Friday, November 05, 2010

Cuti-Cuti Sekolah...

Hidup umpama seorang musafir yang pandai bertukang dan bersilat sekotak cekelat, kita tak tau apa kita akan dapat. Begitu kata-kata Ahmad Darurah Forrest Gump. Sebenarnya kata-kata mak kepada Forrest Gump. Yang paling sebenarnya kata-kata mak kepada Forrest Gump kepada Forrest Gump.

Penggal persekolahan sudahlah lepas seusai peperiksaan akhir tahun. Apa yang aku belajar sepanjang penggal? Lima matapelajaran; dua kena ambil periksa, tiga lagi pun kena ambil periksa juga. Jadi sebab apa aku tak rangkumkan sahaja bahawa kesemua lima matapelajaran itu semuanya memerlukan aku menduduki peperiksaan. Sebabnya mudah sahaja. Sebab pada peringkat awal aku memang sangkakan semua lima matapelajaran memerlukan aku menduduki peperiksaan. Cikgu-cikgu pun sangka begitu, pada hemat aku. Sehinggalah minggu terakhir sebelum peperiksaan aku merujuk ke pejabat kerana jadual peperiksaan untuk tiga matapelajaran tidak tertera di papan kenyataan. Pejabat pun tak tahu, lalu disuruhnya aku rujuk kepada pejabat lebih atas. Kata pejabat lebih atas, sebenarnya tiga matapelajaran itu tak perlu pun aku duduki peperiksaan. Sebabnya, seperti dimaklumkan pada awal-awal penggal, bermula dari penggal ini pelajar menengah atas yang mengambil matapelajaran asas tak perlu lagi menduduki peperiksaan bagi matapelajaran asas tersebut. Dulu prasyarat sekarang audit, begitulah slogan yang digunakan.

Cikgu-cikgi di dalam kelas matapelajaran asas tiada pernah menyebut bahawa aku dan tiga orang lagi pelajar menengah atas tak perlu pun mengambil peperiksaan. Jadi, deduksi yang boleh aku bentangkan di sini ialah mereka pun tidak tahu-menahu tentang perkara ini. Aku lagilah tidak tahu kerana waktu mendaftar pun kelas sudah masuk minggu kedua, sedangkan maklumat terkini untuk pelajar menengah atas yang mengambil matapelajaran asas dimaklumkan semasa taklimat minggu pendaftaran. Itulah kelemahan dan ketinggalan bagi pelajar yang lewat dapat mendaftar masuk ke kelas. Harap pihak berwajib pada masa hadapan jangan lagi memandang enteng perkara ini dan cepatkanlah membuat dan memaklumkan keputusan dan kelulusan sambung belajar secara rasmi. Kerana belum dikira lagi kelas-kelas yang tak fasal-fasal tuang kerana permohonan cuti belajar lambat lulus. Pelajar lain sudah mencari-cari buku teks rujukan, sudah ada pun kumpulan tugasan, sudah pun mencari bahan tugasan individu dan berkumpulan padahal aku masih terkial-kial proforma pun baru nak fotostat. Ada juga perancangan hidup yang tergendala dan kuca-lana; perancangan pindah rumah, balik kampung dan sebagainya sebab tarikh sambung belajar belum dimuktamadkan. Kalau sudah bergelar sarjana, orang bawahan yang mengimpikan peluang yang sama jangan dilupa.

Makanya, apa pelajaran berguna yang aku dapat sepanjang penggal ini? Untuk penggal ini aku beroleh beberapa pelajaran. Pelajaran yang aku maksudkan lebih kepada pendekatan dan pengharapan cikgu-cikgi.

Ada cikgu yang masa mengajar macam semua perkara diulasnya dari pelbagai perspektif yang tak terjangkau pada pemikiran pelajar menengah atas seperti aku. Perkara-perkara itu bukanlah dibaca atau dirujuk pada nota pun, semuanya sudah ada dalam ingatan. Hebat betul. Kalau bab bersyarah, pergh, semua nama-nama sarjana, nama-nama buku, penerangan tentang konsep2 tertentu, tahun-tahun penting seperti tahun buku ditulis atau konsep diperkenalkan (sekadar menyebut beberapa contoh) macam kacang sahaja disebut mereka.

Ada cikgu yang berpesan, apabila membaca penulisan seseorang sarjana, jangan lekas percaya, sebaliknya kena berfikiran kritis dan analitikal. Sesetengah sarjana katanya, mempunyai agenda tertentu apabila menulis, sesetengahnya didalangi oleh pihak tertentu. Perkara ini satu ilmu baru pada aku, sebab selama ini aku cenderung untuk terima sahaja apa yang ditulis. Justifikasinya, aku selalu percaya setiap orang ada pendapat masing-masing yang sudah tentu berbeza, jadi apa salahnya. Rupa-rupanya, ada satu aspek yang juga perlu diberi perhatian iaitu aspek kritis terhadap idea dan pandangan seseorang sarjana. Dalam kelas, cikgu mengajar supaya karya sarjana yang hebat-hebat pun dikritik, cuma kenalah kritikan yang berasas dan disandarkan kepada pandangan sarjana lain juga. Susah juga, bayangkan bagaimana mahu mengkritik artikel “The Clash of Civilizations?” Samuel P. Huntington dan “The End of History?” Francis Fukuyama yang sangat terbilang dalam bidang mereka sedangkan aku dan rakan-rakan sekelas hanyalah pelajar menengah atas.

Cikgu juga berpesan bahawa dalam menulis, elemen debat di kalangan sarjana tentang sesuatu tajuk perlu juga dimasukkan. Nampaknya, penulisan pada peringkat menengah atas ini bukan setakat memastikan soalan terjawab bahkan kena menggali lebih dalam lagi aspek-aspek yang lain. Contohnya, soalan tentang contoh peranan kerajaan sementara di negara tertentu mesti juga dihuraikan tentang sama ada terdapat pelanggaran bidang kuasa kerajaan sementara atau tidak. Waduh, sampai begitu sekali. Banyak membaca juga sering ditekankan.

Tapi pesanan paling hebat ialah pada kelas terakhir dua minggu sebelum peperiksaan akhir. Seorang cikgu, yang rupa-rupanya pelajar ekspres semasa zamannya berpesan bahawa seseorang sarjana yang baik ialah yang tidak bersikap bangga diri mahupun merendah-rendahkan hasil karya orang lain. Dia juga meletakkan pelajar seperti aku dalam keadaan kurang tekanan apabila menyebut bahawa harapan dia ialah pelajarnya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Lalu, keutamaan beliau bukanlah pada menyukarkan pemberian gred lebih baik. Pergh, giler ah cikgu yang berfalsafah begitu, kena sangat dengan matapelajaran falsafah yang diajarnya.

Ada juga pesanan; daripada cikgu-cikgi dan rakan-rakan sekelas, supaya mulakan tesis dari awal, jangan tunggu sehingga penggal terakhir. Idea awal yang terdetik dalam medula oblongata aku ialah membuat tesis mengenai isu tanah yang melibatkan orang Melayu di Pulau Pinang dan kesannya kepada sokongan politik. Tapi apabila aku fikir-fikir balik, satu, bab-bab nak jawab goresponden tak ramai yang berminat nak menjawabnya. Tak payah tanya pembanci-pembanci penduduk tahun 2010 baru-baru ini, pengalaman aku sendiri buat survey pun dah cukup. Macam-macam persepsi orang ramai, ada yang memang malas nak jawab, macam cikgu pengantar statistik waktu menengah rendah di sintok dulu, walhal dia pesan di dalam kelas kalau orang datang buat survey sila beri kerjasama. Ada juga yang ingat nak jual produk atau minta sedekah. Macam-macamlah. Dua, di mana pula aku nak cari orang Melayu Pulau Pinang yang terusir dari tanah mereka sendiri. Sebabnya, mereka sudah tentulah bertebaran di mana-mana sahaja di atas muka bumi ini sama ada di Sungai Petani, Seberang Perai atau di mana-mana jua. Jadinya sudah tentu juga mereka pun tidak lagi mengundi di Dun atau Parlimen asal mereka. Oleh yang demikian, bagaimana aku nak kaitkan pertalian antara isu tanah dengan sokongan politik mereka.

Persoalan-persoalan tersebutlah yang menggencatkan hasrat aku. Walaupun tajuk itu sangat penting bagi aku kerana beberapa sebab. Satu, sudah menjadi tekad aku dengan sambung belajar ini aku akan dapat balik kampung lebih kerap. Dengan tajuk sebegitu, maka perancangan sejak Rancangan Malaysia Kesembilan aku itu akan dapat direalisasikan. Dua, setakat ini belum ada lagi orang buat kecuali sipi-sipi iaitu tentang tanah wakaf. Tiga, kalau nanti ada penulisan rencana, akademik mahupun blog yang menyentuh tentang survival orang Melayu di Pulau Pinang, maka tesis aku akan menjadi rujukan muktabar. Empat, buat dalam negara lebih jimat dan lebih dekat dengan ahli keluarga. Cikgu-cikgi pernah menyebut, ada orang yang tesisnya tentang hal-ehwal negara luar, jadi banyaklah kesukaran nak mendapatkan bahan, silap-silap sangkut. Iyalah, tambang kapal terbang pun dah berapa banyak, tak campur kos-kos lain lagi. Bila dikenang-kenang halangan yang aku nyatakan pada para di atas, ditambah pula biaya sendiri bukan dapat tajaan mana-mana pihak, terdapat keperluan untuk aku buat penyesuaian sewajarnya.

Andaikata aku tak buat tesis melibatkan Pulau Pinang, ada kemungkinan aku buat di luar negara. Tapi aku perlulah buat perhitungan bijak. Kalau luar negara yang aku pilih itu di United Kingdom ataupun negara-negara maju lain, alamatnya kenalah aku kerja sebagai tukang cuci atau pelayan kedai di sana sebab nilai matawang Malaysia rendah. Memanglah ada sesetengah pelajar nama sahaja buat tesis tentang negara luar seumpama globalisasi di China kununnya, tapi tak pergi pun ke sana, bahan semua dapat di Malaysia, apa ketoootnya.

Ada dua negara terlintas dalam pemikiran analitikal aku ini. Satu Iran, dua Mesir. Di Iran aku cadang nak buat tentang Mousavi atau aliran kepembangkangan di sana. Di Mesir, aku nak buat tentang Ikhwanul Muslimin dan pengaruh dalam politik Mesir, secara spesifik lagi boleh diperincikan dalam konteks perwakilan di Parlimen.

Kira-kira dari aspek kewangan yang aku buat nampaknya Iran mengatasi Mesir. Setiap RM1 kalau ditukar bersamaan Rial Iran 3,378.18 berbanding Pound Mesir 1.85. Antara sebabnya Iran dikenakan sekatan ekonomi, maka nilai matawangnya jauh lebih teruk dari Indonesia.

Kira-kira dari aspek mazhab, Mesir mengatasi Iran. Mesir Sunni, Iran Syiah. Dua-dua pada aku Islam, cuma lebih mudah nak menyesuaikan diri dengan suasana ibadat orang semazhab bagi orang awam macam aku. Orang yang terer bab-bab agama depa tak kisah la kalau tercampak kat Kutub Utara pun.

