Monday, July 06, 2009

Advencer Pemuda Insaf...

Pagi tadi, semasa menyoal siasat pihak yang kena advencer, aku terima Sistem Mesej Singkat (SMS) daripada kawan seangkatan yang kini menjaga urusan protokol negara. Ia bertanyakan tentang PTK3. Manalah sempat aku menyemak keputusannya, lalu ku tanya kepadanya. Ia mendapat Aras 3. Suspense aku dibuatnya. Diminta nombor kad pengenalan daripadaku. Hasilnya, aku dapat keputusan yang aku idam-idamkan. Hai, kalau sangkut juga tak tahulah aku, rasa penat bekerja di bawah tekanan dan tidak cukup tidur menyiapkan tugasan. Aku dapat 3 untuk peperiksaan, dan paling mengejutkan aku (dan si Rosliana juga tentunya), aku dapat 4 untuk pembentangan berkumpulan dan individu. Terbayang-bayang seorang panel seFederal KL bagi remark secara umum bahawa pengucapan awam kena berdiri tegak tak boleh bergerak ke sana ke mari. Memanglah aku terasa, sebab aku salah seorang yang buat macam itu. Juga persembahan PowerPoint yang aku pinjam dan ubah suai reka letak dan reka bentuk dan warna template suami kepada kawan seangkatanku yang kebetulan ada dalam simpanan (tetapi isi jauh berbeza; ia OSC aku pembangunan mampan, sesekali jukstaposisi pun menarik juga). Juga berpencak silat menjawab soalan ahli panel yang macam peluru bersimpang-siur mengenakan aku yang berdiri di hadapan menjustifikasikan sebuah tugasan. Semua itu belum lagi diambil kira bagaimana gementar yang membunuh aku semasa pengucapan awam. Seraya aku teringat kepada peristiwa beberapa jam nan lalu.

Semalam, di kamar hotel, aku menyudahkan pembacaan koleksi tazkirah tok guru bertajuk "Hidayah". Ada beberapa catatan tahap makan dalam, tambahan pula hati hampir gelap gelemat kerana sudah lama tidak disiram dengan nasihat-nasihat agama.

Menerusi sebuah hadis, Nabi bersabda bahawa Allah berfirman, "Aku adalah berdasarkan sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku. Apabila dia mengingati-Ku dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingati-Ku dalam suatu kaum, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekati-Ku dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dalam jarak sehasta. Apabila dia mendekati-Ku dalam jarak sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dalam jarak sedepa. Apabila dia datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari-lari anak".

Aku ada juga terbaca di tempat lain sebelum itu, bahawa keyakinan dan sangka baik kita kepada Allah sangat perlu. Cuma berdasarkan usaha dan prestasi diri sendiri, aku agak kurang yakin boleh berjaya dalam percubaan pertama. Maklumlah peringkat pertama dahulu berapa kali dilalui dengan susah-payah. Bermuhasabah diri dengan bersandarkan hadis tersebut, aku jadi insaf dan malu sendiri. Iyalah, kadang-kadang amal ibadat pun tidaklah setara mana dan ala kadar, tapi kasih sayang Allah itu Maha Luasnya, tidak setimpal pun dengan amalan hamba-Nya yang dha'ifun jiddan macam aku.

Dalam buku tersebut tok guru ada menyebut, mafhum sebuah hadis qudsi, jikalau tidak kerana masih ada orang tua yang sujud dan rukuk kepada Allah, jikalau tidak kerana masih ada anak-anak kecil yang menyusu dengan ibunya, jikalau tidak kerana masih ada binatang yang meragut rumput, nescaya Allah telah menimpakan azab-Nya ke atas dunia ini tanpa meninggalkan barang sedikit pun. Hai, terasa banyak tak sangga dosa aku, kalau tidak kerana ketiga-tiga perkara itu memang aku termasuk salah seorang yang dihukum Tuhan punya.

Disebut juga perumpamaan orang yang membaca dan tidak membaca Al-Quran, sabda Nabi, "perumpamaan orang mukmin yang membaca Al-Quran ialah seperti buah utrujah iaitu buah yang berbau harum dan rasanya enak. Manakala perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca Al-Quran ialah seperti buah kurma, tidak ada baunya tetapi rasanya manis. Adapun perumpamaan orang munafik yang membaca Al-Quran ialah seperti buah raihanah iaitu buah yang berbau harum tetapi rasanya pahit. Sedangkan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al-Quran ialah seperti buah peria yang tidak ada bau sama sekali ditambah pula dengan rasanya yang pahit". Hai, lama banget aku tak baca Al-Quran.

Kendatipun begitu, masih ada saranan-saranan berbaur motivasi.

Sabda Nabi lagi, "...dan ketahuilah bahawa sekiranya semua manusia berkumpul untuk memberikan manfaat kepadamu, pasti mereka tidak akan memberikan manfaat sedikitpun selain yang telah Allah tuliskan untukmu. Jika mereka berkumpul untuk memberi kecelakaan kepadamu selain yang telah Allah tuliskan atasmu, pena telah diangkat dan lembaran telah kering".

Nabi juga ada bersabda, "Wahai Tuhan, tidak ada orang boleh menyekat Engkau daripada memberikan sesuatu kepada sesiapa dan tidak ada orang yang boleh memberikan sesuatu yang Engkau halangi pemberian itu".

Menerusi bab bertajuk "Manusia Mudah Lupa!", tok guru memetik firman Allah dalam surah Yunus ayat 12. Kata tok guru, "Itulah sifat manusia! Allah SWT menceritakan mengenai sikap dan perangai manusia di dalam kitab-Nya. Apabila menghadapi kesusahan barulah mereka mengingati-Nya. Pada ketika itu masing-masing menadah tangan memohon doa dan pertolongan daripada-Nya. Namun, apabila sudah merasa senang, mereka kembali melupai-Nya".

Sambung tok guru lagi, "Itulah kita. Mari kita perhatikan kepada diri kita sendiri. Apabila kita menghadapi kesusahan, kita bersembahyang hajat, kita baca Al-Quran, bahkan kita sanggup lakukan apa sahaja bagi memohon petunjuk dan supaya kesusahan yang kita hadapi itu akan segera dihilangkan. Tetapi, apabila kita kembali senang kita mula tinggalkan semua amalan yang kita lakukan ketika kita susah dahulu. Lebih malang lagi, selepas kita mendapat kesenangan, kita mendekati maksiat pula".

Jalan sudah luas terbentang untuk perancangan strategik fasa berikutnya. Semoga aku terus insaf. Dan semoga keinsafan aku itu membawa aku ke V.C. Rock. Merenung lautan tanpa perlu menjadi Ali Setan.


Kamar 125
Swiss Inn Waterfront
Sandakan
6 Julai 2009 (Isnin)