Monday, November 28, 2005

Renungkanlah...

Segalanya bermula semenjak Teresa Kok bertanyakan di Parlimen sama ada Kerajaan membenarkan pertukaran status jantina di MyKad, lalu dijawab oleh Dato' Azmi Khalid bahawa Kerajaan tidak mengiktiraf perkara tersebut. Pada masa itu, seakan-akan isu tersebut bukan satu hal yang bakal menjadi perdebatan hangat di mana-mana jua. Kira-kira seminggu kemudian heboh satu Malaysia bahawa ada seorang lelaki Cina mengubah jantinanya melalui pembedahan lalu melangsungkan perkahwinan juga dengan seorang lelaki Cina. Barulah perkara ini mengundang sokongan dan bangkangan bahkan kutukan. Barulah muncul hasil kajian dan perancangan untuk menjalankan penyelidikan terhadap masalah sosial yang sekira-kiranya baru semalam disedari.

Dalam hidup ini, tidak semua perkara mampu kita timbangkan menggunakan semata-mata akal fikiran. Kalau akal fikiran kita mampu berfikir ke tahap itu, maka Tuhan tidak akan mengutus sebilangan Nabi sejak zaman-berzaman buat memandu manusia ke jalan kebenaran. Sebab akal manusia cenderung melihat sesuatu yang nampak logik tapi tidak semua yang kelihatan logik itu selari dengan kehendak agama yang sangat sejajar dengan fitrah manusia. Kata Saiyidina 'Ali karramallahu wajhah, "Kalau semua perkara itu hendak dinilai semata-mata berdasarkan logik, maka sudah tentulah bahagian tapak kasut itu yang patut digilap. Tapi aku tidak melihat Rasulullah menggilap bahagian tapak kasut baginda, sebaliknya baginda menggilap bahagian atas kedua-dua belah kasutnya.".

Menerusi pengalaman hidup aku yang tidak setara mana ini, memang ada golongan lelaki yang dijadikan lemah lembut. Itulah realiti yang tidak dapat kita elakkan sebab nilai-nilai dan pengaruh keluarga dan orang sekeliling memainkan peranan. Demikian, tutur katanya, tingkah lakunya berlainan sedikit dengan generalisasi seorang lelaki biasa yang garuk suaranya dan kasar-gedegar caranya. Lelaki lemah lembut sebegini seharusnya diterima kerana mereka bukan sengaja berlagak menyerupai wanita. Pakaian mereka masih pakaian seorang lelaki. Tiada sebarang perubahan kosmetik pada mana-mana bahagian badan mereka. Fitrah mereka masih seperti manusia biasa, tetap punyai keinginan untuk berkeluarga.

Satu lagi golongan adalah lelaki yang terlebih lembut. Golongan ini banyak terdapat di pusat-pusat pengajian tinggi. Kadang-kadang bila terserempak dengan serombongan golongan ini, seram sejuk juga dibuatnya. Mereka ada lingo tersendiri, yang menyukarkan kita meneka apekejadahnye yang dibualkan mereka. Mereka ini perlu ditarbiah sedikit kerana mereka ini telah separa wanita meskipun masih berpakaian seperti lelaki. Dengan kening dicukur, mekap dan entah apa-apa lagi yang segera mengingatkan kita akan sebuah sabda nabi bahawa antara golongan yang Allah Ta’ala laknat dan diaminkan oleh para malaikat adalah orang lelaki yang berlagak seperti wanita.

Golongan yang kronik adalah lelaki yang terlampau lembut. Golongan inilah yang sering terjebak dengan maksiat kerana mereka benar-benar menyerupai wanita. Pakaian memanglah sudah seperti wanita, tidak termasuk lagi pembedahan demi pembedahan termasuk menukar jantina dilakukan seolah-olah tidak bersyukur dengan ciptaan Tuhan.

Dalam kehangatan isu ini, ada kalanya terdapat segelintir pihak yang berpegang kepada prinsip kebebasan meminta kita memberi sedikit ruang kepada golongan terlebih lembut dan terlampau lembut itu. "Liberal", "keterbukaan", "plural society", "menghormati hak asasi golongan minoriti", itulah hujah-hujah yang antaranya dituturkan juga oleh peguam. Syukurlah Pak Lah telah menegaskan, ”Kerajaan tidak mengiktiraf golongan ini!”.

Dalam hal ini, wajar diamati secebis kisah yang berlaku di Israel. Kisah ini ada dimuatkan dalam Newsweek keluaran terbaru. Ada lima pasangan lelaki rakyat Israel yang berkahwin di Kanada dan menuntut mahkamah di Israel mengiktiraf mereka. Mahkamah ini biasanya merintis jalan ke arah kelulusan sesuatu perkara yang kontroversi atas nama liberalisasi. Menariknya, kata seorang rabbi yang juga Ahli Parlimen Israel, "kita mempunyai persefahaman dalam kerajaan bahawa sekiranya terdapat sebarang keputusan mahkamah yang bercanggah dengan agama, maka Parlimen akan membetulkannya.". Tu dia tuan-tuan, kalau Israel yang kita anggap antagonis dan dalang banyak masalah dalam dunia inipun masih ada fikrah di kalangan pemimpinnya, tahu membezakan antara nafsu-nafsi manusiawi dan ajaran agama sendiri, takkan kita yang sering mendakwa jauh lebih baik daripada mereka tergamak hendak membenarkan golongan yang Tuhan murkai dan telah telangkupkan ke bawah bumi (sehingga kini Laut Mati itu kekal menjadi saksi) kembali, sanggup menyediakan ruang untuk dihukum Tuhan lagi. Kembalilah ke alami, setulus fitrah insani.

Meminjam tajuk lagu J. Mizan, "Renungkanlah".

No comments: