Membaca kisah korban gempa bumi di Kerman kelmarin (kelmarin dalam pelet Utara bermaksud semalam, ada faham), seraya mengingatkan aku kisah-kisah berkaitan. Bumi Parsi itu punyai tempat istimewa di hatiku, sebermula zaman pedih periku suatu ketika dulu. Tambahan setelah ku tahu Salman Al-Farisi yang mengemukakan idea menggali parit dalam Perang Ahzab adalah orang Parsi yang kini dikenali sebagai Iran.
Waktu aku belum menjadi orang, antara keinginanku adalah untuk merantau jauh, jauh meninggalkan bumi Malaysia. Mungkin orang beranggapan pelik, sedangkan Indon pun datang ke sini, kenapa pula aku harus pergi. Tapi pengalaman lalu mengajar aku, cuba-cubalah menukar haluan. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
Suatu ketika dahulu, waktu aku hanya berkerjaya serba sederhana, aku mengisi masaku dengan mengutus warkah maya kepada kenalan serata dunia. Juga belajar-belajar chatting dalam channels seperti Surau yang lebih beretika dan sopan. Entahlah, aku pernah cuba channels lain macam Mamak tapi tak masyuk la. Memang aku bukan jenis tu. Teringat kata-kata Brian McFarlan dalam Drop The Pink Elephants, "Old habits adopted at such tender years stick with us for life". Betul la tu.
Aku berkenalan dengan seorang sebaya aku. Namanya Reyhane Ali Hassani. Tapi aku tak pasti sama ada dia Syi’ah atau Sunni. Yang aku tahu dia orang Islam, besar kemungkinan Muslim Hadhari kerana ia menuntut di universiti.
Suatu hari dalam risalah mayanya, ia nyatakan bahawa ia ingin menghantar gambarnya padaku. Tanyanya lagi, tidak mengapakah andainya dalam fotonya itu ia tidak berhijab. Ku katakan padanya, kalau ikut ruang hatiku yang gelap, memang gambar sebegitu yang ingin ku tatap. Namun ku timbang dengan neraca dhamir ku, lantas aku katakan foto yang bakal ku tatap tak harus begitu. Sejenak aku terfikir akan dua situasi yang berbeda. Dua-dua ada pro dan kontra.
Di Iran, pemakaian tudung atau digelar hijab (hijab ini satu suit dengan baju dan kain) warna gelap (biasanya hitam) dipaksakan ke atas wanita sementara di Malaysia, wanita bebas menggayakan tudung yang mereka suka atau langsung tidak bertudung. Impaknya di Iran, dek keterpaksaan, ada kalangan wanita mereka yang menganggap hijab semata-mata peraturan dan bukan tuntutan Islam. Lebih teruk lagi, di Iran mereka bertudung litup, di luar negeri kita takkan menyangka mereka orang Parsi. Pernah suatu kejadian semasa Piala Dunia 1998 di Perancis, dipaparkan dalam akhbar seorang wanita Iran memakai mini-skirt bermotifkan panji-panji hijau-putih-merah yang tertera alif-lam-lam-ha di bahagian belakangnya. Ya salam.
Di Malaysia, disebabkan budaya kita yang lemah-lembut dan halus (meski tak semuanya begitu), wanita memakai tudung sekehendak hatinya. Ada yang memakai kerana kesedaran, alhamdulillah. Ada yang mengenakannya semata-mata fesyen, cuba-cubalah berubah. Ada yang langsung tidak bertudung, insaflah.
Kepada wanita yang bertudung, ingin ku katakan di sini, bertudung belum tentu menutup aurat. Oh, sembang macam hang tu kemaih! Aku tau aku tak tegha mana, tapi jangan tengok siapa yang bercakap, renungkanlah mesejnya. Sedangkan syaitan pun mengajar Ayatul Kursi kepada Abu Hurairah. Bukankah Ayatul Kursi itu kalimat kebenaran daripada Tuhan sedangkan syaitan itu musuh insan zaman-berzaman. Dan aku pula tidaklah seteruk syaitan, a’uzubillahi min dzalik!
