Thursday, November 27, 2014

Angkara Dosa...

Semenjak dua mengalami kehilangan berturut-turut dalam tempoh 11 hari, aku membius perasaan dan jiwa ini dengan mendengar siaran IKIM.fm.  Frekuensi ini sebenarnya menjadi kegemaran aku mengubat hati yang kurang kesempatan mengikuti majlis-majlis agama lantaran disibukkan oleh dunia.

Petang tadi, dalam perjalan mengambil anak di tadika, dibacakan soalan seorang pendengar kepada hos seorang yang bergelar Dr.  Ditanya apa sebabnya sudah berniat untuk bangun malam dan beramal ibadah yang lain, tetapi tidak berjaya dilakukan.  Jawab si Dr., hal yang sama pernah dialami seorang sahabat Nabi.  Kata Nabi, berlakunya perkara sedemikian disebabkan dosa seseorang menghalangnya melakukan amal kebaikan.

Monday, November 24, 2014

Pedih...

Kadang-kadang, dalam sukar menahan kepahitan kehilangan yang berturutan kita terpaksa jua teruskan kehidupan meski tidak pasti sejauh mana mampu bertahan. 

Wednesday, April 09, 2014

Tuhan, Tolonglah, Aku Ingin Berhijrah Dengan Terhormat

Apabila kita minoriti, dan dalam minoriti itu masih tidak menunjukkan kesatuan yang kukuh dan orang yang diharapkan menaungi kita sekadar ambil mudah perkara-perkara yang bakal menjerat dan menjerut diri orang bawahannya.

Apabila kita minoriti, dan dalam minoriti itu orang yang diharapkan menaungi tidak terbuka dengan nasihat dan pandangan yang kita usaha dapatkan daripada rakan sejawatnya yang selalu pun ia jumpa di mesyuarat-mesyuarat utama, dengan sangkaan buruk bahawa kita membelakangkannya.  Walhal nasihat dan pandangan itu boleh membantunya membuat pertimbangan dan keputusan objektif.

Apabila kita minoriti, dan dalam minoriti itu orang yang diharapkan menaungi malas mendengar masalah sebaliknya hanya ingin mendengar berita happy-happy.

Apabila kita minoriti, dan dalam minoriti itu orang yang diharapkan menaungi cepat berubah-ubah emosi, sekejap berbelas ihsan sebentar sarkastik mengecam perli-perli dan kemudian kembali ceria.

Apabila kita minoriti, dan dalam minoriti itu orang yang diharapkan menaungi selalu menguji dengan soalan atau meminta pandangan, yang jawapan atau response dikehendakinya bukan kejujuran yang kita ungkapkan.

Apabila kita minoriti, dan dalam minoriti itu orang yang diharapkan menaungi menyibukkan kita hari-hari tentang perkara-perkara kecil sedangkan perkara-perkara besar seperti visi dan hala tuju organisasi atau benchmarking dengan tempat-tempat hebat tidak dibuat.

Maka apatah lagi yang dapat diharapkan selain doa kepada Allah agar kita diselamatkan dan cepat-cepat keluar ke tempat lain meninggalkan segala benda mengarut ini.  Mana mungkin ada kemajuan kendiri kalau begini gayanya.

Padaku, saat aku melangkahkan kaki keluar dari tempat ini, tidak mungkin aku 'kan berpaling lagi.  Tempat lain belum tentu menjanjikan kebahagiaan, tetapi kalau aku kekal di sini pun apa sangat bentuk ketenangan fikiran yang aku kecapi.  The other side is not necessarily the greener pasture, but unless I give it a try, I would never know.  Aku menanti saat itu, untuk mengucapkan, good bye and good-riddance.

Ya Allah ya Tuhanku, kalau ada cebisan amalan kebajikanku, aku mengharap dan merayu agar Engkau kabulkanlah permintaanku.  Amin, amin, amin, ya Rabbal 'Alamin.

Thursday, January 10, 2013

Perihal Gadis Oren, dan Amnaa Raihanah: Kisah Anak Ayah

Semasa MC dua hari yang lalu selama dua hari, aku berdepan dengan masalah keboringan selain masalah kesihatan.  Wi fi di rumah modemnya rosak.  Dengan tarikh gaji yang memakan masa berminggu-minggu lagi, aku tidak begitu berani untuk sewenang-wenangnya membelanjakan baki dalam akaun simpanan sesuka hati.  Sebabnya akhir-akhir ini sering terjadi bakinya menyusut dek perkara di luar jangkaan.  Housemate ku yang perlu outstation misalnya memerlukan RM800 segera untuk tambang kapal terbang yang tidak sempat dikeluarkan L.O. kerana masa terlalu suntuk dan had kad kredit telah dilampaui.  Itu belum kira sakit demam, makan minum yang sesekali terasa teringin menikmati hidangan yang lebih mahal dari biasa walaupun hasilnya sama kenyang juga.  Nampak tak?  Oleh yang demikian terpaksalah aku menahan diri terhadap perkara-perkara yang boleh aku buat begitu.

Aku membelek-belek buku-buku yang ada di rak.  Banyaknya buku-buku genre berat termasuk Sains Politik.  Giler ke hape sakit-sakit nak baca buku macam tu?  Niat asal terlintas nak baca buku Jeffrey Archer, tapi kompilasi yang tebal itu tiada pula dijumpai.  Akhirnya aku ternampak buku yang belum dibuka balutan plastiknya.  Buku itu housemate ku yang pilih semasa Pesta Buku Antarabangsa di PWTC setahun dua nan lalu.  Terbitan Institut Terjemahan Negara, bertajuk "Gadis Oren".

Sesuatu karya bertulis itu pasti membuat pembaca terdorong untuk terus membaca sekiranya permainan bahasanya lain daripada orang lain.  Begitulah yang aku alami apabila membaca "Gadis Oren".  Seawal halaman pertama lagi telah cukup meyakinkan aku bahawa novel nipis ini sangat menyihir. 

Setakat dua hari bercuti sakit aku belum habis membacanya lagi.  Tetapi ada halaman-halaman tertentu yang apabila membacanya terasa seolah-olah kisah aku dan Amnaa sebagai anak dan ayah.  Contoh ayat lebih kurang, "Suaraku nyaring tetapi suara ayah lembut".  Kan memang macam suara anak aku tu.  Waktu dia beremosi la.  Waktu dia bersopan-santun memang sapa-sapa yang dengar macam nak bagi seringgit.  Paling tak boleh blah tu ialah apabila ditulis dalam novel tentang 'aku' (merujuk kepada watak Georg si anak) yang "mencelapak bahu ayah untuk mencapai hujung pokok Krismas".  Kan macam perangai anak aku tu, walaupun time dia bergantung (kokko kata orang Tanjung) di belakangku ialah waktu aku duduk sujud, duduk di antara dua sujud atau berwirid.  Ada beberapa ketika dia seperti tergantung di belakang badanku ketika tangannya memaut leherku.

Dalam novel yang sama, dimuatkan juga sindiran rentas budaya, tentang perangai ahli politik yang menjawab "No comment" apabila ada soalan sukar dijawab (aku baca sebagai jawapannya 'ya' tetapi ahli politik mana nak mengaku salah).  Sindiran juga terhambur kepada watak ayah tiri Georg, Jorgen yang mengahwini ibunya.  Kunun-kunun tampak sedih melihatkan Georg yang kehilangan bapa kandung, tapi tak terasa sedih pula mengambil ibu Georg yakni isteri kepada ayahnya sebagai isteri.  Bukan setakat rumah, malah bilik tidur pun diambil sekali.  Juga tentang kenakalan kanak-kanak di mana jua, dalam novel ini digambarkan Georg telah berminggu-minggu tidak mencuri 10 kroner.  Turut terdapat ialah jukstaposisi yang menggelikan berbaur menyedihkan.  Misalnya, apabila disebutkan tentang perabot tertentu di dalam rumah Georg tempat bapanya iseng-iseng suatu ketika dahulu, tetapi kini tidak lagi kerana pertama; bapanya sudah tiada lagi, kedua; kerana perabot yang bergoyang akan mengganggu kerja-kerja Georg dalam menulis buku tersebut.

Ada babak yang berperisa dewasa, maklumlah apa sahaja yang dapat dikaitkan dengan oren.  Hal itu kurang sesuai untuk bacaan kanak-kanak belum mumaiyiz kerana bisa menggelapkan hati.  Begitu juga perihal perbuatan sumbang di antara ibu Geog dengan Jorgen sewaktu mereka berkasih-kasihan sebelum kahwin dan disaksikan sendiri oleh Georg di balik kamar beradu.  Selain terasa kesunyian ketiadaan ayah, terasa bodoh juga, kata Georg, sekurang-kurangnya tutuplah pintu atau pesan kepadanya bahawa mereka ingin tidur.

Pernah dengar Sophie's World?  Sungguhpun belum pernah membacanya aku tahu ia novel yang hebat.  Penulisnya orang yang sama mengarang "Gadis Oren".  Rumusanku ialah karya kesusasteraan bukan semesti novel falsafah yang berat.  Yang itu biarkanlah penulis yang cenderung kepadanya menulis.  Karya sastera boleh sahaja jadi dalam bentuk lawak sentul dan bengong-bengong macam "Gadis Oren" ini.  Yang penting ada mesej dan ilmu.  Mungkin suatu hari nanti akan terhasil karya sastera kompilasi surat-menyurat "Amnaa Raihanah: Kisah Anak Ayah".

Wednesday, January 02, 2013

Bentuk Kejiranan Mempengaruhi Sahsiah Anak

Pepatah Cina zaman purbakala ada menyebut perihal "Ibu Mencius berpindah tiga kali.".  Apabila dipantulkan kembali ke zaman kini. atau lebih tepat lagi realiti yang dipaparkan oleh anakku sendiri, ternyata bidalan itu tepat sekali.  Persekitaran sesungguhnya memainkan peranan penting dalam mencorakkan peribadi dan tingkah laku seseorang kanak-kanak.  Kalau Mencius sewaktu menetap di kawasan jirat terikut-ikut dengan gelagat upacara pengkebumian meratap menangis dan sebagainya, dan apabila menetap di kawasan pasar pula meniru-niru gelagat penjual yang ada kalanya terangkum sekali muslihat tipu daya menarik dan memerangkap pembeli, maka demikianlah juga dengan anakku kini.  Anakku yang ku kenali memang yakin diri dan tertarik juga dengan unsur-unsur kesenian, tetapi sesungguhnya apa yang dilakukannya kini sangat-sangat tidak menyenangkanku sebagai ayah yang peka dengan perkembangan peribadi anaknya.  Aku tak kisah sangat kalau ia obses dengan Upin dan Ipin hatta apabila dibuka laptop atau iPad pun disuruhnya kami paparkan YouTube siri kartun itu, tapi yang menjengkelkan aku ialah apabila ada siaran nyanyian dan tarian di tivi maka akan terlihatlah anakku itu bergencok-gencok di depan kami.  Demikian juga apabila ia marah-marah, caranya itu melambangkan persekitaran kejiranan tempat pengasuhnya tinggal.  Atas sebab itu, aku bertekad apabila sampai ketika dan kewangan mengizinkan, nescaya kami akan berpindah kediaman dan ia akan ku hantar ke tempat yang lebih wajar untuk perkembangan inteleknya, sebagaimana Mencius akhirnya berpindah buat kali ketiga di kawasan sekolah dan kemudiannya menjadi orang terbilang dalam sejarah China.

Saturday, August 18, 2012

Salam Aidil Fitri & Jawatan Kosong Account Assistant di Alex Stewart Penang

Salam Aidil Fitri buat semua, minal a'idin wal faizin wal maqbulin.

Nota:

Diperpanjangkan jua mesej daripada Encik Suffian Merican dari syarikat Alex Stewart (Malaysia) Sdn Bhd. Sekiranya ada yang berminat untuk berkhidmat sebagai "Account Assistant" di syarikat tersebut, sila e-mailkan resume kepada beliau di suffian@alexstewart.com.my . Kelayakan akademik sekurang-kurangnya diploma dalam bidang berkaitan. Keutamaan kepada warganegara Malaysia yang menetap di Pulau Pinang. Pengambilan segera.

Tuesday, August 14, 2012

Kemandoman Keteramatsangatan Kembali Bertamu

Sepanjang kehidupan di Putrajaya ini, best friend akan datang dan pergi secara berkala. Apakan daya, itu semua demi masa depan depa juga. Dulu si Adnan Mantap, setelah lama bergelar pegawai kontrak menyahut panggilan jawatan tetap sebagai pegawai Jabatan Tenaga Kerja di Butterworth. Hilang sorang kawan.

Begitu juga dengan Dek Zek. Sekarang ini dapat juga get in touch sekejap timbul sekejap tenggelam. Tapi dulu sewaktu selang beberapa malam makan sama-sama, bermalam di rumah masing-masing di Flat Hijau mahupun flat Teras Jernang, sampai satu waktu diberitahu kepadaku dia dapat KPLI dan akan berangkat ke Ipoh. Hilang lagi sorang kawan.

