Sunday, June 20, 2010

Sepucuk Surat Buat Man Tongkat...

Ke hadapan rakan sepembinaan piramidku, Man Tongkat semoga dalam keadaan sihat walafiat juga hendaknya walau dilibas cemeti piap piap piap oleh penyelia tapak tanpa menentu masa.

Perasaan sebegini bukanlah sekali ini sahaja aku rasai. Ketika engkau menghulur sepucuk warkah berdaun papyrus bergaris-garis bercatat senikata “Berita Kepada Kawan” terubahsuai sebelum aku menaiki hafilah ke sebelah timur negeri, lalu ku baca di suatu subuh hening keesokan hari sesudah semalaman sukar melelap mata. Itulah dia perasaannya.

Kata orang, berkawan biar ramai, berkasih biar satu. Pada hematku yang sekejap-sekejap mengunjungi ghurfah engkau di tapak pembinaan piramid dahulu, atau takdan sat menghujani engkau dengan panggilan menerusi hatif, kawan perlu juga sefikrah. Tiada gunanya kawan semasa senang sahaja, apabila taraf jawatan semakin berbeda lantas kita dipinggir dan dilupa. Berkawan bagiku bukan bertujuan melolos diri ala houdini waktu tersepit, berkawan bagiku apabila sampai ke tahap percaya untuk berkongsi cerita-cerita di luar bidang kerja. Kawan yang baik adalah kawan yang seringkali ada masa meski sebentar untuk kita, bukannya melepas tangan mentang-mentang telah sampai takah yang diidam.

“Perjalanan ini terasa sungguh menyedihkan, Sayang engkau tak ada di sampingku kawan, Banyak cerita yang mestinya kau saksikan, ‘Kan sidang kita berlainan...”. Teringat-ingat lagi kata-kata engkau dalam warkah berdaun papyrus itu. Sedih memanglah sedih, di kalangan mereka yang tidak semacam engkau belum aku ketahui hati budinya, dengan bi’ah yang serba asing budayanya. Apakan daya sudah tertulis di lauhun mahfudz bahawa aku ini sedemikian nasibnya.

Aku kini berada di hadapan lautan merah. Di belakangku bala tentera firaun besar mengejar. Semakin mampir mereka. Seharusnya aku nihil ketakutan sementelahan tongkat bersain autograf telah ada di tangan. Tapi sentiasa ada tapi, tongkat bersain autograf semata-mata belum memadai. Bak kata Ally Noor kepada Mastura, “...Baru bacadang orang pulak motong jalan...”. Aku setakat mampu berdoa campur tawassul dengan serba-sedikit amal kebajikan yang pernah aku lakukan, mudah-mudahan bongkah batu penutup pintu gua akan bergerak ke tepi jua. Juga mohon kepada ayahanda dan bonda dan orang soleh bersolat hajat dan mengapungkan doa kepada Yang Maha Kuasa.

Setakat ini aku hanya mampu merenung lautan merah nan terbentang luas. Andaikata tiada terbelah juga lautan ini tatkala gerombolan firaun besar merapati untuk agenda pembantaian, maka ternyata aku bakal tersungkur di pintu kebebasan. Andai itu terjadi, doakanlah aku syahid seumpama para syuhada yang tega mengirim bekal ke ghazzah dengan safinah. Lantas aku bersenandung lagu jamal ubaidillah ali, yang kali terakhir aku lontarkan suatu malam di hadapan para the oranje di kuala kubu bharu. Ku tujukan buat ayahanda, bonda, adinda-adinda, nenda-nenda, isteriku; kalau-kalau aku terkorban sewaktu bertemankan antenolol 50 miligram seharian di nogoghi nan bersombilan. Sekira-kira beginilah bunyinya:

“Usah kau tangiskan perpisahan ini dengan air matamu

Usah kau nantikan bila ku kembali ke pangkuan kasih

Setulus doamu cukuplah bagiku sebagai azimat

Senyuman manismu kasih dan cintamu menjadi temanku

Usah kau pintakan sejuta harapan dariku yang berjuang

Telah ku serahkan jiwa dan ragaku demi ibu pertiwi

Andainya ku gugur sebelum kembali usah kau ratapi

Jangan kau kesalkan pengorbanan ini demi bakti yang suci...”