Tuesday, August 30, 2005

Seorang Tok Ayah Di Kampung Gurun...


Tempoh dua dekad ini, meski masih kekal, namun banyak telah berubah. Katil, bilik, almari, aku, tok ayah. Posted by Picasa

Wira Tak Didendang (Yang Sebenarnya)...

Pernah dengar nama Hashim bin Saad? Ataupun Khatijah binti Sidek? Yusof bin Rono? Tak pernah dengar? Sayang seribu kali sayang tapi itulah hakikatnya kerana merekalah sebenarnya di antara sekian ramai wira tak didendang.

Kita mulakan dengan Yusof Rono. Pastinya setiap tahun kita disajikan, terutamanya menjelang Hari Kebangsaan seperti Ahad malam nan lalu (juga kerana strategi tertentu pada pilihan raya 1999) dengan filem Bukit Kepong. Pada 23 Februari 1950, dalam peristiwa serangan segerombolan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Muar, beliau antara empat orang yang terselamat. Tapi apa penghargaan kita kepadanya? Pingat pun macam nak bagi tak bagi. Janji kenaikan pangkat oleh seorang bekas menteri kanan entah ke mana. Minta tanah lagilah tak dapat. Tahu bagaimana akhir hayatnya? Pada usia 83 tahun beliau meninggal dunia setelah tiga minggu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, menderita barah usus. Sedih bukan? Namun cerita kesedihan ini belum berakhir lagi.

Seterusnya Khatijah Sidek. Namanya seringkali disebut-sebut apabila PAS ingin membuktikan bahawa mereka tidak mendiskriminasikan wanita. Kedengaran seolah benar, tapi hakikatnya orang dan organisasi politik mana pun cenderung menguar-uarkan yang sedikit walhal banyak rahsia disembunyikan. Baru-baru ini aku menekuni Memoir Khatijah Sidek: Puteri Kesateria Bangsa. Rupanya sudah memang resmi pejuang, meski terbilang selalu terbuang sedangkan beliau berkorban jiwa raga untuk melihat sebuah negara merdeka. Dalam memoir terjemahan UKM itu, diceritakan bagaimana beliau dengan segala kesusahan hidup hampir sahaja tidak dapat menyaksikan turunnya Union Jack dan berkibar megahnya bendera Malaya. Di tengah-tengah lautan manusia, beliau yang bertungkus-lumus menyebarkan semangat Merdeka di seluruh pelusuk negara termasuk di ceruk-ceruk kampung paling terpencil dan mengalas perut seadanya dengan makanan harian penduduk desa yang sangat sederhana, dipinggirkan begitu sahaja. Beliau yang bersusah-payah sekian lama, orang lain mendapat nama. "Itu sudah kehendak Allah", katanya penuh tabah. Seumur hidupnya memang derita, diburu Jepun di Indonesia, melahirkan anak dalam tahanan di Singapura, mengambil upah menjahit dan menjual insurans di Malaysia. Mahu tahu apa untung nasibnya? Bekas Ahli Parlimen Dungun itu meninggal dunia pada usia 64 tahun, setelah sekian lama berkerusi roda dan menderita sakit buah pinggang dan paru-paru pada 1982.

Kalau Yusof Rono dan Khatijah Sidek sayup daripada kebiasaan kalian, apatah lagi Hashim Saad. Tapi jasanya tidak kurang daripada tokoh berbintang di dada dan bersemayam di singgahsana. Berkelana menjadi kadet polis di Singapura, meredah rimba Pahang memburu komunis supaya negara kekal sentosa (tanpa baju kalis peluru tapi berpantang maut sebelum ajal walaupun beberapa kali ditembak komunis durjana), merantau sana-sini bersama keluarga sehingga ke ibu kota demi tugas. Tapi tahu apa terjadi kemudiannya? Terpaksa bertungkus-lumus mencari rezeki untuk anak-anak, menjadi mekanik (orang kita berhutang, tapi liat membayar), pemandu lori (pernah terbalik), membuka kedai runcit (itupun ditipu orang sebangsa, tak malu punya orang) dan pemandu kereta sewa (sudahlah sikit punya susah memohon pinjaman MARA, ditipu lagi orang kita, ptuih, tak guna punya orang, kereta itu dulunya dirayu jemuan tak guna itu untuk dipajak semasa beliau hendak ke Makkah tapi kemudiannya dijual dan malaun itu ghaib entah ke mana). Apa, tak cukup sedih? Baik, tambahan kesedihan itu adalah beliau kini sedang uzur di sebuah rumah serba sederhana di Kampung Gurun. Keturunan komunis yang dulu diburunya kini sesuka hati memperkotak-katikkan hidup orang tak bertanah milik sendiri sepertinya dan keturunannya.