Raiz, kawan seofisku kini, sama-sama satu batch di kejiranan orang kampung ini. Aku 2-3 minggu melapor diri, dia sudah hendak melangkah pergi. Menyambung pengajian peringkat sarjana di fakulti universiti serupa denganku. Betapa cepatnya masa berlalu, awal bulan sembilan ini sudah mula bercuti. Akhu hilang sorang kawan lagi.

Terakhir, sebentar tadi, kawan sekuliah sewaktu sambung belajar, sama-sama mengeteh waktu kelapangan sambil diskusi hal-ehwal pelajaran dan peluang-peluang perniagaan bagi mengubah nasib diri dan gaya hidup sehari-hari. Sudahnya, KDU Pulau Pinang memanggil, dan dalam keterdesakan mengubah nasib diri sudah pasti dia menyahutnya. Seperti Adnan Mantap, Dek Zek dan Raiz, aku kehilangan best friend buat kesekian kali.

Nasib baik ada anak isteri, kalau tidak besar kemungkinan aku akan rasa sangat-sangat down macam dulu-dulu. Sebagai manusia, sekarang ada juga perasaan kemandoman keteramatsangatan itu, cuma tidak seteruk masa lalu.

Wednesday, April 13, 2011

Galeri Anakanda Bonda

  • Sebuah syarikat milik penuh Bumiputera

  • Bercita-cita untuk disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Malaysia

  • Menampilkan produk-produk pakaian bayi dan kanak-kanak

  • Kualiti baik, harga murah (tidak termasuk bayaran pos) & tiada kos lain yang tersembunyi

  • Produk-produk baru sentiasa ditambah dari semasa ke semasa

  • "Special request" boleh dipertimbangkan 

  • 100 pelanggan bertuah sepanjang April 2011 akan menerima sesuatu yang istimewa

Ingin tahu perkembangan terbaru? Sila klik di sini

Sunday, February 13, 2011

Memahami Konflik Rumah Tangga & Perangai Jiran Tetangga...

Menurut Kamus Sains Politik: Politik Perbandingan (Halimah & Rohaida 2007), konflik merujuk kepada “...Pertentangan secara sedar dan langsung antara individu atau kelompok kerana sesuatu kepentingan. ...Dalam konteks politik pula, konflik sering melibatkan persaingan merebut kuasa dan kejayaan menjatuhkan lawan. ...Secara amnya, konflik dapat dibahagikan kepada empat jenis iaitu pertikaian, ketegangan, krisis dan peperangan. ...”

Sebagai sebuah negara, walaupun kecil dari sudut geografi, Singapura tidak terkecuali daripada konflik. Pada asasnya, konflik yang dihadapi oleh Singapura boleh dikelaskan kepada tiga peringkat seperti berikut:

(i) Konflik Dalaman

- Tuntutan wanita untuk mendapat layanan sama rata

(ii) Konflik Serantau

- Pertikaian dengan Malaysia melibatkan isu semakan harga air dan tuntutan Pulau Batu Putih, Pedra Branca dan Middle Rocks

- Keselamatan Selat Melaka

(iii) Konflik Antarabangsa

- Sokongan terhadap Amerika Syarikat dalam tindakan ketenteraan terhadap Iraq dan memerangi keganasan antarabangsa

- Hubungan dengan China dan Taiwan

- Pelaksanaan hukuman mati ke atas penjenayah

Berdasarkan maklum balas dan tindak balas Singapura terhadap konflik-konflik yang berbangkit, dapat dikesan bahawa Singapura sentiasa bersikap tegas dan berkeyakinan tinggi terhadap pendiriannya terutama apabila melibatkan konflik serantau dan antarabangsa. Singapura tidak dibelenggu rasa rendah diri walaupun berdepan dengan kuasa besar dunia. Misalnya, meskipun China mendesak supaya lawatan ke Taiwan oleh Lee Hsien Loong pada tahun 2004 dibatalkan kerana didakwa tidak selaras dengan dasar One China Policy, namun lawatan tersebut tetap diteruskan. Justeru, tidak hairanlah konflik dengan negara kurang berpengaruh lebih mudah ditangani. Umpamanya, apabila Malaysia menuntut kenaikan terhadap harga air per seribu gelen yang lebih munasabah berbanding harga sedia ada iaitu tiga sen, Singapura tidak akur dengan tuntutan tersebut. Sebaliknya, isu dialihkan dengan berhujah bahawa kadar harga baru perlu dipersetujui bersama selaras dengan Perjanjian Air 1961 dan 1962. Singapura juga tidak sewenang-wenangnya berganjak apabila mereka telah membuat sesuatu keputusan. Contohnya, sungguhpun kepimpinan baru menerajui Malaysia pasca-Mahathir lebih berdiplomasi dalam menyelesaikan konflik, namun Singapura tidak menarik semula proses perundangan yang telah dimulakan.

Namun demikian, dalam menangani konflik dalaman tertentu, Singapura mempamerkan sedikit sikap bertolak-ansur dan bersedia untuk memenuhi tuntutan yang pada hematnya tidak keterlaluan dan sudah sampai masa untuk diberi perhatian sewajarnya. Contohnya, dalam isu layanan tidak sama rata terhadap kaum wanita, pada tahun 2004 Singapura akhirnya menghapuskan kuota mahasiswa wanita yang menuntut di National University of Singapore dalam jurusan perubatan. Faedah perubatan kepada keluarga dan anak-anak yang selama ini hanya dinikmati oleh pekerja lelaki sahaja turut diperluaskan kepada pekerja wanita.

Asas pertimbangan Singapura dalam konteks hubungan antarabangsa ialah pendekatan strategik. Oleh yang demikian, Singapura bukan sahaja mempunyai hubungan diplomatik yang erat dengan Amerika Syarikat bahkan dengan China. Hubungan dingin di antara Amerika Syarikat dan China tidak dipedulikan oleh Singapura asalkan hasratnya untuk mengekalkan tahap keselamatan bagi mencapai kemakmuran ekonomi berjaya. Walau bagaimanapun, hubungan akrab yang dijalin dengan negara-negara kuasa besar tersebut tidak menjadikan Singapura “pak turut” kepada mereka. Malah, Singapura sering menegaskan keperluan negara dan pihak lain untuk menghormati pendiriannya. Perkara utama yang selalu ditekankan oleh Singapura ialah mempertahankan kedaulatannya dengan menjadikan hubungan diplomatik dengan negara-negara lain termasuk kuasa-kuasa besar dunia sebagai hubungan dua negara yang setaraf. Pendekatan unik Singapura inilah yang kebiasaannya tidak difahami oleh pelbagai pihak lalu cenderung melabelkan Singapura sebagai pro negara-negara tertentu. Hakikatnya, Singapura akan menyokong sesiapa dan apa sahaja asalkan selari dengan kepentingannya.

Senarai Rujukan

Hajah Halimah Haji Ahmad & Rohaida Baharudin (pngr.). 2007. Kamus sains politik: politik perbandingan. Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 93.

Simon Tay, S.C. 2004. Singapore: Review of major policy statements. 2004 Singapore Year Book of International Law and Contributors. hlm. 219-234.

Tuesday, February 08, 2011

Sebuah Konfederasi Di Barat Afrika...

Pengenalan

Dari segi geografi, Senegal dan Gambia terletak di sebelah Afrika Barat. Gambia merupakan negara paling kecil di benua Afrika dengan kelebaran 20 batu dan sepanjang 200 batu dari timur ke barat. Ia dilingkungi oleh Senegal kecuali kawasan persisiran pantai Lautan Atlantik Utara sepanjang 50 batu (Mwakikagile 2009).

Idea penubuhan sebuah konfederasi yang menggabungkan Senegal dan Gambia bertitik tolak daripada peristiwa rampasan kuasa di Gambia yang berjaya ditumpaskan melalui bantuan ketenteraan oleh Senegal dengan kekuatan seramai 3,000 anggota (Rouvez et al. 1994; Nohlen et. al 1999). Semasa rampasan kuasa pada 30 Julai 1981 yang diketuai oleh Kukoy Samba Sanyang berlaku, Presiden Gambia iaitu Sir Dawda Kairaba Jawara berada di England untuk menghadiri majlis perkahwinan Putera Charles dengan Lady Spencer. Sehubungan itu, Sir Dawda Kairaba Jawara telah meminta bantuan ketenteraan daripada kerajaan Senegal selaras dengan Perjanjian Pertahanan 1965 (Awasom 2006; Fagbayibo 2010).

Oleh yang demikian, pada 17 Disember 1981, presiden kedua-dua negara iaitu Abdou Diouf (Presiden Senegal) dan Sir Dawda Kairaba Jawara (Presiden Gambia) telah mendandatangani perjanjian di Dakar untuk menubuhkan Konfederasi Senegambia (Touray 2000). Selaras dengan Section VII, Final Provisions, Clause 18, Konfederasi Senegambia berkuatkuasa secara rasmi pada 1 Februari 1982 (Fagbayibo 2010). Nama ‘Senegambia’ digunakan sebagai nama konfederasi ini sempena nama yang digunakan semasa perjanjian di antara dua kuasa penjajah yang pernah menjajah Senegal dan Gambia pada kurun ke-18 iaitu Perancis dan Britain (Richmond 1993).

Matlamat Penubuhan:

Section I, Principles, Clause 2, Perlembagaan Konfederasi Senegambia telah menggariskan matlamat penubuhan yang disepakati bersama. Matlamat-matlamat tersebut ialah:

(i) Integrasi angkatan tentera dan pasukan keselamatan di Senegal dan Gambia untuk mempertahankan kedaulatan, integriti wilayah dan kemerdekaan;

(ii) Pembangunan kesatuan ekonomi dan matawang;

(iii) Penyelarasan polisi hubungan luar;

(iv) Penyelarasan polisi komunikasi; dan

(v) Klausa dalam bidang-bidang lain yang dipersetujui bersama.

Serentak dengan itu, tiga institusi utama dalam pembentukan Konfederasi Senegambia juga ditubuhkan. Ketiga-tiga institusi tersebut ialah:

(i) Institusi Eksekutif

Section II, The President And Vice-President Of The Confederation, Clause 6, Perjanjian Konfederasi Senegambia memaktubkan bahawa Presiden bagi Konfederasi Senegambia ialah Presiden Senegal manakala Naib Presiden bagi Konfederasi Senegambia ialah Presiden Gambia. Persepakatan ini dicapai kerana Senegal merupakan negara anggota Konfederasi Senegambia yang lebih besar berbanding Gambia.

Walaupun sekali imbas kelihatan pembahagian jawatan tertinggi dalam Konfederasi Senegambia lebih menyebelahi Senegal, namun peruntukan Perjanjian sebenarnya seimbang. Buktinya, Clause 7 menyatakan, Presiden Konfederasi Senegambia tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian tanpa dipersetujui bersama oleh Naib Presiden Konfederasi Senegambia dalam perkara-perkara tertentu terlebih dahulu. Misalnya, keputusan melibatkan polisi-polisi penting Konfederasi Senegambia seperti pertahanan dan keselamatan, serta pelantikan jawatan-jawatan utama di peringkat Konfederasi.

(ii) Institusi Legislatif

Perjanjian Konfederasi Senegambia memperuntukkan penubuhan dua instrumen iaitu:

(a) Majlis Menteri-Menteri (Section III, The Council Of Ministers, Clause 10)

Majlis ini akan dianggotai oleh Presiden Konfederasi selaku Presiden Majlis, Naib Presiden Konfederasi sebagai Naib Presiden Majlis dan Ahli-ahli Majlis yang dilantik oleh Presiden Konfederasi hasil persetujuan Naib Presiden Konfederasi. Bilangan Ahli Majlis hampir seimbang iaitu lima dari Senegal dan empat dari Gambia (Kupchan 2010). Tujuan penubuhan Majlis ini adalah bagi meneliti perkara-perkara yang dikemukakan kepada Presiden Konfederasi untuk dipertimbangkan; dan

(b) Parlimen Konfederasi (Section IV, The Confederal Parliament, Clause 11)

Bersidang dua kali setahun dan terdiri daripada 60 ahli (40 dari Senegal dan 20 dari Gambia). Ahli Parlimen dipilih secara tidak langsung menerusi Parlimen negara masing-masing. Dalam usaha mengurangkan kebimbangan Gambia terhadap dominasi Senegal dalam Konfederasi Senegambia, mekanisme telah diwujudkan bagi memastikan undian majoriti di kalangan Ahli Parlimen perlu mengandungi sekurang-kurangnya lima undian daripada Ahli Parlimen Gambia. Malah, seorang Ahli Parlimen Gambia juga dilantik sebagai Speaker;

(iii) Institusi Kehakiman

Menerusi Section V, Settlement Of Differences, Clause 15, Perjanjian Konfederasi Senegambia, sebarang perbezaan tafsiran dan pelaksanaan Perjanjian akan dikemukakan kepada Presiden Konfederasi untuk diselesaikan hasil persetujuan bersama dengan Naib Presiden Konfederasi. Sekiranya Presiden dan Naib Presiden gagal untuk bersetuju dengan penyelesaian tersebut, salah seorang daripada mereka boleh merujuk perkara tersebut kepada penimbang tara. Dalam usaha menyelesaikan perbezaan tafsiran dan pelaksanaan Perjanjian secara lebih berkesan, Confederal Court of Appeal telah ditubuhkan pada tahun 1987. Mahkamah tersebut akan diketuai oleh seorang hakim daripada negara berkecuali (Touray 2000).