Kira-kira dari aspek keselamatan, Iran mengatasi sedikit Mesir. Di Mesir, kalau aku teruskan dengan tesis fasal Ikhwanul Muslimin, ada harapan aku hilang secara tiba-tiba. Tahu-tahu dibicarakan di Mahkamah Tentera, atau langsung ditahan entah di mana-mana tanpa bicara. Adegan yang pada mulanya aku sangkakan jalan cerita Ayat-Ayat Cinta sahaja. Rupa-rupanya dalam buku John L. Esposito bertajuk “Ancaman Islam: Mitos atau Realiti?”, memang disebut perkara yang sama. Di Iran lebih terbuka walaupun kalau membaca buku-buku tokoh pembangkang (yang biasanya liberal dari segi ideologi dan cara hidup seperti Shirin Ebadi, pemenang Anugerah Nobel Keamanan tahun 2003 dan penulis buku “Iran Awakening”) timbul juga kebimbangan dicekup dan diseksa macam di Mesir.

Dari segi rasuah, Mesir baik sedikit dari Iran. Kalau “Indeks Persepsi Rasuah 2010” oleh Transparency International menjadi kayu pengukur, Iran di tangga ke-148 berbanding Mesir di tangga ke-98 daripada keseluruhan 178 buah negara. Dalam buku “The World Is Flat: A Brief History of the Twenty-First Century”, Thomas L. Friedman berkata pegawai pemeriksa di lapangan terbang di Iran pun makan suap juga. Buat malu kampeni betul la Iran ni, merosakkan imej negara teokratik sahaja. Sepatutnya, berilah contoh teladan yang mulia sedikit sebab Iran ini nama penuhnya Republik Islam Iran dan melaksanakan hukuman jenayah mengikut syariah. Tambahan, ada Pemimpin Agung iaitu seorang ulama yang hirarkinya lebih atas daripada Presiden, bertujuan menentukan hala tuju negara selaras dengan semangat Revolusi Islam 1979. Lainlah Mesir yang nama penuhnya Republik Arab Mesir, Presidennya bukan ada semangat Islam pun sebaliknya pro-Israel dan Amerika Syarikat, kontra dengan dasar luar Iran. Peliknya, bab rasuah Iran ditinggalkan oleh Mesir. Menjadikan Iran semakin luka parah dari segi moral ialah mengenangkan Amerika Syarikat yang ditentangnya habis-habisan berada di tangga ke-22 manakala Israel di tangga ke-30 Indeks Persepsi Rasuah 2010.

Apapun, semuanya baru merancang. Ada banyak penggal lagi. Tak mustahil tesis dibuat seputar Pulau Pinang juga.

Thursday, September 30, 2010

Qulil Haq Walau... (Katakanlah Yang Benar, Walaupun...)

LOKASI: 
Bilik kuliah tingkat kedua teratas sebuah blok.

WATAK:
- Lecturer wanita
- Student lelaki ijazah pertama
- Student lelaki prasyarat

BABAK:
Lecturer wanita sedang mengajar subjek ekonomi politik di bawah tajuk kemiskinan. Slaid powerpoint dipasang dan dipancarkan ke skrin. Student lelaki prasyarat duduk di kerusi lipat baris ketiga dari depan; student lelaki ijazah pertama duduk di sebelah kiri student lelaki prasyarat selang satu baris kerusi lipat.

DIALOG:
Lecturer wanita: Kemiskinan selalunya diukur melalui indeks tertentu. (lecture berterusan)

Student lelaki: (sambil tertanya-tanya sendiri dengan rakan sebelah) Apa indeks dia? Haq tu ke?

Student lelaki prasyarat: (menggunjing dalam hati dengan muka yang serius) Ish, ish, ish, mai tang mana pulak indeks tu nama Haq. Kan ka kat slaid tu tulis Haq (1995). Mat ngot betui, klu sikit punya besa’ dok ada, kalau Conan Edogawa buleh cakap Tamil, nescaya dia akan berkata, “Yennadey…!”


Nota:
Sekadar gambar hiasan
Haq (1995) ialah cara hujah dipetik dalam penulisan akademik. Dalam konteks ini, Haq merujuk kepada nama seorang sarjana, Mahbub ul Haq, yang terkenal dalam perbincangan mengenai kemiskinan, dan 1995 merujuk kepada tahun karya beliau diterbitkan.
Sementara itu, beberapa ketika kemudian student lelaki ijazah pertama sedar akhirnya apa itu Haq sebenarnya.

Friday, September 24, 2010

Jalan Ka-Sorga...

Masih ingat lagi dengan seorang hamba abdi yang cuba melarikan diri dari kekejaman firaun-firaun besar dan penyelia tapak pembinaan piramid suatu ketika dahulu? Iya, si hamba abdi yang kadang-kala bekerja sambilan di sarkis itulah. Menurut perkhabaran dinding-dinding batu yang bertelinga, si hamba abdi telah selamat menyeberangi lautan merah. Bagaimana caranya ia sampai ke seberang sana usah ditanya. Kerana ia sendiri pun sama sekali langsung tidak menduga. Apa tidaknya, lima orang lain yang sama-sama di gigi pantai kembali ditawan oleh rejim totalitarian. Memang khawariqul 'adah; mencarik adat, tetapi keajaiban Tuhan memang tiada terduga, bukan?

Sehelai sepinggang sesudah menyeberang, ia pun berbaring-baring di keteduhan melepaskan kelelahan. Dengan tidak disangka-sangka, sekawanan merpatih putih terlihat mengepak-ngepak sayap di angkasa. Menurut firasat, merpatih putih sebegini pernah ia lihat dalam babak Face Off arahan John Woo. Apa petandanya tiada pula ia tahu.

Takdir Tuhan, seekor daripada merpati putih itu patah sayapnya di udara, lalu melayang jatuh ke pangkuannya.

Di kaki merpati terikat segulung kertas. Diuraikan tali, seraya dibentang kertas untuk diteliti. Masya-Allah, kecilnya tulisan. Demikian, ia mengeluarkan kanta pembesar, barulah dapat ia membaca isi kandungan warkah berdaun papyrus itu:
Ada sorang member sePenang kia, Pian namanya, baik punya candek aku apabila aku kata kat dia lama tak update blog ni bukan pasaipa, tapi sibuk dengan esainmen. Tau dia kata apa? “Dr. FaTa lagi sibuk”. Dia nak haba’ bagi bahawa sesibuk-sibuk bakal Sasterawan Negara berijazah PhD tu pun dan lagi update blog, inikan pulak takat sambung belajar. Amboi aih hang, satgi aku haba’ kat orang rumah kata hang dok pi melepak minum teh halia dekat kedai makan Pak Rahman tepi Caltex sambil2 ushar lawyer tu baru hang tau.
Aku bukannya apa, ada sekali tu masa bulan posa time naik koc-koc kereta api kelas pertama (zaman-zaman kelas ketiga kedua tu bagi aku cukuplah sekadar waktu), aku ada mengarang blog pasai watak-watak tertentu di Sungai Bakap yang memeriahkan sembahyang tarawih. Tapi tu la, dari dulu tu dia la yang aku dok type kat Word dulu baru copy paste kat blog, pasai blog ni perangai dia macam rejim Zionis sikit mengkala sangkut dengan connection pakai lebuh chulia street la tulisan aku tu. Nak copy dari blog kendian nak paste kat Word tak buleh. Tabuh cuma!

Satu sebab lagi ialah mengkala aku nak tulis blog, teringat “alangkah comeinya anak mami, kulit hitam manis hidung tinggi, bila berjalan pakai minyak wangi, mirip rupanya heroin filem hindi, yang lain yang lain yang lain yang lain yang lain...”. kan ka baguih masa yang aku guna untuk update blog ni aku guna untuk perabih esainmen. Esainmen nak haba’ bagi nala punya banyak, hat nak present nak present, hat nak buat karangan buat karangan, berderet-deret. Tau-tau bulan depan dah final exam. Tu dia aih.

Ya salam (bak kata Shah Rezza dalam Ali Setan)...! Aku ni bukannya perunding peserta kursus lagi, aku dah transform jadi student dah pun. Justeru, mengapakah soalan2 yang diajukan kepadaku sama spesies macam soalan peserta kursus. “Konfederasi tu macam mana sebenarnya?”. Begitulah soalan yang diajukan kepadaku menjelang cuti raya. Aku tau la aku satu takah ataih sikit daripada depa, dari segi umur dan tahap pengajian, tapi soalan tu lebih aula kalau lecturer bertaraf doktor menjawabnya, sebab dia yang bagi soalan tu. Tapi tu la, mungkin pasai ciri-ciri tertentu yang sama yang menjadikan aku perunding peserta kursus, maka soalan group mates yang baya-baya Wani tu aku jawab macam soalan tu baru pertama kali ditanya kat aku (padahal aku rasa sejak beberapa minggu terkebelakang dah 5-6 kali dah aku jawab berdasarkan serba-sedikit ilmu pengetahuan yang aku ada hasil rujukan kepada buku & internet; keghin ghengkong jugak la siap bagi guidelines lagi macam mana flow esainmen tu, padahal banyak lagi benda aku tak dan explore). Dalam konteks ini, seorang student dari Kubang Tepak yang sekursus denganku menyuarakan rasa tak puas hati, “Jangan suap sangat depa tu!”, katanya. Amboi aih hang, awat cengil satu macam ni, makan tebuan ka hapa? Dalam hal ini, selaku seorang saasatul ibad yang licik, aku mengambil pendekatan terpuji dengan melayan permasalahan-permasalahan macam tu. Cari bala la nak dengki sama-sama group mates, dah la subjek ni kena dapat score tertentu walaupun takat prasyarat saja.

Time belajar macam ni selalu aku teringat peribahasa Cina yang aku goreng masa public speaking kat KL Federal. “Ibarat menghayun kapak di depan Lu Ban”. Yang paling kena dengan peribahasa tu adalah apabila sesi round table. Lecturer suruh bagi pendapat, kritikan dan sebagainya. Ada kawan-kawan sekuliah bagi pandangan masing-masing; segelintir memetik kata-kata sarjana tertentu dalam buku tertentu. Part ni aku menggunjing sendiri dalam hati, macam mana la lecturer tu buleh bertahan dengan petikan satu-dua pendapat sarjana dalam satu-dua buku oleh student, padahal lecturer tu sendiri yang membaca dan hadam ntah berapa ribu buku pun jarang sangat nak memetik nama sarjana & nama buku, walaupun kuliahnya meliputi pelbagai perpspektif yang ada masanya tak terjangkau pun di minda student. Dalam erti kata lain, student tu ialah “si penghayun kapak” yang ilmu tak tegha mana, tapi kunun2 nak tunjuk tera depan lecturer, “si Lu Ban” tu la.

Raya hari tu, orang kita amboi aih punya sakan beraya. Budak Manir ni pulak kelaparan (sebenarnya aku pun lapa’ sama, tapi dah biasa setiap kali hari raya mana ada sapa nak masak nasik sangat, makan la ketupat kuih-muih yang ada, bukanlah tak masak nasik langsung, cuma lauk ayam tu aku bukan makan sangat, hat budak Manir ni pulak tak buleh makan pedaih-pedaih). Sebelah rumah aku memang la ada kedai makan, tapi sebagai tanda protes sebab guna duit lumba kuda kedai makan tu punya pasai rumah aku punya banyak nyamuk, makanya aku memandu soyuz dari Sungai Bakap membawa ke Jawi sampai ke Nibong Tebal akhirnya tiba ke Parit Buntar sebelah Transkrian. Haram satu kedai orang kita pun tak bukak. Nampak gaya tak dak pilihan lain la selain kedai mamak. Memang depa buat duit sungguh-sungguh la malam-malam raya ni, mau ka dak orang mana nak larat makan ketupat lemang saja, nasik kena pekena jugak. Buleh la gagah, kedai tak la kemas sangat dari segi susunan atur dan kebersihan. Takat nak makan tu buleh la, tapi nak feel kalu aku masih teringat Nasi Kandar Merlin Hotel yang aku pekena time nak gerak ke Seberang Perai selepas selesai survey sebelah Tanjung. Kedai tu belah Union Street dengan Penang Street. Walaupun kedai lama & tak sebesar kedai nasi kandar kat Parit Buntar tu, tapi kemas dan bersih dan lauk semua fresh. Makan pulak time tengah hari, orang tu dia la nak haba’ kat hang berkeghatu’, semua ada termasuk la anak mami. Muarghahahaha!
Warkah berdaun papyrus pun digulung kembali. Beberapa ketika dari sekarang, ia berhajat meneruskan perjalanan, mana tahu terserempak kafilah membawa dagangan, dapatlah ia menumpang minum dan makan. Merpati yang cedera ia letakkan di atas alas baldu. Sehingga kafilah lalu, berilah kesempatan ia beradu.

Tarawih Yang Lain...

Pertama kali menjejak kaki ke Masjid Baru sempena bulan puasa nan mulia semenjak berumah tangga ini. Mungkin sebab aku jarang-jarang berkesempatan pulang ke kampung, atau memang sebenarnya suasana sudah berbeza, yang nyata ada ikon-ikon tertentu yang biasanya memeriahkan solat tarawih di Masjid Baru tidak kelihatan. Barangkali memang aku yang tidak perasan kerana sembahyang di tepi ruang solat utama meskipun masih di saf antara terkehadapan, tapi suasana memang lain macam sedikit.

Biasanya aku akan nampak Pak Cik Shamsuddin, ayah kepada kawan aku si Hishamuddin dengan jubah dan serbannya walaupun dia hanyalah mantan pegawai TUDM dan bukanlah seorang ustaz. Waktu aku sekolah rendah dalam darjah lima dan enam dahulu, si Hishamuddin ada bawa nasi lemak buatan ayahnya itu untuk dijual kepada kawan-kawan. Pada masa itu aku rasa satu kelainan juga pada nasi lemaknya berbanding nasi lemak sedia ada di pasaran tempatan yang dibungkus bentuk piramid. Nasi lemak buatannya itu dibungkus bentuk nasi bungkus, dilapik di bahagian dalam dengan plastik putih, dibalut dengan kertas surat khabar, diikat getah bulat, dan lebih banyak berbanding biasa, walaupun lauknya seingat aku tetap sambal tumis ikan bilis, kacang dan hirisan timun. Dia ada datang ke kenduri aku bulan dua lalu, ada gambarnya dalam album perkahwinan sebelah Sungai Bakap tengah riang-ria dengan kawan-kawan. Masa itu dia tak pakailah serban dan jubah, hanya kepiah putih dan kemeja. Rupa-rupanya itu kali terakhir, dan sesudah itu dia pun pergi menghadap Ilahi. Patutlah tarawih kali ini berlainan sekali.

Waktu tarawih di Masjid Baru juga biasanya akan ada tok bilal yang salawat paling kuat, maklumlah dalam keadaan biasa pun dia kalau bercakap memang kuat pun. Non Bilai nama dia. Masa tu aku terpikia' jugak, awat la dok pi jerit kuat-kuat sangat kalau nak selawat pun, sakit telinga aku aih. Selain kerja jadi bilai, dia juga seingat aku jadi tukang panggil makan kenduri dalam karyah Masjid Baru ni. Dia akan pakai kepiah putih dan t-shirt lengan pendek, lepas tu kayuh beskat mini, kad kenduri dia boh dalam raga depan beskat tu. Kad kenduri masa tu jenis kertas A4, kaler tak banyak pilihan sangat, selalunya merah, putih pun kerap jugak, ada la sekali-sekala kot hijau dengan biru, kaler-kaler lain aku dah tak ingat. Depa buat satu master copy, lepas tu depa fotostat la banyak-banyak, dan lipat empat. Paling hebat pun masa tu pakai taip. Peta setengah tu pakai lukis dengan tangan saja, hat rajin sikit guna guna pembaris. Macam gambar dalam kertas ujian atau kertas periksa kat Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap pun ada yang cikgu-cikgi cetak guna stensil. Zaman-zaman tu best, tak gaduh nak pikia' pasai status dalam masyarakat ka hapa ka kalau kad kahwin jenis murah pun. Cuba buat zaman la ni, ibarat mendengar lagu Chu dari tiga penjuru la aba' hang. Orang tu risau, orang ni marah. Tapi Non Bilai pun dah pergi beberapa tahun sudah. Patutlah tarawih kali ini berlainan sekali.

Kalau Non Bilai walaupun pakai baju melayu tapi ikat serban putih dia tu kemaih-kemaih, hat pak kawan aku ni, Kamarudin namanya, pulak lain macam sikit. Dia ada dua nama, satu Haji Ishak, satu lagi macam tok ayah aku biasa dok panggil Haji Deghih, hat bahasa baku Haji Idris la. Dia ni, ish, lagu mana punya ikat serban pun tak tau, jenis macam sepuk ataih kepala pun ada aku tengok. Biasanya kain serban hat ada kaler merah bintik-bintik tu la. Kadang-kadang dia jadi tok bilai jugak. Tapi dia pun dah tak dak lama jugak dah. Patutlah tarawih kali ini berlainan sekali.

Tok ayah aku ada lagi. Dulu dia macam ayah aku jugak la, mengkala sembahyang tarawih kat Masjid Baru tu bukan takat saf depan, 20 rakaat pulak tu, campur witir sekali, habis moreh baru balik. Tu dia la rajin tak rajin dan berstamina tinggi tak berstamina tinggi. Cucu dia bukan tak buleh buat lagu tu, tapi sejak kecederaan luaran susulan pertarungan hebat dengan Majin Buu yang nak menawan bumi, maka dia tak berapa buleh lama-lama berdiri (cewah, baik punya alasan, padahal ada faktor lain sama). Tapi la ni tok ayah aku dah tak larat sejak kecederaan tulang paha beberapa tahun lalu (ayah aku walaupun tak berapa baik betul lagi lepas kena strok masih konsisten dengan standard tarawih sebelum ni kat Masjid Baru, hat ni sapa-sapa hat kerja dia sebagai penukar tiub patut bagi salut jugak). Sembahyang pun atas katil, sebelah katil dia katil tok aku.
Patutlah tarawih kali ini berlainan sekali.



~ Catatan Asal Dalam Ekspres Sinaran Utara bertarikh 15 Ogos 2010, Nibong Tebal - Sentral Kuala Lumpur.

Sunday, June 20, 2010

Sepucuk Surat Buat Man Tongkat...

Ke hadapan rakan sepembinaan piramidku, Man Tongkat semoga dalam keadaan sihat walafiat juga hendaknya walau dilibas cemeti piap piap piap oleh penyelia tapak tanpa menentu masa.

Perasaan sebegini bukanlah sekali ini sahaja aku rasai. Ketika engkau menghulur sepucuk warkah berdaun papyrus bergaris-garis bercatat senikata “Berita Kepada Kawan” terubahsuai sebelum aku menaiki hafilah ke sebelah timur negeri, lalu ku baca di suatu subuh hening keesokan hari sesudah semalaman sukar melelap mata. Itulah dia perasaannya.

Kata orang, berkawan biar ramai, berkasih biar satu. Pada hematku yang sekejap-sekejap mengunjungi ghurfah engkau di tapak pembinaan piramid dahulu, atau takdan sat menghujani engkau dengan panggilan menerusi hatif, kawan perlu juga sefikrah. Tiada gunanya kawan semasa senang sahaja, apabila taraf jawatan semakin berbeda lantas kita dipinggir dan dilupa. Berkawan bagiku bukan bertujuan melolos diri ala houdini waktu tersepit, berkawan bagiku apabila sampai ke tahap percaya untuk berkongsi cerita-cerita di luar bidang kerja. Kawan yang baik adalah kawan yang seringkali ada masa meski sebentar untuk kita, bukannya melepas tangan mentang-mentang telah sampai takah yang diidam.

“Perjalanan ini terasa sungguh menyedihkan, Sayang engkau tak ada di sampingku kawan, Banyak cerita yang mestinya kau saksikan, ‘Kan sidang kita berlainan...”. Teringat-ingat lagi kata-kata engkau dalam warkah berdaun papyrus itu. Sedih memanglah sedih, di kalangan mereka yang tidak semacam engkau belum aku ketahui hati budinya, dengan bi’ah yang serba asing budayanya. Apakan daya sudah tertulis di lauhun mahfudz bahawa aku ini sedemikian nasibnya.

Aku kini berada di hadapan lautan merah. Di belakangku bala tentera firaun besar mengejar. Semakin mampir mereka. Seharusnya aku nihil ketakutan sementelahan tongkat bersain autograf telah ada di tangan. Tapi sentiasa ada tapi, tongkat bersain autograf semata-mata belum memadai. Bak kata Ally Noor kepada Mastura, “...Baru bacadang orang pulak motong jalan...”. Aku setakat mampu berdoa campur tawassul dengan serba-sedikit amal kebajikan yang pernah aku lakukan, mudah-mudahan bongkah batu penutup pintu gua akan bergerak ke tepi jua. Juga mohon kepada ayahanda dan bonda dan orang soleh bersolat hajat dan mengapungkan doa kepada Yang Maha Kuasa.

Setakat ini aku hanya mampu merenung lautan merah nan terbentang luas. Andaikata tiada terbelah juga lautan ini tatkala gerombolan firaun besar merapati untuk agenda pembantaian, maka ternyata aku bakal tersungkur di pintu kebebasan. Andai itu terjadi, doakanlah aku syahid seumpama para syuhada yang tega mengirim bekal ke ghazzah dengan safinah. Lantas aku bersenandung lagu jamal ubaidillah ali, yang kali terakhir aku lontarkan suatu malam di hadapan para the oranje di kuala kubu bharu. Ku tujukan buat ayahanda, bonda, adinda-adinda, nenda-nenda, isteriku; kalau-kalau aku terkorban sewaktu bertemankan antenolol 50 miligram seharian di nogoghi nan bersombilan. Sekira-kira beginilah bunyinya:

“Usah kau tangiskan perpisahan ini dengan air matamu

Usah kau nantikan bila ku kembali ke pangkuan kasih

Setulus doamu cukuplah bagiku sebagai azimat

Senyuman manismu kasih dan cintamu menjadi temanku

Usah kau pintakan sejuta harapan dariku yang berjuang

Telah ku serahkan jiwa dan ragaku demi ibu pertiwi

Andainya ku gugur sebelum kembali usah kau ratapi

Jangan kau kesalkan pengorbanan ini demi bakti yang suci...”

Tuesday, May 11, 2010

Menanti Tongkat Bersain Autograf...

Langkah merentas laut merah kian hampir. Tongkat yang diperlukan sebagai wahana paluan akan berada dalam genggaman. Hanyasanya perlu autograf pengerusi nescaya tongkat tersebut pasti absah digunakan. Nazar puasa tiga hari wajib ditunaikan. Aku berharap hari-hari pada bulan Mei 2010 akan berlalu dengan sangat tenang. Aku juga berdoa agar pada penghujung bulan ini eyjaffjallajokull akan meletup meletus lantas asap hitamnya menyelubungi langit eropah selama mungkin lantas menggendalakan penerbangan sehingga hujung bulan Jun 2010. Semoga doaku untuk kemaslahatan warga sekantor bisa makbul. Amin.

