-luas pintu kota seraya Siam pun menabrak sekalian warga. Cuma hamba ini belumlah lagi tergamak berlaku demikian. Kerana pada fikiran hamba, melakukannya hanya menjerumuskan hamba ke dalam golongan pacal yang hina dina seperti tuan hamba. Masakan hamba semurah itu.

Alang-alang sampai ke sini, bagus juga kalau berkunjung ke Kulai. Ada apa dengan Kulai? Oh, macam-macam ada. Ada FELDA Pengeli Timur, ada FELCRA Sungai Ara, ada Ina Kulai. Eh, tersasul pula menyebut nama itu. Kang tak pasal-pasal aku dihujani jurus Pukul Pelaga. [Oh, dia kira dia punya jurus maut jer, kunci aku dia tak kira. Kunci apa hang ada? Er, kunci rumah...].

Taklah, sebenarnya ada al-ukht al-ustazah. Tapi aku ini nampak sahaja beria-ia bicara begini, singgah pun tidak akan sesekali. It's just not me.

Pawana terus berpuput, mengelus-ngelus muka, merecik sedikit rasa lega meski mentari tetaplah tekal menyimbah bahangnya. Aku jadi sedikit manyau. Di tengah-tengah jeda nyata dan leka, susuk ceding Chairil Anwar terlihat bertelut di Selat Tebrau, seluluh jiwa bersenandika 'Gadisku Jauh Di Pulau'.

"Di angin menderu
Di perasaan penghabisan segala melaju
Ajal tersenyum sambil berkata :
"Tujukan perahu ke pangkuanku saja""


Teruslah berhembus wahai sang bayu, sebelum 'dia' menjemputku...

Danga Bay
30 April 2006 (Ahad)


Thursday, April 27, 2006

What You Give You Get Back...

"Semoga kalian terpenjara dalam diri kalian sendiri..."

Menjelang genapnya tiga tahun dalam perkhidmatan, tambah meyakinkan bahawa suatu ketika kita perlu mengukur semula nilai diri kepada organisasi. Overall, aku rasa aku dah buat pengorbanan yang sewajarnya. Aku dah suarakan apa yang sepatutnya. Semua tu atas rasa tanggungjawab sebab aku rasa sense of belonging tu ada. Rasa nak melakukan yang terbaik untuk kemaslahatan organisasi. Tapi kalau semua itu tak mampu mengubah apa-apa dan orang perlakukan kita sesuka hati, tunggu apa lagi, ca-alif-but la jawabnya. Come on lah, aku bukan budak kanyia’ yang baru masuk kerja. Buatlah tahana sesuka hati, tapi jangan sesekali salahkan aku kalau yang tak disangka-sangka berlaku sesudah ini. Sentimental tu of course la ada, sebab di sini perantauan aku bermula. Tapi aku bukannya robot, aku manusia yang ada hati dan perasaan. Aku seperti biasa jarang mengeluarkan patah-patah perkataan. Aku bertindak dengan perbuatan.

Seperti Merapi, aku hanya menanti detik yang pasti.

"Allahumma ajurni fi musibati, wakhlufli khairan minha". Amin.

Thursday, March 30, 2006

Yang Ditunggu Dah Tiba...

Zaman projek serba kekurangan ini, memang meneru kontraktor datang ke balai raya tempat berlangsungnya taklimat. Lagipun, telah dinyatakan dalam iklan bahawa kehadiran adalah WAJIB.

Ada kontraktor yang nampak cerdik, kalau diukur dari segi soalan berhubung aspek-aspek teknikal projek. Menampakkan pengalaman. Tapi bijak juga boss aku menjawab bersulamkan jenaka. Penuh keyakinan, dan bergaya tentunya (dengan vest GDWnya). Ish, ish, ish, boss sappa la tu.

Cuma ada sedikit unsur-unsur keWak Longan terjadi. Iyalah, apabila menaiki kenderaan rasmi (di plate number tertulis nama Kementerian), maka kenderaan kontraktor akan mengekor. Kami berhenti, depa pun berhenti. Kami tersilap jalan, depa pun tersilap juga. Tapi akhirnya sampai juga ke destinasi lawatan tapak. Alah, tengah hari rembang begitu, bukan nak melawat tapak sangat, nak tandatangan attendance sheet jer. Kang takde signature kang tak boleh beli dokumen tender lak. Macam budak universiti berebut nak tandatangan qa'imatul asma’ sebab takut kena bar exam pun ada aku tengok.