Kejayaan 1: Mengukuhkan Tahap Keselamatan

Penubuhan Konfederasi Senegambia yang meletakkan aspek keselamatan sebagai salah satu daripada matlamat utamanya telah berjaya mengekang ancaman terhadap kedua-dua negara. Menurut Fagbayibo (2010), Senegal misalnya terpaksa berdepan dengan ancaman kumpulan fundamentalis Islam, kumpulan pemisah etnik di wilayah Casamance, dan golongan anti kerajaan yang didalangi oleh para pemimpin negara berjiran seperti Kwame Nkrumah (Ghana), Ahmed Sékou Touré (Guinea) dan Muammar Ghaddaffi (Libya). Sementara itu, Gambia pula perlu menghadapi kumpulan penentang yang dipercayai mendapat sokongan Libya dan Guinea Bissau. Selaras dengan protokel keselamatan yang terkandung dalam Perjanjian Konfederasi Senegambia, pasukan tentera bersama yang dikenali sebagai “Confederal Brigade” telah ditempatkan di enam lokasi strategik kedua-dua negara bagi mengawal keselamatan daripada ancaman anasir-anasir terbabit. Menerusi kerjasama pertahanan ini, Gambia menyumbang satu pertiga daripada anggota tentera dan satu pertiga daripada dana (Kupchan 2010).

Kejayaan 2: Kerjasama Bidang Kebudayaan

Menurut Touray (2000) dalam buku The Gambia and the World: A History of the Foreign Policy on Africa’s Smallest State, 1965-1995, kerjasama dalam bidang kebudayaan merupakan kerjasama paling dinamik merangkumi pendidikan, pertukaran budaya, belia dan sukan, penerangan, pelancongan, kesihatan, kebajikan dan Palang Merah. Contohnya, bagi pendidikan peringkat menengah, kerajaan Senegal memperuntukkan kuota sebanyak empat tempat kepada remaja Gambia yang berminat untuk belajar di Prytanée Militaire de Saint-Louis yang memberi pendidikan percuma kepada anak-anak anggota tentera. Bagi pendidikan tinggi pula, kerajaan Senegal menaja sepuluh tempat di University of Dakar untuk mahasiswa Gambia. Sebagai balasan, kerajaan Gambia memberi peluang kepada pelajar dari Senegal untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke Gambia yang merangkumi pengajian bahasa Inggeris (Touray 2000).

Kejayaan 3: Hubungan Luar

Penyelarasan polisi hubungan luar, seperti dinyatakan menerusi protokol yang terkandung dalam Perjanjian Konfederasi Senegambia, juga merupakan pencapaian yang membanggakan bagi konfederasi ini. Seperti diungkapkan oleh Menteri Hal Ehwal Luar Gambia menerusi wawancara dengan Radio Gambia pada Julai 1982, beliau menganggap protokol penyelarasan hubungan luar sebagai mustahak kerana ia memberi kuasa tawar-menawar yang lebih besar kepada kedua-dua negara dalam konteks perundingan antarabangsa (Touray 2000).

Kejayaan 4: Bidang Komunikasi dan Pengangkutan

Antara kejayaan dalam aspek ini adalah melibatkan penerimaan terhadap penggunaan permit perjalanan 120 hari untuk pengguna jalan raya di dalam Konfederasi Senegambia. Pembiayaan kewangan daripada Jepun juga diperolehi untuk Lembaga Pelabuhan Gambia dengan penyertaan Senegal bertujuan menaik taraf dan mengendalikan feri di Sungai Gambia. Selain itu, Dana Pembangunan Arab Saudi juga bersedia menawarkan pinjaman bernilai 40 juta franc untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi projek jalan raya Velingara-Badiana-Basse yang akan menghubungkan bahagian hilir Sungai Gambia yang bersempadan dengan Senegal (Touray 2000).

Kegagalan:

Satu hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah perpecahan Konfederasi Senegambia pada 30 September 1989 merupakan kegagalan terbesar lantas menggerhanakan kejayaan-kejayaan yang dikecapi sebelumnya. Terdapat masalah-masalah tertentu yang menyumbang kepada perpecahan tersebut:

Masalah 1:Persepsi Pemimpin Tertinggi Masing-masing yang Berbeza

Kepimpinan tertinggi kedua-dua negara mempunyai pandangan berbeza tentang matlamat sebenar penubuhan Konfederasi Senegambia. Presiden Senegal berpendapat penubuhan sebuah konfederasi sebagai batu loncatan ke arah penubuhan sebuah federasi dan seterusnya menjadi sebuah unitari. Presiden Gambia pula berpendapat bahawa penubuhan konfederasi merupakan satu-satunya pilihan terbaik dan beliau secara langsung mengenepikan sebarang usaha ke arah penubuhan sebuah federasi atau unitari (Touray 2000; Senghor 2008).

Masalah 2: Tuntutan Gambia

Pada 1 Ogos 1989, Presiden Gambia mengemukakan tuntutan supaya jawatan Presiden Konfederasi dan Naib Presiden Konfederasi digilirkan (Awasom 2006; Senghor 2008). Hal ini disebabkan Section II, The President And Vice-President Of The Confederation, Clause 6, Perjanjian Konfederasi Senegambia menyatakan Presiden bagi Konfederasi Senegambia ialah Presiden Senegal manakala Naib Presiden bagi Konfederasi Senegambia ialah Presiden Gambia. Senegal menganggap tuntutan tersebut sebagai taktik untuk melengah-lengahkan usaha mencapai bentuk integrasi yang lebih besar (Awasom 2006).

Sebenarnya tuntutan tersebut bukanlah merupakan tuntutan pertama oleh Presiden Gambia. Pada tahun 1985, beliau telah menulis surat rasmi kepada Presiden Senegal meminta supaya perisytiharan perintah darurat bagi negara Gambia oleh Presiden Konfederasi dibuat “dengan persetujuan” Presiden Gambia dan bukannya “hasil perundingan dengan” Presiden Gambia. Asas tuntutan beliau pada waktu itu ialah Perlembagaan Gambia menetapkan bahawa Presiden Gambia sahaja yang berkuasa mengisytiharkan perintah darurat di Gambia (Senghor 2008).

Pada masa yang sama, Senegal juga menghadapi konflik dengan dua lagi negara tetangga iaitu Mauritania (isu sempadan dan keganasan perkauman) dan Guinea Bissau (isu kawasan perairan yang kaya dengan perikanan dan minyak mentah). Walaupun berdepan dengan konflik sedemikian, Senegal masih komited untuk mengukuhkan Konfederasi Senegambia termasuk dalam bentuk kewangan. Misalnya, Senegal yang turut berdepan dengan krisis ekonomi dari tahun 1987 sehingga tahun 1988 masih menyumbang USD$5 juta untuk belanjawan Konfederasi Senegambia (Senghor 2008). Justeru, tindak-tanduk Presiden Gambia yang seolah-olah tidak menghargai komitmen Senegal terhadap Konfederasi Senegambia dalam tempoh yang sukar sebegitu sudah pasti menimbulkan kekecewaan dan kemarahan di pihak Senegal.

Masalah 3: Pengunduran Tentera Senegal yang Berpangkalan di Gambia

Pada 19 Ogos 1989, Senegal telah mengundurkan 300 orang tenteranya yang sebelum itu berpangkalan di Gambia selaras dengan Perjanjian Konfederasi Senegambia tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada kerajaan Gambia (Touray 2000; Awasom 2006; Senghor 2008). Senegal menerusi Menteri Angkatan Tenteranya, Medoune Fall memberi alasan kononnya tindakan tersebut adalah perlu disebabkan konflik dengan Mauritania di sempadan yang semakin memuncak sejak April 1989. Walhal sebab sebenar pengunduran tersebut seperti dinyatakan terus-terang oleh Presiden Senegal menerusi siaran langsung di televeisyen pada September 1989 ialah kegagalan Konfederasi Senegambia mengintegrasikan kedua-dua negara dan justeru tidak berbaloi untuk diteruskan. (Touray 2000). Presiden Gambia berasa tercabar dengan tindakan tersebut lantas memulakan usaha perundangan untuk membubarkan Konfederasi Senegambia (Touray 2000; Awasom 2006).

Masalah 4: Konfederasi Tidak Mendapat Sokongan Menyeluruh

Menurut Senghor (2008) dalam bukunya “The politics of Senegambian integration, 1958-1994”, rakyat melihat pembentukan Konfederasi Senegambia sebagai percaturan pemimpin dua negara dan elit politik masing-masing. Pernyataan ini ada asasnya kerana sebelum perjanjian penubuhan Konfederasi Senegambia ditandatangani oleh pemimpin kedua-dua negara, tiada sebarang pungutan suara dijalankan bagi mendapat maklum balas dan pandangan daripada rakyat negara masing-masing sama ada menyokong atau menentang pembentukan Konfederasi Senegambia.

Menerusi karya yang sama, Senghor (2008) menyatakan bahawa, Presiden Gambia umpamanya menegaskan bahawa referendum tidak diperlukan kerana kedaulatan Gambia tidak terjejas menerusi pembentukan Konfederasi Senegambia. Sikap simplistik beliau terserlah apabila menjadikan kemenangan besar dalam pilihan raya umum tahun 1982 sebagai petunjuk sokongan rakyat Gambia terhadap penubuhan Konfederasi Senegambia.

Justeru, rakyat melihat bahawa perjanjian tersebut dibuat disebabkan kepentingan peribadi pemimpin masing-masing. Misalnya, Presiden Gambia, Sir Dawda Kairaba Jawara memerlukan pembentukan konfederasi bersama Senegal agar beliau bebas daripada ancaman rampasan kuasa seperti yang berlaku pada tahun 1981 memandangkan Gambia tidak mempunyai pasukan tentera seperti Senegal (Kupchan 2010).

Masalah 5: Eksploitasi oleh Parti Pembangkang di Gambia

Berbeza dengan penerimaan rakyat Senegal yang lebih positif, rakyat Gambia diapi-apikan oleh parti pembangkang utama di negara mereka supaya bersikap negatif terhadap pembentukan Konfederasi Senegambia. Misalnya, parti People’s Democratic Organization for Independence and Socialism mengeluarkan risalah yang mendakwa kerajaan Gambia merupakan “pak turut” kepada kerajaan Senegal. Parti berkenaan juga mendakwa penglibatan Gambia dalam konfederasi merugikan rakyat dari segi politik dan ekonomi (Kupchan 2010).

Masalah 6: Gagal Bersetuju Tentang Kesatuan Ekonomi dan Kewangan

Senegal mengharapkan kerjasama yang lebih jitu ke arah kesatuan ekonomi dan kewangan supaya perbezaan harga barangan di kedua-dua negara dapat diseimbangkan dan seterusnya mengatasi masalah penyeludupan yang berleluasa di sempadan (Kupchan 2010). Caranya adalah dengan merealisasikan kesatuan kastam (customs union). Sementara itu, Gambia menganggarkan mereka akan kehilangan sekurang-kurangnya 25% daripada keseluruhan hasil cukai sekiranya kesatuan kastam diwujudkan. Sehubungan itu, Gambia mencadangkan pendekatan yang tidak tergesa-gesa bermula dengan penetapan kawasan perdagangan bebas (Senghor 2008; Fagbayibo 2010). Walau bagaimanapun, pada akhirnya liberalisasi perdagangan dengan Senegal juga ditolak oleh Gambia pada Ogos 1989 (Bach 1999). Sikap Gambia yang acuh tak acuh dalam kerjasama membuatkan Senegal begitu tersinggung (Awasom 2006; Senghor 2008).

