Saturday, August 18, 2007

Rindu Bertemu Deja Vu...

Aku, kalau sudah minat akan sesuatu, memang aku akan ulang dan ulang dan ulang sampailah aku jemu. Contoh terbaru adalah album terkini kumpulan Far-East. Sebenarnya sebelum ini aku tak pernah pun beli album Far-East sebab aku rasa aliran muzik nasyidnya berbeza dengan aku Nampak serupa dengan satu kumpulan nasyid yang aku dah cuba namun tetap tak mampu nak minat walaupun kami sama-sama lulusan Lembah Sintok. Tapi segala-galanya berubah sebaik sahaja aku jatuh cinta. Benar, aku t'lah jatuh cinta. Jatuh cinta dengan lagu Bebarbeeka dendangan mereka. Macam mana aku tak jatuh cinta, lagu itu berlirik Arab tapi irama Hindustan. Pergh, memang sesuai sangatlah dengan kesukaan aku. Sungguhpun demikian, minat aku terhadap lagu tersebut belum cukup mendorong aku untuk membeli kasetnya. Sebab aku perlukan 2-3 lagu yang boleh aku layan

Suatu malam, antara malam-malam terakhir aku di Putrajaya, waktu dinihari, aku mengikuti siaran IKIM.fm. Ada seorang siswi wanita (nama pun siswi), setelah menyampaikan ucapan dalam bentuk tazkirah, meminta sebuah lagu berjudul Menanti Di Barzakh. Diiringi gesekan biola, senikatanya begitu indah menceritakan fasa-fasa kehidupan seorang manusia. Yang paling aku terngiang-ngiang ialah "Perjalanan rohku melengkapi semua kembara, Singgah di rahim bonda sebelum menjejak ke dunia...". Ditambah pula suara munsyid yang sayu dan mendayu-dayu mengingatkan pendengar kepada kematian. Terdetik juga keinsafan hendak bertaubat nasuha tatkala terkenangkan seksanya di alam kubur.

Lalu aku pun mencari-cari menerusi sumber-sumber yang boleh aku percayai firqah nasyid manakah empunya lagu. Cari punya cari punya cari, rupa-rupanya Far East. Kekaguman aku semakin meningkat.

Tidak lama kemudian, aku terbaca review bahawa Far East telah mengeluarkan album terbaru bertajuk Halawatul Iman. Review tersebut menyatakan bahawa konsep album berteraskan tarannum seperti Hijjaz, Nahawand dan lain-lain. Cuma yang menjadi misteri ialah apabila mendapati ada sebuah lagu selain Menanti Di Barzakh yang termuat dalam album. Lagu itu bertajuk Ahlan Bina. Macam pernah ku dengar tajuk itu, tapi adakah pelanduk dua serupa.

Apabila aku berkesempatan membeli album tersebut, kebetulan lagu Ahlan Bina yang menjadi enigma merupakan Track 1. Intronya lain macam sikit, siap ada mukadimah. Tapi sebaik sahaja terdengar kalimat "Ahlan bina bitatil biladi wa marhaban...", memang sah aku bertemu déjà vu. Apa taknya, Ahlan Bina itu memang menjadi siulan aku sewaktu di kampus. Cuma, versi yang aku belajar slow-beat tanpa iringan sebarang alat muzik dan lebih lirih berbanding versi Far East sekarang yang lebih rancak dan sangat berbunga-bunga lagu serta sangat ceria.

Yang tambah menarik tak sangga tu ialah intro lagu dimulakan dengan sebuah hadis, matannya, "Laisa minna man lam yataghanna bil qur'an". Macam mana aku tak kata menarik tak sangga kalau hadis itulah yang sentiasa bermain di bibir semasa aku dalam Ko-K Kesenian Islam dahulu. Ingatan segera terhantar ke zaman itu.

Ada satu peristiwa berkaitan hadis tersebut yang tak dapat aku lupakan. Suatu hari, waktu kelas diadakan pada Sabtu petang lepas Zohor di Masjid UUM, ustaz pun bertanya kepada budak-budak pompuan tentang hadis-hadis yang berkaitan dengan kesenian Islam. Dengan tidak disangka-sangka, tak seorang pun di kalangan budak-budak pompuan tu dapat menjawabnya. Hairan juga, biasanya budak-budak pompuan ni bab-bab ingat-mengingat ni depa yang paling manthop. Alah, sedangkan subjek universiti yang lagi susah pun depa boleh ingat, apa sangatlah modul nipis tu.

Memandangkan sorang budak pompuan pun tak bagi jawapan, maka apa lagi, tahan telingalah jawabnya. Ustaz veteran itu namanya M. Shariff. Biasanya lucu kerana gelagatnya kadang-kadang macam gila-gila bahasa, tambah-tambah sewaktu menjepitkan suara, konon-kononnya nak sampai ke tahap jawabul jawab macam ustaz seorang lagi yang kerjanya di Jabatan Penjara Alor Setar. Tapi hari itu, dia jadi cengil. Siapa pun tak berani bersuara. Selepas itu dia tanya aku.

Aku, asalnya tak nak menyampuk atau memberi sebarang jawapan, nanti menyusahkan hidup budak-budak pompuan petang tu. Tapi dah ustaz tanya, dan memang aku hafal pun hadis-hadis berserta maknanya dalam modul tu. Kalau tak jawab alamat aku pulalah yang kena smash. Dah alang-alang tau jawapan tu, hmph, cangak lagi. Selain hadis tadi yang bermaksud, "Bukan daripada golongan kami orang yang tidak melagukan bacaan Al-Quran", aku juga sebut satu lagi hadis, matannya, "Zayyinul qur'ana bi aswatikum" (Hiasilah bacaan Al-Quran dengan suara kamu). Seperti yang aku jangkakan, masak budak-budak pompuan tu dibasuh oleh leteran ustaz yang menjadikan jawapan aku tu sebagai modal. Cuma aku tak ada la pula kembang hidung macam kartun kartunis Bawang tu.

Di atas puncak Bukit Residen, Kuala Lipis malam Jumaat beberapa hari lalu, aku menyaksikan lagi Far East mendendangkan lagu Ahlan Bina sewaktu majlis pembukaan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-49. Dan roda kenangan pun berputaran buat ke sekian kalinya.

Nota : Kata Allahyarhamha moyang aku, yang sewaktu diperiksa dompet tinggalannya termuat gambar tiga lelaki; aku, Pak Ngah dan Toksu, setiap kali majlis tilawah bertandang, tandanya Ramadhan bakal menjelang.

Percaya Hanya Seadanya II...

Lawler Kang, seorang yang hampir hilang nyawanya akibat derita sakit dalam perut yang akut menulis sebuah buku. Dalam buku itu beliau memetik istilah ciptaan Jim Collins menerusi buku bertajuk Good to Great. Istilah tersebut ialah Stockdale Paradox. Begini kisahnya :

"Sewaktu Perang Vietnam, ada seorang pegawai tentera Amerika Syarikat berpangkat paling tinggi dipenjarakan di Hotel Hanoi selama 8 tahun. Selama 8 tahun jugalah beliau diseksa sebanyak 20 kali. Namun demikian, beliau tidak sesekali mengaku kalah. Prinsip beliau, walau seteruk mana pun keadaan, bagaimana tipis pun peluangnya, beliau percaya bahawa beliau akan bebas juga.

Paradoks timbul apabila beliau ditanya tentang rakan-rakannya yang mengaku kalah. Kata beliau, mereka adalah golongan yang optimis. Golongan optimis ini merupakan mereka yang menetapkan dalam minda bahawa kalau tidak Hari Easter depan, maka Hari Krismas depan pasti mereka akan dibebaskan. Berlalulah sudah Easter dan Krismas yang dinanti, menyebabkan mereka sudah tidak dapat bertahan lagi.".

* * * * *

Buku berjudul Passion at Work akan terus berada di atas meja. Bila-bila terasa mega mandom aku akan memandang tajuknya lama-lama, lantas teringatkan tekad Vice Admiral James Stockdale dan paradoksnya.

The one fine day will come, when I blissfully bid those jabronis goodbye and GOODRIDDANCE!

Percaya Hanya Seadanya...

Sewaktu di bangku menara gading, ada prinsip-prinsip yang wajib dihafal tanpa banyak soal. Oh tidak, bukan Prinsip Akaun. Dalam konteks ini, prinsip yang dimaksudkan ialah prinsip kitaran pasaran.

Menurut pensyarah-pensyarah Sekolah Pengurusan (ya, sesudah bertahun-tahun menimba ilmu di sekolah rendah dan sekolah menengah, aku masih lagi ke sekolah), dalam pasaran ada 4 prinsip. Prinsip awal ialah penembusan pasaran dan prinsip akhir ialah keluar dari pasaran setelah pasaran menjadi tepu.

Pada masa itu, aku dan sejumlah stenographers lagi cenderung untuk percaya bahawa sebagaimana prinsip Rukun Negara, prinsip kitaran pasaran juga perlu diterima bulat-bulat. Dalam hal ini aku menyalahkan W. Chan Kim dan Renee Mauborgne kerana lambat menghasilkan buku Blue Ocean Strategy. Cuma mereka bukanlah seperti To' Ki, sampai sudah mereka tidak mengaku salah.

Sebenarnya, walau setepu mana sekalipun sesuatu pasaran, bukanlah satu kemestian untuk angkat kaki. Pasaran sedia ada (red ocean) menjadi tepu kerana syarikat bersaing untuk merebut segmen pasaran yang sama dengan menggunakan pendekatan sedia ada. Di sinilah munculnya blue ocean strategy iaitu merebut segmen pasaran yang berlainan menggunakan pendekatan unik. Prinsip teras dalam blue ocean strategy ialah fokus, pembezaan dengan produk pesaing (divergence) dan slogan yang memikat (compelling tagline).

Buku tersebut memberi contoh Encik Guy Laliberte yang mengusahakan bisnes sarkis Cirque du Soleil.