Entah di mana silapnya orang-orang kita, kita kerapkali terlupa akan mereka yang benar-benar berjasa memperjuangkan harga diri sekalian warga demi sebuah kemerdekaan selaras dengan mutiara hikmah ulama, "Hubbul watan minal iman" (Cintakan tanah air itu sebahagian daripada iman). Tapi, itulah kita, terkenal bangsa yang berbudi bahasa tapi kita cenderung berbuat tahana pada orang yang sepatutnya dinobat sebagai wira bangsa. Kita anugerahkan tanah dan rumah lengkap dengan segala kemudahan asas kepada bekas komunis sedangkan kesatria yang mempertahan negara kita langsung tidak diendahkan. Kita anugerahkan pingat kepada mereka yang tidak seberapa sumbangannya tapi pandai bermuka-muka sedangkan yang yang mempertaruhkan nyawa, menumpahkan darah dan berjejeran air mata kita kesampingkan. Kita tidak berkira dengan limpahan wang ringgit untuk "bersaudara dengan syaitan" tapi kita terlalu mencongak-congak RM1,000 secara one-off yang kita berikan untuk political mileage semasa. Memang, mereka tidak pernah meminta kita membalas jasa mereka hatta kalungan bunga di Tugu Negara. Tapi apa salahnya berterima kasih dengan cara sewajarnya. Orang berbudi kita berbahasa. Orang politik terutamanya seringkali meminta kasih mereka diterima tapi terlupa (atau buat-buat lupa) perkara-perkara sebegini sesudah pilihanraya. Dalih mereka, seperti kata seorang ahli siasah ternama, "rakyat ini cuma membuang SATU undi, tapi BANYAK yang mereka minta". Barangkali ia yang kini sudah lanjut usia terlupa, kerana undi yang SATU itulah, apabila dijumlahkan ia memegang kuasa untuk sekian lama.

Kita selalunya hanya benar-benar menghargai seseorang sesudah terlambat. Dalam konteks ini, Jalaluddin Ar-Rumi tepat sekali tatkala mengungkapkan kata-kata ini, "Sesudah pergi, usah ditanya di mana letaknya kubur di dunia ini. Kubur letaknya di hati, orang-orang yang mengingati".

Penghargaan aku yang tidak terhingga untuk mereka para pejuang sejati, Rabbul 'Izzati jua memberkati.

Thursday, August 25, 2005

Bahasa Jiwa Bangsa...

Aku dah lama terfikir persoalan ini. Cuma aku belum ketemu jawapannya. Mengapakah ada persamaan antara pelet Utara dan dialek Terengganu?

Ada suatu kisah, yang aku ceritakan buat pertama kali dalam hidup semasa menjadi fasilitator (juga buat pertama kali dalam hidup, buang tebiat betui) untuk pelajar2 tingkatan satu sebuah sekolah menengah luar bandar di Dungun. Kisah ini masih membekas dalam kepala hotak aku sampai sekarang. Waktu aku mula belajar membaca, tersebutlah kisah yang tertulis sebagai anecdote (waktu kecil istilah ini belum tercatat dalam kamus minda aku, orang kampung, apa aku tau) Utusan Malaysia (entah, waktu itu boleh jadi namanya Utusan Melayu, aku sudah ingat-ingat lupa). Kisah peperangan antara dua kerajaan. Bukan merebut puteri nan cantik jelita ataupun merebut takhta, tapi merebut huruf. Dalam peperangan itu, Pakatan Utara (sengaja aku berikan nama itu) iaitu Kedah (meliputi Perlis dan Pulau Pinang jua tentunya) telah kalah di tangan Terengganu. Maka sejak itu Terengganu pun menggunakanlah huruf yang dimenanginya dalam peperangan itu sebagai bahasa rasminya. Mahu tahu huruf apa yang direbut sangat tak sangga itu? Huruf 'G'. Gila punya kheja.

Kalau ikut hipotesis aku (belum dibuktikan oleh sarjana sehingga kini), kesan peperangan itu ialah penyerapan istilah tertentu dalam pertuturan rakyat negeri Kedah dan Terengganu. Sungguhpun belum dibuktikan, ada kebenarannya walaupun tidak dapat dipastikan hat mana satu yang tulen, hat mana satu cetak rompak. Misalnya, dan, dan dan-G yang bererti sempat.

Ada juga istilah yang sama atau hampir sama sebutannya dan membawa maksud yang sama juga serta tidak melibatkan penambahan (atau mungkin pengurangan) huruf G di belakang. Contohnya, katok yang membawa erti pukul, biasanya menggunakan sesuatu objek, dan gelap gelemat dan gelak gelemak yang membawa maksud suasana yang terlalu gelap.

