Sepatutnya ada seorang E.O. bersama pegawai senior itu. Namun E.O. itu sedang berkursus. Maka aku pun diminta turut serta menjadi panel penemuduga.
Putaran roda kehidupan. Suatu masa aku yang bersiap-siaga dengan baju kalis peluru menepis tembakan panel penemuduga. Kali ini giliran aku pula dengan soalan-soalan tersendiri. Yang pertama selalunya terindah untuk dikenang, bukan?
Hendak dijadikan cerita, calon yang datang membawa kawannya bersama. Mungkin dia ada terdengar bahawa jawatan yang kosong lebih daripada satu. Niat baiknya harus diberi puji-pujian raihan. Tapi tanpa disedari tindakan tersebut hanya menjejaskan peluangnya sendiri. Katakan kawannya yang dapat kerja, tidakkah menyesal kemudian perbelanjaan.
Aku menjarakkan sedikit kerusi calon yang sebelumnya agak dekat dengan meja panel penemuduga dengan tujuan aku boleh nampak lebih jelas "body language" calon semasa temuduga. Kadang-kadang kegementaran dan kegelisahan calon dapat dilihat dari gerak-gerinya semasa menjawab soalan. Kemudiannya, berbincang dengan pegawai senior tentang soalan-soalan yang bakal ditanya, lalu calon pertama pun dipanggil masuk.
Sementara aku meneliti sijil-sijil yang dikemukakan, pegawai senior pun bertanya calon berkenaan. Pergh, start-start terus speaking. Tu dia aih. Dah la tu, cara tanya soalan cengil bukan main. Dato' pencen yang jadi ketua panel penemuduga kat Komtar 5 tahun lepas pun friendly walaupun suka memperkotak-katikkan jawapan calon.
Daripada matanya, aku dapat lihat berkaca-kaca, nervous barangkali. Tapi dia masih mampu menjawab dengan lancar apabila ditanya, "Tell me about yourself". "My name is bla-bla-bla...". Mulanya aku ingatkan mantap macam hati Anna Althafunnisa menerima lamaran Furqan dalam Ketika Cinta Bertasbih ka, rupanya dalam 3-4 ayat, ayat terakhir disudahi dengan "...That’s all". Aku agak dia cuba meminimumkan risiko daripada merepek meraban yang bukan-bukan sampai kehilangan perbendaharaan kata. Yang pegawai senior ni pun tak patut, orang tanya la dulu dalam bahasa Melayu, lepas tu dah tengah-tengah tu baru minta calon speaking. Jawatan yang nak offer bukan pegawai pun. Tapi takkan aku nak menampakkan ada kontradiksi pulak antara aku dengan dia kat depan calon. Satgi jadi kontroversi tak pasai-pasai aku berdebat dengan dia. Memandangkan aku gentleman, maka aku lepaskan.
Selesai meneliti sijil-sijil yang disertakan, giliran aku pula bertanya soalan. Kali ini aku mempraktikkan teori "Good Cop, Bad Cop" yang aku belajar dalam subjek "Negotiation" kat UUM. Sebagai "Good Cop", aku bertanyakan soalan dengan pendekatan yang bertentangan dengan pegawai senior. Pendekatan "Good Cop" bersifat memujuk dengan bahasa yang lebih lunak supaya calon lebih selesa bercerita. Tapi matlamat masih sama; korek, korek, korek untuk mendapatkan maklumat bagi menilai calon.
Jadi, calon pertama pun bercerita. Pengalamannya agak banyak. Jadi guru sandaran dan sebagainya. Termasuk kerja semasa, dah 3-4 tempat kerja dah calon tu. Nampak keyakinan dia dalam berbicara, kawan pernah masuk kadet remaja sekolah hang pun, pangkat sarjan lagi.
Ada sekali tu aku bertanyakan tentang suasana kerja sedia ada. Katanya tak berapa puas hati, banyak yang tak berapa kena. Masa ni aku sebenarnya nak mengaplikasikan ilmu i'rab yang aku dapat dari buku "The Definitive Book Of Body Language" tulisan Allan & Barbara Pease. Ada satu cerita dalam buku tu pasal calon temuduga yang menipu semasa bercerita tentang tempat kerjanya yang lampau. Penemuduga dapat mengesan penipuan calon tu. Masaelahnya, aku terlupa tang mana hat penemuduga tu tengok. Tang mata ka, tang mana ka. Bila aku check balik baru tau kata calon dalam kisah buku tu dikesan menipu kerana bibirnya macam herot sikit apakala setiap kali menyebut nama mantan majikannya.
