Thursday, March 15, 2007

semoga ini terakhir kali aku Pergi; dan Tak Kembali...

Seumur hidup. Diulangi, seumur hidup aku menduduki pelbagai jenis peperiksaan dan ujian. Baik ujian bertulis, ujian lisan, atau ujian memandu kereta apatah lagi UPSR, PMR mahupun SPM. Persamaan antara kesemua ujian yang aku pernah duduki tersebut adalah aku hanya perlukan sekali cubaan untuk lulus. Walau sehampas mana pun prestasi aku menduduki ujian-ujian tersebut, belum pernah lagi perkataan 'gagal' menjadi natijahnya.

Tapi tidak buat peperiksaan yang satu ini. Hari ini merupakan cubaan aku buat kali kedua. Persoalannya, susah sangat ke? Sebelum soalan itu dijawab, elok kalau aku mengimbas detik-detik pahit maung aku berkecimpung dalam arena peperiksaan yang satu ini.

Tahun lepas, aku dengan api semangat yang berkobar-kobar bertungkus-lumus menelaah menghadapi peperiksaan ini. Bukan setakat menelaah, bahkan menghafal segala fakta, angka, tarikh dan aneka macam perkara yang paling aku benci dan langsung tidak sesuai dengan pendekatan menjawab peperiksaan aku selama ini. Sewaktu mata pelajaran Sejarah menjadi subjek kegemaran pun aku tidak pernah cuba mengingat tarikh, apatah lagi subjek yang aku menyampah seperti Ekonomi Asas, lagilah aku tidak langsung berusaha untuk mengingat angka-angkanya. Aku hanya mengingat jalan cerita. Selebihnya aku goreng sahaja. Namun berlainan sekali dengan penangan peperiksaan yang satu ini. Aku menggagahkan diri berbuat sesuatu di luar kebiasaan. Seksa juga. Kononnya dapat menghasilkan satu jawapan yang bersepadu dan mantap. Kononnya.

Akhirnya keputusan pun keluar. Kawan-kawan semua heboh. Ada yang seronok sebab dapat cemerlang, ada yang lulus, tak kurang juga lulus bersyarat, ada yang gagal kedua-dua kertas. Tapi aku menahan diri untuk mengetahui keputusan sendiri walaupun sangat-sangat teruja. Apabila kawan-kawan tanya, aku jawab aku belum semak keputusan lagi. Sehinggalah suatu malam Jumaat, sewaktu ofis telah lengang, aku pun bertekad memberanikan diri menyemak keputusan. Azamku pada diri untuk menerima seadanya keputusan tersebut. Namun aku hanya manusia biasa. Manusia biasa mesti ada rasa kecewa. Itulah yang berlaku. Sebaik menatap keputusan, aku jadi tergencat untuk menyambung kerja. Langsung tutup komputer dan balik rumah.

Seminggu dua aku hilang mood. Kemudiannya aku benar-benar bertekad untuk memperbaiki keputusan. Cuma badi aku di tempat kerja ini selalu merosakkan perancangan aku. Sepatutnya aku ambil semula peperiksaan itu bulan 12, tapi aku terpaksa tanggung kerja. Bukan salah kawan aku mengandung. Cuma kalau engkau pernah buat pembangunan, maka engkau akan tahu betapa getirnya bulan 10, 11 dan 12 setiap tahun. Maka tarikh peperiksaan itu aku tunda kepada tarikh lain pada tahun hadapannya. Sebab aku tahu kalau aku ambil pun aku tak akan sempat baca buku dan ulangkaji. Hasilnya, aku agak sendiri aku setakat makan angin ambil periksa, tanpa ada persediaan. Adatnya, sure tak lulus punya.

Tidak mengapa, aku memujuk hati sendiri, tahun depan bulan 3 hang ambil lagi. Masa itu kawan yang bercuti selama 2 bulan telah masuk ofis semula. Mesti preparation tip-top punya. Begitu aku berkira-kira.

Perancangan hanya tinggal perancangan. Itulah yang aku katakan badi tahap mentibang laut di sini. Baru berkira-kira hendak memegang buku pada bulan 1, telah berkesiuran khabar-khabar angin aku bakal dihijrahkan seawal bulan 2. Khabar itu bertiup kencang, meski kencang lagi taufan yang menyapu kaum Tsamud. Bayangkan, peperiksaan awal bulan 3 sedangkan menjelang tempoh tersebut penempatan aku masih terumbang-ambing. Sekurang-kurangnya kalau bersungguh-sungguh sangat hendak menyahkan aku, berilah sedikit ruang untuk ketenangan fikiran. Cerita-cerita persis Spongebob Squarepants ini mengukuhkan lagi tekad aku bahawa ada masanya terlebih baik mengutamakan kemaslahatan diri sendiri kalau ada peluang berbanding kepentingan organisasi. Kerana kita hanya berguna apabila perlu, selepas itu ditendang, disepak terajang ikut suka hati. Punyalah makarimul akhlaq perangai mustakbirin di tempat ini. Seperti sebelumnya, memo itu keluar sewaktu aku berkursus di Perak. Cantik betul perangai korang ye.

Jadinya, bulan 1 dan bulan 2 yang sepatutnya aku optimumkan untuk menebus kehampaan dalam peperiksaan lalu berlalu begitu sahaja dengan urusan menyudahkan kerja-kerja tertunggak dan nota serah tugas serta bersiap-siap mengumpul maklumat bahagian-bahagian tertentu sebelum berpindah ke tempat baru yang tak pernah langsung terbayang dalam fikiranku. Menambahkan icing di atas kek perasa sentul ini adalah sampai saat-saat akhir yang sepatutnya aku kemas meja pun masih ada lagi yang nak suruh aku buat kerja yang bukan lagi kerja aku. Bukannya aku berkira, tapi bak kata orang putih, "Give me a break!". Sudah-sudahlah tu. Bukankah sudah ada orang lain yang lebih berkaki lebar. Kalau tidak takkanlah aku tercampak entah ke mana. Cuma aku tidaklah berhati sekering mereka. Aku buat juga setakat aku terdaya. Namun memori gelap itu takkan mudah padam selama-lamanya.

Berpindah ke tempat baru bukan semudah melayan lagu Phir Bhi Dil Hai Hindustani. Seminggu pertama aku di sana habis dengan mencari rumah sewa sahaja. Dengan kemudahan Internet dan talian telefon direct-line tiada di ofis baru (walhal ofis aku di tengah-tengah bandar ibu negeri yang berangan-angan menjadi Lembah Klang hinggakan harga makanan di kedai mamak pun kena cukai 5%, kalah kedai mamak Putrajaya), masa-masa begitu manalah aku ada mood nak baca buku. Mana lagi dengan nak menyediakan laporan projek banjir dan siasatan tapak yang bahagian-bahagian minta macam tak dan-dan. Tempat baru itu sangatlah luas, melawat projek-projek di satu daerah pun 3-4 hari. Namun, walau seluas mana daerah yang ada dan kesuntukan masa study macam mana sekalipun, aku pergi juga atas rasa tanggung jawab. Kalau tak pergi sekarang, alamatlah dragged lagilah penyediaan laporan aku.

Kesudahannya, setelah seminggu out-station, aku sampai juga di flat hijau Jumaat malam lepas selepas bertolak petangnya dari sana. Seharian Sabtu membeli barang-barang keperluan peperiksaan dan menghening diri di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi (salah satu tempat kesukaan aku sewaktu menetap di Putrajaya). Hari Ahad baru berkesempatan ke cyber café mencetak slip peperiksaan (Nota : Aku ada singgah di cyber café untuk tujuan tersebut sewaktu out-station tapi malangnya belum apa-apa dah blackout) sambil mencari bahan-bahan yang dijangka keluar dalam peperiksaan. Dicampur dengan cuti rehat pada hari Isnin, maka itulah sahaja hari-hari yang aku dapat luangkan untuk persediaan ala Kamdar.

Melangkah ke dewan peperiksaan dengan cara yang berbeza berbanding sebelumnya. Minum pagi sedikit di café dan langsung tidak membaca nota sebelum masuk ke dewan. Maka soalan pun dijawab setakat yang mampu. Hampir-hampir tidak berjaya mencukupkan kelima-lima soalan yang perlu dijawab. Tulisan, tak usah ceritalah, ada yang senang mata memandang, banyak juga mengalahkan tulisan doktor.

Selesai peperiksaan, membelek-belek beberapa pesanan pada Sistem Mesej Singkat (SMS) berupa ucap selamat daripada keluarga dan kawan-kawan. Aku hanya membalas mesej yang serupa kepada semua, "Tiarap la jawabnya".

Demikianlah catatan ini melabuhkan tirainya. Sukar dibayangkan tahap semangat aku kalau perlu mengambil peperiksaan ini buat kali ketiga. A'uzubillahi min dzalik.

Hanya teringat-ingat kata-kata hikmat Faisal Tehrani dalam Tunggu Teduh Dulu, "...kerja Tuhan siapa tahu".

13 Mac 2007 (Selasa)
Pangsapuri Putra Harmoni
Putrajaya

Sunday, February 18, 2007

Madah Terakhir...

Buat ke sekekian kalinya pagi itu, aku bangun lagi dengan semangat di bawah paras beku. Hari itu hari yang istimewa, membaca SMS ucapan selamat daripada adik dan seorang lagi yang entah siapa. Hari yang memang istimewa, tetapi aku masih digugah sengsara. Sungguh-sungguh sengsara. Dalam Tonggak Dua Belas ada disebut tentang keseronokan bekerja. Istilah itulah yang aku tercicir entah di mana, tercari-cari tiada berjumpa.

Berkecindan temanku Tuan Hakim Mahkamah Syar'iyyah, "Hang kata takdak heart and soul, awat yang dok balik malam-malam, hari cuti pun mai kheja lagi?" Membaca yang tersurat sebagaimana tercatat pada kolum out kad perakam waktu, memanglah gambaran komitmen sepenuh jiwa. Walhal sebenarnya tindakan tersebut hanya semata-mata tanggung jawab.

Hari-hari yang sentul selama dua bulan berterusan lagi hari itu. Dengan mengalas perut secara tidak ketahuan hala dek sehari suntuk melayan fe'el bos yang kalut mengejan waktu kerja-kerja urgent lain juga bertimbun-timbun, hari istimewa itu disambut penuh kelam kabut. Masa seketika menghening diri hanyalah di Masjid Putra; baru masuk kali kedua langsung mengimbas detik pertama menunaikan solat Jumaat di situ ketika permulaan kerjaya di Putrajaya.

Aku teringat lagu 'Kian' nyanyian Mawi lalu aku tertanya sendiri, kenapa aku terjebak mengejar dunia, sedangkan ia semata-mata sementara. Ditakdirkan saat ini aku memejam mata, memang papa kedana benar amal bakti yang aku miliki ketika ketenangan sudah terlalu lama berlalu pergi.

Saat itu aku berharap agar Tahun Hijriyyah yang menjelang akan membawa aku berhijrah bersamanya sesudah pengorbanan demi pengorbanan menjelang Hari Raya Korban. Kata Dollah Kok Lanas, seminggu dalam politik terlalu lama. Kata aku, lebih tiga tahun dalam kehidupan seorang penjawat awam di tempat yang sama pun lama juga. Memang ramai orang lain hendak bermastautin di tempat itu sampai bila-bila mendaki tangga demi tangga dalam kerjaya. Cuma aku pastikan aku bukanlah orangnya.

* * * * *

Hidup ini penuh misteri. Adakalanya, kita takkan dapat sesuatu jawapan sampai bila-bila. Almaklumlah, kita hanya termampu merencana, Dia juga Maha Melaksana. Sebagaimana persoalan itu berlegar-legar tanpa jawapan buat beberapa lama, demikianlah juga kali ini.

Tiada apa yang aku kesalkan, ralat atau mengkelan apabila meninggalkan tempat ini. Memang itupun doa aku selalu. Mungkin kena pada waktunya Tuhan mendengar permintaanku. Redha dan syukurlah banyak-banyak. Tinggalkan hat sentul-sentul kat sini. Cuma aku akan rindu akan banyak perkara, yang barangkali takkan langsung boleh ketemu sampai bila-bila :

Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Surau Presint 11

MPH Bookstore, Alamanda

Stesen ERL Putrajaya

Petronas 9D, 9E dan 11

The Baker’s Cottage

* * * * *

Ia bukan lagu Doa Perpisahan yang pernah dinyanyikan oleh Brothers. Lagu itu tidak mampu aku nyanyikan lagi. Mengapa? Kerana lagu itu teramat sayu. Pergh, syahdu beb.

Kata Shahnaz selepas Malam Secerah Pawana, aku bernyanyi macam tidak punya perasaan. Hakikatnya, nampak sahaja macam memandang ke hadapan, tapi sebenarnya aku tidak memandang siapa-siapa pun. Lirik lagu itu memang menyayat hati. Aku tahu, tapi aku ketegar juga hendak menghayati. Dan memang pun teramatlah syahdunya macam lagu Bayati. Sebenarnya Shahnaz tidak tahu, itu merupakan kali kedua aku bernyanyi secara terbuka begitu. Kali pertama semasa tahun 1993. Semasa Tingkatan 2 Al-Farabi, teacher bernama Halimatun Saadiah hendak melanjutkan pelajaran ke peringkat Master di Huddersfield. Jadinya, hari terakhir itu, budak-budak lelaki kelas aku pakat-pakat hendak buat persembahan nasyid. Aku pula depa suruh lead, ataupun istilah masa tu jadi 'tekong'. Sebenarnya ada lagi orang lain macam Mat Fudge, Mat Ghoset, Azmin, tapi entah, depa percayakan aku barangkali. Aku selalunya takkan menawarkan diri, biarlah orang lain. Tapi kalau orang suruh aku jarang menolak. (Bukanlah sebab nama aku Redha, lagipun masa itu nama Redha tidak dikenali di sekolah aku. Aku dikenali dengan nama lain, lain kali aku cerita). Saha pi tukar pakai sampin songket tu (pssst, tu salah satu sebab aku dengan sampin songket tak dapat dipisahkan, penuh dengan nilai estetika dan nostalgia), padahal show (ceh, show tu) sat saja. Bukan aku sorang, ramai-ramai. Dah selesai bersalin baju, hat budak-budak ASPURA ini bersekali dengan budak-budak luar (sekolah yang sama, cuma depa tidak tinggal di asrama) pun tumpang sekaki. Lagu itu memang selalu berkumandang di asrama. Tapi mendengarnya satu hal, menyanyikannya satu cerita lain pula. Budak-budak lelaki semua dah ready di depan, teacher duduk di tempat biasa. Tiada muzik tiada apa, acapella jauh sekali, kalau buat pun tak jadi sebab suara masing-masing memang tak harmoni. Kiranya nasyid style old-school lah. Pandangan aku masa menyanyi tu dihalakan ke tingkap sebelah kiri, merenung jauh kawasan lapang yang menghijau saujana mata memandang. Unggas berkicauan mengalunkan zikir kepada Tuhan. Semilir bertiup sepoi-sepoi bahasa petanda perpisahan bakal mengakhiri sebuah pertemuan. Tingkap itu memang sudah tidak berkaca, tapi mata aku pula yang berkaca (sebab aku masa itu sudah berkaca mata, just kidding, sila baca dengan memasukkan unsur-unsur sastera). Tak sanggup aku nak bertentang mata dengan member tilmizat kat depan, yang merangkumi majoriti 2/3 kat dalam kelas aku tu (itulah dia aku masa itu, mungkin fasal segan kot, kata Pi’ee "Kalau segan pi dok Bagan", kata Nabi "al-Haya’u minal iman", kata aku kedua-duanya sekali, sampailah la ni). Macam mana perasaan aku masa itu, macam itu jugalah Malam Secerah Pawana nan lalu. Nampak macam tiada perasaan, tapi sebenarnya Hanya Tuhan Yang Tahu. Orang bukannya tau pun, sebagaimana depa tak tau kata lagu tu bukan lagu asal Brothers, lagu tu nyanyian asal kumpulan An-Naurah, sebuah kumpulan nasyid perempuan dari Maahad Hamidiah, Kajang. Bagi aku versi asal lebih masyuk. Bukan sebab depa pompuan, tapi sebab syahdu itu lebih. Dua kali cukup la, kali ni dengar lagu lain pulak.

Dengan segala hormatnya dipersilakan mendengar sebuah lagi lagu nasyid old-school dengan meng'click' button play kat radio sebelah kiri tu. Sementara stok masih ada, layan jer!

* * * * *

"Jika terdengar suara azan, bergema sayup menjelang pagi, dalam irama ku kirim pesan, sebagai tanda aku ’dah pergi..."

Friday, January 26, 2007

Ada Sakinah Di Wajahnya...

Langit jadi gelap-gelemat. Sekejap lagi bumi bakal tergelenang. Tapi dia masih berdiri di situ. Tekal mendongak ke udara. Entah apa sudah jadi, barangkali mendung cerminan hati.

Aku jadi hairan. Dia yang ku kenali ceria riang gembira, kini bermuram durja. Durjana apakah yang mengusutkan hidupnya.

Pasti ada sesuatu yang mengganggu sukma. Tapi aku tidak berani bertanya, apatah lagi lawan bicara. Hanya membiar soalan dan dzan bergelintar ulang-alik. Pelik.

Suatu petang, berbulan-bulan kemudian. Waktu terkocoh-kocoh menyelamatkan diri dari kekafiran, ada suara lirih menyempil ruang surau. Serasa-rasa aku teramat kenal akan suara itu lantas tercari-cari. Di suatu penjuru, ternyata. Hari ini aku bertekad, selesai solat, akan ku temui dia. Saat takbir diangkat, suara lirih itu jadi sir. Sesudah salam, baru suara itu dikuatkan semula seperti sediakala.

Aku menunggu dan terus menunggu hinggalah lafaz ‘sodaqallahul ‘adzim’ mendorong aku mendekati.

"Assalamu’alaikum." Dia membalas dengan sebaik-baik jawapan salam seraya kami bertemu pandang. Serentak aku terlongo.

Tuhan, ada sakinah di wajahnya...

Tuesday, January 02, 2007

'Eidul Adha Yang Luka...

Dua bulan yang pasif bukanlah ertinya blog ini, bak kata seorang penulis, telah dilitupi salji. Aku, di tengah-tengah kesibukan hingga nihil segala kesempatan untuk berbuat seperti kebiasaan, ada menulis dua catatan. Malangnya, setiap kali hendak diposkan, seolah-olah aplikasi blog telah di'block'. Maka berlalulah dua bulan tanpa sebarang coretan. Terfikir juga aku, andainya aku benar-benar pergi tanpa sebarang coretan, tentulah takkan ada langsung sebarang penjelasan. Lambat-laun, hari itu akan datang juga.

* * * * *

Aku tidak pernah tahu maksud namanya. Sehinggalah beberapa bulan yang lalu, ketika aku cuba-cuba mengisi masa lapang waktu cuti mingguan di Universiti Malaya, Ustaz Zul dari Muassasah Al-Bai’an menjelaskan bahawa nama yang dieja dengan huruf 'sod' bukan 'sin' itu bererti 'Pemusnah'.

Ketika dunia dijarah dengan hegemoni Pax-Americana, pemimpin dunia Arab dan Islam yang memegang tampuk kekuasaan hampir kesemuanya bungkam seribu bahasa. Sikap sedemikian sememangnya sudah sinonim dengan mereka, yang hanya berani berkeras dan berbuat tahana kepada sesama bangsa dan agama. Itu kesan utama korupsi yang berleluasa, contoh yang kita boleh temui di mana-mana. Waktu itu, dialah antara pemimpin Islam, yang walaupun takwanya diragukan, sementelahan ideologi parti Baath yang dipimpinnya pun bukanlah berpaksikan Islam, secara terang-terangan berani berkata tidak kepada keangkuhan Rumah Putih.

Dia juga sekurang-kurangnya ada memberi sokongan material berbentuk imbuhan kewangan selain sokongan moral kepada pejuang Palestin. Maklumat ini dicatatkan menerusi entri yang lepas bertajuk "Mencari Nasrallah Di Chowrasta". Niatnya tentulah sukar ditebak kerana seperti ahli politik yang lain, sudah tentu ada unsur mencari political mileage. Sungguhpun demikian, berbanding boneka Oval Office yang sudahlah takut memberi sumbangan kepada perjuangan Palestin bahkan menghalang pula usaha rakyat sendiri untuk memberi bantuan, maka tindakannya berdasarkan logik sudah tentulah jauh lebih terpuji.

Aku boleh faham punca golongan Syi’ah dan masyarakat Kurdis sangat-sangat membencinya, sehinggakan sesudah mayatnya terbujur kaku pun api kemarahan tidak juga padam-padam. Kalau kita berada di tempat mereka pun kita akan berasa begitu kerana dialah yang mendalangi setiap seksaan dan pembunuhan kejam golongan Syi’ah dan masyarakat Kurdis. Sayugia juga dicatatkan bahawa dia juga bertanggungjawab membunuh ramai ulama. Dia memang wajar menerima hukuman setimpal atas perbuatannya selama ini. Dalam Islam sendiri ada 'qisas', antara lain "bunuh dibalas bunuh". Persoalannya, adakah dalam keghairahan menghukumnya, kaedah dan layanan sewaktu penahanan, perbicaraan dan penjatuhan hukuman dibuat seadil-adilnya.

Aku masih belum lupa bagaimana imejnya yang seolah-olah tidak bermaya dengan jambang tidak terurus dipaparkan ke seluruh dunia sejurus ditemui bersembunyi dalam sebuah lubang. Sejak itulah penghinaan bermula, bercanggah langsung dengan hak-hak asasi manusia yang selalu dilaungkan oleh satu-satunya kuasa besar dunia. Umum selalu berkata Taliban itu pengganas. Tapi anehnya, sebagaimana dinyatakan oleh Yvonne Ridley si wartawan bekas tahanan, Taliban melayan tahanan dengan penuh kemanusiaan walaupun tahanan tersebut berlainan agama. Agak-agaknya sewaktu Slobodan 'Balkan Butcher' Milosevic ditahan dan dibicarakan dahulu, ada atau tidak imej-imej berbentuk penghinaan disebarkan secara meluas oleh CNN.

Elok dicatatkan bahawa hakim yang menjatuhkan hukuman ke atasnya adalah seorang Kurdis. Dalam kes berprofil tinggi sebegini, tidak adakah hakim lain yang neutral dan dilihat sebagai neutral. Apabila tertuduh yang diadili merupakan pembunuh kejam beramai-ramai bangsa sendiri, pastilah hakim tersebut mengadilinya dengan penuh emosi.

Teringat aku pada sejarah Perang Salib. Suatu ketika, Richard I 'The Lion Heart' jatuh sakit. Saat-saat genting sebegitu, sudah tentu satu kelebihan kepada tentera Islam tatkala panglima perang musuh sedang uzur. Namun Salahuddin Al-Ayyubi menunjukkan contoh teladan yang mekar zaman-berzaman. Beliau bukan sahaja menziarahi Richard bahkan mengubatinya sedangkan kalau hendak diracunnya tentulah mudah sekali untuk dijustifikasikan. Sebabnya, Richard mendalangi pembunuhan kejam ribuan umat Islam di tanah Arab yang ditakluk oleh tentera Kristian. Selain itu, barang harus diingat, "all is fair in love and war". Ironinya, sebagaimana si hakim, Salahuddin juga berbangsa Kurdis.

‘Eidul Adha kali ini akan sentiasa dikenang dalam lipatan sejarah umat Islam sampai bila-bila. Hanya umat Islam yang tiada sensitiviti sahaja akan meraikan detik penjatuhan hukuman ke atasnya dengan berpesta ria. Mereka, dek ammarah teramat sangat, terlupa umat Islam seluruhnya sebenarnya dihina. Bersorak-sorailah mereka walhal musuh cuba menyampaikan mesej bahawa pada hari umat Islam mengorbankan 'al-An’am' atas nama Allah, mereka mengorbankan seorang manusia beragama Islam atas nama dendam.

Aku pernah mencoretkan, bahawa terdapat ramai bayi di Selatan Thailand dinamakan sempena namanya pada penghujung tahun 2004 dahulu. Apabila ditanya akan sebab-musababnya, jawab seorang pemimpin pemuda, "Saddam mempunyai kebaikan dan keburukan tapi kami memilih untuk mengingati kebaikannya". Sama ada dia syahid atau tidak, Allah terlebih berhak menentukan. Cuma sebagaimana sabda nabi dalam sebuah hadis sahih, mafhumnya, sesiapa yang mati dengan mengucapkan dua kalimah syahadah, maka syurgalah tempatnya.

11 Zulhijjah 1427 Hijriyyah
Kampung Gurun
Sungai Bakap
Seberang Perai Selatan

Thursday, October 19, 2006

Corat-Coret Kad Raya...

Dahulunya, waktu aku bersekolah rendah, kad-kad raya yang aku kirimkan aku perolehi percuma kerana aku dapat daripada ayah aku. Ayah aku pula dipaksa @ terpaksa (mana-mana istilah sesuai digunakan) oleh Petronas membelinya dalam kuantiti tertentu. Kad itu saiz korporat, ruang kosongnya sangat banyak. Tapi masa itu kosa kata aku teramatlah sedikit. Ayat-ayat aku pula tersangatlah klisenya. Setakat bertanya khabar walaupun tidaklah sampai berpantun pecah kaca pecah gelas. Lepas itu minta maaf zahir batin.

Cuma hampir sedekad lalu, aku mula terfikir untuk menulis kad raya dengan nada dan gaya bahasa yang berbeza. Lari jauh-jauh dari ayat-ayat biasa. Namun bukanlah pula ayat-ayat cinta. Ayat-Ayat Cinta itu khas nukilan Habiburrahman El Shirazy.

Sukar juga memikirkan bagaimana menyusun kata menjadi frasa seterusnya menghasilkan ayat. Mengembara Di Belantara Kata, bak tajuk buku Lim Swee Tin, tentulah sukar. Permulaannya seringkali buntu, tambah-tambah tahun-tahun awal mencari style penulisan tersendiri. Tapi sekali idea mencurah-curah bagai air terjun, itu sememangnya satu kepuasan. Kad raya aku masih kad raya biasa. Tiada unsur kartun, tiada unsur romantis. Berlagu format MIDI jauh sekali. Tidak sesuai dengan jiwa aku. Kad-kad raya aku juga hanyalah untuk orang yang jauh di mata dan memang diyakini membalasnya. Kalau tahun itu aku hantar kad raya dan dibalas dengan SMS mahupun kad maya, alamat tahun berikutnya pakai tak adalah aku nak menghantar kad raya buatnya.

Analoginya, kad raya bagi aku samalah seperti iklan hari raya Tenaga Nasional Berhad fasal lokasi kelip-kelip beberapa tahun lalu, "Ada tempat-tempat yang kami biarkan bergelap walaupun kami mampu meneranginya". Demikian jugalah halnya dengan kad raya, tradisi yang tetap aku teruskan walaupun kecanggihan teknologi membawa bersamanya kad-kad maya. Satu seni apakala menerima kad raya sambil tertanya-tanya siapa gerangan pengirimnya berdasarkan tulisan dan lokasi cop pos. Seraya dibuka maka hati pun berbunga-bunga membaca tulisan yang pelbagai gaya bahasanya. Ada yang lucu, ada yang mengimbas kenangan lalu, ada yang kutuk-kutuk sedikit sebanyak. Semua itu kenangan terindah menjelang lebaran. Tanpa kad raya, aku rasa hari-hari yang berlalu sepanjang Ramadhan pudar cerianya.

Setakat ini, termasuk sejak aku berkhidmat di sini, hampir mustahil untuk tidak menerima langsung kad raya. Daripada Yang Berhormat sampailah kepada kontraktor dan consultant. Tapi menerima kad raya daripada mereka tidak memberikan feel yang sama sebagaimana kad raya kiriman kawan-kawan. Apa tidaknya, walaupun kad raya kiriman mereka standard korporat dan mahal harganya, namun sentuhan akrab itu tidak terasa, apatah lagi sekadar ditanda tangan langsung membiarkan ungkapan sedia bercetak pada kad yang berbicara. Memang tak ada feel.