Masalah 6: Perasaan Terancam Rakyat Gambia

Selaras dengan Perlembagaan Konfederasi Senegambia berkenaan protokol pertahanan bersama, pasukan tentera yang dikenali sebagai “Confederal Brigade” ditempatkan di enam lokasi strategik di kedua-dua negara. Walaupun penempatan pasukan tentera di lokasi-lokasi tersebut berjaya mengekang ancaman kumpulan radikal di kedua-dua negara, namun timbul pula perasaan terancam di kalangan rakyat Gambia sendiri kerana berasakan penempatan tentera Senegal di bumi mereka sebagai satu bentuk penjajahan secara tidak langsung (Fagbayibo 2010). Antara lokasi penempatan tentera Senegal ialah di kawasan pejabat-pejabat kerajaan, lapangan terbang dan stesen radio utama (Kupchan 2010). Walhal, pihak Senegal hanya melaksanakan kesepakatan yang dicapai semasa penubuhan Konfederasi Senegambia. Bantuan yang diberi juga adalah atas semangat kekitaan kerana kedua-dua negara berkongsi sejarah dan budaya yang sama sebelum era penjajahan oleh kuasa-kuasa asing seperti Britain dan Perancis. Atas dasar yang sama jugalah Senegal menghulurkan bantuan ketenteraan semasa Gambia diancam rampasan kuasa pada tahun 1981, tetapi pada masa itu tidak timbul pula kebimbangan ditakluk oleh Senegal.

Masalah-masalah yang timbul telah menyebabkan pemimpin kedua-dua negara yang terdahulu pada 12 Disember 1981 menandatangani perjanjian untuk menubuhkan Konfederasi Senegambia di Dakar, menandatangani satu lagi perjanjian di Banjul pada 21 September 1989, kali ini untuk membubarkan Konfederasi Senegambia.

RUJUKAN

Mwakikagile, G. 2009. A profile of African countries. Dar es Salaam, Tanzania. New Africa Press. hlm. 111.
Fagbayibo, B.O. 2010. A politico-legal framework for integration in Africa: exploring the attainability of a supranational African union. Tesis Ph.D. University of Pretoria. hlm. 84-87.

Richmond, E. 1993. Senegambia and confederation: History, expectations and disillusions. Journal of Third World Studies. hlm. 176.

Awasom, N.F. 2006. Anglo-Saxonism and Gallocism in Nation Building in Africa: The Case of Bilingual Cameroon and the Senegambia Confederation in Historical and Contemporary Perspective. Afrika Zamani. Council for the Development of Social Science Research in Africa & Association of African Historians, hlm. 89-90.

Ibid., hlm. 107-108.

Bach, D. 1999. The revival of regional integration in Africa. Lisboa: Universidade de Bordéus-Montesquieu, hlm. 17.

Senghor, J.C. 2008. The politics of Senegambian integration, 1958-1994. Bern: Peter Lang AG, International Academic Publishers, hlm. 255-258.

Ibid., hlm. 275.

Ibid., hlm. 279.

Touray, Omar A. 2000. The Gambia and the world: a history of the foreign policy on Africa’s smallest state, 1965-1995. Hamburg: Institute of African Affairs, hlm. 109-111.

Ibid., hlm. 114-115.

Ibid., hlm. 116-118.

Kupchan, C.A. 2010. How enemies become friends: the sources of stable peace. Princeton University Press, New Jersey. hlm. 354.

Ibid., hlm. 356.

Ibid., hlm. 360-361.

Rouvez, A., Coco, M. & Paddack, J.P. 1994. Disconsolate empires French, British and Belgian military involvement in post-colonial Sub-Saharan Africa. University Press of America, Inc. Maryland, hlm. 176.

Nohlen, D., Krennerich, M. & Thibaut, B. 1999. Elections in Africa: a data handbook. Oxford University Press Inc., New York, hlm. 411-412.

Perlembagaan

Senegambia. 1981. Perlembagaan Konfederasi Senegambia 12 Disember 1981.

Friday, January 28, 2011

Harapkan Pagar, Pagar Tak Boleh Harap...

Tanah bagi orang Melayu Islam di Pulau Pinang, terutama di daerah Timur Laut merupakan isu survival yang sangat kritikal. Kampung-kampung tradisional yang sesetengahnya telah wujud sejak lebih seratus tahun dahulu memberi nilai estetika dan makna mendalam kepada mereka, sama seperti status Kampung Baru di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Paling utama, di situlah tersergamnya lambang maruah bangsa yang masih tega bertahan di kawasan hartanah bernilai tinggi walaupun rakan-rakan sebangsa dan seagama kian lama terpaksa akur untuk tersingkir dari halaman tanah tumpah darah sendiri.

Sayangnya, entah mengapa, kewujudan kampung-kampung tradisional begini sangat-sangat tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan. Seolah-olah sakit sangat mata mereka dengan pemandangan yang kununnya tidak selari dan sesuai dengan latar belakang bangunan-bangunan pencakar langit dan binaan-binaan lain yang serba moden di sekeliling kampung-kampung tradisional tersebut. Tidak kelas dan memalukan jika dilihat pelancong, pihak-pihak tersebut antara lain beralasan.

Benar, antara aspek perkampungan tradisional yang mencacatkan pemandangan ialah masalah sistem perparitan, kurang ceria dan banyak rumah yang nampak uzur. Tapi, adakah dengan memaksa orang Melayu Islam yang menghuni perkampungan tersebut keluar dengan pelbagai alasan teknikal perundangan satu tindakan yang munasabah, bertimbang rasa dan bijaksana dalam konteks survival jangka panjang saudara sebangsa dan seagama? Bukankah lebih baik sejumlah dana diperuntukkan bagi menambah baik lanskap, prasarana dan taraf kampung tradisional sedia ada seterusnya membiarkan orang Melayu Islam mengekalkan cara hidup sedia ada?

Rupa-rupanya wawasan dan dhamir pihak-pihak yang diberi amanah, yang sepatutnya untungnya tapi malangnya orang kita juga, hanya cenderung berbentuk hal-hal tahana. Sudahlah tak mampu meramaikan orang Melayu Islam di daerah Timur Laut, yang tak berapa cangok tu pun lagi nak kena perambat. Kalau nasib baik dapatlah duduk flat atau apartment di kawasan kampung halaman sedia ada. Ibarat melukut di tepi gantang, sebab di kejiranan baru apa sangatlah flat atau apartment kalau nak dibandingkan dengan rumah semi-D, banglo atau suite. Maka penduduk asal akan benar-benar jadi seumpama setinggan seperti didakwa.

Para pelancong asing pada tahun-tahun berikutnya pula akan dibawa ke kawasan tarikan pelancongan yang baharu; sebuah muzium tanda suatu ketika pernah ada kampung tradisional orang Melayu di situ. Orang lain semua ada identiti sendiri. Depa ada ‘town’. Depa ada ‘street’. ‘Town’ dan ‘street’ lambang dinamika masa kini dan akan datang. Orang kita cuma layak ada ‘muzium’; lambang sesuatu yang telah lama berlalu, sesuatu yang telah lama pupus, tapi dikutip serdak-serdak yang tinggal lalu dihimpun buat pameran. Baguslah cara kita mengangkat martabat bangsa sendiri dengan cara begitu. Buatlah selalu.

Demikianlah nantinya pihak-pihak berkenaan akan langsung tidak punya locus standi untuk bercakap sebagai pejuang bangsa, apatah lagi untuk mempertikaikan tindak-tanduk jiran seberang tambak melainkan ditempelak, “Piiiraaahhh! Hampa pun sama!”.

Thursday, January 06, 2011

Fardhu Kifayah: Suatu Tuntutan Di Pulau Pinang...

Aku sebenarnya mengamati perkara-perkara berkaitan fardhu kifayah ini sudah lama. Tapi dengan senario semasa aku berasakan bahawa keperluan melaksanakan perkara-perkara bersifat fardhu kifayah ini sudah menghampiri tahap wajib. Itu pandangan peribadiku, dengan menyedari bawah fardhu kifayah tetap sifatnya fardhu kifayah. Cuma apabila aku sandarkan pada latar belakang geografi, khususnya di Pulau Pinang, aku rasa masanya sangat-sangat kena, malah sepatutnya jauh lebih lama maslahah umat Melayu Islam ditangani sewajarnya. Yang aku maksudkan ialah perkhidmatan bidang kepakaran profesional tertentu yang sangat sulit untuk orang Melayu Islam di negeri aku mendapatkannya, hatta di kawasan sempadan negeri yang terdekat sekalipun.

Aku akui, aku tiada kemampuan untuk merealisasikan hasrat itu. Utama, dari segi kelayakan akademik mustahil untuk aku sediakan perkhidmatan yang diperlukan.Walau bagaimanapun, satu perkara yang pasti, insya-Allah aku dan ramai lagi umat Melayu Islam akan sentiasa sokong perkhidmatan orang Melayu Islam yang lain sekiranya ditawarkan dan munasabah dari segi mutu perkhidmatan dan harga. Aku dan mereka memang mencari alternatif kepada perkhidmatan sedia ada. Masalahnya ada jenis perkhidmatan kepakaran yang langsung tiada.

Aku berikan satu contoh. Aku nak bawa bayiku berjumpa dengan pakar kanak-kanak sebab ada masalah kesihatan terutamanya ruam. Mak aku kata ada Klinik Tan & Tan di Bukit Mertajam. Klinik ini bagi aku memang popular sejak dahulu, dan established, tapi aku cuba mencari yang lebih dekat dengan rumah, area Nibong Tebal dan Parit Buntar. Selain Google, aku juga baca beberapa blog yang menyarankan klinik pakar kanak-kanak di kawasan yang aku cari. Dua blog yang aku baca, para penulisnya orang Melayu, seakan-akan endorse Ho Specialist di Parit Buntar, ada sebab cajnya yang berpatutan, ada sebab rawatan yang berkesan.

Dalam perjalanan ke Parit Buntar, aku terperasan Singapore Family & Child Clinic di Nibong Tebal sebab kedudukannya di tepi jalan. Tapi sebab endorsement di blog-blog, aku teruskan mencari lokasi Ho Child Specialist di Parit Buntar. Dalam Google kata Jalan Menteri letaknya sekitar Permatang Tok Mahat. Setahu aku, dan setelah memandu untuk mencari, memang tak ada pun sebarang klinik di kawasan Permatang Tok Mahat itu. Lalu aku teruskan ke Pekan Lama Parit Buntar, sebab di Pusat Bandar pun memang tak pernah lagi aku perasan ada klinik kanak-kanak kat situ, sementelahan cik raja kata hasil carian Google dia menyatakan lokasi klinik berkenaan di Pekan Lama.

Sejak wujudnya Pusat Bandar, Pekan Lama Parit Buntar boleh dikatakan lengang berbanding zaman kegemilangannya. Meriah seminggu sekali sahaja, petang Jumaat sebab ada pasar malam. Tapi bukanlah maksudnya aku tak pernah langsung menjejakkan kaki ke situ, cuma tak perasan pula ada klinik apatah lagi klinik pakar kanak-kanak. Akhirnya jumpa juga klinik tersebut, setelah pusing dua-tiga kali. Tengok dari luar memang colourful dari segi warna papan iklan. Kasut tinggal di luar.

Memandangkan ini kali pertama mendaftarkan bayiku, aku dan cik raja berpandangan bagaimana prosedurnya. Adakah nak dihulur I/C aku atau cik raja. Rupanya misi (aku panggil misi la dalam entri ini walaupun lebih kepada petugas kaunter dan ubat-ubatan dengan uniform pun tak pakai atau memang tak ada). Diberi kepadaku sekeping kertas yang lebih kecil daripada 1/4 kertas A4 yang dilipat empat. Ada ruang nama, alamat, nama ibu bapa, nombor telefon dll. Selepas diisi ku kembalikan semula kepadanya. Kemudian tunggu bersama cik raja dan Raihan sementara dia key in guna komputer yang terletak di bahagian bawah paras kaunter pendaftaran dialas dengan kaca lutsinar.

Sampai waktu, kami pun bertemu doktor, kebetulan tak ada pesakit lain masa itu.

Yang mengejutkan aku ialah cara layanan si Ho ini. Mungkin benchmark aku tinggi berbanding penulis-penulis blog yang recommend klinik ini, tapi expectation aku ialah sebagai doktor, tambahan pula doktor yang kepakarannya bidang kanak-kanak, layanan termasuk nada pertuturan lebih lembut dan mesra pelanggan. Tapi ciri-ciri itu aku tak dapati pada dia. Yang aku dapati ialah approach dia yang bertanya cara-cara kami handle bayi (sukatan bancuhan susu, susu jenis apa yang diberi, jenis sabun mandian bayi, cara tepuk kalau burp dll.). Tak dinafikan, sebagai pasangan yang kali pertama menimang cahaya mata, sudah tentu terdapat kelemahan dan kesilapan tertentu dalam teknik menjaga bayi. Tapi, instead of jelaskan dengan tutur kata yang berhemah, dia response dengan nada sinis lalu membebel. Hampir semua soalan tentang penjagaan bayi yang dia tanya tu kami tak lakukan kesalahan pun, tapi sama ada betul atau silap (pada pandangan dia), ulasan susulan dia tetap dalam format yang sama. Contohnya, masa dia tanya tentang sukatan bancuhan susu, berapa auns, kami jawab 30 ml satu scoop. Mana ada orang guna sukatan British dah la ni. Entah dia ni memang pak awang ka apa (sila rujuk karekter dalam drama radio Kebun Pak Awang) dia ingat kami jawab 3 auns satu scoop, then dia start nak membebel macam nak marah. Buat kerja menulis apa ntah sambil bertanya, memang la tak fokus. Bila bagitau sekali lagi kata 30 ml satu scoop sambil disahkan oleh misi, still dia response secara tak menyenangkan, "Tadi u kata 3 auns", memang sah pak awang. Nampak sangat approach nak menyalahkan client. What the heck!

