Friday, December 23, 2005

Surat Dari Seberang : Buat Jejaka Dari Seberang (Perai Selatan)...

Suatu hari, Syeikh Nawawiyah yang dianugerahi Allah akan kasyaf berkata kepada anakandanya, Syeikh Muhammad Amin yang hendak pergi berlayar. "Janganlah engkau singgah di Tanah Melayu, kelak engkau tidak akan pulang-pulang ke Majapahit lagi". Tuhan tidak akan mentakdirkan sesuatu melainkan takdir itu baik bagi hamba-Nya. Tambahan, siapa pula mampu melawan takdir. Syeikh Muhammad Amin telah singgah di Pulau Pinang dan benar, ia tidak pernah menjejak kaki ke kampung halamannya lagi sesudah itu. Bertemu jodoh dengan orang tempatan, keturunannya berkembang sehinggalah sampai kepada salasilah yang keenam yakni aku.

Seharusnya aku ke Johor minggu ini. "Nak buat apa?", tanya mak aku. "Hendak menjejak keturunan", jawab aku, walaupun aku tahu keturunanku sebenarnya berada nun jauh di Jawa Timur sekarang ini. Jawapan yang sungguh tak logik, seumpama orang yang kehilangan sesuatu pada waktu malam. Apabila ditanya mengapa dicari di bawah sinaran Lampu Jalan Kampung electronic ballast 150 watt, maka jawabnya, "Sini terang sikit". Tak logik, memang tak logik. Sebab itulah aku membatalkan hasrat ke sana.

Sebelum Jumaat tadi aku terima sepucuk surat. Seraya ku buka sampulnya dan di bawah ini tertera isi kandungannya:

"Assalamu'alaikum wr. wb.

Sebelumnya terima kasih atas kedatangan cardmu. Sebulan lamanya suratmu bisa sampai ke Indonesia, suratmu sampai tanggal 19 November. Jadi aku baru membalas suratmu tanggal 13. Maaf, mungkin terlalu lama karena banyak tugas dan aktivitas di kampus. Melalui surat ini kita mulai persahabatan kita, aku tau kamu orang baik dan kita akan menjadi sahabat walaupun kita tidak pernah bertemu dan bertatap muka. Saya rasa itu awal yang baik, saya harap kita saling menerima satu sama lain. Negara, bahasa dan segala perbedaan itu tidak jadi masalah.

Sebenarnya saya merasa lucu ketika menuliskan surat untukmu, karena sebelumnya aku tidak terbiasa menuliskan surat untuk seseorang. Karena itu, aku harap kau bisa mengerti. O ya, bagaimana khabarmu? Saya harap semoga baik-baik saja dan saya di sini juga alhamdulillah dalam keadaan baik-baik. Seperti biasa kegiatan sehari-hariku study di MUY (Muhammadiyah University of Yogyakarta). Saya mengambil jurusan International Relations. Aktivitasmu sehari-hari apa saja? Saya ingin tau. Saya ingin kamu sedikit bercerita about yourself.

Kamu balas suratku ini ya...! Senyum dong '-'. Jangan stress baca suratnya. Jangan lupa dibalas ya...! Saya tunggu balasan suratmu. O ya, saya hampir lupa, sebelum saya mengakhiri surat ini, meskipun Idul Fitri sudah lewat, bila jemari tak sempat berjabat, raga tak kuasa bertatap dan bila kata melukai sukma. Semoga maaf masih terbuka. Dengan hati yang suci mohon maaf lahir dan bathin.

Wassalamu'alaikum wr. wb."


Aku tak tahu sama ada ia keturunan Chairil Anwar kah, atau Hamka kah, atau boleh jadi seketurunan denganku. Apapun, aku terima dengan tangan terbuka. Kepada Dilah, usahlah lekas menerka abangmu ini Pemburu Buaya. Hablum minannas, apa salahnya.

Ho, ho, ho, ho, ho, Horlicks!

Thursday, December 22, 2005

Allah Selamatkan Aku...

Ya, bertemu lagi dengan ulang tahun hari lahir, semakin dekat juga Izrail mampir.

Hari ni bertambah lagi umur aku, juga berjuta-juta lagi manusia di Mumbai, Rio de Janeiro, Casablanca, Azad Kashmir hatta Changlun sekalipun. Aku manusia biasa serba sederhana. Demikian, tak dak la aku celebrate birthday aku dengan memandu Ferrari Spider ataupun bermewah-mewahan macam anak hartawan. Kebetulan pulak tahun ni jatuh hari Khamis, berkat la sikit. Selalunya hari Sabtu jer.

Bertambah umur bertambah jugak la pengalaman. Ada yang masin berdengung, manis melecaih, tawa’ heibia’, pahit macam jadam pun ada. Pendek kata, macam-macam ada.

Hai, lama jugak aku dok sini. Bosan tahap maksima dah ni. Cuma la dah ada aktiviti sampingan nak isi masa lapang sebagai orang bujang. Yalah, mana larat ghalit dok tengok cicak saja. Cemuih ooo.

Entah, aku pun tak tau nak tulis apa lagi. Petua orang tua-tua, ulang tahun kelahiran adalah hari yang kita akan berasa lemah dan itulah masanya musuh akan mengambil kesempatan. Adakah aku sedang bersiap siaga menghadapi ancaman musuh? Tak jugak. Sebab aku berpegang kepada pepatah komik Hong Kong, ”Musuh jangan dicari, bersua jangan dielakkan”. Terkorban kerana mempertahankan diri pun dikira syahid. Sapa tak mau syahid.