Memanglah bisnes sarkis suatu cabang bisnes yang hidup ala Kamdar sahaja. Tapi Cirque du Soleil menawarkan kelainan yang sungguh mengujakan. Bayangkan menonton sarkis tanpa melihat persembahan rimau, singa dan haiwan-haiwan lain seangkatan. Jangan kata hampa, aku pun musykil. Bia' betui mamat ni? Tapi tuan-tuan, mamat ni masih betul lagi. Bukan setakat betul, cerdik pula. Laliberte menyedari bahawa kos penyelenggaraan dan rawatan binatang adalah mahal. Kalau nak ada tapi tak mahu selenggara maka jadilah seperti gelanggang woodball di Maran, dah rupa semak-samun dah. Jadi dengan meniadakan tiger (etc.) show ini, beliau dapat menjimatkan kos.

Walaupun ada aspek dikurangkan, ada aspek yang ditambah. Misalnya, beliau mewujudkan arena persembahan yang grand giler. Hotel Grand Continental pun tak grand macam tu. Arena sebeginilah yang tidak dipunyai oleh pesaing lain dalam industri sarkis antarabangsa.

Di samping itu, beliau juga menyasarkan golongan korporat dan peminat persembahan pentas seperti opera dan teater. Maka ada jalan cerita yang berkesinambungan, bukannya terpisah-pisah macam sarkis konvensional. Oleh itu juga, bentuk sarkis yang beliau tawarkan tak macam sarkis biasa. Nak kata sarkis, macam opera. Nak kata opera, masih ada badut-badut buat lawak. Cuma lawak badut sarkis ini bukanlah lawak slapstick sebaliknya berdaya intelektual. Hasil pendekatan ini, harga tiket tidak perlu ditambang murahkan seperti amalan pesaing, sebaliknya dinaikkan kerana segmen pasarannya terdiri daripada orang berpendapatan lumayan dan mampu bayar.

Moralnya, prinsip ciptaan manusia tidak tergolong dalam perkara ghaibat seperti Rukun Iman dan Rukun Islam yang muktamad diimani tanpa dakwa-dakwi.

Friday, August 03, 2007

Luka Separuh Usia...

Kami masih belum lupa waktu hujan turun begitu lebat di utara. Orang tua-tua di kalangan kami berkata, hujan itu mencuci dan menghanyutkan noda yang bertapuk sekian lama. Apabila hujan reda, mentari ‘kan bersinar semula sambil pelangi menyerikan suasana.

Benar kata mereka. Sebaik hujan berhenti, kami mula berasakan mesranya cahaya mentari. Demikian, ketika warna-warni pelangi turut menyeri, kami beramai-ramai mengadakan kenduri tanda kesyukuran. Kenduri yang sungguh meriah meskipun kami hidup sangat sederhana, berdindingkan nipah beratapkan rumbia. Hanya itu yang tertinggal buat kami selama bertahun-tahun ini. Tapi takkan mampu menghalang kami menzahirkan rasa kesyukuran tidak terperi.

Kami bersyukur dengan adanya orang yang kami boleh harapkan. Tidaklah kami tahu bahawa orang yang mati-mati kami percaya, rupa-rupanya hidup-hidup memperdaya.

Terlalu banyak peristiwa mencarik adat berlaku. Lepas satu, satu. Kami tersentak dengan sekian banyak khabar celaka. Kemudiannya, petaka paling besar pula menimpa.

Rumah serba daif, satu-satunya harta pusaka yang kami ada, tiba-tiba disodok raksasa besi, lalu akhirnya ranap menyembam bumi. Kami terpinga-pinga kerana langsung tidak diberi notis. Diajak berbincang apatah lagi. Apa yang kami dengar adalah kewujudan rumah pusaka kami hanya mengganggu usaha pembangunan, sedangkan selama ini tiada pernah kami tahu ada sesiapa yang berminat dengan tapak sebegini hulu. Lebih mengejutkan, kami diberitakan orang yang kami percaya itulah sebenar-benar dalang.

Hampir separuh usia. Tapak bekas rumah kami, yang kununnya bakal diisi pembangunan tetap terbiar sepi. Kami sungguh-sungguh terluka. Luka ditikam orang yang kami percaya sebenarnya terlalu bisa. Seperti bisanya luka Jebat ditikam Tuah. Seperti bisanya luka Caesar ditikam Brutus. Luka itu yang terus berdenyut meski hingga separuh lagi usia.

Kini, kami jadi nihil perasaan langsung tidak mahu ambil peduli. Justeru, kalau anda berani, cubalah tanyakan mengapa kami tidak mengibarkan kain berbelang-belang berbulan berbintang. Pertanyaan anda akan dijawab sebermula dengan tikaman ekor mata yang sangat tajam. Wak lu!

Wednesday, July 25, 2007

Harimau Mati Meninggalkan Belang...

Kalau membaca komentar dalam Sunday Mail baru-baru ini, maka terserlah kebobrokan yang ada. Semuanya kerana kegagalan menanggapi kuasa sebagai satu amanah sebaliknya dilihat sebagai peluang. Sama je dengan geng Fatah yang dok ada sekarang.

Contohnya, semasa sesi di Australia, lawan yang patut ditentang ialah Sydney United, pasukan Olimpik dan pilihan New South Wales. Sebaliknya, melainkan Sydney United, 2 pasukan lagi hanyalah tangkap muat termasuklah 1 pasukan bola yang bermain secara part-time. Perlawanan rendah mutu yang diatur itu menghanguskan RM450,000.00, terima kasih kepada hubungan baik ejen berkenaan dengan seorang elit dalam persatuan nan itu.

Di negara sendiri pula lain ceritanya. Sepatutnya menentang Arab Saudi, Oman dan UAE. Tapi melainkan UAE, lawan lain hanyalah pasukan Olimpik Jamaica dan Kemboja. (nota : sebanyak RM50,000.00 disedekahkan kepada Kemboja untuk tujuan tersebut). Ya, sekali lagi terima kasih yang tidak terhingga kepada ejen dan elit berkenaan.

Natijahnya semua orang dah tahu, macam mana sokongan penonton yang masih menaruh harapan dibalas dengan corak permainan yang teruk. Memetik ungkapan dalam filem Leftenan Adnan, "kita mungkin kalah, tapi bukan sebab kita tak melawan". Hakikatnya terpaksa juga diakui, corak permainan yang ditunjukkan dalam 2 perlawanan awal memang menempa kekalahan. Kalaulah bersungguh-sungguh seperti menentang Iran, nescaya tiadalah angka 5 menjadi bahan kejian, cacian, makian, cemuhan, kutukan, amputan dan umpatan.

Mengulang soalan di penghujung filem Mami Jarum, "Adakah mereka akan insaf?". Dengan pengunduran dan pemecatan beberapa orang kununnya mungkin benar, tapi selagi hat dok ada tak bermuhasabah dan berhenti bagi memberi laluan kepada yang ahli mengganti, maka tidak hairanlah kalau ada yang dengan hemoi dan muka tebal entah berapa inci sudah mula melobi jawatan lebih tinggi. Sesungguhnya ada manusia yang nazak tersihir oleh kuasa meski nyata mereka sudah ketandusan idea. Andaikanlah semua ini berlaku di Jepun, alamat sudah berapa puluh kali orang yang sama melakukan harakiri.

Sehingga jelas ternampak kesungguhan dan keikhlasan untuk berubah, bagiku Harimau Malaya telah pun mati, meninggalkan belang pada jersi cap Nike.

Friday, June 15, 2007

Masa Merubah Manusia

Suatu petang di sebuah wisma, aku tiba-tiba tergerak hati nak SMS Pian. "Salam. Si polan si polan penyanyi tu sama batch dengan kita masa Matrix kat UUM dulu ka?". Pian mengiyakan. "La, macam tak percaya pulak, dulu aku nampak dia tembun sikit. Cuma ciri-ciri lembut lembai dia tu masih ada lagi".

* * * * *
Aku memberanikan diri menge-mail seorang penulis rencana yang tulisannya kebelakangan ini sering terpampang di dada akhbar. Begini bunyi e-mail aku nan itu :

Assalamu'alaikum,

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas. Terlebih dahulu sukacita saya mengucapkan tahniah kepada tuan kerana kebelakangan ini tulisan tuan sering terpampang di media massa. Pertama kali melihat nama tuan sebagai penulis sebuah rencana, saya sudah ada tanggapan bahawa kemungkinan penulis tersebut merupakan senior saya, seorang Ketua Pengawas di SMKA Al-Irshad suatu ketika dahulu. Ternyata telahan saya itu terbukti tepat.

Khabarnya tuan sekarang sudah bergelar peguam ya? Kalau tidak menjadi keberatan, barangkali boleh saya dapatkan alamat firma guaman tuan itu. Manalah tahu, suatu masa saya akan perlukan bantuan guaman pula.

Menerusi kesempatan ini juga, mungkin tuan ada sedikit berita tentang perkembangan senior lain seperti Rizal, Hasin, Mahathir Suradi (sekadar menyebut beberapa nama). Sekurang-kurangnya dapatlah saya mengetahui serba sedikit perkembangan mereka.

Akhirulkalam, harapan saya semoga tuan terus menyumbang hasil penulisan di media massa. Wassalam.

Yang benar,
ARBAS
a.k.a Mat Red
SMKA Al-Irshad (1992-1995)”

Menerusi e-mail balasannya, wah, macam cerita kawan-kawan si Basri dalam novel Cinta Hari-Hari Rusuhan pun ada. (Novel Faisal Tehrani itu kalau sekadar dilihat kulitnya memang pembacanya akan disangka menelaah novel cinta melankolia, namun kalau dilihat lukisan tersudut sebelah atas, akan kelihatan sebuah wajah yang auranya menghimpun ratusan ribu manusia di perkarangan Masjid Negara).

Jungkir balik ke perkembangan terkini senior-senior aku, siapa sangka Rizal @ Jan yang agak brutal kelakar tu dah jadi ustaz dan aktivis sebuah parti siasah rupanya. Seperti watak Basri, teringin juga aku hendak mengikuti ceramahnya meskipun dari kejauhan kerana aku dan Basri sama-sama ada alasan yang membuat kami tidak boleh terperasankan.

