Friday, July 28, 2006

Sekali Berarti, Sudah Itu...


Menempuh dugaan, yang secara relatifnya kecil amat berbanding sengsara saudara-saudara seagama di Lebanon dan Palestin, buat dua hari berturut-turut memang meletihkan. Berjumpa kawan-kawan lama, sama ada yang biasa-biasa sahaja apatah lagi yang akrab menjelmakan sedikit keceriaan di kala penuh tekanan. Betul-betul punya tertekan hinggakan tiada lalu hendak makan.

Nasib baik hanya sekali. Memang benar-benar sekali. Peperiksaan sekali. PAC sekali. Temuduga sekali. Menambah manisnya kerana itulah satu-satunya kerjaya yang aku pohon dua-tiga tahun dahulu lalu berhasil pula. Kadang-kadang umpama kesudahan sebuah cerita dongeng, tapi ini sesungguhnya kenyataan. Sebagaimana seorang abid masuk syurga bukan kerana amal ibadahnya, begitulah juga dengan lulusnya aku kali ini bukan kerana banyak dan rajinnya mengulang kaji, melainkan dengan rahmat-Nya jua. Meminjam lagi kata-kata Chairil Anwar buat kesekian kali, "Sekali berarti, sudah itu MATI".

Saturday, July 22, 2006

Kita Menghadap Kiblat Yang Sama ...

Waktu ini, aku masih mengumpul segenap kekuatan dan ketenangan yang sebelumnya terserpih ke mana-mana. Justeru, tidak hairanlah semenjak dua ini akan kelihatan seorang lelaki berkopiah putih, berbaju hijau kilau-kemilau dengan kolar dan sebahagian atas poket bermotif bunga-bunga saban Maghrib mengunjungi Surau Presint 11A. Nabi pernah bersabda, "Kenalkan dirimu pada Allah waktu senang, nescaya Allah akan mengenalimu tatkala susah". Semoga Dia yang bersemayam di arasy sana masih mengenaliku saat-saat getir begini.

* * * * *

Semalam, aku mendengar ceramah yang berkobar-kobar daripada Prof. Dr. Mohd. Redzuan Othman, Ketua Jabatan Sejarah, Universiti Malaya. Tajuk ceramah bulanan itu ialah "Palestin : Masihkah Ia Di Hati Kita?". Beliau mengimbau contoh teladan dan jiwa besar yang ditunjukkan oleh umat Islam zaman lampau dengan memberi tempat bernaung kepada Yahudi sewaktu Eropah menganggap Yahudi persis parasit. Dunia memang begitu, orang yang ditolong waktu kesusahan, akhirnya bukan setakat tidak mengucapkan penghargaan, malah membalas dengan kezaliman. Rasa berdosa Eropah semasa Perang Dunia Kedua ditebus dengan umat Islam Palestin sebagai mangsanya.

Beliau juga mempotretkan pekerti luhur yang ada pada jiwa Hezbollah sesudah Israel berundur senyap-senyap dari Selatan Lubnan, suatu malam bulan Mei 2000, awal sebulan dari telah diumumkan Ehud Barak. Penganalisis menjangkakan bahawa South Lebanese Army (SLA) iaitu golongan Kristian yang menjadi proksi Israel di Selatan Lubnan sejak penjarahan tahun 1982 bakal dibunuh beramai-ramai oleh Hezbollah. Tahu apa terjadi kepada SLA? Sebaliknya mereka diampunkan kesemuanya oleh Hezbollah. Iya, Hezbollah (yang segelintir pemimpin Arab yang dibelenggu wahan, takutkan Amerika lebih dari takutkan Tuhan) yang dianggap tidak lebih sekadar proksi Iran. Segelintir ulama sunnah juga sedemikian, hinggakan berdoa untuk kesejahteraan Hezbollah pun difatwakan jangan. Wahai, penyakit apa lagi yang membelenggu umat Islam ini? Masihkah lagi sebegitu benak hati dalam darurat begini? Sunnah dan Syiah bukan setakat sama-sama menatap rembulan, kita menghadap kiblat yang sama bahkan.

* * * * *

Saudara-saudaraku Hezbollah dan Hamas,

Meski negara-negara Islam yang kaya-raya kecut amat untuk membekalkan senjata, janganlah saudara-saudara gundah gulana. Kita masih ada Allah Maha Kuasa. Kepada-Nya dipanjatkan doa dan itulah seampuh-ampuh senjata.

Mafhum sebuah lagi sabda Nabi, "Apabila Allah mengasihi sesuatu golongan, maka diuji golongan tersebut dengan ujian. Sekiranya mereka redha, maka keredhaan Allah kepada mereka. Sekiranya mereka benci, kebencian Allah kepada mereka".

Yakinlah kita akan sabda Rasul-Nya bahawa kita ini hamba Allah dan Dia takkan menghampakan. Kejayaan menanti kita di penghujung perjuangan, insya-Allah.

Friday, July 14, 2006

Apakah Kita Ini?...


APAKAH KITA INI?

Bebal apakah kita ini
Membena tak bena pesan ulama
Sedangkan mereka segentar-gentar hamba pada-Nya

Bingung apakah kita ini
Mengumpan pengunjung dengan khamar
Sedangkan itulah ibu segala mungkar

Bengap apakah kita ini
Mempersenda penutup aurat
Sedangkan diri faajirah syaqiyyah

Biul apakah kita ini
Menista serban dan janggut dalam hujah
Sedangkan diam Nabi pun tergolong sunnah

Apakah lagi kita ini
Menunjuk kahar kepada Tuhan
Sekali dipamer kemurkaan
Bisakah tertahankan?

Friday, July 07, 2006

Pandangan Mata Selalu Menipu...

Waktu menghampiri katil nombor 2, Wad 5, Hospital SB, hampir saja aku melongo melihatkan situasi itu. Seorang yang di pergentingan usia bersara, lengkap berkopiah dan berbaju Melayu sedang membacakan doa pada sebekas air. Di bangku yang sama bertentangan dengannya seorang kanak-kanak lelaki.

Aku mengeluarkan naskhah Al-Quran dari laci bersebelahan katil lalu membacanya, guna mudah-mudahan menawarkan sakit pesakit. Lelaki yang menjampi air tadi dimohon lagi oleh si ibu untuk berdoa melembutkan hati anaknya yang degil. Saat itu, aku yang selalunya serius jadi tersenyum.

* * * * *

Kedatangannya ke surau tua itu hanya mengundang prasangka segelintir orang kampung pada mulanya. Walaupun semenjak kehadirannya surau itu kembali diimarahkan, namun maklum sahaja, sehelai sepinggang begitu, su'udzdzon amat lekas menghinggap jiwa yang terganggu. Hinggalah suatu kejadian di mana seorang wanita memohon bertawassul dengannya. Puas ia menolak, katanya ia bukanlah orang terpandang, ia ialah jua, ia seadanya. Sungguhpun demikian, dek kerana wanita itu bersungguh-sungguh meminta pertolongan, lalu ia pun kumat-kamit membacakan sesuatu pada air dalam bejana. Seraya diizinkan Tuhan maka anak wanita itu pun sembuh semula. Semenjak peristiwa itu, berduyun-duyunlah orang kampung meminta air penawar daripadanya. Ia seperti biasa, tidaklah pernah mengambil kesempatan dan sering menegaskan bahawa ia makhluk Allah yang dha'ifun jiddan.

Musim tengkujuh pun tiba, seakan-akan kampung itu akan dilanda banjir. Ketika itu juga, ia terlantar nazak di surau tua, dikelilingi penduduk kampung yang terhutang budi. Hujan makin lebat dan apabila curahan air dari langit makin bertambah hebat, ia pun menghembuskan nafas yang penghabisan. Sedih, pilu dan sayu menyelubungi tatkala muncul di muka pintu secara tiba-tiba sepasukan polis. Ia yang disangkakan wali sebenarnya banduan terlepas lari.

* * * * *

Lelaki itu sebenarnya tidak tergamak menghampakan permintaan orang. Seperti juga watak Khalid Salleh dalam Panggung RTM tahun-tahun '80-an dahulu. Demikian diberitahunya kepadaku. Kerana permintaan oranglah alter ego muncul tidak semena-mena, membuatkan tahu-tahu kita jadi entah siapa-siapa. Boleh jadi pendoa, boleh jadi pujangga.