Friday, April 27, 2007

Selembar Warkah Kepada Al-Wathiqu Billah...

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun.

Adapun warkah ini tiada lain untuk menzahirkan rasa takzim atas pertabalan tuanku menaungi Tanah Melayu.

Dalam pada menzahirkan perasaan ini, mahu tidak mahu terpaksa patik mengaku bahawa patik sebenarnya kurang selesa berpatik-patik begini. Seperti kalimah 'duli', kalimah 'patik' juga kalau ditelaah Kamus Dewan bukanlah membawa maksud mulia.

Sungguhpun demikian, ibarat kalungan bunga di Makam Pahlawan, meski alim-ulama bersepakat memfatwakan haram, manakan pernah dihentikan. Yang terlarang memang godaan. Justeru, berpatik-patik patik teruskan.

Ampun Tuanku,

Sebenarnya ada beberapa kelibang-libuan bersarang di fikiran, mengalahkan empat makhluk planet Bumi keaneh-keanehan.

Dalam samar-samar Wawasan 2020, menjelang pula Misi 2057. Pada hemat patik nan hina dina, adalah mustahil seorang manusia dewasa menongkat langit dunia. Justeru, kalau sudah sedemikian jauh cita-cita, ada baiknya dituju Wawasan Akhirat jua. Bukankah itu barang yang sudah pasti dan sudah barang tentu kita semua telah pun berhijrah ke negeri abadi.

Terkesima patik dengan keikhlasan sekalian warga. Betapa tasamuh rakyat jelata, hinggakan doa pun dipohon untuk kejayaan penghadap kiblat berbeza. Bukankah lebih afdhal kenduri doa selamat dibuat bersama.

Ampun Tuanku,

Mutakhir ini patik sedikit terseksa menyiapkan laporan panjang berjela-jela, hinggakan tiada ruang buat patik berbunga-bunga bahasa. Sungguh tidak sesuai dengan kesukaan patik mengarang madah seloka, sedang nada laporan kasar gedegar belaka. Patik dipaksa "menjiwai sepenuh jiwa raga", apa sahaja yang patik dapat melainkan darah tinggi, hipertensi dan insomnia semata.

Dalam resah gelisah begitu, patik seperti terdengar-dengar suara orang putih tertawa mengekek, tertawa mengejek.

Mereka tertawa mengekek melihat kita mengetar jalan. Kata mereka kenapa sekarang. Mereka tertawa mengejek melihat kita menyelar petualang. Kata mereka apa yang kurang.

Sungguh cabul perbuatan mereka. Tidakkah mereka tahu bahawa tanah tumpah darah kita telah 50 tahun merdeheka. Suka hati kitalah mahu perbuat apa yang kita suka.

Sebenarnya Tuanku, mereka dengki dan iri hati. Mereka dengkikan kecapaian kita yang hanya perlukan seminggu menyempurnakan penurapan jalan setelah menyepi bertahun-tahun. Mereka iri hati akan kemampuan kita menggerhanakan sumbangan setelah tercurah bakti suku kurun. Kalaulah mereka tahu bahawa kita jauh sekali berbangga, malah pernah menggelar ahli nuklear sebangsa sebagai pencetus malapetaka, dan hujah kita menjadi sangat terpercaya, tentu mereka jadi lebih ternganga.

Sembah patik sembah derhaka, sembah hamba rakyat negeri tidak beraja.

Daulat Tuanku!

Pangsapuri Putra Harmoni
8 Rabi'ul Awwal 1428 Hijriyyah
Bersamaan 26 April 2007
2.25 pagi (Khamis)

Monday, April 16, 2007

Makhluk-Makhluk Aneh Dari Planet Bumi...

Di bumi ini, ada empat makhluk aneh kesemuanya. Kenapa, enggan percaya? Baiklah.

Makhluk Aneh Pertama
Dulu disumpah-seranah waktu berkuasa. Kini dipuji-puja lantaran kerempangan menyerang penguasa.

Makhluk Aneh Kedua
Dulu hampir-hampir hilang nyawa. Kini cergas bergerak ke sini sana dengan sambaran api semangat zaman muda.

Makhluk Aneh Ketiga
Dulu mengagetkan penjarah iktisad sejurus fajar menjelma. Kini menyanggah lantang wahana keramat bangsa.

Makhluk Aneh Keempat
Dulu penaya seorang manusia baru berkerjaya, yang dengan segala kelurusan jadi terpedaya sementara sang makhluk terbahak-bahak ketawa. Kini jadi teman mesra pula.

Sekarang bagaimana? Di bumi ini memang sebenar-benarnya ada empat makhluk aneh, bukan?

Penghargaan : Terima kasih kepada ADO Port Dickson atas garis panduan menuju ke Allson Klana Resort, Seremban tempoh hari. Kalau sampai takdir Ilahi, aku singgah rumah hang lain kali makan tengah hari.