Dan juga Mahathir Suradi @ Madet Rada. Kata brother Sofee Razak dalam e-mailnya, Madet Rada dah jadi pegawai insurans. Kiranya betul la masa aku mengGoogle dulu-dulu ada nama dia kat sebuah syarikat adjusters di Ipoh ni. Madet Rada, oh Madet Rada. Hampa nak tau macam mana dia buleh dapat nama tu? Kata senior-senior, gelarannya terletak pada telinga. Apa-apapun, Madet Rada ni memang bagus la. Azan dia tu satu contoh yang unik. Aku memang antara the chosen ones (kununnya) bagi batch aku (tak sampai sepuluh orang pun) untuk kelas tarannum sebelah petang, tapi tak tau la pulak aku tarannum apa dia pakai. Apa-apa pun tersangatlah uniknya. Aku pun satu masa dah terikut-ikut dengan style azan dia yang sengau semacam tu. Madet Rada ni kira mentor aku la. Masa dia masuk UiTM Shah Alam, dia pernah hantar surat dua kali kat aku. Cuma aku masa tu kurang ada motivasi hendak menulis sebab berperang dengan keadaan. (Cuba kalau la ni aku terima surat-surat yang macam tu, pergh, memang best la aku mengarang). Cerita Madet Rada dalam surat dia, dia aktif berdakwah dari bilik ke bilik. Baguih no. Diceritakan juga bahawa kebejatan sosial kat situ agak ketara sama ada dari segi berpakaian mahupun kehidupan peribadi. Aku masa tu cuma boleh membayangkan sahaja, mungkin itulah realiti sebuah menara gading.

* * * * *
Demikianlah secebis kisah masa, yang membawa kita; aku, hang, hampa semua berubah bersama-samanya, takkan mampu kita melawan arusnya, asal jangan hanyut sudah. Meminjam kata-kata Madet Rada dalam sepucuk lembarannya,
Kalau ada kelapangan dan takdir, insya-Allah kita jumpa lagi”.

Friday, May 18, 2007

*Rumah Tinggi Lif Haram Tak Dak Satu...

Hidup di kawasan elit ini suatu pengalaman baru. Kawasan sekeliling rumahnya besar-besar, kereta mewah menjalar (bak kata Syed Syeikh Al-Budin dengan juahnya dalam sebuah episod Pi Mai Pi Mai Tang Tu, "Aku buang bila bercalar..."). Hanya rumahku (dan keretaku juga tentunya) yang serba sederhana sesuai dengan sewanya yang dipotong daripada elaun perumahan dan separuh COLA. Hanyasanya kelebihan rumahku berbanding rumah-rumah lain di sekeliling ialah ketinggian. Tinggi, memang tinggi, Datuk Patinggi pun tak tinggi macam rumah aku. Dengan kadar metabolisme yang cepat yang amat membakar, dan kini ditambah pula dengan waktu Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (aktiviti turun naik puluhan anak tangga) sekurang-kurangnya 2 kali sehari waktu pergi dan pulang kerja (itu pun belum dicampur puluhan anak tangga lagi di wisma sebelum sampai di ofis yang rendahnya lebih 2 tingkat sahaja lagi berbanding rumah aku), nampaknya harapan untuk menambahkan berat badan samalah seperti menentang pasukan ternama dengan alasan menyambut merdeka - kedua-duanya sama merepek sama mengarut!

Pada zahirnya (benar, Zahir Tak Terucap), bolehlah aku menyimpan duit sedikit sebanyak meskipun statistik menunjukkan wang tunai mengalir cukup laju mengalahkan Sungai Mengalir Lesu. "Aset paling cair ialah tunai – terbukti", demikian rangkaian petikan tazkirah guru Prinsip Akaun dan Matematik Tambahan sewaktu aku muda-muda dahulu.

Kendatipun begitu, aku dilanda kebosanan yang keteramatsangatan. "Macam nak terkeluar rangka", sebagaimana diungkapkan oleh kartunis Tembakau dalam satu panel mahakarya duka lara Croft beliau yang diberi nama Kartini ("the wound is still deep", said Khatami to Pope Benedict XVI).

Dalam kelelahan mengenangkan deretan anak tangga yang bakal didaki sebentar lagi, aku tersandar dalam kereta sambil mendengar siaran Klasik Nasional. Entah penyanyi wanita mana aku kurang periksa, tapi lirik lagu Berita Kepada Kawan itu bila-bila masa pun sungguh-sungguh meruntun jiwa. Aku jadi terhimbau kepada sepucuk warkah termuat senikata saduran oleh Man Tongkat sebelum aku berangkat menjual ikan di Dungun. 'Cover-version' yang mengungkap peristiwa semasa membabitkan kadet-kadet seangkatan, bercampur baur antara kelucuan dan kesayuan (sudah tentu aku paling dikenakan). Kertas itu aku simpan lama sampai jadi kusam, pernah tercicir entah di mana, kemudian terjumpa semula. Membaca kali berikutnya membangkitkan perasaan serupa sewaktu menekuninya sesudah Subuh di Kampung Sura buat kali pertama. Tapi tiada benda di dunia yang kekal abadan abada, kertas itu akhirnya aku lenyapkan buat selama-lama.

Ada lebih suku abad lagi dalam perkhidmatan. Hmph, bolehkah aku bertahan selama itu. Kalau turutkan perjalanan kerjaya yang lintang-pukang dek permainan tok dalang, tergerak juga hendak menurut jejak Serunai Faqir sambil mengucapkan 'selamat melingkup' kepada sekalian pelak jembalang. Namun apabila terkenangkan betapa susah aku hendak menjadi 'orang', betapa khusyuknya ayah dan mak aku berdoa tengah malam, betapa air, gula-gula dan minyak atar perisa mawar Haji Harun kuduskan, dan betapa tekunnya tok aku yang kini diserang ahmar berpuasa dan demi nazarnya seekor kambing lalu terkorban (walau aneh dan ironinya aku tidak pula tergerak hati untuk berbuat sedemikian), maka terpaksalah aku bawa bersabar. Entahlah, kalau kesabaran yang berbaki ini luput, mungkin nantinya aku menjadi Sabaruddin Tukang Kasut.

Aduh, tangga!

Jalan Tok Sira
9 Mei 2007 (Rabu)

* Adaptasi dari Rumah Kecil Tiang Seribu

Friday, April 27, 2007

Selembar Warkah Kepada Al-Wathiqu Billah...

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun.

Adapun warkah ini tiada lain untuk menzahirkan rasa takzim atas pertabalan tuanku menaungi Tanah Melayu.

Dalam pada menzahirkan perasaan ini, mahu tidak mahu terpaksa patik mengaku bahawa patik sebenarnya kurang selesa berpatik-patik begini. Seperti kalimah 'duli', kalimah 'patik' juga kalau ditelaah Kamus Dewan bukanlah membawa maksud mulia.

Sungguhpun demikian, ibarat kalungan bunga di Makam Pahlawan, meski alim-ulama bersepakat memfatwakan haram, manakan pernah dihentikan. Yang terlarang memang godaan. Justeru, berpatik-patik patik teruskan.

Ampun Tuanku,

Sebenarnya ada beberapa kelibang-libuan bersarang di fikiran, mengalahkan empat makhluk planet Bumi keaneh-keanehan.

Dalam samar-samar Wawasan 2020, menjelang pula Misi 2057. Pada hemat patik nan hina dina, adalah mustahil seorang manusia dewasa menongkat langit dunia. Justeru, kalau sudah sedemikian jauh cita-cita, ada baiknya dituju Wawasan Akhirat jua. Bukankah itu barang yang sudah pasti dan sudah barang tentu kita semua telah pun berhijrah ke negeri abadi.

Terkesima patik dengan keikhlasan sekalian warga. Betapa tasamuh rakyat jelata, hinggakan doa pun dipohon untuk kejayaan penghadap kiblat berbeza. Bukankah lebih afdhal kenduri doa selamat dibuat bersama.

Ampun Tuanku,

Mutakhir ini patik sedikit terseksa menyiapkan laporan panjang berjela-jela, hinggakan tiada ruang buat patik berbunga-bunga bahasa. Sungguh tidak sesuai dengan kesukaan patik mengarang madah seloka, sedang nada laporan kasar gedegar belaka. Patik dipaksa "menjiwai sepenuh jiwa raga", apa sahaja yang patik dapat melainkan darah tinggi, hipertensi dan insomnia semata.

Dalam resah gelisah begitu, patik seperti terdengar-dengar suara orang putih tertawa mengekek, tertawa mengejek.

Mereka tertawa mengekek melihat kita mengetar jalan. Kata mereka kenapa sekarang. Mereka tertawa mengejek melihat kita menyelar petualang. Kata mereka apa yang kurang.

Sungguh cabul perbuatan mereka. Tidakkah mereka tahu bahawa tanah tumpah darah kita telah 50 tahun merdeheka. Suka hati kitalah mahu perbuat apa yang kita suka.

Sebenarnya Tuanku, mereka dengki dan iri hati. Mereka dengkikan kecapaian kita yang hanya perlukan seminggu menyempurnakan penurapan jalan setelah menyepi bertahun-tahun. Mereka iri hati akan kemampuan kita menggerhanakan sumbangan setelah tercurah bakti suku kurun. Kalaulah mereka tahu bahawa kita jauh sekali berbangga, malah pernah menggelar ahli nuklear sebangsa sebagai pencetus malapetaka, dan hujah kita menjadi sangat terpercaya, tentu mereka jadi lebih ternganga.

Sembah patik sembah derhaka, sembah hamba rakyat negeri tidak beraja.

Daulat Tuanku!

Pangsapuri Putra Harmoni
8 Rabi'ul Awwal 1428 Hijriyyah
Bersamaan 26 April 2007
2.25 pagi (Khamis)

Monday, April 16, 2007

Makhluk-Makhluk Aneh Dari Planet Bumi...

Di bumi ini, ada empat makhluk aneh kesemuanya. Kenapa, enggan percaya? Baiklah.

