Friday, April 16, 2010

My Name Is Red: Jodoh Ketentuan Tuhan, Lelaki Yang Punya Hati Akan Bawa Pengantin Perempuannya Pulang (Episod 2)...

Dipendekkan cerita, saya berjaya juga menaiki kereta api ke Delhi. Frank Martin sempat menghantar saya ke stesen, sebelum bergegas ke lokasi penggambaran filem "Pengangkut".

Koc Kelas Dua berhawa dingin. Kereta api jenama Ala Hazrat Express. Setahu saya perkataan hazrat merupakan gelaran hormat, biasanya untuk alim ulama di India, Pakistan dan sewaktu dengannya. Saya pula memang sangat mudah tertarik dengan sesuatu yang bernuansakan islami secara maildi, bukannya hadkori.

Anda tentu tertanya-tanya, dalam episod terdahulu bukankah saya mengharapkan kuota pelancong atau kuota Tatkal bagi kereta api jenama Gujarat Mail. Memanglah saya berharap, tapi kuota-kuota itu langsung tak boleh harap. Masih nihil ruang untuk saya. Nasib baik saya menggunakan kepintaran tersendiri (ushar kereta la bro) dengan menempah tiket secara online. Kata responden dalam laman web itu, tempahan tiket secara online menjimatkan 50% kos tambang kereta api beliau kerana tidak perlu lagi menghulur duit kopi kepada tukang jual tiket.

Jadinya, pengembaraan bersambung, paling cepat kereta api akan bertolak pada pukul 8.15 pagi waktu tempatan. Itu kalau mengikut jaduallah. Masalahnya janji palsu ini bukan hanya boleh didapati daripada ras tertentu, tetapi sudah menjadi satu isu global bagi negara-negara kurang membangun dan membangun. Cuba pergi ke negara-negara maju, Jepun umpamanya, ketepatan masa sangat maksimum. Sebab itu shinkansen mereka boleh bergerak pada minit yang pelik-pelik. Contohnya, Nozomi 41 dari Tokyo ke Shin-Osaka boleh bertolak pukul 2.10 petang dan sampai 4.43 petang, kemudian shinkansen yang lain, Rail-star Hikari menyambung pecutan ke Okayama pada pukul 4.59 petang dan tiba pada pukul 5.45 petang. Amacam, ada beran? (Oh, ya, sebuah syarikat bas di Hentian Duta ada mengaplikasikan masa bergerak spesies ini. Hanyasanya, aplikasi tersebut lebih kepada penyelarasan kepada hari tiket yang dijual. Sebagai contoh, pada tiket bas tertera waktu bertolak ke Parit Buntar pukul 11.59 malam. Maklumlah, kalau diletaknya pukul 12.00 malam sudah memasuki hari berikutnya dan mencelarukan sistem jualan tiket. Setakat itulah sahaja amalan murni yang dipraktikkan, bas memang akan sampai pada pagi hari berikutnya juga; setengah jam lewat itu biasa, berjam-jam lewat sebab bas dari Puduraya rosak sudah menjadi KPI mereka.)

Berbalik kepada cerita kereta api, apakan daya, saya sedang menggunakan perkhidmatan kereta api di India. Memanglah mereka tiada beran. Yang saya nampak berberan-beran hanyalah beg-beg yang diangkut oleh para penumpang ke dalam kereta api.

Kereta api yang sepatutnya berjeda seketika sekira-kira 20 minit telah terbabas waktunya sehingga dekat setengah jam. Sudahlah tiba dari Phulera pun lewat, bertolak pun lewat. Appa punya turrr la.

Berbeza dengan persepsi umum, kereta api ini menempatkan penumpang di dalam koc. Ulang suara, di dalam koc. Makanya tidak kedapatan penumpang berchaiyachaiyachaiya di atas bumbung kereta api.

Dalam perjalanan, saya berbual panjang dengan seorang budak kanyiar berjaket hitam, Raj namanya. Yang banyak bicara takkan tak tahu kot, siapa lagi kalau bukan si Raj. Saya seperti biasa menjadi pendengar setia. Kata Raj, dia dalam rangka advencer, untuk menemui kekasih hatinya bernama Simran. Sungguhpun misi beliau begitu mencabar, Raj masih boleh berlawak Bedtime Stories kartunis Lambok. Ada 3 perkara dilakukan beliau tidak semena-mena.

Pertama, membengkokkan ibu jari ke belakang. Sepupunya juga boleh berbuat demikian, katanyalah. Kedua, depaan tangannya lebih panjang berbanding ketinggiannya. Hat ni saya tidak dapat mengesahkan kerana tiada tali tape. Cuma apabila Raj berdiri, nampak macam hujung jarinya agak dekat jugak dengan sisi lutut. Ketiga, beliau kata tapak kakinya rata, tidak berlekuk seperti orang biasa. Bia’ betui hang ni Raj oi. Yang ini pun saya sukar mahu percaya, tapi apabila Raj mengugut hendak membuka stokinnya, terpaksalah saya berkompromi walaupun saya lebih cenderung memilih untuk mengutamakan rasa tidak percaya.

Namun demikian, sambung si Raj, beliau bernasib baik kerana features tersebut, yang hanya dikesan apabila beliau dimasukkan ke wad kerana sakit dada, bukanlah full set serta tidaklah menjejaskan mata, sendi dan sebagainya. Doktor yang merawatnya juga berpesan supaya beliau bersyukur dengan features yang kebarangkaliannya 1 nisbah 5,000 itu. Features yang dikenali sebagai Marfan Syndrome itu hanya membuatkan beliau menjadi ahli bersekutu Transformers dengan gelaran Marfanoid. Hakikatnya si Raj berkencindan lagi dengan watak kekartunan beliau itu, tapi saya yang tidak menyedari kekal terlongo.

Tambah Raj lagi, selain Marfanoid, beliau juga dikesan mengalami Mild Trigaspic Gigitation. Lain macam punya penyakit. Acah saja, kata si Raj (saya dah agak dah), Mild Tricuspid Regurgitation lah. Ada kaitan dengan jantung sedikit. Kalau ada rawatan pergigian dan sebagainya yang melibatkan pembedahan, perlu dimaklumkan kepada doctor untuk diberi antibiotik.

Si Raj yang berbual dengan saya ini ada membawa bersama ukulele, apa lagi, memang menjadi-jadilah aura doladoladola (masa kecil dahulu saya selalu candek seorang adik saya dengan nama Dollah Salleh, hahaha!). Raj perasan akan pengusharan saya akan alat muzik tersebut. "Saya ada hypertension...", kata Raj, "...jadi ukulele ini sebagai ubat hatilah kiranya, selain Antenolol 50 miligram.".

Ukulele pun dipetik. Pergh, lain macam saya punya layan. Memang lain macam sungguh.

"Ni daoh, awat intro macam Sweet Home Alabama pulak ni, hang ingat Lynyrd Skynyrd ka? Dola Dola Dola la mat oi!". Demikian saya sound si Raj, sudah barang tentu dalam bahasa Inggeris, yang tadi itu terjemahannya. Ikut hati saya begitulah bunyi sound of musicnya, namun begitu memandangkan saya masih terpengaruh dengan unsur-unsur diplomatik sebagaimana kerjaya rasmi saya, maka saya susun ayat dengan sebaik-baiknya. "Wahai saudara Raj, apalah sudi kiranya saudara meniunkan petikan ukulele saudara itu kepada lagu Dola Dola Dola.".

Raj tersenyum, seolah-olah gembira berjaya memperdaya orang naïf sebagai saya. Sentul juga perangai si Raj ni, saya menggumam dalam hati, macam budak Kampung Kubang Tepak.
Ukulele dipetik lagi. Kali ini baru betul. Saya seraya mengosongkan fikiran. Sekeping nota bersama sekuntum mawar bertukar tangan di tepian pantai. Imtihan adalah peperiksaan. Nateeja adalah keputusan. Hairaan adalah? Hairan.

"Imtihan hum pyaar ka deke
Raah dekhe kya hai nateeja
Na aaya yakeen dil ko
Jab naam apna dekha
Kagaz pe woh tere dil ke
Ye aakhein huyi hairaan
Sach hai, sach hai
Jo dekha hain
Dilbar tan mann apna hum ne vaara tum pe
Dola dola dola dola, mann dola dola dola"

Nyanyian terhenti apabila saya mengenangkan heronya yang kematian tragis di Oshiwara tahun 2008, dan senikata seterusnya berbaur kemabukan. Biarpun mabuk disebabkan angau, tetapi saya memang pantang, serasa-rasa macam mabuk arak bunyinya. Entahlah bagaimana kadang-kadang manusia begitu bersemangat 'asobiyyah mengangkat orang mabuk dengan alasan-alasan melugaikan. Cuba-cubalah renung kembali pantun Melayu ini:

"Pilih-pilih tempat mandi,
Pertama teluk, kedua pantai;
Pilih-pilih tempat menjadi,
Pertama elok, kedua pandai."


Kereta api singgah sebentar di Rewari selepas hampir 5 jam perjalanan. Satu lagi stesen selepas ini sebelum saya tiba di Delhi. Masalahnya di Delhi ada 3 stesen; Delhi Cantt, Delhi S Rohilla dan Delhi.

Agaknya saya perlu turun di stesen mana?

1 comment:

Anonymous said...

hanimun kat india ka?