Berbalik kepada Reyhane Ali Hassani, ia ada mengutuskan surat kepadaku. Lengkap dengan poskad tempat bersejarah di wilayahnya tinggal. Tapi aku pula masa itu, terasa berat benar hendak membalasnya, entah mengapa. Tidak berapa lama kemudian, tatkala aku cuba menyambung perbualan maya secara satu hala yang lama terputus, ia pun menyepi. Merajuk barangkali, atau boleh jadi bersemadi di bawah runtuhan kota Bam dalam tragedi gempa bumi. Aku harap ia masih sihat walafiat. Andai ia telah pergi, ku doakan ia tenang di sisi Ilahi.
Kisahku pasal Iran tidak terhenti setakat itu. Suatu malam, aku menonton TV1. Filem Iran, yang terkenal dengan reputasi cemerlang dengan jalan cerita serba sederhana tapi mengesankan. Aku memang dah tunggu lama nak tengok cerita depa ni, malam tu baru berkesempatan. Tajuknya, The Girl In The Sneakers. Jalan ceritanya simple, tentang remaja perempuan yang lari dari rumah kerana sedikit masalah keluarga. Cerita ini memberikan aku dimensi baru cara aku melihat Iran. Aku dapat serba sikit maklumat yang akan membantu kalau aku berhijrah ke sana. Di sana, wanita perlu berhijab semasa di luar rumah sepanjang masa (sekarang baru ku tahu hijab itu dress code sejak Revolusi Islam 1979, uniform itu sama ada chador atau manteu, dah berubah colour dah zaman moden ni), ada bas berasingan untuk wanita, ada morality police yang menjaga tatatertib rakyat Iran. Paling mengesankan aku ialah di Iran pun rupanya ada setinggan dan orang jahat (dan tentunya wanita 'jahat', aku tak gamak nak sebut istilah 'itu'). Selama ini aku sangkakan Iran muluk belaka. Nampak gaya aku kena pasang strategi baru dengan lebih berhati-hati. Yang aku jangka selama ni ialah aku bakal terperangkap di tengah-tengah pertentangan golongan konservatif dan pro-reformasi. Rupanya bukan itu sahaja.
Akhirnya, dalam cerita itu, remaja perempuan berkenaan bersua juga dengan jejakanya di taman bunga. Mungkin sekadar alam khayalannya, namun saat itu ia ditaburi bunga-bunga. Lepas itu, turn aku la pulak mencari maklumat pasal dirinya, lalu dipertemukan aku dengan nama seanggun orangnya (walaupun aku sebenarnya mencari agama dan budi bahasa, bukan paras rupa). Namanya Pegah Ahangarani. Yahoo, ada point tambahan untuk aku ke Iran. Masa tu la.
Di samping semua perkara tersebut di atas, aku tertarik kepada Iran sebab inilah satu-satunya negara yang berani menegakkan kebenaran persis zaman kegemilangan Islam dulu walau mungkin dari segi akidah boleh dipertikaikan (Malaysia pun berani jugak, dengan caranyalah). Barang harus diingat, sekarang ialah zaman Islam kembali dagang macam sabda Nabi. Teramatlah beruntung dan berjiwa besarnya orang sebegitu. Presiden dia tak segan-segan mengenakan serban dan jubah walaupun dalam majlis rasmi yang dihadiri tokoh besar dunia. Aku tengok sendiri (kat t.v. la) masa Sidang NAM kat Malaysia. Kalau aku pun aku segan. Kuat pulak berpegang pada prinsip. Pernah suatu ketika dia tolak undangan makan malam kat Sepanyol sebab ada serve arak waktu makan tu. Serve arak tu dah jadi tradisi turun-temurun kat Sepanyol, kalau attend tak boleh tak minum, kalau tak minum kira tak sopan. So, untuk elakkan konflik, Presiden Khatami pun tak hadir sebab kalau attend pun dia takkan minum. Selain itu, depa berani melawan ancaman Amerika dengan darah dan nyawa atas nama Islam, bukan setakat petah berkata-kata. Masing-masing negara dengan cara tersendiri, tapi tang ni Iran menawan hatiku.
La ni aku cuma mengikuti perkembangan Iran dari kejauhan, bukan menjadi sebahagian denyut nadinya. Amerika kata nak serang Iran hari tu, harap-harap tak berlaku. Kalau jadi sungguh, aku doakan buat Iran kesejahteraan dan kemenangan. Menggubah kata-kata Leftenan Adnan garapan Aziz M. Osman, "Iran mungkin kalah tapi bukan sebab mereka tak melawan". Allahu Akbar!
Kekayaan Dicapai Kejayaan Digapai
9 hours ago
No comments:
Post a Comment