Makhluk Aneh Pertama
Dulu disumpah-seranah waktu berkuasa. Kini dipuji-puja lantaran kerempangan menyerang penguasa.

Makhluk Aneh Kedua
Dulu hampir-hampir hilang nyawa. Kini cergas bergerak ke sini sana dengan sambaran api semangat zaman muda.

Makhluk Aneh Ketiga
Dulu mengagetkan penjarah iktisad sejurus fajar menjelma. Kini menyanggah lantang wahana keramat bangsa.

Makhluk Aneh Keempat
Dulu penaya seorang manusia baru berkerjaya, yang dengan segala kelurusan jadi terpedaya sementara sang makhluk terbahak-bahak ketawa. Kini jadi teman mesra pula.

Sekarang bagaimana? Di bumi ini memang sebenar-benarnya ada empat makhluk aneh, bukan?

Penghargaan : Terima kasih kepada ADO Port Dickson atas garis panduan menuju ke Allson Klana Resort, Seremban tempoh hari. Kalau sampai takdir Ilahi, aku singgah rumah hang lain kali makan tengah hari.

Thursday, March 15, 2007

semoga ini terakhir kali aku Pergi; dan Tak Kembali...

Seumur hidup. Diulangi, seumur hidup aku menduduki pelbagai jenis peperiksaan dan ujian. Baik ujian bertulis, ujian lisan, atau ujian memandu kereta apatah lagi UPSR, PMR mahupun SPM. Persamaan antara kesemua ujian yang aku pernah duduki tersebut adalah aku hanya perlukan sekali cubaan untuk lulus. Walau sehampas mana pun prestasi aku menduduki ujian-ujian tersebut, belum pernah lagi perkataan 'gagal' menjadi natijahnya.

Tapi tidak buat peperiksaan yang satu ini. Hari ini merupakan cubaan aku buat kali kedua. Persoalannya, susah sangat ke? Sebelum soalan itu dijawab, elok kalau aku mengimbas detik-detik pahit maung aku berkecimpung dalam arena peperiksaan yang satu ini.

Tahun lepas, aku dengan api semangat yang berkobar-kobar bertungkus-lumus menelaah menghadapi peperiksaan ini. Bukan setakat menelaah, bahkan menghafal segala fakta, angka, tarikh dan aneka macam perkara yang paling aku benci dan langsung tidak sesuai dengan pendekatan menjawab peperiksaan aku selama ini. Sewaktu mata pelajaran Sejarah menjadi subjek kegemaran pun aku tidak pernah cuba mengingat tarikh, apatah lagi subjek yang aku menyampah seperti Ekonomi Asas, lagilah aku tidak langsung berusaha untuk mengingat angka-angkanya. Aku hanya mengingat jalan cerita. Selebihnya aku goreng sahaja. Namun berlainan sekali dengan penangan peperiksaan yang satu ini. Aku menggagahkan diri berbuat sesuatu di luar kebiasaan. Seksa juga. Kononnya dapat menghasilkan satu jawapan yang bersepadu dan mantap. Kononnya.

Akhirnya keputusan pun keluar. Kawan-kawan semua heboh. Ada yang seronok sebab dapat cemerlang, ada yang lulus, tak kurang juga lulus bersyarat, ada yang gagal kedua-dua kertas. Tapi aku menahan diri untuk mengetahui keputusan sendiri walaupun sangat-sangat teruja. Apabila kawan-kawan tanya, aku jawab aku belum semak keputusan lagi. Sehinggalah suatu malam Jumaat, sewaktu ofis telah lengang, aku pun bertekad memberanikan diri menyemak keputusan. Azamku pada diri untuk menerima seadanya keputusan tersebut. Namun aku hanya manusia biasa. Manusia biasa mesti ada rasa kecewa. Itulah yang berlaku. Sebaik menatap keputusan, aku jadi tergencat untuk menyambung kerja. Langsung tutup komputer dan balik rumah.

Seminggu dua aku hilang mood. Kemudiannya aku benar-benar bertekad untuk memperbaiki keputusan. Cuma badi aku di tempat kerja ini selalu merosakkan perancangan aku. Sepatutnya aku ambil semula peperiksaan itu bulan 12, tapi aku terpaksa tanggung kerja. Bukan salah kawan aku mengandung. Cuma kalau engkau pernah buat pembangunan, maka engkau akan tahu betapa getirnya bulan 10, 11 dan 12 setiap tahun. Maka tarikh peperiksaan itu aku tunda kepada tarikh lain pada tahun hadapannya. Sebab aku tahu kalau aku ambil pun aku tak akan sempat baca buku dan ulangkaji. Hasilnya, aku agak sendiri aku setakat makan angin ambil periksa, tanpa ada persediaan. Adatnya, sure tak lulus punya.

Tidak mengapa, aku memujuk hati sendiri, tahun depan bulan 3 hang ambil lagi. Masa itu kawan yang bercuti selama 2 bulan telah masuk ofis semula. Mesti preparation tip-top punya. Begitu aku berkira-kira.

Perancangan hanya tinggal perancangan. Itulah yang aku katakan badi tahap mentibang laut di sini. Baru berkira-kira hendak memegang buku pada bulan 1, telah berkesiuran khabar-khabar angin aku bakal dihijrahkan seawal bulan 2. Khabar itu bertiup kencang, meski kencang lagi taufan yang menyapu kaum Tsamud. Bayangkan, peperiksaan awal bulan 3 sedangkan menjelang tempoh tersebut penempatan aku masih terumbang-ambing. Sekurang-kurangnya kalau bersungguh-sungguh sangat hendak menyahkan aku, berilah sedikit ruang untuk ketenangan fikiran. Cerita-cerita persis Spongebob Squarepants ini mengukuhkan lagi tekad aku bahawa ada masanya terlebih baik mengutamakan kemaslahatan diri sendiri kalau ada peluang berbanding kepentingan organisasi. Kerana kita hanya berguna apabila perlu, selepas itu ditendang, disepak terajang ikut suka hati. Punyalah makarimul akhlaq perangai mustakbirin di tempat ini. Seperti sebelumnya, memo itu keluar sewaktu aku berkursus di Perak. Cantik betul perangai korang ye.

Jadinya, bulan 1 dan bulan 2 yang sepatutnya aku optimumkan untuk menebus kehampaan dalam peperiksaan lalu berlalu begitu sahaja dengan urusan menyudahkan kerja-kerja tertunggak dan nota serah tugas serta bersiap-siap mengumpul maklumat bahagian-bahagian tertentu sebelum berpindah ke tempat baru yang tak pernah langsung terbayang dalam fikiranku. Menambahkan icing di atas kek perasa sentul ini adalah sampai saat-saat akhir yang sepatutnya aku kemas meja pun masih ada lagi yang nak suruh aku buat kerja yang bukan lagi kerja aku. Bukannya aku berkira, tapi bak kata orang putih, "Give me a break!". Sudah-sudahlah tu. Bukankah sudah ada orang lain yang lebih berkaki lebar. Kalau tidak takkanlah aku tercampak entah ke mana. Cuma aku tidaklah berhati sekering mereka. Aku buat juga setakat aku terdaya. Namun memori gelap itu takkan mudah padam selama-lamanya.

Berpindah ke tempat baru bukan semudah melayan lagu Phir Bhi Dil Hai Hindustani. Seminggu pertama aku di sana habis dengan mencari rumah sewa sahaja. Dengan kemudahan Internet dan talian telefon direct-line tiada di ofis baru (walhal ofis aku di tengah-tengah bandar ibu negeri yang berangan-angan menjadi Lembah Klang hinggakan harga makanan di kedai mamak pun kena cukai 5%, kalah kedai mamak Putrajaya), masa-masa begitu manalah aku ada mood nak baca buku. Mana lagi dengan nak menyediakan laporan projek banjir dan siasatan tapak yang bahagian-bahagian minta macam tak dan-dan. Tempat baru itu sangatlah luas, melawat projek-projek di satu daerah pun 3-4 hari. Namun, walau seluas mana daerah yang ada dan kesuntukan masa study macam mana sekalipun, aku pergi juga atas rasa tanggung jawab. Kalau tak pergi sekarang, alamatlah dragged lagilah penyediaan laporan aku.

Kesudahannya, setelah seminggu out-station, aku sampai juga di flat hijau Jumaat malam lepas selepas bertolak petangnya dari sana. Seharian Sabtu membeli barang-barang keperluan peperiksaan dan menghening diri di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi (salah satu tempat kesukaan aku sewaktu menetap di Putrajaya). Hari Ahad baru berkesempatan ke cyber café mencetak slip peperiksaan (Nota : Aku ada singgah di cyber café untuk tujuan tersebut sewaktu out-station tapi malangnya belum apa-apa dah blackout) sambil mencari bahan-bahan yang dijangka keluar dalam peperiksaan. Dicampur dengan cuti rehat pada hari Isnin, maka itulah sahaja hari-hari yang aku dapat luangkan untuk persediaan ala Kamdar.

Melangkah ke dewan peperiksaan dengan cara yang berbeza berbanding sebelumnya. Minum pagi sedikit di café dan langsung tidak membaca nota sebelum masuk ke dewan. Maka soalan pun dijawab setakat yang mampu. Hampir-hampir tidak berjaya mencukupkan kelima-lima soalan yang perlu dijawab. Tulisan, tak usah ceritalah, ada yang senang mata memandang, banyak juga mengalahkan tulisan doktor.

Selesai peperiksaan, membelek-belek beberapa pesanan pada Sistem Mesej Singkat (SMS) berupa ucap selamat daripada keluarga dan kawan-kawan. Aku hanya membalas mesej yang serupa kepada semua, "Tiarap la jawabnya".

Demikianlah catatan ini melabuhkan tirainya. Sukar dibayangkan tahap semangat aku kalau perlu mengambil peperiksaan ini buat kali ketiga. A'uzubillahi min dzalik.

Hanya teringat-ingat kata-kata hikmat Faisal Tehrani dalam Tunggu Teduh Dulu, "...kerja Tuhan siapa tahu".

