Friday, November 05, 2010

Cuti-Cuti Sekolah...

Hidup umpama seorang musafir yang pandai bertukang dan bersilat sekotak cekelat, kita tak tau apa kita akan dapat. Begitu kata-kata Ahmad Darurah Forrest Gump. Sebenarnya kata-kata mak kepada Forrest Gump. Yang paling sebenarnya kata-kata mak kepada Forrest Gump kepada Forrest Gump.

Penggal persekolahan sudahlah lepas seusai peperiksaan akhir tahun. Apa yang aku belajar sepanjang penggal? Lima matapelajaran; dua kena ambil periksa, tiga lagi pun kena ambil periksa juga. Jadi sebab apa aku tak rangkumkan sahaja bahawa kesemua lima matapelajaran itu semuanya memerlukan aku menduduki peperiksaan. Sebabnya mudah sahaja. Sebab pada peringkat awal aku memang sangkakan semua lima matapelajaran memerlukan aku menduduki peperiksaan. Cikgu-cikgu pun sangka begitu, pada hemat aku. Sehinggalah minggu terakhir sebelum peperiksaan aku merujuk ke pejabat kerana jadual peperiksaan untuk tiga matapelajaran tidak tertera di papan kenyataan. Pejabat pun tak tahu, lalu disuruhnya aku rujuk kepada pejabat lebih atas. Kata pejabat lebih atas, sebenarnya tiga matapelajaran itu tak perlu pun aku duduki peperiksaan. Sebabnya, seperti dimaklumkan pada awal-awal penggal, bermula dari penggal ini pelajar menengah atas yang mengambil matapelajaran asas tak perlu lagi menduduki peperiksaan bagi matapelajaran asas tersebut. Dulu prasyarat sekarang audit, begitulah slogan yang digunakan.

Cikgu-cikgi di dalam kelas matapelajaran asas tiada pernah menyebut bahawa aku dan tiga orang lagi pelajar menengah atas tak perlu pun mengambil peperiksaan. Jadi, deduksi yang boleh aku bentangkan di sini ialah mereka pun tidak tahu-menahu tentang perkara ini. Aku lagilah tidak tahu kerana waktu mendaftar pun kelas sudah masuk minggu kedua, sedangkan maklumat terkini untuk pelajar menengah atas yang mengambil matapelajaran asas dimaklumkan semasa taklimat minggu pendaftaran. Itulah kelemahan dan ketinggalan bagi pelajar yang lewat dapat mendaftar masuk ke kelas. Harap pihak berwajib pada masa hadapan jangan lagi memandang enteng perkara ini dan cepatkanlah membuat dan memaklumkan keputusan dan kelulusan sambung belajar secara rasmi. Kerana belum dikira lagi kelas-kelas yang tak fasal-fasal tuang kerana permohonan cuti belajar lambat lulus. Pelajar lain sudah mencari-cari buku teks rujukan, sudah ada pun kumpulan tugasan, sudah pun mencari bahan tugasan individu dan berkumpulan padahal aku masih terkial-kial proforma pun baru nak fotostat. Ada juga perancangan hidup yang tergendala dan kuca-lana; perancangan pindah rumah, balik kampung dan sebagainya sebab tarikh sambung belajar belum dimuktamadkan. Kalau sudah bergelar sarjana, orang bawahan yang mengimpikan peluang yang sama jangan dilupa.

Makanya, apa pelajaran berguna yang aku dapat sepanjang penggal ini? Untuk penggal ini aku beroleh beberapa pelajaran. Pelajaran yang aku maksudkan lebih kepada pendekatan dan pengharapan cikgu-cikgi.

Ada cikgu yang masa mengajar macam semua perkara diulasnya dari pelbagai perspektif yang tak terjangkau pada pemikiran pelajar menengah atas seperti aku. Perkara-perkara itu bukanlah dibaca atau dirujuk pada nota pun, semuanya sudah ada dalam ingatan. Hebat betul. Kalau bab bersyarah, pergh, semua nama-nama sarjana, nama-nama buku, penerangan tentang konsep2 tertentu, tahun-tahun penting seperti tahun buku ditulis atau konsep diperkenalkan (sekadar menyebut beberapa contoh) macam kacang sahaja disebut mereka.

Ada cikgu yang berpesan, apabila membaca penulisan seseorang sarjana, jangan lekas percaya, sebaliknya kena berfikiran kritis dan analitikal. Sesetengah sarjana katanya, mempunyai agenda tertentu apabila menulis, sesetengahnya didalangi oleh pihak tertentu. Perkara ini satu ilmu baru pada aku, sebab selama ini aku cenderung untuk terima sahaja apa yang ditulis. Justifikasinya, aku selalu percaya setiap orang ada pendapat masing-masing yang sudah tentu berbeza, jadi apa salahnya. Rupa-rupanya, ada satu aspek yang juga perlu diberi perhatian iaitu aspek kritis terhadap idea dan pandangan seseorang sarjana. Dalam kelas, cikgu mengajar supaya karya sarjana yang hebat-hebat pun dikritik, cuma kenalah kritikan yang berasas dan disandarkan kepada pandangan sarjana lain juga. Susah juga, bayangkan bagaimana mahu mengkritik artikel “The Clash of Civilizations?” Samuel P. Huntington dan “The End of History?” Francis Fukuyama yang sangat terbilang dalam bidang mereka sedangkan aku dan rakan-rakan sekelas hanyalah pelajar menengah atas.

Cikgu juga berpesan bahawa dalam menulis, elemen debat di kalangan sarjana tentang sesuatu tajuk perlu juga dimasukkan. Nampaknya, penulisan pada peringkat menengah atas ini bukan setakat memastikan soalan terjawab bahkan kena menggali lebih dalam lagi aspek-aspek yang lain. Contohnya, soalan tentang contoh peranan kerajaan sementara di negara tertentu mesti juga dihuraikan tentang sama ada terdapat pelanggaran bidang kuasa kerajaan sementara atau tidak. Waduh, sampai begitu sekali. Banyak membaca juga sering ditekankan.

Tapi pesanan paling hebat ialah pada kelas terakhir dua minggu sebelum peperiksaan akhir. Seorang cikgu, yang rupa-rupanya pelajar ekspres semasa zamannya berpesan bahawa seseorang sarjana yang baik ialah yang tidak bersikap bangga diri mahupun merendah-rendahkan hasil karya orang lain. Dia juga meletakkan pelajar seperti aku dalam keadaan kurang tekanan apabila menyebut bahawa harapan dia ialah pelajarnya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Lalu, keutamaan beliau bukanlah pada menyukarkan pemberian gred lebih baik. Pergh, giler ah cikgu yang berfalsafah begitu, kena sangat dengan matapelajaran falsafah yang diajarnya.

Ada juga pesanan; daripada cikgu-cikgi dan rakan-rakan sekelas, supaya mulakan tesis dari awal, jangan tunggu sehingga penggal terakhir. Idea awal yang terdetik dalam medula oblongata aku ialah membuat tesis mengenai isu tanah yang melibatkan orang Melayu di Pulau Pinang dan kesannya kepada sokongan politik. Tapi apabila aku fikir-fikir balik, satu, bab-bab nak jawab goresponden tak ramai yang berminat nak menjawabnya. Tak payah tanya pembanci-pembanci penduduk tahun 2010 baru-baru ini, pengalaman aku sendiri buat survey pun dah cukup. Macam-macam persepsi orang ramai, ada yang memang malas nak jawab, macam cikgu pengantar statistik waktu menengah rendah di sintok dulu, walhal dia pesan di dalam kelas kalau orang datang buat survey sila beri kerjasama. Ada juga yang ingat nak jual produk atau minta sedekah. Macam-macamlah. Dua, di mana pula aku nak cari orang Melayu Pulau Pinang yang terusir dari tanah mereka sendiri. Sebabnya, mereka sudah tentulah bertebaran di mana-mana sahaja di atas muka bumi ini sama ada di Sungai Petani, Seberang Perai atau di mana-mana jua. Jadinya sudah tentu juga mereka pun tidak lagi mengundi di Dun atau Parlimen asal mereka. Oleh yang demikian, bagaimana aku nak kaitkan pertalian antara isu tanah dengan sokongan politik mereka.

Persoalan-persoalan tersebutlah yang menggencatkan hasrat aku. Walaupun tajuk itu sangat penting bagi aku kerana beberapa sebab. Satu, sudah menjadi tekad aku dengan sambung belajar ini aku akan dapat balik kampung lebih kerap. Dengan tajuk sebegitu, maka perancangan sejak Rancangan Malaysia Kesembilan aku itu akan dapat direalisasikan. Dua, setakat ini belum ada lagi orang buat kecuali sipi-sipi iaitu tentang tanah wakaf. Tiga, kalau nanti ada penulisan rencana, akademik mahupun blog yang menyentuh tentang survival orang Melayu di Pulau Pinang, maka tesis aku akan menjadi rujukan muktabar. Empat, buat dalam negara lebih jimat dan lebih dekat dengan ahli keluarga. Cikgu-cikgi pernah menyebut, ada orang yang tesisnya tentang hal-ehwal negara luar, jadi banyaklah kesukaran nak mendapatkan bahan, silap-silap sangkut. Iyalah, tambang kapal terbang pun dah berapa banyak, tak campur kos-kos lain lagi. Bila dikenang-kenang halangan yang aku nyatakan pada para di atas, ditambah pula biaya sendiri bukan dapat tajaan mana-mana pihak, terdapat keperluan untuk aku buat penyesuaian sewajarnya.

Andaikata aku tak buat tesis melibatkan Pulau Pinang, ada kemungkinan aku buat di luar negara. Tapi aku perlulah buat perhitungan bijak. Kalau luar negara yang aku pilih itu di United Kingdom ataupun negara-negara maju lain, alamatnya kenalah aku kerja sebagai tukang cuci atau pelayan kedai di sana sebab nilai matawang Malaysia rendah. Memanglah ada sesetengah pelajar nama sahaja buat tesis tentang negara luar seumpama globalisasi di China kununnya, tapi tak pergi pun ke sana, bahan semua dapat di Malaysia, apa ketoootnya.

Ada dua negara terlintas dalam pemikiran analitikal aku ini. Satu Iran, dua Mesir. Di Iran aku cadang nak buat tentang Mousavi atau aliran kepembangkangan di sana. Di Mesir, aku nak buat tentang Ikhwanul Muslimin dan pengaruh dalam politik Mesir, secara spesifik lagi boleh diperincikan dalam konteks perwakilan di Parlimen.

Kira-kira dari aspek kewangan yang aku buat nampaknya Iran mengatasi Mesir. Setiap RM1 kalau ditukar bersamaan Rial Iran 3,378.18 berbanding Pound Mesir 1.85. Antara sebabnya Iran dikenakan sekatan ekonomi, maka nilai matawangnya jauh lebih teruk dari Indonesia.

Kira-kira dari aspek mazhab, Mesir mengatasi Iran. Mesir Sunni, Iran Syiah. Dua-dua pada aku Islam, cuma lebih mudah nak menyesuaikan diri dengan suasana ibadat orang semazhab bagi orang awam macam aku. Orang yang terer bab-bab agama depa tak kisah la kalau tercampak kat Kutub Utara pun.

Kira-kira dari aspek keselamatan, Iran mengatasi sedikit Mesir. Di Mesir, kalau aku teruskan dengan tesis fasal Ikhwanul Muslimin, ada harapan aku hilang secara tiba-tiba. Tahu-tahu dibicarakan di Mahkamah Tentera, atau langsung ditahan entah di mana-mana tanpa bicara. Adegan yang pada mulanya aku sangkakan jalan cerita Ayat-Ayat Cinta sahaja. Rupa-rupanya dalam buku John L. Esposito bertajuk “Ancaman Islam: Mitos atau Realiti?”, memang disebut perkara yang sama. Di Iran lebih terbuka walaupun kalau membaca buku-buku tokoh pembangkang (yang biasanya liberal dari segi ideologi dan cara hidup seperti Shirin Ebadi, pemenang Anugerah Nobel Keamanan tahun 2003 dan penulis buku “Iran Awakening”) timbul juga kebimbangan dicekup dan diseksa macam di Mesir.

Dari segi rasuah, Mesir baik sedikit dari Iran. Kalau “Indeks Persepsi Rasuah 2010” oleh Transparency International menjadi kayu pengukur, Iran di tangga ke-148 berbanding Mesir di tangga ke-98 daripada keseluruhan 178 buah negara. Dalam buku “The World Is Flat: A Brief History of the Twenty-First Century”, Thomas L. Friedman berkata pegawai pemeriksa di lapangan terbang di Iran pun makan suap juga. Buat malu kampeni betul la Iran ni, merosakkan imej negara teokratik sahaja. Sepatutnya, berilah contoh teladan yang mulia sedikit sebab Iran ini nama penuhnya Republik Islam Iran dan melaksanakan hukuman jenayah mengikut syariah. Tambahan, ada Pemimpin Agung iaitu seorang ulama yang hirarkinya lebih atas daripada Presiden, bertujuan menentukan hala tuju negara selaras dengan semangat Revolusi Islam 1979. Lainlah Mesir yang nama penuhnya Republik Arab Mesir, Presidennya bukan ada semangat Islam pun sebaliknya pro-Israel dan Amerika Syarikat, kontra dengan dasar luar Iran. Peliknya, bab rasuah Iran ditinggalkan oleh Mesir. Menjadikan Iran semakin luka parah dari segi moral ialah mengenangkan Amerika Syarikat yang ditentangnya habis-habisan berada di tangga ke-22 manakala Israel di tangga ke-30 Indeks Persepsi Rasuah 2010.

Apapun, semuanya baru merancang. Ada banyak penggal lagi. Tak mustahil tesis dibuat seputar Pulau Pinang juga.