Friday, November 21, 2008

Advencer Perantau Utara : Selatan Nihil Tarikan...

Sib bait flight aku pukul 5.20 petang. Kalau aku ambik hat 3 lebih ada harapan ketinggalan. Teksi kata dah sampai tapi aku takdak, aku pulak tunggu tengok takdak pulak teksi lain kecuali satu yang aku tanya nak bawak passenger pi KLIA. Aku booking nak pi KL Sentral. Setelah detik-detik dramatik antara teksi yang di’booking’ on the way patah balik ka apa, setelah menunggu hampir sejam dari masa sepatutnya, aku pun call sekali lagi Sunlight. Tak sampai 10 minit dah sampai. Kalau aku tau tak payah aku booking awal-awal, dah la surcharge RM10, bayang pun tak nampak.

Dah alang-alang bertolak dekat-dekat pukul 2 petang, aku suruh driver teksi hantar terus ke KLIA, puas hati aku. Kena la RM70, walaupun kalau ikut meter campur tol gedebuk-gedebak aku rasa dalam RM50 lebih saja. Sib bait buleh claim.

Kat KLIA ni satu benda yang aku tak dapat menahan diri kalau aku singgah. Kedai buku lepas turun dari escalator tu. Dalam pada screening yang betul-betul masyuk pun aku ‘ter’beli jugak 2-3 buku. Kebetulan kempen pilihan raya Amerika tengah membahang, aku sambar la The Audacity of Hope setelah Dreams of My Father : A Story of Race and Inheritance tiada. Setakat yang aku baca, pahit-getir juga Encik Obama memulakan kempen siasah awalnya. Masa tu dia belum terkenal, pi berkempen pun driving sendiri dengan peta kat tepi. Hadirin pun ada la dua tiga cangok padahal driving nala punya jauh. Pernah juga tewas. Biasalah tu, hero memang kalah dulu. Satu benda yang mengagumkan pasal dia dan pengimpi kuasa sepertinya ialah depa ni jenis muka tebai ntah berapa inci untuk mempromosikan diri walaupun kadang-kadang dihadapkan dengan pelbagai adegan sentul di samping dana terhad. Misalnya, ada sekali tu group dia ni kunun nak dapatkan publisiti la dengan menyertai perarakan hari kebangsaan. Dalam banyak-banyak group perarakan tu hampa tau tang mana kedudukan group Encik Obama ni? Tak lain tak bukan nu hat paling corot sekali, kat belakang group depa tu lori sampah dok menguet sodok sampah. Ya salam. Tapi tu dia la tuan-tuan, seumpama senikata lagu Spider nukilan Loloq, “...Asal miskin hina dan dina, Jadi masyhur sekelip mata, Kau jadi...”. Oh, tapi dia tak la jadi Aladin, dia jadi Obama, Biden.

Kebetulan masih ada lagi di rak akan buku King of Bollywood : Shah Rukh Khan and the Seductive World of Indian Cinema, aku tak lepaskan peluang meneliti bab-bab tertentu sambil mengingat-ngingat fakta penting untuk entri masa hadapan. Sebenarnya aku dah beli, kat situ jugak la, cuma dah habis baca aku simpan kat Sungai Bakap. Ikut hati mau saja aku tulis kat kertas atau buku catatan, tapi mengundang curiga sales girls tu pulak walaupun aku ni kira regular customer.

*****

Sesampainya di Senai yang masih dalam pengubahsuaian, terpaksa aku heret beg sejauh kira-kira 10 minit untuk ke kaunter teksi. Hajat di hati nak ke Batu Pahat. Tau berapa tambang? RM110. Pada aih.

Hat driver teksi ni ikut suka-suka hati dia saja nak berhenti. Tau-tau dia membelok ke Petronas Yong Peng. Dah berhenti kat tepi Kedai Mesra tu baru dia maklumkan nak singgah sembahyang. Piagam pelanggan apa la yang dia pakai. Bukan tak buleh hantar aku pi Hotel Pelican dulu, lepas tu on the way balik hang jama’ la. Tapi aku ni malas nak lawan bertojei, lantak pi kat dia la.


Hotel Pelican letaknya di Jalan Rugayah. Nak mencari malam-malam tu satu hal. Dari kejauhan di sebelah tepi jalan, ternampak olehku lampu iklan sebuah hotel yang gah lagi infamous namanya. Teringin jugak nak menginap kat situ, hanyasanya disebabkan entitlement group member sorang lagi agak terhad, maka aku booking la hat rate dia pelbagai sikit supaya dia ada pilihan nak bilik yang mana satu. Hat hotel infamous tu pilihan terhad sebab agak mahal.