13 Mac 2007 (Selasa)
Pangsapuri Putra Harmoni
Putrajaya

Sunday, February 18, 2007

Madah Terakhir...

Buat ke sekekian kalinya pagi itu, aku bangun lagi dengan semangat di bawah paras beku. Hari itu hari yang istimewa, membaca SMS ucapan selamat daripada adik dan seorang lagi yang entah siapa. Hari yang memang istimewa, tetapi aku masih digugah sengsara. Sungguh-sungguh sengsara. Dalam Tonggak Dua Belas ada disebut tentang keseronokan bekerja. Istilah itulah yang aku tercicir entah di mana, tercari-cari tiada berjumpa.

Berkecindan temanku Tuan Hakim Mahkamah Syar'iyyah, "Hang kata takdak heart and soul, awat yang dok balik malam-malam, hari cuti pun mai kheja lagi?" Membaca yang tersurat sebagaimana tercatat pada kolum out kad perakam waktu, memanglah gambaran komitmen sepenuh jiwa. Walhal sebenarnya tindakan tersebut hanya semata-mata tanggung jawab.

Hari-hari yang sentul selama dua bulan berterusan lagi hari itu. Dengan mengalas perut secara tidak ketahuan hala dek sehari suntuk melayan fe'el bos yang kalut mengejan waktu kerja-kerja urgent lain juga bertimbun-timbun, hari istimewa itu disambut penuh kelam kabut. Masa seketika menghening diri hanyalah di Masjid Putra; baru masuk kali kedua langsung mengimbas detik pertama menunaikan solat Jumaat di situ ketika permulaan kerjaya di Putrajaya.

Aku teringat lagu 'Kian' nyanyian Mawi lalu aku tertanya sendiri, kenapa aku terjebak mengejar dunia, sedangkan ia semata-mata sementara. Ditakdirkan saat ini aku memejam mata, memang papa kedana benar amal bakti yang aku miliki ketika ketenangan sudah terlalu lama berlalu pergi.

Saat itu aku berharap agar Tahun Hijriyyah yang menjelang akan membawa aku berhijrah bersamanya sesudah pengorbanan demi pengorbanan menjelang Hari Raya Korban. Kata Dollah Kok Lanas, seminggu dalam politik terlalu lama. Kata aku, lebih tiga tahun dalam kehidupan seorang penjawat awam di tempat yang sama pun lama juga. Memang ramai orang lain hendak bermastautin di tempat itu sampai bila-bila mendaki tangga demi tangga dalam kerjaya. Cuma aku pastikan aku bukanlah orangnya.

* * * * *

Hidup ini penuh misteri. Adakalanya, kita takkan dapat sesuatu jawapan sampai bila-bila. Almaklumlah, kita hanya termampu merencana, Dia juga Maha Melaksana. Sebagaimana persoalan itu berlegar-legar tanpa jawapan buat beberapa lama, demikianlah juga kali ini.

Tiada apa yang aku kesalkan, ralat atau mengkelan apabila meninggalkan tempat ini. Memang itupun doa aku selalu. Mungkin kena pada waktunya Tuhan mendengar permintaanku. Redha dan syukurlah banyak-banyak. Tinggalkan hat sentul-sentul kat sini. Cuma aku akan rindu akan banyak perkara, yang barangkali takkan langsung boleh ketemu sampai bila-bila :

Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Surau Presint 11

MPH Bookstore, Alamanda

Stesen ERL Putrajaya

Petronas 9D, 9E dan 11

The Baker’s Cottage

* * * * *

Ia bukan lagu Doa Perpisahan yang pernah dinyanyikan oleh Brothers. Lagu itu tidak mampu aku nyanyikan lagi. Mengapa? Kerana lagu itu teramat sayu. Pergh, syahdu beb.

Kata Shahnaz selepas Malam Secerah Pawana, aku bernyanyi macam tidak punya perasaan. Hakikatnya, nampak sahaja macam memandang ke hadapan, tapi sebenarnya aku tidak memandang siapa-siapa pun. Lirik lagu itu memang menyayat hati. Aku tahu, tapi aku ketegar juga hendak menghayati. Dan memang pun teramatlah syahdunya macam lagu Bayati. Sebenarnya Shahnaz tidak tahu, itu merupakan kali kedua aku bernyanyi secara terbuka begitu. Kali pertama semasa tahun 1993. Semasa Tingkatan 2 Al-Farabi, teacher bernama Halimatun Saadiah hendak melanjutkan pelajaran ke peringkat Master di Huddersfield. Jadinya, hari terakhir itu, budak-budak lelaki kelas aku pakat-pakat hendak buat persembahan nasyid. Aku pula depa suruh lead, ataupun istilah masa tu jadi 'tekong'. Sebenarnya ada lagi orang lain macam Mat Fudge, Mat Ghoset, Azmin, tapi entah, depa percayakan aku barangkali. Aku selalunya takkan menawarkan diri, biarlah orang lain. Tapi kalau orang suruh aku jarang menolak. (Bukanlah sebab nama aku Redha, lagipun masa itu nama Redha tidak dikenali di sekolah aku. Aku dikenali dengan nama lain, lain kali aku cerita). Saha pi tukar pakai sampin songket tu (pssst, tu salah satu sebab aku dengan sampin songket tak dapat dipisahkan, penuh dengan nilai estetika dan nostalgia), padahal show (ceh, show tu) sat saja. Bukan aku sorang, ramai-ramai. Dah selesai bersalin baju, hat budak-budak ASPURA ini bersekali dengan budak-budak luar (sekolah yang sama, cuma depa tidak tinggal di asrama) pun tumpang sekaki. Lagu itu memang selalu berkumandang di asrama. Tapi mendengarnya satu hal, menyanyikannya satu cerita lain pula. Budak-budak lelaki semua dah ready di depan, teacher duduk di tempat biasa. Tiada muzik tiada apa, acapella jauh sekali, kalau buat pun tak jadi sebab suara masing-masing memang tak harmoni. Kiranya nasyid style old-school lah. Pandangan aku masa menyanyi tu dihalakan ke tingkap sebelah kiri, merenung jauh kawasan lapang yang menghijau saujana mata memandang. Unggas berkicauan mengalunkan zikir kepada Tuhan. Semilir bertiup sepoi-sepoi bahasa petanda perpisahan bakal mengakhiri sebuah pertemuan. Tingkap itu memang sudah tidak berkaca, tapi mata aku pula yang berkaca (sebab aku masa itu sudah berkaca mata, just kidding, sila baca dengan memasukkan unsur-unsur sastera). Tak sanggup aku nak bertentang mata dengan member tilmizat kat depan, yang merangkumi majoriti 2/3 kat dalam kelas aku tu (itulah dia aku masa itu, mungkin fasal segan kot, kata Pi’ee "Kalau segan pi dok Bagan", kata Nabi "al-Haya’u minal iman", kata aku kedua-duanya sekali, sampailah la ni). Macam mana perasaan aku masa itu, macam itu jugalah Malam Secerah Pawana nan lalu. Nampak macam tiada perasaan, tapi sebenarnya Hanya Tuhan Yang Tahu. Orang bukannya tau pun, sebagaimana depa tak tau kata lagu tu bukan lagu asal Brothers, lagu tu nyanyian asal kumpulan An-Naurah, sebuah kumpulan nasyid perempuan dari Maahad Hamidiah, Kajang. Bagi aku versi asal lebih masyuk. Bukan sebab depa pompuan, tapi sebab syahdu itu lebih. Dua kali cukup la, kali ni dengar lagu lain pulak.

Dengan segala hormatnya dipersilakan mendengar sebuah lagi lagu nasyid old-school dengan meng'click' button play kat radio sebelah kiri tu. Sementara stok masih ada, layan jer!

* * * * *

"Jika terdengar suara azan, bergema sayup menjelang pagi, dalam irama ku kirim pesan, sebagai tanda aku ’dah pergi..."

Friday, January 26, 2007

Ada Sakinah Di Wajahnya...

Langit jadi gelap-gelemat. Sekejap lagi bumi bakal tergelenang. Tapi dia masih berdiri di situ. Tekal mendongak ke udara. Entah apa sudah jadi, barangkali mendung cerminan hati.

Aku jadi hairan. Dia yang ku kenali ceria riang gembira, kini bermuram durja. Durjana apakah yang mengusutkan hidupnya.

Pasti ada sesuatu yang mengganggu sukma. Tapi aku tidak berani bertanya, apatah lagi lawan bicara. Hanya membiar soalan dan dzan bergelintar ulang-alik. Pelik.

Suatu petang, berbulan-bulan kemudian. Waktu terkocoh-kocoh menyelamatkan diri dari kekafiran, ada suara lirih menyempil ruang surau. Serasa-rasa aku teramat kenal akan suara itu lantas tercari-cari. Di suatu penjuru, ternyata. Hari ini aku bertekad, selesai solat, akan ku temui dia. Saat takbir diangkat, suara lirih itu jadi sir. Sesudah salam, baru suara itu dikuatkan semula seperti sediakala.

Aku menunggu dan terus menunggu hinggalah lafaz ‘sodaqallahul ‘adzim’ mendorong aku mendekati.

"Assalamu’alaikum." Dia membalas dengan sebaik-baik jawapan salam seraya kami bertemu pandang. Serentak aku terlongo.

Tuhan, ada sakinah di wajahnya...

Tuesday, January 02, 2007

'Eidul Adha Yang Luka...

Dua bulan yang pasif bukanlah ertinya blog ini, bak kata seorang penulis, telah dilitupi salji. Aku, di tengah-tengah kesibukan hingga nihil segala kesempatan untuk berbuat seperti kebiasaan, ada menulis dua catatan. Malangnya, setiap kali hendak diposkan, seolah-olah aplikasi blog telah di'block'. Maka berlalulah dua bulan tanpa sebarang coretan. Terfikir juga aku, andainya aku benar-benar pergi tanpa sebarang coretan, tentulah takkan ada langsung sebarang penjelasan. Lambat-laun, hari itu akan datang juga.