Dalam banyak-banyak kontraktor, ada jugak wakil Nordin Kassim, taukeh tempat pelupusan sampah bagi negeri Pulau Pinang di Pulau Burung, SPS. Member sekampung aku la jugak pun, Musaddiq & Shukri. Ui, jauhnya depa mai. Depa la tegur aku dulu, aku tak terperasan pun bila dah ramai-ramai camtu.

Menghitung semula bilangan syarikat dalam senarai kehadiran, pergh, semua sekali ada 80 kontraktor. Kebarangkalian yang amat tipis untuk dapat projek. Kalau dapat, kira bertuah sesangat la tu. Terutama bagi yang memang fail bab-bab projek ni (memang la kawasan paya dan berbukit, tapi takkan jalan 5 kilometer lebih sikit estimate sampai RM100 juta, memang tak pernah buat projek la tu, jadi laughing stock jer la korang).

Kalau dah rezeki depa, maka depa akan berjaya jugak. Sebab tercatat dalam buku La Tahzan, Nabi ada bersabda, mafhumnya, "Rezeki makhluk-makhluk Allah telah ditentukan 50 ribu tahun sebelum mereka dijadikan". Seperti juga rezeki aku sedang menyuap ice-cream double scoop sekarang ini, di tempat yang aku hanya boleh terbayang-bayang masa muda-muda dulu bila menelaah naskhah Lagenda Budak Setan oleh Ahadiat Akashah.

Baskin Robbins, Hentian Ayer Keroh
29 Mac 2006 (Rabu)

Tuesday, March 28, 2006

The Truth Is Here...

Hamka pernah menyebutkan dalam "Membahas Kemusykilan Agama". Katanya, menurut alim ulama yang menjadi gurunya, "La mazhaba li ’awamin ghaira at-taqlid" (tiada mazhab bagi orang awam melainkan bertaklid). Memang itulah sifat orang awam yang serba kekurangan ilmu pengetahuan. Namun, sebaik menemukan kebenaran, taqlid yang dulu perlu dilempar jauh-jauh.

* * * * *

Suatu hari, seorang ustaz sebuah akademi dalam sebuah universiti bertanya kepada para pelajarnya yang terdiri daripada golongan separa usia walaupun kedapatan juga dua tiga kerat anak-anak muda sama ada sudah atau belum berkerjaya. Soalannya, seperti berikut, "Benarkah Al-Quran itu sejumlah 6,666 ayat kesemuanya?".

Selama berdekad-dekad, para pelajar tersebut memang berpegang kepada angka keramat berkenaan. Senang disebut, mudah diingat. Tapi bila sahaja ditanya sebegitu, tergugah juga kepercayaan. Mungkinkah ayat-ayat Al-Quran itu bukan sedemikian banyaknya?

Lalu ustaz itu memberikan satu tugasan. Setiap pelajar dikehendaki mengira sendiri bilangan ayat-ayat Al-Quran dan menyediakan jawapannya pada minggu berikutnya. Ustaz memberi idea, bahawa barangsiapa yang telah berkeluarga, bolehlah kiranya memaksimumkan kegunaan anak masing-masing untuk menjumlahkan angka terakhir pada setiap 114 surah. Namun pelajar yang muda belia terfikir sendiri, terlebih afdhal kalau diri sendiri menekuni, kelak keyakinannya takkan goyah lagi.

Maka sementara menunggu minggu berikutnya tiba, pelajar yang muda belia itu pun menghitung-hitung bilangan ayat Al-Quran demi sebuah kebenaran. Renyah memang renyah, tapi dipaksa juga dirinya sendiri. Alangkah takjubnya apabila sesudah lebih suku abad menghirup udara dunia fana ini, ia mendapati ayat-ayat Al-Quran bukannya berjumlah 6,666 ayat lagi.

Ijmak para penghitung bilangan ayat-ayat Al-Quran sepakat menyatakan bahawa bilangan ayat-ayat Al-Quran hanya enam ribu dua ratus ayat lebih. Hitungan paling sedikit datangnya daripada penduduk Basrah iaitu 6,205 ayat. Hitungan paling banyak pula datangnya daripada penduduk Kufah, sama bilangannya dengan yang dikira oleh pemuda tadi, 6,236 ayat.

* * * * *

Kebenaran itu sememangnya di sini, bukan di luar sana.

Monday, March 13, 2006

Cayalah...

Mak aku, dalam SMSnya semalam, suruh aku doa supaya Wani tabah menerima sebarang keputusan SPMnya. Aku cuma terfikir dalam hati, nak gaduh apa, result dia mesti mantap punya la, kalah aku dengan Dilah. Walau macam manapun, terlintas jugak kemungkinan akan ada unsur-unsur sentul mengganggu gugat ketenteraman awam nantinya. Tapi segera anasir itu dipatahkan dengan keyakinan aku, bahawa dia mesti cemerlang punyalah.

Firasat aku terbukti tepat sekali lagi. Wani dapat 7A1. (Ish, ish, ish, adik sappa la tu?). Katanya terbaik kat STSSB. Baguih2, kalahkan bebudak Cina tu. (perhatian : tiada sebarang sentimen perkauman di sini, bersaing dengan cara yang sihat apa salahnya). Bak lirik sebuah lagu nasyid daripada Suara Firdaus berjudul "Menuju Wawasan",

"Umat Islam harus cemerlang
Hari ini mesti lebih baik dari semalam
Jangan buang masa
Siapa kata kita tidak boleh
Kita ada Allah Maha Kuasa
Kita punya kuasa tenaga
Doa sebagai senjata
Umat Islam sentiasa boleh..."


Aku suruh dia mintak UIA. Long term planning supaya dia ada asas yang kukuh. Baru ada sebab konkrit untuk aku ke Gombak selalu. Dia pun memang malas nak ke UUM pun.

Sebagaimana tertera dalam sekeping kad yang aku letak atas meja study dia sebelum aku bertolak ke sini semula hari raya nan lalu menjelang exam SPM, sekali lagi aku katakan, "Chayo, Wani, chayo!".

Wednesday, March 01, 2006

Demikian Aku Mahu Diingati...

Semalam, tengah baguih dok pekena mee goreng mamak Presint 9 dengan Pak Ngah aku, rupanya En. Zafir pun ada sekali. Kemudiannya, dah sudah makan, dia mai sembang dengan kami. Baguih, humble orangnya, walaupun la ni jadi Pegawai Khas KSN. Biasalah, aku bagi can kat Pak Ngah aku bergebang pasal dia banyak idea dan kira senior la pada En. Zafir tu. Kata bekas PPK aku tu kepada Pak Ngah aku, "Dia ni la yang saya jaga masa DPA dulu.". Dia juga menambah, sebuah cliche yang aku harap tidak digunapakai lagi, "Penyair ni masa kursus dulu. En. Salim suka kat dia ni". "Tang mana yang dia suka kat saya pun tak tau", aku bagi response sambil menguntum senyum.

Aku pun tak tahu sampai bila warga DPA 2/2003, sama ada PPK, PP mahupun kadet akan terus mengenali aku sebegitu. Pernah jugak aku haba’ kat kawan-kawan, "Cubalah ingati aku pasal benda-benda lain selain bab-bab sajak ni".

Ada suatu ruangan dalam paper bertajuk Di Sebalik Nama yang mewawancara seorang penyanyi.(Waktu aku study kat TASKI waktu muda-muda dulu, lagu penyanyi itulah yang menjadi siulan aku walaupun masa tu ustazah suruh semua orang pakat nyanyi lagu nasyid. Nak buat lagu mana, itulah aku; Dulu, Kini, Selamanya. Akan buat apa yang aku terasa nak buat walaupun selalu menongkah arus.). Berbalik kepada si penyanyi tadi, reporter bertanya bagaimana Datuk mahu dikenang nantinya. Katanya, "Kalau boleh, sesudah saya tiada lagi, saya harap kepada semua orang sama ada yang suka mahu pun yang tidak suka kepada saya agar dapat kiranya menyedekahkan Al-Fatihah kepada saya. Dan lagu-lagu saya, saya minta supaya tidak disiarkan lagi".

Kalau ditanya padaku, bagaimana aku mahu dikenang, agak terpempan juga barangkali memikirkan jawapannya, sebelum kembali bersuara, "Kiranya teringat sekali-sekala, Tatkala aku telah tiada, Usahlah ingati aku sebagai penyajak lagi, Sedekah Al-Fatihah sudah memadai..."

Monday, February 20, 2006

*Aku 'Kan Ada...

Baru-baru ini aku ketemu seorang pertapa. Telah agak lama dia berdiam sedemikian rupa. "As-sukut ’alamatur ridha", diam tanda setuju. Betulkah begitu?

Lupakan saja sifatnya itu. Ada yang lebih penting lagi. Tentang pesannya padaku. Kurang periksa pulalah aku sama ada si pertapa itu menipu. Kalau menipu si pertapa itu, maka menipulah aku. Tapi setahu aku, terlebih-lebih pun, ia barangkali merapu. Apa-apapun, cubalah baca dahulu pesanannya itu. Mungkin dalam merapunya itu terselit sesuatu.

"Kadang-kadang dalam hidup, kita dok tala tak tentu hala. Sebut saja apa benda yang terlintas, kita pakai rodong saja. Kita sedar sebenarnya, seperti rezeki, ia sememangnya suatu misteri. Kita yang agak uud ini buleh dok buat hemoi lagi. Hinggalah suatu hari, antara sedar dan mamun, seolah-olah terdengar suara menegur kita, "Kau tunggu siapa? Aku ‘kan ada".

Pesanan si pertapa aku hantar menerusi SMS kepada Dilah. Melalui SMS juga Dilah bertanya kembali, "Abang, siapa dia?"

Jawabku kepada Dilah, "Dia sentiasa ada saat kita perlu akan Dia. Dia di atas sana. Dia Tuhan kita...".

*Main Hoon Na...

Tuesday, February 14, 2006

Tersendiri, Tersemadi...

Entah apa gerangan, hits blog aku nan ini tiba-tiba mencecah angka Arab 260-an. Mungkinkah disebabkan aspirants PTD sedang bertungkus-lumus mencari bahan rujukan, wallahu ta’ala a’lam. Ah, apa sangatlah boleh dirujuk dalam blog sebegini. Bukannya ada soalan exam, tips PAC pun tidak, fasal interview jauh sekali.

* * * * *

Lama juga aksara demi aksara tidak bertetangga di alam maya ini. Jadi hari ini aku menulis kembali. Seperti biasa, kisah cliche bukan topik utama. Biarlah orang lain menulis sedemikian rupa. Tentang Valentine’s Day biarlah ulama yang berfatwa. Tentang caricature berderemen itu pula, biarlah umara menyelesaikannya. Aku seperti biasa, cuba menjadi berbeza.

Gabungan melodi dan alunan senikata segera mengingatkan aku pada pasangan kelam di sebuah lorong kedai Jalan Tunku Abdul Rahman. Di atas keyboard, jejari si suami menari-nari sedang si isteri tekun menyulamkan bunyi tamborine. Rawan suaranya sayu mendayu-dayu, sama seperti suara lelaki empunya lagu.

"Engkau ketawa gembira di malam itu, Dikelilingi hai ramai sanak saudara, Sedangkan aku berduka kerna janjimu, Yang manis bermadu tetapi bagai hempedu..."

Ku Seman Ku Hussain, kalau berkata-kata akan seni, memang takkan mengecewakan. Justeru, bila hari Ahad nan lalu ia kembali berbicara, tidak boleh tidak aku terpana membacanya.

"Ini keluh-kesah seorang yang emas sesaga tapi bermimpi memetik kejora di puncak singgahsana. Realiti memberitahu kita, budi bahasa hanya pemanis kata, emas perak juga diambil kira".

Aduh, remuk redam bunyinya, sama ada yang cuba-cuba menjiwai derita, apatah lagi yang sedia sengsara. Bisa, bisa sungguh-sungguh.

Itulah pun resam dunia, tanpa harta berketi laksa, ada kalanya impian cuma satu lagi utopia. Ibarat mengangankan Utusan Melayu yang telah ditalkinkan seawal Tahun Hijrah dijual kembali setiap hari. Umpama membayangkan Zainudin dengan Hayati, Chairil Anwar dengan Sri Ajati.

"Andainya itu sayang berupa erti, Setahun janji ditempah hilang sehari, Membuat aku sedar diri sendiri, Betapa hinanya padamu diriku ini...".

Dan sesudah beberapa ketika lagu itu lalu terhenti.

Nota : Al-Fatihah buat Almarhum S. Jibeng. "Inai Di Jari, merahnya di hati.". Maknanya tersendiri, tersemadi...

Sunday, January 15, 2006

Dost Dost Na Raha...

Seperti firasat aku minggu lepas, berita sentul telah datang lagi. Adoi, sakit jugak rasanya. Tapi nak buat macam mana, inilah namanya hidup, macam tajuk filem Hindustan versi Melayu, Qabil Kushrie Qabil Igam. Kadang-kadang best, kadang-kadang hampeh.

