Saya sangkakan detik itu sudah berbulan-bulan berlalu, rupa-rupanya baru dua tiga minggu nan lalu.
Suatu pagi di Kolej MAS, saya ke bilik Bentong, seingat saya ada tugasan berkaitan Pengantar Terjemahan. Sesampainya saya di sana, saya terlihat Bentong dan rakan-rakan seperjuangannya sedang asyik menonton VCD. Saya jadi kehairanan, apa yang syok sangat sampai pakat-pakat tengok secara berjemaah. Ada adegan persembahan hiburan oleh pelajar kolej. Saya agak mesti suatu fenomena luar biasa telah melanda budak-budak antijiwang itu.
Saya seraya teringat kisah beberapa tahun sebelumnya. Di pantry ASPURA, sebuah filem dengan watak utamanya berbeza berbanding hero-hero dekad yang sama. Saya melihat seorang hero yang penampilannya macam budak kanyiar, dengan fesyen rambut selebet satu macam, sedikit gelap, tanpa tubuh sasa, tanpa kumis. Tapi memek muka dan bahasa badan trademark tersendiri sangat melucukan, terutama adegan cuba berlagak yakin, menutup kesalahan atau cover malu namun suara masih terketar tergagap. Sementelahan pula jalan cerita yang berlainan, tanpa letupan mahupun pertembungan watak putih dengan watak hitam. Hero yang pincang serba-serbi; sama ada marka mahupun akademik. Hanyasanya yang ada hanyalah bakat dalam muzik. Sungguhpun bertema remaja tetapi tidaklah jiwang karat tidak semena-mena. Mungkin kerana bumbu komedi. Dari situ saya sudah berkata bahawa inilah kelainan yang dicari-cari dari sekian ramai orang sezaman yang stereotype. Walau bagaimanapun, entah sebab apa, minggu-minggu berikutnya tidak lagi kedapatan kelibat sang wira.
Jungkir balik ke zaman UUM. Saya kemudian berjaya mengenal pasti sebab-musabab Bentong & Co. begitu teruja. Rupa-rupanya bukan sekadar mereka, bahkan satu Malaysia telah dilanda fenomena “Sesuatu Berlaku”. Dan seperti juga “Kadang Ya, Kadang Tidak” yang saya tonton zaman menengah rendah dulu serta “Hati Yang Gila” (pernah saya tatap posternya di akhbar di ruangan jadual tayangan pawagam sewaktu Matrikulasi, walaupun ketika itu tidaklah menarik minat saya dan tidak terduga siapa heronya), watak utamanya adalah saudara. Penampilan saudara sudah banyak berubah. Lebih kacak dengan fesyen rambut lebih menarik, wajah juga nampak lebih cerah, bukan lagi sebagai budak kanyiar dengan fesyen rambut selebet satu macam. Padanlah saya tidak kenal.
Sejak itu, walaupun ada yang saya tidak gemar seperti “Dari Hati”, kebanyakan filem saudara menginspirasikan saya; “Lelaki Yang Punyai Hati (Berani) Akan Bawa Pengantin Perempuannya Pulang”, ‘Percintaan’, “Kadang Gembira, Kadang Bahagia”, “Adakah Lagi Esok?”, “Aku ‘Kan Ada” (sekadar menyebut beberapa nama).
Menerusi pembacaan, saya mendapat tahu bahawa sebelum sampai ke takah ini, saudara juga pernah berdepan dengan kedukaan. Dicatatkan dalam sebuah buku bahawa ketika saat nazaknya ibu saudara akibat diabetis, saudara dengan cekal enggan mengalah sebaliknya melafazkan ayat yang lazim dibaca oleh ahli sukan tempatan. “Nasrun minallahi wa fathun qarib”, begitulah diberitakan diulang-ulang oleh saudara sebanyak 869 kali di tempat parkir kereta hospital. Namun, kata saudara dalam satu wawancara termuat dalam Pancaindera suatu masa, walaupun bersembahyang (saya rasa kesilapan terjemahan ‘prayers’ yang sepatutnya ‘berdoa’) buat julung-julung kalinya seumur hidup, ibu saudara pergi jua.
Harapan saya semoga kemewahan yang dikecapi; sepasang cahaya mata, isteri, Mannat dan sebagainya bukan merupakan istidraj yang mendorong saudara lebih jauh daripada Allah. Semoga saudara diberi hidayah untuk kembali ke jalan yang lurus, menghayati dan menjadikan isi kandungan Al-Quran, bukan pepatung di sebelahnya, sebagai pedoman. Mengingati-Nya tatkala senang, insya-Allah kita ‘kan diingati tatkala susah.
Selamat menyambut ulang tahun ke-43.
Kekayaan Dicapai Kejayaan Digapai
9 hours ago
1 comment:
Selamat Aidil Adha....banyak qurban bang?
Post a Comment