* * * * *

Aku tidak pernah tahu maksud namanya. Sehinggalah beberapa bulan yang lalu, ketika aku cuba-cuba mengisi masa lapang waktu cuti mingguan di Universiti Malaya, Ustaz Zul dari Muassasah Al-Bai’an menjelaskan bahawa nama yang dieja dengan huruf 'sod' bukan 'sin' itu bererti 'Pemusnah'.

Ketika dunia dijarah dengan hegemoni Pax-Americana, pemimpin dunia Arab dan Islam yang memegang tampuk kekuasaan hampir kesemuanya bungkam seribu bahasa. Sikap sedemikian sememangnya sudah sinonim dengan mereka, yang hanya berani berkeras dan berbuat tahana kepada sesama bangsa dan agama. Itu kesan utama korupsi yang berleluasa, contoh yang kita boleh temui di mana-mana. Waktu itu, dialah antara pemimpin Islam, yang walaupun takwanya diragukan, sementelahan ideologi parti Baath yang dipimpinnya pun bukanlah berpaksikan Islam, secara terang-terangan berani berkata tidak kepada keangkuhan Rumah Putih.

Dia juga sekurang-kurangnya ada memberi sokongan material berbentuk imbuhan kewangan selain sokongan moral kepada pejuang Palestin. Maklumat ini dicatatkan menerusi entri yang lepas bertajuk "Mencari Nasrallah Di Chowrasta". Niatnya tentulah sukar ditebak kerana seperti ahli politik yang lain, sudah tentu ada unsur mencari political mileage. Sungguhpun demikian, berbanding boneka Oval Office yang sudahlah takut memberi sumbangan kepada perjuangan Palestin bahkan menghalang pula usaha rakyat sendiri untuk memberi bantuan, maka tindakannya berdasarkan logik sudah tentulah jauh lebih terpuji.

Aku boleh faham punca golongan Syi’ah dan masyarakat Kurdis sangat-sangat membencinya, sehinggakan sesudah mayatnya terbujur kaku pun api kemarahan tidak juga padam-padam. Kalau kita berada di tempat mereka pun kita akan berasa begitu kerana dialah yang mendalangi setiap seksaan dan pembunuhan kejam golongan Syi’ah dan masyarakat Kurdis. Sayugia juga dicatatkan bahawa dia juga bertanggungjawab membunuh ramai ulama. Dia memang wajar menerima hukuman setimpal atas perbuatannya selama ini. Dalam Islam sendiri ada 'qisas', antara lain "bunuh dibalas bunuh". Persoalannya, adakah dalam keghairahan menghukumnya, kaedah dan layanan sewaktu penahanan, perbicaraan dan penjatuhan hukuman dibuat seadil-adilnya.

Aku masih belum lupa bagaimana imejnya yang seolah-olah tidak bermaya dengan jambang tidak terurus dipaparkan ke seluruh dunia sejurus ditemui bersembunyi dalam sebuah lubang. Sejak itulah penghinaan bermula, bercanggah langsung dengan hak-hak asasi manusia yang selalu dilaungkan oleh satu-satunya kuasa besar dunia. Umum selalu berkata Taliban itu pengganas. Tapi anehnya, sebagaimana dinyatakan oleh Yvonne Ridley si wartawan bekas tahanan, Taliban melayan tahanan dengan penuh kemanusiaan walaupun tahanan tersebut berlainan agama. Agak-agaknya sewaktu Slobodan 'Balkan Butcher' Milosevic ditahan dan dibicarakan dahulu, ada atau tidak imej-imej berbentuk penghinaan disebarkan secara meluas oleh CNN.

Elok dicatatkan bahawa hakim yang menjatuhkan hukuman ke atasnya adalah seorang Kurdis. Dalam kes berprofil tinggi sebegini, tidak adakah hakim lain yang neutral dan dilihat sebagai neutral. Apabila tertuduh yang diadili merupakan pembunuh kejam beramai-ramai bangsa sendiri, pastilah hakim tersebut mengadilinya dengan penuh emosi.

Teringat aku pada sejarah Perang Salib. Suatu ketika, Richard I 'The Lion Heart' jatuh sakit. Saat-saat genting sebegitu, sudah tentu satu kelebihan kepada tentera Islam tatkala panglima perang musuh sedang uzur. Namun Salahuddin Al-Ayyubi menunjukkan contoh teladan yang mekar zaman-berzaman. Beliau bukan sahaja menziarahi Richard bahkan mengubatinya sedangkan kalau hendak diracunnya tentulah mudah sekali untuk dijustifikasikan. Sebabnya, Richard mendalangi pembunuhan kejam ribuan umat Islam di tanah Arab yang ditakluk oleh tentera Kristian. Selain itu, barang harus diingat, "all is fair in love and war". Ironinya, sebagaimana si hakim, Salahuddin juga berbangsa Kurdis.

‘Eidul Adha kali ini akan sentiasa dikenang dalam lipatan sejarah umat Islam sampai bila-bila. Hanya umat Islam yang tiada sensitiviti sahaja akan meraikan detik penjatuhan hukuman ke atasnya dengan berpesta ria. Mereka, dek ammarah teramat sangat, terlupa umat Islam seluruhnya sebenarnya dihina. Bersorak-sorailah mereka walhal musuh cuba menyampaikan mesej bahawa pada hari umat Islam mengorbankan 'al-An’am' atas nama Allah, mereka mengorbankan seorang manusia beragama Islam atas nama dendam.

Aku pernah mencoretkan, bahawa terdapat ramai bayi di Selatan Thailand dinamakan sempena namanya pada penghujung tahun 2004 dahulu. Apabila ditanya akan sebab-musababnya, jawab seorang pemimpin pemuda, "Saddam mempunyai kebaikan dan keburukan tapi kami memilih untuk mengingati kebaikannya". Sama ada dia syahid atau tidak, Allah terlebih berhak menentukan. Cuma sebagaimana sabda nabi dalam sebuah hadis sahih, mafhumnya, sesiapa yang mati dengan mengucapkan dua kalimah syahadah, maka syurgalah tempatnya.

11 Zulhijjah 1427 Hijriyyah
Kampung Gurun
Sungai Bakap
Seberang Perai Selatan

Thursday, October 19, 2006

Corat-Coret Kad Raya...

Dahulunya, waktu aku bersekolah rendah, kad-kad raya yang aku kirimkan aku perolehi percuma kerana aku dapat daripada ayah aku. Ayah aku pula dipaksa @ terpaksa (mana-mana istilah sesuai digunakan) oleh Petronas membelinya dalam kuantiti tertentu. Kad itu saiz korporat, ruang kosongnya sangat banyak. Tapi masa itu kosa kata aku teramatlah sedikit. Ayat-ayat aku pula tersangatlah klisenya. Setakat bertanya khabar walaupun tidaklah sampai berpantun pecah kaca pecah gelas. Lepas itu minta maaf zahir batin.

Cuma hampir sedekad lalu, aku mula terfikir untuk menulis kad raya dengan nada dan gaya bahasa yang berbeza. Lari jauh-jauh dari ayat-ayat biasa. Namun bukanlah pula ayat-ayat cinta. Ayat-Ayat Cinta itu khas nukilan Habiburrahman El Shirazy.

Sukar juga memikirkan bagaimana menyusun kata menjadi frasa seterusnya menghasilkan ayat. Mengembara Di Belantara Kata, bak tajuk buku Lim Swee Tin, tentulah sukar. Permulaannya seringkali buntu, tambah-tambah tahun-tahun awal mencari style penulisan tersendiri. Tapi sekali idea mencurah-curah bagai air terjun, itu sememangnya satu kepuasan. Kad raya aku masih kad raya biasa. Tiada unsur kartun, tiada unsur romantis. Berlagu format MIDI jauh sekali. Tidak sesuai dengan jiwa aku. Kad-kad raya aku juga hanyalah untuk orang yang jauh di mata dan memang diyakini membalasnya. Kalau tahun itu aku hantar kad raya dan dibalas dengan SMS mahupun kad maya, alamat tahun berikutnya pakai tak adalah aku nak menghantar kad raya buatnya.

Analoginya, kad raya bagi aku samalah seperti iklan hari raya Tenaga Nasional Berhad fasal lokasi kelip-kelip beberapa tahun lalu, "Ada tempat-tempat yang kami biarkan bergelap walaupun kami mampu meneranginya". Demikian jugalah halnya dengan kad raya, tradisi yang tetap aku teruskan walaupun kecanggihan teknologi membawa bersamanya kad-kad maya. Satu seni apakala menerima kad raya sambil tertanya-tanya siapa gerangan pengirimnya berdasarkan tulisan dan lokasi cop pos. Seraya dibuka maka hati pun berbunga-bunga membaca tulisan yang pelbagai gaya bahasanya. Ada yang lucu, ada yang mengimbas kenangan lalu, ada yang kutuk-kutuk sedikit sebanyak. Semua itu kenangan terindah menjelang lebaran. Tanpa kad raya, aku rasa hari-hari yang berlalu sepanjang Ramadhan pudar cerianya.

Setakat ini, termasuk sejak aku berkhidmat di sini, hampir mustahil untuk tidak menerima langsung kad raya. Daripada Yang Berhormat sampailah kepada kontraktor dan consultant. Tapi menerima kad raya daripada mereka tidak memberikan feel yang sama sebagaimana kad raya kiriman kawan-kawan. Apa tidaknya, walaupun kad raya kiriman mereka standard korporat dan mahal harganya, namun sentuhan akrab itu tidak terasa, apatah lagi sekadar ditanda tangan langsung membiarkan ungkapan sedia bercetak pada kad yang berbicara. Memang tak ada feel.

* * * * *

Seperti janji aku, mesej balasan kad raya terpilih yang aku terima tahun ini akan aku muatkan dalam blog aku yang sudah berusia hampir dua tahun ini, sungguhpun tahun ini sangat berbeza dari segi nisbah penerima kad raya. Kalau tahun-tahun sebelumnya lebih banyak kad raya aku kirimkan dan majoritinya untuk perempuan, tapi tahun ini daripada dua belas keping kad raya itu, hanya 1/3 untuk perempuan. Ertinya tahun ini lelaki mendapat majoriti 2/3. Mungkin ini suratan, atau kebetulan.

