Sunday, December 21, 2014

Sebuah Catatan Tentang Bumi Kenyalang...

Setelah sekian lama berkhidmat di jabatan ini, aku akhirnya outstation juga dengan menaiki kapal terbang, ke Kuching.  Sebelum ini, aku kebiasaannya di pejabat sahaja.  Nasib baik masih mengingati skills yang perlu untuk sampai ke KLIA.  Kalau tidak, tercangak-cangak juga di mana nak parking kereta, di mana nak beli tiket ERL, apa options untuk check-in.

Kapal terbang patutnya berlepas pukul 7.40 malam, tapi delay punya delay punya delay, lebih kurang 2 jam kemudian baru berlepas.  Appa punya turrr.  Penat oi menunggu, kalau duduk kat boarding area tu boleh juga bersandar kat kusyen.  Ini bersandar di dinding gelas, yang ku alas dengan sebongkah beg.  Hampeh tul.

Aku sampai di Kuching sudah pukul 11 malam lebih.  Menaiki teksi ke Pullman, kena RM26.  Tot tet tot tet dalam pukul 1 pagi lebih baru tidur.  Esok paginya meeting.

Seusai meeting, driver bertanya sama ada nak beli buah tangan seperti kek lapis ka, ikan terubuk ka.  Suatu ketika dulu memang itu yang bersungguh aku nak beli.  Tapi memandangkan tahun ini suram bagiku dengan pelbagai peristiwa yang menyedihkan, aku sudah tidak berminat dengan itu semua.  Apabila aku refleks semula, mungkin zaman-zaman sakan membeli itu ini sebagai buah tangan adalah keterujaan seorang pegawai muda yang baru-baru bertugas di luar Semenanjung.  Ku katakan pada driver, kalau dulu memang akan ku belikan ikan terubuk masin, juga telur ikan terubuk yang merupakan favourite tok ayah.  Memang mahal telur ikan terubuk itu, terbakar juga kocekku dengan gaji yang tidak seberapa.  Tapi mengingatkan tok ayah sudah tiada, tidaklah terlintas di fikiranku akan sesiapa lagi di kalangan sanak saudar yang berminat dengan ikan mahupun telur terubuk.  Lagipun tulangnya banyak, jenuh nak perisi sebelum dimasak.

Sela-sela masa menunggu penerbangan pulang ke Semenanjung, aku teringat kenangan lama berSMS dengan mak sewaktu baru masuk kerja dan bertugas di luar kawasan pula di Sarawak.  Antara bait mesej yang pernah ku kirimkan, "... hati tertinggal di Sarawak".  Begitulah lebih kurang.  Mak membalas, maksudnya jangan la dok tinggal hati kat Sarawak.  Takut aku kahwin dengan orang Sarawak kot, haha.

Aku juga teringat bahawa beberapa tahun lalu, kalau nak masuk ke Sarawak dan Sabah kena ada semacam kad kertas berwarna coklat, fungsinya seakan-akan passport, tapi terpakai untuk orang Semenanjung.  Perlu renew kerana akan luput sah laku selepas tempoh tertentu.  Sekarang sudah tidak ada lagi kad itu, tetapi diganti dengan sekeping kertas seperti resit membeli-belah yang merupakan pas lawatan sosial.  Kertas itu dikeluarkan oleh pegawai imigresen di airport Kuching selepas dikemukakan IC.  Tempoh sah lakunya 90 hari, perlu ditandatangani dan ditunjukkan apabila ingin keluar dari Sarawak.  Aku sedar bahawa hal-ehwal imigresen ini ada kena-mengena dengan perjanjian membentuk Malaysia; Sarawak dan Sabah membentuk Malaysia dengan status mereka sebagai 'negara' bukan 'negeri' seperti negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.  Namun sejak dahulu aku terfikir, seolahnya satu negara, tetapi seakan orang Semenanjung ini orang asing pula, cuma jenis dokumen yang perlu ditunjuk kepada imigresen sahaja yang membezakan orang Semenanjung dengan warganegara asing.  Bila perkara ini akan berubah?  Yang pasti bukan dalam masa terdekat, apatah lagi iklim politik semasa dan beberapa tahun mendatang bukannya kondusif untuk menimbulkan permasalahan ini.

Tuesday, December 16, 2014

Reunion Sidang 2/2003 Yang Tidak Tersangkakan...

Pagi, sejurus selesai satu slot #myGST4U di MAEPS, ku bergegas hendak pulang semula ke ofis.  Kawan sepejabat, yang datang bersama katanya menerusi SMS menunggu berhampiran kaunter masuk Hall D. 