* * * * *

Seperti janji aku, mesej balasan kad raya terpilih yang aku terima tahun ini akan aku muatkan dalam blog aku yang sudah berusia hampir dua tahun ini, sungguhpun tahun ini sangat berbeza dari segi nisbah penerima kad raya. Kalau tahun-tahun sebelumnya lebih banyak kad raya aku kirimkan dan majoritinya untuk perempuan, tapi tahun ini daripada dua belas keping kad raya itu, hanya 1/3 untuk perempuan. Ertinya tahun ini lelaki mendapat majoriti 2/3. Mungkin ini suratan, atau kebetulan.

Balasan Kad Raya Pertama

"Pian, ada orang tumpang hang pi Pasar Ramadhan dak?, Ada, nanti aku tanya Azrul kot2 dia kosong", maka 6 rikie boys meluncur mencari juadah berbuka mengikut selera masing-masing. Malamnya penuh surau blok B, Kolej Mas dengan salah seorang dpd mereka menerajui solat tarawih bersama tazkirah ringkas pd rakaat keempat.

Inilah peristiwa yang berlaku sekitar 5 thn dulu, kini mereka berenam bersama tugas masing2 dlm sektor awam, swasta & pendidikan. Kini semuanya hanya menjadi kenangan dlm rentetan sejarah mereka. Semoga persahabatan mereka terus berkekalan w/pun seketika terputus hubungan.

O.K. Redha, amacam bleh masuk blog tak? Sepuluh jari disusun, ampun dan maaf dipohon, moga rahmat Allah kekal bersama. Ramadhan... moga madrasah ini dihayati.


Komen : Bleh, apa plak tak bleh. Retrospektif no.

Balasan Kad Raya Kedua

"Selemah atma pada bicara pertemuan ini...
Redup sang ubari bartarfakur
Lebur di bawah NUR!"

Pada pentas lisan ini
Kuhujamkan kalimah keagungan dan kepujian
Kulontarkan ia ke dasar fuad yang paling dalam
Mencuci kara-karat diri yang terhijab sekian lama
Menghiris keakuan fana
Aku cuba mengintai dari tirai insani akan hakikat
Rabbaniah dan uluhiyyah
Dengan susah dan payah dan lelah dan lemah
Masihku cuba untuk menyelami lebaran-lebaran
Latifah rabbaniah ini
Moga-moga kutemukan nur yang sirna
Pada pandanganku
Pantaslah aku mendekatiMu.


Komen : Hanya Tuhan yang tahu, bukankah begitu saudari Ain?

Friday, October 13, 2006

Thursday, October 12, 2006

Khalwat Malam Penghabisan...

Sadarulkalam, langit masih kosong tanpa kerdip kartika. Sembari hilal pelan-pelan mengengsot jadi purnama. Bani 'Azazil dibelenggu waja, tinggal hawa merajalela. Sebuah madrasah tertegak buat menyuci jiwa. Kudus sekudus-kudusnya.

Hening madrasah cempera. Tatkala suatu senja tetangga menghadiahi juadah berbuka. Memenuhi angkasa. Katanya, kami ’kan sudah lama kirimi udara, apa salahnya kirimi asap pula. Kata Al-Quran yang berjalan, Jibril selalu mengingatkan keperluan berbuat baik sesama jiran hingga aku sangkakan faraidh juga boleh diberi kepada jiran. Bukankah kalian dengan pesantren bertebaran seharusnya menunjuk contoh teladan?

Hari demi hari, meski asap menyesak pernafasan mengabur pandangan, mukmin tekal bertahan sehingga kedua puluh bilangan. Sebaik salam, dua telapak tangan ditadahkan hinggalah sampai lafaz bi hurin ’ein mutazawwijin, kumat-kamit menyebut ameen, ameen, ameen. Di riadhul jannah, sang perawan ikut menurut, insya-Allah ketemu di peterana ’Illiyyin.

Janji Tuhan kawan, janji Tuhan. Teraniaya dan berpuasa, doa yang dipanjatkan sampai terus tanpa hijab segala. Bermula dengan titis kemudian gerimis jadi lebat mengusir asap penuh noda pulang ke asalnya. Hening madrasah kembali menjelma. Pencarian seribu bulan bermula sampai usai cerapan mengabsah purnama jadi hilal semula.

Malam ke-20 Ramadhan 1427 Hijriyyah

Monday, October 09, 2006

Suatu Pemerhatian (Dan Kenangan) Menjelang Raya...

Ini suatu pemerhatian, dari kaca mata seorang yang memang berkaca mata dan berkaca-kaca juga matanya sekali-sekala akan tingkah laku budak-budak yang beraya ke sana ke mari. Bermacam-macam fe'elnya, tapi tang manners aku tak boleh kompromi. Bab manners kalu, budak-budak bukan alasannya.

Setiap kali raya, akan berduyun-duyunlah budak-budak sama ada sekampung atau entah dari mana hala datang beraya. Motifnya bukannya nak mengeratkan silaturrahim pun, tak lain tak bukan adalah mengumpul duit raya. Aku tau ada kalangan budak-budak tu dari keluarga berpendapatan rendah (walaupun ada jugak anak Lord of The Rings), jadi depa pun ambik kesempatan untuk cari duit lebih untuk cover belanja harian. Pun begitu, kemiskinan dan takdak manners tetap tak kait-mengait. Adakah orang susah dengan kurang beradab ni inter-connected? Payah aku nak terima tu.

Di kalangan budak-budak ni pulak ada yang tertib, ada yang malu-malu kucing (malu mengiau tapi mau) ada pulak yang daring. Walaupun ada tiga kategori (dah macam Juara Lagu pulak dah), wawasan depa tu tetap duit raya punya.

Aku paling cukup tak berkenan dengan spesies hat daring ni. Sampai depan rumah entah sapa-sapa yang depa pun tak kenal tapi pakai terjah saja, maka depa pun akan bagi salam. Sejurus tuan rumah terjengol kat muka pintu, maka ketua ’rombongan lawatan sambil mengepau’ ni akan bersuara, "Kami tak mau makan tak mau minum. Kami nak 'beraya' ja" (baca : DUIT raya). Tu dia aba’ hang, ya’pur salam betui. Kecik-kecik dah ada potensi jadi Ah Long Bukit Beruntung. Sabit depa pakai kepiah dengan baju Melayu ja. Laki ka pompuan ka, serupa saja. Tak padan dengan kecik. Kalu hat pompuan dah siap dengan beg duit depa tu. Bila tuan rumah gempa’ sikit kata kalau tak makan tak buleh raya, baru la depa mau masuk rumah makan-makan sikit.

Bila dah masuk dalam rumah, masing-masing pakat gelisah. Ya la, sebab niat depa nak mengepau duit raya saja. Akhirnya, setelah agak-agak cukup masa 'menyeksa jiwa' budak-budak ni, maka tuan rumah pun akan bagi la duit raya. Masa ni la spesies daring ni tadi, yang ntah mai dari cherok ulu banat mana pun ntah (Cherok Tok Kun kot), akan bukak sampul duit raya tu depan-depan tuan rumah la la tu jugak. "2 ringgit ja", dengan nada mengeluh tak puas hati. Huduhnya perangai depa ni. Tunggu la dah jauh sikit dari rumah yang hampa pi tu kalau tak dan dan nak bukak sampul tu sangat pun. Kalau tuan rumah tu bagi duit pecah (wang syiling) tak ka kecik hati tuan rumah tu. Hampa mana tau status ekonomi dia, hampa tau balun semacam ja. Daoh betui la. Dah la tu kufur nikmat pulak tu. Kalau standard kampung, 2 ringgit tu kira besar la maarok sintok oi. Kat kampung ni biasa orang bagi 5 kupang saja, seringgit tu pun dah kira banyak tu. Hampa ingat geng hampa ja yang nak mai beraya ka? Sighu betui.

Part ni aku rasa perlu ada nasihat sikit daripada mak pak. Masa aku kecik-kecik dulu, family aku selalu ingatkan bab ni. Kata depa, kalau anak-anak buat perangai tak ketahuan hala, orang takkan salahkan anak-anak tu, orang akan salahkan mak pak budak-budak tu. "Ish, ish, ish, anak sappa la tu?". Dulu aku tak berapa suka kalau dibabitkan mak bapak dalam isu-isu kejemuanan anak-anak ni. Tapi la ni aku rasa mak pak memang ada syer jugak dalam isu-isu macam manners ni, sebab patutnya depa pesan kat anak-anak supaya jaga kelakuan tambah-tambah kalau berjalan ke rumah orang.

Teringat aku akan seorang kawan masa darjah Dua Chempaka. Masa tu aku beraya di rumah baru di taman perumahan, walaupun masih di daerah yang sama. Tengah hari tu, member aku ni mai rumah. Dia ni memang kategori extrovert la, rajin bercerita. Aku pulak tukang denga’ ja. Walaupun baru darjah dua, tapi kematangan fikiran dia membuatkan aku tabik spring kat dia macam Lin Dan selalu buat lepas menang tu. Mak aku pun ada sekali masa dia meluahkan perasaan dia tu. "Tadi saya pi beraya kat rumah orang, tapi tuan rumah tu tanya saya, "Ni nak beraya ka nak duit raya? Saya pi rumah depa bukannya nak duit raya, saya memang nak pi beraya sempena hari raya ni". Subhanallah, betul-betul punya berbeza dengan perangai budak-budak lain yang memang semata-mata nak duit raya. Cuma dia menjadi mangsa keadaan, sebab tuan rumah tu ingat dia pun macam majoriti budak lain yang perangai lo’la’ tu.

O, Saiful where art thou?

Saturday, September 30, 2006

Iftar & Qiraah Sab'ah & Gula & Ipin Hijjaz...

Lega aih buleh bukak posa kat kampung. Makanan tak la berlambak bak sampai membazir tapi ada la kepelbagaian sikit. Nak harapkan Putrajaya, hmph, kirim salam maut la. Kedai mamak pun lauk ntah hapa hapa, spesies hat mana tak habis kelmarin lepas tu perangat balik hari ni lepas tu jual balik. Kedai Melayu pulak harap mahai ada la, rasa haram tak sedap pun. Cemuih aku.

Di kampung alias rumah aku, bukak posa memang sempoi. Ada kanji (kat tempat lain depa panggil bubur lambok) dan bihun goreng yang dimasak sendiri. Fishballs dan ayam goreng pulak beli kat pasar malam. Pergh, beza, memang berbeza dengan juadah bukak posa aku kat Putrajaya yang setakat telan separuh hati saja, mana daknya, makanan tak berjenih langsung. Kanji terutamanya, cukup dengan udang, dengan daging walaupun tak bubuh lobak masin. Secukup rasa la kata chef-chef yang demonstrasi masak kat t.v. tu. Kalau nak dibandingkan dengan bubur lambok yang depa dok bagi free tu, harap kuah saja la, isi tu kalau kaih pi kaih mai, baru la jumpa udang ka daging ka yang dah hanco'. Tawa'-hebia' pulak tu. Happa la lagu tu.

Tengah-tengah bukak posa tu, ayah aku cerita pasal ada sorang ustaz ni yang katanya hanya antara beberapa orang saja yang pakar dalam jenis-jenis bacaan tertentu. "O, kira bacaan berlagu la tu". "Dak, kalau bacaan berlagu tu ramai yang buleh, bacaan berlagu tu nama dia tarannum", kata aku. "Hat ustaz tu pakar tu depa panggil qiraah sab'ah atau 7 jenis bacaan Al-Quran oleh 7 imam qiraat seperti Imam Nafi', Imam Ibnu Kathir, Imam Abu Amru, Imam 'Asim, Imam Hamzah dan Imam Al-Kisa'i. Setiap Imam Qiraat pula mempunyai 2 orang perawi yang meriwayatkan bacaan daripada setiap Imam tersebut. Seperti qiraat Imam Nafi' diriwayatkan oleh Qalun dan Wary. Jenis bacaan ketujuh-tujuh imam tu pulak berdasarkan jenis bacaan yang dipelajari daripada tabi'in (ada juga imam qiraat sendiri merupakan tabi'in), yang tabi'in ni pulak berguru dengan sahabat-sahabat nabi yang pakar dalam bacaan Al-Quran. Contohnya, ayat wallaili iza saja dibaca sebagai wallaili iza sajey", aku menjelaskan setakat yang aku tau sebagai orang awam.

Bersambung pulak pasal cerita gula, sebagaimana diceritakan oleh orang yang tau benar pasal proses penghasilan gula di Chuping, Perlis sebab dia terlibat secara langsung. Kata orang tu, yang diceritakan semula oleh ayah aku, apabila cukup setahun, maka ladang tebu tu akan dibakar. Selesai dibakar, maka jentolak-jentolak pun akan menyodok batang-batang tebu tu. Ceritanya di sini, sebagaimana hampa tau, ladang tebu tu macam hutan rimba jugak la, dihuni oleh segala macam menatang termasuk ular. Kawasan semak la katakan. Apabila dibakar, mana-mana menatang hat tak dan lari tu akan rentung sama. Bangkai-bangkai menatang ni la yang akan disodok bersama-sama batang-batang tebu tu untuk diproses menjadi gula. Katanya lagi, air gula yang terhasil pada peringkat pertama cukup hitam dan kotor, macam air acar (bukan acar hat lauk kenduri tu, hat tu sedap, acar ni kira macam perlimbahan la, macam air parit longkang). Walaupun gula yang kita guna la ni gula putih, tapi kandungan dia dah tentu tak suci sebab dah sebati dengan zat-zat bangkai menatang tu.

Patut la hati gelap semacam saja, doa pun macam tertahan-tahan nak dimakbulkan. Ada harapan lagi ka nak dapat makanan sesuci makanan budak-budak tahfiz?

* * * * *

Masuk kali ni dah 3 kali dah Hijjaz jadi hos Zoom In masa malam bulan posa. Kontrak ka hapa? Tapi secara keseluruhannya memang tak menghampakan la. Majoriti lagu-lagu depa tu aku buleh follow. Lagu-lagu yang aku layan sama-sama ialah Habibullah, Ramadhan Bulan Mulia, Seruan Suci dan Sunnah Orang Berjuang. Tu memang lagu-lagu old-skool tu, kalau genre rock tu dah kategori rock kapak dah tu. Hai, teringat zaman-zaman bernasyid masa muda-muda dulu. Bila pulak la nak merasa bernasyid atas stage lagi macam tu. Aku tau ada sesetengah senikata macam lagu Sunnah Orang Berjuang yang dah diubah. Asalnya lebih kepada para pejuang Islam yang "memburu syahid", tapi ditukar kepada "membela tauhid". Entah la apa alasan Hijjaz, mungkin uslub dan manhaj dakwah tersendiri kot.

Ada kelainan sikit yang aku perhatikan kali ni. Selain Munif sebagai tekong utama, si Ipin pun aku tengok dah cuba-cuba nak jadi lead singer tu. Bagus, satu cubaan yang baik untu perancangan masa depan dan masa kecemasan. Mana nak pi tau, tengah-tengah show satni Munif sakit tekak ka apa ka, buleh la si Ipin tu cover. Tapi ya la, Munif tu otai sejak zaman Nada Murni, manakan sama dengan si Ipin yang baru kawin tu. Untuk pengetahuan hampa, Ipin ni salah seorang daripada 7 orang dalam dunia ni yang muka depa seiras dengan aku. Kira kalau family aku teringat kat aku sekali-sekala maka depa akan tengok la sedutan show Hijjaz kat t.v., yang dah tentu ada Ipin sekali. Selamat Pengantin Baru aku ucapkan kepada Ipin @ Ariffin Abd. Rahim dengan ucapan "Raya tahun ni balik mana dulu wei?"

Friday, September 22, 2006

Sekurun Rindu Pada Si Dia...

Waktu diamuk rindu, terucap wirid khusus nan kudus tanpa mengira ketika. Belum mencukupi, lalu ku alunkan pula lagu-lagu melankolia memuji-muji kerupawanannya. Setakat itu aku termampu, ternyata belum memadai menghapus rindu. Serasa-rasa, kiranya tidak bertemu dia, harus aku jadi Jalaluddin Ar-Rumi, sampai nafas terakhir pun masih merindui sahabat darwisnya, Shamsuddin At-Tabrizi.

Hinggalah kedengaran pintu diketuk-ketuk. Lalu hati kembali berbunga tatkala melihatkan dia. Dia muncul semula. Dia yang ku tunggu, ku rindu sekian lama. Dia yang berlalu waktu belum puas kenal mesra. Tanpa perlu menggenyeh-genyeh mata, ku yakini memang dia. Tersenyum semanis madu, aduh, senyuman itu membikin gugur bagai jantung hatiku. Saat masih terpegun begitu, diunjukkan pula tanda mata berupa sehelai selendang maghfirah. Sungguh harum baunya, harum wangian syurga yang terbuka gerbangnya.

Marhaban bina ya Ramadhan. Ramadhan Kareem...

Jumaat, 29 Syaaban 1427 Hijriyyah

Wednesday, September 20, 2006

Awat Hang Mangka' Sangat?...

Kelmarin, aku rancang dengan KPSU senior seofis dengan aku untuk makan tengah hari. Dia kata nak balik ke rumah dahulu, lepas itu baru kami pergi makan. Katanya dia akan tunggu dekat tempat bas berhenti depan Parcel D8. Aku ingatkan pergi dengan kereta aku. Maka aku pun, setelah keluar dari basement B2, membuat pusingan U dan membelok ke kanan lalu berhenti di belakang sebuah bas depan Parcel D8. Semasa aku membelok ke kanan, adalah guard seorang ini mengangkat sebelah tangan tinggi-tinggi, seolah-olah menepis-nepis lemah kenderaan yang hendak masuk ke situ. Gaya guard apa sebegitu? Guard yang profesional setahu aku isyarat tangannya lebih jelas, siap dengan wisel, barulah orang faham maksud isyaratnya itu. Kalau betul-betul hendak ditutup laluan itu, sepatutnya kon-kon merah diletakkan sebagai penghadang laluan masuk. Ini habuk pun tarak, maka aku pun tidaklah menghiraukan akan dia. Apatah lagi sewaktu aku membelok itu pun tiadalah ditahannya akan aku.

Sewaktu kereta berhenti di belakang sebuah bas, tengah-tengah aku menghubungi KPSU senior aku itu menerusi telefon bimbit untuk memastikan lokasi sebenarnya, tiba-tiba cermin kereta aku diketuk kuat-kuat dengan buku jari. Macam nak pecah cermin tingkap kereta aku. Apahal pula ini? Soalan belum pun sempat berjawab apabila pintu kereta aku pula direntap, dan dengan kasar-gedegar menyergah, "Undur encik, bas nak keluar!", terus pintu kereta aku dihempas.

