Tuesday, January 22, 2008

Rupanya Tuhan Masih Kasihan...

Hari demi hari, batu jemala aku makin dihempuk dengan beban demi beban. Berlalulah sudah zaman makan angin macam hamba Allah sebelumnya. Kawan itu punyalah rileks. Mesyuarat dengan negeri pun tak kena hadir, laporan kepada Federal pun satu bentuk format sahaja, sasaran projek setiap bulan pun ikut suka takat mana yang dan nak pi. Tiap-tiap minggu balik rumah di Dengkil. Heaven giler.

Makanya, disebabkan aku berjeromoh dengan kesentulan yang semakin bertapuk-tapuk kini, maka serasa-rasa tiarap jugak PTK aku kali ni. Kalau ikut adat la. Kalau Tuhan kesian kat aku bolehlah lulus.

* * * * *


Semalam, dengan serba kelam-kabut menyiapkan report dan segala macam, serta menyiapkan maklumat penting untuk persiapan meeting esoknya, terpaksalah aku balik pukul 10 malam lebih. Asalnya aku prepare untuk meeting petang saja, tau-tau ntah bila masa ada jugak meeting pagi. Tu yang jenuh tu. Giler penat aba’ hang, kena pulak bukak posa hanya dengan milo kotak dan kuih kacang dan juga air mineral. Mesyuarat esok ketua negeri chair, jiran kampung sebelah dengan ketua federal, pasang dah aku. Minit mesyuarat apa pun tak sampai kat aku, jadinya preparelah aku berdasarkan jangkaan apa yang perlu untuk meeting tu. Pakai agak-agak ni bahaya, sebab kalau keluar isu berkaitan agensi masak aku. Depa nu bukan nak kira aku cover tak agensi. Yang depa tau aku orang Federal.

Oleh yang demikian, bermula Asar petang itu membawa ke Subuh esok, aku panjatkan doa supaya Tuhan permudahkan aku, jangan fumble dan jadi laughing stock keterlaluan. Aku tau aku banyak dosa, kalau Tuhan tak perkenan pun aku buleh buat apa. Tapi itulah ikhtiar terakhir aku. Sebab Tuhan Maha Penyayang. Dalam buku yang dikarang oleh seorang ulama, dinyatakan bahawa Suffian Ath-Thauri pernah menyebut, "Sekiranya pada hari Akhirat kelak seorang manusia datang menghadap Tuhannya dengan membawa 70 peti penuh berisi dosa, itu adalah lebih mudah daripada 1 dosa sesama manusia.". Diceritakan juga dalam koleksi kuliah tok guru tersebut, bahawa pada hari Akhirat kelak juga, orang yang dosanya lebih banyak dari pahala, yang apabila didatangi oleh manusia lain memohon bantuan pahala untuk membolehkan si pemohon masuk syurga, dan orang yang banyak dosa tadi memberikan pahalanya kerana pahalanya sudah tidak signifikan lantaran dosa yang banyak, maka Tuhan dengan rahmat-Nya akhirnya memasukkan juga ia ke dalam syurga. Subhanallah.

Meeting bermula pukul 9.30 pagi. Aku dok row backbenchers paling hujung. Takdak pun tanda nama untuk jabatan aku. Jabatan wujud tak wujud la katakan. Ketua negeri dah tanya siap-siap sapa yang wakil ketua jabatan. Ada la 2-3 kerat angkat tangan. Aku pun terasa jugak nak angkat, tapi sebab status jabatan aku ni satu macam punya pelik, nak kata ketua jabatan bukan, nak kata bukan ketua jabatan pun bukan, lalu aku pun tak angkatlah tangan.

Seperti biasa la, dapat saja fail mesyuarat aku pun kelebek isu apa yang berbangkit, ni satgi ketua negeri tanya mati keras pulak aku. Aku dah tak peduli walaupun agenda meeting bincang benda lain. Kemudian kemudian sikit aku follow agenda depa tu. Seperti dijangka, isu agensi. Jahanam. Yang anak buah pulak pi kacau bubur sora. Aku SMS tak jawab-jawab. Hangat hati jugak aku. Ada harapan aku tenyeh prestasi tahun ni. Jaga hang. Kalau aku nak buat la. Lalu aku pun SMS la kat sorang staf agensi tu. Pun lama baru jawab. Ketua negeri tu pulak awal-awal dah tunjuk cengil dah. Alasan-alasan semua tak mau dengar. Amboi aih.

Takdir Tuhan, pagi tu aku terselamat daripada pembantaian. Cuma waktu round table saja hat ketua negeri ni pulak nak beramah mesra tanya aku dari mana. Dah aku jawab buat-buat hairan pulak bila masa ada wakil Federal kat negeri. Ketua kewangan yang suatu masa jadi ketua pemantauan dok sebelah dia, dulu aku pernah buat kunjungan hormat, so dia la explain sok-sek-sok-sek kat ketua negeri ni. Kena promo diri tu sikit bagi orang perasan, macam tu la lebih kurang tazkirah singkat dia. Lepas tu ketawa ramai-ramai dengan ketua-ketua jabatan lain. Tera tu takdak la aku rasa macam laughable sangat. Kira normal lagi la tu. Aku pun ambik kesempatan memaklumkan yang aku tak cover projek di bawah agensi. Sebab bilangan pegawai sorang, staf 2 orang. Terhad la maksudnya, mana dan nak cover semua. Strategi beb, untuk mesyuarat-mesyuarat seterusnya bila berbangkit lagi benda-benda yang menyusahkan hidup aku tu. Walaupun dia kata mesyuarat akan datang nak dengar laporan aku pasal lawatan projek yang aku buat, bagi aku hat tu tak la payah sangat. Nak kena perkemas sikit saja la report yang dok ada. Tu pun boleh jadi dia melawak, dan tak masuk minit. Sebab seingat aku tadi dah ada jabatan lain nak present. So far, waktu pagi ni alhamdulillah, syukur, aku sebut pelan-pelan, dengan harapan waktu petang pun mudah jugak.

Break tengah hari, baru aku terperasan mata aku merah. Rehat tak cukup la tu, balik lambat semalam punya pasai, tidur tak lena pulak tu, tak tau apa nak jadi dalam mesyuarat.

Waktu petang, mesyuarat lebih kepada perbincangan. Disebabkan waktu pagi promosi terhadapku dah hampir tepu, maka ketua daerah pun lagu dok candek la. Ada la ketua ekonomi ni pesan kat ketua negeri kata aku dah ada sebagai wakil Federal, so mintak response. Kali ni aku dah complacent sikit berbanding pagi tadi, justeru ayat-ayat aku lebih tersusun dan boleh control sikit intonasi. Ketua negeri ni nak jugak candek aku, kiranya yang disebut kata Federal ni tak boleh harap tak betul la. Bunyi kasar, kata aku, sambil gelak-gelak. Overall, petang ni pun aku terselamat jugak. Syukur. Sementara menunggu bala bulan depan pulak.

Rupa-rupanya, Tuhan masih sayangkan aku. Dan aku pun kenalah tunaikan nazar untuk berpuasa 3 hari seperti sebelum-sebelum ini.

Dahlah, nak balik awal sikit hari ni, penat. Esok pagi-pagi nak pi tengok orang bela ikan pulak dengan bos kepada pembantu ketua daerah. Banjir baru ni ntah ka dah lari habih ikan-ikan tu.

* * * * *

Balik awal menatang apa, menatang minyak yang penuh? Ada pula report lawatan projek tak check lagi. Lepas Maghrib jugak la baru balik rumah. Esok lusa aku dah meninggal dah, meninggalkan negeri ini sampai bertemu hujung minggu.


Tingkat 7 Sebuah Wisma

Monday, December 31, 2007

Na Na Na Na, Na Na Na Na, Hey Hey Hey, Goodbye...

Beberapa jam lagi aku alamat bercerai kasih la aku dengan 2007. Kat sini entah kat mana depa sambut tahun baru. Kalau kampung halaman aku tu aku tau la kat Esplanade. Huha huha punya hora. Bukan buleh syafaat pun. Baik aku dok rumah. Khutbah baru ni kata awat tak insaf-insaf jugak walaupun baru lepas kena banjir. Tak tau la pulak aku teks khutbah tu sama ka dak dengan Masjid Negeri. Kalau tak sama kira memang berani la.

Tempoh satu tahun bagi umat akhir zaman punya la cepat berlalu. Rasa-rasa baru tat sat aku ronda-ronda area Tanjung Bunga dengan Pian. Cuma aku tak menyanyi lagu "Zindegi Ek Safar" macam Rajesh Khanna dengan Hema Malini dalam Andaaz saja la. Depa buleh la sebab tak pakai helmet.