Note: Anyway, at the moment, Malaysia in on the verge of losing to Japan in Thomas Cup Group B match. We have just lost in the second doubles. Now, Hafiz Hashim for the decider. Can he?

http://smp.ukm.my/ppsinfo/sf001keputusan_info.cfm

Friday, April 30, 2010

Dua Bulan Lagi Sebelum Sarkis Berakhir...

Ketika pesarkis-pesarkis yang lain gigih ditindas rejim tirani pengurusan sarkis yang durjana, seumpama aksi balik kuang trapeze di awangan, ataupun menjinakkan rimau bengal kebuluran 10 hari, ataupun membuat aksi badut slapstick, seorang pesarkis lain mencongak masa hadapannya sendiri. Menjadikan peristiwa tongkat dipalu lantas membelah laut merah sebagai inspirasi, maka terilhamlah karya kreatif secara rawak.

Lagu / Filem / Sajak / Buku Popular Sepanjang Musim Salju:

1. Emancipation of Me

2. Re-Born on 6th July

3. Escape from Alcatorah

4. Awan Hitam di Escapetorah

5. I Say It Best When I Say Nothing At All

6. Lord of the Circus Ring

7. Ayat-Ayat Nista

8. Cari Pasal Dengan...

9. Free Willingly

10. Kingdom of Hell

11. Entahbetul Spoilthemen Ribut

12. A Nightmare on eHem Street

13. Clash of the Setans


Pesanan Marhaen:

“Janganlah kesakitan hatimu menyebabkan kamu menempelak tajuk pengucapan awam orang lain di khalayak ramai sambil memakai baju sejuk”.

“Janganlah kamu memberitahu ada kerani yang lewat masuk ke pejabat kerana menghantar terlebih dahulu keretanya untuk diservis, sedangkan baru sebentar tadi kawan-kawan kamu dilibas dengan cemeti”.

“Janganlah kebencian kamu kepada orang yang solat awal waktu sedangkan syura baru memasuki pukul 5.00 petang mendorong kamu untuk memfatwakan sedikit atau kurangnya pahala orang itu”.

“Janganlah kamu menyebut-nyebut anekaragam pindaan sebagai alasan kelewatan di hadapan sahabat baik bakal taukehmu”.

Friday, April 16, 2010

My Name Is Red: Jodoh Ketentuan Tuhan, Lelaki Yang Punya Hati Akan Bawa Pengantin Perempuannya Pulang (Episod 2)...

Dipendekkan cerita, saya berjaya juga menaiki kereta api ke Delhi. Frank Martin sempat menghantar saya ke stesen, sebelum bergegas ke lokasi penggambaran filem "Pengangkut".

Koc Kelas Dua berhawa dingin. Kereta api jenama Ala Hazrat Express. Setahu saya perkataan hazrat merupakan gelaran hormat, biasanya untuk alim ulama di India, Pakistan dan sewaktu dengannya. Saya pula memang sangat mudah tertarik dengan sesuatu yang bernuansakan islami secara maildi, bukannya hadkori.

Anda tentu tertanya-tanya, dalam episod terdahulu bukankah saya mengharapkan kuota pelancong atau kuota Tatkal bagi kereta api jenama Gujarat Mail. Memanglah saya berharap, tapi kuota-kuota itu langsung tak boleh harap. Masih nihil ruang untuk saya. Nasib baik saya menggunakan kepintaran tersendiri (ushar kereta la bro) dengan menempah tiket secara online. Kata responden dalam laman web itu, tempahan tiket secara online menjimatkan 50% kos tambang kereta api beliau kerana tidak perlu lagi menghulur duit kopi kepada tukang jual tiket.

Jadinya, pengembaraan bersambung, paling cepat kereta api akan bertolak pada pukul 8.15 pagi waktu tempatan. Itu kalau mengikut jaduallah. Masalahnya janji palsu ini bukan hanya boleh didapati daripada ras tertentu, tetapi sudah menjadi satu isu global bagi negara-negara kurang membangun dan membangun. Cuba pergi ke negara-negara maju, Jepun umpamanya, ketepatan masa sangat maksimum. Sebab itu shinkansen mereka boleh bergerak pada minit yang pelik-pelik. Contohnya, Nozomi 41 dari Tokyo ke Shin-Osaka boleh bertolak pukul 2.10 petang dan sampai 4.43 petang, kemudian shinkansen yang lain, Rail-star Hikari menyambung pecutan ke Okayama pada pukul 4.59 petang dan tiba pada pukul 5.45 petang. Amacam, ada beran? (Oh, ya, sebuah syarikat bas di Hentian Duta ada mengaplikasikan masa bergerak spesies ini. Hanyasanya, aplikasi tersebut lebih kepada penyelarasan kepada hari tiket yang dijual. Sebagai contoh, pada tiket bas tertera waktu bertolak ke Parit Buntar pukul 11.59 malam. Maklumlah, kalau diletaknya pukul 12.00 malam sudah memasuki hari berikutnya dan mencelarukan sistem jualan tiket. Setakat itulah sahaja amalan murni yang dipraktikkan, bas memang akan sampai pada pagi hari berikutnya juga; setengah jam lewat itu biasa, berjam-jam lewat sebab bas dari Puduraya rosak sudah menjadi KPI mereka.)

Berbalik kepada cerita kereta api, apakan daya, saya sedang menggunakan perkhidmatan kereta api di India. Memanglah mereka tiada beran. Yang saya nampak berberan-beran hanyalah beg-beg yang diangkut oleh para penumpang ke dalam kereta api.

Kereta api yang sepatutnya berjeda seketika sekira-kira 20 minit telah terbabas waktunya sehingga dekat setengah jam. Sudahlah tiba dari Phulera pun lewat, bertolak pun lewat. Appa punya turrr la.

Berbeza dengan persepsi umum, kereta api ini menempatkan penumpang di dalam koc. Ulang suara, di dalam koc. Makanya tidak kedapatan penumpang berchaiyachaiyachaiya di atas bumbung kereta api.

Dalam perjalanan, saya berbual panjang dengan seorang budak kanyiar berjaket hitam, Raj namanya. Yang banyak bicara takkan tak tahu kot, siapa lagi kalau bukan si Raj. Saya seperti biasa menjadi pendengar setia. Kata Raj, dia dalam rangka advencer, untuk menemui kekasih hatinya bernama Simran. Sungguhpun misi beliau begitu mencabar, Raj masih boleh berlawak Bedtime Stories kartunis Lambok. Ada 3 perkara dilakukan beliau tidak semena-mena.

Pertama, membengkokkan ibu jari ke belakang. Sepupunya juga boleh berbuat demikian, katanyalah. Kedua, depaan tangannya lebih panjang berbanding ketinggiannya. Hat ni saya tidak dapat mengesahkan kerana tiada tali tape. Cuma apabila Raj berdiri, nampak macam hujung jarinya agak dekat jugak dengan sisi lutut. Ketiga, beliau kata tapak kakinya rata, tidak berlekuk seperti orang biasa. Bia’ betui hang ni Raj oi. Yang ini pun saya sukar mahu percaya, tapi apabila Raj mengugut hendak membuka stokinnya, terpaksalah saya berkompromi walaupun saya lebih cenderung memilih untuk mengutamakan rasa tidak percaya.

Namun demikian, sambung si Raj, beliau bernasib baik kerana features tersebut, yang hanya dikesan apabila beliau dimasukkan ke wad kerana sakit dada, bukanlah full set serta tidaklah menjejaskan mata, sendi dan sebagainya. Doktor yang merawatnya juga berpesan supaya beliau bersyukur dengan features yang kebarangkaliannya 1 nisbah 5,000 itu. Features yang dikenali sebagai Marfan Syndrome itu hanya membuatkan beliau menjadi ahli bersekutu Transformers dengan gelaran Marfanoid. Hakikatnya si Raj berkencindan lagi dengan watak kekartunan beliau itu, tapi saya yang tidak menyedari kekal terlongo.

Tambah Raj lagi, selain Marfanoid, beliau juga dikesan mengalami Mild Trigaspic Gigitation. Lain macam punya penyakit. Acah saja, kata si Raj (saya dah agak dah), Mild Tricuspid Regurgitation lah. Ada kaitan dengan jantung sedikit. Kalau ada rawatan pergigian dan sebagainya yang melibatkan pembedahan, perlu dimaklumkan kepada doctor untuk diberi antibiotik.

Si Raj yang berbual dengan saya ini ada membawa bersama ukulele, apa lagi, memang menjadi-jadilah aura doladoladola (masa kecil dahulu saya selalu candek seorang adik saya dengan nama Dollah Salleh, hahaha!). Raj perasan akan pengusharan saya akan alat muzik tersebut. "Saya ada hypertension...", kata Raj, "...jadi ukulele ini sebagai ubat hatilah kiranya, selain Antenolol 50 miligram.".

Ukulele pun dipetik. Pergh, lain macam saya punya layan. Memang lain macam sungguh.

"Ni daoh, awat intro macam Sweet Home Alabama pulak ni, hang ingat Lynyrd Skynyrd ka? Dola Dola Dola la mat oi!". Demikian saya sound si Raj, sudah barang tentu dalam bahasa Inggeris, yang tadi itu terjemahannya. Ikut hati saya begitulah bunyi sound of musicnya, namun begitu memandangkan saya masih terpengaruh dengan unsur-unsur diplomatik sebagaimana kerjaya rasmi saya, maka saya susun ayat dengan sebaik-baiknya. "Wahai saudara Raj, apalah sudi kiranya saudara meniunkan petikan ukulele saudara itu kepada lagu Dola Dola Dola.".

Raj tersenyum, seolah-olah gembira berjaya memperdaya orang naïf sebagai saya. Sentul juga perangai si Raj ni, saya menggumam dalam hati, macam budak Kampung Kubang Tepak.
Ukulele dipetik lagi. Kali ini baru betul. Saya seraya mengosongkan fikiran. Sekeping nota bersama sekuntum mawar bertukar tangan di tepian pantai. Imtihan adalah peperiksaan. Nateeja adalah keputusan. Hairaan adalah? Hairan.

"Imtihan hum pyaar ka deke
Raah dekhe kya hai nateeja
Na aaya yakeen dil ko
Jab naam apna dekha
Kagaz pe woh tere dil ke
Ye aakhein huyi hairaan
Sach hai, sach hai
Jo dekha hain
Dilbar tan mann apna hum ne vaara tum pe
Dola dola dola dola, mann dola dola dola"

Nyanyian terhenti apabila saya mengenangkan heronya yang kematian tragis di Oshiwara tahun 2008, dan senikata seterusnya berbaur kemabukan. Biarpun mabuk disebabkan angau, tetapi saya memang pantang, serasa-rasa macam mabuk arak bunyinya. Entahlah bagaimana kadang-kadang manusia begitu bersemangat 'asobiyyah mengangkat orang mabuk dengan alasan-alasan melugaikan. Cuba-cubalah renung kembali pantun Melayu ini:

"Pilih-pilih tempat mandi,
Pertama teluk, kedua pantai;
Pilih-pilih tempat menjadi,
Pertama elok, kedua pandai."


Kereta api singgah sebentar di Rewari selepas hampir 5 jam perjalanan. Satu lagi stesen selepas ini sebelum saya tiba di Delhi. Masalahnya di Delhi ada 3 stesen; Delhi Cantt, Delhi S Rohilla dan Delhi.

Agaknya saya perlu turun di stesen mana?

Tuesday, April 06, 2010

Selamat Tinggal, Jalan-Jalan...

Sekarang ini, apabila aku rasa down tahap lepas kena selagu lagu-lagu yang langsung tak merdu pada pendengaran telinga dan jiwaku, aku akan bangun dari kerusi. Menuju ke dinding hadapan. Sebelah papan tulis putih, ada sekeping kad nipis aku lekatkan pada dinding dengan paku payung. Kad bercop pos 24 Mac 2010. Kad yang menyatakan bahawa permohonan aku telah diterima dan sedang diproses. Aku akan berdiri sambil merenung kad nan itu. Muka serius namun begitu (ada orang tak suka istilah "namun begitu", pedia! tak berkembang langsung gaya bahasa orang yang suka sastera macam aku) dalam hati tersenyum kembang setaman. Sesungguhnya kata-kata pada kad itu memberi sedikit kekuatan untuk aku teruskan hari-hari mendatang, di tengah-tengah keributan yang sengaja dibudayakan, tatkala kawan-kawan seofis pun tercari-cari peluang nak mendiam di padang rumput yang lebih permai seumpama little house on the prairie.

Man tongkat, yang juga berkira-kira hendak berpindah ke kap2lamwau ada berkata, kalau aku pergi terlebih dahulu, seolah-olah kata pak nil akan sahabatnya din beramboi, sebahagian semangat hilang. Adapun semenjak man tongkat bertugas di unit yang sama, sekira-kira aku adalah juga teman bicara yang terpercaya. Andainya aku tiada di bilik sendiri, memanglah ada di bilik dia (di bilik air janganlah pula dicari, sungguh tak senonoh macam perangai jiran sebelah bilik aku). Akan tetapi mahu tidak mahu aku perlu melangkah pergi, jikalau tidak ada harapan aku terpaksa menambahkan dos amlodipine menjadi 10 miligram lagi. Menunggu lagi 3 bulan pun aku sudah rasakan tersangat lama, apatah pula sekiranya perlu terus menunggu pasca 3 bulan ini.

Apabila sampai detik bersejarah itu, aku akan puasa sunat 3 hari. Dan dengan rasa puas hati tidak terhingga dan perasaan amat lega, akan aku tuliskan pada papan putih dengan marker pen, "Phir Milenge, Chalte Chalte".



Tingkat 18
Seberang Jalan Menghadap Kompleks Mahkamah
Jalan Kuching
6 April 2010 (Selasa)

Tuesday, March 23, 2010

My Name Is Red: Jodoh Ketentuan Tuhan, Lelaki Yang Punya Hati Akan Bawa Pengantin Perempuannya Pulang (Episod 1)...

Nama saya Redhuan. Kawan-kawan memanggil saya Red. Pada usia yang masih muda, saya telah dikesan menghidap sejenis penyakit yang dinamakan "Daman Towilan". Penyakit ini terus berlarutan sehinggalah umur saya menginjak jadi belia. Kata Dr. Stickman, tabib yang mula-mula sekali menemui penyakit ini, antara simptom-simptom ketara penderitanya ialah apabila berasa satu macam tatkala terpandang nama pengirim SMS tertentu, hendak-hendak datangnya dari golongan tertentu dari kantor sewaktu penghidap penyakit masih bercuti. Sudahlah susah ya amat mahu dapat cuti, tengah bercuti pun diganggu juga. Appa punya uuud la.

Enggan menyerah semata-mata kepada takdir, saya cuba mencari penawar. Kata Haji Harun Permatang Pauh dan Haji Man Kuala Ketil, penawarnya ada pada seorang sunti priyayi. Berbekalkan nasihat mereka, saya mula menggalas ransel di pundak. Ransel kuning jenama Unta tahan lasak itu saya isi dengan beberapa keperluan, salah satu gayung hijau tua. Peranti itu tidak boleh tidak ada. Tanpanya saya bisa sahaja samsara.

Demikianlah bermula kembara saya naik turun bas melalui jalan raya merentas gurun yang tersangat panas. Iyalah, nama pun gurun, tentulah sangat panas. Kalau sejuk sudah barang tentu dipanggil orang Genting Highlands. Sungguhpun begitu saya masih bersyukur. Sepanas-panas gurun belum lagi memaksa saya bersolat di atas hamparan kain serban corak kekotak. Siap dilengkapi kipas angin lagi. R & R Gurunlah katakan.

Entah bagaimana, sepanjang menaiki bas merentas gurun, tahu-tahu saya terlihat kabilah dengan kawanan unta. Pakaian mereka seumpama warga nomad; tapi mahu dikata badwi bukan badwi, dan bukan juga suku mongolia. Rupa mereka dari spesies Asia Selatan. Saat itu hati kecil saya berkata bahawa saya telah jauh meninggalkan negara saya.

Saya agak-agak luas gurun saujana mata memandang ini kurang lebih 77 ribu batu persegi. Melalui perbualan dengan salah seorang kaum musafir itu yang secara agak-agak kerana bahasa mereka hampir sama dengan bahasa Hindi yang saya ketahui serba-sedikit sejak berguru dengan Andy Hakim melalui THR Hindi Power beberapa tahun lalu, baru saya ketahui bahawa gurun ini digelar Gurun Thar, letaknya dalam Negeri Rajashtan. Negeri Rajashtan? Saya tertanya-tanya dalam hati, macam pernah saya dengar nama itu tapi di mana ya?

Sesudah jenuh menggoogle dalam kotak memori sendiri, akhirnya saya sudah ingat di mana. Dalam kotak memori saya Rajashtan dipadankan dengan seorang keturunan Khan bernama Salman yang pernah didakwa di mahkamah atas kesalahan membunuh dua ekor chinkara, sejenis rusa spesies terancam. Kesalahan dilakukan semasa penggambaran filem "We Stand United".

Suatu malam, selepas beberapa hari tidur baring di Gurun Thar kerana bas yang meragam masih gagal dibaiki, saya mendapat mimpi bahawa penawar penyakit Daman Towilan yang saya cari-cari berada di Delhi. Kalau dari Gurun Thar ke Delhi dengan berunta berkuda begini mahu makan berhari-hari. Maka saya memikir-mikir alternatif yang sesuai dengan belanjawan berhemat saya. Aha! Mengapa tidak saya cuba berkereta api? Hanyasanya masalahnya bagaimana hendak ke stesen kereta api. Aha (sekali lagi)! Frank Martin! Anda kenal nama itu?

BMW 735i E38 hitam membrek jitu pada kelajuan 300 kilometer sejam. Unta, kuda dan haiwan-haiwan ternakan terkejut lantas lari bertempiaran. Manusia-manusia nomad yang lemah semangat terlepas kumuh di perkhemahan. Debu padang pasir berterbangan melitupi kenderaan. Sebaik debu berlalu, kelihatan seorang putih bersut hitam berbadan sasa menurunkan cermin kenderaan dan menjemput saya masuk. Buat pengetahuan anda, beliaulah Frank Martin yang akan membawa saya ke stesen kereta api Jaipur bagi meneruskan perjalanan saya ke Delhi.

Dua jam yang penuh aksi kereta terbang dan pemanduan berbahaya. Calang-calang orang memang akan termuntah terbelahak, tetapi saya tetap cool kerana sepanjang dua jam itu saya tidur tak ingat dunia. Frank Martin mengucapkan selamat jalan kepada saya. Hanya ucapan itu, tanpa meminta walau sesen pun daripada saya sebagai upah. Anda hairan? Oh, saya lupa memberitahu anda bahawa beliau terhutang budi dengan saya. Waktu beliau kenduri kahwin dahulu sayalah yang membiayainya, manakala beliau hanya mengeluarkan belanja untuk buku cenderahati tetamu yang kosnya tak sampai pun sepuluh ribu. Jadi sekarang ini kalau beliau hendak tunjuk ranggi dengan saya memang nahaslah beliau di akhirat sana. (Beliau memang nampak kaha' tapi beliau masih takut akan azab api neraka).

Hasrat di hati ingin menaiki kereta api Palace On Wheels; duduk di Alwar, Bharatpur, Jaisalmer atau mana-mana satu daripada 14 koc yang ada, yang dilengkapi bilik katil berkembar berhawa dingin, pantri mini, launj, bilik air, surat khabar, air mineral dan banyak lagi. Serta tidak dilupa khidmat tukang layan yang dipanggil "Khidmatgar". Namun apakan daya, sejak wang simpanan yang saya kumpul bertahun-tahun hasil usaha tidak menukar kereta berusia hampir satu dasawarsa mahupun membeli rumah tahu-tahu menyusut begitu sahaja dengan dahsyatnya dalam tempoh sebulan dua ini atas sebab-sebab keselamatan dan tertentu, saya juga sudah jarang singgah ke Secret Recipe. Jadi hasrat ber"Istana Di Atas Roda" terpaksa saya ucapkan sayonara meskipun hati saya meronta-ronta menjerit-jerit nota "double-octave high A sharp".

Lalu, menyedari betapa marhaennya diri ini, saya mengambil keputusan untuk menaiki Gujarat Mail, sebuah kereta api yang terkenal laju tetapi hanya memerlukan ongkos yang ciput macam Bas Mini Wilayah suatu ketika dahulu. Sungguhpun ada perkataan "Mail" pada namanya, kereta api ini tidaklah pula membawa surat, suatu kerjaya yang telah lama ditinggalkannya.

Betapa pun manusia mentadbir, Allah juga tetap mentaqdir. Di luar pengetahuan saya, tiket keretapi di India ini sangat laris mengalahkan masalavadai panas. Tiket Kelas Dua Berhawa Dingin pada petang itu sudah pun ditempah orang berminggu-minggu sebelumnya. Nasib baik petugas di kaunter memberitahu bahawa masih ada peluang untuk saya mencongak-congak nasib kalau-kalau mendapat tiket kuota pelancong atau kuota Tatkal. Masalah sekarang ialah paling cepat kuota tiket sebegitu hanya dapat diperolehi dalam masa dua hari, itu pun paling banyak 12 keping tiket teragih ke pelbagai kelas penumpang. Dalam tempoh dua hari ini di mana saya akan menginap. Saya tidak nampak cara lain. Telefon genggam dikeluarkan dari kocek. Menu "Log" dicari, seraya ditekan timbul "Recent calls".

"Frank, aku kat stesen lagi ni. Malam ni aku tido' rumah hang!".



Nota:

- "My Name Is Red" atau "Benim Adim Kirmizi" ialah sebuah buku karya penulis Turki, Orhan Pamuk yang meraih gelar Anugerah Nobel dalam Kesusasteraan pada 2006.

- "Jodoh Ketentuan Tuhan" ialah terjemahan murbawan bagi filem "Rab Ne Bana Di Jodi" lakonan SRK. Dalam filem itu SRK ialah seorang penjawat awam yang skema tetapi sudah tertulis jodohnya dengan gadis riang ria remaja nan tidak sekhufu langsung pada mulanya.

- "Lelaki Yang Punya Hati Akan Bawa Pengantin Perempuannya Pulang" ialah terjemahan murbawan juga bagi filem "Dilwale Dulhania Le Jayenge", juga lakonan SRK. Dalam filem tersebut SRK seorang anak tunggal bangsawan di UK, menjejak cinta sejatinya di Hindustani.

- "We Stand United" = filem "Hum Sath Sath Hain"

Tuesday, January 26, 2010

Hikayat Sentul Perdana...

Syahdan, seperti dilipurkan kepada fakir oleh leluhur zaman dahulu kala, maka telah datanglah rombongan dari nun negeri kenya lang buana ke ibu kota. Adapun rombongan yang tiba bukanlah seumpama orang semenda, disuruh pergi pergi mereka, disuruh datang datang mereka. Rombongan yang tiba tidak lain tidak bukan adalah kerana jemputan orang besar ibu kota nan bertiga belas semata-mata ingin memaklumkan sendiri perkhabaran terjah dan ziarah beberapa purnama merindu lalu.

Sekira-kira fakir ini, bagai senandika orang matang bertam, sebagai melukut tepian gantang, ada tiada bertambah berat, tiada tiada berkurang sukat. Fakir bukanlah sesiapa sangat dalam pemakluman perkhabaran itu, sekadar tukang penjaga kekunci. Kerja fakir bermula sebaik sahaja fakir terkocoh-kocoh menunggang kancil selesai mengambil herba di mustasyfa selayang. Ghadan bakal menyambut rombongan, ba'da zuhr barulah hendak mengadakan syura. Sungguh wala' paduka demang akan suruhan agama, sebagai peri hukama syura didahulukan taqwa diutamakan. Tapi wala' paduka demang menggerhana perasaan, lantas fakir menyurat kalam dengan wajah nihil senyuman. Bahana gegasan pulang dari mustasyfa belumlah hilang, akibat rehat tiada kecukupan. Semua jadi punca tensi, bergolak darah dalam diri. Terfikir juga akan fakir, semuanya petanda fakir bakal terkentoi-kentoi sendiri tatkala merangkak senja hari. Teringat-ingat fakir bahawasanya si kancil perlu akan ia rawatan tulang belakang segera, kelak malam tiba mengundang bahaya.

Jungkir ke hari semasa, tercatatlah satu peristiwa. Entah fakir mahu ketawa, boleh jadi sedikit cuak bergalau jua. Sampai satu bab pada pemakluman perkhabaran kepada rombongan negeri kenya lang buana, tanpa semena-mena salah seorang ahli rombongan bergelar tabib memusykilkan diri sendiri. Kata tuan tabib, bukankah jajahan hurairah tiada ada padanya tolok cemar, seperti halnya jajahan-jajahan lain.

Paduka demang tercengang, dan sebagaimana biasa dipakai akan ia muslihat kalih pandang. Maka kalih pandangnya jatuh pada fakir, sambil bertanya siapakah gerangan sebenar-benar ahli terjah dan ziarah yang mengetahui perihal keberadaan tolok cemar di jajahan hurairah.

Tiadalah terlintas di medula oblongata fakir bahawa tiada dicatat nama jajahan hurairah pada bab pada lembaran bukanlah ertinya ia ada memiliki tolok cemar. Bak kata orang lanca, tiada tertulis tiada bererti berada tiada berada. Tiada tertulis puncanya bab dibicara bab jajahan-jajahan lemah terkecuali jajahan hurairah.

Maka dijawab oleh fakir yang sebenar-benar ahli terjah dan ziarah perihal dimaksudkan sama ada fakir atau jiran kepada fakir. Masalah sungguh masalah, kerana masa itulah jiran kepada fakir keluar entah beruzlah entah menyedut racun pemusnah. Dengan selawat tafrijiyyah dan bacaan ayat-ayat ruqyah maka fakir pun menjawab kepada datuk penghulu bendahari bahawa memang jajahan hurairah ada memiliki tolok cemar, hanyasanya digunakan apabila perlu sahaja.

Tuan tabib kedengaran di telinga fakir mengomel secara berjemaah bersama. Selang suasana tenang seketika, fakir meminta lembaran bercatat pengalaman terjah dan ziarah ke jajahan hurairah. Dalam hati fakir bertawakal, wahai Tuhan tolonglah adakan sungguh-sungguh tolok cemar dalam lembaran. Seraya dibuka helaian, tulisan jiran fakir terpampang. Cis! Rupa-rupanya memang dia yang ahli perihal dimaksudkan. Terpempan fakir terpempan, ternyata tiga sifar tanda memang jajahan hurairah tiada bertolok cemar. Jelas tuan tabiblah yang benar.

Syyy... Jangan pula tuan-tuan hamba ceritakan rahasia ini kepada sesiapa. Kelak fakir juga beroleh naya.

Demikianlah adanya.

Tuesday, January 19, 2010

Separuh Tahun Yang Sangat Lama...

Baru bulan pertama tahun 2010. Belum pun habis lagi. Ada sekira-kira 5 bulan lagi. Tapi...

Tang tapi tu yang berat sikit. Sebenarnya bukan berat sikit. Berat banyak. Sangat-sangat berat. Disebabkan keberatan itulah nak melalui hari demi hari sehingga cukup satu bulan begitu menyeksakan bagi aku. Sebelum ke ofis pagi-pagi, aku dok kelik pok kelik pok dengan perasaan sangat tidak bermotivasi. Perasaan sebegini telah pernah aku alami dulu-dulu. Walau macam mana tak bermotivasi pun enjin kereta terpaksa dihidupkan juga. Cuma sekarang tambah seganda lagi. Sebab aku kena menempuh kesesakan jalan raya yang macam kamjat tambah membuatkan jantung bekerja lebih keras di tengah-tengah darah terasa tersirap sampai ke otak. Jam ntahhapahapa. Menguet sikit jam, menguet sikit jam. Padahal bukan jauh tegha mana sangat pun rumah aku dengan ofis tu. Dalam erti kata lebih mudah, menjadikan aku sangat-sangat stress. Dah la tu, yang ofis aku pulak dah macam budak-budak sekolah tepi rumah aku pagi-pagi. Tiap-tiap pagi ada public assembly. Awat tak buat public canning sekali. Mengkalu lapan setengah baru sampai kan ka berpuluh pasang mata mengushar hamba Allah yang muncul di muka pintu. Ada masa-masanya hamba Allah tu termasuk aku. Aduiyai.

Aku harap semua bala ini akan segera berakhir. Penat dah mat oi.

Arghhhhhhhhhhh...!!!

Thursday, December 31, 2009

Sanah Helwah Ya Akhi Ar-Ridha...

Kata psu seofis tapi unit lain dalam satu sesi bicarawara di luar lingkungan urusan kerja, immediate boss aku sudah kasi pecah satu maklumat terperingkat tahap sulit. Maklumat terperingkat sebab peringkat paling tinggi baru sampai kat dia, belum sampai kepada big boss lagi. Maklumat yang aku dedahkan dalam satu breakfast show dengan immediate boss aku dan driver di sebuah seksyen di shah alam. Sengaja aku dedahkan maklumat itu supaya nantinya tak payahlah aku bertandang ke biliknya di ofis semata-mata hendak mengkhabarkan perkara bukan urusan rasmi. Selain itu, strategi aku juga untuk maklumkan siap-siap supaya nanti percutian tidaklah tergendala angkara murka advencer merata-rata pada tahun akhir sebuah rancangan malaysia.

Arakian apakala diketahui sahaja akan berita tersebut oleh big boss aku seusai lawatan audit iso ke ofis aku nan serba sesak ini, maka dalam perbincangan apa kata wanita sesama depa, lalu disebutlah oleh big boss aku kurang lebih ayat ini sebagai respon balas sayed munawar terhadap pemakluman immediate boss aku. “R*d*a tu dalam diam-diam--- (ayat kat belakang aku dah lupa, tapi intipatinya begitulah). Lalu immediate boss aku menambah, “ptd jugak”. Sebagai orang lama dan tua (jugalah berbanding aku), terer betul big boss aku menerka, “bagi hint nak minta cuti la tu”. Memang la pun, abih takkan saja-saja aku bagitau. Yang lagi best tu immediate boss aku baguih punya nasik tambah, “tu la dengar cerita nak cuti lama”. Cait, bila masa aku pernah sembang pasai nak bercuti lama dengan dia pun tak tau. Pandai-pandai tupai melompat saja dia tu.

Anyway, beberapa jam lagi budak-budak kanyia’ dan malaunta akan yak yak yei kat dataran merdeka. Barangkali dr maza akan pi terjah depa dalam edisi dakwah dia. Kat gurney drive macam biasa la mesti depa spray orang punya, lepaih tu taboh geng rela. Big boss aku dah berpesan semasa lepas perhimpunan pagi tadi, mafhumnya kita ni dah matang tak payahlah terlibat dengan benda-benda lagha tu. Dia kata lagu lain la, tapi dah aku ni kebelakangan ni kurang daya ingatan apatah lagi aku bukan perawi yang terpercaya, maka tu ayat aku gubah sendiri la tu.

Aku sat lagi balik la, saja layan perasaan kat ofis dalam menunggu fajar sadiq ka fajar kazib lagu soalan ustaz mat nor pejabat agama sps tanya baru ni. Tak kira la fajar apa pun, fajar di bumi permata ka, fajar bakti ka, supermarket fajar ka, harap-harapnya fajar yang timbul esok pagi menghorizon kaki langit akan menandakan sinar cemerlang hidup aku dalam tahun 2010, ke arah penghijrahan yang mendamaikan jiwa. Cita-cita dan harapan biasanya sekadar tertangguh, namum akhirnya ‘kan terlaksana jua. Kawan, aku ingin pulang. Walaupun sempena cuti ini immediate boss telah bekalkan aku dengan assignment berbaur rencana advencer tahun hadapan. Aduiyai, penaya aku sungguh, dia tak tau ka aku ada advencer sendiri 2-3 hari ni. Siap pesan kat aku jangan serik dapat kheja hari-hari cuti. Ni hujung-hujung tahun ni apa lagi aku pun great pretender jugak la. Tak kena gaya lnpt aku kena tenyeh, tu dia baru, hijrah ke mana permata hijrah kot ada la dok sembo' mata. Peyla’ sungguh.

Sanah Helwah Ya Ikhwah Wa Akhawat!



KL Federal
8.51 malam, 31 Disember 2009 (Khamis malam Jumaat)

Wednesday, December 16, 2009

Aku Bukan Budak Minang, Aku Orang Pulau Pinang, Naik Feri Jangan Berenang...

Masa tu aku sekolah rendah lagi, dan malam-malam zaman 80-an tanpa Astro macam la ni memang la RTM paling top mengalahkan TV3. Kebetulan RTM masa tu bagi aku depa sangat kreatif dalam menghasilkan rancangan bermutu walaupun dengan rekaan pentas sangat sederhana. Satu malam, ada satu rancangan pertandingan bakat melibatkan peserta dari seluruh negara. Sekali ada satu kumpulan dari Pulau Pinang buat persembahan dan depa menang minggu tu. Bukan takat minggu tu saja, minggu-minggu lain pun depa menang jugak. Lepas pada tu ada pulak pertandingan juara antara juara, maka kumpulan ni pun dibariskan bersama-sama kumpulan lain yang jadi juara bulanan kot kalau tak silap aku. Saat kemunculan kumpulan tu memang aku tunggu-tunggu dengan sokongan tak berbelah bahagi sidang parlimen dari Kampung Gurun, Sungai Bakap. Aku sokong sudah barang pastilah atas semangat kenegerian yang membuak-buak. Ternyata kumpulan tu telah menunjukkan persembahan paling power di kalangan semua juara yang bertanding, kiranya walaupun sokongan aku atas semangat kenegerian tapi kualiti persembahan depa memang tak buleh dipertikaikan la. Jadi bukanlah satu perkara yang menghairankan kalau depa jadi juara keseluruhan, mengalahkan kumpulan-kumpulan lain seperti Razak & Asmat (Razak Ahmad menyanyi, yang si Asmat melukis potret apa bala), Kumpulan Muhibbah Madu Lebah (set-set Kelate kalau tak silap aku) dan kumpulan-kumpulan lain. Pada aku masa tu dan masa la ni, kumpulan tu la antara kebanggaan aku sebagai orang Pulau Pinang.