Apa pula kata saudara Fathi Aris Omar dengan ucapan masihkah saudara meminta bantuan pak cik Google?

Wednesday, August 17, 2005

Wacana Sepetang Bersama Mat Ghoset & Mat Redth...


Nota :

Aku tak rasa pertukaran pandangan aku dengan Mat Ghoset sesuatu yang kontroversi, sekontroversi hemat Farish A. Noor atau Fathi Aris Omar. Sungguhpun aku (aku tak tahu sama ada Mat Ghoset juga begitu) tak minat diasosiasikan dengan mana-mana jamaah atau pertubuhan, bukanlah maksudnya aku tak berdunia dengan orang. Juga bukanlah ertinya aku anti kepada pihak-pihak tertentu. Tidak juga aku nafikan sumbangan mereka untuk kemaslahatan agama dan ummah, tidak sama sekali. Sama ada mahu percaya atau tidak, terpulanglah tapi aku masih seorang simpatisien kepada gerakan-gerakan yang tega menjadi "al-Ghuraba" meski dipandang asing dan sinis oleh orang lain, menjadi mustadh'afin dulu, kini dan mungkin selamanya seperti Ikhwanul Muslimin di Mesir. Cuma apa yang telah aku catatkan merupakan pengalaman aku, sebuah kisah benar (dan ngeri) bila cuba dibasuh minda secara agresif oleh manusia yang bernaung di bawah label tertentu. Itu sahaja.

Aku orang kecil dan orang kecil itu seringkali dikatakan cenderung berbicara soal manusia, bukan idea. Sayugia diingatkan, apabila memperkatakan soal manusia, aku tidak menyentuh sebarang aspek fizikal kerana itu suatu pemalar, mempertikaikannya bererti menghina kurniaan Tuhan. Yang aku sentuh adalah pendekatan. Tidak tahulah pula aku kalau-kalau menyelar sikap disinonimkan dengan mengutuk jamaah walau aku tahu jamaah juga bukan suatu yang syumul seumpama Islam. Analoginya seperti orang awam menegur ulama. Biasanya kredibiliti orang awam dipertikaikan lebih awal sebelum mendengar apa yang disuarakan. Mungkin sesetengah teguran terlalu lancang lantas menyalahi adabul ikhtilaf yang bersopan. Kalau teguran sebegitu sesungguhnya aku tidak bersetuju. Namun, umumnya sebarang bentuk teguran sama ada secara berhemah atau tidak jarang diberi peluang. Penegur dibunuh siap-siap, meminjam istilah Fathi Aris Omar, 'character assassination'. Dipersoalkan apa authority, lulusan mana, sama ada fasih berbahasa Arab dan sebagainya. Sungguhpun aku percaya ulama bercakap berlandas ilmu bukan beralas nafsu, namun ulama juga manusia biasa, tiada tercipta sempurna, maksum macam Rasulullah.

Aku hormat permintaan orang, sama ada dia menganggap aku sebagai kawannya atau sebaliknya, apatah lagi teman lama, satu dorm satu kelas, sama-sama tekong nasyid Suara Putera. Demikian, coretan asal berjudul Wacana Sepetang Bersama Mat Ghoset & Mat Redth... aku gelapkan dari penglihatan. Meski aku masih kekal meyakini akan kebenaran pada sebuah catatan, bagaimanapun orang mentafsirkan.

Tuesday, August 09, 2005

Sekalung Doa Buatmu...

Akhirnya, seorang lagi sumber inspirasi aku dah meninggalkan dunia serba fana ini, kembali ke hadrat Ilahi. Aku rasa seram sejuk, mata aku berkaca mengungkapkan tribute aku untuk seorang da'ie.

Pertama kali aku mendengar namanya adalah ketika ayah dan pak ngah menghadiri satu syarahan kat USM dalam tahun 90-an. Ayah ada bawa pulang satu set koleksi syarahannya dalam bahasa Inggeris. Waktu itu aku tertanya-tanya, apa gerangan menyebabkan ayah dan pak ngah aku begitu teruja.