Dalam bulan pertama tahun 2006 yang serba kalang-kalibut ini, Zek call aku sebanyak 2 kali. Masa tu handset dalam keadaan silent mode, maka lingkungan hampir pukul 2 petang barulah aku membalasnya. Rupanya, ia takkan tinggal di Bangi lagi, akan berpindah ke Ipoh pula.

Sesudah selesai berada di "taman-taman syurga", aku pun, setelah sekian lama tak jumpa, membuat temu janji buat terakhir kali di sebuah restoran. Persis cerita Hindi, langit pun menghulurkan empati berupa kiriman titis-titis air yang bercurahan. Dalam keadaan sejuk gedi begitu, rupanya kawanku nan itu dalam proses berkerjaya tetap. Macam-macam cerita dok ada, lepas satu, satu. Cuba memanfaatkan masa yang terhad sebegitu sebelum khabar berita lenyap ditelan masa.

Aku kenal dia semenjak zaman Kolej MAS lagi. Banyak kenangan-kenangan indah masa tu. Antaranya, XPDC bermotor ke PMC (Pasar Malam Changlun) setiap Rabu. Berbuka posa kat bilik Pian sekali. Tolong bawak motor untuk aku hantar assignment sebelum terlepas deadline walaupun sebelum tu dan jugak dia bagi kat aku sedaih ayat orang Utara untuk kerja-kerja yang berlaku pada saat-saat akhir ni (lebih kepada bergurau cara kasar tu). Dia ni punya perbendaharaan kata orang Utara kira dah tahap advanced dah, ada jer reply untuk setiap ayat2 orang Utara macam aku dan Pian.

Tu cerita zaman kampus. Bila dah ada kerja tetap macam la ni, cerita lebih banyak kepada kehidupan berkerjaya. Ada masa, dia pun dah morale down macam aku jugak. Tapi, sekali lagi, seperti aku pernah nyatakan dulu, itulah gunanya kawan. Sama-sama tolong bagi semangat untuk teruskan hidup yang penuh ranjau sepanjang jalan ni.
Selamat bergelar cikgu, Ahmad Zaki bin Zainudin. Entah bila pulak buleh jumpak hang lagi. Semoga hang sukses selalu.

"Dost dost na raha, pyaar pyaar naa raha
Zindagi hamein tera, aitbaar na raha, aitbaar na raha..."


Aku hilang lagi sorang kawan...

Monday, January 09, 2006

Salam Qurbani...

Perjalanan masih jauh, dan aku pun memang berjaga-jaga dengan kemungkinan episod-episod sentul akan menjelma secara mengejut. Tapi buat masa la, aku layan dulu dengan kisah-kisah ceria.

Join dengan orang tua-tua ni sebenarnya best jugak. Walaupun depa agak bertungkus-lumus dalam bab-bab ilmiah ni, tapi style slumberland depa tu menggelikan hati. Cakap apa saja hat depa terlintas. Wak Long betul la. Sampai ustaz pun tak terkata apa. Iyalah, ustaz pun muda-belia. Terkerenyih terkerisin saja la.

Aku sebenarnya nak low profile jer, senang sikit hidup aku. Tapi ada kalanya terpaksa berkata benar. Dan akibatnya, hari-hari mendatang ni aku bakal menjadi salah satu sumber rujukan selain ustaz. Ingat aku terer sangat ka. Semuanya sebab aku ni budak baru pada pandangan depa, tak bersama-sama depa bermula dengan yang asas. Apatah lagi bila ditanya ustaz, kat mana sebelum ni, aku pun menjawab madrasah thanawiyyah. Waktu yang sama, kedengaran suara-suara makcik-makcik kat belakang tu macam kagum, ooo, dia ni dulu empat thanawi. Ish, depa ni selalu misconception tul la. Madrasah thanawiyyah tu bukan empat thanawi. Kalau aku ada empat thanawi, takdak la aku dok kelitin kot leghoh ni saja. Maka pada kesempatan memperkenalkan diri pada ustaz berikutnya, aku pun saja sebut bersekali dengan terjemahannya iaitu sekolah menengah. Kena buat camtu, kalau tidak depa ingat aku ni tahap expert. Mana ada.

Aku, selalunya bila membuat sesuatu, memang aku bagi yang terbaik. Hat ni pun salah satu daripadanya. Nama aku ni kalau disebut dalam keadaan biasa, memang kedengaran biasa. Tapi untuk situasi yang sebegitu, memang aku pronounce secukup rasa la, lahjah fushah. Itulah pun sebutan yang sepatutnya. Self-satisfaction tu bila sesekali buleh sebut nama aku sendiri dengan sebutan yang aku paling puas hati.