Satu masa tak lama selepas kumpulan tu jadi juara keseluruhan, Petronas ada buat dinner kat satu hotel kat belah Tanjung nu. Ayah aku pun ajak la aku pi. Tu antara detik-detik awal aku ke hotel. Duduk atas bangku macam biasa la kaki memang tak berapa sampai nak pijak lantai, punya la kecik kemetot masa tu. Meja makan aku pulak dekat dengan stage yang tak berapa tinggi tu. Makan-makan sambil dihiburkan oleh kombo yang alat muzik dia yang paling aku suka ialah gendang berkembar corak belang-belang. Masa tu mana la aku tau gendang tu nama apa, perbendaharaan kata terhad la katakan. La ni baru aku tau nama dia conga. Pergh, hat katok gendang tu satu macam dia punya layan. Walau macam manapun, persembahan kombo tu tak seberapa pada hemat aku kalau dibandingkan dengan persembahan kumpulan yang jadi juara keseluruhan Bakat TV RTM tu. Sa kata nama kumpulan tu diumumkan saja, aku terus berhenti makan ais krim yang waiter boh dalam gelas ada kaki tu. Keterujaan aku masa tu tak dapatlah digambarkan. Punya la seronok aba' hang denga' depa buat lawak kerin. Aku ingat kot sat-sat lagi la aku perabih ais krim tu. Sekali waiter ni tau-tau saja dia dah angkat gelas ais krim aku tu. Deijei betui.

Habis depa punya show, dinner pun dah selesai, ayah aku pi sembang kat sofa kat luar tu dengan kumpulan ni. Aku dalam hati punya la syok satu macam nak pi sembang dengan depa, ayah aku pun ada ajak, tapi tu la aku ni punya segan satu macam buleh pulak pi buat-buat tengok pemandangan dari railing tingkat atas tu. Appa punya parpu masa tu. Mau tu mau tapi malu, ish, ish, ish, abang sappa la tu.

La ni bila aku cuba cari balik kumpulan tu dengan bantuan Pak Cik Google dan akhi YouTube, aku dapati salah seorang ahli kumpulan itu iaitu Non telah kembali ke rahmatullah (Al-Fatihah untuk dia). Rupa-rupanya Non ni pernah bergiat aktif dengan boria jugak. Anggota kedua iaitu Chik aku dok follow jugak la perkembangan dia. Ada sekali dalam Mami Jarum amboi aih dia punya dialog tu kalau aku buleh bertahan dengan keseriusan aku memang saja sangat la.

Dalam YouTube, gaya depa berdua memang tak berubah sejak depa aku kenali menerusi Bakat TV RTM. Non akan jadi dominan (bukan la pulak Domi Che Non striker Perlis dulu ni). Non akan sembang punya sembang punya sembang, lepas pada tu sambil sebak Chik akan celah. Kira macam Chik ni nasik tambah la. Tapi sebab timing dan ayat yang Chik bagi tu kena pada masa dia, walaupun kategori mangka' sebenarnya, dengan muka Chik yang don satu macam tu, hat tu yang syok tu. Pakaian depa simple, biasanya dengan kot tie apa semua. Takdak la pulak mekap dan pakai bukan-bukan macam badut. Mimik muka depa tu minimalis, sesuai dengan babak-babak sketsa komedi pentas depa tu. Tak over macam sesetengah pelawak. Yang lagi best tu, cara depa melawak memang sopan pada pandangan aku. Sopan dari segi takdak unsur-unsur jenaka dewasa dan takdak la nak tolak-tolak kepala orang macam Badul dan geng Senario dok buat tu. Walaupun kalau nak ikut punya daoh dialog Chik ni masa respons kat Non patutnya dah tak terkira banyaknya dia kena tolak kepala dah.

Kumpulan depa ni juga pernah merakamkan beberapa buah album yang diterbitkan oleh Omar M. Hashim, yang juga penerbit album Untukmu Hijau Kuning yang aku denga' punya denga' punya denga' sampai merudum keputusan periksa tengah tahun aku masa darjah enam pasai tak berapa nak baca buku punya pasai. Tu la aku, kalau dah minat tu memang tahap obses dah la, hat lain tak buat dah.

Sebagai tanda penghormatan sesama orang Pulau Pinang, di bawah ini aku perturunkan klip video lawak dan lagu depa ihsan YouTube untuk tontonan bersama. Ewah, rancak!


Tuesday, December 01, 2009

Mereka Yang Telah Kembali...

Semalam aku terima satu SMS, nombor tak dikenali, tapi mesejnya dari seorang kawan. Tanpa terduga tenda biru, kawanku itu rupa-rupanya telah pulang ke tanah air dari perkelanaan selama beberapa tahun di bumi socceroos alias wallabies. Perkelanaan yang terkadang memaksanya menghantar pesanan ringkas memohon bantuan doa tepuk pinggang daripadaku.

Seperti zaman-zaman kadet juga, tetapi sesuai dengan perkembangan kerjaya, kalau dahulu malam-malam lepak di mapley, sekarang bersantai-santaian waktu tengah hari di Kenny Roger's Roasters yang lebih terjamin kebersihan dan keselesaannya.

Dalam satu ayat, seperti halnya bala, adam dan anak mami, man tongkat juga telah kembali. Dan seperti mereka yang lain, man tongkat kembali bersama kejutan yang tidak terjangkau langsung dek akalku. Dengan ijazah sarjananya dalam bidang itu, aku jangka man tongkat akan ditempatkan di tempat yang ada bau-bau cencaluk dengan pengalaman sebagai mantan pengurus pilihan raya bagan pinang ataupun beraurakan maslahat penduduk luar bandar. Walau bagaimanapun, seperti juga ekonomi, sangkaanku meleset. Man tongkat akan turut bernaung di bawah panji-panji Federal KL macam aku.

Ada jawatan segred dengannya di bahagianku yang bakal kosong, namun aku tidaklah hendak mengutarakan pelobianku kepada big boss, kerana aku faham sangat kerja di ofisku ini sangat-sangat membuatkan orang kesuntekan masa bersama keluarga. Sudahlah man tongkat sekarang berulang dari seremban, nalla rekek punya jauh dengan jam apa semua.

Apa-apa pun, aku ucapkan tahniah pada man tongkat. Welcome to the club.



Nota:
Man tongkat adalah kawan sesidang semasa kadet dahulu. Terdapat beberapa persamaan antara man tongkat dengan pian. Selain badan, man tongkat juga sudah menyatakan komitmen untuk memprotes kalau aku hanya mengundang menerusi facebook dan yahoo group.

Wednesday, September 16, 2009

Di Jalan Ilmiah Aku (Hampir) Berhijrah...

Sebuah universiti apex telah menghancur-leburkan impian aku untuk merealisasikan Rancangan Malaysia Kesembilan dengan sempurna. Makanya, disesuaikan dengan bulan-bulan Islam nan mulia, di bawah ini aku perturunkan sebahagian sangat besar ad verbatim inti pati utama teks ucapan perpisahan aku yang tertunda buat kesekian kalinya. Teks ucapan yang temanya, dengan sedikit pengubahsuaian tajuk buku Ustaz Cahyadi Takariawan, seorang ulama terkemuka sebuah parti siasah islami nun di negara yang mengacung-acung buluh runcing ke negaraku :

Dalam sebuah filem terbitan 1970-an, terdapat sebuah adegan yang memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal sambil dibonceng oleh seorang wanita. Yang menarik perhatian saya bukanlah terhadap ketampanan si jejaka, mahupun kerupawanan si jejaki. Tidak juga kerana kedua-duanya tidak memakai helmet. Pun bukan disebabkan yang membonceng menghadap ke sisi. Yang menarik perhatian saya adalah kepada bait-bait lagu yang dinyanyikan sepanjang perjalanan. Kurang lebih begini bunyinya :

"Zindegi ek safer hai suhana, Yahaa kal kya ho kisne dana...".

Tamat imbas kembali, dan jungkir balik ke tika dan saat ini.

Apabila saya kenang-kenangkan kembali, serasa-rasa ada kebenaran dalam senikata lagu tersebut. "Hidup satu perjalanan yang indah, kita tidak tahu apa yang bakal terjadi keesokan hari". Begitulah juga halnya dengan diri saya, jika lebih setahun yang lalu saya menjejakkan kaki buat pertama kali ke sini, esok lusa tibalah giliran saya untuk melangkah pergi.

"Seminggu dalam politik terlalu lama". Demikian kata-kata Tan Sri Abdullah Ahmad atau lebih mesra dengan panggilan Dollah Kok Lanas dalam beberapa kolum beliau di dada-dada akhbar beberapa ketika. Mungkin beliau memetik kata-kata keramat orang lain. Itu saya kurang periksa.

Hanyasanya bagi saya, seminggu, apatah lagi setahun lebih di XXX pun bukanlah suatu tempoh yang singkat. Pelbagai kenangan silih berganti. Kadang-kadang suka, kadang-kadang duka pun ada juga. Bak kata tajuk filem Hindi, "Kabhi Khushie Kabhi Gham". Yang seronok saya simpan dalam lipatan kenangan abadi, yang tak berapa seronok saya simpan dalam hati.

Antara kenangan yang menyeronokkan ialah apabila diminta mengetuai pasukan untuk kajian soal selidik rintis. Saya tidak ada kecenderungan untuk ke mana-mana, apa sahaja arahan XXX saya terima. Alangkah, tanpa saya duga, XXX yang menyangka saya orang Kedah telah memilih Pulau Pinang sebagai lokasi. Kata beliau kepada saya, dekatlah dengan kampung halaman di Kedah. Saya seperti biasa, dengan muka innocent tanpa perasaan; poker-faced kata orang putih, muka sekupang kata orang hat tak berapa nak putih. Padahal dalam hati mau tak seronok tak sangga. Dekat apanya, dah memang pun Pulau Pinang senantiasa dikenang.
(Amboi, ada unsur boria nampak, pengaruh Maidin & Piee la ni).

Antara kenangan yang menyeronokkan adalah di Pulau Pinang. Sepanjang saya berkecimpung dalam arena penyoal selidikan dan penemubualan setakat ini, belumlah lagi saya bertemu dengan goresponden yang begitu bermurah hati macam di Tanjung itu. Ada 2 goresponden; satu di sebelah pulau dan satu di seberang. Kedua-duanya menjemput saya dan rakan masuk ke dalam rumah. Hat di pulau anak mami jarum dia tolong hidang aya'. Bukanlah mami macam orang Queen Street mahupun warga Jalan Madrasah. Tapi yang nyata memang putih serlah. Cuma hat slack tu tak pakai tudung. Kerja kilang tang mana entah. Ada lagi la kudapan depa jamu juga. Best gila sembang dengan pak cik itu, slang Penang Kia. Selain rumah tepi masjid Kampung Seronok itu, saya juga tidak melupakan sebuah rumah di Taman Sri Acheh, Seberang Perai Selatan. Kalau di Kampung Seronok panas lit-lit waktu petang, di seberang waktu hujan di tengah hari, sib bait tak lokoih. Sungguh baik hati warga tua itu yang menjaga cucu-cucunya termasuk seorang yang mengalami masalah penglihatan, kecil-kecil sudah terpaksa memakai cermin mata. Sungguhpun rumah teres setingkat yang begitu sederhana, dijamu juga saya dan rakan dengan teh o panas dan seumpamanya.

