Monday, February 20, 2006

*Aku 'Kan Ada...

Baru-baru ini aku ketemu seorang pertapa. Telah agak lama dia berdiam sedemikian rupa. "As-sukut ’alamatur ridha", diam tanda setuju. Betulkah begitu?

Lupakan saja sifatnya itu. Ada yang lebih penting lagi. Tentang pesannya padaku. Kurang periksa pulalah aku sama ada si pertapa itu menipu. Kalau menipu si pertapa itu, maka menipulah aku. Tapi setahu aku, terlebih-lebih pun, ia barangkali merapu. Apa-apapun, cubalah baca dahulu pesanannya itu. Mungkin dalam merapunya itu terselit sesuatu.

"Kadang-kadang dalam hidup, kita dok tala tak tentu hala. Sebut saja apa benda yang terlintas, kita pakai rodong saja. Kita sedar sebenarnya, seperti rezeki, ia sememangnya suatu misteri. Kita yang agak uud ini buleh dok buat hemoi lagi. Hinggalah suatu hari, antara sedar dan mamun, seolah-olah terdengar suara menegur kita, "Kau tunggu siapa? Aku ‘kan ada".

Pesanan si pertapa aku hantar menerusi SMS kepada Dilah. Melalui SMS juga Dilah bertanya kembali, "Abang, siapa dia?"

Jawabku kepada Dilah, "Dia sentiasa ada saat kita perlu akan Dia. Dia di atas sana. Dia Tuhan kita...".

*Main Hoon Na...

Tuesday, February 14, 2006

Tersendiri, Tersemadi...

Entah apa gerangan, hits blog aku nan ini tiba-tiba mencecah angka Arab 260-an. Mungkinkah disebabkan aspirants PTD sedang bertungkus-lumus mencari bahan rujukan, wallahu ta’ala a’lam. Ah, apa sangatlah boleh dirujuk dalam blog sebegini. Bukannya ada soalan exam, tips PAC pun tidak, fasal interview jauh sekali.

* * * * *

Lama juga aksara demi aksara tidak bertetangga di alam maya ini. Jadi hari ini aku menulis kembali. Seperti biasa, kisah cliche bukan topik utama. Biarlah orang lain menulis sedemikian rupa. Tentang Valentine’s Day biarlah ulama yang berfatwa. Tentang caricature berderemen itu pula, biarlah umara menyelesaikannya. Aku seperti biasa, cuba menjadi berbeza.

Gabungan melodi dan alunan senikata segera mengingatkan aku pada pasangan kelam di sebuah lorong kedai Jalan Tunku Abdul Rahman. Di atas keyboard, jejari si suami menari-nari sedang si isteri tekun menyulamkan bunyi tamborine. Rawan suaranya sayu mendayu-dayu, sama seperti suara lelaki empunya lagu.

"Engkau ketawa gembira di malam itu, Dikelilingi hai ramai sanak saudara, Sedangkan aku berduka kerna janjimu, Yang manis bermadu tetapi bagai hempedu..."

Ku Seman Ku Hussain, kalau berkata-kata akan seni, memang takkan mengecewakan. Justeru, bila hari Ahad nan lalu ia kembali berbicara, tidak boleh tidak aku terpana membacanya.

"Ini keluh-kesah seorang yang emas sesaga tapi bermimpi memetik kejora di puncak singgahsana. Realiti memberitahu kita, budi bahasa hanya pemanis kata, emas perak juga diambil kira".

Aduh, remuk redam bunyinya, sama ada yang cuba-cuba menjiwai derita, apatah lagi yang sedia sengsara. Bisa, bisa sungguh-sungguh.

Itulah pun resam dunia, tanpa harta berketi laksa, ada kalanya impian cuma satu lagi utopia. Ibarat mengangankan Utusan Melayu yang telah ditalkinkan seawal Tahun Hijrah dijual kembali setiap hari. Umpama membayangkan Zainudin dengan Hayati, Chairil Anwar dengan Sri Ajati.

"Andainya itu sayang berupa erti, Setahun janji ditempah hilang sehari, Membuat aku sedar diri sendiri, Betapa hinanya padamu diriku ini...".

Dan sesudah beberapa ketika lagu itu lalu terhenti.

Nota : Al-Fatihah buat Almarhum S. Jibeng. "Inai Di Jari, merahnya di hati.". Maknanya tersendiri, tersemadi...