Wednesday, June 29, 2005

Putrajaya : Tak Seindah Sentuhan Mata...


Sepertimana pernah ku katakan dulu, di kejauhan seringkali kita terima nota kesedihan. Keadaan itu berulang lagi buat ke sekian kalinya. Hari terakhir Kursus Induksi di Pangkor, ketika aku merencana untuk kembali bertungkus-lumus menghadapi minggu yang sibuk sebagai urusetia mesyuarat, aku dikejutkan dengan berita, ”Pak Long sudah tiada”. Oh, sesungguhnya aku agak tabah tapi sedih sayu tetap terasa. Inilah yang menyayat hatiku sepanjang menjadi warga Putrajaya. Aku dihadapkan dengan kehilangan demi kehilangan. Aku memang telah lama berkira-kira untuk tinggalkan terus Putrajaya pada tahun berikutnya. Namun inilah padahnya berlumba dengan masa. Kemenangan mungkin memihak sekali-sekala. Yang pasti, kekalahan hingga jatuh terduduk menyelubungi sentiasa.

Dari jeti Pangkor, bot hanya berlepas lebih kurang 2.30 petang. Aku mencongak-congak sendiri, sempatkah bersama-sama menyembahyangkan jenazah Pak Long di Masjid Jami’ul Badawi pukul 6.00 petang. Sudahlah coverage Maxis di Pangkor cukup menyeksakan. Waktu dapat bercakap, mak dan ayah aku yang sudah berpatah balik daripada perjalanan ke Putrajaya telah pun hampir sampai ke Kepala Batas. Harapan aku hanya pada Pak Ngah yang baru bertolak dari rumahnya waktu itu.

Dari jeti Lumut, aku tumpang Zali sekeluarga. Dalam penuh segan-silu, aku paksakan diri minta tolong hantar aku ke taxi stand. Tapi kata isterinya, mahal kalau naik teksi, lebih kurang RM60, lebih baik naik bas. Bagi aku, wang ringgit tidak menjadi soal dalam keadaan begitu. Namun bila kita sekadar mengharap ihsan orang, manakan mampu kita mendesak berlebihan. Aku ikut sajalah cadangan depa. Dalam hati, hanya Tuhan yang tahu betapa laranya aku mengejar waktu. Jauh, memang jauh betul sebelum sampai ke bus stop laluan Perak Roadways Bhd. Aku memang tidak biasa ditolong secara percuma sebab itulah nilai sedari kecil yang aku bawa. Meski Zali agak enggan, aku hulurkan juga seadanya. “Duit minyak dan untuk anak-anak”, aku merasionalkan.

Setelah bas berhenti di Ipoh, aku ambil teksi ke Sungai Perak. Sampai di sana dah dekat pukul 6.00 petang. Punah harapan aku nak menyumbang sesuatu untuk abang sulung kepada ayah buat terakhir kalinya. Tiba di Permatang Bertam dekat-dekat pukul 8, orang lelaki semua dah Maghrib kat Masjid Jami’ul Badawi. Yang tinggal orang perempuan termasuk Mak Long dan mak aku kat rumah tu. Idah stay dengan depa sementara aku, Pak Ngah dan Hifzaili (anak Pak Cik Hafni) pi sembahyang kat masjid. Bila kami kembali, doa tahlil sedang dibacakan. Kami lalu mengaminkan doa di luar pintu yang bertutup. Syahdu, memang syahdu doa yang diimamkan oleh Muhammad, anak lelaki bongsu tunggal Pak Long merangkap Imam Muda Masjid Jami’ul Badawi. Aku tidak dapat melihat, sekadar mendengar. Dengan nada tersekat-sekat, dengan serba kepayahan, dengan sedu-sedan, air mata seorang lelaki ku rasakan berlinangan bercucuran. Sekuat mana pun seorang lelaki, tersentuh juga sekeping hati. Demikian, bila berair mata, itulah cerminan sebenar rasa dukacitanya.

Mak dan ayah Shahnaz pun ada sekali tapi Shahnaz tak dapat balik. Aku berbual dengan Muhammad. Seperti biasa, ia memang peramah orangnya. Esak tangis dalam bacaan doa yang aku dengan sebentar tadi hampir saja terlupakan. Sungguhpun demikian, dapat ku kesan pada sinar matanya, memang berkaca.