Balasan Kad Raya Pertama

"Pian, ada orang tumpang hang pi Pasar Ramadhan dak?, Ada, nanti aku tanya Azrul kot2 dia kosong", maka 6 rikie boys meluncur mencari juadah berbuka mengikut selera masing-masing. Malamnya penuh surau blok B, Kolej Mas dengan salah seorang dpd mereka menerajui solat tarawih bersama tazkirah ringkas pd rakaat keempat.

Inilah peristiwa yang berlaku sekitar 5 thn dulu, kini mereka berenam bersama tugas masing2 dlm sektor awam, swasta & pendidikan. Kini semuanya hanya menjadi kenangan dlm rentetan sejarah mereka. Semoga persahabatan mereka terus berkekalan w/pun seketika terputus hubungan.

O.K. Redha, amacam bleh masuk blog tak? Sepuluh jari disusun, ampun dan maaf dipohon, moga rahmat Allah kekal bersama. Ramadhan... moga madrasah ini dihayati.


Komen : Bleh, apa plak tak bleh. Retrospektif no.

Balasan Kad Raya Kedua

"Selemah atma pada bicara pertemuan ini...
Redup sang ubari bartarfakur
Lebur di bawah NUR!"

Pada pentas lisan ini
Kuhujamkan kalimah keagungan dan kepujian
Kulontarkan ia ke dasar fuad yang paling dalam
Mencuci kara-karat diri yang terhijab sekian lama
Menghiris keakuan fana
Aku cuba mengintai dari tirai insani akan hakikat
Rabbaniah dan uluhiyyah
Dengan susah dan payah dan lelah dan lemah
Masihku cuba untuk menyelami lebaran-lebaran
Latifah rabbaniah ini
Moga-moga kutemukan nur yang sirna
Pada pandanganku
Pantaslah aku mendekatiMu.


Komen : Hanya Tuhan yang tahu, bukankah begitu saudari Ain?

Friday, October 13, 2006

Thursday, October 12, 2006

Khalwat Malam Penghabisan...

Sadarulkalam, langit masih kosong tanpa kerdip kartika. Sembari hilal pelan-pelan mengengsot jadi purnama. Bani 'Azazil dibelenggu waja, tinggal hawa merajalela. Sebuah madrasah tertegak buat menyuci jiwa. Kudus sekudus-kudusnya.

Hening madrasah cempera. Tatkala suatu senja tetangga menghadiahi juadah berbuka. Memenuhi angkasa. Katanya, kami ’kan sudah lama kirimi udara, apa salahnya kirimi asap pula. Kata Al-Quran yang berjalan, Jibril selalu mengingatkan keperluan berbuat baik sesama jiran hingga aku sangkakan faraidh juga boleh diberi kepada jiran. Bukankah kalian dengan pesantren bertebaran seharusnya menunjuk contoh teladan?

Hari demi hari, meski asap menyesak pernafasan mengabur pandangan, mukmin tekal bertahan sehingga kedua puluh bilangan. Sebaik salam, dua telapak tangan ditadahkan hinggalah sampai lafaz bi hurin ’ein mutazawwijin, kumat-kamit menyebut ameen, ameen, ameen. Di riadhul jannah, sang perawan ikut menurut, insya-Allah ketemu di peterana ’Illiyyin.

Janji Tuhan kawan, janji Tuhan. Teraniaya dan berpuasa, doa yang dipanjatkan sampai terus tanpa hijab segala. Bermula dengan titis kemudian gerimis jadi lebat mengusir asap penuh noda pulang ke asalnya. Hening madrasah kembali menjelma. Pencarian seribu bulan bermula sampai usai cerapan mengabsah purnama jadi hilal semula.

Malam ke-20 Ramadhan 1427 Hijriyyah

Monday, October 09, 2006

Suatu Pemerhatian (Dan Kenangan) Menjelang Raya...

Ini suatu pemerhatian, dari kaca mata seorang yang memang berkaca mata dan berkaca-kaca juga matanya sekali-sekala akan tingkah laku budak-budak yang beraya ke sana ke mari. Bermacam-macam fe'elnya, tapi tang manners aku tak boleh kompromi. Bab manners kalu, budak-budak bukan alasannya.

Setiap kali raya, akan berduyun-duyunlah budak-budak sama ada sekampung atau entah dari mana hala datang beraya. Motifnya bukannya nak mengeratkan silaturrahim pun, tak lain tak bukan adalah mengumpul duit raya. Aku tau ada kalangan budak-budak tu dari keluarga berpendapatan rendah (walaupun ada jugak anak Lord of The Rings), jadi depa pun ambik kesempatan untuk cari duit lebih untuk cover belanja harian. Pun begitu, kemiskinan dan takdak manners tetap tak kait-mengait. Adakah orang susah dengan kurang beradab ni inter-connected? Payah aku nak terima tu.

Di kalangan budak-budak ni pulak ada yang tertib, ada yang malu-malu kucing (malu mengiau tapi mau) ada pulak yang daring. Walaupun ada tiga kategori (dah macam Juara Lagu pulak dah), wawasan depa tu tetap duit raya punya.

Aku paling cukup tak berkenan dengan spesies hat daring ni. Sampai depan rumah entah sapa-sapa yang depa pun tak kenal tapi pakai terjah saja, maka depa pun akan bagi salam. Sejurus tuan rumah terjengol kat muka pintu, maka ketua ’rombongan lawatan sambil mengepau’ ni akan bersuara, "Kami tak mau makan tak mau minum. Kami nak 'beraya' ja" (baca : DUIT raya). Tu dia aba’ hang, ya’pur salam betui. Kecik-kecik dah ada potensi jadi Ah Long Bukit Beruntung. Sabit depa pakai kepiah dengan baju Melayu ja. Laki ka pompuan ka, serupa saja. Tak padan dengan kecik. Kalu hat pompuan dah siap dengan beg duit depa tu. Bila tuan rumah gempa’ sikit kata kalau tak makan tak buleh raya, baru la depa mau masuk rumah makan-makan sikit.

Bila dah masuk dalam rumah, masing-masing pakat gelisah. Ya la, sebab niat depa nak mengepau duit raya saja. Akhirnya, setelah agak-agak cukup masa 'menyeksa jiwa' budak-budak ni, maka tuan rumah pun akan bagi la duit raya. Masa ni la spesies daring ni tadi, yang ntah mai dari cherok ulu banat mana pun ntah (Cherok Tok Kun kot), akan bukak sampul duit raya tu depan-depan tuan rumah la la tu jugak. "2 ringgit ja", dengan nada mengeluh tak puas hati. Huduhnya perangai depa ni. Tunggu la dah jauh sikit dari rumah yang hampa pi tu kalau tak dan dan nak bukak sampul tu sangat pun. Kalau tuan rumah tu bagi duit pecah (wang syiling) tak ka kecik hati tuan rumah tu. Hampa mana tau status ekonomi dia, hampa tau balun semacam ja. Daoh betui la. Dah la tu kufur nikmat pulak tu. Kalau standard kampung, 2 ringgit tu kira besar la maarok sintok oi. Kat kampung ni biasa orang bagi 5 kupang saja, seringgit tu pun dah kira banyak tu. Hampa ingat geng hampa ja yang nak mai beraya ka? Sighu betui.

Part ni aku rasa perlu ada nasihat sikit daripada mak pak. Masa aku kecik-kecik dulu, family aku selalu ingatkan bab ni. Kata depa, kalau anak-anak buat perangai tak ketahuan hala, orang takkan salahkan anak-anak tu, orang akan salahkan mak pak budak-budak tu. "Ish, ish, ish, anak sappa la tu?". Dulu aku tak berapa suka kalau dibabitkan mak bapak dalam isu-isu kejemuanan anak-anak ni. Tapi la ni aku rasa mak pak memang ada syer jugak dalam isu-isu macam manners ni, sebab patutnya depa pesan kat anak-anak supaya jaga kelakuan tambah-tambah kalau berjalan ke rumah orang.

Teringat aku akan seorang kawan masa darjah Dua Chempaka. Masa tu aku beraya di rumah baru di taman perumahan, walaupun masih di daerah yang sama. Tengah hari tu, member aku ni mai rumah. Dia ni memang kategori extrovert la, rajin bercerita. Aku pulak tukang denga’ ja. Walaupun baru darjah dua, tapi kematangan fikiran dia membuatkan aku tabik spring kat dia macam Lin Dan selalu buat lepas menang tu. Mak aku pun ada sekali masa dia meluahkan perasaan dia tu. "Tadi saya pi beraya kat rumah orang, tapi tuan rumah tu tanya saya, "Ni nak beraya ka nak duit raya? Saya pi rumah depa bukannya nak duit raya, saya memang nak pi beraya sempena hari raya ni". Subhanallah, betul-betul punya berbeza dengan perangai budak-budak lain yang memang semata-mata nak duit raya. Cuma dia menjadi mangsa keadaan, sebab tuan rumah tu ingat dia pun macam majoriti budak lain yang perangai lo’la’ tu.

O, Saiful where art thou?

Saturday, September 30, 2006

Iftar & Qiraah Sab'ah & Gula & Ipin Hijjaz...

Lega aih buleh bukak posa kat kampung. Makanan tak la berlambak bak sampai membazir tapi ada la kepelbagaian sikit. Nak harapkan Putrajaya, hmph, kirim salam maut la. Kedai mamak pun lauk ntah hapa hapa, spesies hat mana tak habis kelmarin lepas tu perangat balik hari ni lepas tu jual balik. Kedai Melayu pulak harap mahai ada la, rasa haram tak sedap pun. Cemuih aku.