Semasa sesi temuduga, kadang-kadang aku berasakan macam aku ni menyoal tertuduh kat mahkamah pun ada. Ayat yang aku gunakan pulak skema. Ada masanya menukar-nukar soalan walaupun jawapan yang dikehendaki tetap sama. Ada sekali tu, aku tanya apa expectation calon terhadap jawatan yang ditawarkan. Jawapan yang dia berikan masih berupa berselindung-selindung. Aku ubah sikit soalan tu, "Kalau diberi pilihan, apakah kecenderungan saudara, nak kerja yang dok kat ofis saja ke, selalu out-station ke, ataupun dok di ofis tapi sekali-sekala nak jugak out-station?". Hampa tau apa calon ni jawab? Lebih kurang beginilah, "Saya kalau boleh nak yang kerja luar". Aku suka jawapan yang jujur. "Manusia jujur dikasihi Tuhan”, macam bunyi tagline Sabaruddin Tukang Kasut pulak. Tapi jujur saja tak cukup, kena bijaksana sikit, kalau tidak naiflah kita. Silapnya, jawatan yang ditawarkan tu memang dok kat ofis saja la, menghadap komputer dan tolong-tolong apa yang patut macam fotostat dan sebagainya. Aku dok tunggu jugak kot-kot dia nak bagi jawapan iras-iras jawapan aku suatu ketika dulu, jawapan yang bakal mengagumkan panel penemuduga, "Sekiranya diberi tugasan yang melibatkan tugasan luar, itu merupakan sesuatu yang biasa saya lakukan. Sekiranya tugasan lebih banyak tertumpu di pejabat, maka saya anggap itu sebagai satu cabaran dan saya bersedia". Malangnya, aku tak dengar jawapan sedemikian.
Dalam fail mengandungi sijil-sijil calon, tiada pula disertakan sijil yang membuktikan kemahiran menggunakan komputer. Katanya dia belajar sendiri-sendiri tanpa menghadiri kelas. Tempat kerjanya pula tiada hubung kait dengan aplikasi kemahiran komputer ni. At least kalau tak attend kelas komputer pun tapi selalu menggunakan komputer selain chatting pun masih boleh diterima.
Ditanya akan dia bolehkah menggunakan Power Point untuk tujuan presentation. Dijawabnya tak boleh. Microsoft Excel pun tak berapa reti. Microsoft Word boleh la, tu pun dah lama tak guna.
Pegawai senior pun bertanya versi Microsoft Word yang terkini. Dijawabnya, "2008". Inilah yang dikatakan "tembak sebelum semak". Aku semakin menguntum senyuman sementara pegawai senior lagi dok tekan calon ni, betui ka dak. Saat-saat ini aku teringatkan Budin, Wan Ismail Golok, Mat Deris, Pak Uda, Pak Busu, Ana, Lucy, Ravi, Mat Over dan Mak Ngah. Apa tidaknya, jenuh pedo aku menahan ketawa, sampai tak panggung kepala dek kerana situasi temuduga. Bab ni aku salute lin dan la kat geng-geng Pi Mai Pi Mai Tang Tu sebab depa kalau tak tahan gelak masa berlakon pun dapat cover balik dalam masa singkat. Walaupun kadang-kadang nak tahan gelak punya pasai terpaksa berlindung balik tiang ataupun belakang badan member, tak pun pandang ke lain. Aku pulak sah kata saraf ketawa aku dicuit alamatnya lambat la nak recover.
Tatkala melihatkan calon ni diasak begitu rupa, aku cuba membantu dengan cara yang tak ternampakkan. Sebab calon tu sentiasa yakin dengan jawapannya setiap kali ditanya, aku pun tanyalah sambil tersenyum, lebih kurang beginilah, "Saudara pasti ke versi Microsoft Word yang latest tu 2008?". Dengan harapan dia dapat pick-up clue aku tu, kemudian mengaku kesilapan ka apa ka. Mengaku kesilapan, selain beroleh markah dalam temuduga kerana keterbukaan, adalah sifat terpuji lagi mahmudah, seumpama mahmudahnya Mahmud memulangkan tas hitam kepada Pak Raghib dalam Nyanyian Cinta. Disebabkan dia tak dapat bagi response sewajarnya seolah-olah khuatir dianggap 'sub-judice', maka selepas itu alamatnya tazkirah ringkaslah daripada pegawai senior akan kepentingan kemahiran IT. Dalam amalan ilmu titen aku yang seperguruan dengan Bu Nafis, cara pegawai senior bagi tazkirah nampak sangat macam nak bagi hamba Allah tu fail.
Rumusannya, calon pertama ini ada sifat kepimpinan, yakin diri, lancar bila berbicara. Kelemahannya, dia tak minat dok pejabat dan kurang kemahiran komputer. Hmmm...
Masuk calon kedua. Dalam proses mendapat diploma. Kalau tengok penampilan alamat fail dah. Dengan rambut, bukan la panjang, tapi tak sesuai untuk bertugas di pejabat. Entah G.Q. entah apa, yang fesyennya disikat ke belakang tapi kalau kurang rapi akan sering turun menutup dahi. Entah selebet-riti mana berfesyen sebegini aku kurang pasti, barangkali mirip Sahak dalam Blues Untuk Aku. Kalau rambut belah tepi ada 2 orang selebriti setahu aku, seorang dok Bagan, sorang dok Tasek Gelugor.
