Monday, November 28, 2005

The Last Pose...


Ila-l-liqak zamiilii... Posted by Picasa

Phir Milenge, Mere Jigri Dost...

Seingat-ingat aku, aku mula mengenali dia sewaktu Anugerah Desa Cemerlang di Kampung Bayangan, Keningau, Sabah pada tahun lepas. Masa tu aku tak berapa kenal sangat dia, maklumlah baru sangat habis DPA, tapi ditakdirkan tinggal sebilik kat hotel. Daripada tegur-menegur sekadar berbasa-basi, rupa-rupanya ke"kamceng"an itu telah bermula.

Selalunya, kalau kami berjalan berdua dan terserempak pula dengan Kak Halina, En. Man atau pegawai2 Bahagian ED, depa akan kata, "macam sedara jer", lalu aku pun, sambil tersenyum akan sengaja bertanya, "tang mana tu, tang hidung ka?". Dan ketawa pun pecah berderai ke mana-mana.

Jumaat lepas (25 November 2005) merupakan hari terakhir seorang kawan aku di Bahagian PD ini. Aku dah tahu dah, berdasarkan pengalaman-pengalaman lepas, memang inilah kesudahannya tapi aku tetap teruskan juga kerana sukar untuk aku cari kawan yang buleh dibuat kawan. Memang tak ramai tetapi dah cukup kerana seseorang yang boleh dibuat kawan bukan boleh ditemui di mana-mana.

Kalau masa-masa dahulu, mungkin aku akan menyanyikan sebuah dua lagu atau mengarang sajak mengenang detik waktu, tapi zaman itu dah berlalu. Aku bukannya seorang penyanyi atau penyair pun, apatah lagi ada kajian menunjukkan seorang penyair terutamanya lelaki selalunya tak hidup lama.

Cuma ada kata-kata Ku Seman Ku Hussein yang abadi dalam penghidupanku dan bakal menjadi panduan sepanjang hayat. Katanya, "Kawan adalah orang yang kita percaya untuk saling berkongsi cerita sambil mengusir sepi bersama-sama".

Selamat Maju Jaya kepada Md. Adnan Syed Mohd Yusof dengan ucapan "Hari-hari naik feri, saba' la kalau depa ingat hang anak mami".Terima kasih juga kerana sepanjang persinggahan itu hang sudi mendengar di samping turut memberi pandangan serta nasihat yang berguna, menjadikan istilah "kawan" itu sungguh bermakna.

"Should auld acquaintance be forgot, / And never brought to min'? / Should auld acquaintance be forgot, / And days o' lang syne? / We twa hae rin about the braes, / And pu'd the gowans fine; / But we've wander'd monie a weary fit / Sin' auld lang syne. / We twa hae paidl't i' the burn, / Frae mornin' sun till dine; / But seas between us braid hae roar'd / Sin' auld lang syne. / And here 's a hand, my trusty fiere, / And gie's a hand o' thine; / And we'll tak a right guid-willie waught / For auld lang syne. / And surely ye'll be your pint-stowp, / And surely I'll be mine; / And we'll tak a cup o' kindness yet / For auld lang syne! / For auld lang syne, my dear, / For auld lang syne, / We'll tak a cup o' kindness yet / For auld lang syne."

Renungkanlah...

Segalanya bermula semenjak Teresa Kok bertanyakan di Parlimen sama ada Kerajaan membenarkan pertukaran status jantina di MyKad, lalu dijawab oleh Dato' Azmi Khalid bahawa Kerajaan tidak mengiktiraf perkara tersebut. Pada masa itu, seakan-akan isu tersebut bukan satu hal yang bakal menjadi perdebatan hangat di mana-mana jua. Kira-kira seminggu kemudian heboh satu Malaysia bahawa ada seorang lelaki Cina mengubah jantinanya melalui pembedahan lalu melangsungkan perkahwinan juga dengan seorang lelaki Cina. Barulah perkara ini mengundang sokongan dan bangkangan bahkan kutukan. Barulah muncul hasil kajian dan perancangan untuk menjalankan penyelidikan terhadap masalah sosial yang sekira-kiranya baru semalam disedari.

Dalam hidup ini, tidak semua perkara mampu kita timbangkan menggunakan semata-mata akal fikiran. Kalau akal fikiran kita mampu berfikir ke tahap itu, maka Tuhan tidak akan mengutus sebilangan Nabi sejak zaman-berzaman buat memandu manusia ke jalan kebenaran. Sebab akal manusia cenderung melihat sesuatu yang nampak logik tapi tidak semua yang kelihatan logik itu selari dengan kehendak agama yang sangat sejajar dengan fitrah manusia. Kata Saiyidina 'Ali karramallahu wajhah, "Kalau semua perkara itu hendak dinilai semata-mata berdasarkan logik, maka sudah tentulah bahagian tapak kasut itu yang patut digilap. Tapi aku tidak melihat Rasulullah menggilap bahagian tapak kasut baginda, sebaliknya baginda menggilap bahagian atas kedua-dua belah kasutnya.".

Menerusi pengalaman hidup aku yang tidak setara mana ini, memang ada golongan lelaki yang dijadikan lemah lembut. Itulah realiti yang tidak dapat kita elakkan sebab nilai-nilai dan pengaruh keluarga dan orang sekeliling memainkan peranan. Demikian, tutur katanya, tingkah lakunya berlainan sedikit dengan generalisasi seorang lelaki biasa yang garuk suaranya dan kasar-gedegar caranya. Lelaki lemah lembut sebegini seharusnya diterima kerana mereka bukan sengaja berlagak menyerupai wanita. Pakaian mereka masih pakaian seorang lelaki. Tiada sebarang perubahan kosmetik pada mana-mana bahagian badan mereka. Fitrah mereka masih seperti manusia biasa, tetap punyai keinginan untuk berkeluarga.