Ya, dia ada juga senyum, tapi senyum dia tu bukan jenis senyuman doktor yang kita tau mesra pelanggan. Yang paling ridiculous ialah apabila dia tanya berapa lama sekali beri susu kepada bayi. Apabila cik raja menjawab setiap sejam, dia start lagi pot-pet-pot-pet dia tu. Kalau ikut dia tau berapa jam? Tiga jam sekali. Alasan: 1) Kalau nak bagi setengah jam sekali pun boleh tapi tak buleh buat kheja lain la, 2) Kat hospital pun dia buat macam tu, 3) Supaya bayi berdisiplin dan tak minta susu setiap masa, 4) Supaya kita tau sama ada bayi tu menangis sebab lapar susu atau sebab lain.

Oleh yang demikian, saja aku tanyakan soalan kat dia, so, kalau baby menangis dalam tempoh tiga jam tu biar saja la. Tau dia jawab apa? Biar saja. Satu praktis yang karut bagi aku, sebab 1) Bila bayi tegheyak, of course la kita check segala-galanya pada baby; lampin dia, perut dia kembung ka dak, then baru bagi susu. Let say, tunggu juga sampai tiga jam, then baru nak bagi susu, tak ka kembung perut budak tu. Dan kita pun larat ka nak dengar budak tu melahang tak berenti, 2) Kalau praktis dia kat hospital tu macam tu, aku rasa tu sama spesies dengan misi-misi kat hospital tertentu yang pemalas nak buat kheja lebih, lagi tak cukup jam, atau kalau budak kheyau jugak walaupun baru minum susu jugak, depa akan buat derk sampai time minum susu seterusnya, maklum la bukan anak depa, dan depa buleh la boh dalam satu bilik bagi budak-budak tu pakat-pakat kheyau ramai-ramai. Aku & cik raja bukan jenis balo' liat macam dia & co.

Satu perkara yang aku terkesan dengan keadaan ini ialah, sepatutnya semakin tinggi ilmu seseorang, dalam konteks ini semakin pakar doktor itu, semakin terserlah top-notch of his public relations and treatment. Aku teringat Dr. Mohd Hishamudin Harun, Pakar Perubatan (Haemato-Onkology) yang merawat aku di Al-Islam Specialist Hospital (sorry doc, lama tak jumpa). Hampir sepanjang masa aku lihat dia ke Masjid Kampung Baru untuk solat jemaah, memperlihatkan bagaimana orangnya, walaupun premis ni tak adil bagi doktor kat Parit Buntar tu. Cara cakapnya, cara explain kepada pesakit, at least dari segi psikologi pesakit rasa selesa. Plus point ialah every advices given will be accompanied with nasihat-nasihat agama yang ada kaitan dengan ketentuan Allah dalam kesihatan. Begitu juga kata cik raja di Hopsital Sultanah Nur Zahirah, doktor-doktor pakar kerajaan ni memang berhemah dalam berbicara, padahal ada yang dah bergelar Dato' pun. Malangnya aku tak jumpa sifat-sifat ni kat Parit Buntar tu. Sesi konsultansi rasa macam dalam keadaan tension ada la.

Aku sarankan kepada cik raja untuk dapat second opinion, sebab aku tak puas hati terutama tentang tempoh pemberian susu. So, lepas pi beli pampers dan alat-alat bayi kat Manjaku, kami gerak sekali lagi ke Singapore Children & Family Clinic (Nibong Tebal) yang buka semula pada pukul 2 petang. Kasut boleh letak di dalam, ada ruang petak segi empat selepas pintu masuk, ruang tersebut lebih rendah dan berlainan warna dengan jubin lain di luar petak. Di sini, aku dapati elemen profesionalisme lebih meyakinkan berbanding klinik di Parit Buntar itu. Semasa pendaftaran, petugas wanita, yang walaupun tidak beruniform, mengeluarkan satu folder kertas lebih kurang saiz A4 untuk particulars pesakit. Folder macam tu mengingatkan aku kepada standard yang terdapat di hospital swasta. One good impression at first sight. In fact, at first dia nak tolong isikan nama Raihan dan particulars seterusnya, tapi sebab aku rasa daripada aku menyebut dan mengeja kat dia lebih baik aku tulis sendiri. So, dia bagi sebatang pensel untuk aku tulis sebelum dia key ini dalam database.

Kami menunggu untuk dipanggil masuk. Rupanya, petugas itu nak timbang berat Raihan. Another good impression. Ini baru profesional, siap timbang berat bayi. 3.2 kg dah. Then, baru dipanggil masuk oleh doktor lelaki itu sendiri. "Amnaa...". Wah, ada kemajuan.

Seriously, obviously ada ketenangan fikiran dan perasaan apabila pintu dibuka. Hello, doktor menyapa. Cakapnya pun lembut. Sepanjang sesi konsultansi, dia bersikap terbuka dengan soalan-soalan yang ditanya kerana katanya memang itu soalan-soalan biasa bagi bayi pertama. Mungkin dia boring nak jawab soalan-soalan yang sama, tapi bagi kami ini pengalaman pertama. Cuma kalaupun dia boring semua soalan tu dia still jawab dengan nada suara yang munasabah dan melegakan kami.

Cuma masalah orang sains ni selalu berpegang kepada logik dan penemuan saintifik. Misalnya, bab pakai barut, dia propose theory bahawa bayi dipakaikan barut kerana takut angin (sebenarnya ada rasional lain bayi dipakaikan barut). Kalau ikut kata dia, manusia ni sepanjang masa dalam badan dia ada angin. Then, bila dia start nak bagi ulasan berangkai aku rasa dia ni dah macam hat Parit Buntar tadi dah ni. Antaranya, dia kata kalau angin boleh masuk kot pusat bayi yang dibarut tu, kalau mandi pun air boleh masuk jugak. So katanya, bila pusat bayi dah tanggal then automatically ruang dah ditutup. Dan dia tambah lagi, kalau betul-betul tak mau angin masuk ke badan bayi, kena tutup seluruh badan, which for me is a lame reasoning (and irritating too). Dalam hal ini, aku mengambil sikap taking the best from both worlds. Sebab sains tak semestinya menawarkan nasihat yang terbaik dan paling mujarab. Tradisi dan kaedah alternatif juga bukan superstitious yang menghasilkan petua-petua out of nowhere. Orang tua-tua berpetua berdasarkan pengalaman. Mana kita tahu berapa banyak juga trial and error dalam proses tersebut, tapi rumusannya sudah tersedia untuk kita amalkan. Macam jugak aya' dan minyak selusuh untuk mudah bersalin, sains bukan percaya tu semua. Aku beri satu analogi kepada cik raja, dalam proses penyembuhan kanser, doktor akan sarankan supaya buat kemoterapi. Kesan pada tubuh pesakit jangan cerita la, rambut gugur, badan jadi seghoh. Tapi ada rawatan alternatif, cara Islam misalnya, macam Ustaz Mail dekat rumah aku ni buat aya' yang dibaca ayat-ayat suci. Ada pesakit yang hilang kanser dengan izin Allah, sampai doktor pun naik hairan, dah tentu ada perkara-perkara yang sukar dijelaskan secara saintifik. Cuma masalahnya doktor bagi kata dua kalau tak teruskan perubatan dengan cara kemoterapi ni depa takkan bertanggungjawab kalau apa-apa jadi. Rawatan kemoterapi diteruskan dan sel kanser menyerang kembali. Maknanya, kita jangan taksub dengan satu-satu pegangan, tak kira la dalam mazhab akidah atau maslahah hidup. Ada la sebab-musababnya bayi dibarut, dibedung dll. yang pada pandangan sains bukan satu keperluan. Sains mungkin memandang amalan-amalan macam tu tak relevan dalam aspek tertentu, tapi sains terlepas pandang aspek lain yang dititikberatkan oleh amalan tradisi. Dan kadang-kala, layman terms macam angin dan sebagainya mungkin ada istilah lain dalam bidang perubatan, cuma orang biasa kalau perut kembung kita kata la angin. Cuba ambil perumpamaan darah. Semua orang ada darah, tapi sebab apa bila tak sihat boleh ada istilah darah rendah atau darah tinggi. Same goes to angin, when there are times that certain amount of angin could harm us. But as usual, science is always right. Disgusting.

Taksub aside, aku ajukan soalan kat dia tentang tempoh masa pemberian susu kepada bayi. Tau apa dia jawab? "On demand". See, always seek for second opinion. Kalau ikut hat Parit Buntar tu alamat menangis kehausan la anak aku sebab belum cukup tiga jam. This is not the case of wishing for the most soothing answer, but listening to the most reasonable opinion. Selain itu, doktor ini hanya beri krim untuk sapu bagi ruam Raihan, itupun paling mild katanya sebab kalau boleh kanak-kanak dia tak mau bagi ubat sangat. Pertanyaan tentang kadang-kadang nafas Raihan macam berbunyi sikit katanya normal sebab saluran pernafasan bayi belum matang. Konsultansi RM20, ubat RM10. Berbanding hat Parit Buntar tu tiga jenis ubat dibaginya; krim fungal la, ubat mandi la, ubat titik untuk hidung la, semua sekali RM69. Aku tak melihat dari segi kos ubat, tapi penting untuk tak percaya bulat-bulat pendapat sorang saja dalam apa hal pun termasuk kesihatan. To top the good impression, doktor ni siap offer untuk telefon dia kalau ada apa-apa nak tanya. Aku katakan pada cik raja, this doctor is merely being diplomatic, but in terms of offering something extra, he deserves a credit. By the way, kata pembatu perubatan tu doktor tu namanya Thomas. Walaupun dia bukan Pediatrician sebaliknya Family Practitioner, tapi layanan dan nada suara dia mengatasi orang yang kununnya pakar kanak-kanak. Raihan pun kata cik raja khusyuk saja melihat doktor tu bagi explanation tadi, masa kat Parit Buntar tu bukan main punya kheyau. Budak-budak pun boleh menilai, apatah lagi orang dewasa. Doktor pompuan di klinik ini hari Selasa, Doktor Loh.

*****
Berbalik kepada persoalan fardhu kifayah, aku harapkan orang-orang Melayu Islam yang ada kepakaran dalam bidang tertentu supaya tawarkanlah kepakaran anda tu untuk saudara Melayu Islam yang lain. Yang aku maksudkan dengan kepakaran ialah kalau doktor bukan setakat MD, sebaliknya bidang pengkhususan seperti Pediatrics dan sebagainya. Analoginya ialah seperti Radix Fried Chicken. Walaupun dari segi kualiti belum cecah tahap KFC, tapi tengoklah bagaimana sambutan orang Melayu Islam kat tempat2 yang ada Radix Fried Chicken ni, penuh sentiasa. Moralnya ialah for sure orang Melayu Islam akan sokong perusahaan saudara sebangsa seagama dia sebab orang Melayu Islam dah ada kemampuan ekonomi pun. Cuma sebab depa tak dak pilihan, so terpaksa la pi mengadu hal kat orang lain jugak walaupun depa bukannya redha sangat pun. Hakikatnya perancangan kita ni tak strategik. Kita ada ribuan doktor generalist seluruh Malaysia, tapi kita tak cater secukupnya keperluan orang Melayu Islam di Pulau Pinang terutamanya. Cuba pi ke hospital-hospital kerajaan di Pulau Pinang, betapa susahnya kelahiran anak nak diharap untuk disambut oleh doktor Melayu Islam. Doktor-doktor memang ada etika perubatannya (walaupun banyak juga yang tak beretika pun) dengan memegang Sumpah Hippocrates, tapi isunya di sini ialah keselesaan pesakit Melayu Islam. Keselesaan di sini bukan setakat terhad kepada sama agama, sama bangsa bahkan persamaan dari sudut budaya dan adat resam. Misalnya, kalau jumpa Pediatrician Melayu Islam, lebih besar kebarangkalian isu nilai-nilai tradisi seperti bagi susu kepada bayi secara kerap serta barut, bedung dan sebagainya tidak timbul. Sebab apa, sebab sesama Melayu Islam ni lebih memahami. Proses rawatan pun dekat dengan hati orang Melayu Islam. Bak kata orang-orang kampung, kurang-kurang kalau nak cucuk depa baca bismillah. Skop yang lebih luas kita boleh huraikan sendiri.

Perancangan strategik juga perlu mengambilkira penempatan golongan profesional dengan kepakaran khusus tertentu di lokasi-lokasi strategik bagi kemudahan orang Melayu Islam. Apa gunanya kita menghasilkan, contohnya, ribuan doktor Melayu Islam yang generalist, tapi bila mai tang pakar nu pakar ni kita still kena refer kat orang lain. Tak semestinya setiap daerah ada orang yang pakar, cukup kalau ditempatkan di kawasan-kawasan yang boleh memberi khidmat kepada sejumlah orang Melayu yang signifikan dalam radius yang besar. Contoh, kalau letak di kawasan Transkrian, orang Seberang Perai Selatan boleh mai, orang Parit Buntar boleh mai, orang Bandar Baharu pun boleh mai. Apapun, penempatan ni bergantung juga kepada kesesuaian, contohnya kalau Neurologist mungkin perlu letak di tempat lebih urban seperti Bandar PERDA.

Hanyasanya ingin aku ingatkan, apabila kita melibatkan diri dalam sesuatu perusahaan / bidang perniagaan dengan membawa nama Melayu Islam, kualiti dalam segenap segi termasuk layanan pelanggan perlu dipastikan berada pada tahap tip-top, kalau tidak kita hanya akan memusnahkan reputasi bangsa dan agama kita sendiri. Setakat ni memang banyak kes nama sahaja Melayu Islam di premis berlabelkan Islam, tapi servis out, sama ada tak cekap mahupun tak mesra pelanggan. Memanglah susah, tapi kita kena set benchmark macam tu, sebab tu yang membezakan kita dengan depa. 


12.34 malam
Kampung Gurun

Monday, December 27, 2010

Kabhi Khushi Kabhi Gham (Kadang Bahagia, Kadang Duka)...

Sunnatullah dijadikan setiap makhluk berpasang-pasangan. Ada pasangan jantina, ada pasangan angka, ada pasangan perasaan. Malam ini aku begitulah juga; satu seronok, satu sedih.

*****


Perasaan Seronok


Empat orang ahli keluargaku ke Batu Caves menghadiri kenduri kahwin sepupuku Yon. Jadi tinggal enam orang di rumah termasuk pembantu rumah. Seperti sedia maklum, malam ini, Tanah Tumpahnya Darahku ada perlawanan besar dan getir di Stadium Nasional Bukit Jalil. Final pertama Piala AFF Suzuki; Malaysia lawan Indonesia.


Dari riak wajah para pemain Malaysia masa nyanyian lagu Negaraku memang semangat berkobar-kobar. Habis menyanyi ada tiga empat orang players tunduk kesat air mata sebelum berlari ke tengah padang. Penyokong Malaysia pun supportive, giler penuh stadium tu dengan warna kuning. Tapi yang slack tu, ada unsur kurang integriti juga dari segi nisbah penonton. Makumat yang dihebahkan di dada akhbar bahawa Indon hanya akan dapat 15 ribu tiket. O.k., fine, walaupun aku rasa penyokong Malaysia kalau pi Gelora Bung Karno nak dapat seribu tiket pun payah. Malaysia sememangnya berbudi-bahasa dan banyak bertolak-ansur. Tu pun Indon asalnya didakwa minta 25 ribu tiket. So, nisbah tiket ialah Malaysia 75 ribu, Indon 15 ribu. Adil la tu, kalau tak apa guna Malaysia jadi tuan rumah kalau penyokong tempatan dapat tiket nak sama banyak dengan penyokong luar. Hanyasanya, berbalik kepada integriti ialah Hasbullah Awang maklumkan hampir 30 ribu penyokong Indon mengisi ruang stadium. Diulas oleh Wani, ada siaran berita siang tadi kata penjaga kaunter tiket tak larat nak check I/C. Wak long tul, tak amanah dalam berkerjaya. Tu baru pegang kuasa peringkat bawahan pun dah culas. Jadi tak hairanlah kalau Indon yang patut hanya dapat 15 ribu tiket dah dapat 30 ribu tiket. Bila tak check I/C maknanya adalah orang Indon ambil kesempatan beli tiket untuk kuota penyokong Malaysia. Dejei betui.


Permulaan permainan hampir seimbang dengan penguasaan bola lebih sedikit sahaja di pihak Malaysia. Defenders Malaysia kental bertahan, siap nampak sangat bermain secara santai yang mengakibatkan penonton di rumah macam aku dan Wani dug dag dug dag suspense isy kalaulah Indon boleh potong hantaran pendek tu memang nahas Malaysia. Indon memang bahaya dengan sayapnya, Okto yang kecil tapi lincah, sekali pandang macam Shaun Wright-Phillips pun ada termasuk dari segi tekstur warnanya. Memang kucar-kacir banyak kali jugalah pertahanan Malaysia dibuatnya.


Di pihak Malaysia, masalahnya bagi penonton yang beremosi macam aku ini ialah setiap kali menyerang nampak sangat striker kita tak dapat banyak support dari kawan-kawan, salah satu sebab utamanya ialah lambat naik ke atas. Giler ah kalau Messi jadi striker Malaysia pun mati keras la dia sorang-sorang terkentoi2 nak gelecek sampai 5-6 orang defenders Indon. Sekali-sekala mungkin boleh la, tapi setiap kali serang takdak support memang sia-sia la peluang yang ada. Ternyata, Indon belajar dari taktik Malaysia di Stadium My Dinh tempoh hari.


Kalau tadi penjaga tiket tak berintegriti, kali ni pulak cerita segelintir penyokong Malaysia yang mangka’. Semua penyokong Malaysia nak Malaysia menang, tapi takkan kita nak menang dengan cara yang hina dan keji sampai menjatuhkan maruah negara. Ini siaran langsung yang kalau satu dunia tak tengok pun satu Asean gerenti tengok. Aku merujuk kepada mamlak2 yang pi suluh laser kat keeper Indon dan benda ni berterusan sampai awal second half yang Malaysia control game. Indon sebenarnya tertekan dengan asakan Malaysia, tapi dengan tembakan laser tu Indon ambil kesempatan mencuri nafas dengan cara kunun-kunun tak mau teruskan permainan. Alasan tahap cipan saja tu sebenarnya, sama cipan dengan perangai penyokong Malaysia yang tembak laser tu. Pikia’ la panjang sikit, macam-macam kemungkinan boleh terjadi. Sekali perlawanan betul2 dihentikan dan Indon diberi kemenangan percuma tak ke naya. Tak pun perlawanan dibuat di tempat berkecuali, so takdak home advantage. Sepatah kata Wani, tak tembak laser pun Malaysia boleh menang la. Masa tu aku kata kalau selama ni penyokong salahkan players Malaysia yang main menyakitkan hati, tapi kalau apa-apa jadi sebab laser ni bukan players Malaysia dah yang perlu disalahkan sebaliknya penyokong yang tak bertamadun ni yang perlu dikutuk kaw-kaw oleh majoriti penyokong Malaysia lain. Sebab tindakan depa tu jadi bahan serangan penyokong Indon di alam siber. Lepas ni memang Vietnam tag team la dengan Indon lawan Malaysia. Kerana tindakan depa tu juga, buah-buah kilas yang penyokong Malaysia rentang kat stadium, antaranya, “100% Rakyat Malaysia” jadi tawar.


Perkara lain yang menjadi kemusykilan aku ialah macam mana alat laser tu boleh dibawa masuk. Dan jangan lupa juga ada mercun dan bunga api. Takdak ka mesin atau mekanisme yang boleh periksa dan scan penyokong yang nak masuk stadium. Begitu juga dengan tindakan lembab yang nak diambil terhadap mal’un yang mencetus sinaran laser tu. Takdak ka CCTV ka untuk mengesan lokasi dan seterusnya zoom in kepada jibauk yang suluh laser tu. Ni sampai orang-orang kenamaan kena turun ni apa cerita walaupun aku setuju patutnya depa tu awai-awai lagi dah turun dah.


Walau macam manapun players Malaysia memang superb malam ni. Bagi aku sebagai pemerhati bebas ni, yang paling rajin Kunanlan. Kalau semua pemain Malaysia macam tu bungkus lama dah Indon tu. Cuma biarpun dia sangat rajin tapi kalau member tak support tak pi mana jugak bola tu melainkan kepada keeper Indon. Yang lincah, top assist of course Norshahrul Idlan Talaha. Walaupun baru balik dari Newcastle lepas kahwin, tapi dia memang bagi Indon makan asap la. Kepakaran dia ialah bola garisan gol. Gol pertama tu menampakkan kelicikan dia mengelak body touch defender Indon. Timing dia cantik, dia biar defender Indon nak touch dia padahal tak kena pun sebab dia masih di belakang, dan dengan liciknya dia cilok bola dari dalam sebelum pass kepada Safee Sali. Giler mantap. Gol kedua pun dari gerakan garisan gol jugak. Bila masuk gol ketiga, Wani berkata hasil pembacaan akhbar ada players Malaysia yang nak balas dendam kekalahan 1-5 kat Jakarta. Dan seperti penyokong Malaysia yang lain juga rasanya, memang mengharapkan Markus tewas lagi. Kalau tak dapat 5 gol, 4 gol pun jadi sebab dari segi Matematiknya balance dengan nilai bersih keputusan di Jakarta tempoh hari. Seharusnya jaringan Malaysia bertambah sebab banyak sangat clear chance yang disia-siakan, antaranya oleh Safiq Rahim. Satu ketika juga aku dah terteka-teka sapa la gerangan penalty taker Malaysia selepas Kunanlan dijatuhkan oleh keeper. Rupa-rupanya tunggu punya tunggu punya tunggu game sambung macam biasa. Padahal keeper tu sah-sah meluru dan tangkap kaki Kunanlan bukannya tangkap bola.


Dari segi strategi di penghujung permainan nampak Malaysia agak slow down dan fokus defenders merosot. Akibatnya, Indon ambil peluang mengasak. Nasib baik Indon tak berapa sharp malam ni, kalau tak alamat bocor jaring Malaysia dan boleh kirim salam la kat Gelora Bung Karno.


Anyway, tahniah kepada skuad Harimau Malaya kerana tanpa star players anda dah buktikan bahawa anda setahap lebih padu dari skuad bola negara Asean lain. Pada hemat aku, selain boleh dijadikan alasan kalau tak dapat keputusan positif bagi setiap perlawanan, ketiadaan star players ni melonjakkan motivasi pemain-pemain yang hanya kurang ternama tetapi tidak terbelenggu dengan cerita-cerita sensasi dan ada kalanya lebih bersemangat waja untuk mengangkat maruah negara. Cuma kalau dapat approach pemain macam Brendan Gan bagus juga, bukan apa, FIFA dah bagi jalan, gunalah kemudahan yang ada. Satu lagi, yang terakhir, diet tu jagalah sama, ni kalau atlit makan laksa macam orang biasa tentulah ada tak berapa kena.


Ada temujanji yang sangat getir di Gelora Bung Karno Rabu ini, bak kata Rizal Hashim di TV1, belum tentu dua jam Malaysia boleh keluar dari stadium tu. Tapi aku tak risau sangat, sebab aku dah ternampak-nampak bas warna kuning parking depan pintu gol Malaysia dalam game tu.


Biru jersi bertuah!


*****


Perasaan Dukacita


Anakku yang pertama diserang kuning, terpaksa aku tinggalkan dia di wad untuk rawatan rapi. Kesian aku tengok dia yang kheyau most probably sebab lapar dan terutamanya waktu dinihari. Dan akulah yang menimang-nimang dan memujuknya dengan pelbagai alunan genre sama ada kalimah-kalimah zikir mahupun lagu pelbagai era. Kebanyakan masa dia akan berhenti menangis apabila aku berbuat begitu, walaupun aku ini bukanlah seorang yang berkemahiran dalam hal-hal sebegini. Kata cik raja, anakku ini kelihatannya akan kamceng dengan aku. Kata Wani, jangan jadi macam seorang anak saudara pupuku yang langung tidak boleh berenggang dengan ibunya sudah. Ada persamaan dari segi jantina yang kontra di situ, anakku perempuan sedang anaknya lelaki. Aku harap pun begitu juga.


Melihat kedua-dua belah matanya diletakkan kain penutup yang berplaster tambah menyedihkan. Di depanku kaca lutsinar, ku pandang sebelah kananku, cik raja menitiskan air mata melihatkan anakku hanya berlampin Pet-Pet dalam bekas seperti besen plastik disinari cahaya kebiru-biruan lima tiub lampu. Teringat lagu Far East, Saat Lafaz Sakinah yang aku dengar dalam perjalanan ke DBM. Ada kemungkinan aku pun nantinya menitiskan air mata seperti Chef Wan semasa hari pernikahan anaknya. Orang-orang seni ini cepat tersentuh jiwanya. Mana tahu, hari berbahagia itu, kalau panjang umur, saat aku menggenggam tangan si jejaka, aku terbayang menimang-nimang anakku saat ia menangis.