Aku tak suka memandang rendah sesiapa pun kerana latar belakang akademik atau keturunan atau kedaifannya. Tapi kadang-kadang puak-puak ini dah melampau. Kalau kereta aku jenis Perdana, tak kiralah V6 atau biasa, agak-agak berani tak engkau nak ketuk cermin tingkap sampai nak pecah dan buka dan hempas pintu kereta sesuka hati mak bapak engkau, semata-mata engkau nak suruh beredar? Tak boleh cakap elok-elok ke? Aku ingatlah kan, kalau orang tu VIP mesti engkau terhegeh-hegeh senyum sampai ke telinga, terjenguk-jenguk walaupun VIP tu tak peduli pun kat engkau. Oh ya, mungkin etika dan budi bahasa sebagai pengawal keselamatan yang engkau belajar membeza-bezakan VIP dengan manusia lain. Kalau aku, seorang pegawai yang lengkap bertali leher dan kereta berpelekat Kementerian pun engkau buat tahana macam tu, aku ingatlah kan, kalau orang kampung datang jauh-jauh ke Putrajaya ni, dengan pakaian pun lusuh, mesti engkau hambat macam anjing kurap. Siapa sangatlah orang kampung itu kan, orang kampunglah katakan. Kalau VIP tu lainlah, ye tak?

Bayangan durjana lagak seorang guard di KOMTAR tahun 2003 kembali menjelma. Cuma bezanya, kali ini guard ini seorang wanita. Wanita terutamanya, tak kiralah guard atau apa, tanpa budi bahasa, seduit pun tak guna.

Puak-puak ni, aku handuh satni sajjaja!

Untuk Negeri Kita...

Katanya nak ke Padang Kota, tapi Pian bawak aku round dengan skuter dia tu. Helmet helmet Jerman, tapi hat pembonceng tak la full face. Berbau t-shirt aku dengan asap kereta. Kondo, rumah kos mewah berceracak dan berceretek sepanjang jalan, tapi haram orang Melayu nak buleh beli, mahai ya amat. Sedih, sedih. Bila kuasa bukan di tangan kita (ekonomi memang telah la), nilah jadinya. Jadilah kita anak kecil yang bermain dengan api, terbakar hati kita nan sepi, air mata darah pun bercampur keringat, bumi dipijak sebenarnya milik orang.

Pian petang tu dah macam tourist guide aku tengok. Tu High Court, tu Bangunan Persekutuan, sini Gurney Drive, sini Padang Kota Baru, sini Padang Kota Lama, sini Little India, sakan dia bercerita. Aha, Little India. Kiri kanan penjaja berjualan. Kata Pian, kalu bulan posa ni (kebetulan Ramadhan pun dah berlegar-legar di pintu Syaaban) jenuh orang berjual kuih serba mak neka. Menyelit-nyelit di celah-celah orang dan kereta, membelah jalan Little India yang berturap jubin perang sebegitu dengan skuter, macam babak filem Hindustan la pulak. Bau rempah toksah cerita la. Ada la jugak lagu-lagu Hindustan berkumandang, tapi tak satu pun membuai perasaan. Pian pun seperti jua aku, dah lama tak layan lagu Hindustan, sebab takdak satu pun lagu baru yang betul-betul killer song macam dulu. Nak cari lagu seumpama dalam filem Mohabbatein takdak la. Lagu Ankhei Khuli contohnya, yang walaupun Pian kata ntahapahapa sebab koreografi tarian pelajar Kolej Gurukul macam mengarut, tapi tak kisah la sebab pada aku masyuk, tambah-tambah part sajak Raj Aryan masa intro tu yang betul-betul power baik dari segi riak muka mahupun intonasi. Pergh, giler ah ding dong lantas menginspirasikan aku pada puisi, baik mengarang atau mendeklamasi, sampai la ni.

Akhirnya kami tiba di Padang Kota untuk menjamu selera. Padang Kota Baru la, Padang Kota Lama tak sempoi dah. Tu dia aba’ hang, Padang Kota Baru dengan Padang Kota Lama pun ada beza, macam Kuching Selatan dengan Kuching Utara. Kalau Padang Kota Lama ni bangunan pun jenis laih dah, buruk-buruk, kat situ jugak la bangunan Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang, ironi bukan?.

Aku rindu akan Penang. Tapi apakan daya, jodoh tak ada. Kalau (Tuhan tak suka perkataan ini, seolah-olah menyesali takdir) aku dapat balik dulu bukan ka, aku rasa hidup aku lebih bermakna, sebab sense of belongings tu sentiasa ada. Tapi Tuhan lebih tahu apa yang baik untuk hamba-Nya, boleh jadi belum sesuai masa dan ketika. Insya-Allah, lambat-laun cita-cita aku tu akan tercapai juga. Sebab aku nak balik bukan saja-saja, aku nak menyumbang dengan cara lebih bermakna dan lebih dekat kepada agama dan anak bangsa. Aku rasa hanya orang Melayu Pulau Pinang yang akan dapat menjiwai pedih peri negeri sendiri. Aku dah maklumkan hasrat aku tu pada ayah aku. Katanya lebih baik unit hat lagi satu. Tapi tak kira la di unit hat ni ataupun unit hat tu, tapi Bangunan Persekutuan serba baru yang tersergam megah itu akan jadi medannya. Semoga aku boleh melepaskan orang Melayu Pulau Pinang dari belenggu tahana lantas mengumandangkan lagu keramat ini dengan bangga :

Selamat Tuhan kurniakan
Selamat Pulau Pinang
Negeriku yang mulia
Ku taat dan setia
Aman dan bahagia
Majulah jayalah
Negeriku yang ku cinta
Bersatu dan bersama
Untuk negeri kita

Hotel Crown Jewel, Tanjung Bungah
11-14 September 2006

Thursday, August 24, 2006

Redha Tukar...

"Dah bersedia nak bertukar?", kawan Pak Ngah aku nan itu bertanya (namanya memang Nan pun). "Dah, dah sedia dah", aku membalas, dengan pengertian yang berbeza (berhijrah sebetulnya).

Takdir itu ada 2 jenis. Satu dipanggil qadha mubram, takdir yang telah dimuktamadkan oleh Dia Yang Maha Kuasa, lalu langsung tidak boleh diubah. Contohnya ajal maut. Sebarang cubaan untuk tidak mengimani takdir jenis ini, kata ijmak ulama, hanya mengundang sifat kufur.

Satu lagi takdir adalah takdir yang tertulis di Lauhun Mahfudz. Boleh diubah, dengan syarat kena dengan caranya. Mafhum sabda Nabi, "Takdir boleh diubah dengan doa, dan umur boleh dipanjangkan dengan amalan baik".

Sejarah merakamkan bahawa seorang pencuri ketika ditangkap pada zaman Saidina Umar pernah menjustifikasikan perbuatan mencurinya sebagai takdir Allah. Lalu ia dihukum Saidina Umar dengan dipotong tangan dan disebat 30 kali. Kehairanan, ditanya akan dia akan sebab-musabab sebatan itu. Jawab Saidina Umar, "Kerana engkau berdusta atas nama Allah". Ertinya, si pencuri sebenarnya mempunyai pilihan sama ada untuk meneruskan niatnya mencuri atau tidak. Perbuatannya mencuri bukan sesuatu yang mutlak ditakdirkan, seperti qadha mubram.

Suatu kisah lagi, juga berlaku pada zaman Saidina Umar. Suatu ketika, ketika menjauhi sebuah perkampungan yang dilanda wabak taun, Saidina Umar ditanya oleh Abu Ubaidah Al-Jarrah, "Mengapa anda melarikan diri dari takdir?". Jawab Umar, "Aku melarikan diri dari takdir ini untuk pergi kepada takdir yang lain". Jelas di sini bahawa tindakan memasuki perkampungan maut itu, sebagaimana juga usaha mengelakkannya, merupakan pilihan, bukannya sesuatu yang muktamad. Berserah diri untuk menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan, yang difahami sebagai ’takdir’ oleh Abu Ubaidah Al-Jarrah bukan satu-satunya pilihan yang ada. Mengelakkannya merupakan satu pilihan lagi.

Bercerita mengenai takdir, mereka di sini menyangka bahawa merekalah yang sesuka hati menentukan jajaran kerjayaku. Tanpa mereka duga, aku bukannya jenis berserah diri kepada nasib (walau nama aku begitu). Sukacita aku memetik ayat surah Ali ’Imran ayat 54, yang dipopularkan seseorang sekitar tahun 1998 :-

"Wa makaru wa makarallahu wallahu khairul makirin"

(Mereka merancang, Allah juga merancang, sesungguhnya Allah sebaik-baik Perancang).

Catatan :
* Redha Tukar merupakan pemain pertahanan pasukan bola sepak kebangsaan Arab Saudi. Harap maklum.

Thursday, August 17, 2006

Mencari Nasrallah Di Chowrasta...

Orang luar, termasuk seorang kawan seangkatan dan seperkhidmatan dari Kelantan, memandang sinis orang Melayu Pulau Pinang sebagai golongan terpinggir. Betulkah persepsi itu? Bagi menjawab persoalan tersebut, perlu kita melihat beberapa perspektif terlebih dahulu. Pertama, siapa Ketua Menteri Pulau Pinang berbanding Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri lain. Kedua, ADUN dari kaum mana yang membentuk majoriti di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (Nota : Kaum, bukan parti politik). Ketiga, golongan mana menjadi majoriti penduduk Pulau Pinang. Jawab dahulu ketiga-tiga persoalan itu, kemudian gabungkan dengan suatu fakta mengenai kaum yang mendominasi eknonomi mana-mana negeri di Malaysia (kecuali negeri-negeri yang hampir kesemua penduduknya Melayu) dan letakkan situasi orang Melayu negeri lain ke dalam situasi orang Melayu Pulau Pinang, baru kita boleh berbicara dengan adil dan saksama.

Membandingkan orang Melayu Kelantan dengan orang Melayu Pulau Pinang tanpa mengambil kira persoalan-persoalan dan fakta tersebut sangat-sangat tidak adil. Menteri Besar Kelantan itu siapa? Hampir keseluruhan ADUN Kelantan itu dari kaum mana? Hampir semua penduduk Kelantan itu bangsa apa? Signifikankah dominasi ekonomi kaum lain di Kelantan?

Cuba pula kita teliti statistik kadar kemiskinan dan kemiskinan tegar di antara orang Melayu Pulau Pinang dan orang Melayu Kelantan. Ternyata orang Melayu Kelantan paling ramai tergolong miskin dan miskin tegar. "Logiklah, sebab jumlah penduduk Melayu Kelantan berapa ramai pula," mungkin ada kalangan yang berhujah begitu. Betul, memang ada relatifnya di antara jumlah penduduk Melayu Kelantan secara keseluruhan dengan bilangan penduduk Melayu Kelantan yang miskin dan miskin tegar.

Tetapi renung pula sudut pandangan ini, kalaulah dengan Menteri Besar yang merupakan orang Melayu, ADUN (kecuali seorang) semuanya Melayu, hampir keseluruhan penduduk terdiri daripada orang Melayu DAN ekonomi negeri yang dikuasai orang Melayu pun masih terlalu ramai orang Melayu yang melarat, apakah diharapkan orang Melayu Pulau Pinang (yang berKetua Menterikan bukan Melayu, majoriti besar ADUN pun bukan Melayu, majoriti penduduk pun bukan Melayu dan ekonomi negeri pun sememangnyalah dikuasai bukan Melayu) menjadi ummatan wasatan. Selain orang Yahudi, yang walaupun kelompok minoriti tetapi cemerlang dalam mengawal politk dan ekonomi, keajaiban ini tidak dihasilkan oleh kaum lain. Orang Melayu juga tidak terkecuali. Bukanlah ertinya orang Melayu Pulau Pinang ini tak guna seduit pun sebab kalau tak guna seduit pun takkanlah sekarang ini orang Melayu Pulau Pinang yang menjadi Perdana Menteri (walaupun kenyataan ini jika diimbas tahun 1987 lebih mirip soal rezeki). Orang Melayu Pulau Pinang juga ramai yang berkualiti. Cuma kalau perbandingan itu atas dasar kuantiti dalam segala bidang, orang Melayu Pulau Pinang masakan boleh setanding dengan orang Melayu negeri lain terutama orang Melayu Kelantan. Jumlah orang Melayu Pulau Pinang hanya sekitar 600 ribu orang dibandingkan dengan jumlah orang Melayu Kelantan kira-kira 1.4 juta orang. Lebih ramai penduduk, lebih besar juga kebarangkalian tebarannya dan nampak lebih signifikan. Sebab itu tidak menghairankan sekiranya perkhidmatan awam dalam pelbagai kategori perjawatan secara keseluruhannya dimonopoli orang Melayu Kelantan.

Permulaan detik hitam orang Melayu Pulau Pinang dalam era moden (pasca Perjanjian Francis Light - Sultan Kedah 1791) adalah semasa proses transformasi sektor pertanian kepada sektor perindustrian sekitar tahun 1970-an semasa Lim Chong Eu menjadi Ketua Menteri. Waktu itu Gerakan telah menyertai Kerajaan (Nota : Setelah Kapal Layar karam sewaktu pilihan raya 1969, Tun Razak telah berunding dengan Gerakan lalu memuktamadkan kontrak sosial bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang selepas itu mesti ca-ya-nun-alif dari Gerakan.) Bendang-bendang di kawasan pulau, sesuatu yang sukar digambarkan kini, ditukar menjadi tapak-tapak kilang. Suasana sekeliling telah berubah, tiada lagi kampung halaman dengan nyiur melambai. Yang ada hanyalah hiruk-pikuk dan asap berkelun dari kilang. Sungai yang jernih telah bertukar menjadi air acar. Mana ada orang Melayu yang mampu bertahan dalam keadaan begitu. Itulah permulaan penghijrahan orang-orang Melayu ke tempat-tempat lain seperti Seberang Perai dan kawasan selatan Kedah seperti Kulim. Penghijrahan itu sesuatu yang terpaksa kerana orang Melayu Pulau Pinang tiada pilihan lain. Yang cuba bertahan hanya mendapati diri makan hati, ditahana hari demi hari. Orang Melayu Pulau Pinang, seperti juga orang Melayu sejati di negeri lain sering memikirkan tentang persekitaran yang sihat untuk membesarkan anak-anak. Mana mungkin orang Melayu Pulau Pinang boleh rasa selesa dan lega apabila kampung telah dikepung dengan kondominium dan pusat hiburan yang sangat bertentangan dengan cara dan nilai hidup orang Melayu. Sudah tentu orang Melayu Pulau Pinang angkat kaki.

Menambah burukkan lagi keadaan adalah apabila ada manusia, yang sepatutnya menolong orang Melayu tetapi sebaliknya bekerjasama dengan kaum lain menjual tanah orang Melayu. Cubalah tanya orang Melayu di Permatang Pauh apa yang terjadi dengan tanah mereka. Siapa pula Mr. 10% yang kena penampar di KOMTAR. Sifat nifak, yang apabila diberi amanah ia khianat inilah yang menjerumuskan orang Melayu Pulau Pinang ke kancah pelarian.

Melihatkan senario menyedihkan ini, mengingatkan aku kepada buku "Army of Roses" tulisan Barbara Victor. Diterbitkan bulan Oktober 2003, lama sebelum kemenangan besar HAMAS, buku tersebut menceritakan perihal betapa jemuannya Pihak Berkuasa Palestin diterajui Fatah. Dalam pada ditindas oleh Israel pun, masih ada hati menyonglap duit pampasan yang sepatutnya diberi kepada kaum keluarga para syuhada. Wang yang antaranya disumbangkan oleh kerajaan Iraq di bawah pimpinan Saddam Hussain telah ditapis dan ditolkan, ada yang masuk ke akaun bank anak-anak syarikat, ada yang masuk ke poket orang tengah, lalu akhirnya kalau daripada US$100,000.00 hanya 10% yang sampai ke tangan yang berhak pun sudah dikira nasib baik. Doa orang teraniaya memang cepat Tuhan kabulkan. Sebab itu, rundingan demi rundingan dengan Israel dilakukan tetapi nasib Palestin tetap begitu. Fatah akhirnya menanggung kehinaan, sudahlah berkali-kali dihina rejim Zionis, kali ini dihina pula oleh rakyat Palestin sendiri sewaktu pilihan raya lalu.

Nasib orang Melayu Pulau Pinang bukan persoalan politik kepartian. Ia adalah persoalan keikhlasan mengembalikan maruah. Kalau pun ada orang Melayu Pulau Pinang menjadi Ketua Menteri, tapi tujuannya sekadar mencari peluang untuk berbedak-bedak hasil negeri macam reta-merdak mak bapak depa, lebih baik lupakan sahaja. Takkan ada keberkatan, takkan ada keredhaan orang Melayu Pulau Pinang, apatah lagi keredhaan Tuhan.

Friday, August 11, 2006

Sokongan Kuat Dato' SUB...

Dalamnya ilmu Tuhan tiada terduga. Menyangka "TIDAK", tapi maksudnya mungkin "YA". Sebagaimana Musa, alangkah baiknya kalau aku dapat menerka apa suratan di sebaliknya. Cuma seperti jua Musa, tak terjangkau dek akalku. Lalu aku pun melihat sesuatu itu hanyalah seperti itu.

Aku sentiasa mahu percaya pada pemasaan. Masa, hari, mood, semuanya memainkan peranan. Kehendak Tuhan siapa tahu, tapi aku boleh mencuba. Dan pagi Khamis semalam, sesudah merancang dan berusaha sekian lama, maka demikianlah hasilnya.

Pengalaman menjejak kaki ke Irshad sangat-sangat berguna untuk dijadikan iktibar. Jangan sesekali letakkan harapan yang terlalu tinggi. Rasa teruja harus dibendung sama. Jangkakan yang buruk-buruk, kelak andai terjadi benda-benda sentul, maka aku tak akan kecewa. Kalau berlaku suasana yang menyenangkan, maka itu dikira bonus.

Ini hanyalah perancangan Tuhan. Aku setakat punya asa, Dia juga empunya kuasa. Ya Allah, harap-harap ini suatu anugerah, ataupun ujian untuk lebih berhati-hati. Cuma aku pohon janganlah suatu istidraj, khuatir aku merafak sembah tanpa kalimah syahadah. Amin.

Wednesday, August 09, 2006

Dhia, Seorang Redha...

Ana sewajarnya tidak bersenandika di sini, kerana permasalah ini melibatkan isu peribadi yang cukup seni. Tapi terfikir juga ana bahawa tiada salahnya, kerana blog ini ana yang empunya.

