Thursday, October 09, 2008

Ustaz Al-Bakafi Bercerita : Cahaya Merah Di Ufuk Timur Laut...

Ini ada satu cerita. Ana kutip secara tidak sengaja sewaktu memeriksa peti surat. Banyak pula surat-surat lama entah siapa empunya. Bila disambung-sambung, dicantum-cantum jadi pula satu alkisah padang kota. Kununnya, suatu hari raya, seorang hamba Allah telah dijemput menghadiri rumah terbuka nun jauh di tanjung sana. Adapun adik-adik si hamba Allah pun bergotong-royong mengusahakan program kutuk-mengutuk secara berjemaah menyuruh si hamba Allah supaya pergi. Maklumlah akan si pengirim dipesannya pula agar dibawa adik-adik si hamba Allah datang bersama. Memang kalau istilah bulu tangkis dipanggil akan ia 'bola tanggung', syok sangatlah untuk dismash. Fikir punya fikir punya fikir sampai susu pun sudah jadi bakir, sambil merenung langit di muka pintu sambil berdiri, kesudahannya hamba Allah ini tidak pun pergi. Cerita hamba Allah itulah yang ana kumpul. Bak tagline "Soalnya Hati" yang diubah suai oleh Ahmad Zaki bin Zainudin, "tanpa keberanian mimpi takkan jadi kenyataan". Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.

*****

Bonne Chance!
Mon, 5 May 2003 10:03:48 -0700 (PDT)

Assalamu'alaikum..

Lama tak denga' ceghita. Ingatkan kena kuarantin. Maklum la, sejak 2 menjak ada SARS ni. Anti tak kena penyakit tu kan? Kalau kena, terpaksa la saya gunakan Level Three Universal Protection System.

Adik saya kat Arau tu bukan kat UiTM, tapi Pusat Matrikulasi Perlis. Macam Pusat Matrikulasi Pulau Pinang kat Pongsu Seribu tu, tak dak tumpang tempat sapa2. Kira o.k la tu.

Gamba' soonest possible? Ala, saba' itu sebahagian daripada iman. Kalau tak minggu ni, minggu depan, tak bulan ni, bulan depan, tak tahun ni, tahun depan. Hanta' tetap hanta'. Janji tak boleh dimungkiri. Nanti Tuhan marah.

Jumpa lagi pada episod akan datang.

RSVP,
:X

Re: Bonne Chance!
Thursday, May 8, 2003 5:59 PM

waalaikumsalam..... ok ok ana faham..... sars? na'uzubillah.. sampainya hati...doa camtu... kate rasulullah, doa sahabat di belakang sahabatnya di makbulkan allah tau.. ish enta ni.. setiap kata2 itu doa tau..... pusat matrikulasi rupanyaa.. ok ok nasib baik tak kena marah hehehe ana minta secepat mungkn sebab ana nak pindah rumah dah... kg XXX kat sini di beli oleh XXX maka semakin terpinggirla XXX kat XXX ni... XXX buat apa? tanya depa sat?


Ana Abdullahi Walam Yudhi'ani
Fri, 9 May 2003 07:59:31 -0700 (PDT)

Assalamu'alaikum...

Pindah? Pindah ke mana? Sungai Petani ke?

Kadang2, itulah jadinya bila amanah diberi kepada orang yang bukan ahlinya. Sebab itu masa dulu kita dengar ada Mr. 10% yang menurut cerita kena penampar kat Komtar suatu ketika dulu.

Macam mana XXX buleh beli pulak? Status tanah tu TOL ka apa? Tak cuba rujuk pada YB mana2 ka? (XXX memang la tak buleh harap sebab takkan dia nak go against geng dia). Ini memang perancangan tersusun depa sejak zaman XXX. Ada la jugak malaun2 bangsa kita yang tumpang semangkuk.

Saya ingat lagi time saya lalu kat area tu dengan ex-boss saya zaman2 attachment dulu. Memang dah ada papan tanda projek apa pun tak tau dengan angka tertentu yang hanya boleh buat XXX merenung sayu. Tapi tu kat belah kiri (kalau kita mai dari jambatan). Ada jugak kampung2 XXX yang dah terkena bahang pembangunan tu. Tapi saya tak sangka, XXX yang tenang tu, yang memang sentiasa saya perhati setiap kali lalu kat situ akan terima nasib yang sama.

Saya dulu pun nyaris2 nak kena pindah dari sini hampir sepuluh tahun nan lalu. Ceritanya, menumpang tanah XXX sejak puluhan tahun. Kemudian, dia ada offer nak jual, tapi kami tak beli pun. Last2, dia jual kat XXX. XXX jugak jadi broker, padahal rumah dia pun dalam kampung ni jugak. XXX tu memang perangai samseng la. Habis disodoknya pokok2 dekat rumah nak buat jalan. Dengan traktor pulak tu. Memang perangai komunis betul.

Cuba bayangkan, betapa kacaunya jiwa masa tu. Setiap kali balik rumah time hujung minggu, ingatkan buleh nak release tension. Tau saja la dok asrama macam mana. Dihidangkan dengan cerita masa depan yang suram. Nak pindah ke mana dan sebagainya. Pening kepala. Apa la budak seusia saya yang dalam lingkungan Tingkatan Dua atau Tiga boleh buat. Exam pun dah dekat. Macam tu lah agaknya yang anti rasa time macam ni. Dok suspense nak masuk U lagi, jadi macam ni pulak.

Dipendekkan cerita, atas daya usaha ayah saya ulang alik pejabat tanah, selepas berapa kali punya mesyuarat tak tau termasuk kat XXX (ada sekali tu, XXX tu kena jerkah dengan tok ayah saya sebab katanya dia bohong, padan muka dia), dan macam2 ikhtiar lagi termasuk serah memorandum kat XXX by hand (time tu ada pilihanraya kecil sebab ADUN XXX mati accident kat highway dan XXX pun dok kempen sakan termasuk bagi ucapan kat sekolah agama dekat rumah saya ni dan kemudiannya melawat kampung ni), akhirnya Majlis Agama Islam XXX setuju ambil alih tanah ni sebab ada sekolah agama rakyat tempat saya mengaji. Ya la, dasar XXX, depa kalau dah dapat tanah, macam2 depa nanti buat. Silap2, dengan pusat snooker dengan kedai arak semua ada. Apa pulak jadi dengan sekolah agama tu. Suasana Islamik dah tak ada. Dan memang tu pun tujuan depa nak halau kita. Sebijik macam Yahudi. Jadinya, la ni saya dok tanah wakaf la.

Kata Ujang dalam novel hitnya Jibam, "kalau kau menjadi aku, aku yakin kau mengerti." Sahabat sejati, bukan sekadar waktu bergelak tawa, bahkan detik-detik sukar begini. Jalan penyelesaian tetap ada, sebagaimana sabda nabi, "saya ini hamba Allah, dan Dia tidak akan mengecewakan daku" (ana abdullahi walam yudhi'ani).

Re: Ana Abdullahi Walam Yudhi'ani
Tuesday, May 13, 2003 9:18 AM


waalaikumsalamwarahmatullah. terima kasih .... hmmm taktaula nak pindah kemana... memang dok cari rumah nak sewa tapi kat area XXX la juga sebab abah ana meniaga kan so susahla kalau sewa jauh2.. entah la ape nasib kg ni .... ana berdebar2 menantikan saat menerima tawaran u ni.. heeh insyaalah 15 hb ni.. taktaula u mana yg nak terima ana kan.. hmmmm okla insyaalah kalau ada masa ana email lagi ok. asalamualaikum.. takecare

askum
Tuesday, July 1, 2003 1:26 PM

assalamualaikum.. kayfa haluka? hopefully baik... ana alhamdul;illah ok aje.. taukan ana dapat XXX.. kalau ana tak bgtau lagi ana minta maaf mungkin sebab sibuk sangat kot tak sempat nak antar email kat enta.. sorry ok till then asalamualaikum

Re: askum
Tue, 1 Jul 2003 07:01:43 -0700 (PDT)

Assalamu'alaikum...

Dok agak dah masuk UIA dah. Tapi takpalah, XXX pun ok gak. Accountancy ke? Congrats atas kejayaan tu.

Dok dalam ke sekarang ni? Bukan kat Sungai Buloh atau Kajang tu, dok kolej kediaman ke sewa rumah? Seksyen berapa ek?

Camno dengan kes kat XXX tu?

Banyak sangat soalan da. Anyway, kalau saya menyepi lepas ni, jangan tertanya-tanya. Saya dah maklumkan awal2. Rujuk e-mel bertajuk "It's Not Easy". I bid u adieu!

Re: askum
Sunday, July 27, 2003 10:12 AM


waalaikumsalam.. takdak rezeki kat uia..XXX teruk gila... pro XXX dah tu pelajar yg mcm saya ditindas.. bayangkan la pemakaian jubah dan tudung labuh tak dibenarkan... ish taktaula politik vc ni... menyepi kenapa taktau pun??? alaaaa jawabla balik tolongla.. naktau ni.. bukan accountancy la tapi law...XXX dah mula di roboh.. tapi semua dapat habuan masing2..alhamdulillah.. ana kat XXX juga tapi bukkan dlm kg dah.... dekat juga ngan pekan... XXX juga....senang enta nak singgah sebab dekat sangat ngan jln raya... okla assalamualaikum... law susah laaaaaaaaaaaaaa

Kampungku Jauh Di Mata...
Wed, 27 Aug 2003 06:34:41 -0700 (PDT)

Assalamu'alaikum...

Dah kata dah dulu. La ni memang betui2 sibuk punya. Ni pun compose e-mail kat rumah sebab curi2 masa balik kampung sempena kursus kat Sheraton Penang Hotel. Nak harap kat ofis, memang tak dak Internet. Kalau ada pun, tak dayo den ha nak check e-mail apa ntah lagi compose. Hai, rindu ghaso eh dengan kampung den yang tercinto ni. Tapi, tu la, esok pagi dah nak kena pi hotel tu balik. Then malam bertolak ke KLIA. Ada driver menunggu. Sampai rumah dah pukul 10 malam. Esok pagi2 lagi dalam 5.30 pagi dah nak kena bangun, lepas tu pi kerja. Agaknya dah bertimbun2 surat nak kena settle. Nasib2. Oh, kampungku, aku kan tetap merinduimu.

Re: Kampungku Jauh Di Mata...
Sunday, August 31, 2003 9:50 PM


walaikumsalam.. actually ana pun sama. sibuk sangat..XXX plak tukaq last minute... kononnya nak selaraskan cuti dgn u lain, sampai menyusahkan pelajar.. bayangkanla lagi 4 minggu final... pelajaran dok bertimbun lagi... taktaula sempat ke tak nak habiskan... tolongggla doakan kejayaan ana.. enta now kat mana/? ana kt XXX, tau kan.. ish susahlaaa ana takdak sapa kat sana... homesickla apa lagi.. tapi bila kenangkan harapan ayah bonda, ana teruskan juga perjuangan ni walaupun ana rasa cam ish suuusahhh sangat.. maybe sebab 1st time terpisah so sabar la yg perlu pun... anyway terima kasih banyak222 sebab still antaq email kat ana....terima kasih ya.... ana dah pindah tau... kalau nak alamat baru nanti ana bagi tapi enta tak minta so ana tak bg lagi la sebab alaa malula ana enta tak minta tapi ana bgg plak.. hehhe lagi 1 hmm takdak apa la heheh takut enta marah kalau ana tanya... ok terimakasih ya.. semoga persahabatan kita kekal... asalamualaikum

****

Tiadalah ana ketahui apa seterusnya terjadi kerna sekonyong-konyong utus-mengutus warkah tiba-tiba terhenti. Barangkali salah seorang sudah menjadi peguam yang jujur, sebagaimana pernah dikhabarkan orang katanya menerusi sepucuk lembaran, "Lawyer is not a liar". Cuma yang ana pasti, bahawa sesungguhnya masa memang merubah manusia. Kata Akhil Hayy Rawa dalam satu ceramah zaman undergroundnya di perkarangan surau Taman Desa Jawi, "Noor Kumalasari pun sudah tinggalkan sari-sarinya". Hanyasanya berdasarkan segulung nota yang terikat pada kaki sang merpati, peguam itu memilih meninggalkan jubah dan tudung labuhnya, lantas beralih kepada jeans dan tudung semi-pro sebagai busana.

Wednesday, September 24, 2008

Kartu Lebaran SinMim...

Adapun tuan-tuan, arakian telah diutuslah akan SinMim kepada hakir selembar warkah khadrak berbenang emas dengan nada penuh keinsafan berbumbu raya.

Gerangan tulisan SinMim saling tak tumpah seperti tulisan kakanda Anang Hudaya, ushahidu orangnyalah tuan-tuan. Suka benarlah hakir menerima warkah tersebut, apatah lagi warkah nan terawal daripada sahabat hakir.

Warkah lain memanglah ada paling terdahulu diterima hakir iaitu kiriman seorang wazir. Tapi kurang manikam kalbu sungguhpun sebelumnya ada juga akan si wazir diberinya hakir sesampul surat kurma. Barangkali mahu merebut ganjaran pahala ibadat sunat di bulan puasa seumpama ibadat fardhu di bulan biasa, walau secara adat tanpa dua kalimat syahadat alamat bakal menghuni salah satu daripada neraka tujuh tingkat.

Apakala membaca sahaja hakir akan warkah tersebut, tiadalah dapat hakir menahan diri, bak kata Tun Husna, melarik senyum senget seorang. Nampak gayanya, sangat terpengaruh SinMim akan kitab-kitab karangan FaTa. Masakan tidak (walaupun SinMim bukanlah gerau diraja mahu masak-memasak), namun sempat juga dicandek olehnya perihal kelaku sekalian orang mabuk. Hanyasanya belumlah SinMim mencatat senikata kugiran Labah-Labah, "Mabuk bukan mabuk, mabuk nama, mabuk cinta, mabuk kuasa".

Sekuntum Kemboja Yang Gugur...

Aku kurang mengenalinya. Hampir nihil kesempatan. Aku pun pendiam juga sementelahan. Cuma setakat pandangan 'ainul yakin, aku tahu ia seorang yang taat beragama. Ada aura dan nuansa Islam di wajah dan perawakannya.

His English is impeccable. Pra-persembahan Makan Malam Bersama KSN di INTAN, ia yang menterjemah puisi "Mencari Damai Abadi" ke bahasa Inggeris. Apakala aku baca terjemahannya itu, sangat-sangat kagum aku akan penguasaan bahasanya. Menterjemah dengan mengekalkan unsur sastera bukan senang. Gaya bahasanya mengingatkan aku kepada terjemahan Al-Quran Abdullah Yusuf Ali. Sayangnya, ia tak dapat turut serta bersajak ramai-ramai aneka bahasa kerana komitmen bermain gamelan. Lalu aku minta bantuan seorang kawan yang sekarang ini mengawal selia bekalan air di Pahang.

Semasa malam terakhir di INTAN, beberapa kadet lelaki memanfaatkan peluang penghabisan menunjukkan bakat. Antaranya, firqah Soutul Burtuqal mendendangkan lagu nasyid. Aku sudah lupa apa lagu yang dibawakan, tapi aku masih ingat yang ia ada bertanyakan soalan seusai persembahan. Tika itu aku duduk di suatu sudut bahagian hadapan Auditorium, mencari ketenangan sebelum bersyair. Kurang lebih bunyinya, "Macam mana persembahan tadi?". "O.K. lah", aku menjawab secara berlapik, menyedari manakan sama harmoni amatur dengan FeelHeart, apatah lagi NowSeeHeart. Ia masih inginkan aku beri jawapan seikhlas hati, namun yang ia dapati tetap nada diplomasi.

Kata Pak Samad Said, "Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja, Bila tiba detik kembalilah kita kepada-Nya". Dunia ini pinjam-pinjaman, akhirat jua akan sudahnya. Selamat berangkat ke negeri abadi, semoga tenang dalam lingkungan rahmah rimbunan maghfirah kurniaan Allah.

"Assalamu’alaikum ya ahlad diyari minal mukminin. Inna insya Allahubikum lahiqun, nas alullaha lana walakumul ‘afiah".

Nota :

- "Sekuntum Kemboja Yang Gugur" dedikasi Hijjaz untuk anggotanya Allahyarham Salleh bin Ramli yang pergi buat selama-lamanya pada 15 Februari 2001.

- "Ia" dalam entri ini ialah Allahyarham Khairil Hisham bin Ahmad, Second Secretary / Head of Chancery Kedutaan Besar Malaysia di Libya, kembali menghadap Ilahi pada 18 September 2008.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Nasional/20080923000400/pda/artikel

- Sekalung Al-Fatihah dan doa buat kedua-duanya.

Monday, September 15, 2008

Advencer Si Peminum Susu Lembu : Episod Hikayat Perwira Berbaju Jingga...

Penolongku terlambat. Biasalah tu, sekali singgah kampung, sapa-sapa pun rasa malas nak keluar cepat-cepat. Sebagai ketua, kenalah aku mengambil inisiatif pergi dulu sebelummu. Dibawa oleh PRO jumpa Pengarah. Ku lihat PRO tabik kepada Pengarah. Tapi aku bukan ada kaitan dengan pasukan beruniform pun, maka aku masuk ke bilik Pengarah dan berjabat tangan sahajalah. Tabik ada macam-macam jenis untuk pasukan beruniform yang berlainan. Kalau tak tau cara yang betul baik tak payah.

Biasanya Pengarah banyak idea nak cakap, yang buat kunjungan hormat tumpang tokok-tambah saja. Ni dah lain pulak. Dia direct terkerenyih terkerisin, aku pulak banyak bercakap. Hantam sajalah labu...

*****

Merenung ke bawah memerhatikan bakal-bakal surveyor menghadiri taklimat, mengimbau kenangan lalu. Di tempat sebegini suatu ketika dulu, betapa seksa, sengsara dan sighunya meniti hari demi hari. Ada manusia yang tercipta bukan untuk buat sesuatu kerja. Maka apabila kerja tersebut terpaksa dilakukannya, memanglah naya.

Di Kuala Kubu Bharu 3-4 tahun lalu, orang-orang yang tugasnya serupa dengan orang di Jalan Larkin ini. Modul-modul lain aku tak minat, tak sesuai dengan jiwa aku. Yang aku minat hanyalah persembahan hari terakhir, sebab masa tu aku boleh melepaskan perasaan. Yang kawan-kawan aku pun aba' hang, sah kata aku jadi mastermind dalam persembahan-persembahan sebelum ni, hat ni pun depa nak suruh aku gak. Man Tongkat kalau tak salah aku pernah menyampaikan, waktu diminta buat persembahan, ada kawan yang kata, group kita ada ___. ___ tu aku la. Sebenarnya bukan senang nak cari idea waktu under pressure. Tapi dah depa nak sangat, apa lagi.

Malam penghabisan selepas dinner tu, aku boh selagu sajak Chairil Anwar, 'Aku', yang frasa "...binatang jalang..." aku tukar kepada "...pahlawan terbilang...". Ada lagi baris selepas tu aku tukar tapi tak ingat dah. Dan, walaupun masa rehearsal ada kawan-kawan kata tak sesuai, aku boh gak lagu Jamal, "Usah kau tangiskan perpisahan ini dengan air matamu, Telah ku korbankan jiwa dan ragaku untuk ibu pertiwi, Setulus doamu cukuplah bagiku sebagai azimat, Senyuman manismu, kasih dan sayangmu menjadi temanku...". Lagu tu la yang Dilah dan Wani dengar masa on the way balik dari pulau hari tu. Tapi depa bukan perasan pun bab-bab ni. Hat depan perasan cuma yang ada kaitan dengan Nihon-go. Tapi aku memang layan sangat la lagu tu, rupanya banyak lirik yang aku hentam keromo. Takpalah, benda dah berlalu.

*****

Semasa taklimat, yang bukan kepakaranku, mulanya rasa ginjal sikit. Ya la, macam mantan Pengarah JKSM yang pindah ke Bahagian Khidmat tu la. Ikut dan saja.

Sebaik masuk semula ke bilik taklimat, cuba berlagak selamba. Coat yang aku gantung di kerusi hitam Pengerusi aku pakai semula sambil berdiri, di depan mata-mata calon surveyor yang mengushar.

Berinspirasikan pengalaman mantan Pengarah JKSM mengendalikan mesyuarat, aku perlahan-lahan mengawal suasana. Nasib baik kadar deruan batnun tidak melebihi tahap desibel mesra alam, tidak kalu naya buleh.

Ada sekali tu, masa dirasakan seakan nak berbuih bucu-bucu bibirku, aku mengambil time-off dengan cara baik punya, minta penolongku menerangkan kehendak soalan.Terkejut gak dia, tapi aku tambah-tambah sikit la selepas tu. Tidak apa sangat takat tekan-tekan keyboard nak bagi tukar slide Power Point tu. Boleh relaks sikit mulut aku. Masa rehat tu terasa betul lega selepas tadi aku cakap tak berenti-berenti.

Calon-calon surveyor yang ramai ni, pada pandangan mata kasar ada yang tampak berkeyakinan, ada yang terbawa-bawa style remaja, ada yang pendiam, yang nampak blur pun ada. Macam tu la kot cikgu pelatih Prinsip Akaun masa aku Form Four nampak aku. "Muka stone", katanya. Hat budak-budak ni time aku tanya response lemah semacam, posa kot. Padahal zaman Nabi bulan posa pun pi perang. Tanya soalan, tapi muka blur gak lagi, nasib baik aku tak jadi cikgu, kalau tak sahih sakit jiwa.

Yang nampak blur ni aku ada ubatnya. Aku suruh dia sambung part demo cara nak approach responden. Takdak la berdiri, cuma pasang mike bagi kawan-kawan dengar. Baru ada akai.

Semasa taklimat tu, aku menyedari yang aku ni sekali-sekala candek tajam dan makan dalam jugak. Tapi tak sampai tahap kecengilan mantan Pengarah JKSM masa chair meeting.

Cuma part yang best tu, apabila boleh merenung tepat ke wajah surveyor yang tanya soalan, pompuan pulak tu, dan dengan nampak yakinnya, walaupun sebenarnya masa tu tengah ligat dok pikia' apa la nak bagi jawapan. Bagus, syabas, dah ada kemajuan.

Anyway, banyak gak la masalah-masalah sentul yang sepatutnya tak payah pikia' macam ada yang mula tak mau, pastu mau pulak dan mai taklimat sekali, sib bait buleh adjust kawan lain pi tempat lain. Banyak gak la hat buat semak kepala dan jiwa. Tapi dah angkara murka, nak buat geina.



Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail
9 September 2008 (Selasa)

Jukstaposisi I & II...

JUKSTAPOSISI I

Di bilahan sayap kapal terbang
Terlihat awan gemawan
Teringat aku bodek-bodekan melugaikan
Kununnya mahu dipintal
Menjadi nama idola kesayangan
Sedang sudah diingatkan
Jangan memuji-memuja, memaki-mengata
berlebih-lebihan
Kelak suatu hari keterbalikan
Maha Benarlah Yang Berfirman


Saudaraku,
Kalaulah ada puji-pujian
Terlebih aula kita nisbahkan
pada Tuhan...

*****


JUKSTAPOSISI II

Suatu minggu
Ku lihat ia diasak teruk
hingga citranya jadi renyuk
macam kain buruk
Timbul kasihan, pengharapan
moga Tuhan beri kekuatan

Suatu hari
Diangkat dia ke puncak kekuasaan
Timbul kesyukuran, keharuan
Doa orang ditahana dimakbul Tuhan

Selang beberapa bulan
Satu-persatu nampak keangkuhan
Pada kenyataan, tindakan

Sungguh ujian kepedihan
sering bikin manusia menghadap Tuhan
Sedang ujian kesenangan
sering bikin manusia lupa daratan.




Boeing 737-400
KLIA – JB
8 September 2008 (Isnin)

Advencer Si Peminum Susu Lembu : Episod Si Beguk Tanjung Puteri...

Mencatat-catat entri blog pada buku nota yang ku beli di Pasaraya Pantai Selamat, Kuantan dulu, serasa-rasa Misbun pula mencatat prestasi Chong Wei di gelanggang.

Yang berbeza hanya destinasi, watak dan tempat duduk. Yang lain-lain seakan-akan serupa.

Destinasi bukan lagi Jakarta, sebaliknya Tanjung Puteri. Watak si Muhandis digantikan dengan aku, watak Eliana digantikan dengan penolongku. Penolongku ini jauh sekali bintang sinetron macam Eliana. Waktu mula-mula aku bertugas di Federal KL ini, seakan-akan pada Dilah di wajahnya. Tapi sebenarnya dia 2 kali dari Wani walaupun bukan renjong macam Qin. Kira ADIL-l-AH tu. Dalam pesawat, tempat duduknya di depanku merangkap bersebelahan tingkap, berbeda dengan Mas Irul yang duduk bersebelahan Pak Ali sementara Eliana di belakang mereka. Mustahil untuk duduk bersebelahan. Sudah ku pastikan sedemikian ketika menggunakan kiosk boarding pass.

Selama-lamanya aku takkan menjadi Abdullah Khairul Azzam. Sebab itulah aku tidak mengajarkan kitab Al-Hikam.

Tapi dari segi karekter, sedikit-sebanyak masih wujud persamaan. Gaya dan pemikiran konservatif-tengah, sangat kontra dengan watak seorang lagi, seorang gadis yang memakai jeans; gaya dan pemikiran demokrat-tengah.

Tiada apa yang salah dengan penampilan, cuma manusia lazimnya Tuhan takdirkan gunya yang memiliki persamaan. Umpama Kartika si penjual kain. Rupawan, namun belum tentu menawan, sekurang-kurangnya pada pandangan Bu Nafis.

Dan aku juga, atas hujah yang sama, takkan melewati batas di antara ketua dengan penolong dalam tugasan ini. Being smitten by somebody is not beyond ordinary. Namun berjanjilah wahai diri, jangan sesekali engkau mungkiri.

Advencer Si Peminum Susu Lembu : Episod Semuanya Hanyalah Kerna Dia...

Akhirnya aku kembali jua. Ke sini. Ke tempat aku membaca buku. Sambil merenung kaca lutsinar. Yang di depannya pohon-pohon kayu. Dan sebuah kolam menghimpunkan aliran air. Dari sungai kecil.

Sebentar lagi, aku akan terbang lagi. Ke Tanjung Puteri. Dalam debur debar dalam dada. Fikiran kusut bagai sarang tempua. Lalu di sinilah aku. Mencatat-catat sesuatu. Kalau-kalau boleh menenangkan perasaan.

Kalau ada si tertuduh, aku akan salahkan dia. Dia dengan segala keegoannya. Ego yang membikin benda mudah jadi payah. Membuat tugas senang jadi tunggang-langgang. Hadis ada menyebut, bila amanah atau tanggung jawab diserahkan kepada golongan yang bukan ahlinya, maka akibatnya sudah barang pasti jahanam. Penerima bahana antaranya aku. Seandainya aku check tekanan darah kali berikutnya, ada harapan lebih dari 140 / 90 waktu aku check kali pertama.

Hidup ini begitu barangkali. Baru nak rasa lega dah mula nak terkapa-kapa. Dialah puncanya.
Benda-benda sentul ini yang buat aku jadi mega mandom dan mega rosom. Kad raya sudah ku singgah beli di Pejabat Pos Mini, tapi dengan mandom dan rosom sebegini, apakah mungkin idea mencurah-curah lagi.



Suatu Sudut Di KLIA
8 September 2008 (Isnin)

Kisah Benar Di Sebalik Konduksi Temuduga Di Federal KL..

Sepatutnya ada seorang E.O. bersama pegawai senior itu. Namun E.O. itu sedang berkursus. Maka aku pun diminta turut serta menjadi panel penemuduga.

Putaran roda kehidupan. Suatu masa aku yang bersiap-siaga dengan baju kalis peluru menepis tembakan panel penemuduga. Kali ini giliran aku pula dengan soalan-soalan tersendiri. Yang pertama selalunya terindah untuk dikenang, bukan?

Hendak dijadikan cerita, calon yang datang membawa kawannya bersama. Mungkin dia ada terdengar bahawa jawatan yang kosong lebih daripada satu. Niat baiknya harus diberi puji-pujian raihan. Tapi tanpa disedari tindakan tersebut hanya menjejaskan peluangnya sendiri. Katakan kawannya yang dapat kerja, tidakkah menyesal kemudian perbelanjaan.

Aku menjarakkan sedikit kerusi calon yang sebelumnya agak dekat dengan meja panel penemuduga dengan tujuan aku boleh nampak lebih jelas "body language" calon semasa temuduga. Kadang-kadang kegementaran dan kegelisahan calon dapat dilihat dari gerak-gerinya semasa menjawab soalan. Kemudiannya, berbincang dengan pegawai senior tentang soalan-soalan yang bakal ditanya, lalu calon pertama pun dipanggil masuk.

Sementara aku meneliti sijil-sijil yang dikemukakan, pegawai senior pun bertanya calon berkenaan. Pergh, start-start terus speaking. Tu dia aih. Dah la tu, cara tanya soalan cengil bukan main. Dato' pencen yang jadi ketua panel penemuduga kat Komtar 5 tahun lepas pun friendly walaupun suka memperkotak-katikkan jawapan calon.

Daripada matanya, aku dapat lihat berkaca-kaca, nervous barangkali. Tapi dia masih mampu menjawab dengan lancar apabila ditanya, "Tell me about yourself". "My name is bla-bla-bla...". Mulanya aku ingatkan mantap macam hati Anna Althafunnisa menerima lamaran Furqan dalam Ketika Cinta Bertasbih ka, rupanya dalam 3-4 ayat, ayat terakhir disudahi dengan "...That’s all". Aku agak dia cuba meminimumkan risiko daripada merepek meraban yang bukan-bukan sampai kehilangan perbendaharaan kata. Yang pegawai senior ni pun tak patut, orang tanya la dulu dalam bahasa Melayu, lepas tu dah tengah-tengah tu baru minta calon speaking. Jawatan yang nak offer bukan pegawai pun. Tapi takkan aku nak menampakkan ada kontradiksi pulak antara aku dengan dia kat depan calon. Satgi jadi kontroversi tak pasai-pasai aku berdebat dengan dia. Memandangkan aku gentleman, maka aku lepaskan.

Selesai meneliti sijil-sijil yang disertakan, giliran aku pula bertanya soalan. Kali ini aku mempraktikkan teori "Good Cop, Bad Cop" yang aku belajar dalam subjek "Negotiation" kat UUM. Sebagai "Good Cop", aku bertanyakan soalan dengan pendekatan yang bertentangan dengan pegawai senior. Pendekatan "Good Cop" bersifat memujuk dengan bahasa yang lebih lunak supaya calon lebih selesa bercerita. Tapi matlamat masih sama; korek, korek, korek untuk mendapatkan maklumat bagi menilai calon.

Jadi, calon pertama pun bercerita. Pengalamannya agak banyak. Jadi guru sandaran dan sebagainya. Termasuk kerja semasa, dah 3-4 tempat kerja dah calon tu. Nampak keyakinan dia dalam berbicara, kawan pernah masuk kadet remaja sekolah hang pun, pangkat sarjan lagi.
Ada sekali tu aku bertanyakan tentang suasana kerja sedia ada. Katanya tak berapa puas hati, banyak yang tak berapa kena. Masa ni aku sebenarnya nak mengaplikasikan ilmu i'rab yang aku dapat dari buku "The Definitive Book Of Body Language" tulisan Allan & Barbara Pease. Ada satu cerita dalam buku tu pasal calon temuduga yang menipu semasa bercerita tentang tempat kerjanya yang lampau. Penemuduga dapat mengesan penipuan calon tu. Masaelahnya, aku terlupa tang mana hat penemuduga tu tengok. Tang mata ka, tang mana ka. Bila aku check balik baru tau kata calon dalam kisah buku tu dikesan menipu kerana bibirnya macam herot sikit apakala setiap kali menyebut nama mantan majikannya.

Semasa sesi temuduga, kadang-kadang aku berasakan macam aku ni menyoal tertuduh kat mahkamah pun ada. Ayat yang aku gunakan pulak skema. Ada masanya menukar-nukar soalan walaupun jawapan yang dikehendaki tetap sama. Ada sekali tu, aku tanya apa expectation calon terhadap jawatan yang ditawarkan. Jawapan yang dia berikan masih berupa berselindung-selindung. Aku ubah sikit soalan tu, "Kalau diberi pilihan, apakah kecenderungan saudara, nak kerja yang dok kat ofis saja ke, selalu out-station ke, ataupun dok di ofis tapi sekali-sekala nak jugak out-station?". Hampa tau apa calon ni jawab? Lebih kurang beginilah, "Saya kalau boleh nak yang kerja luar". Aku suka jawapan yang jujur. "Manusia jujur dikasihi Tuhan”, macam bunyi tagline Sabaruddin Tukang Kasut pulak. Tapi jujur saja tak cukup, kena bijaksana sikit, kalau tidak naiflah kita. Silapnya, jawatan yang ditawarkan tu memang dok kat ofis saja la, menghadap komputer dan tolong-tolong apa yang patut macam fotostat dan sebagainya. Aku dok tunggu jugak kot-kot dia nak bagi jawapan iras-iras jawapan aku suatu ketika dulu, jawapan yang bakal mengagumkan panel penemuduga, "Sekiranya diberi tugasan yang melibatkan tugasan luar, itu merupakan sesuatu yang biasa saya lakukan. Sekiranya tugasan lebih banyak tertumpu di pejabat, maka saya anggap itu sebagai satu cabaran dan saya bersedia". Malangnya, aku tak dengar jawapan sedemikian.

Dalam fail mengandungi sijil-sijil calon, tiada pula disertakan sijil yang membuktikan kemahiran menggunakan komputer. Katanya dia belajar sendiri-sendiri tanpa menghadiri kelas. Tempat kerjanya pula tiada hubung kait dengan aplikasi kemahiran komputer ni. At least kalau tak attend kelas komputer pun tapi selalu menggunakan komputer selain chatting pun masih boleh diterima.

Ditanya akan dia bolehkah menggunakan Power Point untuk tujuan presentation. Dijawabnya tak boleh. Microsoft Excel pun tak berapa reti. Microsoft Word boleh la, tu pun dah lama tak guna.

Pegawai senior pun bertanya versi Microsoft Word yang terkini. Dijawabnya, "2008". Inilah yang dikatakan "tembak sebelum semak". Aku semakin menguntum senyuman sementara pegawai senior lagi dok tekan calon ni, betui ka dak. Saat-saat ini aku teringatkan Budin, Wan Ismail Golok, Mat Deris, Pak Uda, Pak Busu, Ana, Lucy, Ravi, Mat Over dan Mak Ngah. Apa tidaknya, jenuh pedo aku menahan ketawa, sampai tak panggung kepala dek kerana situasi temuduga. Bab ni aku salute lin dan la kat geng-geng Pi Mai Pi Mai Tang Tu sebab depa kalau tak tahan gelak masa berlakon pun dapat cover balik dalam masa singkat. Walaupun kadang-kadang nak tahan gelak punya pasai terpaksa berlindung balik tiang ataupun belakang badan member, tak pun pandang ke lain. Aku pulak sah kata saraf ketawa aku dicuit alamatnya lambat la nak recover.

Tatkala melihatkan calon ni diasak begitu rupa, aku cuba membantu dengan cara yang tak ternampakkan. Sebab calon tu sentiasa yakin dengan jawapannya setiap kali ditanya, aku pun tanyalah sambil tersenyum, lebih kurang beginilah, "Saudara pasti ke versi Microsoft Word yang latest tu 2008?". Dengan harapan dia dapat pick-up clue aku tu, kemudian mengaku kesilapan ka apa ka. Mengaku kesilapan, selain beroleh markah dalam temuduga kerana keterbukaan, adalah sifat terpuji lagi mahmudah, seumpama mahmudahnya Mahmud memulangkan tas hitam kepada Pak Raghib dalam Nyanyian Cinta. Disebabkan dia tak dapat bagi response sewajarnya seolah-olah khuatir dianggap 'sub-judice', maka selepas itu alamatnya tazkirah ringkaslah daripada pegawai senior akan kepentingan kemahiran IT. Dalam amalan ilmu titen aku yang seperguruan dengan Bu Nafis, cara pegawai senior bagi tazkirah nampak sangat macam nak bagi hamba Allah tu fail.

Rumusannya, calon pertama ini ada sifat kepimpinan, yakin diri, lancar bila berbicara. Kelemahannya, dia tak minat dok pejabat dan kurang kemahiran komputer. Hmmm...

Masuk calon kedua. Dalam proses mendapat diploma. Kalau tengok penampilan alamat fail dah. Dengan rambut, bukan la panjang, tapi tak sesuai untuk bertugas di pejabat. Entah G.Q. entah apa, yang fesyennya disikat ke belakang tapi kalau kurang rapi akan sering turun menutup dahi. Entah selebet-riti mana berfesyen sebegini aku kurang pasti, barangkali mirip Sahak dalam Blues Untuk Aku. Kalau rambut belah tepi ada 2 orang selebriti setahu aku, seorang dok Bagan, sorang dok Tasek Gelugor.

Menemuduga calon ini, aku seolah-seolah Basariah yang melihat dirinya pada diri seorang kanak-kanak di Trafalgar Square, London, cerminan diri sendiri. Sangat lugu dalam menjawab soalan. Adegan lucu dan punyai nilai-nilai positif khususnya mengakui kelemahan diri. Ternampak jelas kegementaran dia dalam berbicara. Pada mulanya aku biarkan dahulu kalau-kalau dia berupaya menenteramkan suasana, tambahan pula aku turut membantu dengan melunakkan soalan. Ternyata dia masih dibelenggu geletar, lalu aku pun bertanya sambil tersenyum, pertanyaan dalam ayat skema, "Saudara nervous ke?" Tahu apa dijawabnya, "Tak, saya memang gagap sikit". Aku cuba memastikan, "Gugup kot?". "Tak, gagap, kadang-kadang bila sembang dengan kawan-kawan pun jadi jugak macam tu". Lebih kurang begitulah jawapannya. "Takpa", aku kata, "boleh diperbaiki". Hish, aku ni kadang-kadang kalau bagi nasihat boleh tahan juga, bunyi macam perunding motivasi pun ada, macam kaunselor pun ada.

Suasana kerja ni bukanlah perlukan kemahiran seorang pendebat atau seorang pemidato pun, yang penting kemahiran komputer dan keanjalan perasaan melakukan tugasan lain yang diperlukan dari semasa ke semasa.

Justeru apabila pegawai senior menyuruh calon bercerita tentang komputer, alamatnya macam suruh dia makan popcorn sambil tengok wayang la aba' hang, enjoy sangat la dia. Version Windows dari 2008 sampai zaman tok nado' pun dia tau. Sungguhpun dia juga tidak menyertakan sijil kemahiran komputer bersama, tahap keyakinan adalah pada aras memuaskan memandangkan calon sedang menyelesaikan diploma di sebuah institusi pengajian tinggi swasta. Student dengan komputer, mana boleh dipisahkan, logiknya begitu, aku merasionalkan dalam fikiran.

Calon ini tiadalah ia punyai pengalaman beraneka warna seperti kawannya tadi. Cuma katanya ia pernah bekerja sebagai promoter ais krim King’s sebelum menyambung ke peringkat diploma. Bila aku tanyakan bagaimana pekerjaannya itu, katanya kena berdiri sepanjang masa, 8 ka 10 jam ka satu syif, sambil membunyikan loceng. Waktu rehat pun dalam setengah jam sahaja. "Tapi kat sini tak dak la nak kena suruh berdiri masa buat kerja, duduk menghadap komputer", aku mengulas. Persepsi aku, kalau dia boleh berdiri berjam-jam goncang loceng, takkan dok kat ofis menghadap komputer tak boleh. Aku tanyakan lagi, kalau begitu bagaimana pula dengan waktu solat. Ceyyy, mentang-mentang dia dah composed macam baja kompos, jawapan pun menginsafkan, "Apa sangatlah makan kalau nak dibanding dengan sembahyang". Tinggal lagi dia tak baca kitab Al-Hikam macam Abdullah Khairul Azam. Kalau dia baca kitab tu kan ka, mungkin penjual Bakso Cinta tu kena mintak Kiai Lutfi Pesantren Wangen bagi baca kitab lain yang menjadi wiridnya.