Beberapa jam lagi 2008 akan mengucapkan "Assalamu'alaikum". Mudah-mudahan sejahtera betui la hendaknya. Dengan PTKnya yang macam sentul. Dengan cita-cita nak pekena Nasi Kandar Shariff kat Gelugor nampak lagu dok kelam. Dengan orang atasan yang tak dan-dan nak masuk ofis lepas balik haji. Dengan Pakistan yang huru-hara (patut la pak Shah Rukh Khan lari pi India, tak percaya cuba baca King of Bollywood : Shah Rukh Khan and the Seductive World of Indian Cinema tulisan Anupama Chopra, dan aku sambar kat KLIA hari Benazir Bhutto ditembak mati).

Dan aku? Heh, aku masih di sini.

Tingkat 7 Sebuah Wisma.

Saturday, December 22, 2007

Syair Terakhir...

Semakin hampir aku dijemput pulang tika muda langsung mengucapkan selamat tinggal kepada dunia, sambil-sambil menyeluruhi sekeping kad ucapan hari lahir, aku akan teringat bahawa dahulu aku pernah ada seorang kawan di sebuah bandar raya. Perkenalan yang bermula dengan silap duga, ada rembesan air mata katanya. Seterusnya persahabatan yang ada kala dibumbui dengan salah terka lantas ada hati terluka. Siapa tahu, kesudahannya ditandai dengan kekhilafan jua. Hanya doaku, semoga dia lulus PTK 1 dengan jayanya pada cubaan kali pertama.

* * * * * *

AL-WARQATU ILA ZUMALA'I (KHUSUSAN ILA UKHTI)

Bait-bait begini takkan terdengar lagi
Kerna inilah bicaraku buat penghabisan kali

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Ke hadapan teman yang dirahmati
Moga diberkati Rabbul 'Izzati
Sekadar renungan setiap diri
Agar terhindar menjadi 'Asi

Manusia tiada tercipta sempurna
Cacat dan cela di mana-mana
Meskipun 'amal bersederhana
Biarlah hidup penuh bermakna

Biarpun orang berbuat tahana
Usah berdendam di dalam jiwa
Pohonkan agar mereka bahgia
Bak Ahmed Deedat akan doanya :
(Tum salamat reho hazare bares, aur har bares dilho pancha tadhar)
Maksudnya ringkas namun bermakna
"Mudah-mudahan panjang usia"

Malu berdosa satu tuntutan
Wajib ke atas setiap insan
Bukan semata kaum perempuan
"Fainna al-Haya'a minal iman"

Sebelum ternoktah sehelai warkah
Ada suatu pesan tergubah
Resmi dunia bertemu berpisah
Izinkan hamba untuk bermadah

Jikalau teringat sekali-sekala
Di mana juga kita berada
Tatkala malam telah menjelma
Kita menatap rembulan yang sama

Dan warkah pun dikirimlah. Usah masyghul teman berbudi luhur. Aku cuma berundur.

Auditorium
INTAN Bukit Kiara
"Malam Secerah Pawana"
19 Ogos 2004 (Khamis)

Monday, December 17, 2007

Bila Suffian Bersastera...

Sewaktu masih belum berumah tangga, aku membuat keputusan untuk tidak mengoptimumkan kesempatan cuti tersepit Aidil Adha. Sebaliknya aku lepak di rumah Shah di Kampung Sungai Ramal Dalam.

Selesai sembahyang sunat di sebuah masjid di Bangi, operasi pencarian bekalan makanan pun bermula. Rupa-rupanya kedai makan banyak yang tutup. Cari punya cari, akhirnya adalah satu kedai mamak. Untung sakan dia hari tu, pengusaha tunggallah katakan.

Tengah-tengah menjamu selera, ada call dari kampung. Suspense juga aku dapat call dari kampung di pagi raya. Rupa-rupanya ditanyakan padaku makan apa pagi-pagi raya begini. Apabila aku katakan roti canai, Dilah pun lagu dok layo’ kata depa kat kampung makan ketupat rendang dan segala macam. Hai, semacam jugak rasa.

Itulah kali pertama dan terakhir aku sambut Aidil Adha di tempat orang.

* * * * *

Ketika ini pun hujan masih turun dengan lebatnya. Adapun kejiranan yang aku huni bukanlah kawasan banjir. Maklumlah, kawasan hartawan dan bangsawan. Resmi dunia, begitulah. Cuba kalau kawasan-kawasan ulu banat ceruk paloh sebelah pedalaman, alamat dah lama dah tidur di balai raya.

Hanyasanya rasa kasihan aku kepada mereka berkenaan setakat itu sahajalah. Sedangkan kalau hujan emas di negeri orang pun lebih baik berhujan batu di negeri sendiri, inikan pula bila hujan ribut siap dengan banjir di negeri orang, sudah tentu berlebih-berlebih baik bercuti Raya Haji di negeri sendiri.

Memodifikasi ucapan Brutus kepada Plebeians beberapa ketika selepas ditikamnya Julius Caesar, "Not that I love this state less, but that I do not love it at all".

Selamat Berkorban. Chow!

Tingkat 4 Sebuah Kuarters
15 Disember 2007 (Sabtu)

Thursday, December 13, 2007

Over-Dost Dost Na Raha...

Siaran tivi kadang-kadang membosankan. Kalih pi kalih mai takdak satu yang berjenis. Lalu pemandangan pun singgah pada RTM1. Ada rakaman konsert sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan. Bosan masih, lalu aku kalih lagi ke stesen lain. Tak lama lepas tu aku kalih balik ke RTM1. Seorang penyanyi siap dengan tuxedo, di tengah-tengah persembahannya. Entah sapa entah, tak kenal pulak aku. Tunggu sat, macam pernah aku dengar melodi itu, tapi di mana ya?

Sekitar tahun 2005, selesai mesyuarat tapak Jalan KESBAN di Kelantan. Sewaktu dalam perjalanan dalam kenderaan yang dipandu Encik Amran, frekuensi radio Manis FM. Aku kurang menangkap seni katanya tapi antara patah-patah perkataan yang aku ingat ialah "...Di pasar minggu, Di Wakaf Che Yeh...". Lenggok dan tema yang hampir sama dengan lagu yang M. Rajoli nyanyikan dalam Cinta Antara Benua, "Air matoku tubek, sayunyo raso". Aku tanyakan Encik Amran akan gerangan si pemilik suara. Dukacita dimaklumkan bahawa memandangkan Encik Amran lebih arif perihal pembinaan, maka tiadalah aku ketahui. Andaikata aku sempat membuat pemantauan di kedai kaset di Kelantan, sudah pasti harapan cerah sebab aku sangat pasti kaset ini takkan terjual di kedai kaset negeri lain. Kalau ada pun payah nak cari. Tapi apakan daya, disebabkan kesuntikan masa, tiadalah sempat aku mengushar di kedai kaset sebelum penerbangan pulang. Itulah mulanya cinta dengar pertama meskipun tak ketahuan hujung pangkal.

Iringan orkestra menambahkan impak pada persembahan penyanyi tersebut. Gandingan yang mantap, seolah-olah komunikasi dua hala antara penyanyi dan orkestra terutama part chorus bagi memastikan keselarian suara dan irama. Aku tak tau la Sultan Kelantan terhibur ke tidak, tapi aku memang teruja. Cuma frust sedikit sebab nama penyanyi dan tajuk lagu tak dipaparkan di penghujung persembahan. Mungkin dah disiarkan awal-awal tadi.

Walau bagaimanapun, kefrustan itu hanya seketika. Dengan bantuan pak cik Google buat ke sekian kalinya, pencarian aku menemui noktahnya. La, dia ni ka, aku rasa kaset raya dia tahun lepas ada dalam kereta. Kitne door, kitne paas; betapa jauh, betapa dekat.

Malam sebelumnya overdose dengan lagu Hindustan yang mengiringi persembahan demi persembahan di ASTRO Ria. Lalu apabila sebuah lagu terpasang menggunakan khidmat You Tube, maka Dilah pun bertanya, "Ni lagu Hindustan ka?". "Tak", aku menjawab kesukaan. Memang dari kejauhan ramai akan tertipu apabila mendengar iramanya.

Sepetang Khamis malam Jumaat ini, di sinilah aku, sambil-sambil menyiapkan draf SKT atas permintaan ramai kawan-kawan sejawatan, mengulang dengar lagu seorang Jogho bernama Megat Nordin. Ada elemen sayu dan lucu, juga mendayu-dayu. Selain berunsurkan Hindustan, juga ada beberapa tobaqah (tingkatan suara). Hat tu yang buat lagu ni mahal. Lagi belum cemuih, layan ja la.

"...Dok nati nati, nati nok tengok

Puah bedighi ambo duduk congok
Dok tunggu tunggu, tunggu nok kelih
Di pasa minggu di Wakaf Che Yeh..."

Tingkat 7 Sebuah Wisma

Friday, December 07, 2007

Mengembara Serupa Ahasveros...

Setakat yang aku kenal akan dia, sudahlah top scorer, bersopan santun pula. Perkenalan yang unik, tanpa persembangan. Kenal sebab sekelas. Koordinat di tepi tingkap menghadap padang rumput. Meja aku dan Tok Met di hadapan sekali dalam lajur itu. Meja Hawariyyun dan dia pula di belakang kerusi kami. Walaupun dia duduk sebelah-menyebelah dengan Hawariyyun, tapi watak mereka tersangatlah kontra. Kawan-kawan lelaki yang nakal menggelar Hawariyyun sebagai hawa' lantaran wataknya yang hyperactive. Tapi sungguhpun digelar hawa', pandai mengaji dan masuk kelas Tarannum juga.

Seperti pelajar-pelajar perempuan yang lain, bab-bab bahasa dan ayat-ayat memanglah kepakaran yang dimiliki. Aku masih ingat lagi, suatu hari ustazah membacakan contoh jawapan terbaik bagi soalan Pendidikan Islam yang memerlukan penaakulan. Salah satu jawapan terbaik ialah hasil tulisan dia. Antara kata-kata yang menangkap dalam jawapan dia yang panjang lebar itu ialah "... muslim sejati". Jawapan yang tak pernah terlintas di fikiran pada masa itu sebab aku sibuk berperang dengan suasana. Lagipun pada masa itu aku memang kurang mahir bermain dengan kata-kata.


Dua belas tahun berlalu. Berdasarkan Fotopages sebelumnya, aku ketahui bahawa dia telah menjadi pegawai di UNIMAP. Kemudiannya, Ketua Penolong Pendaftar UNIMAP pula menjadi bosnya. Malam itu, sewaktu melayari Internet dengan kad prabayar bernilai RM20 untuk 4 jam, aku terima e-mail daripadanya. Sudah hendak berkenduri rupanya pada Aidil Adha hari ketiga. Hasil maklumat espionage, dimaklumkan dia bertemu jodoh dengan warga UNIMAP juga. Insya-Allah kalau tak ada aral aku akan hadir, balas e-mail ku, maklumlah dah jadi orang jauh. Selamat Pengantin Baru aku ucapkan. Mungkin menghadiahinya Asam, Garam, Gula & Kopi tulisan Abd. Jalil Ali, mudah-mudahan bermanfaat untuk kehidupan berumah tangga.

* * * * * *

"Bagi nasi campur, mak cik. Nasi lebih na. Kali ni bagi saya bayar."

"Tak pa", mak cik itu tersengih. Bukan buleh sangat mak cik ini, lepa satgi ada harapan aku makan free sekali lagi. "Tunggu sat no."

Memandangkan mak cik itu nampak sibuk, maka aku pun duduk dulu. Aku dah mark dah nak ambik sambal tumis ikan bilis saja.

Dok tengah duduk tu, server (orang Melayu panggil ‘pelayan’) pun mai hantar horlicks panas, teh o panas dengan air suam. O.K. la tu, buat basah tekak. Baru jerit air sikit, tau-tau dah mai pulak ikan gulai apa pun tak tau 2 kerat 1 mangkuk, gulai ikan masin 1 mangkuk, ikan keli goreng 2 ekor siap dengan sambal belacan, tempe dipotong dadu 1 mangkuk. Pasang dah aku. Nak tolak, orang dah hidang. Bayar pun bayar la. Apa cerita pun makan dulu special brunch ni.

Sistem perparitan bawah peruntukan PIAS pun dah siap. Tinggal nak boh dataran kejat. Tunggu tahun depan la kot. Tapi takat la kira dah elok dah tu walaupun takat tanah merah. Nak banding dengan dulu kan ka, walaupun dataran kejat ada tapi hanya ada satu laluan masuk, nak parking pun susah.

Tengah-tengah makan, mak cik tu pun, macam hari tu juga, mai bersembang. Katanya nak beli tempat hidang stainless steel tu, buleh perangat lauk katanya. Aku bagi la jalan, ada skim pinjaman Federal buleh bagi, nanti aku pos kat dia garis panduan dan borang yang berkaitan. "Mak cik bukan reti nak tulis-tulis ni." "Mak cik pakat-pakat la dengan anak-anak." Ish, terer jugak aku buat ayat macam member seperkhidmatan yang kerja kat daerah.

Timing tu penting. Jadi bila mak cik tu pi ke dapur, dan hat server pun tak sibuk sangat, maka aku pun panggil server tu suruh kira. Aku dah siap bawak keluar not RM50 dah. Dah habis server tu kira, semua sekali RM7.50. Giler terkejut aku. "Betul ke akak kira ni?" "Betul", katanya.

* * * * * *


Pemandangan dari jendela menghadap hamparan tasik dan bangunan-bangunan sekitar. Dari masjid sampailah asrama UNITEN. Aku seperti biasa menggambari menggunakan N70. Tenang, damai, hening. Meski langit bermain acilut.


Hotel Green Park - Hotel Kristal – Hotel Residence
3 – 6 Disember 2007

Sunday, December 02, 2007

Teristimewa Buat Si Dia Yang Bernama P...

"...Sampaikanlah salam cintaku padanya
Walaupun sengsara namun ku masih sayang
Kerana cintaku mewangi dan harum
Walau tercampak di mana jua

Andai ku tiada
Andai ku pejam mata
Biar ku abadi
Cinta yang setia ini
Biarpun kau jauh
Sambutlah salam ku
Kerana aku masih menyayangi
Tidak pernah aku membenci dirimu"

(Alleycats, "Sampaikan Salam Cintaku")

Andai kita takkan jumpa
Ketahuilah bahawasanya aku tetap rindu
Meski sebagai Kaduk dan Liza
Cinta tak semestinya bersatu

Sebermula Coretan :
Bilik Datai, Institut Pengurusan Peladang, Kuah
25 November 2007 (Ahad)

Tuesday, November 27, 2007

Kenangan Mengusik Jiwa...

Qin, dengan kelihatan segan-silu meminta aku menolongnya menulis karangan tentang percutian di sebuah pulau. Seraya aku teringatkan karangan bertema sama yang pernah aku tuliskan zaman muda. Karangan mengandungi serangkap pantun.

* * * * * *

Di hadapan sebuah Parade Megamall, rasanya macam kenal. "Boss!".

Lelaki itu menoleh, sambil ketawa bercampur gembira macam dulu-dulu. "Eh, engkau Mat, apa engkau buat kat sini?". Sambil berjabat tangan, maka diceritakan bahawasanya ada mesyuarat. Lalu persembangan berpanjangan, daripada sekadar bertanya khabar kemudian melarat kepada perkembangan pegawai-pegawai atasan yang dikenali. Ada yang tersekat peluang naik pangkat di penghujung kerjaya, ada yang kerana kemurkaan seseorang lantas tercampak ke mana-mana membuat kerja entah apa-apa.

Kalau mengikut teori Hukum Tuhan, maka kepoyoan terhadap pegawai-pegawai bawahan suatu ketika adalah titik tolaknya. Apabila bertemu buku dengan ruas, barulah diketahui langit tinggi atau rendah. Apabila keranda dibawa, barulah bercucuran air mata (lagu "What You Give You Get Back" sebagai latar).

Cuma apabila berada dalam perkhidmatan awam yang sama ini, rasa kekitaan dan simpati masih ada, walaupun pengalaman dengan hamba Allah berkenaan memang sangat-sangat menjengkelkan.

Ex-bossku, seorang Bugis, yang aku senangi sebab mudah dan sedia dibawa berbincang rupanya datang untuk menjemput anaknya di MRSM. Macam dulu-dulu juga, cuma bezanya ini buat kali terakhir sesudah selesai SPM.

Aku suarakan hasrat yang lama tertangguh kepadanya. Katanya kalau ada kesempatan, ingin juga ia slow talk dengan orang di atas sana. Harap-harap cara dan pemasaan sesuai. Dak kalu, naya buleh.

* * * * *

Kekok, janggal, ginjal semua ada. Tapi aku tidak boleh menjalankan muslihat Houdini seperti setiap kali sebelum ini. Mahu tidak mahu, terpaksa juga aku.

Bermula daripada menaiki teksi yang sama, angkat beg letak atas troli sampailah makan di Kenny Rogers Roasters hatta tolak troli untuk daftar masuk sekalipun.

Aku, aku. Macam manalah aku boleh terjebak dengan benda-benda sentul sebegini. Aha, aku ada beberapa cadangan jawapan.

Satu, ini bukan urusan rasmi. Dua, aku memang tak berapa berkenan sorong troli sebab selalu pun aku lebih suka heret beg beroda.

Setelah meneliti cadangan jawapan satu dan dua, aku tandakan hitam pada Borang OMR cadangan jawapan nombor tiga. Iaitu semua aktiviti yang aku sebutkan tadi melibatkan penyertaan dua orang wanita, termasuk makan semeja. Appa punya turrr.

* * * * *

Cikgu Faridah, seingat-ingat aku sama ada tanda rait atau tulis 'Baik' sebelah pantun dalam karangan aku. Pantun itu aku hafal masa tengah rajin baca buku sejarah Melayu lama-lama, meskipun sepatutnya 'terlantar' aku tulis 'terhantar'. Masa itu semangat tengah berkobar-kobar sebab masuk 1 Al-Farabi selepas streaming. Kena pula aku memang scorer untuk kertas bahasa Melayu bagi peperiksaan tersebut. Siapa tahu, tahun demi tahun semangat itu nantinya 'kan jadi pudar.

Kalau aku bagi input berupa pantun ini kat Qin, sahih kagum punyalah cikgu bahasa Melayu dia. Tapi itulah, sebagai Chairil Anwar, "...ada yang tetap tidak terungkapkan". Maafkan abang, Qin.

"Telur itik dari Singgora,
Pandan terletak dilangkahi;
Darahnya titik di Singapura,
Badannya terhantar di Langkawi."

24 - 26 November 2007

Tetamu & Hamba...

i.

Sebuah matar tempatan nan lengang nian
Hari ini berkumandang azan
Mengiringi perjalanan
Setiap tetamu Tuhan.

ii.

Bukankah dahulu kala seorang nabi
Kala kepalanya mahu digergaji
Baru terdetik memohon Tuhan menyelamatkan
"Sudah terlambat", Tuhan berfirman
"Kerana kepada pohon
terlebih dahulu engkau mohon
perlindungan
"Sekarang sabarlah seaula-aula perbuatan"

Gusarku sedikit terhindarkan
Pabila umara', ulama' dan rakyat menghimpun doa di Selatan
Demikian selayaknya seorang hamba
Bersilat kata bersandar fakta bersulam candek segala mak neka
sekadar usaha
Kalaulah ada pengharapan
Kita sandarkan pada Tuhan.

Burger King, KLIA
12.13 tengah hari, 24 November 2007 (Sabtu)

Thursday, November 22, 2007

Berundur Ertinya...

Seperti malam-malam sebelumnya, Cikgu Wan Chik masih tekun mengajar tuisyen kepada budak-budak kampung yang dahagakan ilmu. Jiwa seorang pendidik yang ia miliki sangat membezakan ia dengan segelintir guru tuisyen masa kini yang lebih ghairah memikir untung rugi. Seringkali, sambil-sambil mengajar, ia akan memberi nasihat dan panduan berguna kepada anak murid merangkap anak bangsanya dalam menghadapi kehidupan semasa dan masa depan. Antaranya supaya rajin membaca dan ia selalu rekemen agar membaca Black Beauty nukilan Anna Sewell. Betapa bersemangatnya ia hendak memotivasikan budak-budak kampung untuk pandai bahasa Inggeris. Satu anjakan paradigma cukup besar bagi budak-budak kampung yang setakat faham dua tiga kerat bahasa orang putih.

Kata Cikgu Wan Chik juga, ia tak dapat tidur malam selagi belum membaca buku. Minatnya terhadap pembacaan dicernakan pada sebuah perpustakaan mini di ruang tamu. Aku pun sementara menunggu ayahku datang ambil selalu juga menumpang baca koleksi buku yang tersusun di rak. Kisah Abu Nawas misalnya.

Pada malam itu, antara jeda masa yang ada, Cikgu Wan Chik dengan kapur tulis di tangannya membuat dua garisan di papan hijau. Satu garisan lurus dan satu garisan bengkang-bengkok.

* * * * * *

Ada masa-masanya manusia perlu keluar dari bayang-bayang yang menghantuinya sekian lama. Kalau perlu berhijrah, maka berhijrahlah. Terus-terusan dalam persekitaran serupa hanya mencampakkan manusia ke jurang kebinasaan. Pusing-pusing kot leroh tu jugak, pedia! Strategi terakhir, seperti digariskan dalam The 36 Strategies of the Chinese: Adapting Ancient Chinese Wisdom to the Business World juga menekankan peri pentingnya berundur. Berundur bukan ertinya kalah. Berundur sebenarnya satu kebijaksanaan. Menghitung kekuatan dan kelemahan diri sendiri untuk kemudiannya bangkit kembali. Apa guna melawan kalau sudahnya hanya mati berdiri. Apa gunanya menyerah kalau sudahnya dicatat sebagai pengecut dalam sejarah. Di sinilah letaknya sebuah pengunduran; di tengah-tengah.

* * * * * *

Kadang-kadang, ada pikiran-pikiran jahat terlepas masuk. Katanya, sifat selain extrovert adalah sifat negatif langsung menyulitkan masa hadapan. Lalu, manusia pun cuba-cuba menjadi extrovert juga, seperti manusia-manusia extrovert lainnya. Betapa kemudiannya manusia menyedari bahawa pentas kehidupan bukan suatu lakonan, sebagaimana lakonan 3-4 hari sewaktu PAC. Watak manusia ditentukan oleh Tuhan Yang Maha Kaya. Kerana Maha Kayanya Tuhanlah, maka diciptakan-Nya manusia berbeza. Bersyukur dan redhalah dengan apa yang ada.

* * * * * *

Kata Cikgu Wan Chik, kedua-dua jenis garisan melambangkan perjalanan hidup manusia. Garisan lurus adalah perjalanan hidup manusia yang serba mudah dan lancar belaka. Apa nak semua dapat. Senang sangat. Macam golongan bangsawan dan anak orang kaya. Garisan bengkak-bengkok pula melambangkan perjalanan hidup manusia yang penuh pancaroba, ranjau sepanjang jalan. Macam kitalah, Cikgu Wan Chik berkata.

Waktu itu, aku lebih cenderung untuk terpana dengan falsafahnya yang sangat tinggi bagi seorang murid sekolah rendah. Siapa tahu, apabila perjalanan hidupku sendiri seperti garisan bengkang-bengkok itu, tidak boleh tidak aku perlu berkata, "Benarlah katamu dulu wahai cikgu".


Nota : Berundur Ertinya... Retreat.

Wednesday, November 21, 2007

Sela-Sela Masa...

Sela-sela masa yang dipenuhi keboringan keteramatsangatan, jari-jari aku terpanggil untuk mengetuk-ngetuk papan kekunci.

Sesudah mendarat di Bayan Lepas menggunakan Fokker 50 milik swasta, aku tanyakan pada Wani bagaimana etika pakaian siswa USM. Sebagai bakal siswazah yang berpotensi, aku perlu tahu maklumat penting sebegitu. Jawab Wani, pakai ikut suka. T-shirt, jeans, hatta selipar pun kira biasa. Ish, aku kata, macam tak kena dengan aku sahaja. Memakai tali leher di tengah-tengah terik mentari bumi Minden memang tak sesuai dan boleh dianggap poyo walaupun kalau nak kira bumi Sintok lagi panas membara. Tapi takdak ka yang pakai long sleeves, slacks, kasut kulit apa semua. Takdak katanya.

Sebagai bekas siswa yang sudah terbiasa berpakaian pejabat, tak dapatlah aku bayangkan bagaimana mahu menghadiri kuliah dan mengulangkaji di perpustakaan dengan pakaian sempoi sesempoi-sempoinya. Ada kebarangkalian aku 'kan jadi Mejar Ram Prasad Sharma juga nantinya. Terperangkap dalam fesyen kolej waktu silam, sedangkan Lucky Laxman dan kawan-kawan semuanya berpakaian macam Ali Setan.

"Kiska hai yeh tumko intezaar main hoon na..."

Thursday, November 15, 2007

Dia Yang Kembali...

Menjelang detik yang ditunggu-tunggu, advencer sudah semakin selop. Apakah petandanya itu? Petandanya telah dimaklumkan kepada Azrul, seorang Ahli Rikie Boys, semasa sesi gebang yang rabung malam kelmarin dulu.

Demikian, dalam keluar biasaan berbanding beberapa purnama, kebetulan talian komunikasi dan maklumat yang sebelumnya terasa hendak sangat ditenggalong sangat-sangat membantu pula, maka dapatlah dirasakan oleh sebilangan orang akan kekerapan aku berada di hadapan komputer.

Akibat keluar biasaan itu, ditambah dengan delegasi tugas kepada para penolong yang dedikasi, ada banyak masa terluang untuk menggunakan khidmat pak cik Google.

Khidmat pak cik Google menemukan aku pada sebuah entri. Tulisannya sangat santai namun ada sesuatu menanti di penghujung coretan. Kisah seorang pelajar lelaki dan seorang pelajar perempuan yang langsung tidak boleh bertentang mata. Pantang jumpa, asal jumpa mesti bergaduh. Pada mulanya aku sangkakan sekadar cereka yang dipanjangkan menerusi e-mail. Seolah-olah babak drama, tapi ini drama kehidupan, lantas takdir menemukan mereka di sekolah menengah yang sama. Masih juga dengan dasar pandang ke lain. Setelah beberapa tahun, sifat keakuan seakan melebur, dan bermulalah sesi tegur-menegur. Seterusnya sebuah senyuman semanis gula kepada si dia yang menunggu bas di Simpang Keling, Pokok Sena. Hari-hari berikutnya seakan menjanjikan mekarnya kuntum-kuntum bahagia, begitulah si gadis menduga. Apabila kemesraan saling diberi, barangkali ada hati telah dicuri.

Aku merujuk kepada Sham Nordin, adakah ia junior setahun waktu sekolah dahulu lalu ternyata dialah orangnya. Aku akan tetap ingat dia sampai bila-bila. Seorang junior Dorm Omar. Berwajah polos. Lembut suara namun periang orangnya. Masih seadanya walau melihatkan penampilannya dapat diagak dia anak load. Dia juga rajin membaca, banyak koleksi buku dalam locker kayunya. Antara koleksi buku yang dipinjam silih berganti olehku ialah siri komik Doraemon, maklumlah kartun ciptaan Fujio F. Fujiko ketika itu suatu fenomena.

Senyuman pertama, sesudah bertahun-tahun tidak bertegur sapa terukir. Siapa tahu, sebenarnya juga senyuman terakhir.

Al-Fatihah untuk Allahyarham Faidz Radzwan bin Abdul Aziz dan teman-teman seIrshad yang terkorban dalam perjuangan di medan ilmu.

Tingkat 7 Sebuah Wisma

Tuesday, November 13, 2007

Sewaktu Berhenti Mengejar Pelangi...

Sesudah perpecahan Rikie Boys dengan Pian, Zek, Azrul dan Adha membawa haluan masing-masing, aku pun berhenti mengejar pelangi lalu mengisi masa dengan melihat ke dalam diri.

Dalam usaha tersebut, suatu hujung minggu aku menapak ke DKG 3 mendengar perkongsian pengalaman beberapa muallaf. Seperti menghadiri kuliah juga, aku mencari tempat duduk paling atas dan sudah tentu paling belakang untuk pemandangan paling global. Forum itu dipengerusikan oleh siswa sematrikulasi yang bertemu hidayah semasa menghuni Koleh MISC. Ahli panel ada 3 orang; seorang Siam, seorang India, seorang Cina.

Cerita muallaf berbangsa India, ia menghadapi kesukaran meyakinkan ibunya akan kebenaran Islam kerana ibunya sering membandingkan taraf sosio-ekonomi dan sahsiah orang Melayu Islam sekampung. Sudahlah miskin, perangai pula macam setan. Jadi mengapakah hendak menganut agama yang penganutnya sebegitu. Satu soalan yang sukar dijawab.

Tapi itu belum apa-apa kalau dibandingkan dengan cerita muallaf Cina. Ia seorang pegawai wanita di TUDM Kepala Batas. Kesungguhannya memeluk Islam mengundang konflik antara ia dan keluarga. Apabila ia tekad menutup aurat, ibunya akan berhujah bahawa di kaca televisyen artis-artis Melayu Islam tidak pun menutup aurat. Oh, betapa sukarnya menjawab hujah ibunya itu. Di pejabat, ada seorang pegawai lelaki sering memberi kata-kata semangat supaya cekal menghadapi mehnah. Tapi ia menjadi mangsa tohmah kononnya mengambil kesempatan memikat pegawai lelaki itu pula. Yang menohmah sudah tentu orang Melayu Islam. Ia juga sering bertandang ke PERKIM untuk menambah ilmu. Pun ada suara-suara sumbang mendakwa ia hanya inginkan elaun yang diberikan oleh PERKIM. Orang Melayu Islam lagi punya kerja. Padahal ia ikhlas mencari mardhatillah. Lagipun berapa sangatlah kadar elaun yang diterima. Sementara terpana dengan kisahnya, aku rasa macam ditinju bertubi-tubi setiap kali mendengarkan perbuatan tak semenggah daripada bangsa aku sendiri.

Aku melangkah pulang ke Kolej MAS petang itu dengan perasaan yang rancu. Betapa pun kita cuba menafikan, sebenarnya Islam tercermin daripada akhlak penganutnya. Orang bukan Islam jarang sangat membezakan prinsip-prinsip Islam yang luhur dengan cara hidup orang Islam yang berterabur. Tanpa disedari, rupa-rupanya umat Islam sendiri menjadi liabiliti dan batu penghalang kepada bakal-bakal saudara seagamanya. Barangkali aku salah seorang daripadanya.

Entah apa terjadi kepada pegawai wanita TUDM Kepala Batas tersebut sekarang ini. Harap-harapnya ia masih istiqamah dan sebagaimana doa Saidina Abu Bakar r.a. "Semoga di akhirat termasuk dalam genggaman Allah".

Wednesday, November 07, 2007

Depa Raya...

Kata orang, selalunya kalau depa raya, alamatnya minggu-minggu berkenaan tu hujan la. Sebenarnya bukanlah hujan tu sebab depa raya, tapi sudah sunnatullah menurut kalendar depa tu raya dalam musim hujan.

Waktu aku bersekolah di STSSB, selain budak-budak Melayu, aku rapat juga dengan budak-budak India. Budak-budak India kelas aku tu bagi aku jauh lebih baik dari budak Melayu kelas lain yang jemuan. Dengan budak-budak Cina aku tak buleh tumpang tui. Maklumlah depa majoriti 2/3 dalam kelas tu. Macam cerminan hal dalam Tanjung jugak. (Yang rajin belajar tu pompuan, yang balo’ liat dan kamjat tu laki la. Langsung tak kisah pasal kebersihan kelas, nak padam papan hitam pun bertolak-tolak. Kejutan budaya jugak bagi aku sebab waktu di Irshad kelas yang tak dak can menang Anugerah Keceriaan Kelas pun berkali ganda lagi ceria dari kelas aku kat STSSB).

Kerapatan aku dengan budak-budak India itu mungkin sedikit sebanyak disebabkan aku berjiran dengan orang India seperti keluarga Morgan dan keluarga Ganesan. Keluarga aku pun selalu berpesan supaya hormat kat depa ni, panggil 'anney' untuk pak cik, 'achi' untuk mak cik. Aku pun ambik kesempatan la belajar serba sedikit bahasa Tamil dengan depa (Masa ni aku dah obses pulak dengan filem Tamil slot Selekta Emas waktu petang tu). Yang terer sikit Ganapathy la sebab dia dulu sekolah Tamil, ambik pulak subjek Bahasa Tamil untuk SPM. Hat Sashi Kumar ni kurang sikit keTamilan dia sebab English Medium; budak Methodist Nibong Tebal la katakan. Kalau English dan Bahasa tu terer la dia.

Tahun 1996, apabila tibanya Deepavali, Ganapathy dan Sashi Kumar membawakan kuih-muih tradisi kaum India yang sudah siap dimasukkan dalam plastik kepada budak-budak Melayu kelas 5AK termasuk aku. Itulah kali pertama dalam seumur hidup aku dihadiahi kuih oleh rakan sekelas berbangsa India.

Sebelum-sebelumnya, sudah menjadi tradisi apabila keluarga Ganesan (biasanya mak dia yang iras Cina tu) bertandang ke rumahku membawakan kuih-muih buatan mereka setiap kali Deepavali. Kata tok aku, depa ni pembersih, maka buleh la makan kuih buatan depa tu. Sedap jugak walaupun tak tau apa nama kuih tu.

Berbalik kepada kuih-muih yang diberi oleh Ganapathy dan Sashi Kumar, ada satu jenis kuih yang aku tak reti macam mana nak makan. Keras kedengkiang mengalahkan buah seralat. Gisei punya gisei pun tak jadi apa. Bila aku tanyakan kepada Nik Azhar (sekarang dengarnya jadi pegawai TUDM Sungai Besi) akan pengalamannya menghadap kuih keras kedengkiang itu, rupa-rupanya aku tak keseorangan. Cuma dia tumbuk dengan penumbuk sambal. Aku pulak pasal tak larat nak gisei maka kuih tu aku tauk buang.

Kepada kawan-kawan aku tu (aku tau hampa tengah siap-siap nak mandi minyak bijan esok pagi), kepada gadis India setingkatan Lima merangkap ex-SKSB yang pernah merapatkan telapak tangan tanda hormat kepadaku sewaktu di koridor (meski aku dek kenaifan menoleh ke belakang menyangkakan dia merujuk kepada orang lain, lalu aku dengan seriusnya macam takdak perasaan berlalu sedang dia terus tersenyum) dan juga Sabina Rose Alphonse (walau aku tak pasti dia sambut tak perayaan ini), aku ucapkan Selamat Hari Deepavali.

Tuesday, November 06, 2007

*Mawar Putih Tanda Perpisahan...

Tanggal 22 Oktober 2007, saya benar-benar teruja. Seperti detik-detik sebelumnya, saudara masih berlucu. Tapi sungguh saya tidak menyangka pengakhirannya di luar duga.

Saya jadi terharu apabila saudara yang lugu teresak-esak di atas sejadah sejurus untaian tasbih terlepas dari pegangan.