Suatu masa, waktu aku menuntut di UUM, aku rasa kekosongan, rasa banyak benda yang kurang. Demikian, waktu senggang antara kelas atau petang-petang, aku akan ke tingkat paling atas Perpustakaan Sultanah Bahiyah. Secara tidak sengaja, waktu meneliti senarai vidoe yang ada, aku terjumpa namanya. Tajuk syarahan dan debatnya pun memang bukan calang-calang, memang intelek habis la, perbandingan antara dua agama langit. Kebetulan aku hendak menajamkan kemahiran berbahasa Inggeris dan pengucapan awam yang jarang dipraktikkan, maka aku layan dulu video tu. Pergh, memang aku kagum la dengan semangat dan keberanian dia tu. Dia berdebat dengan tokoh Kristian yang bukan calang-calang, kadang-kadang hadirin pun majoriti atau kesemuanya Kristian atau non-Muslims jua. Dengan keyakinannya berhujah seolah-olah Al-Quran dan Bibles itu dah sebati dalam fikirannya. Senang saja dia patahkan dakyah-dakyah dan dedahkan penyelewengan dalam Bibles. Baru aku tahu apa sebabnya hanya Al-Quran sahaja yang wajib diimani sebab kitab-kitab Allah yang lain semua dah jauh sangat terpesong. King James Version tu pun dah berapa kali punya revised editions. Kadang-kadang, pemuka Kristian ni nak samakan versi Bible yang pelbagai itu dengan Tafsir-tafsir Al-Quran. Manakan sama, versi-versi Bible itu bukan tafsiran tapi ayat suci (kununnya) yang jauh berbeza antara satu sama lain. Angka-angka pun banyak berbeza seperti bilangan sebenar chariots yang dimiliki Solomon. Penuh dengan cerita-cerita Israiliat (dan jijik) contohnya hubungan kelamin bapa mertua dengan menantu iaitu Judah dan Tamar. Astaghfirullahal'adzim.

Seringkali apabila dia mengucapkan pidato berapi-api, dia akan menjulang-julang Tafsir Al-Quran Abdullah Yusuf Ali. Aku tercari-cari dulu di mana boleh ku dapatkan naskhah itu, kini bila naskhah itu giat aku tekuni, dia pula telah pergi. Biarpun begitu, aku pohon pada Tuhan semoga dia yang banyak berjasa kepada umat Islam sedunia dilapangkan tempatnya di alam baqa dan menikmati keindahan taman-taman syurga. Dia mungkin telah kembali pada usia 87 tahun, setelah bertahun-tahun menderita angin ahmar hinggakan hilang kekuatan lisan tetapi inspirasinya tetap subur di hati, sebagaimana kalimat yang ia tujukan pada Salman Rushdie. Kalimat itu aku ungkapkan dalam nada positif pada Malam Secerah Pawana nan lalu.

"Tum salamat reho hazare bares, aur harbares dilho pancha tadhar..."
(Semoga engkau hidup seribu tahun, dan setiap tahun itu panjangnya lima puluh ribu hari).

Sekalung al-Fatihah dan doat buatmu, Syeikh Ahmed Deedat...

Sunday, August 07, 2005

*Khairil Umuuri Ausatuha...

Aku ingat lagi, suatu masa dulu, zaman apabila mengikuti usrah bermula dari tingkatan satu di sekolah, ada suatu macam tema untuk sesetengah naqib untuk semacam marah-marah. Itu tak kena, ini tak kena. Mungkin itu uslub dakwah mereka tapi aku rasa macam tak masyuk dengan jiwa aku. Kala itu aku di persimpangan dilema sebab dalam diri aku ada elemen untuk jadi terlalu ideal tapi dalam masa yang sama aku sukakan juga perkara-perkara yang dianggap taboo atau lagha dalam jemaah. Sukar juga sebenarnya memilih antara benda yang kita tahu tersangatlah baik dan bagusnya dengan benda yang kita minat dan suka.

Aku dah boleh menduga, andainya aku join service ini, akan ada sikit sebanyak perubahan kat diri aku ni. Kalau istilah Liberal Muslim tidak salah di sisi agama, aku rasa itulah yang paling tepat untuk aku. Aku rasa aku dah mengamalkan dasar pintu terbuka. Macam negeri China (yang bergelar The Sickman Of The East sebelumnya) lepas mengalu-alukan pelaburan asing. Aku akhirnya menemui jalan tengah antara kegemaran dan idealisme. Rasanya sekarang aku lebih terbuka dalam menghargai kesenian walau apa jua bentuknya, tidak terhad kepada seni Islam seperti nasyid semata-mata. Aku juga tidak lagi dihantui rasa bersalah dan takut-takut macam dulu-dulu untuk meneruskan minat aku. Ya, sejak kecil aku bukan sekadar bernasyid bahkan lagu-lagu popular masa tu pun aku nyanyikan. Cuma masa tu lebih kepada hiburan untuk diri sendiri. Tak pernah aku nyanyikan secara terbuka untuk orang ramai pun. Keluarga sendiri ada la dengar. Kelakar jugak bila depa nyanyikan semula lagu-lagu lama yang aku pernah nyanyi tu dengan pelat budak-budak. Yalah, aku masa tu kan kecik lagi, beza la dengan lenggok suara aku la ni.