Rumusannya, calon kedua ini terkesan mahir dalam aplikasi komputer, nampak keterbukaannya dalam membicarakan kelemahan diri, maknanya sedia melakukan penambahbaikan. Kelemahannya, kurang lancar bila berbicara. Hmmm...

Selepas tamat sesi temuduga pada pagi Jumaat 22 Ogos 2008 itu, aku dan pegawai senior berbincang-bincang akan prestasi calon semasa temuduga. Hat calon ni lemah, hat calon ni pulak kuat, dan begitulah sebaliknya. Siapakah di antara kedua-dua calon yang akan terpilih ke peringkat seterusnya. Jawapannya, mungkin selepas raya.

Nota : Kalau tiada aral, seusai Syawal ini berjejak kasih lagilah aku dengan Universiti Malaya, menyucikan hati sekudus Aidil Fitri. Meminjam SMS Pian berkenaan abang seorang pemimpin, aku bukan ustaz pun, aku "baru nak start". Iras-iras AAC, cuma Fahri menaiki Metro, aku masih dengan Kanc; Fahri minum tamar hind, aku minum Grapetiser Red. Ada rezeki boleh jumpa Anna Althafunnisa putri yang berprestasi. Tak pun Husna. Tak pun Eliana. Tak pun...

Thursday, August 07, 2008

*Catatan Di Awal Ogos : Episod Anak Mami Kembali...

Bila bos aku sebut nak buat pilot survey kat Pulau Pinang, aku pun apa lagi, macam orang mengantuk disuruh tido’, mau tak lena.

Tapi aku biasa la, control perasaan dari teruja sangat, padahal dalam hati dah seronok tak sangga. Dah berapa bulan sejak pindah dari Kuantan tak dak peluang nak balik kampung, sekali ada can baik punya. Cuma biasa la, strategi lautan biru mana boleh nampak serlah sangat. Dalam perbincangan tu kalau tengok kan ka macam aku ni tak dak kaitan langsung dengan Penang. Cakap pun bunyi KL. Strategi mat oi, strategi. Dalam dunia ni kan ka, selalunya kalau nampak sangat kita dok aim sesuatu, alamatnya yang kita dok aim tu bakal terlepas. Macam kheja jugak la, kalau dok sebut nak kheja tang mana-mana, jangan harap la nak buleh kheja tempat tu, ntah mana hala depa tauk. Tu contoh la, bukan kat Malaysia ni, kat Planet Zargus nu.

Ada sekali tu, ntah macam mana bos aku baru perasan aku orang Pulau Pinang. "So, you boleh cakap Penang la?", bos aku bertanya. Ntah macam mana boleh terkeluar jawapan aku, "Boleh la sikit-sikit". Cueh, sikit hapakebenda, pelet Penang ni dah macam makanan ruji dah aih. Nak control ayat la punya pasai tu kot-kot bos suspicious. Appa punya turrr...

"Negara kita menonjolkan wajah kita,
Marilah bersama rakyat jelata,
Di kota dan di desa di hati bertakhta,
Boria Anak Tanjung membawa berita..."

"Nasik kanda' Pulau Pinang,
Naik feri jangan berenang"

Rangkap boria dalam filem Mami Jarum Junior dan rangkap lagu Elvis Rosley dalam filem Mami Jarum menggema di gegendang telinga, tambah-tambah saat kapal terbang berkelewar kot ataih ruang udara Pulau Pinang. Macam perantau yang dah sepuluh tahun dok kat oversea. Ala-ala Basri Cinta Hari-Hari Rusuhan. Tapi Basri cari Basariah. Aku cari damai abadi. Er, maksudku cari Pian la, sappa lagi hat ada kat Penang ni.

Pi MPSP sat saja, tapi aku ni kan ka siap dengan coat apa semua, macam skema pun ada. Tu la first time aku masuk MPSP, selalu dok tengok kot jauh saja. Ayah aku kata dia pi kaunter sat, nak bayar apa-apa la tu, cukai pintu ka apa ka. Aku pun pi la jumpa pegawai MPSPS. Jangan kata pegawai dia, pengarah dia tu tak pakai tie pun, kira dah agak berlebihan dah aku punya penampilan ni. Tapi lebih baiklah kiranya aku menjangkakan situasi paling skema. Sat saja muzakarah berlangsung. Kira betul-betul kunjungan hormat nak confirm kenderaan dan waktu start survey di MPSP. Dah selesai, aku pun turun tingkat bawah, menuju ke kaunter. Ayah aku lagi terer rupanya, baguih punya dok tengah baca paper. Aku ingat kot bayar hasil ka apa.

Janji dengan MPPP pukul 2.30 petang. Memang sengaja pun. Satu tak mau rushing sangat dari Seberang Perai ke belah Tanjung. Satu lagi pasai ada urusan kat KWSP & LHDN kat area Bandar PERDA tu.

Lepas keluar dari LHDN, aku pun reunion dengan ayah aku kat kedai makan sebelah tu. Tak lama lepas tu ada call dari MPPP tanya jadi dak nak mai 2.30 petang ni. Aku musykil gak, awat macam begheya sangat ni, aku cuma nak buat courtesy call. Lalu aku pun mengiakan.

Dari MPSP, membawa ke Hotel Cititel. Perkataan "membawa" tu nak bagi sedap cerita saja. Yang bawak aku ke sana ayah aku la. Pakai Kembara saja mat oi. Nak pakai Kompressor manalah mampu ku bawa ke mana-mana. Ewah, macam ayat CHHR lak.

Aku pun check-in la kat Cititel. Yang receptionist ni mintak deposit. Tau berapa? RM500. Aku ni baru la draw duit kat Maybank tadi. Jumlah yang aku draw pun banyak tu jugak la. Hampaih betui. Mau tak mau baya' la jugak. Nasib baik ada lagi belen-belen dalam beg duit.

Dah sembahyang Zohor apa semua, nak gerak-gerak-Gerakan la ke KOMTAR lak, nu nak jumpa MPPP nu. Sekali kat lobi ada la pula dua wanita ni tegur aku. La, manna aku nak perasan, dressing kat ofis lain, kat luar lain, macam nak pi makan angin pun aih. Awal ashaari betui depa sampai, group members lain petang tu baru landing. Aku kata nak pi KOMTAR, so depa nak ikut la kunun.

Sekali aku booking teksi. Baru terkantoi depa tu, depa dok ingat aku nak pi dengan kereta. Kereta apa kereta, kereta api Bukit Bendera? Ayah aku pun saja la parking Kembara kat hotel, bukan hampa tak tau parking kat KOMTAR sikit punya lesyei kan ka.

Setibanya aku KOMTAR, kenangangan lama menjelma semula. Melihatkan pak guard, melihatkan lobi kaunter aras 3 tempat pelawat mendapatkan pas. Cuma kali ini, tidak seperti di MPSP ataupun semasa menghadiri temuduga 5 tahun lalu, aku hanya berpakaian biasa dengan tali leher dan tanda nama.

Yang parpu sikit la, katanya pengarah nak jumpa, sekali aku dibawa ke satu bilik mesyuarat, dalam tu dah stand-by dah dekat 10 orang, ada yang pakai uniform apa semua. Huih, satu macam punya courtesy call ni aku dok ingat dalam hati. Aku pulak disuruh duduk depan, betul-betul sebelah seat pengerusi. Kira aku dok tagak dalam 15 minit, lagu ni kalau pakai sangkut lama la aku kat sini. Dekat sejam lebih jugak la punya perbincangan. Buleh tahan gak la, sib baik aku ada gak bawak diari rasmi, buleh la buat-buat tulis. Soalan-soalan cepu emas pasal questionnaire pun ada. Kawan hat tanya tu pulak memang slang Penang kia. Jenuh jugak la aku ghanjau depa.

Habis meeting ada la pegawai MPPP yang jadi contact person aku sebelum ni haba’ kata ni ada pulak orang seSungai Bakap dengan aku. Kawan tu pun tanya la aku anak sapa. Sib baik la aku tak kelolo, dak kalu mau aku kata aku anak mak dengan pak aku la. Rupanya dia anak Allahyarham Pak Dali, yang bukak kedai makan dekat Masjid Lama Sungai Bakap tu. Aku cerita la sapa ayah aku, apa kheja dia. Dan-dan tu dia nak ikut aku turun jumpa ayah aku kat concourse tingkat 3 KOMTAR. Kira dia ni dah jadi orang Tanjung la, tapi tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pulak Sungai Bakap kampung halaman.

Masa kat Cititel tadi ayah aku menyuarakan hasrat nak makan nasik kandar kat satu tempat. Tapi sebab perbincangan dengan MPPP telah menelan sejumlah besar masa kami, maka ayah aku ajak aku pekena kat kedai mamak depan KOMTAR saja la. Mengimbas nostalgia lagi. Bukanlah sebab masakan kat kedai mamak tu sedap tegha mana sangat, tapi 5 tahun lepas sebelum temuduga pagi Jumaat tu ayah aku ajak aku pekena sarapan kat kedai tu la.

Masa tu nak haba' bagi, pergh, manna nak lalu makan, minum pun rasa-rasa aku tak habih. Nu nervous nak attend interview kali pertama seumur hidup tu. Memikirkan perjuangan yang sangat berliku-liku mungkin jadi debu. Ayah aku pulak yang rileks. Memang la patut dia rileks pun. Kira dia bagi jugak la tips-tips apa yang patut. Antaranya suruh baca paper kot-kot interviewer tanya apa berita hari ni. Tips yang berguna tu, kira la ni kalau ada sapa-sapa nak pi interview aku bagi la tips tu pulak kat depa. Ayah aku jugak ajar aku ayat-ayat nak meyakinkan penemuduga. Bukan ayat-ayat cinta ka hapa, maksudnya jawapan yang berkaitan dengan pengalaman kerja. Kata ayah aku, haba' kat penemuduga tu yang aku pernah diberi kepercayaan oleh pengurus sebuah kedai untuk memangku jawatannya itu semasa beliau menunaikan fardhu haji. Nak bagi impression pada penemuduga bahawa aku ni boleh harap la senang cerita. Tapi ada benda yang tak terceritakan; dah tentu la aku jadi pengurus sementara, tu kan kedai ayah aku. Cuma masa hari interview tu ayah aku la belanja, kali ni dah naik pangkat gilia' aku la pulak, pendek kata semua ditanggung la. Alah, bak kata Elvis Rosley, "Duit ringgit tak penting, budi bahasa disanjung tinggi".

Dah alang-alang jadi team leader, takkan aku tak buleh pilih tempat yang aku nak pi. Bukanlah ada kelebihan dari segi apa sangat pun dari segi lokasi tu, cuma kawasan orang Melayu dan aku pun tak pernah explore lagi kawasan sebelah Barat Daya tu. Takat pernah pi Taman Rama-Rama dan Hutan Lipur Teluk Bahang tahun 1991 dulu ada la, insentif Jabatan Pendidikan Daerah SPS untuk murid-murid Darjah Enam berpencapaian baik dalam pelajaran. Nak jadi Penang kia kena tau selok-belok negeri sendiri.

Yang psycho tu, perjalanan ke sana dari hotel menyusuri jalan raya tepian pantai, nala karupan punya jauh. Sejam lebih baru sampai kawasan perkampungan nelayan Teluk Bahang tu. Kunun-kunun awal-awal tu nak la cari rumah ikut alamat. Seperti dijangka, siang-siang hari mana nak ada orang sangat, semua keluar pi kheja. Kalau ada dalam rumah pun buat-buat menyorok. Dah pukul sepuluh, baru dapat 3 responden. Tu pun sebab gagah tanya 2 orang wanita kat kedai sebuah pasar mini. Bila SMS tanya group lain, ada yang dah belas-belas, ada yang 20 dah pun ada. Satu group perlukan at least 35 responden. Hui, walaupun dah pesan sesama group lain bahawa tolong-tolong la cover untuk mana-mana group yang ketinggalan, tapi sebagai team leader takkan hampa tak rasa apa langsung kot.

Maka bermulalah detik-detik pengejaran masa, mana yang aku nampak dok melepak kat luar rumah aku approach. Nak ketuk pintu rumah orang bukan hampa tak tau, satgi depa ingat ntah Gores & Menang pulak.

Dipendekkan cerita, berkat semangat kerjasama yang mantap dari group lain yang tolong cover sikit untuk group aku, maka advencer aku untuk daerah Barat Daya menemui noktahnya di Kampung Seronok. Memang sengaja aku masukkan sekali Kampung Seronok dalam lokasi group aku. Sebabnya aku hanya pernah dengar cerita pasai kampung tu tapi tak pernah pi. Yang dapat aku bayangkan selama ni ialah betapa horanya kampung tu, sesuai dengan nama dia. Cuma takdak la ajaran sembah matahari macam dulu-dulu. Asalnya group member aku yang masuk interview ke rumah tu, tapi aku ikut masuk sekali. Pak cik tu dengan seluar katok dia baguih punya layan kami. Memang pelet Tanjung la dia tu, sabit kepala dia tak terteliang-teliang saja. Siap jamu aya' Nescafe dengan tempeyek mini. Yang best tu hampa tau sapa mai hantar aya' tu? Anak dia la. Putih serlah, tapi tak pakai tudung. Tu yang fail tu. Tidak kalu, raya ni memang aku singgah lagi rumah dia tu. Alah, yang sebelah masjid tu.

Dekat-dekat Maghrib tu aku SMS group member lain, tanya larat lagi ka kalau nak bincang2 sikit malam tu. Jawapan awal macam semua kuat lagi. Tapi ada yang nak tengok debat dulu la. Ada jugak yang kemudiannya kata penat la, sakit kaki la. Aku memang tunggu jawapan tu pun, sebab aku ada plan baik punya dengan Pian. Jadi aku buat keputusan malam tu semua beristirehat.

Lepas Maghrib tu Pian pun mai dengan kereta mewah dia. Kira mewah la berbanding kereta aku. Bawak pi kedai makan tang mana ntah. Kunun-kunun nak tengok debat thru Internet kat laptop la, tapi buffering sebab line busy sangat kot. Tivi kat kedai makan tu baru kalih tengok debat sat dah bukak channel lain pulak. Tak buleh harap langsung. Makanya aku pun surf la blog-blog apa yang patut di samping menerangkan kepada Pian macam mana nak memahami mesej Ketupat Cinta tu.

Kemudian kami ke Night Market kat Teluk Bahang. Ramai Arab la pulak kat situ. Ada yang pakai macam kat negara depa, siap dengan purdah tudung hitam apa semua. Ada pulak pakaian dah macam orang putih. Pian kata yang pakai macam orang putih tu kira Paschal Masalani la, hat pakai tutup aurat tu Masadulu. Terer betui dia bab-bab candek ni, maklum la dah addicted dengan Mat Saman Kati. Dah jadi riuh-rendah semacam aku tengok kat situ. Yang Arab-Arab ni macam seronok semacam naik beca malam-malam. Lagu dah tak ketahuan aku tengok. Tu kira betui-betui cuti sakan tu. Pian ada tunjuk T-shirt yang unik. Aku ingat unik macam UNIC ka. Rupanya ayat-ayat kat T-shirt tu bunyi pelik-pelik. Mengkalu hampa pakai T-shirt tu depan orang tua hampa kan ka, ada harapan hampa nak kena handoh buang sekayu dua.

Ada la sorang ahli kumpulan aku ni, junior, dah memang dok mark nasi kandar dari sebelum turun Penang lagi. Sampai time nak bertolak ke Seberang Perai pun dok tanya lagi tang mana ada kedai nasi kandar hat special. Time tu kami kat bangunan MPPP area Padang Kota. Aku bila kat Padang Kota ni teringat Mee Sotong Hamid. Teringin jugak nak rasa. Tapi dah tengah hari, apa cerita nak balun mee. Lalu, selepas driver MPPP drop budak2 dan mak2 pompuan tu kat area kedai makan Padang Kota, kami bergerak ke kedai nasi kandar kat Hotel Merlin.
Kedai-kedai nasi kandar macam ni la yang aku dok cari lama ni. Lauk dia bukanlah beraneka sangat macam cawangan kedai nasi kandar yang merata tu. Cuma yang best tu sebab suasana klasik, kedai lama, tapi orang tu dia nak haba' bagi, berkeratu'.

Tengah-tengah baguih punya dok pekena nasik kandar, dalam kehangatan bahang mentari tengah hari, aku terpandang seorang anak mami tengah beratur nak ambik nasik kandar. Lawa aba' hang. Dengan putih melepak berhidung mancung, lengkap bertudung serta kebarung, kira kalau pandangan 'ainul yaqin kira gadis solehah saadiah normadiah la.

Depa nu menginap kat Hotel Nasmir. Aku pulak apa dok cangak lagi, dah alang-alang dekat dengan kampung halaman, buat apa dok hotel. Lagipun aku dah set dah nak cover area SPS, hat SPU dengan SPT tu bia' pi kat depa la. Alasan utama aku nak cover area SPS ialah apa lagi kalau tak kerana area yang aku sangat familiar. Satu lagi cepat sikit aku sampai rumah kalau dah habis.

Nak menjadikan manipulasi keadaan lebih maksimum, aku kununnya pada mula set nak jumpa kenderaan MPSP kat Plaza Tol Jawi pukul 8.30. Tapi sebab 8.30 aku masih kat rumah, aku pun call la kawan ni kata kalau buleh pi la cover area kilang sebelah Simpang Empat dulu sementara aku pulak cover area Petronas Sungai Bakap dan kawasan sekitarnya seperti kedai-kedai kilang-kilang dan sebagainya. Kira aku terus tunggu kat sana la. So, depa akan ikut satu laluan saja dari Simpang Empat terus ke Sungai Bakap. Hahaha, strategi lautan biru betul la. Padahal Petronas tu bukan aku nak tanya customer pun. Aku dah mark dah Kak Ju, Pak Cik Radzi dan sapa-sapa lagi yang ada. Customer pam minyak bukan hampa tak tau, manna ada massa nak lama-lama, semua pakai nak cepat saja.

Mula-mula aku sampai ke Petronas sesudah di drop oleh adik aku, dan sesudah mengemas diri sekemas harun mat taib siap dengan name tag, aku pun menuju ke pam khas untuk motosikal. Ada la Pak Cik Radzi kat situ. Rasa skema semacam pun ada, ya la, mana pernah-pernah aku pi Petronas pakai dengan name tag dengan beg hitam apa semua.

Takdan nak pi dekat pam Pak Cik Radzi dah perasan aku dulu. Maka aku pun explain la yang aku dah kerja kat Federal KL, ni nak buat survey la ni. Memandangkan sibuk melayan penunggang motosikal yang tak habis-habis mai isi minyak, lepas sorang, sorang, aku pun gerak-gerak-Gerakan ke dalam kedai. Biasa la, pagi-pagi ni Kak Ju la permanent resident kat dalam tu.

Yang best tu, time aku celah-celah interview Kak Ju sementara dia berurusan dengan customer yang nak isi minyak, ada sorang taukeh Cina ni, tadi baru sat-sat isi minyak. Aku pulak bukan la interview sambil berdiri masa tu, Kak Ju suruh duduk kat kawasan meja kecil bersebelahan kaunter. Dia ingat aku pegawai jabatan kerajaan mana la kot, mungkin sebab aku pakai long sleeves dan name tag. Dia tanya soalan yang aku fahami sebagai cara nak dapat subsidi minyak la. Aku kata aku bukan hal ehwal pengguna, aku pun tak berapa familiar pasal lokasi pejabat-pejabat kerajaan (maklumlah, lama tak balik), tapi aku cadangkan pi kat kawasan pejabat-pejabat kerajaan kat Jawi, kat situ ada kaunter pertanyaan, cuba tanya kat mana jabatan hal ehwal pengguna, mesti depa tau. Hat tu la cara aku nak membantu pun.

Ada sorang staf baru kat Petronas tu, hampir-hampir menjadi salah sorang responden aku, tapi sebab dia dok kat Perak, maka tidaklah relevan untuk aku tanya pasal MPSP. Tapi aku bagi jugak la souvenir berupa pen berlabel Federal KL kat dia. Kalau kat Kak Ju aku bagi souvenir tapi dia yang sama-sama kerja kat kaunter aku tak bagi satgi apa pulak kata survey kan na. Dak aih, bukan sebab dia pompuan ka apa. Appa la hampa ni.

Selain depa yang kat Petronas tu, aku pun gerak-gerak-Gerakan ke kedai makan kat sebelah. Setakat aku ingat ada kedai makan Melayu dan kedai roti canai walaupun semua sekali ada 4 premis. Cewah, kunun-kunun nak interview padahal aku tak sarapan lagi. Rupa-rupanya, tinggal kedai Melayu tu saja yang bertahan. Tu dia la punya ketinggalan tak ketinggalan mahfuz aku ni. Dalam pada suspense MPSP mai tak mai lagi, aku pun order nasik goreng dengan milo panas. Membangkitkan nostalgia strategi aku interview maklumat gerai kat Pahang dulu lak, order makan minum lepas tu interview taukeh kedai. Baru la taukeh kedai terpaksa jawab soalan, ni customer dah order ni, kira ada tolak ansur di situ. Jangan ditolak beransur-ansur dah, amatlah maslan kalau begitu.

Mak cik kedai pun mai hantar nasik goreng dan milo panas. Masa ni la aku maklumkan tujuan aku. Tapi mak cik kedai ni bagi alasan sibuk la apa la. Wah, lebih la ni, aku dah order makan kat kedai dia buleh dia tak mau bagi kerjasama. Aku bok kelua' topeng satgi baru dia tau. Memandangkan aku dah lapar, aku pekena dulu sambil mengushar-ngushar strategi camno nak approach mak cik tu.

Habis makan, tengok timing baik punya aku pun approach la mak cik tu. Bayar dulu harga makan minum, lepas tu aku pun tanya la. Strategi penting tu. Kena la jugak aku meyakinkan dia bahawa soalan ni simple saja, padahal kalau nak tanya kesemua 27 soalan mahu berbuih juga bucu-bucu bibirku. Siap aku kata masa aku kerja kat Petronas dulu aku selalu mai makan kat kedai dia tu. Tapi, cis, dan cis untuk kesekian kalinya, buleh dia buat tak ingat tu. Ah, tapi yang penting berjaya jugak dia ku jadikan responden seterusnya.

Menyusuri Sungai Melaka dengan bot Tun Kudu bersama ahli kumpulan survey dan geng Melaka Bersejarah. Mengikut kata suara dalam CD, perjalanan memakan masa 45 minit sejauh 9 km. Mak ai, jauh giler. Esok pagi-pagi ni ada misi di Jasin lak. Hai, kalau tak sabit Melaka Bersejarah dah tolong sedia transport apa semua sehari dua lepas, tak dak pasai aku nak berlarut malam kat tengah-tengah sungai macam ni.

Sahibul hikayat maka bermudiklah hakir menghilir Sungai Melaka, mencari-cari jikalau ada sotong tahi minyak terapung di mana-mana, guna sebagai bukti mensabitkan petualang yang menyebabkan kesyahidan mamak gerau diraja Musa Al-Kadzim. Adapun pencarian hakir itu sia-sia tajol juga adanya kerana Sungai Melaka ini bersihlah ia dari sampah-sarap. Usahkan sotong tahi minyak, hatta ikan betuk pun tidak kedapatan. Kalaulah ada ikan betuk, bolehlah juga dibawa bermuqabalah.

Arakian tuan-tuan yang dinamakan negeri Melaka itu serupa negeri Tanjunglah jua. Sangat horalah ia, yak-yak-yeh lah ia. Tambah-tambah tatkala malam menjelma. Langgah khamarlah pula, berjoget lambak bergencok beronggenglah pula. Sementelah dikurnia gelar bandar warisan dunia kepada keduanya. Hakir mencongak-congak dalam kepala, gerangan apa sangat ligat langsung tiada ingat akan akhirat. Walhal seperti tuan hamba tahu sendiri di kedua-dua negeri, siapa memegang timba, siapa memegang tali.

Seusai bicarawara dengan sekalian marga baik rakyat biasa mahupun dagang santeri di Melaka Bersejarah dan Alor Gajah, tibalah saat penamat di Jasin. Rupa-rupanya, yang dikatakan Jasin ini tuan hamba sangatlah sunyi, tidak semeriah Alor Gajah, Melaka Bersejarah apatah lagi. Kiranya hakir ingin mewawancara, terpaksalah hakir mengembara ulang-alik pergi balik dari mukim mula ke mukim hujung lantas balik semula. Teramatlah payah, mengalahkan fardhu kifayah, orang lain buat kita tiada payah. Kebetulan hakir dan rakan-rakan hanya mendapatkan rakyat jelata yang ternampakkan di depan laman, dan bukan yang tertutup pintu kediaman. Sayugia, terpaksalah hakir dan rakan-rakan mengadakan pakatan dalam satu barisan untuk menggunakan uslub yang dinamai Plan C. Jikalau tidak, alamat sampai ke petang pun belum selesai-selesai lagi.

Hanyasanya satu kerisauan hakir apakala bermusafir di Jasin. Riuhlah seisi kampung akan Jasin itu diserang wabak penyakit yang namanya sekali dengar bunyi Jepun walhal dari perkataan Makonde. Afrika asalnya, Chikungunya namanya. Inipun hakir sudah mula sakit-sakit kerongkong, batuk-batuk, malah lenguh-lenguh sendi. Ringkas kata, seakan demam jua.

Sehingga ketemu lagi pada ketika yang entah bila, itupun kalau sehelai daun di Lauhun Mahfudz yang tertera nama hakir padanya tiada luruh, maka hakir sudahi dengan ucapan selamat menyambut bulan mulia bulan puasa, semoga nanti sempatlah kiranya menikmati ketupat cinta ketika Syawal tiba.

Nota :

- Mengenang kajian di MPPP (15 & 16 Julai 2008), MPSP (17 & 18 Julai 2008), MBMB (28 & 29 Julai 2008), MPAG (30 Julai 2008) dan MPJ (31 Julai 2008).