Beberapa kali dalam hidup, sampai ketika ana akan dihadapkan dengan pilihan-pilihan yang sukar. Ibarat bertemu buah si malakomo, ditelan mati emak, diluah mati bapa. Sukar, sukar teramat sangat. Tapi pilihan mesti dibuat.

Dalam hidup, ana semakin menyedari bahawa ana tidak boleh terus-terusan terperangkap dalam kenangan. Kenangan perlu ditransformasi menjadi objek nyata, disimpan di dalam laci, dikeluarkan kalau-kalau rindu, kemudian disimpan semula. Kenangan tidak boleh menjadi seumpama rantai besi pengikat kaki banduan, yang sudahlah dijatuhi hukuman penjara lalu terseksa pula.

Atas dasar itu, sekali lagi ana membuat keputusan yang penting ini. Tanpa istikharah yang tak sempat dikerjakan, sekadar menurut gerak hati yang ada kala boleh jadi tersilap namun selalu juga betul. Semoga Tuhan menunjukkan ana jalan yang lurus dengan suluhan dhia-Nya, kerana keputusan ana ini pun sebenarnya demi mengharap mardhatillah jua. Kebencian, kata nista umpat cela manusia bukan soalnya, keredhaan Tuhan lebih utama.

Friday, July 28, 2006

Sekali Berarti, Sudah Itu...


Menempuh dugaan, yang secara relatifnya kecil amat berbanding sengsara saudara-saudara seagama di Lebanon dan Palestin, buat dua hari berturut-turut memang meletihkan. Berjumpa kawan-kawan lama, sama ada yang biasa-biasa sahaja apatah lagi yang akrab menjelmakan sedikit keceriaan di kala penuh tekanan. Betul-betul punya tertekan hinggakan tiada lalu hendak makan.

Nasib baik hanya sekali. Memang benar-benar sekali. Peperiksaan sekali. PAC sekali. Temuduga sekali. Menambah manisnya kerana itulah satu-satunya kerjaya yang aku pohon dua-tiga tahun dahulu lalu berhasil pula. Kadang-kadang umpama kesudahan sebuah cerita dongeng, tapi ini sesungguhnya kenyataan. Sebagaimana seorang abid masuk syurga bukan kerana amal ibadahnya, begitulah juga dengan lulusnya aku kali ini bukan kerana banyak dan rajinnya mengulang kaji, melainkan dengan rahmat-Nya jua. Meminjam lagi kata-kata Chairil Anwar buat kesekian kali, "Sekali berarti, sudah itu MATI".

Saturday, July 22, 2006

Kita Menghadap Kiblat Yang Sama ...

Waktu ini, aku masih mengumpul segenap kekuatan dan ketenangan yang sebelumnya terserpih ke mana-mana. Justeru, tidak hairanlah semenjak dua ini akan kelihatan seorang lelaki berkopiah putih, berbaju hijau kilau-kemilau dengan kolar dan sebahagian atas poket bermotif bunga-bunga saban Maghrib mengunjungi Surau Presint 11A. Nabi pernah bersabda, "Kenalkan dirimu pada Allah waktu senang, nescaya Allah akan mengenalimu tatkala susah". Semoga Dia yang bersemayam di arasy sana masih mengenaliku saat-saat getir begini.

* * * * *

Semalam, aku mendengar ceramah yang berkobar-kobar daripada Prof. Dr. Mohd. Redzuan Othman, Ketua Jabatan Sejarah, Universiti Malaya. Tajuk ceramah bulanan itu ialah "Palestin : Masihkah Ia Di Hati Kita?". Beliau mengimbau contoh teladan dan jiwa besar yang ditunjukkan oleh umat Islam zaman lampau dengan memberi tempat bernaung kepada Yahudi sewaktu Eropah menganggap Yahudi persis parasit. Dunia memang begitu, orang yang ditolong waktu kesusahan, akhirnya bukan setakat tidak mengucapkan penghargaan, malah membalas dengan kezaliman. Rasa berdosa Eropah semasa Perang Dunia Kedua ditebus dengan umat Islam Palestin sebagai mangsanya.

Beliau juga mempotretkan pekerti luhur yang ada pada jiwa Hezbollah sesudah Israel berundur senyap-senyap dari Selatan Lubnan, suatu malam bulan Mei 2000, awal sebulan dari telah diumumkan Ehud Barak. Penganalisis menjangkakan bahawa South Lebanese Army (SLA) iaitu golongan Kristian yang menjadi proksi Israel di Selatan Lubnan sejak penjarahan tahun 1982 bakal dibunuh beramai-ramai oleh Hezbollah. Tahu apa terjadi kepada SLA? Sebaliknya mereka diampunkan kesemuanya oleh Hezbollah. Iya, Hezbollah (yang segelintir pemimpin Arab yang dibelenggu wahan, takutkan Amerika lebih dari takutkan Tuhan) yang dianggap tidak lebih sekadar proksi Iran. Segelintir ulama sunnah juga sedemikian, hinggakan berdoa untuk kesejahteraan Hezbollah pun difatwakan jangan. Wahai, penyakit apa lagi yang membelenggu umat Islam ini? Masihkah lagi sebegitu benak hati dalam darurat begini? Sunnah dan Syiah bukan setakat sama-sama menatap rembulan, kita menghadap kiblat yang sama bahkan.

* * * * *

Saudara-saudaraku Hezbollah dan Hamas,

Meski negara-negara Islam yang kaya-raya kecut amat untuk membekalkan senjata, janganlah saudara-saudara gundah gulana. Kita masih ada Allah Maha Kuasa. Kepada-Nya dipanjatkan doa dan itulah seampuh-ampuh senjata.

Mafhum sebuah lagi sabda Nabi, "Apabila Allah mengasihi sesuatu golongan, maka diuji golongan tersebut dengan ujian. Sekiranya mereka redha, maka keredhaan Allah kepada mereka. Sekiranya mereka benci, kebencian Allah kepada mereka".

Yakinlah kita akan sabda Rasul-Nya bahawa kita ini hamba Allah dan Dia takkan menghampakan. Kejayaan menanti kita di penghujung perjuangan, insya-Allah.

Friday, July 14, 2006

Apakah Kita Ini?...


APAKAH KITA INI?

Bebal apakah kita ini
Membena tak bena pesan ulama
Sedangkan mereka segentar-gentar hamba pada-Nya

Bingung apakah kita ini
Mengumpan pengunjung dengan khamar
Sedangkan itulah ibu segala mungkar

Bengap apakah kita ini
Mempersenda penutup aurat
Sedangkan diri faajirah syaqiyyah

Biul apakah kita ini
Menista serban dan janggut dalam hujah
Sedangkan diam Nabi pun tergolong sunnah

Apakah lagi kita ini
Menunjuk kahar kepada Tuhan
Sekali dipamer kemurkaan
Bisakah tertahankan?

Friday, July 07, 2006

Pandangan Mata Selalu Menipu...

Waktu menghampiri katil nombor 2, Wad 5, Hospital SB, hampir saja aku melongo melihatkan situasi itu. Seorang yang di pergentingan usia bersara, lengkap berkopiah dan berbaju Melayu sedang membacakan doa pada sebekas air. Di bangku yang sama bertentangan dengannya seorang kanak-kanak lelaki.

Aku mengeluarkan naskhah Al-Quran dari laci bersebelahan katil lalu membacanya, guna mudah-mudahan menawarkan sakit pesakit. Lelaki yang menjampi air tadi dimohon lagi oleh si ibu untuk berdoa melembutkan hati anaknya yang degil. Saat itu, aku yang selalunya serius jadi tersenyum.

* * * * *

Kedatangannya ke surau tua itu hanya mengundang prasangka segelintir orang kampung pada mulanya. Walaupun semenjak kehadirannya surau itu kembali diimarahkan, namun maklum sahaja, sehelai sepinggang begitu, su'udzdzon amat lekas menghinggap jiwa yang terganggu. Hinggalah suatu kejadian di mana seorang wanita memohon bertawassul dengannya. Puas ia menolak, katanya ia bukanlah orang terpandang, ia ialah jua, ia seadanya. Sungguhpun demikian, dek kerana wanita itu bersungguh-sungguh meminta pertolongan, lalu ia pun kumat-kamit membacakan sesuatu pada air dalam bejana. Seraya diizinkan Tuhan maka anak wanita itu pun sembuh semula. Semenjak peristiwa itu, berduyun-duyunlah orang kampung meminta air penawar daripadanya. Ia seperti biasa, tidaklah pernah mengambil kesempatan dan sering menegaskan bahawa ia makhluk Allah yang dha'ifun jiddan.

Musim tengkujuh pun tiba, seakan-akan kampung itu akan dilanda banjir. Ketika itu juga, ia terlantar nazak di surau tua, dikelilingi penduduk kampung yang terhutang budi. Hujan makin lebat dan apabila curahan air dari langit makin bertambah hebat, ia pun menghembuskan nafas yang penghabisan. Sedih, pilu dan sayu menyelubungi tatkala muncul di muka pintu secara tiba-tiba sepasukan polis. Ia yang disangkakan wali sebenarnya banduan terlepas lari.

* * * * *

Lelaki itu sebenarnya tidak tergamak menghampakan permintaan orang. Seperti juga watak Khalid Salleh dalam Panggung RTM tahun-tahun '80-an dahulu. Demikian diberitahunya kepadaku. Kerana permintaan oranglah alter ego muncul tidak semena-mena, membuatkan tahu-tahu kita jadi entah siapa-siapa. Boleh jadi pendoa, boleh jadi pujangga.