Aku ada sebut uridu an ughanni ma'a Amr Diab fi alkunsart. Maka perbincangan pun menjurus kepada Amr Diab. Baru aku tau kata dia pernah belajar Usul Fiqh kat Al-Azhar. Tapi Al-Azhar dah tak iktiraf sebab dia dah terbias sikit. Imej universiti barangkali. Ustaz hat mula-mula tu ada tanya, sautukal jamil? La, kata aku, biarpun aku boleh menjawab qalilan ya ustaz, sebab pengalaman aku sebelum ini termasuk masa kelas Alpha di INTENGAH dulu, kalau aku mengaku memang aku akan disuruh menyanyi punya. Masa tu lagu Hindustan tu. Malas la aku. Sudah-sudah la secret identity aku terbongkar. Kang kena menyanyi Nour-el-Ain kang sajjaja, meskipun aku bab-bab menyanyi ni anytime ready.

(Ahmad Dhiauddin, mengapakah nama itu teringat-ingat selalu?)

Family aku ada tanya, balik ka dak raya ni? Aku kata tak balik, raya Cina aku balik la. Banyak sebab la, walaupun aku tau di antara 2 hari raya tu, raya ni lagi besar, sepatutnya. Tapi aku orang Penang, bukan orang Pantai Timur, jadi kalau tak balik pun bukanlah satu benda yang menyedihkan sangat. Kalau raya puasa tu lain cerita la, walau macam mana pun aku kena balik, melainkan kalau aku dok kat oversea dan ada exam masa hari raya. Hat tu tak buleh nak buat apa la.

Sungguhpun aku tak balik kampung, jangan harap aku nak beraya kat sini. Sini hanya tempat kerja, kalau setakat nak join Bangla, Indon dan lain-lain sembahyang raya, lain kali la. Takdak diskriminasi apa aih sebab depa pun sedara seIslam aku jugak. Cuma aku ni kadang2 maverick sikit. Yang orang tak buat aku buat. Sesekali buang tebiat pun o.k. apa.

"Berkorban apa saja
Harta atau pun nyawa
Itulah kasih mesra
Sejati dan mulia..."


Salam Qurbani!

al-masa'u fi-l-idarah
9 Zulhijjah 1426 Hijriyyah

Friday, December 23, 2005

Surat Dari Seberang : Buat Jejaka Dari Seberang (Perai Selatan)...

Suatu hari, Syeikh Nawawiyah yang dianugerahi Allah akan kasyaf berkata kepada anakandanya, Syeikh Muhammad Amin yang hendak pergi berlayar. "Janganlah engkau singgah di Tanah Melayu, kelak engkau tidak akan pulang-pulang ke Majapahit lagi". Tuhan tidak akan mentakdirkan sesuatu melainkan takdir itu baik bagi hamba-Nya. Tambahan, siapa pula mampu melawan takdir. Syeikh Muhammad Amin telah singgah di Pulau Pinang dan benar, ia tidak pernah menjejak kaki ke kampung halamannya lagi sesudah itu. Bertemu jodoh dengan orang tempatan, keturunannya berkembang sehinggalah sampai kepada salasilah yang keenam yakni aku.

Seharusnya aku ke Johor minggu ini. "Nak buat apa?", tanya mak aku. "Hendak menjejak keturunan", jawab aku, walaupun aku tahu keturunanku sebenarnya berada nun jauh di Jawa Timur sekarang ini. Jawapan yang sungguh tak logik, seumpama orang yang kehilangan sesuatu pada waktu malam. Apabila ditanya mengapa dicari di bawah sinaran Lampu Jalan Kampung electronic ballast 150 watt, maka jawabnya, "Sini terang sikit". Tak logik, memang tak logik. Sebab itulah aku membatalkan hasrat ke sana.

Sebelum Jumaat tadi aku terima sepucuk surat. Seraya ku buka sampulnya dan di bawah ini tertera isi kandungannya:

"Assalamu'alaikum wr. wb.

Sebelumnya terima kasih atas kedatangan cardmu. Sebulan lamanya suratmu bisa sampai ke Indonesia, suratmu sampai tanggal 19 November. Jadi aku baru membalas suratmu tanggal 13. Maaf, mungkin terlalu lama karena banyak tugas dan aktivitas di kampus. Melalui surat ini kita mulai persahabatan kita, aku tau kamu orang baik dan kita akan menjadi sahabat walaupun kita tidak pernah bertemu dan bertatap muka. Saya rasa itu awal yang baik, saya harap kita saling menerima satu sama lain. Negara, bahasa dan segala perbedaan itu tidak jadi masalah.

Sebenarnya saya merasa lucu ketika menuliskan surat untukmu, karena sebelumnya aku tidak terbiasa menuliskan surat untuk seseorang. Karena itu, aku harap kau bisa mengerti. O ya, bagaimana khabarmu? Saya harap semoga baik-baik saja dan saya di sini juga alhamdulillah dalam keadaan baik-baik. Seperti biasa kegiatan sehari-hariku study di MUY (Muhammadiyah University of Yogyakarta). Saya mengambil jurusan International Relations. Aktivitasmu sehari-hari apa saja? Saya ingin tau. Saya ingin kamu sedikit bercerita about yourself.

Kamu balas suratku ini ya...! Senyum dong '-'. Jangan stress baca suratnya. Jangan lupa dibalas ya...! Saya tunggu balasan suratmu. O ya, saya hampir lupa, sebelum saya mengakhiri surat ini, meskipun Idul Fitri sudah lewat, bila jemari tak sempat berjabat, raga tak kuasa bertatap dan bila kata melukai sukma. Semoga maaf masih terbuka. Dengan hati yang suci mohon maaf lahir dan bathin.

Wassalamu'alaikum wr. wb."


Aku tak tahu sama ada ia keturunan Chairil Anwar kah, atau Hamka kah, atau boleh jadi seketurunan denganku. Apapun, aku terima dengan tangan terbuka. Kepada Dilah, usahlah lekas menerka abangmu ini Pemburu Buaya. Hablum minannas, apa salahnya.

Ho, ho, ho, ho, ho, Horlicks!

Thursday, December 22, 2005

Allah Selamatkan Aku...

Ya, bertemu lagi dengan ulang tahun hari lahir, semakin dekat juga Izrail mampir.

Hari ni bertambah lagi umur aku, juga berjuta-juta lagi manusia di Mumbai, Rio de Janeiro, Casablanca, Azad Kashmir hatta Changlun sekalipun. Aku manusia biasa serba sederhana. Demikian, tak dak la aku celebrate birthday aku dengan memandu Ferrari Spider ataupun bermewah-mewahan macam anak hartawan. Kebetulan pulak tahun ni jatuh hari Khamis, berkat la sikit. Selalunya hari Sabtu jer.

Bertambah umur bertambah jugak la pengalaman. Ada yang masin berdengung, manis melecaih, tawa’ heibia’, pahit macam jadam pun ada. Pendek kata, macam-macam ada.

Hai, lama jugak aku dok sini. Bosan tahap maksima dah ni. Cuma la dah ada aktiviti sampingan nak isi masa lapang sebagai orang bujang. Yalah, mana larat ghalit dok tengok cicak saja. Cemuih ooo.

Entah, aku pun tak tau nak tulis apa lagi. Petua orang tua-tua, ulang tahun kelahiran adalah hari yang kita akan berasa lemah dan itulah masanya musuh akan mengambil kesempatan. Adakah aku sedang bersiap siaga menghadapi ancaman musuh? Tak jugak. Sebab aku berpegang kepada pepatah komik Hong Kong, ”Musuh jangan dicari, bersua jangan dielakkan”. Terkorban kerana mempertahankan diri pun dikira syahid. Sapa tak mau syahid.

Harapan aku sempena umur yang dah meningkat dan tahun baru yang bakal menjelang ni adalah supaya aku berubah ke arah yang lebih baik serba-serbi. La ni dah mula sikit-sikit sesuai dengan kemampuan. Cuba mengekalkan dan menambah sifat-sifat mahmudah dan membasmi sifat-sifat mazmumah yang menggelapkan hati.

Semoga akhir hayat aku dalam kalimah La Ilaha Illallah. Sebab ada sebuah hadis dalam Sahih Bukhari yang aku baca, Nabi ada bersabda, "Barangsiapa yang mengucap Laa ilaha illallah diakhir kalamnya dan yakin ia dengan kalimah tersebut, maka tempatnya adalah syurga. Anas bin Malik bertanya kepada Nabi, "Bolehkah aku khabarkan kepada mereka yang lain?". Kata Nabi, "Aku khuatir mereka tidak akan beramal dengan amalan yang lain.". Maka Anas bin Malik pun menyimpan sabda ini sehinggalah sesudah kewafatan Nabi baru dikhabarkan kepada umum.".