- Tajuk entri ialah spoof tajuk novel terkini SN Shahnon Ahmad berjudul "Durian Di Hujung Julai". Patutnya aku bubuh "Catatan Di Hujung Julai", tapi dah masuk Ogos, apa cerita, kena la ubah suai sikit. 'Julai' pada novel tersebut bererti 'dahan'.

- Ayat-ayat arkaik adalah inspirasi novel bersiri Faisal Tehrani dalam Harian Metro setiap Selasa bertajuk "Ketupat Cinta", menemui noktahnya (semi kolon sebenarnya) pada 5 Ogos 2008 dengan entri terakhir bertajuk “Asam Tetel Dari Jauh”, penghabisan penuh nada mengharap memujuk rayu teramat syahdu justeru menggugulah kalbu hu-hu-hu buat sekian waktu.

Petang Yang Basah Di Kuala Lumpur...

"Kuala Lumpur senyumanmu di petang ini sungguh bererti tika hujan melebat lagi setelah kemarau panjang."

"Hari yang cerah kini sudah gelap engkau bos aku dan aku baru datang."

Hari pertama aku baru dalam proses mengenal pasti strategi dan lokasi sesuai. Aku ingatkan tunggu kat tengah dah o.k. dah, rupanya ada lagi yang tunggu nun dia punya depan, memang buleh kat depa la.

Lalu aku pun mempraktikkan strategi yang sama. Pesaing aku seorang piut kepada J.W.W. Birch. Kalau ikut posisi, ada harapan la buleh kat aku dulu. Tapi mata cicit kepada Francis Light ini lebih luas skop pemantauannya, mata melilau merata. Ntah bila masa dia lintas jalan. Cekap, bukan setakat cekap, betul lagi.

Hari kedua lokasi sudah mantap. Tapi apalah nasib hai si tulang empat kerat, punyalah payah nak balik rumah. Setakat tahan tapi tak berhenti tu telah la. Ni yang dah jejak sebelah kaki pun bila sebut tak mau pi ni. Ada yang paling menyayat hati tu, dah siap duduk pun, pun tak mau pi jugak. Rasa nak am-marah-tu-bissu’ pun ada. Tunggu punya tunggu punya tunggu, buleh jugak akhirnya. Nasib baik bulan tak timbul-timbul, kalau tak memang dah malam la tu.

Hari ketiga, di bawah teduhan pohon bonsai yang ketirisan dari celahan daunnya, aku menahan teksi. Yang di depan telah berpenumpang, maka punah ranahlah harapan. Dalam kebasahan pada air hujan di wajahku dan hampir kuyup bajuku, aku menahan segala seksa di langit tengkujuh melanda mendepangkan sebelah tangan dengan harapan teksi berikutnya akan berhenti.

Masa itu aku terlupa nak berzikir Ayat Seribu Dinar. Yang aku ingat, aku hanya berzikir dalam bahasa Inggeris dalam hati, "please, please...", aku kata.

Berbekalkan pengalaman sehari dua ini, bukan setakat teksi tak semestinya berhenti, bahkan berhenti tak semestinya jadi. Tapi, iya, dengan berbekalkan sedikit muka sedih dan berlatar belakangkan gerimis, berjaya times square juga aku balik walaupun lambat sampai sebab mencari jalan alternatif mengelakkan jam.

Akhir kata, majulah Ali Maju untuk Pusat Bandar Damansara. Lu fikir la sendiri dahulu sebelum buang.


Tingkat 5 Sebuah Blok
5 Jun 2008 (Isnin)

Hikayat Tikaman Bahasa...

Sesudah setengah pagi duduk di HR Dept. Federal KL tanpa sebarang berita akan penempatan, aku menurut saranan seorang senior dari mantan Federal, lalu aku ke khutub khanah. Meski tersilap lokasi ala-ala sesat di Kuala Lumpur dosa dan pahala bercampur walaupun sangat-sangat dekat, aku sampai juga ke khutub khanah itu.

Mula-mula membaca buku-buku berkaitan Federal KL. Lama-lama bila cemus melebar sayapnya maka mengalih pandang kepada komputer berInternet (amboi, takkan asyik-asyik ushar orang saja kot).

Perkara-perkara awal yang aku lakukan selain baca Utusan Online ialah mengarang e-mail ditujukan kepada semua warga Federal. Idea dah ada, draf pun dah siap walaupun tertinggal dalam beg di HR Dept. KL Federal. Draf yang tersusun secara sistematik dalam medula oblongata aku keluarkan kembali dalam bentuk gabungan aksara.

Aku sedar ayat aku lain macam sikit dan bakal mengundang pelbagai konotasi, tapi aku dah tunggu lama untuk tulis begini. Aku tak minat mengacung keris tapi sambil sebok aku menikam dengan bahasa.

Sekuntum e-mail bertajuk "Salam Hijriyyah" :

Assalamu'alaikum,

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

Alhamdulillah, alhafil fil akhir, sururun wa furuhun wa falah.

Sadarulkalam, setelah beberapa ketika dipertanggung jawabkan dengan pelaksanaan program ­­­___ dan ___, serta meninjau kemajuan projek di negeri Pahang, sukacita dimaklumkan bahawa saya telah bertukar ke Federal KL berkuat kuasa 16 Mei 2008.

Menerusi kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan atas kerjasama, bimbingan dan teguran bernas, juga memohon maaf atas kesilapan dan kekhilafan, sepanjang tempoh bertugas di Federal.

Akhirulkalam, semoga Federal terus maju jaya demi kemaslahatan ___ khususnya. Di mana jua berada, insya-Allah dalam perkhidmatan awam yang sama.

Sekian, terima kasih.

Adam Al-Bakafi

Federal KL
2 Jun 2008 (Isnin)
5.07 petang

Sunday, May 25, 2008

Mencabar Kuala Lumpur...

Suatu malam bulan puasa, waktu cahaya di penghujung terowong masih belum ketara, aku SMS kepada Mat Fudge. Waktu itu adik kepada Ustaz Ahmad bin Ismail Al-Hafiz yang dok baca khutbah kat Masjid Negeri sedang bekerja sebagai penghantar pizza. "Kuala Lumpur... tunggu... aku cabar kau!", demikian bunyi pesanan ringkas aku kepada Mat Fudge, nampak sangat teruja dengan watak Tun dan falsafah dalam KL Menjerit.

"Aku datang dari desa hanya sebatang kara, Meninggalkan kampung tercinta dan sanak saudara...

...Kuala Lumpur, Kuala Lumpur menyinari hidupku, Kota yang penuh dengan harapan...".

Aku pun dah ingat-ingat lupa, tapi Pian kata, kalau ikut video klip tahun 80-an tu, masa baru sampai di Kuala Lumpur, salah satu adegan ialah hero dia terbongkok-bongkok ambik air sembahyang kat Masjid Jamek. Hish, sedih sangat tu Pian oi. Tambahan pulak aku bukan nak bersesak-sesak dok rumah setinggan pasai nak jimat duit, walaupun aku jugak bukannya banyak duit sangat nak sewa kondo area KLCC.

Seperti diketahui umum, Kuala Lumpur adalah lubuk rezeki sama ada halal ataupun haram. Opportunist berlambak-lambak. Ada yang menjual janji di rumah-rumah kopi (dulu aku tak faham, tapi sejak mengendalikan projek beberapa tahun lalu aku makin mengerti), ada juga yang menjaja harga diri. Ada yang berhora sakan siang malam dengan pakaian pelik-pelik macam jemuan. Anak bangsaku di Kuala Lumpur ditimpa tragedi sangat ngeri. Sudahlah ketinggalan ekonomi, sahsiah pun ikut corot sekali. Seumpama hasil dapatan satu kajian bahawa segelintir pengusaha industri kecil dan sederhana Bumiputera yang baru senang sikit, sudah terikut-ikut gaya hidup Barat langsung terlupakan kehidupan beragama seorang Islam. Banjir berkali-kali masih belum menginsafkan mereka. Barangkali keinsafan perlukan sesuatu yang dahsyat; tsunami atau gempa bumi.

Semoga Tuhan meneguhkan imanku. Sebagai ikan, tak kemasinan dek lautan. Kalau aku tak hanyut, insya-Allah bolehlah aku sambung belajar ke luar negeri.

Ketika ini, bersipongang balasan Mat Fudge lewat SMSnya itu. "Takut hang tak tercabar kot".

Advencer Si Peminum Teh (Tarik) : Episod Alkisah Bumi Makmur...

Seorang bendahara, sewaktu pemasyhuran sebuah kitab, telah mengisahkan berkenaan peristiwa di antara dirinya dengan seorang laksamana. Katanya, dalam sebuah pelayaran, sesudah terjaga dari lena, beliau terlihat laksamana sedang mencatat-catat sesuatu. Ditegurnya akan laksamana gerangan apa dicatatnya. Adapun laksamana katanya mustahil akan dia berselindung lalu diceritakan olehnya hal sebenarnya.

Rupanya laksamana sedang mengarang syair. Maka pecahlah rahasia bahawa laksamana apabila berlayar ke negeri-negeri atas dan bawah angin selalulah dia mencurahkan perasaannya dalam bentuk syair. Syair-syair yang terkumpul itulah kemudiannya dijadikan kitab bertajuk "Merenung Jendela Hidup".

Dalam pemasyhuran tersebut, bendahara pun sukacitalah mencadangkan kepada sekalian pembesar istana supaya turut sama mencatatkan pengalaman masing-masing guna dikongsi bersama sebagai panduan kemudian hari.

Sejarah memaktubkan peristiwa ini dalam lembaran bernama Bintang.

* * * * *

Aku ada jugak cadang nak tulis buku atau dalam pendekatan terkini disebut blook; kombinasi blog dan book. Tapi bila ditimbang-timbang balik dengan neraca dunia (ada sesetengah orang samakan dengan Al-Mizan di akhirat), aku rasa kalau aku buat buku pun tak laku. Apatah lagi aku takdak nama macam Sasterawan Negara mahupun Sasterawan Rakyat hatta FT sekalipun. Yang aku tau kalau aku buat buku @ blook, awal-awal lagi aku kena sediakan naskhah percuma. Salah satunya kepada Pian la (baik punya candek). Pikia’ punya pikia’, sampai susu pun dah jadi bakia’, aku rasa ada moleknya aku tulis blog sahaja. Free dah tentu percuma dan aku boleh tulis ikut suka, rasa nak tulis aku tulis tanpa terikat dengan tempoh masa walau ada juga SMS diterima bertanya ni awat tak update blog ni. Kira bunga-bunga blog aku akan kurang dikemaskini sebab lepas ni aku akan jadi sibuk tahap maksima. Jadi penyiasat la katakan.
By the way, layan dulu la sebahagian koleksi catatan pengalaman aku di bumi aman makmur. Zasss...

* * * * *

Setiap kali bermalam di Kuala Lipis, kereta diparkir berdekatan Hotel Jelai. Cuma slacknya, kadang-kadang akibat keefisienan penjaga parkir yang majoritinya terdiri daripada wanita-wanita hampir separuh usia, direct aku kena kompaun 3 kupang. Boleh kata sepanjang masa pagi petang depa ni dok berkelewar kot parking lot tepi sungai tu di samping jajahan takluk lain.

Ada sekali tu, pagi aku dah kena dah kompaun. Lepas tu bila balik dari tengok projek, kereta diparkir waktu petang yang masih dalam tempoh operasi penjaga parkir. Jadi ada harapan aku nak kena kompaun kali kedua hari tu. Oleh sebab itu, dengan strategi nak mengelak kena kompaun lagi, aku saja try test tengok selit kertas kompaun pagi tadi dengan cara strategik. Aku adjust bagi tulisan yang menyatakan kertas kompaun tu untuk kompaun sesi pagi terlindung oleh wiper. Strategi aku ialah kununnya kalau penjaga parkir tu tengok sekali lalu dan rasa macam kereta aku dah kena kompaun dah petang tu, maka keesokan paginya aku hanya perlu bayar satu kompaun parkir saja.

Esok pagi aku pun check la. Tapi mak cik-mak cik penjaga parkir ni memang mendapat latihan secukupnya dan sangat rajin membelek-belek kertas kompaun yang terselit kat wiper rupanya. Oleh yang demikian, aku kena kompaun lagi 3 kupang.

* * * * *

Lain pula halnya di Bentong. Setelah beberapa tahun, kadar kompaun parking masih tak berubah. Entah, aku pun tak tau asas peletakan kadar kompaun tu. Yang aku tau, aku pernah kena sekali masa parking dekat Hotel Kristal. Sebab tu aku tau kompaun parking tu masih 19 duit.

* * * * *

Waktu sudah tengah hari rembang. Aku dan assistant meneruskan advencer ke kawasan Tanjung Gahai. Bentuk muka bumi berselut sikit, sebab ditimpa hujan malam sebelumnya barangkali. Dengan memacu kenderaan empat roda kategori 850cc, kami menuju ke kawasan lebih hujung. Dalam pada assistant aku merakam imej kawasan-kawasan tertentu, aku pun turunlah ke kawasan bawah slope. Memang nampak macam tanah lembut tapi aku ingat buleh lepas. Nak jadi cerita, kaki aku terlekat kat dalam kawasan tu. Aku masih bertenang, cuba nak tunjai naik dengan kaki kanan. Sekali dua-dua kaki terlekat separas lutut daaa. Nasib baik mai dengan assistant, dia la tolong tarik aku guna kayu.