Saya jadi termangu apabila saudara bermusyawarah dengan Haji Omar dan isteri perihal Almas, Rima dan Nuri. Benar kata saudara, kita kadang-kadang terlupa bahawa kecintaan kepada dunia mengatasi kecintaan kita kepada-Nya. Moga Tuhan dengan kurnia-Nya yang akan memilih mereka untuk kita.

Saya tambah terkesima ketika Derek dan Minche memohon nasihat daripada saudara. Saya juga terasa pijarnya. Manakan tidak, saat kita sendiri berantakan, masih ada orang yang menganggap kita sebagai tersanjung. Malunya kita saudara sukar digambarkan. Meminjam ungkapan Azizi Hj. Abdullah dalam novel Ayahanda, "macam disimbah dengan darah babi".

Rupa-rupanya Tuhan tatkala memberi pengajaran ternyata menginsafkan.

"Demi masa, sesungguhnya manusia kerugian, melainkan yang beriman dan yang beramal soleh..."

Boeing 737-400
Kuching – KLIA


* * * * *

Lepak-lepak di sini sementara menantikan penerbangan seterusnya seolah-olah satu kemestian semenjak dua ini.

Mungkin sebab tempat ini tak bersepah-sepah macam McD atau KFC. Tapi yang paling best, lokasinya agak tersorok justeru tak ramai orang.

Selalunya aku singgah di sini sambil pekena Double Whoppers, Chicken Tenders dan Milo panas. Lagu-lagu Stesen ERA pun selalu membuai perasaan, tambah-tambah di ambang saat penentuan. Pergh...

Burger King, KLIA

Khamis
25 Oktober 2007
13 Syawal 1428 Hijriyyah


Nota : *Dendangan Jamilul Hayat, adik kepada Jamal Abdillah.

Tuesday, October 16, 2007

Slumber Joe Jer...

Musim-musim perayaan begini, seperti jua musim kenduri-kendara, lazimnya golongan bujang akan diajukan soalan cepu emas nan cliche, "Bila lagi?". Maka bagaimana kita memberi reaksi? Nak marah? Ceh, tak pro langsung.

Reaksi paling wajar ialah Rexy Mainaky. Er, reaksi paling wajar sebenarnya ialah bawak-bawak bertenang. Rileks la beb. "Dunia Belum Berakhir", kata Sha-Den.

Di bawah ini diperturunkan beberapa contoh jawapan soalan cepu emas tersebut :

Jawapan Orang Gomen Yang Pernah Jaga Projek Pembangunan : Kita review balik masa Kajian Separuh Penggal ni. Kalau agak-agak tak dan siap dalam RMK-9, kita bawak ke RMK-10.

Jawapan Bekas Mahasiswa BAcc UUM : Tunggu orang mai masuk meminang (sesuai juga digunakan oleh lelaki untuk impak lebih power).

Jawapan Lo'la' : Pakcik / makcik ni bila pulak nak mati?

Jawapan Tawadhu' : Insya-Allah (ingat ye Muhammad Adif).

Zaman dah moden. Walaupun ada yang kahwin muda, tapi semakin lama semakin ramai yang kahwin lewat. Macam-macam faktor dok ada. Ada yang sebab gen, misalnya Gen 2. Ada yang sebab faktor kewangan, misalnya duit KWSP belum buleh dikeluarkan lagi.

Walau bagaimanapun, sebagai lelaki, anda seharusnya tidak berasa risau. Sejarah menunjukkan bahawa lelaki jarang sangat diganggu-gugat oleh masalah ini walaupun usia semakin meningkat. Baik anak raja hatta angkasawan sekalipun. Apatah lagi kalau selalu sangat orang confuse sama ada anda telah bekerja atau masih belajar lagi.

Anyway, kepada golongan lelaki berkenaan, janganlah perasan sangat. Cuma kalau hidung tu agak kembang kuncup sikit macam watak Mat Tepet lukisan Gayour dalam "Bersama Selamanya" tu, kira o.k. dah la tu. Hnsh, hnsh.

Nota : "Mungkin ada makhluk yang Tuhan jadikan nampak muda, apa daya kita hendak menghalang ketentuan-Nya".

Tuesday, October 09, 2007

Tiga Cerita Menjelang Raya...

Sebelum meraikan lebaran dengan ketupat daun palas, lemang, rendang, kuih semperit, kuih kapit, kuih makmur, pulut kacau, dodol, halwa maskat dan tat nenas, apa kata layan dulu entri ini dengan ucapan "Enhancing prestation, Avoiding controversion".

Nota : Emosi cerita kedua dan ketiga sama seperti perasaan Clark Kent sewaktu pemergian Jonathan Kent ke alam baqa di penghujung Ramadhan pada Ahad malam lalu. Wira juga bisa terluka (Even heroes have the right to bleed).

* * * * *

Cerita Pertama

Hari itu hari terakhir penggal persekolahan sebelum cuti raya. Seorang pelajar dan kawannya bernama Saiful telah sepakat menetapkan satu resolusi. Resolusi untuk tidak menerima duit raya daripada cikgu. Sudah-sudahlah, masa untuk berubah.

Maka apabila guru kelas Darjah 2 Cempaka bernama Norhayati (yang diingati kerana kesungguhannya berbahasa baku hinggakan karbon dioksida disebut sebagai karbAn dioksida lantas membuatkan seluruh kelas kebingungan kerana guru kelas sebelah yang mengajar Alam dan Manusia tiadalah pula berbahasa baku sedemikian) memanggil seorang demi seorang pelajar ke hadapan untuk diberikan duit raya, budak-budak berdua tadi sungguh-sungguh enggan menerima.

Tapi Cikgu Norhayati (yang kemudiannya bertemu jodoh dengan guru bahasa Inggeris bernama Mohd. Noor) tidak berputus asa memujuk mereka. Mulia sungguh hatinya itu walau mungkin ia tertanya-tanya dari planet manakah asalnya budak-budak berdua hingga sanggup mengatakan Tak Nak kepada duit raya. Kalau budak-budak lain pakai tunggu nak rap sahaja.

Kerana kesungguhannya itulah membuatkan Saiful akhirnya cair dan diambilnya jugalah duit raya itu. Tinggallah budak nan seorang yang sampai kesudah berpegang teguh kepada resolusi.

Awat yang tak ambik? Mak budak tadi bertanya sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah. Lain kali ambik la kalau cikgu dah nak bagi. O, lagu tu ka?

* * * * *


Cerita Kedua

Suatu pagi raya, sewaktu menghuni sebuah taman perumahan, seorang pelajar sekolah rendah dibelikan ayahnya majalah kartun edisi raya yang lebih tebal berbanding biasa. Gelihati namanya, pesaing utama Gila-Gila sebelum hilang ditelan arus masa.

Ada suatu kisah karya kartunis Kartekana. Si kartunis barangkali bermaksud lucu, tapi tanpa disedarinya kisah itu membekas dalam medula oblongata pelajar sekolah rendah yang membacanya. Barangkali kisah yang dicoretkan bakal ditempuh apabila dewasa.

Sebagaimana dikaryakan oleh Kartekana, seorang pemuda tidak tertahan lagi dengan kutukan secara berjadual terutama daripada abangnya. Mentang-mentang ia seorang penganggur, senang-senang ia dianggap haprak. Lalu ia pun mengambil keputusan untuk berhijrah ke ibu kota, meninggalkan kekasih yang dicintainya.

Di ibu kota, ia bekerja bersungguh-sungguh demi menebus penghinaan yang pernah diterima. Bertahun-tahun juga ia tidak pulang ke kampung halaman menyambut Aidil Fitri bersama keluarga. Hinggalah tiba pada satu tahun, setelah berasakan ia telah berjaya dalam kerjaya, tergerak hatinya untuk beraya di kampung. Terbayang-bayang dalam kepala hotaknya yang penuh dendam kesumat bahawa penghinaan yang ditanggung bertahun-tahun akan tertebus sebaik sahaja motor besarnya itu (kalau tidak silap model Suzuki Katana entah berapa cc) diparkir bersebelahan dengan motor kapchai abangnya yang sungguh durjana. Hahaha!

Maka pulanglah ia ke kampung halamannya. Orang tua menyambutnya dengan gembira, maklumlah sudah sekian lama tak beraya bersama. Tapi misinya belum terlupakan.

Kesempatan itu hadir apabila abangnya yang sangat-sangat dibencikan bertandang. Tapi tu la, tak baik dok niat tak baik. Lagu Ahmad & Kisah Rasul dok kata la, "Nanti Tuhan marah". Hasrat hendak memparkir motor Suzuki Katana bersebelahan motor kapchai abangnya berkecai kerana motor kapchai telah bertukar menjadi sebuah kereta saloon. Bukan setakat itu sahaja, berbanding dirinya yang hanya cukup makan, abangnya juga telah menjadi usahawan berjaya.