Harapan aku sempena umur yang dah meningkat dan tahun baru yang bakal menjelang ni adalah supaya aku berubah ke arah yang lebih baik serba-serbi. La ni dah mula sikit-sikit sesuai dengan kemampuan. Cuba mengekalkan dan menambah sifat-sifat mahmudah dan membasmi sifat-sifat mazmumah yang menggelapkan hati.

Semoga akhir hayat aku dalam kalimah La Ilaha Illallah. Sebab ada sebuah hadis dalam Sahih Bukhari yang aku baca, Nabi ada bersabda, "Barangsiapa yang mengucap Laa ilaha illallah diakhir kalamnya dan yakin ia dengan kalimah tersebut, maka tempatnya adalah syurga. Anas bin Malik bertanya kepada Nabi, "Bolehkah aku khabarkan kepada mereka yang lain?". Kata Nabi, "Aku khuatir mereka tidak akan beramal dengan amalan yang lain.". Maka Anas bin Malik pun menyimpan sabda ini sehinggalah sesudah kewafatan Nabi baru dikhabarkan kepada umum.".

Amin, amin, amin, ya rabbal 'alamin, ya mujibassa'ilin.

Wednesday, December 21, 2005

Sighu Betui La...

Tadi ada ceramah oleh Prof. Dr. Mohd. Yusof Othman dari UKM. Isi ceramahnya yang bersulamkan sirah nabawiyah dan bab-bab Islam lainnya segera membayangkan aku kepada style ceramah Pak Ngah aku. Kata Man Tongkat, Pak Ngah aku punya style Islamic. Cuma aku belum ada kesempatan dengar dia berceramah lagi. Bersembang selalu la, tambah pulak la ni parcel sebelah menyebelah jer tapi persembangan tak sama dengan ceramah.

Berbalik kepada Dr. Yusof tadi tu, aku dapat rasakan dia agak kecewa dengan pengendalian majlis. Jadinya, sambil sebok dalam ceramah tu, pihak-pihak yang berkenaan dibasuh sama. "Tounge-lashing", kata orang putih. Iyalah, dengan kehadiran peserta yang tak menepati masa, dengan top brass tak dapat turun sama kerana masa tu la nak buat meeting pun sampailah detik terakhir nak sampaikan momento tanda penghargaan pun kawan ni tengok kawan tu, kawan tu kalih kot kawan nu, memang sighu betui la.

Aku cuba letakkan diri aku dalam keadaan dia. Kalau aku pun aku rasa terhina. Suruh orang bagi ceramah tapi tak rai. Ada ka patut? Kalau tak respect dia sebagai ilmuan pun takpa, tapi cubalah hormat maruah dan harga diri dia sebagai manusia. Aku bab-bab buat tahana kat orang ni memang aku tak boleh terima dan rasa cukup marah. Sementelahan dia orang kampung aku pulak tu. Walaupun bukan aku yang buat tahana kat orang tapi aku rasa ralat jugak la bila benda macam ni terjadi. Bukan satu perkara yang pelik kalau tersebar cerita-cerita tak best pasal benda ni dan dia pun tobat tak mau mai lagi.

Friday, December 16, 2005

Blues Untuk Aku...

"Menyanyi kerana gembira
Menyanyi kerana sedih
Menyanyi kerana rindu
Aduh siapa dapat membaca hatiku saat ini..."


Suratan yang telah tertulis di dedaunan Lauhun Mahfudz hanya bisa tertunda-tunda tapi sememangnya takkan bisa dielakkan. Sampai masanya, ia 'kan jadi nyata jua.

Agak kontras sebenarnya menggagahi mendaki puncak ini waktu tengah hari rembang begini. Di puncaknya sebuah gereja tersergam. Petang jumaat pula itu. Bukankah seharusnya aku bersiap-siap untuk ke masjid membaca Yasin? "Gerangan apa buatku ke mari?", tanya M. Nasir dan Mawi. "Aku sendiri pun tidak mengerti", balas Al-Bakafi.

Berada di sini dan menyeluruhi seluruh kawasan di bawah sana suatu impian yang tertangguh semenjak kali pertama memasang angan-angan itu lebih setahun dahulu. Sayup-sayup kelihatan kenderaan berjejal-jejal dan bangunan berselerak-tarak. Kedengaran biasa tapi menjadikannya istimewa kerana dilihat dari puncak yang menjadi saksi peristiwa demi peristiwa.

Kalau ikutkan hati, mahu saja aku menjerit sekuat-kuatnya, menyanyi lagu demi lagu semahu-mahunya, biar suara itu bersipongang lantas menyatu dengan angin lalu. Tempat ini sememangnya ideal untuk melayan perasaan. Namun keadaan tidak mengizinkan aku berbuat demikian. Orang terlalu ramai dan tempat agak sempit. "Sekarang Zaman Bermenung", demikian tajuk cerpen Anwar Ridhwan dalam Berita Minggu yang lepas. Dan itulah pun yang aku lakukan tatkala keringat terus berjejeran. Bermenung. Bermenung. Bermenung.

"Lagu jiwa bukan lagu mengadu nasibku
Lagu cinta bukan lagu meratap hidupku
Hanya nak menyatakan tuah dan untung badan
Diuji hebat cinta sehebat begini
Hebat begini..."


Bukit St. Paul, Bandar Hilir
15 Disember 2005