Habis jahanam kasut Camel baru dan seluar slack aku. Jadi aku pun membasuhnya di pinggir kali. Er, sungai kat dalam kawasan projek tu maksud aku. Tengah dok basuh tu, ada pulak pacat ketit kaki aku. Pacat tu kecik saja kalau nak dibanding dengan pacat yang ketit aku masa menyeronot dalam gua time DPA. Kiranya aku nak cabut lepas tu nak punggai jauh-jauh la macam aku buat dulu. Tapi pacat kecik ni ketega’ betui. Sekali lagi assistant aku menghulurkan bantuan.

Mungkin Tuhan marah sebab aku pi melawat projek time orang nak pi sembahyang Jumaat walaupun aku buleh jama’ sebab musafir. Lagipun, kata orang waktu tengah hari rembang ni waktu makhluk-makhluk lain berkeliaran.

* * * * *

Hari itu, susulan hari-hari mandom nian seolah-olah sebuah perjalanan seakan-akan spiralling downward lantas terpaksa menghadapi perkara-perkara yang sepatutnya tidak perlu difikirkan lagi, aku pun mengambil keputusan segera dengan menghubungi penyelia projek sebuah pulau. Setelah mengesahkan duduk letak perkara, dengan kadar segera juga aku tinggalkan bandar ini.

Sepanjang perjalanan mendung dan hujan menyelubungi, cerminan perasaanku. Tuhan memang suka melambat-lambatkan permohonan hamba-Nya, salah satu sebabnya ialah Dia suka melihat hamba-Nya merayu-rayu memanjatkan doa kepada-Nya. Aku sedar akan perkara itu, juga tahap ujian jauh lebih hebat dihadapi para nabi, tapi aku sebenarnya sudah tak betah terdera perasaan dan minda lagi.

Sudah beberapa kali aku berkereta ke Rompin, namun itulah kali pertama aku melepasi jambatan yang merentangi sungai menyempadani Pahang dan Johor. Selalunya aku ke Tioman dengan feri dari Tanjung Gemok, tapi kali ini aku akan berferi dari Mersing.

Setiap kali aku sampai di Rompin, aku akan segera teringat watak-watak dan babak dalam filem Sri Mersing. Aku sering terbayangkan akulah Damak. Serasa-rasa ada persamaan nasib aku dan dia. Betapa susahnya berperahu berkelana dari Rompin semata-mata mencari rezeki. Sementelahan waktu itu belum wujud jaringan jalan raya yang baik. Adapun yang menanti di Mersing adalah hasad dengki.

Mengenang derita tidak terperi maka berpantulah akan Damak sebelum berlalu pergi. Pantun yang sangat mengesankan tambahan diungkapkan oleh Nordin Ahmad, orang seSeberang Perai, Pulau Pinang denganku.

"Kajang Pak Malau kajang berlipat,
Kajang hamba mengkuang layu;
Dagang Pak Malau dagang bertempat,
Dagang hamba musafir lalu."

Isk, isk, isk.

Keajaiban Yang Menginsafkan...

Suatu malam, aku tengok cerita Indon kat TV9. Pelakon utamanya Dessy Ratnasari ("tak sengaja lewat depan rumahmu, ku melihat ada Tenda Biru", tenda tu khemah la kata Pian, terer gak dia bab-bab sastera walau belum berjinak-jinak dengan FT & Gedembai). Kalau ikut cerita tu heroin tu jodoh dia berat. Dah puas berdoa bermunajat apa semua pun dok lagu tu jugak. Lalu satu hari dia dibawa berjumpa seorang ustaz. Ustaz tu aku yakin ustaz sebenar sebab cara dia cerita tu dan perwatakan dia bukan macam pelakon celup-celupan. Intipati nasihat ustaz tu ialah banyakkan sedekah. Meskipun selalunya cerita Indon merepek meraban dan kadang-kadang tak berapa logik, tapi aku ambik saranan ustaz tu sebagai satu lagi bentuk usaha bagi mencapai sesuatu hajat, terutamanya nak melepasi exam yang dah macam badi.

* * * * *

Tapi tu la, kalau sampai masanya Tuhan nak bagi sesuatu kat kita, kadang-kadang kita pun naik malu pasal banyak sangat dan dalam jangka waktu tak terduga langsung. Macam satu bentuk keajaiban.

Malam tu malam Jumaat. Resah aku rasa-rasa dah sampai tahap maksimum dah. Kalih pi kalih mai tak buleh tido’ lagi padahal dah pukul berapa pagi. Salah satu punca ialah aku minum kopi, berunsur eurycoma pulak tu. Tapi punca utama ialah aku memang nak berhijrah secepat mungkin, rasa dah lama sangat dah dan tak larat dah nak menghadapi benda-benda sentul kat sini. Aku pun tadah tangan, mintak doa supaya aku dilepaskan daripada semua ni secepat mungkin.

Esok pagi, tengok-tengok ada missed call dari member di Federal. Aku ada hunch, bukan The Hunchback of Notre Dame, tapi hunch berita positif. Lalu aku pun call dia. Dia kata ada surat aku kat HR Dept. Cuba tanya P.A. bos HR Dept. Yang tak best tu, berita pasal surat tu bukan nak dimaklumkan secara rasmi kat aku, dah bos HR Dept. tu bawak bincang dengan Ketua Federal la pulak. Wak Long betui.

Memandangkan aku dah terbau cerita-cerita karut, aku pun tanya P.A. tu kot-kot buleh difax kat aku ka. Bila kata tak buleh, aku mintak la tarikh surat dan tarikh kuatkuasa. Pun tak buleh bagi. Hampeh tul.

Jadinya aku pun call la agensi khidmat dan mintak depa fax kat aku sungguhpun kehadiran fax itu di tingkat lima sebuah wisma akan bikin kecoh hindraf sikit. Lantak la, janji aku tak tertanya-tanya langsung terlepas peluang nak ca-alif-but dari sini.

Rupanya, tarikh surat tu 3 hari lepas dan tarikh kuatkuasa surat tu hari Jumaat, bersamaan hari aku terima fax tu. Cis, sungguh tak profesional puak-puak kat HR Dept. tu. Kalau ya pun nak block aku, at least inform la pasal surat tu. Bukan surat orang lain, surat aku jugak.

Biarpun begitu, aku mengambil tindakan sebijak sang kancil dengan menghubungi HR Dept. KL memaklumkan duduk perkara sebenarnya dan bila dijangka aku boleh lapor diri. Barulah depa tak dismiss kata aku tak minat ka apa ka. Orang tua kehilangan kudanya entahkan membawa tuah, orang tua kehilangan kudanya entahkan membawa malang. Tapi buat sementara aku utamakan yang utama dulu. Hijrah itu perjuangan aba’ hang.

Tu dia la, baru sehari dua lepas aku dapat tau aku lulus exam akhirnya. Dalam entri dulu aku ada sebut tentang tuah pada cubaan kali ketiga dan analogi dengan kedudukan dalam peperiksaan sekolah rendah, nampaknya jadi kenyataan harapan aku tu. Sekali berturut-turut pulak dengan surat promosi. Dah la tu, aku dok x-pac celcom hujung bulan la paling awal pun, tau-tau jauh lagi awal daripada tu. Tu dia aih, terharu mawi jamal abdillah aku dibuatnya. Lepas ni kena la aku menunaikan nazar puasa dan kenduri kecil-kecilan.

Cuma Tuhan tak bagi semua, kalau tak aku dah balik Pulau Pinang dah. Mungkin Dia simpan untuk masa-masa kecemasan pulak kot, tak pun untuk talian hayat aku kat akhirat. Apapun, ni pun dah kira banyak nikmat dah ni.

Aku sentiasa percaya, lulusnya aku dalam exam dan surat promosi ni bukanlah sebab aku terer ka hapa. Semua ni dengan ketentuan dan izin-Nya jua, serta berkat doa dan sembahyang hajat kaum keluarga, orang alim macam Haji Harun dan kawan-kawan (kalau ada). Usaha aku tak tera mana pun. Harap-harapnya aku semakin insaf dan terarah mengakrabi-Nya.

Kehadiran Tanpa Relaku...

Ketua Federal nak turun pulak dah. Walaupun bukan program yang secara langsung melibatkan aku, tapi sebarang ketidak hadiran aku dikhuatiri menimbulkan implikasi kepada usaha penghijrahan aku. Jadi pikia’ punya pikia’, aku pun attend la.

Strategi aku ialah meminimumkan komunikasi walaupun memang diyakini bahawa dia memang tak kenal aku pun sebelum ni. Tapi dalam hindari tu pun tak dapat elak jugak. Lunch tu aku dok satu meja menghadap dia. Memang tak kenyang langsung, bukan takat makan sikit, bahkan sikit sangat. Sementelahan menu pun memang tak sedap.

Lepas tu dia melawat ruang pejabat yang kecil banget. Masa ni la dia bertanya khabar. "O.K. la Dato’, dah setahun lebih saya kat sini". Cewah, terer giler aku berlakon, padahal dalam hati selama ni dah mega mandom.

Petang tu dia ada program kat balai raya. Sesudah program ada jamuan sikit. Kali ni aku biar orang lain join dia makan kat dalam tu. Aku pekena bihun dan kuih-muih kat luar, takdak la nak kena control sangat, rasa nak tambah, tambah. Sebab lunch tadi tak tera mana, aku pun boh la banyak-banyak. Nak jadi cerita, pedas la pulak bihun tu. Nak perabih jugak punya pasai, aku taruh kuah daging untuk lemang kat atas bihun tu.

Selesai semua program, ada staf aras lima sebuah wisma sudah book Bilik VIP kat airport. Maka menunggulah kami bersama Ketua Federal kat dalam tu. Masa nak pi surau kat airport tu, aku ditegur oleh mantan ADO SPS. Ingat lagi dia kat aku, walhal masa tu aku cuma SSL kat Jabatan Perpaduan. Masa tu aku dalam proses nak join gomen dan salah sorang yang aku jadikan contoh adalah dia.

Berbalik kepada Bilik VIP kat airport, sekali lagi, aku membiarkan geng aras lima sebuah wisma bersembang dengan dia. Aku cuma buat-buat angguk tanda setuju sambil senyum kadang-kadang. Boring betui buat benda-benda tu. Akhirnya, sebelum Ketua Federal berangkat ke flight, dia pun menghulur tangan bersalaman dengan semua orang. Part ni yang aku teringat akan hadis Nabi, mafhumnya, "Sesungguhnya kepala yang dicucuk oleh besi tajam itu lebih baik dari bersentuhan antara ajnabi". Tersangatlah mendera perasaannya bila kita tau benda yang salah tapi kurang kekuatan untuk tidak menghindarinya macam Ahmadinejad. Semoga Tuhan mengampuni dosaku.

13 Mei 2008 (Selasa)
Kuantan

Advencer Si Peminum Teh (Tarik) : Episod Koc Koc Kereta Api...

Aku patut cuti lama dari hari Rabu membawa ke satu lagi hari Rabu. Tiket flight pun dah siap beli. Tapi tu la, Federal ni ada saja benda yang macam dibuat-buat kat aku. Buat program la pulak hari Sabtu Ahad. Sudahnya, aku terpaksa singkatkan tempoh percutian yang dah lama dirancang. Singkat banget, aku sampai kampung pun dah Rabu malam, tambah satu hari hari Khamis, lepas tu Jumaat pagi dah nak kena gerak. Tak berbaloi langsung. Rugi pulak lagi pasai tiket burnt.

Naik kereta api dari Parit Buntar ke KL Sentral jam 8.00 pagi. First time naik First Class, selesa giler, spacious, orang pun tak ramai maka buleh duduk ikut suka hati. Cuma dah beberapa ketika dok kat seat, aku terperasan bahawa takdak pramusaji menolak troli menjual makanan dari gerabak ke gerabak. Betul la kot info yang pernah aku baca beberapa ketika dulu bahawa perkhidmatan tu dah ditiadakan.

Teringat cerita teacher masa kat Irshad dulu bahawa dia nak balik raya pada suatu masa tapi tiket tak ada, jadinya dia melepak kat café dalam kereta api sepanjang masa.

Mengiktibari akan kisahnya itu, sesudah dok sat kat seat, aku pun bergerak ke cafe di dua lagi koc. Melalui koc First Class bersebelahan, aku terpandang seorang wanita Barat berambut perang sedang mencatat sesuatu. Rajin jugak depa ni, tulis diari ka buat catatan kajian ka tak tau pulak aku, nampak khusyuk semacam. Sesampainya di depan pintu yang memisahkan koc itu dengan koc cafe, aku hairan awat pintu tu tak menguet ke tepi. Ada butang tertentu tapi aku musykil nak tekan sebab ada label macam emergency. Berpaling ke belakang ternampak pemeriksa tiket baguih punya dok lena. Camno nak buek ni? Seraya terpandang awek mat saleh tadi mengisyaratkan supaya menekan sesuatu. Aku pun tekanlah butang atas sebelah kanan pintu gerabak tu, pintu pun terbuka dan aku mengangkat tangan tanda terima kasih kepadanya.

Cafe sedikit bising. Ada la dua tiga cangok kat dalam tu. Ingatkan ada nasik goreng ka apa ka, yang ada nasik lemak dengan nasik dagang, tu pun baru nak masak. Sementara nak siap bungkus tu aku lepak dulu pekena milo panas. Sambil lepak sambil tengok pemandangan indah nian mesra yang tercipta kenanganmu selalu mengusik jiwa. Paling damai abadi ialah tatkala merentasi Tasik Bukit Merah, di kiri kanan saujana luasnya kawasan digenangi air.

Lebih setengah jam aku lepak pekena milo panas sambil berdendang lagu-lagu melankolia dan nostalgia. Lama sangat tunggu, serasa-rasa nasi dagang dah siap, aku pun bergerak ke kaunter pembayaran harga makan minum termasuk 3 jenis sandwich.

Sekali lagi melalui koc First Class bersebelahan cafe. Kali ini setibanya di penghujung koc tersebut berdekatan pintu gerabak, aku ucapkan terima kasih kepada awek mat saleh nan itu, "Thank you for your help just now". "O.K.", dia membalas ringkas sambil tersenyum. Saja la berbahasa Inggeris, nu nak ambik MUET mingu depan nu.

Dalam kehidupan ini yang terindah melalui usia remaja. Namun demikian, dalam gerabak tiada mahasiswa mahasiswi USM yang hendak pulang ke kampus. Tiada Ali, tiada Asmidar, tiada Latiff, tiada Singh, tiada Jali. Jadi, tiadalah adegan mengorat membaling kacang mencurah gas minuman berkarbonat memecah telur atas kepala. Demikian, aku menghabiskan masa dengan membaca buku Tuhan Manusia sehingga tiba di KL Sentral jam 2 petang.

2 Mei 2008 (Jumaat)
Ekspres Rakyat

Advencer Si Peminum Teh (Tarik) : Episod Alkisah Tanjung Puteri...

Aku dan assistant sampai kat A' Vista Melati sesudah menaiki teksi dari Lapangan Terbang Sultan Ismail. Sepanjang jalan tadi melalui landmarks yang pernah aku kesani waktu meninjau rumah sewa time nyaris-nyaris jadi posting ke JB dulu. Terkesan lagi Danga Bay. Tak sabit jadual yang packed kalu dah lama aku layan perasaan tepi pantai tu sambil boh selagu lagu Tanjung Puteri. "...Istana Hinggap di Kuala Danga, Pantai berkelah keluarga diraja...".

Rupanya bersebelahan hotel tu ada lagi sebuah hotel yang jauh lebih moden. Kalau aku yang booking hotel mesti dapat hotel yang sempoi sikit, tapi dah masa suntek terpaksa la aku suruh assistant. Lagi pulak, tengok rate la sama, kalau aku ambik hotel canggih sikit dah assistant aku dok ntah mana hala pulak. Baik dok satu hotel.

Maka aku dan assistant pun check-in. Receptionists dia pompuan belaka bertudung pula.Yang kartun tu, receptionists berdua ni kalang kalibut satu macam sampai tertukar-tukar kunci dengan baucer sarapan. Macam nervous pun ada, walhal aku tak pakai Impulse pun, minyak atar apatah lagi. Aku saja psycho depa, rileks, rileks, bawak bertenang aku kata.

Bilik yang aku ambik tu kira bilik paling mahal la untuk hotel bajet tu. Tapi dah macam hotel zaman 70-an pun ada. Betul la kata receptionist tu bahawa hotel ni dah lama wujud dah. Kad ASTRO ada, tapi macam tak berfungsi. Dua remote control tu satu berfungsi satu dak. Aku agak bateri pun dah lama tak ganti.

Dah dok JB, takkan aku nak tengok channel tempatan, mestilah aku tengok channel tivi Singapore dan Indon. Ada drama Singapore ni kunun-kunun sorang tok wan ni bawak la cucu dia dari Singapore ke kampung dia kat Langkawi. Tapi yang fail tu ialah depa cakap Kedah yang tersangatlah huduhnya, dah macam sebutan dialog filem Melayu zaman P. Ramlee aku tengok, cakap Kedah apa lagu tu.

Jadi kebanyakan masa aku tengok channel Indon la. Sebelum sampai slot sinetron Indon yang membosankan, aku dihidangkan dengan paparan-paparan sensasi. Dari cerita pengharaman persembahan penyanyi dangdut sampailah kepada kisah perselingkuhan. Punyalah telus geng-geng Indon ni sampaikan wajah pelaku maksiat dan suaminya yang membelasah jantan kaberet itu pun tidak dikaburkan. Bukan takat belasah, ada yang sampai tahap membunuh pun ada. Sudahnya dia pun masuk lokap.

Satu lagi yang paling mangka’ ialah ada iklan perkhidmatan tilik nasib. Ada yang ala-ala perempuan gipsi tapi cakap Indon, ada yang ala-ala primbon (ilmu tilik nasib Jawa). Kira bab tu tivi Malaysia masih baguih la, walaupun surat khabar Melayu boh jugak keputusan nombor ekor.

Disebabkan aku berpuasa, oleh itu dalam pukul 7 aku turun la ke bawah jalan-jalan cari makan. Kedai mamak apa kelas ye tak, dah la ada cukai apa bala. Aku pi lorong belakang yang dipenuhi gerai makan. Daripada sup kambing sampailah segala macam. Tapi JB ni harga makanan punyalah mahal, nasib baik aku tak tercampak kat sini. Kira elaun harian aku lebuh macam tu saja la.

Keesokan harinya, sebelum meeting di Bangunan Sultan Ibrahim, aku check-out dulu. Semalam keadaan kurang mengizinkan, hari ni aku curi-curi tengok name tag receptionist bertudung tu. Curi pandang takpa, jangan curi hati dah. Siti Noor Raihan nama dia, lebih kurang ketua cahaya syurga. Patut la cun, macam Chun Lee dalam Street Fighter. Anyway, aku takdak la ushar rapat, aku cuma tengok selayang pandang saja setiap kali.

17 & 18 April 2008
Johor Bahru

Wednesday, April 23, 2008

Omak Ai, Podih Eh Monikam Kalbu Den...

Teksi yang ditunggu belum tiba. Janji semalam 5.45 pagi, entah-entah pak cik itu terlupa. Azan Subuh dari masjid dan surau MRSM mula berkumandang, ditambah alunan bang dari tetuang udara pada mobil saluran Gegar Pantai Timur. Metah damai abadi.

6 lebih barulah pak cik supir sampai. Terlupa katanya, nasib baik isterinya peringat. Hendak ke matar antara 20 – 30 minit, flight 6.50 pagi. Entah dan tak dan.

Setibanya aku di lapangan terbang, nampak ramai semacam walaupun pagi-pagi buta. Ada sekumpulan orang berhimpun di tengah-tengah laluan ke kaunter daftar masuk. Seorang lelaki di hadapan mereka pula melaungkan azan.

Aku mengambil tempat duduk berhampiran sementara menantikan assistant datang bersama tiket penerbangan. Lelaki yang mengepalai jemaah memaklumkan masanya telah tiba untuk melalui pemeriksaan keselamatan seraya berpamitan dengan insan tersayang.

Saat itu jemaah bersalam-salaman dengan sanak saudara. Pandangan terarah kepada dua wanita. Seorang ahli jemaah manakala seorang barangkali mak ciknya. Saling berpelukan mereka berdua, setiap satunya begitu lama. Di sebalik wajah yang menghadap ke sebelah sana, siapa tahu ada jujuhan air mata.

Sayu aku melihatnya. Sementara terimbas gesaan Dilah supaya aku turut menunaikan umrah, terbayang pula ketika aku mengucup dahi emak dan berdakapan seerat-eratnya di Kompleks Tabung Haji Bayan Lepas sekitar tahun 2003. Air mata meramu, mana tahu tak bisa lagi ketemu.

Pesawat menerjah awan gemawan sementara fajar kian menyingsing. Lukisan alam ciptaan Tuhan.

K ke K
Boeing 737 – 400
17 April 2008 (Khamis)


* * * * *

Selesai membaca Manikam Kalbu di suatu sudut ruang menunggu KLIA sementara menantikan penerbangan ke Johor Bahru. Meski roman duluan bersela lucuan, meski berpantun seloka berkias ibarat, tapi panahan kama sungguh menusuk jantung. Seakan-akan kisah anak dagang bernama Zainudin dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck pula.

K ke J
Pintu A2 KLIA
17 April 2008 (Khamis)

Senja Di Pantai Cherating...

Remang-remang senja. Perjalanan menyusuri pantai dengan kawan sepersekutuan seperkhidmatan

Betapa bezanya darjat aku dan dia. Dia sudah bergelar programme manager, sedang aku hanya seorang monitor. Dia tinggi, aku sedikit rendah. Dia ibarat gajah, aku hanya semut merah.

Asalnya kami berlima; 3 lelaki, 2 wanita. Seorang awal-awal lagi kembali ke Sabah. 2 orang pula baru-baru ini berpindah. Tinggal aku. Menanti masa berhijrah. Entah bila entah.

Dia baru pulang dari Road Map di Cititel Pulau Pinang. Ada kawan-kawan bertanya khabar. Heh, ingat juga diorang akan aku nan mustadh'afin. Maklumlah, siapalah aku ini 'kan, untuk memintal buih yang memutih menjadi permaidani sepertimana yang tertulis dalam novel Ketika Cinta Bertasbih. (Sekali Exists + Kang Abik daaa...).

"Ini kali tidak ada yang mencari cinta

di antara gudang, rumah tua, pada cerita
tiang serta temali. Kapal, perahu tiada berlaut
menghembus diri dalam mempercaya mau berpaut.

Gerimis mempercepat kelam. Ada juga kelepak elang
menyinggung muram, desir hari lari berenang
menemu bujuk pangkal akanan. Tidak bergerak
dan kini tanah dan air tidur hilang ombak.

Tiada lagi. Aku sendiri. Berjalan
menyisir semenanjung, masih pengap harap
sekali tiba di ujung dan sekalian selamat jalan
dari pantai keempat, sedu penghabisan bisa terdekap."

(Chairil Anwar, “Senja Di Pelabuhan Kecil (Buat Sri Ajati)”, 1946)

Bilik 121, Residence Inn
Cherating
13 April 2008 (Ahad)
7.57 malam

Saturday, April 19, 2008

Sepucuk Surat Tidak Rasmi Kepada Sabina Rose Alphonse...

Sudah lama rasanya aku tidak "membakar minyak tengah malam". Kali terakhir seingat aku yang tidak "dhabit tam" ini ialah sewaktu muda belia. Sehubungan itu, malam ini aku duduk di meja tulis. Ambil mood suatu malam tahun 1997 di bilik 211 Blok 9A Kolej MISC. Ketika Asman, Aidil dan Akhtar sudah lama pengsan.

Di bilik itulah aku mengatur perkataan berserta Kamus Inggeris – Melayu Dewan di sisi. Menujukannya kepada seorang wanita Serani. Sepucuk surat yang apakala dibaca lantas mengubah lanskap gelaran kelas 1.01 hari-hari berikutnya.

Bezanya, kali ini, disebabkan rumah tumpangan ini mengamalkan konsep paperless seperti program Generic Office di bawah Apliksi Perdana MISC barangkali (kunun-kununnyalah), maka terpaksa aku menulis pada buku tuntutan perjalanan. Di tepi pula buku Tony Buzan, "Age-Proof Your Brain", menawarkan penambah baikan daya ingatan selain telan kismis Malaya. Ada 3 sesi kesemuanya :

i. 7-Day Get Sharp Plan
ii. 7- Week Stay Sharp Plan
iii. 7-Minute Mind Boosting Plan

Sungguhpun demikian, sebelum ketiga-tiga sesi bermula, ada 2 bahagian soalan perlu dijawab. Kedua-dua bahagian aku jawab sambil duduk berhampiran Pintu B6 KLIA.

Bahagian Pertama "Where Do You Think You Are?" mengehendaki aku mengisi berdasarkan skala 1 – 5 tahap kesukaran mengingati sesuatu perkara.

Bahagian Kedua, "The 7-Minute Mind Makeover". Setiap satu tugasan menguji kemahiran yang berbeza, ditambah perlu diselesaikan dalam tempoh masa antara 60 – 120 saat. Satu kerja pulak dah aku nak set masa sambil menyelesaikan masalah.

Bagi aku, yang paling best ialah tugasan yang menduga "Analytical Power"; "Codebreaker" namanya. Masa diberi 60 saat dan aku berjaya selesaikan dan semak dalam masa 43 saat. Ketika membongkar kod rahsia berkenaan, aku rasakan seolah-olah Hajime Kindaichi dan Conan Edogawa pun ada. Cuma tidaklah serumit kes kedua-dua penyiasat remaja, agak kacang juga.

Masalah seperti berikut :

"Kenal pasti mesej tersembunyi dalam mesej bertulis seorang suami curang kepada pembantu peribadinya. “Tell Oliver Now If General Happy Triple Yesterday’s Orders Under Rating Scheme, Don’t Accept Realtor’s Loan If Not Guaranteed"".

Kalau baca ayat-ayat berkenaan memanglah merapu dana. Jadinya, kaedah penyelesaian yang aku gunakan ialah fokus kepada huruf besar pada setiap perkataan dan tulis kembali dalam satu baris. Sudah semestinya akan tertera mesej yang masuk akal, sesuai dengan ciri-ciri seorang suami curang. Renung-renungkan, dan selamat beramal.

Nota :


Amacam, pintar bukan? Macam Sang Kancil (Tengok kereta la, ye tak? Hahaha, hang kata hang tera!).

Bilik 121, Residence Inn, Cherating
1.20 pagi
13 April 2008 (Sabtu)