Aku seperti biasa memang berjalan laju.  Di tengah-tengah kelajuan itu, terdengar suara menyapa namaku, 'Redha', beberapa kali.  Disebabkan itu, langkahku terhenti.  Aiseh, kawan satu batch yang sudah lama tidak ketemu rupanya.  Sungguh friendly mereka itu, tega menegurku walaupun aku ini, sedari berkursus kadet hingga kini sungguhlah jarang berbual-bual kasual begitu, apatah lagi dengan kawan-kawan perempuan.

Mereka bertanya gerangan apa aku bergegas sedemikian rupa.  Ada janji dengan kawan, jawabku.  Aku sebenarnya mati kutu, apa modalku hendak berbual kasual dengan mereka, kalau member kamceng lain cerita, ada-ada sahaja idea.

Lalu ku tanya sama ada mereka bertugas di MITI.  Tak, jawab mereka, dua daripadanya di Wisma Putra.  Seorang daripadanya, Wan Wadrina, aku sudah terkesan siap-sedia menghulur tangan untuk bersalaman.  Aku bertenang dahulu, apakala memang benar tangan dihulurnya, tak apalah, ku hulurkan jua tanganku menyambut salamannya.  Seorang lagi, Salina, mesra dipanggil Sally.  Sally ini ada satu kenangan dengannya.  Sewaktu suatu petang yang panas lit-lit selepas makan tengah hari di INTAN Bukit Kiara, para kadet bersiap-siaga hendak menaiki bas ke PULADA untuk Modul Tentera.  Aku pada masa itu, dengan pakaian lengan panjang berwarna putih, seluar slack dan sepatu hitam, terkocoh-kocoh ke bilik air, sebelum segera mengatur langkah menuju ke tempat berhimpun.  Barangkali ketika itu metabolisme ku tinggi, maka ketara berpeluhnya aku, keringat jelas berkerumun di ubun-ubun dan dahi hampir sahaja menuruni muka.  Di situlah Sally berdiri, di sebelahku, menghulur tisu, buatku menyapu keringatku.  Terima kasih Sally, momen itu masih ku kenang.  Seorang lagi, tak terlintas di fikiranku nama dan jabatannya ketika pertemuan itu.

Yang jelas, ketiga-tiga mereka aku sedia maklum memang terer speaking.  Kalau di INTENGAH aku yakin memang kelas Alpha.

Tapi satu pertanyaan mereka yang tidak dijangka-jangka, "Eh, Redha, apasal you still nampak muda macam dulu2?".  Lebih kurang begitulah matannya seingat aku yang bukan dhobit tam.  Adoi, selalulah begitu, sesuatu yang tidak tersangkakan mendatangi kita secara berturut-turutan; terserempak dengan kawan seangkatan dan diajukan pertanyaan sedemikian.  Aku tergelak-gelak sambil menjawab, "Takdelah, pipi ni pun dan kembang dah", kataku sambil menjemput pipi kananku.  Memandangkan mereka kategori extrovert, sudah pasti ada sahaja response, seperti balas Sally, "Kami ni lagi la".  Kurang lebih begitulah.

Selepas masing-masing berpamitan, aku melangkah perlahan, segan pula kalau berjalan laju nanti terjeromoh lagi dengan mereka.  Sedang berjalan keluar berdekatan Hall C, berselisih lebih kurang sedepa, ternampak seorang wanita.  Eh, macam kenal, tapi belum sampai tahap yakin, ala syak dan zan gitu seperti ajaran Ustaz Toha di tivi Al-Hijrah.  Rupanya dia pun terperasan juga.  Memberanikan diri, aku menegurnya.  Rupanya si Rosliana, sekarang di Bahagian Istiadat.  Berkongsi cerita dan kemajuan kerjaya.  Katanya hendak sambung belajar, sepertimana Syahman yang seofis dengannya.  Ku ceritakan bahawa Raiz sekarang di Kementerian Wilayah.  Dia bertanya tentang Rizal, jawabku dahulu di KPKT, sekarang kurang pasti di mana, sekitar Selangor aku rasa.  Bercerita juga tentang kemajuan kerjaya, katanya ada kawan2 dah dapat e-mail daripada JPA.  Lalu ku pesan agar dia bertanyakan kepada kawan2 seangkatan di JPA seperti Khalil Zaiyani, mana tahu namanya tercicir lagi sepertimana zaman PTK dahulu.  Segan pula katanya.  Sefahamku dari katanya, dia pun kurang mengikuti dan join perbincangan dengan kawan2 seangkatan, aku menebak sebagai menerusi media sosial.  Aiseh, ingatkan aku sahaja.  Sebelum beradieu, ku minta nombor telefonnya, mana tahu sekiranya ingin berkomunikasi pada masa depan. 

Setidak-tidaknya, persis ulasan Abu Bakar Atan pada perlawanan bola sepak Harimau Malaya, itulah secebis reunion Sidang 2/2003 yang tidak tersangkakan.