Pak Long, sebagaimana aku, merupakan anak sulung. Seperti aku juga, dia kurus saja orangnya. Dia tak banyak bicara, namun lidahnya sentiasa basah dengan zikrullah dan dahinya terlalu kerap sujud kepada Allah. Dia seorang ulama, pernah menyebarluaskan ilmu agama di pondok Sungai Bakap dan Pasir Tumbuh. Akhir hayatnya, ia diuji Allah dengan penyakit kulit. Walaupun mungkin tidak sehebat derita Nabi Ayub, namun bagi orang kebanyakan mungkin sudah hilang sabarnya. Tapi Pak Long dalam serba kepayahan masih terus ingatkan Tuhan. Saat anak-anak meminta ia meneguk air tapi ia tidak lagi upaya, kata-katanya memang perlambangan waratsatul anbia. ”Macam mana aku nak teguk, Tuhan dah tak bagi aku teguk”. Kata-kata seorang hamba Tuhan yang penuh keredhaan walau sakaratul maut mencetus dahaga keteramatsangatan tak tergambarkan.

Aku penuh sedar apa yang ditakdirkan tidak sekali-kali relatif dengan perantauan aku. Bak kata Al-Ghazali, ”Api membakar kayu tapi kayu terbakar bukan sebab api”. Cuma aku sudah letih menanggung semua ini. Tuhan, kurniakanlah hamba-Mu yang dha’ifun jiddan ini ruang untuk lekas menukar haluan. Segala yang terjadi sudah tidak tertahankan.

Tuesday, June 21, 2005

*Dil To Pagal Hai...


Dah lama giler aku tak menulis kat blog tercinta ni. Skill penulisan ni macam pisau pemotong daging jugak, kalau lama tak asah manakan tajam. Bila dah berkarat, time tu baru nak asah kalu lambat la.

Apa yang menyebabkan Faisal Tehrani, Mawi, Akhil Hayy dan aku terjebak dalam keadaan yang sepatutnya kalau diketahui, orang yang ahli takkan duga atau terima untuk kami jejakkan kaki? Satu perkataan; KEGILAAN.

Manusia, bila sesekali timbul keinginan untuk melakukan sesuatu di luar kebiasaan, tanpa disedari dia dah berada dalam dunia impian. Tapi walau macam manapun perubahan yang melanda, kalau sekali landasan kita pernah di tempat sepatutnya, kita akan kembali ke fitrah insani yang tulus sifatnya jua. Macam Faisal Tehrani, mula2 nampak innocent, lepas tu berambut panjang dan pakaian pun macam seniman jalanan, sekarang ni dah menemui perkara yang dicita-citakan dalam mencari keredhaan Tuhan. Macam Mawi, dulu dok masuk nayid dan tilawah, lepas tu tup tup dah join AF3. Dia kategori extrovert pasal dia pernah jadi DJ kat airport Senai. Tapi, meski dah belajar-belajar menari dan bersentuhan telapak tangan dengan ajnabi, dhamir dia takkan boleh menipu diri sendiri. Pasti terngiang-ngiang di telinganya akan sabda nabi, "Inni la usofihun nisak". Mencuba menjadi orang lain hanya akan menjadikan dirinya kaku serba tak menjadi. Macam Akhil Hayy, dulu asalnya budak baik kat kampung, lepas tu dah jadi rocker, vokalis kumpulan D'Riyadh pulak. Kepuasan tak abadi, lalu kini menjadi da'ie sambil menghibur hadirin dalam ceramahnya yang diselang-seli menyanyi. Aku pun macam tu la jugak, ada keinginan untuk buat sesuatu yang tak pernah aku lakukan dulu. Sampai satu tahap, cemuih pun hinggap. Abis la, itu tandanya kena kembali ke pangkal jalan walau bererti menggantikan potensi tepuk sorakan dengan cemuhan. Telahan aku terbukti tepat. Lantak hampa la, dah lama sangat aku buat sesuatu untuk orang lain, masanya dah tiba untuk aku buat sesuatu untuk diri sendiri. Kali ni aku takkan buat sebab orang suruh aku buat. Aku hanya akan buat bila aku terasa nak buat. Kata Reza AF3, tak hidup dipuji, tak mati dikeji.

*Hati Yang Gila...