Satu lagi golongan adalah lelaki yang terlebih lembut. Golongan ini banyak terdapat di pusat-pusat pengajian tinggi. Kadang-kadang bila terserempak dengan serombongan golongan ini, seram sejuk juga dibuatnya. Mereka ada lingo tersendiri, yang menyukarkan kita meneka apekejadahnye yang dibualkan mereka. Mereka ini perlu ditarbiah sedikit kerana mereka ini telah separa wanita meskipun masih berpakaian seperti lelaki. Dengan kening dicukur, mekap dan entah apa-apa lagi yang segera mengingatkan kita akan sebuah sabda nabi bahawa antara golongan yang Allah Ta’ala laknat dan diaminkan oleh para malaikat adalah orang lelaki yang berlagak seperti wanita.

Golongan yang kronik adalah lelaki yang terlampau lembut. Golongan inilah yang sering terjebak dengan maksiat kerana mereka benar-benar menyerupai wanita. Pakaian memanglah sudah seperti wanita, tidak termasuk lagi pembedahan demi pembedahan termasuk menukar jantina dilakukan seolah-olah tidak bersyukur dengan ciptaan Tuhan.

Dalam kehangatan isu ini, ada kalanya terdapat segelintir pihak yang berpegang kepada prinsip kebebasan meminta kita memberi sedikit ruang kepada golongan terlebih lembut dan terlampau lembut itu. "Liberal", "keterbukaan", "plural society", "menghormati hak asasi golongan minoriti", itulah hujah-hujah yang antaranya dituturkan juga oleh peguam. Syukurlah Pak Lah telah menegaskan, ”Kerajaan tidak mengiktiraf golongan ini!”.

Dalam hal ini, wajar diamati secebis kisah yang berlaku di Israel. Kisah ini ada dimuatkan dalam Newsweek keluaran terbaru. Ada lima pasangan lelaki rakyat Israel yang berkahwin di Kanada dan menuntut mahkamah di Israel mengiktiraf mereka. Mahkamah ini biasanya merintis jalan ke arah kelulusan sesuatu perkara yang kontroversi atas nama liberalisasi. Menariknya, kata seorang rabbi yang juga Ahli Parlimen Israel, "kita mempunyai persefahaman dalam kerajaan bahawa sekiranya terdapat sebarang keputusan mahkamah yang bercanggah dengan agama, maka Parlimen akan membetulkannya.". Tu dia tuan-tuan, kalau Israel yang kita anggap antagonis dan dalang banyak masalah dalam dunia inipun masih ada fikrah di kalangan pemimpinnya, tahu membezakan antara nafsu-nafsi manusiawi dan ajaran agama sendiri, takkan kita yang sering mendakwa jauh lebih baik daripada mereka tergamak hendak membenarkan golongan yang Tuhan murkai dan telah telangkupkan ke bawah bumi (sehingga kini Laut Mati itu kekal menjadi saksi) kembali, sanggup menyediakan ruang untuk dihukum Tuhan lagi. Kembalilah ke alami, setulus fitrah insani.

Meminjam tajuk lagu J. Mizan, "Renungkanlah".

Friday, November 18, 2005

Tazkirah Buat Diri Yang Dijadikan Keterlupaan dan Ketergesaan...


Kalaulah ada bakti, kita sandarkan pada Tuhan. Kerna Tuhan, sebagaimana sabda Nabi, tak pernah mengecewakan. Sedangkan manusia, beranganlah mendengar lemak merdunya puji-pujian, bahkan bukan kejutan andainya menghunjam kita semula dengan belati yang tajam menikam. Itulah bezanya manusia dan Tuhan. Perbezaan yang teramat mahal apabila Dia masih sudi menghulur kuntuman bunga tatkala manusia mencurah tuba.

Tuhan, walau kita ini seorang pendosa, lalu kita tadahkan tangan tanda bertaubat, maka kita amatlah disukai-Nya. Meskipun kita ini kembali berbuat dosa lantaran lemahnya iman di dada. "Telah ku mungkiri janjiku lagi setelah ku berpaling dari pandangan-Mu yang kabut kerna jahilnya aku.". Kerana Dia Maha Mengerti, bahawa hamba-Nya yang serba dha'ifun jiddan ini tiada pernah berputus asa akan rahmat-Nya. "Aku di sini tetap kan terus mencuba untuk peroleh cinta-Mu walau ranjaunya menusuk pedih.". Sedangkan manusia, hilang panas setahun dek hujan sehari.

Lantaran begitu sifatnya manusia, justeru kesilapan dan kekhilafan akan mengusir kita sejauh-jauhnya. Betapa kita cuba menghampiri, semakin jauh mereka berlalu walhal kita telah membuka lembaran baru. Di sinilah juga agungnya Tuhan, mendatangi kita sesungguhnya ketika Dia sebenarnya Pencipta, dengan segala kehebatan bersemayam di 'Arasy sana, pada saat kita sekadar mencuba seadanya.

Nukil sebuah hadis qudsi, "Sesiapa yang hampir kepada Aku sejengkal, Aku hampir kepadanya sehasta. Sesiapa yang hampir kepada Aku sehasta, Aku akan hampir kepadanya sedepa. Sesiapa yang datang kepada Aku berjalan, Aku akan datang kepadanya berlari." (Ya Allah, malunya, manalah hamba-Mu yang hina-dina ini hendak menyorokkan muka?)

”Ku hanyutkan sisa dengan tadahan tangan penuh luka mengharap keredupan pawana langit akhirat terbentang megah.”.