Sunday, December 14, 2014

Law of Attraction: Azam Baru Menjelang Tahun Baru

Aku mengikuti perkongsian cara Mazelan Abas mengecapi kejayaan sudah agak lama, beberapa tahun kebelakangan ini.  Cuma semalam, semasa aku menekuni YouTube, aku terkesima dengan satu tips yang diberinya, "Law of Attraction".  Bagaimana beliau memberi contoh ucapan terima kasih seorang anak kecil kepada bapanya setiap hari akhirnya berjaya menatijahkan pembelian mainan yang dihajati anak kecil itu, sungguhpun si bapa pada awalnya tidak begitu kisah.

Mazelan Abas juga memperincikan lagi bagaimana cara untuk mengecapi kejayaan secara "Law of Attraction".  Disuruhnya letak satu sasaran berangka yang hendak dicapai dalam tempoh masa tertentu, dan ucapkan kesyukuran kepada Tuhan setiap hari.  Insya-Allah, lama kelamaan Tuhan perkenankan.  Tambah Mazelan Abas lagi, kalaupun permintaan itu belum dikabulkan, itu tandanya Tuhan menyayangi kita, kerana boleh jadi kalau dikabulkan itu memudaratkan.

Mazelan Abas juga berpesan lagi dalam videonya, tulis dan tampal matlamat kita.

Justeru, azamku mulai saat ini adalah seperti berikut:

1.     Berhijrah ke persekitaran kerja yang baharu selewat-lewatnya pada 31 Disember 2014, yang bukan berbentuk khidmat pengurusan, yang lebih fokus, jelas dan ada garis sempadan masa untuk diselesaikan once and for all, yang bukannya semacam tidak berkesudahan dan sentul, sesuai dengan potensi, kecenderungan dan minatku, dengan bos dan rakan sekerja yang sangat berkebajikan dan memahami, persekitaran yang menimbulkan keseronokan bekerja, berkreativiti dan bebas budaya tidak produktif, supaya aku dapat meluangkan lebih banyak masa dengan ibu bapa dan adik-beradik di kampung dan pada masa yang sama tidak mengabaikan isteri dan anak (-anak), supaya dapat mencapai hasrat keseimbangan kerjaya dan kehidupan berkeluarga (work-life balance).

2.     Membekalkan air Kangen yang dihasilkan dari mesin di rumahku sendiri kepada sekurang-kurangnya 1 orang pada setiap minggu dengan sasaran minimum 48 orang sebelum 31 Disember 2015, khususnya sanak-saudara dan umumnya orang lain yang memerlukan, mudah-mudahan kesihatan mereka kembali seperti sedia kala.  Mudah-mudahan Tuhan mengiranya sebagai amal jaryah, jika ada pulangan dari sudut kewangan ku anggap itu sebagai bonus dan ku ucapkan alhamdulillah.

3.     Meningkatkan simpanan kecemasan kepada RM72 ribu iaitu anggaran keperluan untuk tempoh 1 tahun sebelum 31 Disember 2015.

4.     Membantu adik-adikku mendapatkan konsultansi Cikgu Eddy sebelum 31 Mac 2015 supaya mereka dapat mengetahui potensi diri dan mencari jalan bagaimana mengatasi permasalahan yang membelenggu kemajuan diri.

5.     Membayar zakat pendapatan secara konsisten sebanyak RM500 pada setiap bulan, manakala kaffarah sebanyak RM200 pada setiap bulan.

6.     Bersedekah pada setiap hari sekurang-kurangnya RM1 kepada pihak yang diyakini benar-benar memerlukan dan bukan mencari keuntungan.

7.     Mengehadkan belanja makan sendiri kepada tidak lebih RM10 sehari.

8.     Melazimi bacaan ayat Al-Quran sekurang-kurangnya 2 halaman setiap hari.

9.     Melazimi bacaan Kitab Hadis Sahih Bukhari sekurang-kurangnya 2 halaman setiap hari.

10.    Menghadiri sekurang-kurangnya 1 kursus berbentuk self-development pada setiap bulan.

11.     Meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris tahap tinggi sama ada berbentuk tulisan, komunikasi dan pengucapan awam mahupun pemahaman selewat-lewatnya sebelum 30 Jun 2015. 

12.     Mengenalpasti item yang diberi potongan cukai, memastikan peluang itu dimaksimumkan hadnya, dan menyimpan resit-resit tersebut untuk pembayaran cukai tahun 2015 sebelum 15 Januari 2016.

13.     Mengumpulkan duit secukupnya sebelum 31 Disember 2015 untuk membolehkan ibu bapa, adik-beradik dan aku sekeluarga menunaikan umrah.

14.     Berwakaf pada kadar sekurang-kurangnya RM100 sebulan kepada badan atau pihak yang dipercayai benar-benar dipercayai dan tidak bermotifkan keuntungan.  Pahala wakaf diniatkan atas nama, tok, tok ayah, nek, nek ngah, nek lang, ibu ayah kepada ayahku, pak long, pak ngah mufti, muslimin muslimat seluruh dunia.

15.    Berpindah rumah ke kediaman yang lebih cerah, lebih luas, lebih selesa, kawasan kediaman yang lebih menenangkan jiwa dan lebih seronok suasana berjirannya selewat-lewatnya pada 31 Disember 2015.  Rumah sedia ada dijadikan home stay dan dijual setelah harganya mencecah RM2 juta selewat-lewatnya 31 Disember 2019.

16.     Mempunyai passive income sekurang-kurangnya RM5 ribu sebulan selewat-lewatnya pada 31 Disember 2015.

17.     Mempunyai keupayaan speed reading dan pantas memahami penerangan ringkas yang disampaikan dan kuat ingatan untuk mengingati langkah demi langkah atau kronologi yang disampaikan selewat-lewatnya sebelum 31 Mac 2015.

18.     Berkeyakinan sangat tinggi dan berperasaan sangat tenang untuk membuat sesuatu keputusan, mempengerusikan mesyuarat, membuat pembentangan, penerangan, pengucapan awam, berucap di hadapan khalayak ramai dan berkomunikasi dengan bos, pegawai atasan dan pengurusan tertinggi termasuk Menteri selewat-lewatnya sebelum 31 Januari 2015.

Amin, amin, amin, alhamdulillah, syukur atas pemberian-Mu ya Allah.  :-)    

Thursday, December 11, 2014

Senjata Hikmat Melaka Lama, Senjata Hikmat Harimau Malaya...

Kisah ini diperihalkan oleh Cikgu Wan Chik semasa tuisyen beramai-ramai dengan kawan2 SKSB circa hujung 1980-an dan awal 1990-an dulu.  Semasa zaman kegemilangan Melaka, sering juga ia berseteru dengan Siam.  Diberitakan suatu ketika Siam hendak menyerang Melaka, diketuai panglimannya Cau Pandan.  Tampil seorang tok arab menghadap sultan menawarkan dirinya untuk membantu Melaka mengalahkan Siam.  Sultan memperkenankan, lalu dihalakan busur hikmatnya ke Siam, diniatkan mengena Cau Pandan.  Di Siam, dengan izin Allah, terasa sakit dada Caun Pandan, lalu muntah darah dan seterusnya tamat riwayatnya.  Maka dipantunkan orang:

Cau Pandan anak Bubunya,
Hendak menyerang ke Melaka;
Ada cincin berisi bunga,
Bunga berladung si air mata.

Barangkali Harimau Malaya juga punya 'senjata hikmat' seperti Melaka untuk menumpaskan Gajah Perang. 

Secara berdepan. 

Di kandang lawan. 

Wednesday, December 10, 2014

Antara Cristoph Mueller dan Carlos Ghosn, Antara MAS Baru dan Nissan Dulu...

Di sebalik huha huha tentang pelantikan Cristoph Mueller sebagai CEO baru MAS Baru, aku teringat sebuah buku bertajuk Shift.  Temanya sama, iaitu orang luar, orang putih senang cerita, yang dilantik menjadi ketua syarikat gergasi.  Dalam konteks Shift, Carlos Ghosn, seorang Perancis dilantik mengetuai Nissan.

Sebagaimana orang Malaysia yang penuh semangat nasionalisme mengecam pelantikan Mueller, begitulah juga Ghosn tidak disenangi oleh rakyat Jepun.  Apatah lagi Nissan bukan calang-calang syarikat, yang dibangunkan jauh lebih awal dan lama berbanding MAS.  Jika orang Malaysia melihat MAS sebagai lambang negara, sudah pastilah demikian juga halnya dengan Nissan sebagai pengeluar kenderaan terkemuka Jepun.

Aku tidak pasti sejauh mana pembawaan Mueller.  Tapi kalau Ghosn, dia datang dan bertindak penuh lagak dan tanpa belas kasihan.  Yang dia tahu bagaimana memulihkan Nissan yang kerugian dan ketinggalan berbanding pesaingnya senegara iaitu Toyota dan Honda.  Ghosn tidak peduli dengan tradisi atau amalan turun-temurun.  Kalau menutup kilang dan memberhentikan pekerja dirasakan mampu memulihkan Nissan, dia akan lakukan.  Ghosn bukan tidak pernah berdepan kecaman.  Pernah, bahkan secara berdepan dalam mesyuarat.  Tapi sebagai orang yang sangat berpengalaman dalam sepak terajang dunia korporat (sebelum itu di Renault), Ghosn menghadapinya dengan penuh bergaya.  Salah satu aspek yang dikawal oleh Ghosn ialah komunikasi.  Ghosn bertindak sebagai 'one-man show' dalam menyampai atau menghebah perkembangan terkini Nissan di media massa.  Justifikasinya mudah sahaja, semakin sedikit jurucakap syarikat, semakin jelas mesejnya.  Juga diceritakan bagaimana Ghosn mengenalpasti beberapa kelemahan ketara pada Nissan dalam pelan pemulihannya.  Antaranya, yang mungkin kita sendiri sukar percaya berlaku pada syarikat Jepun sehebat Nissan, adalah ketiadaan 'sense of urgency'.  Pelik, bukan?  Sedangkan kita sedia maklum orang Jepun sudah dibudayakan dengan ketepatan masa.  Namun, dalam kes Nissan, Ghosn mengesan kerja yang patut siap dalam tempoh tiga minggu mengambil tempoh tiga bulan, kerja patut siap sebulan memakan masa setahun.  Aneh, bukan?  Selain itu, warga Nissan juga mengalami kenihilan visualisasi apa yang akan Nissan jadi dalam tempoh beberapa tahun akan datang.  Dalam tempoh beberapa tahun penuh strategi dan populariti hatta di kalangan rakyat Jepun sehingga dicanang calon warga asing favourite untuk menjadi Perdana Menteri, Nissan kembali mencatatkan keuntungan dan menjadi pesaing sengit semula kepada Toyota dan Honda.  Dek kejayaan hebat itu, pada akhirnya, seperti diceritakan dalam bab penghujung Shift, ketika para pekerja menonton di auditorium syarikat akan siaran langsung perlawanan terakhir Jepun yang melayakkan negara itu bermain di pusingan akhir Piala Dunia, dan tinggal beberapa minit lagi perlawanan tamat, Ghosn pun masuk.  Kehadirannya disambut tepukan gemuruh para pekerja Nissan.  Satu momen yang menakjubkan apabila kecemerlangan automatif digandingkan dengan kejayaan sukan bola sepak yang juga merupakan passion rakyat Jepun.

Apakah pada penghujung pelan pemulihan MAS, Mueller bakal beroleh 'tepukan gemuruh' yang sama?  Masa akan menghakiminya.  Sesuatu yang pasti, seandainya Mueller berhasil, skuad Harimau Malaya pada masa itu belum lagi layak ke pusingan akhir Piala Dunia. 

Tuesday, December 09, 2014

Kipas Nandong Yang Kekal Misteri...

Semasa aku kanak-kanak, Allahyarham tok ayah selalu bercerita tentang silat sendeng.  Waktu itu, di kalangan kanak-kanak yang sama mengaji tapi tinggal di Kampung Masjid Baru, silat yang masyhur ialah silat gayung.  Aku difahamkan memang ada satu gelanggang silat tempat mereka berlatih malam-malam.  Mereka yang berlatih silat ini kalau tengok muka sorang-sorang memang pantang cuit pantang cabar sikit bila-bila masa boleh lawan bergaduh.  Ada juga kawan-kawan sebayaku (rasa-rasanya mereka pun berlatih silat gayung di gelanggang yang sama) bercerita perihal betis kering orang yang bertomoi.  Kata mereka betis kering orang yang berkenaan sudah tidak terasa sakit kerana selalu berlatih menendang batang pokok pisang.  Di belakang rumahku dulu ada pohonan pisang, aku pun cuba-cubalah menendang ala tomoi ke batang pokok pisang itu menggunakan betis kering.  Walaupun tendanganku tidak kuat, tetapi terasa sakit juga.  Memang tak sanggup aku membiarkan betis keringku kehilangan rasa sakit demi menjadi handalan tomoi.

Berbalik kepada cerita Allahyarham tok ayah, apabila selalu diceritakan perihal silat sendeng, aku berasakan silat sendeng lebih baik berbanding silat gayung.  Lagipun, aku selalu sukakan sesuatu yang berbeza daripada perkara-perkara yang menjadi kebiasaan.  Tok ayah adalah mengajar aku, adik-adik dan sepupu asas tumbukan dan tepisan.  Tetapi setakat itu sahajalah.  Pernah juga malam-malam kami diajarnya perkara-perkara yang asas, banyaknya di dalam rumah.  Aku sudah lupa sama ada pernah dipasang pelita di luar rumah malam-malam untuk kami belajar silat.  Kalau tepat ingatanku adalah sekali dibuat di belakang rumah.  Apa pun aku respect kepada Allahyarham tok ayah, kerana siangnya penat bekerja membawa kereta sewa dengan upah yang tidak seberapa, manakala malamnya masih sukacita dan bertenaga mengajar kami asas-asas silat.

Suatu ketika, Allahyarham tok ayah bercerita tentang kipas nandong dalam silat sendeng, tidak disebutnya sebagai 'jurus',  'buah' atau apa sebagaimana istilah silat-silat lain.  Yang aku ingat, kata Allahyarham tok ayah, kipas nandong punya penangan sangat dahsyat, penangan jarak jauh.  Macam mana caranya, tiada pula diajarkan.  Entah betul atau tidak ingatanku tentang waktu itu, kalau tidak silap aku terlintas juga bagaimana agaknya kalau kipas nandong dikenakan kepada Israel.  Aku ada teringat untuk bertanya, tetapi saat itu Allahyarham tok ayah masih bersedih kerana baru beberapa hari Allahyarhamha tok kembali ke pangkuan Ilahi.  Akhirnya Allahyarham tok ayah pun mengiringi kepergian Allahyarhamha tok selang sebelas hari kemudian pada bulan November tahun ini.  Kipas nandong kekal sebagai misteri.  Al-Fatihah buat Allahyarham tok ayah, Allahyarhamha tok dan sekalian orang yang pernah mengasihani diriku sedari kecil lagi.

Sunday, December 07, 2014

Kenangan Persia Bertamu Lagi...

Sudah agak lama tidak ada perkara berkaitan kesenian Iran yang menarik perhatianku, sejak Pegah Ahangarani, watak utama dalam filem The Girl In Sneakers muncul di kaca tivi 1 suatu waktu dahulu.

Semalam, perasaanku melekat pada berita seorang artis Parsi yang telah pergi menghadap Ilahi, namun pemergiannya ditangisi segenap lapisan masyarakat, baik aliran konservatif juga liberal di Iran.  Lagu hit nya, "One Way Road" memang menyentuh kalbu lantas ingin didengar lagi dan lagi.  Melodi, lirik dan klip videonya berbaur sedih campur jiwa bebas selamba.  Kalau satu hari aku menulis cerpen, atau novel atau drama tivi, boleh jadi lagu itu menjadi latarnya.  Orang-orang seni kebiasaannya bertemu penciptanya pada usia yang muda.  Al-Fatihah, Morteza Pashaei.


Pesilat Siasah...

Aku mengikuti tulisan Joceline Tan sudah lama.  Tulisannya sentiasa dinanti-nanti berbanding Wong Chun Wai, walaupun kedua-duanya sama negeri denganku.  Satu kerana aku dapat belajar beberapa perkataan baru, yang boleh dijadikan modal dalam penulisan mahupun pertuturan.  Dua kerana tulisannya berdasarkan maklumat terkumpul yang cuma menunggu masa untuk menjadi realiti.  Aku syak dia ada banyak sumber mahupun informer.  Tiga kerana aku belajar mengenal personaliti siasah tertentu yang tak banyak dikisahkan dalam media melainkan hanya dikenal melalui orang-orang di sekitaran koridor kuasa sahaja.  Empat kerana tulisan Joceline Tan menyediakan mindaku dengan bakal pemimpin negara dan situasi politik masa depan termasuk di negeri kelahiranku, justeru aku boleh membuat persiapan apa yang patut.

Hari ini, ketika menunggu kereta dibasuh, sebelum sebelah malamnya perlawanan separuh akhir Piala AFF Suzuki Malaysia lawan Vietnam, aku membaca catatan Joceline Tan lagi.  Di bawah adalah petikan yang menggambarkan hakikat saasatul ibad (meminjam frasa tajuk novel Faisal Tehrani) di Malaysia:

"... thinkers and intellectuals rarely make good politicians. It is the loudmouths and the street fighters who usually do well in politics."

Friday, December 05, 2014

3 Video Pendek Yang Menyentuh Hati...

Hari ini ada perhimpunan bulanan di Kementerian.  Aku mewakili ketua ofis yang perlu memantau kerja2 persiapan terakhir majlis di KL yang bakal juga dirasmikan Menteri.

Tema perhimpunan bulanan ialah "Menghargai dan Dihargai".  Ditayangkan 3 klip video secara berturutan.  Aku yang semenjak dua ini berhiba hati menahan seluruh perasaan sambil menggigit sebelah dalam bibir mengelak tumpahan air mata.

Habis tayangan, Menteri dijemput berucap.  Beliau memulakan dengan salam dan alu-aluan kepada beberapa dif kehormat termasuk Timbalan Menteri.  Tetapi kemudian beliau tunduk sambil menyelak-nyelak helaian teks ucapan.  Aku terlintas sesuatu yang aneh.  Kerana ganjil bagi seorang Menteri terbelek-belek teks ucapan seolah tercari-cari sesuatu yang tidak berjumpa-jumpa.  Dari raut wajahnya aku meneka bahawa beliau sebenarnya menahan sebak.  Telahanku semakin kuat kebenarannya kerana sejurus tak lama beliau tunduk membuka penutup botol air mineral di meja sisi, menuangkan sendiri ke dalam gelas lalu meneguknya.  Beliau mencuba lagi untuk berucap, tetapi suaranya kelihatan tersekat.  Meminta maaf, beliau berlalu ke tirai belakang.

Suasana dewan yang sunyi sepi semakim binger dek keadaan yang tidak disangka-sangka itu.  Encik Jamal yang mengetuai Sektor Admin Kementerian bangun dari sofa sebelah KSU lantas membawa sekotak tisu.  Encik Jamal menaiki tangga pentas lantas ke sebalik tirai.  Tak lama kemudian Menteri muncul dari sebalik tirai itu diiringi Encik Jamal dan tepukan semangat hadirin.  Encik Jamal meletak kotak tisu di atas meja sisi rostrum.

Kata Menteri, "Saya ini keras orangnya, tetapi ada juga keadaan yang menyentuh hati saya", demikianlah lebih kurang berdasarkan daya ingatanku yang tidak dhabit tam.  Ku peringatkan kepada CC dan Ketua Cawangan Adminku, itulah pentingnya disediakan sekotak tisu dalam majlis-majlis sedemikian, bukan sahaja menyapu mulut apakala menjamah makanan bahkan menyeka air mata.

Kepada kalian yang tertanya-tanya apakah dia 3 video yang menyentuh perasaan itu, silakanlah menontonnya di bawah ini:




Tuesday, December 02, 2014

Lagi-lagi Pengalaman Sentul Di Hospital Kerajaan...

Hampir setahun setelah musibah yang rupanya hampir saja mengakhiri usiaku (baru ku tahu apabila dimaklumkan oleh teman serumahku bahawa salah seorang doktor di Prince Court berkata begitu).  Selepas jeda yang sangat seketika kehilangan orang-orang yang sangat dikasihi dan mereka pula sangat-sangat mengasihi diriku ini sejak aku kecil lagi (semoga Allah berbelas ihsan kepada mereka di alam barzakh sana, dan menjadikan kubur mereka sebagai satu daripada taman-taman syurga).  Aku ke Hospital Serdang untuk mendapatkan endorsement terhadap MC yang hampir lima bulan tempohnya.

Seminggu sebelumnya aku ke sana.  Punyalah jenuh mencari klinik pakar neuro setelah bertanya di kaunter yang dijagai oleh pengawal keselamatan wanita berbangsa India.  Jauh juga berjalan, dah macam KLIA2 jaraknya.  Setelah tersilap arah, terlepas laluan, bertanya di kaunter bawah, akhirnya sampai juga aku ke sana; Pintu 5.  Aku dah jumpa sebelumnya, tetapi disebabkan tidak tertulis klinik neurologi (paling hampir di pintu lain tertulis nefrologi dan urologi, nak buat hapa), maka aku terus tercari-cari.

Bertanya di kaunter, disuruhnya aku ke Bilik Temujanji.  Ada dua tiga orang nurse.  Dimaklumkan hasratku.  Kata mereka di sini tak buat endorsement MC, kena ke pusat kesihatan.  Aku menjawab bahawa untuk sakitku ini kena pakar neuro.  Tak semua hospital ada, aku menambah.  Aku menunjukkan surat sokongan daripada pakar neuro Prince Court yang merawatku.  Dalam surat itu si doktor mengalamatkan kepada rakannya yang juga pakar neuro di Hospital Serdang berbangsa Cina.  Aku lantas membacakan nama doktor Cina itu.  Kata mereka doktor yang ingin ditemui tiada hari itu. 

Seraya mereka membaca nama doktor yang menandatangani surat rujukanku itu, barulah berubah sedikit layanan mereka, kerana doktor itu, Doktor Hamidon memang sangat mereka kenali.  Lalu aku disuruh menunggu di luar.   Aku hanya menurut, apa sangat yang boleh ku buat, walaupun tidak dimaklumkan apakah yang mereka hendak perbuat.  Kemudian datang salah seorang nurse itu meminta IC dan dokumen-dokumen yang ku bawa.  Aku memberinya.

Kemudian datang pula seorang doktor lelaki berbangsa Cina.  Ku sangkakan dialah pakar neuro yang dimaksudkan, walau aku sedikit musykil kerana dia kelihatan begitu muda.  Ku terangkan padanya yang aku inginkan endorsement untuk MC.  Barulah dia mengerti, sangkanya sebelum itu aku ada temujanji dengan pakar neuro di situ.  Ku terangkan bahawa dalam kerajaan ini ada limit untuk bilangan hari di wad, selebihnya perlu endorsement doktor kerajaan.  Tiada kaitan dengan keperluan temujanji dengan pakar neuro (melainkan untuk endorsement MC ku itu doktor pakar berkenaan perlu memeriksaku terlebih dahulu).  Dia juga meminta IC ku, dan semua dokumen-dokumen yang ku bawa termasuk MC.  Sebelum itu dia menyebut berulang kali tarikh mula dan tamat tempoh MC ku, seolah-olah menghafal, barangkali untuk dicatatkan di mana-mana, aku mengagak.  Doktor itu memberitahuku supaya datang semula Isnin depan jam 11.00 pagi, lewat sikit pun tak mengapa.  Dia boleh dicari di bilik 65 dan satu lagi bilik berdekatan tempat dia bertugas hari itu, bernombor 60 lebih yang aku sudah lupa angkanya.  Dia menambah bahawa surat rujukan itu daripada seorang pakar, justeru endorsement itu juga perlu dilakukan oleh seorang pakar juga.  Terlintas juga dalam hatiku bahawa tiada pula diberi apa-apa nota atau kertas mencatatkan tarikh dan masa temujanji.  Aku menjangkakan masalah, tambah-tambah jika nanti set nurse yang lain pula bertugas.  Terpaksa aku ceritakan dari mula hasratku.

Tugasan tidak juga selesai.  Aku berkata pada CC yang menemaniku bahawa bayangkan kalau orang kampung yang datang dari jauh, tercangak-cangak mencari di manakah lokasi sebenar klinik pakar berkenaan, kemudian terpaksa datang lagi pada hari lain, alangkah susahnya.

Hari Isnin itu aku datang kembali bersama CC.  Kali ini aku sudah tahu short-cut laluannya.  Jika dahulu aku datang dengan baju batik berjaket casual kelabu (maklumlah hari Khamis), kali ini aku memakai berbaju long sleeves bertali leher.  Sengaja aku pakai begitu, kadang-kadang pakaian mempengaruhi layanan.  Aku tanyakan di kaunter Pintu 5 itu.  Sudah, masalah timbul, seperti yang ku jangka pada minggu sebelumnya, mereka tanyakan kad temujanji.  Ku sebut bahawa doktor bernama Gim (tempoh hari dia tak pakai name tag pun apatah lagi mengenalkan dirinya, nama itu aku dapat dengan melihat tanda nama pada pintu bilik bertugasnya) memberitahu tarikhnya hari ini jam 11 pagi sahaja, tiada pula diberi kad atau apa.  Aku disuruh mereka untuk turun mengambil kad temujanji di bawah.  Aduhai, betapa leceh dan birokratik urusan endorsement MC ini, seperti yang telah ku beritahu kepada Bahagian PSM Kementerian beberapa minggu sebelumnya.  Takdir Tuhan, seorang nurse India di kaunter itu terdorong untuk membantuku.  Aku mengesahkan kepadanya bahawa aku bukan sangat nak jumpa doktor pakar neuro itu, aku nak endorsement MC.  Kebetulan ada seorang doktor Cina yang agak berusia, mungkin 40-an, datang ke kaunter itu.  Nurse India yang baik hati itu ingin menarik perhatian si doktor akan urusanku, tapi pada awalnya ditepis begitu sahaja.  Aduhai, keringnya hati.  Apapun si nurse India berjaya juga mendapatkan perhatiannya.  Si doktor pun bersetuju untuk endorse MC ku di situ juga.  Baru sign dua tiga keping, dia sudah bangun untuk beredar.  Ku katakan padanya ada banyak keping lagi sebab aku warded 4 bulan (terlupa aku masa itu sebenarnya hampir 5 bulan).  Response nya sungguh menjengkelkan dan menyakitkan hati, "Tapi masih hidup lagi la?".  Aku menahan perasaanku, menjawab alhamdulillah.  Sesudah itu ku confirmkan dengan si nurse India sama ada doktor itu pakar neuro, dan diiakan, dia rupanya nombor 1 di situ, doktor yang ingin ku jumpa tetapi tengah entertain VIP nombor 2.

Itulah secebis kisahku di hospital kerajaan.  Sudah berapa lama aku tak pergi sejak terdahulu berurusan di Hospital Selayang.  Kesimpulannya tetap sama, pengalaman yang tak best.  Sebab itu bagi yang berkemampuan sedikit, eloklah dapatkan rawatan di hospital swasta, ambillah perlindungan takaful yang membolehkan kita ada lebih pilihan menginap di wad yang paling selesa.  Cuma dalam kes aku ini, mahu tidak mahu endorsement MC terpaksa juga diperolehi daripada doktor kerajaan.  Aku musykil juga, macam manalah tergamak doktor pakar di situ melayan pesakit dengan pe'el dan bahasa sedemikian rupa.  Sedangkan Doktor Hamidon yang merawatku dan ku temui untuk beberapa kali sesi temujanji orangnya bercakap penuh hemah dan sopan, walhal dia pun pakar neuro juga.