Anakku, segeralah sembuh hendaknya.



Kampung Gurun
11.59 malam

Thursday, December 23, 2010

Anakku Yang Pertama Berkongsi Tarikh Lahir Yang Sama...

Tahun 2010 ini sesungguhnya tahun penuh advencer bagi aku. Bermula mengakhiri zaman perseorangan, berpindah rumah selepas tol LDP kerana rumah lama bermisteri, kemudian berpindah rumah lagi kerana kawasan kejiranan pusat kegiatan jenayah, menghuni pula kawasan elit dengan kadar sewa berserta deposit pun elit juga, kejayaan meninggalkan tapak pembinaan piramid tapi hampir punah harapan berhijrah di jalan ilmiah kerana arahan bertugas sebagai penyelia peserta kursus datang dari pucuk pimpinan peringkat tertinggi, lalu entah macam mana nasib baik dapat juga menelusuri jalan ilmiah walaupun kemudiannya mendatangkan reba kerana orang lain sudah dua tiga minggu masuk belajar, seterusnya bertungkus-lumus dengan tugasan dan peperiksaan, dan akhir sekali menempuh pengalaman kelahiran anak sulung pada hari jadiku. Memang tahun advencer.

*****

1.47 pagi - 2.10 pagi. Perjalanan dari Sungai Bakap ke Dewan Bersalin Muslimah (DBM), Permatang Pauh. 26 km. Tahap kelajuan pada awalnya begitu santai, lebih kurang 60 kilometer sejam. Lama-kelamaan semakin laju mencecah 110-120 kilometer sejam. Di lebuh raya lengang kenderaan pun kurang. Sepanjang perjalanan agak gementar memegang stereng dan memijak pedal minyak kerana teringat kisah peserta kursus semasa program anak angkat yang memohon kebenaran dariku untuk pulang ke kampung menemani isteri bersalin anak pertama. Meskipun sedikit gementar, undang-undang trafik dipatuhi hampir kesemuanya, kecuali lampu merah di laluan keluar rumahku, itupun sebab memang jalan raya sunyi sepi dan aku dalam emergency. Oh, satu lagi lampu merah simpang ke jalan menuju plaza tol Bukit Tambun, itupun bertukar dari merah ke hijau sebaik aku membelok masuk. Sekiranya aku ditahan mata-mata, memang aku minta budi bicara sebab cik raja sudah sakit setiap lapan minit sekali.

Mak aku di belakang sekali, sebelah cik raja. Plastik kereta pun belum berbuka, sengaja dibiarkan manalah tahu ada ketumpahan.

Cik raja sakit berat yang lama. Sat saja yang lega sikit, lepas itu sakit berat itu berlama-lama semula. Mak aku jenuh juga membaca dan menjampi air mineral dan zam-zam untuknya, sambil menghembus-hembus apa yang patut. Aku pun membaca sama apa-apa yang aku tahu. Kesian cik raja. Doktor pula pada masa yang sama masih berada di sebelah Tanjung untuk kes yang sama. Lambat juga sementara hendak sampai ke DBM ini.

Aku melihat-lihat jam di bilik. Mungkinkah Raihan lahir jam 12.30 tengah hari lalu menyerap unsur-unsur ketega’ juga? Oh, nampaknya tidak kerana jam kemudiannya sampai juga ke pukul 1.00 petang.

Cik raja meminta kalau-kalau ada dos penahan sakit. Epidural saja yang ada jawab misi bertugas, melibatkan suntikan pada belakang. Aku bila bab-bab suntik kawasan tulang belakang ini memang aku minta simpanglah. Cik raja dalam sakit-sakit itu sempat SMS kepada Nani bertanya tentang dos penahan sakit. Pethidine, kata Nani. Patutlah cik raja kata memang ada dos lain selain Epidural. Misi pun tak sama level pengetahuan amnya. Bidan setuju nak beri, tapi dengan syarat doktor perakukan. Masalahnya doktor masih di Tanjung.

Bidan cuba menolong dengan menyapu dan mengaplikasikan minyak selusuh pemberian kingtimah yang diberi kepada cik raja. Dari 3 sentimeter sejak beberapa jam lalu beliau cuba menambah bukaan.

Sewaktu aku di kamar kecil untuk bersiram, kedengaran seolah-olah suara doktor memeriksa cik raja. Kemudian tiada lagi suara-suara manusia kedengaran, kecuali satu ketukan di pintu kamar kecil. Entah misi, atau mak aku, kerana sebaik keluar, siapa pun tiada.

Aku mengesyaki semuanya ke dewan bersalin. Setelah ku pastikan dengan misi-misi yang ada, aku terus ke sana. Cik raja minta aku baca Yasin.

Detik kelahiran bayi perempuanku juga seakan refleksi kelahiranku. Kerana mak dan aku ada bersama-sama cik raja hari ini. Berdekad-dekad lalu, pada tarikh yang sama, emak melahirkan aku di Hospital Daerah Bukit Mertajam. Hari ini, tarikh yang sama, kami membantu cik raja melahirkan anak sulungku, cucu pertamanya. 

Cik raja bertanya pukul berapa sekarang? Seraya aku melihat jam di tangan. Kalau ikutkan standard penetapan masa di jam tanganku, maknanya 10 minit awal. Ketika itu waktu menunjukkan pukul 3.31 petang campur beberapa puluh saat. Sekiranya kiraan minit seragam sepertimana warta berita, maka detik kelahiran bayi perempuan ini ialah 3.21 petang. Tapi ketika itu sebenarnya aku anggarkan ada barang seminit juga bayi dilahirkan. Ertinya, waktu kelahiran sekitar 3.20 petang. Nanti aku semak semula waktu sebenar tanah air sama ada selaras dengan jam tanganku. Kalau aku jadikan 3.21 petang dalam sijil kelahiran “…pun cantik juga”, bak kata Hasbullah Awang.

Kasihan bayi perempuanku, walaupun tidak sampai ke peringkat pembedahan, tapi kerana susah sungguh maka doktor terpaksa menggunakan alatan besi yang mencengkam kepalanya bagi ditarik keluar. Waktu dia keluar itu, ya Allah, seram juga aku melihat kepalanya berbekas dengan bekas cengkaman vakum itu. Sudahlah tarikh kelahirannya sama dengan hari lahirku, cara kelahirannya pun ada serba-sedikit persamaan dengan nama blogku. Aku harap kepalanya akan kembali seperti sedia kala.

Rupa-rupanya doktor dan misi serta bidan yang ada bertungkus-lumus menyelamatkan anakku yang hampir kelemasan akibat digenangi najisnya di dalam perut cik raja. Sebaik dikeluarkan misi bergelut menyalurkan saluran tiub kecil ke dalam mulut dan ke lubang hidung anakku itu, memang dalam masuknya saluran itu, aku rasa sampai ke bawah saluran kerongkong kalau pun tidak sampai ke dalam perut. Kesian aku melihatnya menangis. Apalah yang ia tahu sehingga terpaksa menderita sebegitu.

Ku hubungi mak mertua di KT dan semua kakak dan abang ipar (kecuali kinghar yang tidak menjawab panggilan) menggunakan telefon bimbit cik raja memandangkan telefon bimbitku sedang diperbaiki (kalau aku kaya sudah tentu sudah lama aku sambar Blackberry). Mak mertua yang dipanggil che itu kedengaran macam terharu dengan kelahiran cucunya oleh anak bongsunya itu. Sampai di penghujung, aku menangkap nada terkesima kerana che tidak bersuara walhal signal di skrin telefon menandakan perbualan belum terputus. Mungkin dia sebak mengenangkan anak perempuan bongsunya sudah pun menjadi seorang ibu.

*****

Anwar Ridhwan, semasa Pidato Penerimaan Anugerah Sastera Negara bertajuk "Citra Sastera dan Keprihatinan Sastera" sempena Anugerah Sastera Negara Ke-10, pada 20 Oktober 2009, di Grand Ballroom, Palace of The Golden Horses, The Mines, Kuala Lumpur, ada mengungkapkan rangkap ketujuh Syair Perang Siak:

"Sudahlah dengan takdir Allah,
Tiadalah dapat lagi disalah,
Di Luh Mahfuz suratan terjumlah,
Barang yang datang disyukurkanlah."

Zaman perseorangan dahulu aku sering juga memasang kaset Dato' MDK semasa memandu Kanc. Antara lagu yang selalu ku dengar ialah dan kini menjadi lebih bermakna ialah "Anakku Yang Pertama".


"Kini aku gembira, yang ku tunggu telah tiba, anakku lahir sudah, hai anakku yang pertama."




Kamar Siti Khadijah, DBM
Rabu, 22 Disember 2010.

Saturday, December 18, 2010

Bila Ada Yang Buat Ramai...

Interlok bukan sebuah karya picisan, atau tulisan belia hingusan yang baru hendak cuba-cuba mencipta nama dalam dunia penulisan. Interlok pernah meraih Hadiah Saguhati Peraduan Mengarang Novel 10 Tahun Merdeka pada tahun 1967. Kalaulah kununnya Interlok sepertimana kata segolongan orang tak lebih daripada sebuah penghinaan kepada golongan tertentu, tentulah pada tahun tersebut lagi Interlok telah pun dibelasah habis-habisan bukan sahaja oleh panel penilai bahkan daripada rakyat Malaya ketika itu, lantas tidak layak langsung dinilai dan apatah lagi diberi hadiah. Tapi peliknya, Interlok boleh pula menang walaupun sekadar hadiah saguhati.

Abdullah Hussain dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara ke-8 pada tahun 1996. Sebelum dianugerahkan gelaran tersebut, sudah tentu karya-karya beliau sebelumnya, termasuk Interlok dinilai juga. Sekali lagi tidak terdengar pun suara-suara protes bahawa Abdullah Hussain tak layak jadi Sasterawan Negara kerana salah sebuah karyanya iaitu Interlok menghina kelompok tertentu termasuk orang Melayu. Panel hakim pun tak kata apa. Sepatutnya masa inilah pakat-pakat berhimpun ramai-ramai depan Dewan Bahasa dan Pustaka sambil melonggokkan novel Interlok kemudian pakat-pakat cucuh api. Tapi kali ini pun tak ada. Musykil kabir la juga.

40 tahun berlalu. Apabila Interlok hendak dijadikan bahan bacaan bagi Komponen Sastera (KOMSAS) Tingkatan Lima, tiba-tiba timbul cerita kununnya Interlok menghina golongan tertentu. Eh, lawak juga manusia-manusia di tanah tumpahnya darahku ini. Interlok layak menang Hadiah Saguhati Peraduan Mengarang Novel 10 Tahun Merdeka pada tahun 1967. Abdullah Hussain layak jadi Sasterawan Negara menerusi karya-karyanya termasuk Interlok. Tapi Interlok tak layak untuk jadi bahan bacaan KOMSAS. Eh, layak juga sebenarnya. Cuma kenalah pinda sikit perkataan tertentu dalam Interlok. Wah, kira-kiranya tahap KOMSAS ini tinggi betullah ya, orang yang bukan ahli dan tak berkaitan langsung dengan pembelajaran bahasa Melayu pun boleh tumpang sekaki nak itu ini. Lepas ni apa kata cikgu-cikgu bahasa Melayu pula bagi komen fasal teks sastera Inggeris. Barulah adil dan saksama dan caca-marba sistem pendidikan kita, ye tak? Tapi Pak Abdullah janganlah rasa kena tahana dengan depa ini. Ilmu karang-mengarang Pak Abdullah banyak sangat kelemahan sampai yang depa faham cuma sekerat dua ayat sahaja. Tok sah ambil hati jugalah dengan kelaku orang kita, bukannya depa baca dan mesyuarat pun sebelum pilih novel Interlok ni. Tu yang cepat sangat tarik buang buku tu.

Bangsar South la dowh apa kelas Kampung Kerinchi,
Tahun depan bulan sepuluh kita sambut Bulan Bahasa lagi.

~ Kampung Gurun, Sungai Bakap

Friday, November 05, 2010

Cuti-Cuti Sekolah...

Hidup umpama seorang musafir yang pandai bertukang dan bersilat sekotak cekelat, kita tak tau apa kita akan dapat. Begitu kata-kata Ahmad Darurah Forrest Gump. Sebenarnya kata-kata mak kepada Forrest Gump. Yang paling sebenarnya kata-kata mak kepada Forrest Gump kepada Forrest Gump.