Menemuduga calon ini, aku seolah-seolah Basariah yang melihat dirinya pada diri seorang kanak-kanak di Trafalgar Square, London, cerminan diri sendiri. Sangat lugu dalam menjawab soalan. Adegan lucu dan punyai nilai-nilai positif khususnya mengakui kelemahan diri. Ternampak jelas kegementaran dia dalam berbicara. Pada mulanya aku biarkan dahulu kalau-kalau dia berupaya menenteramkan suasana, tambahan pula aku turut membantu dengan melunakkan soalan. Ternyata dia masih dibelenggu geletar, lalu aku pun bertanya sambil tersenyum, pertanyaan dalam ayat skema, "Saudara nervous ke?" Tahu apa dijawabnya, "Tak, saya memang gagap sikit". Aku cuba memastikan, "Gugup kot?". "Tak, gagap, kadang-kadang bila sembang dengan kawan-kawan pun jadi jugak macam tu". Lebih kurang begitulah jawapannya. "Takpa", aku kata, "boleh diperbaiki". Hish, aku ni kadang-kadang kalau bagi nasihat boleh tahan juga, bunyi macam perunding motivasi pun ada, macam kaunselor pun ada.
Suasana kerja ni bukanlah perlukan kemahiran seorang pendebat atau seorang pemidato pun, yang penting kemahiran komputer dan keanjalan perasaan melakukan tugasan lain yang diperlukan dari semasa ke semasa.
Justeru apabila pegawai senior menyuruh calon bercerita tentang komputer, alamatnya macam suruh dia makan popcorn sambil tengok wayang la aba' hang, enjoy sangat la dia. Version Windows dari 2008 sampai zaman tok nado' pun dia tau. Sungguhpun dia juga tidak menyertakan sijil kemahiran komputer bersama, tahap keyakinan adalah pada aras memuaskan memandangkan calon sedang menyelesaikan diploma di sebuah institusi pengajian tinggi swasta. Student dengan komputer, mana boleh dipisahkan, logiknya begitu, aku merasionalkan dalam fikiran.
Calon ini tiadalah ia punyai pengalaman beraneka warna seperti kawannya tadi. Cuma katanya ia pernah bekerja sebagai promoter ais krim King’s sebelum menyambung ke peringkat diploma. Bila aku tanyakan bagaimana pekerjaannya itu, katanya kena berdiri sepanjang masa, 8 ka 10 jam ka satu syif, sambil membunyikan loceng. Waktu rehat pun dalam setengah jam sahaja. "Tapi kat sini tak dak la nak kena suruh berdiri masa buat kerja, duduk menghadap komputer", aku mengulas. Persepsi aku, kalau dia boleh berdiri berjam-jam goncang loceng, takkan dok kat ofis menghadap komputer tak boleh. Aku tanyakan lagi, kalau begitu bagaimana pula dengan waktu solat. Ceyyy, mentang-mentang dia dah composed macam baja kompos, jawapan pun menginsafkan, "Apa sangatlah makan kalau nak dibanding dengan sembahyang". Tinggal lagi dia tak baca kitab Al-Hikam macam Abdullah Khairul Azam. Kalau dia baca kitab tu kan ka, mungkin penjual Bakso Cinta tu kena mintak Kiai Lutfi Pesantren Wangen bagi baca kitab lain yang menjadi wiridnya.
Rumusannya, calon kedua ini terkesan mahir dalam aplikasi komputer, nampak keterbukaannya dalam membicarakan kelemahan diri, maknanya sedia melakukan penambahbaikan. Kelemahannya, kurang lancar bila berbicara. Hmmm...
Selepas tamat sesi temuduga pada pagi Jumaat 22 Ogos 2008 itu, aku dan pegawai senior berbincang-bincang akan prestasi calon semasa temuduga. Hat calon ni lemah, hat calon ni pulak kuat, dan begitulah sebaliknya. Siapakah di antara kedua-dua calon yang akan terpilih ke peringkat seterusnya. Jawapannya, mungkin selepas raya.
Nota : Kalau tiada aral, seusai Syawal ini berjejak kasih lagilah aku dengan Universiti Malaya, menyucikan hati sekudus Aidil Fitri. Meminjam SMS Pian berkenaan abang seorang pemimpin, aku bukan ustaz pun, aku "baru nak start". Iras-iras AAC, cuma Fahri menaiki Metro, aku masih dengan Kanc; Fahri minum tamar hind, aku minum Grapetiser Red. Ada rezeki boleh jumpa Anna Althafunnisa putri yang berprestasi. Tak pun Husna. Tak pun Eliana. Tak pun...
Kekayaan Dicapai Kejayaan Digapai
8 hours ago
1 comment:
amboi hang sakan hang haria kawan tu na?takpa bagus2 ,jadi interviewer tak bleh cengei, kita buka interview org nak masuk askar ka polis ka, nak interview KERAni aja kan ka? bagus-bagus pendekatan hang... cerita en. adam pun hebat, selebet riti naa....
smdbest
Post a Comment