Sebuah kenangan lagi yang tak dapat saya lupakan ialah ketika menemubual seorang mak cik yang meniaga di gerai tolak tepi jalan di hadapan rumahnya. Kisah itu berlaku di destinasi soal selidik terakhir di daerah Barat Daya dalam perjalanan pulang ke hotel. Gerai tolak itu bantuan daripada jabatan kerajaan tertentu. Petang yang panas membahang, sambil berhenti bertanya sesekali tatkala mak cik itu melayani pelanggannya. Tidak semena-mena, mak cik itu pula mengajukan persoalan kepada saya. Saya tak berapa ingat matan soalan beliau, tetapi kurang lebih beginilah soalan jawabnya, "Adik ni dari USM ka?". Memang ada makhluk yang Tuhan jadikan nampak muda, apa daya kita hendak menghalang ketentuan-Nya. "Saya kheja gomen mak cik, XXX. Pasai apa mak cik kata saya dari USM?". "Dak...", mak cik tu kata, "...selalunya yang dok buat soal selidik ni budak-budak USM la." Mungkin masin mulut mak cik itu, menyebabkan saya akhirnya bakal bergelar mahasiswa Universiti Sains Malaysia. (Pergh, tangkap sayu ayat ini kalau diterjemahkan kepada realiti).

Ada kalanya kita rasa kita berkecindan. Tanpa kita sedari, sebenarnya ada hati-hati yang kelukaan. Demikian jika ada kesilapan dan kekhilafan sama ada sengaja atau sebaliknya, saya mohon ampun dan maaf. Almaklumlah, manusia tiada tercipta sempurna, akan ada salah silap kita di mana-mana. Justeru, kalau ada yang terhutang, maka tuntutlah dengan segera. Jikalau ada yang termakan, terminum, harap-harap dapatlah di"Halalan Toyyiba".

Sempena Ramadhan yang masih berbaki beberapa hari, dan Aidil Fitri yang bakal menampakkan diri, saya tampilkan serangkap pantun dalam bahasa Banjar (meski saya bukan urang Banjar dan kadak tahu basurah Banjar) :

"Pinang anum barangkap-rangkap,
Pinang tuha barundun-rundun;
Lawan nang anum maminta maap,
Lawan nang tuha maminta ampun.
"


Sekian dahulu buat kali ini, meminjam kata-kata senior saya semasa di Irshad dahulu, "ada kelapangan dan takdir insya-Allah ketemu lagi". Walau jauh di mata, tapi di hati, "Hathi Mere Sathi". Sehingga itu, saya mohon permisi.

Nota :
Saat ini aku telah kembali ke Nahrul Bakafi kerana masih mencari yang hakiki sinar pasti kasih suci nan abadi dengan harapan dapat merawat Kanc yang tercedera seumpama hatiku jua.

Monday, July 06, 2009

Advencer Pemuda Insaf...

Pagi tadi, semasa menyoal siasat pihak yang kena advencer, aku terima Sistem Mesej Singkat (SMS) daripada kawan seangkatan yang kini menjaga urusan protokol negara. Ia bertanyakan tentang PTK3. Manalah sempat aku menyemak keputusannya, lalu ku tanya kepadanya. Ia mendapat Aras 3. Suspense aku dibuatnya. Diminta nombor kad pengenalan daripadaku. Hasilnya, aku dapat keputusan yang aku idam-idamkan. Hai, kalau sangkut juga tak tahulah aku, rasa penat bekerja di bawah tekanan dan tidak cukup tidur menyiapkan tugasan. Aku dapat 3 untuk peperiksaan, dan paling mengejutkan aku (dan si Rosliana juga tentunya), aku dapat 4 untuk pembentangan berkumpulan dan individu. Terbayang-bayang seorang panel seFederal KL bagi remark secara umum bahawa pengucapan awam kena berdiri tegak tak boleh bergerak ke sana ke mari. Memanglah aku terasa, sebab aku salah seorang yang buat macam itu. Juga persembahan PowerPoint yang aku pinjam dan ubah suai reka letak dan reka bentuk dan warna template suami kepada kawan seangkatanku yang kebetulan ada dalam simpanan (tetapi isi jauh berbeza; ia OSC aku pembangunan mampan, sesekali jukstaposisi pun menarik juga). Juga berpencak silat menjawab soalan ahli panel yang macam peluru bersimpang-siur mengenakan aku yang berdiri di hadapan menjustifikasikan sebuah tugasan. Semua itu belum lagi diambil kira bagaimana gementar yang membunuh aku semasa pengucapan awam. Seraya aku teringat kepada peristiwa beberapa jam nan lalu.

Semalam, di kamar hotel, aku menyudahkan pembacaan koleksi tazkirah tok guru bertajuk "Hidayah". Ada beberapa catatan tahap makan dalam, tambahan pula hati hampir gelap gelemat kerana sudah lama tidak disiram dengan nasihat-nasihat agama.

Menerusi sebuah hadis, Nabi bersabda bahawa Allah berfirman, "Aku adalah berdasarkan sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku. Apabila dia mengingati-Ku dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingati-Ku dalam suatu kaum, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekati-Ku dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dalam jarak sehasta. Apabila dia mendekati-Ku dalam jarak sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dalam jarak sedepa. Apabila dia datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari-lari anak".

Aku ada juga terbaca di tempat lain sebelum itu, bahawa keyakinan dan sangka baik kita kepada Allah sangat perlu. Cuma berdasarkan usaha dan prestasi diri sendiri, aku agak kurang yakin boleh berjaya dalam percubaan pertama. Maklumlah peringkat pertama dahulu berapa kali dilalui dengan susah-payah. Bermuhasabah diri dengan bersandarkan hadis tersebut, aku jadi insaf dan malu sendiri. Iyalah, kadang-kadang amal ibadat pun tidaklah setara mana dan ala kadar, tapi kasih sayang Allah itu Maha Luasnya, tidak setimpal pun dengan amalan hamba-Nya yang dha'ifun jiddan macam aku.

Dalam buku tersebut tok guru ada menyebut, mafhum sebuah hadis qudsi, jikalau tidak kerana masih ada orang tua yang sujud dan rukuk kepada Allah, jikalau tidak kerana masih ada anak-anak kecil yang menyusu dengan ibunya, jikalau tidak kerana masih ada binatang yang meragut rumput, nescaya Allah telah menimpakan azab-Nya ke atas dunia ini tanpa meninggalkan barang sedikit pun. Hai, terasa banyak tak sangga dosa aku, kalau tidak kerana ketiga-tiga perkara itu memang aku termasuk salah seorang yang dihukum Tuhan punya.

Disebut juga perumpamaan orang yang membaca dan tidak membaca Al-Quran, sabda Nabi, "perumpamaan orang mukmin yang membaca Al-Quran ialah seperti buah utrujah iaitu buah yang berbau harum dan rasanya enak. Manakala perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca Al-Quran ialah seperti buah kurma, tidak ada baunya tetapi rasanya manis. Adapun perumpamaan orang munafik yang membaca Al-Quran ialah seperti buah raihanah iaitu buah yang berbau harum tetapi rasanya pahit. Sedangkan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al-Quran ialah seperti buah peria yang tidak ada bau sama sekali ditambah pula dengan rasanya yang pahit". Hai, lama banget aku tak baca Al-Quran.

Kendatipun begitu, masih ada saranan-saranan berbaur motivasi.

Sabda Nabi lagi, "...dan ketahuilah bahawa sekiranya semua manusia berkumpul untuk memberikan manfaat kepadamu, pasti mereka tidak akan memberikan manfaat sedikitpun selain yang telah Allah tuliskan untukmu. Jika mereka berkumpul untuk memberi kecelakaan kepadamu selain yang telah Allah tuliskan atasmu, pena telah diangkat dan lembaran telah kering".

Nabi juga ada bersabda, "Wahai Tuhan, tidak ada orang boleh menyekat Engkau daripada memberikan sesuatu kepada sesiapa dan tidak ada orang yang boleh memberikan sesuatu yang Engkau halangi pemberian itu".

Menerusi bab bertajuk "Manusia Mudah Lupa!", tok guru memetik firman Allah dalam surah Yunus ayat 12. Kata tok guru, "Itulah sifat manusia! Allah SWT menceritakan mengenai sikap dan perangai manusia di dalam kitab-Nya. Apabila menghadapi kesusahan barulah mereka mengingati-Nya. Pada ketika itu masing-masing menadah tangan memohon doa dan pertolongan daripada-Nya. Namun, apabila sudah merasa senang, mereka kembali melupai-Nya".

Sambung tok guru lagi, "Itulah kita. Mari kita perhatikan kepada diri kita sendiri. Apabila kita menghadapi kesusahan, kita bersembahyang hajat, kita baca Al-Quran, bahkan kita sanggup lakukan apa sahaja bagi memohon petunjuk dan supaya kesusahan yang kita hadapi itu akan segera dihilangkan. Tetapi, apabila kita kembali senang kita mula tinggalkan semua amalan yang kita lakukan ketika kita susah dahulu. Lebih malang lagi, selepas kita mendapat kesenangan, kita mendekati maksiat pula".

Jalan sudah luas terbentang untuk perancangan strategik fasa berikutnya. Semoga aku terus insaf. Dan semoga keinsafan aku itu membawa aku ke V.C. Rock. Merenung lautan tanpa perlu menjadi Ali Setan.


Kamar 125
Swiss Inn Waterfront
Sandakan
6 Julai 2009 (Isnin)


Sunday, June 28, 2009

Menanti Advencer Terhenti...

Telinga disumbat earphone menyalurkan ritma Hindi dari MP3 player yang ku beli di Miri.

Hidup adalah satu perjuangan. Dalam sudut pandang yang lebih sempit, perjuangan aku sekarang ini ialah pembebasan diri dari status quo sedia ada. Oh, tidak, perjuangan aku tanpa kod warna tertentu, apatah lagi didanai oleh alat imperialis bentuk baru.

Seperti juga dalam konsep ekonomi, membuat pilihan lazimnya berdepan dengan kos lepas. Yang aku nak sangat, tawaran kursusnya agak terhad. Yang kursusnya lebih rencam, lokasinya dan suasananya pula aku kurang teruja.

Ada satu hal lagi. Katakanlah aku memohon dan permohonan diterima. Apakah saat dan ketika serta cara dan pendekatan yang paling sesuai untuk aku maklumkan kepada bos. Sedang ke hadapan-hadapan ini advencer berterusan sampai ke ceruk ulu banat. Merancang satu perkara, tapi bila sampai saat penentuan adalah satu hal yang lain pula.

Semoga Tuhan menunjukkan dan mempermudahkan jalan. Kalau ikut hati, cukuplah setakat ini. Terngiang-ngiang aa aab laut chalen dan phir bhi dil hai al-bakafi.


MH 2742
KLIA – Bintulu
28 Jun 2009 (Ahad)
1.17 petang

Nota : Si pramugara boleh tersasul lak buat pengumuman landing di Sibu. Kah, kah, kah, pertama kali seumur hidup aku dengar salah pengumuman tempat landing. Warghahaha! Terhibur aku.


Nota Tambahan : Dibawa oleh pihak yang kena advencer minum kat satu gerai seusai sampai. Orang lain pakat order roti canai la, roti telur la. Hat PSU ni mintak tisu, yang pembantu kedai pula tengah ambil order. Aku dah agak dah, satgi buleh benda-benda sentul dah ni. Betui pun macam aku dok agak, sekali pelayan tu bawak apa hang tau, "ROTI TISU". Muarghahaha! Tapi tisu pun dia bagi sekali.