Walau bagaimanapun, aku masih pegang lagi idealisme aku. Demikian, walaupun aku seronok tengok dan appreciate koreografi dan seni persembahan, aku tetap tapis bab-bab tertentu seperti bersentuhan lelaki perempuan. Aku seronok dan gembira tengok Mawi menang AF3 dan bolot hadiah Vokal dan Persembahan. Itu rezekinya ketetapan Allah Taala. Tak payalah baca terlalu jauh sama ada ada keberkatan atau sebaliknya. Namun aku tetap harap AF3 ni sekadar batu loncatan untuk dia mengubah nasib diri dan keluarga dan lepas ni dia kembali ke landasan yang sepatutnya. Aku berdoa dia tak hanyut dalam arus yang bukan-bukan. Berdasarkan alasan itulah aku tidak dapat elak daripada tegur dengan lisan setiap kali ada perbuatannya yang kontra dengan dhamir aku. Meskipun demikian, ketidaksukaan aku tu adalah pada tingkah lakunya yang padaku tidak selari dengan ilmu yang ada padanya, bukan seperti kebencian segelintir manusia termasuk ahli akademik yang membandingkannya dengan P. Ramlee; seorang lagenda, ketidakmampuan bermain alat muzik dan kekurangan Mawi berbahasa Inggeris. Pandangan yang tersasar jauh daripada ruang lingkup perbincangan sebenarnya. Nadanya nada iri hati terlalu dan meluat melulu. (Nota: Aku pernah tanya lelaki dan wanita apa yang menyebabkan depa suka kat Mawi. Depa tak boleh bagi jawapan yang tepat. Lalu aku bagi pendapat aku, "Adakah sebab Mawi ni nampak innocent dan lurus?". Nyata depa setuju dengan pendapat aku tu. Manusia secara umumnya memang suka dengan orang baik. Aku pernah kata dulu bahawa kita takkan tahu bagaimana orang melihat kita sedangkan tiada apa pun yang kita lakukan seingat-ingat kita begitu istimewa. Kita takkan mampu menghalang orang menyukai sebagaimana kita tak daya menghalang orang membenci. Aku sendiri pun tak tau apa persepsi orang pada aku.).

Aha, sebelum terlupa, orang kata service kita ni banyak function yang memerlukan kita ada pelan kecemasan kalau disuruh menyanyi tiba-tiba. Aku pun saja-saja takkan offer diri dan kalau ditawarkan pun akan seboleh-bolehnya menolak. Cuma kalau dah tak larat tepis, maka terpaksalah juga nampaknya. Aku rasa aku dah tambah koleksi repertoire aku dan cukup bersedia dalam keadaan darurat begitu sebab lagu siulan aku masa kecik-kecik tu aku dah ingat keseluruhan liriknya sekarang. Tak la asyik recycle 2-3 lagu yang sama saja. Cemuih dok ada. Lagu tu ciptaan Husein Bawafi, nyanyian pertama oleh S. Effendi dan pernah dikumandangkan oleh Al-Jawaher dan Sharifah Aini. Aku bayangkan arrangement dia yang asal, bukan arrangement untuk album Aku Penghibur oleh Jamal Abdillah. Waktu habis aku nyanyikan rangkap pertama dengan syahdu sesyahdu-syahdunya dan penuh perasaan serta bahasa badan, kedengaran suara harmoni di balik tirai di belakangku mengulangi bait serupa. Perlahan-lahan tirai disingkap dan tersergamlah sekumpulan koir menambahkan kemerduan lagu dan berpadu suara denganku sepanjang persembahan.

Lagu apa? Liriknya di bawah ini. Tajuk kalau tak tau saja sangat la.

"Mari menyusun seroja bunga seroja aaa...
Hiasan sanggul remaja puteri remaja
Rupa yang elok dimanja jangan dimanja aaa...
Pujalah ia oh saja sekadar saja

Mengapa kau bermenung oh adik berhati bingung (2x)
Janganlah engkau percaya dengan asmara (2x)

Sekarang bukan bermenung zaman bermenung (2x)
Mari bersama oh adik memetik bunga (2x)

Mari menyusun seroja bunga seroja aaa...
Hiasan sanggul remaja puteri remaja
Rupa yang elok dimanja jangan dimanja aaa...
Pujalah ia oh saja sekadar saja"

*Sebaik-baik perkara adalah yang bersederhana...