*****

Rasanya dari Batu Pahat nak ke Yong Peng tak jauh sangat. Namun demikian, seorang group member telah menyelewengkan kami dengan memimpin ke jalan yang jauh, pusing sebelah belakang. Dah la bukan jalan yang lurus sebab bengkang-bengkok, sib bait bukan jalan yang sesat. Kami ada terdetik dan terkesan jalan sepatutnya dari hotel, tapi memandangkan yang memimpin anak jati Johor, maka orang luar macam kami keberatan untuk memohon izin mencelah. Natijahnya, perjalanan kira-kira setengah jam menjadi dekat-dekat sejam.

Bilik mesyuarat jabatan pekan sangat mengagumkan. Setting meja dia macam Dewan Undangan Negeri, sib bait tag nama kat meja tak boh gambar, tidak kalu sah-sah jadi Dewan Rakyat.

Selama ni, dalam grup aku ada 2 orang nama sama. Tanpa terduga persis dessy ratnasari, di pihak jabatan pekan pun ada 2 orang nama sama. Sudahlah tu, nama depa tu pun sama macam 2 orang group members aku. Lawak la pulak bila ada 4 orang nama sama, tambah-tambah part group member aku kena soal siasat orang jabatan pekan yang sama nama kedua-duanya. Encik R nilai Encik R. Hahaha!

“Pucuk dicita, ghulam pun tiba” candek senior dorm Hamzah dalam bentuk nyanyian akan budak Form Four dari Al-Mashoor yang namanya Ghulam suatu ketika dulu. Group member sorang ni ajak aku menginap kat hotel lain di Batu Pahat. Tak lain tak bukan Hotel Katerina yang malam semalam lampu iklan berwarna merahnya aku lihat dari kejauhan. Walaupun hanya walk-in, dah rezeki ada bilik yang mampu sewa untuk kami, kena pulak government rate, buleh la RM135. Hajat hati nak tidur bilik lain hat canggih sikit, tapi apakan daya yang lagi atas tersangatlah atasnya, sebab yang atas sikit saja dah ditempah habis oleh Institut Aminuddin Baki. Yang lain-lain macam executive dan suite tu memang la melampau “quantum of so-less”, apo dayo den ai.

*****

Sekecil-kecil jabatan pekan, bab dewan makan ala hotel aba’ hang. Ada waiter tukang serve, meja jangan cerita la renda-renda siap ada napkin, tu belum campur talam berpusing (zaman Moero Attack dulu ada jurus “sommersault berpusing”).

Petang sesudah perbincangan penutup, aku saja tanya dengan ayat skema kepada Timbalan Gabenor kalau tak menjadi keberatan boleh tak hantar ke Johor Bahru. Ambik teksi mahai aba’ hang, aku rasa mau dekat 2 ratus. Aku bukan tak mau balik petang tu jugak, tapi flight petang dah sold-out, flight malam takdak. Jadi terpaksa la aku bermalam lagi di Johor. Dah alang-alang bermalam tu nak la cari suasana baru, JB la jawabnya. Timbalan Gabenor mulanya nak minta ketua kumpulan tunggu sat (ketua kumpulan ni dibawa oleh driver X-Trail pagi tadi dan petang tu nak dihantar balik la untuk ambil kereta di perkarangan jabatan pekan Yong Peng). Aku rasa tak berapa sesuai ketua kumpulan nak menunggu, dia pun dah makan ‘dadah’ (‘siap-siap’ la tu), maka aku maklumkan pada Timbalan Gabenor takpa la.

Akan Timbalan Gabenor ini sememangnya mantap dalam pengurusan gerak kerja. Melepaskan driver X-Trail, bukan bermakna aku bakal ke JB dengan kenderaan lain. Rupa-rupanya, driver X-Trail sesudah melunaskan misi pemanduan ihsannya akan menunggu di Yong Peng. Perjalanan aku dari Labis ke Yong Peng akan dibantu oleh driver seorang lagi.