Di kampung alias rumah aku, bukak posa memang sempoi. Ada kanji (kat tempat lain depa panggil bubur lambok) dan bihun goreng yang dimasak sendiri. Fishballs dan ayam goreng pulak beli kat pasar malam. Pergh, beza, memang berbeza dengan juadah bukak posa aku kat Putrajaya yang setakat telan separuh hati saja, mana daknya, makanan tak berjenih langsung. Kanji terutamanya, cukup dengan udang, dengan daging walaupun tak bubuh lobak masin. Secukup rasa la kata chef-chef yang demonstrasi masak kat t.v. tu. Kalau nak dibandingkan dengan bubur lambok yang depa dok bagi free tu, harap kuah saja la, isi tu kalau kaih pi kaih mai, baru la jumpa udang ka daging ka yang dah hanco'. Tawa'-hebia' pulak tu. Happa la lagu tu.

Tengah-tengah bukak posa tu, ayah aku cerita pasal ada sorang ustaz ni yang katanya hanya antara beberapa orang saja yang pakar dalam jenis-jenis bacaan tertentu. "O, kira bacaan berlagu la tu". "Dak, kalau bacaan berlagu tu ramai yang buleh, bacaan berlagu tu nama dia tarannum", kata aku. "Hat ustaz tu pakar tu depa panggil qiraah sab'ah atau 7 jenis bacaan Al-Quran oleh 7 imam qiraat seperti Imam Nafi', Imam Ibnu Kathir, Imam Abu Amru, Imam 'Asim, Imam Hamzah dan Imam Al-Kisa'i. Setiap Imam Qiraat pula mempunyai 2 orang perawi yang meriwayatkan bacaan daripada setiap Imam tersebut. Seperti qiraat Imam Nafi' diriwayatkan oleh Qalun dan Wary. Jenis bacaan ketujuh-tujuh imam tu pulak berdasarkan jenis bacaan yang dipelajari daripada tabi'in (ada juga imam qiraat sendiri merupakan tabi'in), yang tabi'in ni pulak berguru dengan sahabat-sahabat nabi yang pakar dalam bacaan Al-Quran. Contohnya, ayat wallaili iza saja dibaca sebagai wallaili iza sajey", aku menjelaskan setakat yang aku tau sebagai orang awam.

Bersambung pulak pasal cerita gula, sebagaimana diceritakan oleh orang yang tau benar pasal proses penghasilan gula di Chuping, Perlis sebab dia terlibat secara langsung. Kata orang tu, yang diceritakan semula oleh ayah aku, apabila cukup setahun, maka ladang tebu tu akan dibakar. Selesai dibakar, maka jentolak-jentolak pun akan menyodok batang-batang tebu tu. Ceritanya di sini, sebagaimana hampa tau, ladang tebu tu macam hutan rimba jugak la, dihuni oleh segala macam menatang termasuk ular. Kawasan semak la katakan. Apabila dibakar, mana-mana menatang hat tak dan lari tu akan rentung sama. Bangkai-bangkai menatang ni la yang akan disodok bersama-sama batang-batang tebu tu untuk diproses menjadi gula. Katanya lagi, air gula yang terhasil pada peringkat pertama cukup hitam dan kotor, macam air acar (bukan acar hat lauk kenduri tu, hat tu sedap, acar ni kira macam perlimbahan la, macam air parit longkang). Walaupun gula yang kita guna la ni gula putih, tapi kandungan dia dah tentu tak suci sebab dah sebati dengan zat-zat bangkai menatang tu.

Patut la hati gelap semacam saja, doa pun macam tertahan-tahan nak dimakbulkan. Ada harapan lagi ka nak dapat makanan sesuci makanan budak-budak tahfiz?

* * * * *

Masuk kali ni dah 3 kali dah Hijjaz jadi hos Zoom In masa malam bulan posa. Kontrak ka hapa? Tapi secara keseluruhannya memang tak menghampakan la. Majoriti lagu-lagu depa tu aku buleh follow. Lagu-lagu yang aku layan sama-sama ialah Habibullah, Ramadhan Bulan Mulia, Seruan Suci dan Sunnah Orang Berjuang. Tu memang lagu-lagu old-skool tu, kalau genre rock tu dah kategori rock kapak dah tu. Hai, teringat zaman-zaman bernasyid masa muda-muda dulu. Bila pulak la nak merasa bernasyid atas stage lagi macam tu. Aku tau ada sesetengah senikata macam lagu Sunnah Orang Berjuang yang dah diubah. Asalnya lebih kepada para pejuang Islam yang "memburu syahid", tapi ditukar kepada "membela tauhid". Entah la apa alasan Hijjaz, mungkin uslub dan manhaj dakwah tersendiri kot.

Ada kelainan sikit yang aku perhatikan kali ni. Selain Munif sebagai tekong utama, si Ipin pun aku tengok dah cuba-cuba nak jadi lead singer tu. Bagus, satu cubaan yang baik untu perancangan masa depan dan masa kecemasan. Mana nak pi tau, tengah-tengah show satni Munif sakit tekak ka apa ka, buleh la si Ipin tu cover. Tapi ya la, Munif tu otai sejak zaman Nada Murni, manakan sama dengan si Ipin yang baru kawin tu. Untuk pengetahuan hampa, Ipin ni salah seorang daripada 7 orang dalam dunia ni yang muka depa seiras dengan aku. Kira kalau family aku teringat kat aku sekali-sekala maka depa akan tengok la sedutan show Hijjaz kat t.v., yang dah tentu ada Ipin sekali. Selamat Pengantin Baru aku ucapkan kepada Ipin @ Ariffin Abd. Rahim dengan ucapan "Raya tahun ni balik mana dulu wei?"

Friday, September 22, 2006

Sekurun Rindu Pada Si Dia...

Waktu diamuk rindu, terucap wirid khusus nan kudus tanpa mengira ketika. Belum mencukupi, lalu ku alunkan pula lagu-lagu melankolia memuji-muji kerupawanannya. Setakat itu aku termampu, ternyata belum memadai menghapus rindu. Serasa-rasa, kiranya tidak bertemu dia, harus aku jadi Jalaluddin Ar-Rumi, sampai nafas terakhir pun masih merindui sahabat darwisnya, Shamsuddin At-Tabrizi.

Hinggalah kedengaran pintu diketuk-ketuk. Lalu hati kembali berbunga tatkala melihatkan dia. Dia muncul semula. Dia yang ku tunggu, ku rindu sekian lama. Dia yang berlalu waktu belum puas kenal mesra. Tanpa perlu menggenyeh-genyeh mata, ku yakini memang dia. Tersenyum semanis madu, aduh, senyuman itu membikin gugur bagai jantung hatiku. Saat masih terpegun begitu, diunjukkan pula tanda mata berupa sehelai selendang maghfirah. Sungguh harum baunya, harum wangian syurga yang terbuka gerbangnya.

Marhaban bina ya Ramadhan. Ramadhan Kareem...

Jumaat, 29 Syaaban 1427 Hijriyyah

Wednesday, September 20, 2006

Awat Hang Mangka' Sangat?...

Kelmarin, aku rancang dengan KPSU senior seofis dengan aku untuk makan tengah hari. Dia kata nak balik ke rumah dahulu, lepas itu baru kami pergi makan. Katanya dia akan tunggu dekat tempat bas berhenti depan Parcel D8. Aku ingatkan pergi dengan kereta aku. Maka aku pun, setelah keluar dari basement B2, membuat pusingan U dan membelok ke kanan lalu berhenti di belakang sebuah bas depan Parcel D8. Semasa aku membelok ke kanan, adalah guard seorang ini mengangkat sebelah tangan tinggi-tinggi, seolah-olah menepis-nepis lemah kenderaan yang hendak masuk ke situ. Gaya guard apa sebegitu? Guard yang profesional setahu aku isyarat tangannya lebih jelas, siap dengan wisel, barulah orang faham maksud isyaratnya itu. Kalau betul-betul hendak ditutup laluan itu, sepatutnya kon-kon merah diletakkan sebagai penghadang laluan masuk. Ini habuk pun tarak, maka aku pun tidaklah menghiraukan akan dia. Apatah lagi sewaktu aku membelok itu pun tiadalah ditahannya akan aku.

Sewaktu kereta berhenti di belakang sebuah bas, tengah-tengah aku menghubungi KPSU senior aku itu menerusi telefon bimbit untuk memastikan lokasi sebenarnya, tiba-tiba cermin kereta aku diketuk kuat-kuat dengan buku jari. Macam nak pecah cermin tingkap kereta aku. Apahal pula ini? Soalan belum pun sempat berjawab apabila pintu kereta aku pula direntap, dan dengan kasar-gedegar menyergah, "Undur encik, bas nak keluar!", terus pintu kereta aku dihempas.

Aku tak suka memandang rendah sesiapa pun kerana latar belakang akademik atau keturunan atau kedaifannya. Tapi kadang-kadang puak-puak ini dah melampau. Kalau kereta aku jenis Perdana, tak kiralah V6 atau biasa, agak-agak berani tak engkau nak ketuk cermin tingkap sampai nak pecah dan buka dan hempas pintu kereta sesuka hati mak bapak engkau, semata-mata engkau nak suruh beredar? Tak boleh cakap elok-elok ke? Aku ingatlah kan, kalau orang tu VIP mesti engkau terhegeh-hegeh senyum sampai ke telinga, terjenguk-jenguk walaupun VIP tu tak peduli pun kat engkau. Oh ya, mungkin etika dan budi bahasa sebagai pengawal keselamatan yang engkau belajar membeza-bezakan VIP dengan manusia lain. Kalau aku, seorang pegawai yang lengkap bertali leher dan kereta berpelekat Kementerian pun engkau buat tahana macam tu, aku ingatlah kan, kalau orang kampung datang jauh-jauh ke Putrajaya ni, dengan pakaian pun lusuh, mesti engkau hambat macam anjing kurap. Siapa sangatlah orang kampung itu kan, orang kampunglah katakan. Kalau VIP tu lainlah, ye tak?

Bayangan durjana lagak seorang guard di KOMTAR tahun 2003 kembali menjelma. Cuma bezanya, kali ini guard ini seorang wanita. Wanita terutamanya, tak kiralah guard atau apa, tanpa budi bahasa, seduit pun tak guna.

Puak-puak ni, aku handuh satni sajjaja!