Penggal persekolahan sudahlah lepas seusai peperiksaan akhir tahun. Apa yang aku belajar sepanjang penggal? Lima matapelajaran; dua kena ambil periksa, tiga lagi pun kena ambil periksa juga. Jadi sebab apa aku tak rangkumkan sahaja bahawa kesemua lima matapelajaran itu semuanya memerlukan aku menduduki peperiksaan. Sebabnya mudah sahaja. Sebab pada peringkat awal aku memang sangkakan semua lima matapelajaran memerlukan aku menduduki peperiksaan. Cikgu-cikgu pun sangka begitu, pada hemat aku. Sehinggalah minggu terakhir sebelum peperiksaan aku merujuk ke pejabat kerana jadual peperiksaan untuk tiga matapelajaran tidak tertera di papan kenyataan. Pejabat pun tak tahu, lalu disuruhnya aku rujuk kepada pejabat lebih atas. Kata pejabat lebih atas, sebenarnya tiga matapelajaran itu tak perlu pun aku duduki peperiksaan. Sebabnya, seperti dimaklumkan pada awal-awal penggal, bermula dari penggal ini pelajar menengah atas yang mengambil matapelajaran asas tak perlu lagi menduduki peperiksaan bagi matapelajaran asas tersebut. Dulu prasyarat sekarang audit, begitulah slogan yang digunakan.

Cikgu-cikgi di dalam kelas matapelajaran asas tiada pernah menyebut bahawa aku dan tiga orang lagi pelajar menengah atas tak perlu pun mengambil peperiksaan. Jadi, deduksi yang boleh aku bentangkan di sini ialah mereka pun tidak tahu-menahu tentang perkara ini. Aku lagilah tidak tahu kerana waktu mendaftar pun kelas sudah masuk minggu kedua, sedangkan maklumat terkini untuk pelajar menengah atas yang mengambil matapelajaran asas dimaklumkan semasa taklimat minggu pendaftaran. Itulah kelemahan dan ketinggalan bagi pelajar yang lewat dapat mendaftar masuk ke kelas. Harap pihak berwajib pada masa hadapan jangan lagi memandang enteng perkara ini dan cepatkanlah membuat dan memaklumkan keputusan dan kelulusan sambung belajar secara rasmi. Kerana belum dikira lagi kelas-kelas yang tak fasal-fasal tuang kerana permohonan cuti belajar lambat lulus. Pelajar lain sudah mencari-cari buku teks rujukan, sudah ada pun kumpulan tugasan, sudah pun mencari bahan tugasan individu dan berkumpulan padahal aku masih terkial-kial proforma pun baru nak fotostat. Ada juga perancangan hidup yang tergendala dan kuca-lana; perancangan pindah rumah, balik kampung dan sebagainya sebab tarikh sambung belajar belum dimuktamadkan. Kalau sudah bergelar sarjana, orang bawahan yang mengimpikan peluang yang sama jangan dilupa.

Makanya, apa pelajaran berguna yang aku dapat sepanjang penggal ini? Untuk penggal ini aku beroleh beberapa pelajaran. Pelajaran yang aku maksudkan lebih kepada pendekatan dan pengharapan cikgu-cikgi.

Ada cikgu yang masa mengajar macam semua perkara diulasnya dari pelbagai perspektif yang tak terjangkau pada pemikiran pelajar menengah atas seperti aku. Perkara-perkara itu bukanlah dibaca atau dirujuk pada nota pun, semuanya sudah ada dalam ingatan. Hebat betul. Kalau bab bersyarah, pergh, semua nama-nama sarjana, nama-nama buku, penerangan tentang konsep2 tertentu, tahun-tahun penting seperti tahun buku ditulis atau konsep diperkenalkan (sekadar menyebut beberapa contoh) macam kacang sahaja disebut mereka.

Ada cikgu yang berpesan, apabila membaca penulisan seseorang sarjana, jangan lekas percaya, sebaliknya kena berfikiran kritis dan analitikal. Sesetengah sarjana katanya, mempunyai agenda tertentu apabila menulis, sesetengahnya didalangi oleh pihak tertentu. Perkara ini satu ilmu baru pada aku, sebab selama ini aku cenderung untuk terima sahaja apa yang ditulis. Justifikasinya, aku selalu percaya setiap orang ada pendapat masing-masing yang sudah tentu berbeza, jadi apa salahnya. Rupa-rupanya, ada satu aspek yang juga perlu diberi perhatian iaitu aspek kritis terhadap idea dan pandangan seseorang sarjana. Dalam kelas, cikgu mengajar supaya karya sarjana yang hebat-hebat pun dikritik, cuma kenalah kritikan yang berasas dan disandarkan kepada pandangan sarjana lain juga. Susah juga, bayangkan bagaimana mahu mengkritik artikel “The Clash of Civilizations?” Samuel P. Huntington dan “The End of History?” Francis Fukuyama yang sangat terbilang dalam bidang mereka sedangkan aku dan rakan-rakan sekelas hanyalah pelajar menengah atas.

Cikgu juga berpesan bahawa dalam menulis, elemen debat di kalangan sarjana tentang sesuatu tajuk perlu juga dimasukkan. Nampaknya, penulisan pada peringkat menengah atas ini bukan setakat memastikan soalan terjawab bahkan kena menggali lebih dalam lagi aspek-aspek yang lain. Contohnya, soalan tentang contoh peranan kerajaan sementara di negara tertentu mesti juga dihuraikan tentang sama ada terdapat pelanggaran bidang kuasa kerajaan sementara atau tidak. Waduh, sampai begitu sekali. Banyak membaca juga sering ditekankan.

Tapi pesanan paling hebat ialah pada kelas terakhir dua minggu sebelum peperiksaan akhir. Seorang cikgu, yang rupa-rupanya pelajar ekspres semasa zamannya berpesan bahawa seseorang sarjana yang baik ialah yang tidak bersikap bangga diri mahupun merendah-rendahkan hasil karya orang lain. Dia juga meletakkan pelajar seperti aku dalam keadaan kurang tekanan apabila menyebut bahawa harapan dia ialah pelajarnya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Lalu, keutamaan beliau bukanlah pada menyukarkan pemberian gred lebih baik. Pergh, giler ah cikgu yang berfalsafah begitu, kena sangat dengan matapelajaran falsafah yang diajarnya.

Ada juga pesanan; daripada cikgu-cikgi dan rakan-rakan sekelas, supaya mulakan tesis dari awal, jangan tunggu sehingga penggal terakhir. Idea awal yang terdetik dalam medula oblongata aku ialah membuat tesis mengenai isu tanah yang melibatkan orang Melayu di Pulau Pinang dan kesannya kepada sokongan politik. Tapi apabila aku fikir-fikir balik, satu, bab-bab nak jawab goresponden tak ramai yang berminat nak menjawabnya. Tak payah tanya pembanci-pembanci penduduk tahun 2010 baru-baru ini, pengalaman aku sendiri buat survey pun dah cukup. Macam-macam persepsi orang ramai, ada yang memang malas nak jawab, macam cikgu pengantar statistik waktu menengah rendah di sintok dulu, walhal dia pesan di dalam kelas kalau orang datang buat survey sila beri kerjasama. Ada juga yang ingat nak jual produk atau minta sedekah. Macam-macamlah. Dua, di mana pula aku nak cari orang Melayu Pulau Pinang yang terusir dari tanah mereka sendiri. Sebabnya, mereka sudah tentulah bertebaran di mana-mana sahaja di atas muka bumi ini sama ada di Sungai Petani, Seberang Perai atau di mana-mana jua. Jadinya sudah tentu juga mereka pun tidak lagi mengundi di Dun atau Parlimen asal mereka. Oleh yang demikian, bagaimana aku nak kaitkan pertalian antara isu tanah dengan sokongan politik mereka.

Persoalan-persoalan tersebutlah yang menggencatkan hasrat aku. Walaupun tajuk itu sangat penting bagi aku kerana beberapa sebab. Satu, sudah menjadi tekad aku dengan sambung belajar ini aku akan dapat balik kampung lebih kerap. Dengan tajuk sebegitu, maka perancangan sejak Rancangan Malaysia Kesembilan aku itu akan dapat direalisasikan. Dua, setakat ini belum ada lagi orang buat kecuali sipi-sipi iaitu tentang tanah wakaf. Tiga, kalau nanti ada penulisan rencana, akademik mahupun blog yang menyentuh tentang survival orang Melayu di Pulau Pinang, maka tesis aku akan menjadi rujukan muktabar. Empat, buat dalam negara lebih jimat dan lebih dekat dengan ahli keluarga. Cikgu-cikgi pernah menyebut, ada orang yang tesisnya tentang hal-ehwal negara luar, jadi banyaklah kesukaran nak mendapatkan bahan, silap-silap sangkut. Iyalah, tambang kapal terbang pun dah berapa banyak, tak campur kos-kos lain lagi. Bila dikenang-kenang halangan yang aku nyatakan pada para di atas, ditambah pula biaya sendiri bukan dapat tajaan mana-mana pihak, terdapat keperluan untuk aku buat penyesuaian sewajarnya.

Andaikata aku tak buat tesis melibatkan Pulau Pinang, ada kemungkinan aku buat di luar negara. Tapi aku perlulah buat perhitungan bijak. Kalau luar negara yang aku pilih itu di United Kingdom ataupun negara-negara maju lain, alamatnya kenalah aku kerja sebagai tukang cuci atau pelayan kedai di sana sebab nilai matawang Malaysia rendah. Memanglah ada sesetengah pelajar nama sahaja buat tesis tentang negara luar seumpama globalisasi di China kununnya, tapi tak pergi pun ke sana, bahan semua dapat di Malaysia, apa ketoootnya.

Ada dua negara terlintas dalam pemikiran analitikal aku ini. Satu Iran, dua Mesir. Di Iran aku cadang nak buat tentang Mousavi atau aliran kepembangkangan di sana. Di Mesir, aku nak buat tentang Ikhwanul Muslimin dan pengaruh dalam politik Mesir, secara spesifik lagi boleh diperincikan dalam konteks perwakilan di Parlimen.

Kira-kira dari aspek kewangan yang aku buat nampaknya Iran mengatasi Mesir. Setiap RM1 kalau ditukar bersamaan Rial Iran 3,378.18 berbanding Pound Mesir 1.85. Antara sebabnya Iran dikenakan sekatan ekonomi, maka nilai matawangnya jauh lebih teruk dari Indonesia.

Kira-kira dari aspek mazhab, Mesir mengatasi Iran. Mesir Sunni, Iran Syiah. Dua-dua pada aku Islam, cuma lebih mudah nak menyesuaikan diri dengan suasana ibadat orang semazhab bagi orang awam macam aku. Orang yang terer bab-bab agama depa tak kisah la kalau tercampak kat Kutub Utara pun.

Kira-kira dari aspek keselamatan, Iran mengatasi sedikit Mesir. Di Mesir, kalau aku teruskan dengan tesis fasal Ikhwanul Muslimin, ada harapan aku hilang secara tiba-tiba. Tahu-tahu dibicarakan di Mahkamah Tentera, atau langsung ditahan entah di mana-mana tanpa bicara. Adegan yang pada mulanya aku sangkakan jalan cerita Ayat-Ayat Cinta sahaja. Rupa-rupanya dalam buku John L. Esposito bertajuk “Ancaman Islam: Mitos atau Realiti?”, memang disebut perkara yang sama. Di Iran lebih terbuka walaupun kalau membaca buku-buku tokoh pembangkang (yang biasanya liberal dari segi ideologi dan cara hidup seperti Shirin Ebadi, pemenang Anugerah Nobel Keamanan tahun 2003 dan penulis buku “Iran Awakening”) timbul juga kebimbangan dicekup dan diseksa macam di Mesir.

Dari segi rasuah, Mesir baik sedikit dari Iran. Kalau “Indeks Persepsi Rasuah 2010” oleh Transparency International menjadi kayu pengukur, Iran di tangga ke-148 berbanding Mesir di tangga ke-98 daripada keseluruhan 178 buah negara. Dalam buku “The World Is Flat: A Brief History of the Twenty-First Century”, Thomas L. Friedman berkata pegawai pemeriksa di lapangan terbang di Iran pun makan suap juga. Buat malu kampeni betul la Iran ni, merosakkan imej negara teokratik sahaja. Sepatutnya, berilah contoh teladan yang mulia sedikit sebab Iran ini nama penuhnya Republik Islam Iran dan melaksanakan hukuman jenayah mengikut syariah. Tambahan, ada Pemimpin Agung iaitu seorang ulama yang hirarkinya lebih atas daripada Presiden, bertujuan menentukan hala tuju negara selaras dengan semangat Revolusi Islam 1979. Lainlah Mesir yang nama penuhnya Republik Arab Mesir, Presidennya bukan ada semangat Islam pun sebaliknya pro-Israel dan Amerika Syarikat, kontra dengan dasar luar Iran. Peliknya, bab rasuah Iran ditinggalkan oleh Mesir. Menjadikan Iran semakin luka parah dari segi moral ialah mengenangkan Amerika Syarikat yang ditentangnya habis-habisan berada di tangga ke-22 manakala Israel di tangga ke-30 Indeks Persepsi Rasuah 2010.

Apapun, semuanya baru merancang. Ada banyak penggal lagi. Tak mustahil tesis dibuat seputar Pulau Pinang juga.