Sebenarnya coretan ini seharusnya ditulis kira-kira setahun lagi atas sebab-sebab yang hanya aku sendiri ketahui (Tuhan sememangnya Maha Mengetahui!). Namun, perkembangan terkini merubah fikiranku dan terhasillah sebuah manifestasi yang agak berlainan dari gaya dan jalan cerita yang sepatutnya.
Setahun lebih sejak DPA 2/2003 berlalu. Terlalu banyak perubahan dan perkembangan semasa berlaku, seperti juga aku. Harap-harap perubahan yang semakin baik tentunya.
Cabaran di DPA, selain menuntut kudrat yang hebat, juga memerlukan mental yang kuat. Almost all the time perlu melakukan sesuatu secara tiba-tiba dalam waktu yang singkat. Selain kecekalan diri sendiri, adanya seseorang yang terus-terusan meniupkan kata-kata perangsang memang membakar semangat. Dengan keluarga nun jauh di kampung, satu-satunya sumber inspirasi aku hanyalah Pak Ngah aku.
Kalau dilihat dari segi personaliti, teramatlah jauh bezanya antara kami berdua. Pak Ngah aku tersangatlah peramahnya manakala aku tersangatlah pendiamnya. Masa English Module di INTENGAH, aku tak pasti yang tanya tu urusetia kursus atau Mrs. Sarimah, tapi pertanyaan depa tu berbunyi begini, "En. ___, Ahmad Redhauddin tu anak saudara En. ___ ke? Tapi dia tu pendiam sikit no.". Salah tu, aku bukan pendiam sikit, tapi pendiam banyak. Aku tahu sifat aku tu kadang-kadang mengundang konotasi negatif daripada sesetengah orang. Tapi lantak hampa la, aku bukan menyusahkan hidup orang lain pun. Bak kaedah Usul Fiqh, "La dharara wa la dhirara (Tak memudaratkan diri sendiri dan tak memudaratkan orang lain)."
Meskipun terserlah perbezaan itu, ada perspektif tertentu yang mengintegrasikan aku dengan Pak Ngah aku, hingga aku rasa disebabkan keserasian itu, Pak Ngah aku pun macam boleh berkomunikasi dengan aku menggunakan ideo-motor, hinggakan Pak Ngah aku macam tau-tau saja apa maksud aku. Iyalah, dah berapa puluh tahun jadi pak penakan dengan anak penakan. Dan aku pun sudah tentunya sangat-sangat menjaga reputasi Pak Ngah aku.
Persamaannya adalah dari aspek fikrah dan kesenian. Barangkali ramai tidak perasan tapi Auditorium INTAN pernah menyaksikan bapa saudara dan anak saudara bernasyid dan bersajak pada masa berlainan. Selain kedua-dua perkara tersebut, yang terlebih aula adalah nilai-nilai hidup yang serupa; menjauhkan kami dari berbuat naya dan tahana sesama manusia, serta menghindarkan cakap-cakap teghejai dan main ghempang saja. Nilai-nilai itulah membezakan kita Pak Ngah, dengan depa.
Sungguhpun Pak Ngah dan aku ibarat Mentor dengan Protege dan kedudukan yang dimilikinya, aku bukan opportunist yang mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi. Pak Ngah aku terlalu mengerti akan sifat anak saudaranya itu, memegang prinsip walau (sebagaimana matan sebuah sabda nabi), terpaksa menggigit dengan gigi geraham. Demikian, aku tak kisah dipandang semacam oleh sesiapa jua, tapi aku takkan sekali-kali boleh menerima kalau Pak Ngah aku dibabitkan dengan tuduhan yang bukan-bukan kerana ia memang tak pernah terbabit. Apa yang aku bicarakan ini? Aku belum amnesia lagi, apa yang aku katakan ini memang penuh erti!
Darah bergolak lagi, betul-betul di jantung dan kedua-dua telapak tangan terasa geletar. Hypoglycemia barangkali, penyebab utama kotak fikir sukar menjana idea-idea bertenaga. Desah ombak di Cherating juga tidak membantu, jadi aku rasa coretan ini wajar terhenti.
Terima kasih, Pak Ngah kerana mengajar Abang Long erti hidup sebagai manusia. Berlapang dada ketika kita punya segala kesempatan dan peluang untuk membalas dengan seribu kali ganda. Memang Pak Ngah satu-satunya bapa saudara yang takkan Abang Long temui di mana-mana. Jazakallahu khairan kathira.
8.00 pagi, 30 September 2005 (Jumaat)
Menghadap suria di pantai Impiana...
Kekayaan Dicapai Kejayaan Digapai
10 hours ago
No comments:
Post a Comment