Kemuncak kepada dendam kesumat yang sia-sia adalah apabila ia tertanya-tanya apa gerangan maka kekasih lamanya hadir bersama. Kata emaknya, inilah kakak iparmu, isteri abangmu. Nak ke mana tu? Sakit perut la.

Isk, isk, isk. Hidup ini kadang-kadang agak sadis, bukan?

* * * * *


Cerita Ketiga

Sewaktu Gila-Gila berada di singgahsana takhta sebagai majalah kartun terhangat di pasaran, sudah tentu ada edisi khas sempena Aidil Fitri.

Dalam sebuah edisi raya, dimuatkan kununnya temu bual sempena lebaran dengan mereka yang lari dari rumah. Salah seorang daripadanya, ialah seorang lelaki.

Ditanya sebab-musabab lari dari rumah, lelaki itu pun bercerita. Katanya, pada peringkat awal berumah tangga, hari-hari isterinya memasak nasi lauk sardin. Barulah diketahui bahawa isterinya tidak pandai memasak. Memandangkan dia seorang suami mithali, maka dihantar isterinya menjalani kursus masakan demi kursus masakan. Dibelikan juga sekian banyak buku-buku resepi dengan harapan isterinya akan pandai memasak. Tidaklah terkira wang ringgit yang habis, tapi dia dengan muka toyanya tetap bersabar.

Sekira-kira telah manthop dengan ilmu masakan, maka suatu hari dimintalah olehnya akan isterinya supaya mempraktikkan ilmu masakan yang telah dipelajari. Harapannya agar adalah variety sikit dalam menu harian. Alangkah sedihnya, hatinya (param, param) apabila isterinya yang sudah terer tetap memasak nasi lauk sardin. Dek kehampaan yang keteramatsangatan itulah dia melarikan diri dari rumah.

Demikianlah adanya.

Pe"r@m"antau Yang Pulang...

Sajak ini terinspirasi setelah membaca antologi puisi "Suara Dari Dinding Dewan" karya A. Samad Said sewaktu jenuh menunggu.

Nota : Kata "...Ilham..." enggan digunakan dalam konteks ini kerana Awang Sariyan menerusi sebuah kolum dalam Dewan Siswa suatu ketika dahulu pernah menyatakan bahawa istilah tersebut "...turun darjatnya".

Pe"r@m"antau Yang Pulang...

Minggu yang pijar membakar
Langit petang nampak muram
Cuma air matanya tertahan-tahan

Jadual bas udara tersilap terka
3.30 petang disangka pukul 2
Maka tersadailah aku membunuh masa

Seragam pramugari berbeda berbanding biasa
(Kejutan pemandangan bulan puasa)
Kalau bukan kerana warna
hampir aku menyangka Air Asia
Kasihan si anak mata waspada sentiasa

Berjeromoh penumpang yang mangkuk
(Ramai lagi sebelum dia)
"Kerusi hang 14C la ma'arup sintok
14A tu aku punya kerusi
Aku dah booking awal-awal kat kaunter tadi"
(Amputan dalam hati, moga Tuhan mengampuni)

Transit di Kuala Terengganu
(Gendala sebuah destinasi)
Terkenang songket Pasar Payang
Mangsa peluru nyawa-nyawa ikan-G
Tonyok comel terkedek riang

Pesawat pun menyentuh landasan
Letih dan lenguh mengangkut barang seharian
belumlah hilang
Hanya kampung halaman menyuruh segera pulang.

Kua---- - Kuala Terengganu – Bayan Lepas
27 Ramadhan 1428 Hijriyyah (Selasa)



Tuesday, October 02, 2007

Entri 'Eidul Fitri 1428 Hijriyyah

Kisah ini tiada kena-mengena dengan sebarang polemik antara mana-mana peguam dengan hakim syar'ie walhal sama-sama pernah menuntut di Al-Jami'ah Al-Islamiyyah Al-'Alamiyyah Al-Maliziyyah (rujuk kes Mawar lawan Cayrott [2007] 2 MLJ 615).

Fakta Kes :

Plaintif menghidap selesema dan kemudian terbaca iklan defendan bahawa barang siapa yang memakan ubat selesema keluaran defendan mengikut preskripsi yang ditetapkan tetapi masih tidak sembuh, maka ganjaran 100 pound sterling akan diberikan. Takdir Tuhan, plaintif tidak juga sembuh setelah menggunakan ubat selsema mengikut preskripsi ditetapkan, lalu plaintif menuntut ganjaran 100 pound sterling daripada plaintif. Defendan tidak bersetuju dan kes ini dibawa ke mahkamah. Defendan berhujah bahawa iklan tersebut bukan satu 'tawaran' sebaliknya lebih kepada gimmick. Plaintif pula berhujah bahawa iklan tersebut merupakan satu 'tawaran' dan apabila plaintif membeli dan menggunakan produk tersebut, bermakna plaintif telah 'menerima' tawaran tersebut.

Hah, apa dia Pian? Hat tu bukan tajuk kes dia ka? Hahaha, sajjaja aku nak test hang ingat dak lagi kisah paling klasik zaman-zaman bersekolah di Sintok dulu. Walaupun hang tak lepaskan anjing tu, tapi sebagai antara orang-orang Encik Baha, hang mesti ingat punya tajuk kes ni. Iya, kes ini bertajuk Carlill vs Carbolic Smoke Ball Co., 1892. Menjadi precedence untuk offer dan acceptance di bawah undang-undang kontrak sampai hari ini. Defendan bukan setakat kalah malah akhirnya gulung tikar. Manalah Carbolic Smoke Ball Co. nak sangka, bayangkan nilai 100 pound sterling waktu tu, mengalahkan bonus sebulan gaji. Sabit tu Carbolic Smoke Ball Co. rasa berat nak bayar. Tapi bila dah kalah, lagi la jenuh. Carlill pula dilantik sebagai Governor of Malacca. Er, tu Carlill lain tu. Mrs. Carlill sebenarnya panjang umur dan meninggal pada tahun 1942 semasa berusia 96 tahun. Sakit tua. Cuma kata doktornya, beliau meninggal kerana selesema. Wallahua’lam.


* * * * *
Lama-kelamaan, serasa asing pula dengan Putrajaya walau bertahun-tahun aku menjadi penghuninya. Keterasingan itu semakin melebar hinggakan aku perlu menginap di Setiawangsa meskipun ada urusan sehari dua di kota pentadbiran Malaysia ini. Padanlah langit Putrajaya sangat terharu lantas mengalirkan air mata merambu sewaktu kembali bertemu.

Keterasingan itu ditambah pula dengan perjumpaan dengan kawan seutara mantan seofis (bukan 'matan' ya bos) buat penghabisan kali sebelum dia pulang ke negeri sesudah lebih setahun mengerjakan sanitasi. Seperti dijenakakan, posisinya itu sangat mustajab untuk penghijrahan (bukan begitu, bos?). Hai, hilang lagi kawan aku.

Alang-alang sampai hujung minggu, ada baiknya aku singgah Selayang dulu. Menjenguk Pak Ngah dan anak saudara pupu ku. La, dah jadi Pak Long aku rupanya. Bertandangnya aku ke situ ibarat mengimbau kenangan ketika selalu ke sana waktu menetap di Putrajaya. Sangat kebetulan pula (walaupun memang dirancang), Zoom In di RTM2 sekali lagi menampilkan Hijjaz. Promo dalam Utusan beberapa minggu lepas memang cukup mengujakan. Mendengarkan suara Munif, terubat kehampaan aku tak dapat berimamkan imam hafiz Masjid Putra yang bertarannum syahdu, bukan macam imam-imam hafiz tarawih yang kalang-kabut nak perabih satu juzu’. Menyebabkan aku takdak feel langsung nak buat 20. Untunglah hang Pian dapat berimamkan Ahmad bin Ismail kat Masjid Negeri. Johan Qari Sekolah Menengah Pulau Pinang tahun 1994 tu Pian. Tua setahun saja daripada kita, tapi muda-muda macam Ustaz Zamri AQ pun, pergh mantep!

Berteleku aku sorang-sorang di depan kaca tv sambil mengimbau kata-kata Nina beberapa tahun lalu. Katanya, semasa ke shopping complex, dia ternampak anggota sebuah kumpulan nasyid. Maka dia pun ushar rapat la kawan tu tak kejit-kejit sampai kawan tu naik hairan. Hat mana satu ni, aku tanya, hat InTeam tu ka, walau seingat aku hat tu lebih kepada Dek Zek. Bukan, kata Nina. Aku lantas terkesima, sapa pulak dah ni, tiada pernah termaklum olehku. Rupanya, setelah sekian lama, baru ku tahu ia bernama Ipin. Oh, meskipun dia bernama Ipin, aku pula bukanlah Upin. Tu budak kanyia' si pekan tu. Kini suasana sudah berbeza. Nina pun baru sahaja melahirkan cahaya mata wanita. Tak cukup tidur depa sekeluarga dibuatnya sebab anak dia dok melahang malam-malam (ha, tu persediaan mental untuk hang Pian).

26 - 30 September 2007
14 - 18 Ramadhan 1428 Hijriyyah


* * * * *

Lagu ini dendangan Malek Ridzuan. Senikatanya aku tak berapa ingat. Bunyi lagu ini macam sedih tapi tabah. Sesuai untuk perantau macam aku. Walaupun aku tak berpeluang bertugas di ibu negara, tapi aku layan ja sebab Putrajaya pun sebuah Wilayah Persekutuan. Dulu.

Aku datang dari desa hanya sebatang kara
Meninggalkan kampung tercintaku dan sanak saudara
Setiba di kota raya aku giat bekerja
Berlumba-lumba mengejarkan apa yang dicita

Seribu badai yang melanda aku terus melangkah
Mengharungi liku kota dengan sepotong doa
Agar kehidupanku lebih maju bermakna
Demi membela nasib agama bangsa negara

Bila redup senja menjelma
Sungguh indahnya
Oh betapa aku terharu dan sungguh berbangga

Kua--- oh Kua--- menyinari hidupku
Kota yang penuh dengan cabaran

Kua--- oh Kua--- menyinari hidupku
Kota yang penuh dengan harapan

Nota : Aku tidak dapat menyebut nama tempat dalam rangkap terakhir itu kerana aku rasa aku bukan sebahagian lagi daripada warga wilayah. Tambahan pula, aku sangat melugai dengan nama tempat yang seakan-akan sama. Sekarang.

* * * * *

Kisah bertajuk "*Mei Shair To Nahi..." ini terkarang sewaktu aku berusia tiga-empat tahun lebih muda. Tersiar dalam e-group MSN yang sudah pupus. Bergalau sedikit fiksi, banyaknya realiti. Jadi akan ada perkara yang masih kekal dan ada pula yang berubah secara rawak. Tapi terasnya tetap sama; nostalgia.

* * * *

Aidilfitri terintai-intai di balik tabir Syawal. "Sabar...", Ramadhan mengujar, "...beri peluang manusia mengejar Lailatul Qadar". Di bumi, manusia tercari-cari raya yang sempurna, kononnya. Di langit, hilal hampir purnama.

* * * * *

Tidak sabar rasanya menjejak kaki di negeri sendiri. Malamnya, bolehlah menunaikan zakat buat kali kedua dalam hidup. Satu kepuasan tak terungkapkan bila mengenangkan diri yang dulunya serba kekurangan, ditahana (harap maklum, bukan ditahan, terima kasih) pula pengawal keselamatan di KOMTAR, kini sudah ada kemampuan menunaikan kewajiban selaku hamba Tuhan. Sesudah itu, bertakbir ramai-ramai semahu-mahunya, mendayu-dayu dengan nada paling sayu (walau ada yang kata sepatutnya penuh semangat, bagiku terserah pada individu, aku memang pilih yang paling menyentuh kalbu).

Suatu hari, waktu masih bersekolah rendah, aku ke Jalan Pasar Malam. Nama betulnya entah Jalan Aman atau Jalan Sentosa, aku pun ingat-ingat lupa (hilang ingatan umpama Jason Bourne agaknya). Di situlah letaknya gerai kuih-muih dan aneka lauk sepanjang bulan puasa. Tidaklah semeriah Jalan Raja Alang. Memadailah untuk penghuni pekan sebesar itu. Kalau pekan pun, alahai, sudah sebesar itu, apatah lagi kampungku. Kampungku kecil sahaja. Kata orang putih, 'Smallville'.

Berbalik kepada Jalan Pasar Malam tadi. Di muka simpang ada kuarters hospital, tempat teman wanitaku tinggal (iyalah, kawan, rakan, bukankah ertinya teman?). Tapi suasana sudah sunyi, pagar rapat berkunci. Dedaunan gugur perlahan-lahan persis bullet-time dalam cerita Matrix. Aku berkata pada emak, "Syok la depa no mak no. Raya-raya buleh balik kampung. Kita ni, hari-hari balik kampung". Emak tersenyum, "Yalah, depa masa ni saja la buleh balik kampung pun". Aku tak puas hati. Teringin juga merasa nikmat balik kampung macam orang lain. Emak menyebut, nantinya aku akan jadi orang jauh. Tak pasti aku saat itu kalau-kalau emak punyai kasyaf.

Itu cerita belasan tahun lalu, masa muda-muda dulu. Tepung talam ku sangka seri muka, ramalan emak nampak gayanya benar belaka. Rupa-rupanya, yang kita sangka nikmat bukanlah seindah mana. Itulah resam hidup, ada perkara yang kita peroleh, banyak juga kita korbankan. Sebulan lamanya bulan puasa, sebulan jugalah aku tak berbuka dan makan so' dengan keluarga (so' bunyinya 'sock', tapi bukanlah maknanya orang Utara makan stokin, nak kena haria la tu, sahur maksudnya). Tika teman-teman sudah sampai di kampung 30 Ramadhan ini, aku hampir pasti baru berada di Sepang. Menanti bas udara pukul lima petang.

Teringat pantun lama:

Pulau Pinang bandar baharu,
Kapten Light menjadi raja;
Kalau terkenang kisah dahulu,
Duduk mengalir si air mata.

Tapi, dengan segala yang aku alami di kotaraya ini, aku sudah jadi mangli. Rupanya, manusia cenderung memandang sepi perkara yang berlaku selalu. Lama tak ketemu, mulalah merindu. Orang-orang macam aku (janganlah panggil pujangga, aku bukan siapa-siapa, aku akulah jua, aku seadanya) boleh jadi ditakdirkan untuk mengecap jadam belaka supaya ilham mencurah-curah tiba agar teman-teman tak keputusan cerita. Membuat aku lekas dewasa lebih awal daripada genap suku abad pada usia.

Dunia ini kecil lagi misterius sifatnya. Ada ketika, insan yang hanya kita kenali di ruang maya, tahu-tahu sudah jadi orang rumah (er, maksudku housemate, ah, lebih kuranglah). Suatu masa, semester berikutnya baru berpeluang bertegur sapa, tahu-tahu sudah jadi sepupu. Kita takkan tahu bagaimana orang melihat kita walhal seingat-ingat kita, tiada apa pun kita lakukan begitu istimewa. Aku memang malas bertanya. Tahu-tahu, aku tersenyum sendiri."Kulaan niring, napa takurihing?". Entah siapa bersuara, sedang aku baru kembali ke dimensi asal. "Saja" aku membalas kuat-kuat. Orang lalu-lalang tercengang-cengang, menggeleng-geleng kehairanan. Yang penting aku faham maksud ungkapan Banjar itu. "Sedara-mara tengah tengok tu, ko senyum-senyum apsal?".

Aku lancar bicara dengan tulisan meski biasanya bungkam seribu bahasa dengan lisan. Demikian, lain aku maksudkan, lain orang tafsirkan. Kiranya terkasar, tersilap tutur kata, lebih kurang pohon dimaafkan. Andai ada termakan, terminum, anggaplah halalan toyyiban. Kalau terhutang, cepat-cepatlah tuntut. Manalah tahu, ini detik penghabisan.

Aku tak miliki materi, justeru buat teman-teman tiada apa dapat ku beri. Apa yang mampu aku sumbangkan hanyalah kenangan. Berwasiat Jalaluddin Ar-Rumi, yang aku abadikan dalam sajakku, "Awal Sebuah Harapan... Atau Akhir Sebuah Impian" pada suatu malam yang syahdu. Katanya, "Sesudah pergi, usah ditanya di mana letaknya kubur di bumi ini. Kubur letaknya di hati orang-orang yang mengingati".

* * * * *

Teman terbina atas dasar percaya. Antara lainnya, percaya bahawa masih ada yang memandang dimensi berbeda, walau semuanya menatap rembulan yang sama. Selamat tinggal Putrajaya. Selamat tinggal semua. Panjang umur ketemu lagi. Salam setulus fitrah insani.

*Aku Bukanlah Seorang Penyair...

Monday, September 24, 2007

Kesedihan Tanpa Kesudahan...

Bukan sekali ini sahaja. Sudah banyak kali. Tapi mereka memang enggan menaakul dan mengiktibari barangkali.

Lalu timbullah pelbagai cadangan yang kadang-kadang lebih mirip kepada merepek meraban yang bukan-bukan.

Kalau kalam qadim itu diizinkan bersuara, sudah menjerit-jerit ia agaknya. "Hei, apa punya 'uud kalian ini. Aku 'kan ada. Guna pakailah saja!"

Cuma kala qadim itu memang tak bisa bersuara. Mungkin itulah sebabnya mereka terus teraba-raba dalam terang cahaya. Langsung melupakan hukum Tuhan. Yang dalamnya ada jaminan pencegahan dan kegerunan. Yang paling utama, jaminan keadilan.

Kg. Tekek, Pulau Tioman
Sabtu, 10 Ramadhan 1428 Hijriyyah