Amin, amin, amin, ya rabbal 'alamin, ya mujibassa'ilin.

Wednesday, December 21, 2005

Sighu Betui La...

Tadi ada ceramah oleh Prof. Dr. Mohd. Yusof Othman dari UKM. Isi ceramahnya yang bersulamkan sirah nabawiyah dan bab-bab Islam lainnya segera membayangkan aku kepada style ceramah Pak Ngah aku. Kata Man Tongkat, Pak Ngah aku punya style Islamic. Cuma aku belum ada kesempatan dengar dia berceramah lagi. Bersembang selalu la, tambah pulak la ni parcel sebelah menyebelah jer tapi persembangan tak sama dengan ceramah.

Berbalik kepada Dr. Yusof tadi tu, aku dapat rasakan dia agak kecewa dengan pengendalian majlis. Jadinya, sambil sebok dalam ceramah tu, pihak-pihak yang berkenaan dibasuh sama. "Tounge-lashing", kata orang putih. Iyalah, dengan kehadiran peserta yang tak menepati masa, dengan top brass tak dapat turun sama kerana masa tu la nak buat meeting pun sampailah detik terakhir nak sampaikan momento tanda penghargaan pun kawan ni tengok kawan tu, kawan tu kalih kot kawan nu, memang sighu betui la.

Aku cuba letakkan diri aku dalam keadaan dia. Kalau aku pun aku rasa terhina. Suruh orang bagi ceramah tapi tak rai. Ada ka patut? Kalau tak respect dia sebagai ilmuan pun takpa, tapi cubalah hormat maruah dan harga diri dia sebagai manusia. Aku bab-bab buat tahana kat orang ni memang aku tak boleh terima dan rasa cukup marah. Sementelahan dia orang kampung aku pulak tu. Walaupun bukan aku yang buat tahana kat orang tapi aku rasa ralat jugak la bila benda macam ni terjadi. Bukan satu perkara yang pelik kalau tersebar cerita-cerita tak best pasal benda ni dan dia pun tobat tak mau mai lagi.

Friday, December 16, 2005

Blues Untuk Aku...

"Menyanyi kerana gembira
Menyanyi kerana sedih
Menyanyi kerana rindu
Aduh siapa dapat membaca hatiku saat ini..."


Suratan yang telah tertulis di dedaunan Lauhun Mahfudz hanya bisa tertunda-tunda tapi sememangnya takkan bisa dielakkan. Sampai masanya, ia 'kan jadi nyata jua.

Agak kontras sebenarnya menggagahi mendaki puncak ini waktu tengah hari rembang begini. Di puncaknya sebuah gereja tersergam. Petang jumaat pula itu. Bukankah seharusnya aku bersiap-siap untuk ke masjid membaca Yasin? "Gerangan apa buatku ke mari?", tanya M. Nasir dan Mawi. "Aku sendiri pun tidak mengerti", balas Al-Bakafi.

Berada di sini dan menyeluruhi seluruh kawasan di bawah sana suatu impian yang tertangguh semenjak kali pertama memasang angan-angan itu lebih setahun dahulu. Sayup-sayup kelihatan kenderaan berjejal-jejal dan bangunan berselerak-tarak. Kedengaran biasa tapi menjadikannya istimewa kerana dilihat dari puncak yang menjadi saksi peristiwa demi peristiwa.

Kalau ikutkan hati, mahu saja aku menjerit sekuat-kuatnya, menyanyi lagu demi lagu semahu-mahunya, biar suara itu bersipongang lantas menyatu dengan angin lalu. Tempat ini sememangnya ideal untuk melayan perasaan. Namun keadaan tidak mengizinkan aku berbuat demikian. Orang terlalu ramai dan tempat agak sempit. "Sekarang Zaman Bermenung", demikian tajuk cerpen Anwar Ridhwan dalam Berita Minggu yang lepas. Dan itulah pun yang aku lakukan tatkala keringat terus berjejeran. Bermenung. Bermenung. Bermenung.

"Lagu jiwa bukan lagu mengadu nasibku
Lagu cinta bukan lagu meratap hidupku
Hanya nak menyatakan tuah dan untung badan
Diuji hebat cinta sehebat begini
Hebat begini..."


Bukit St. Paul, Bandar Hilir
15 Disember 2005