Sepanjang perjalanan ke Yong Peng, berbuallah aku dengan driver nan seorang ini. Dia jugak jadi caterer untuk hidangan tengah hari tadi. Itupun pasal diminta oleh bos. Prinsip dia yang aku kesani ialah dia walaupun dia mencari pendapatan tambahan dengan perniagaan catering, dia tidak akan potong jalan orang lain yang sudah biasa dengan pihak tertentu. Baguslah prinsip dia tu, menjaga hablum minannas. Bukan macam sesetengah pihak baik bidang perniagaan atau bidang-bidang lain, mengutamakan matlamat tanpa menghiraukan cara. Lama dah dia kerja kat situ, maklumlah anak jati Labis. Cerita sedih kepergian anak sulungnya pun ada. Sembang punya sembang punya sembang, katanya ada seorang tua bernama Haji Yusof di Muor yang boleh mengubat kencing manis dan sewaktu dengannya. Tiada pantang, hanya makan pada waktunya. Aku pun apa lagi mintak la nombor telefon orang tua tu sekali dengan nombor telefon dia. Mana tau ada orang memerlukan. Driver ni siap semawa lagi nak tolong beli dan hantar segala jamu apa semua kalau turun KL bawak bos dia.

Melalui juga kawasan-kawasan yang unik namanya seperti Lam Lee dan Desa Temu Jodoh. Menurut driver berkenaan, Desa Temu Jodoh itu nama asalnya Belia. Tapi disebabkan suatu majlis perkahwinan melibatkan 24 pasangan semasa zaman driver masih kanak-kanak, dinamakan semula sebagai Desa Temu Jodoh. Dahsyat sejarah tempat tu, mana tau aura dia tempias kat orang yang lalu.

Hujan lebat membasahi JB. Dalam lebatnya hujan, sebuah X-Trail meranduk segenap pelosok bandar raya mencari di mana gerangan letaknya Hotel Crown Princess. Driver pun sama tak tau, sekali tu dia berhenti tanya taukeh kedai makan kat area kampung sikit. Seperti diduga, hamba Allah tu pun tak tau. Lain la kalau restoran tengah bandar. Aku ambil keputusan call hotel berkenaan. Bila aku check kat handset, la, nama hotel tu Crystal Crown rupanya. Ni kira adik-beradik tersasul sebut Putra Palace dengan Crystal Palace la tu. Aku pun telefon tanya. Omak ai, lajunya kawan tu bagi panduan, dengan segala macam landmarks, macam aku buleh tangkap. Tapi firasat nun jauh aku berkata, dah dekat sangat dah tu. Jenuh jugak la kelitin sampai ntah mana hala, hat driver pun call kawan dia si driver caterer tu. Dah lewat petang lalu lintas pun macet baru aku sampai. Sib bait penolongku dah booking, dak kalu alamat aku dok bilik lebih entitlement la, puluh ringgit lebihnya tu.

*****

Teksi meluncur laju membelah trafik dari JB ke Senai. Terbang lagi RM40. Zaman-zaman General Motors pun sengkek ni aku belanja macam pemain bola gaji minggu pulak. Nak buat macam mana, berkhidmat untuk negara.

Di Senai, memandangkan aku tak sarapan lagi, aku pi tempat yang aku dah mark dacascos 3-4 hari lepas. Manna lagi kalau bukan Marrybrown. Pergh, nostalgia lagi. Teringat zaman kat UUM, Marrybrown dia sebelah Lego. Bukan takat hujung minggu saja, kadang-kadang boring dengan menu Lego punya pasai tengah hari pun aku singgah Marrybrown jugak. Ada masanya, sanggup jalan kaki dari Kolej MAS dengan geng setiada motor seumpama Awang, Daeng dan Khairol. Malam-malam pulak tu. Pecah peluh aba’ hang.

Hanyasanya, Marrybrown kat Senai lebih fancy dengan ndoi apa semua. Melainkan pemandangan yang tak best, sebab hanya sekitar lapangan terbang. Boring betui.

Tengah pekena Nasi Ayam Goreng, tivi pun seiring membuat liputan pengundian calon presiden Amerika. Culaan awal mendapati Encik Obama mendahului. Aku pun rasa dia akan menang. Sebab tinjauan pendapat oleh pelbagai pihak mendapati memang dia pilihan utama. Hanya McCain ketega’ menafikan kenyataan.

Memandangkan kat ofis bunyi lagu dok kejan tak dan-dan, sebaik tiba di KLIA, dan menunaikan jama’ taqdim, aku terus ambik limousine ke rumah. Melayang lagi RM84.90. Pada la dengan selesanya dok kat belakang tu, dengan luasnya, at least dibandingkan dengan Kanc aku. Sampai kat rumah, usung beg yang nala punya berat tu naik tangga, ambik dokumen-dokumen yang perlu, turun tangga lagi, jalan kaki sikit, terus start kereta. Baca aktiviti aku tu pun dah penat, tambah la aku yang kena buat semua tu. Sampai di KLIA tadi pukul 1.00 petang kan, 3.30 petang aku dah masuk ofis. Sapa kata kheja gomen rileks.



2 - 5 November 2008


No comments: