Wednesday, April 13, 2011

Galeri Anakanda Bonda

  • Sebuah syarikat milik penuh Bumiputera

  • Bercita-cita untuk disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Malaysia

  • Menampilkan produk-produk pakaian bayi dan kanak-kanak

  • Kualiti baik, harga murah (tidak termasuk bayaran pos) & tiada kos lain yang tersembunyi

  • Produk-produk baru sentiasa ditambah dari semasa ke semasa

  • "Special request" boleh dipertimbangkan 

  • 100 pelanggan bertuah sepanjang April 2011 akan menerima sesuatu yang istimewa

Ingin tahu perkembangan terbaru? Sila klik di sini

Sunday, February 13, 2011

Memahami Konflik Rumah Tangga & Perangai Jiran Tetangga...

Menurut Kamus Sains Politik: Politik Perbandingan (Halimah & Rohaida 2007), konflik merujuk kepada “...Pertentangan secara sedar dan langsung antara individu atau kelompok kerana sesuatu kepentingan. ...Dalam konteks politik pula, konflik sering melibatkan persaingan merebut kuasa dan kejayaan menjatuhkan lawan. ...Secara amnya, konflik dapat dibahagikan kepada empat jenis iaitu pertikaian, ketegangan, krisis dan peperangan. ...”

Sebagai sebuah negara, walaupun kecil dari sudut geografi, Singapura tidak terkecuali daripada konflik. Pada asasnya, konflik yang dihadapi oleh Singapura boleh dikelaskan kepada tiga peringkat seperti berikut:

(i) Konflik Dalaman

- Tuntutan wanita untuk mendapat layanan sama rata

(ii) Konflik Serantau

- Pertikaian dengan Malaysia melibatkan isu semakan harga air dan tuntutan Pulau Batu Putih, Pedra Branca dan Middle Rocks

- Keselamatan Selat Melaka

(iii) Konflik Antarabangsa

- Sokongan terhadap Amerika Syarikat dalam tindakan ketenteraan terhadap Iraq dan memerangi keganasan antarabangsa

- Hubungan dengan China dan Taiwan

- Pelaksanaan hukuman mati ke atas penjenayah

Berdasarkan maklum balas dan tindak balas Singapura terhadap konflik-konflik yang berbangkit, dapat dikesan bahawa Singapura sentiasa bersikap tegas dan berkeyakinan tinggi terhadap pendiriannya terutama apabila melibatkan konflik serantau dan antarabangsa. Singapura tidak dibelenggu rasa rendah diri walaupun berdepan dengan kuasa besar dunia. Misalnya, meskipun China mendesak supaya lawatan ke Taiwan oleh Lee Hsien Loong pada tahun 2004 dibatalkan kerana didakwa tidak selaras dengan dasar One China Policy, namun lawatan tersebut tetap diteruskan. Justeru, tidak hairanlah konflik dengan negara kurang berpengaruh lebih mudah ditangani. Umpamanya, apabila Malaysia menuntut kenaikan terhadap harga air per seribu gelen yang lebih munasabah berbanding harga sedia ada iaitu tiga sen, Singapura tidak akur dengan tuntutan tersebut. Sebaliknya, isu dialihkan dengan berhujah bahawa kadar harga baru perlu dipersetujui bersama selaras dengan Perjanjian Air 1961 dan 1962. Singapura juga tidak sewenang-wenangnya berganjak apabila mereka telah membuat sesuatu keputusan. Contohnya, sungguhpun kepimpinan baru menerajui Malaysia pasca-Mahathir lebih berdiplomasi dalam menyelesaikan konflik, namun Singapura tidak menarik semula proses perundangan yang telah dimulakan.

Namun demikian, dalam menangani konflik dalaman tertentu, Singapura mempamerkan sedikit sikap bertolak-ansur dan bersedia untuk memenuhi tuntutan yang pada hematnya tidak keterlaluan dan sudah sampai masa untuk diberi perhatian sewajarnya. Contohnya, dalam isu layanan tidak sama rata terhadap kaum wanita, pada tahun 2004 Singapura akhirnya menghapuskan kuota mahasiswa wanita yang menuntut di National University of Singapore dalam jurusan perubatan. Faedah perubatan kepada keluarga dan anak-anak yang selama ini hanya dinikmati oleh pekerja lelaki sahaja turut diperluaskan kepada pekerja wanita.

Asas pertimbangan Singapura dalam konteks hubungan antarabangsa ialah pendekatan strategik. Oleh yang demikian, Singapura bukan sahaja mempunyai hubungan diplomatik yang erat dengan Amerika Syarikat bahkan dengan China. Hubungan dingin di antara Amerika Syarikat dan China tidak dipedulikan oleh Singapura asalkan hasratnya untuk mengekalkan tahap keselamatan bagi mencapai kemakmuran ekonomi berjaya. Walau bagaimanapun, hubungan akrab yang dijalin dengan negara-negara kuasa besar tersebut tidak menjadikan Singapura “pak turut” kepada mereka. Malah, Singapura sering menegaskan keperluan negara dan pihak lain untuk menghormati pendiriannya. Perkara utama yang selalu ditekankan oleh Singapura ialah mempertahankan kedaulatannya dengan menjadikan hubungan diplomatik dengan negara-negara lain termasuk kuasa-kuasa besar dunia sebagai hubungan dua negara yang setaraf. Pendekatan unik Singapura inilah yang kebiasaannya tidak difahami oleh pelbagai pihak lalu cenderung melabelkan Singapura sebagai pro negara-negara tertentu. Hakikatnya, Singapura akan menyokong sesiapa dan apa sahaja asalkan selari dengan kepentingannya.

Senarai Rujukan

Hajah Halimah Haji Ahmad & Rohaida Baharudin (pngr.). 2007. Kamus sains politik: politik perbandingan. Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 93.

Simon Tay, S.C. 2004. Singapore: Review of major policy statements. 2004 Singapore Year Book of International Law and Contributors. hlm. 219-234.

Tuesday, February 08, 2011

Sebuah Konfederasi Di Barat Afrika...

Pengenalan

Dari segi geografi, Senegal dan Gambia terletak di sebelah Afrika Barat. Gambia merupakan negara paling kecil di benua Afrika dengan kelebaran 20 batu dan sepanjang 200 batu dari timur ke barat. Ia dilingkungi oleh Senegal kecuali kawasan persisiran pantai Lautan Atlantik Utara sepanjang 50 batu (Mwakikagile 2009).

Idea penubuhan sebuah konfederasi yang menggabungkan Senegal dan Gambia bertitik tolak daripada peristiwa rampasan kuasa di Gambia yang berjaya ditumpaskan melalui bantuan ketenteraan oleh Senegal dengan kekuatan seramai 3,000 anggota (Rouvez et al. 1994; Nohlen et. al 1999). Semasa rampasan kuasa pada 30 Julai 1981 yang diketuai oleh Kukoy Samba Sanyang berlaku, Presiden Gambia iaitu Sir Dawda Kairaba Jawara berada di England untuk menghadiri majlis perkahwinan Putera Charles dengan Lady Spencer. Sehubungan itu, Sir Dawda Kairaba Jawara telah meminta bantuan ketenteraan daripada kerajaan Senegal selaras dengan Perjanjian Pertahanan 1965 (Awasom 2006; Fagbayibo 2010).

Oleh yang demikian, pada 17 Disember 1981, presiden kedua-dua negara iaitu Abdou Diouf (Presiden Senegal) dan Sir Dawda Kairaba Jawara (Presiden Gambia) telah mendandatangani perjanjian di Dakar untuk menubuhkan Konfederasi Senegambia (Touray 2000). Selaras dengan Section VII, Final Provisions, Clause 18, Konfederasi Senegambia berkuatkuasa secara rasmi pada 1 Februari 1982 (Fagbayibo 2010). Nama ‘Senegambia’ digunakan sebagai nama konfederasi ini sempena nama yang digunakan semasa perjanjian di antara dua kuasa penjajah yang pernah menjajah Senegal dan Gambia pada kurun ke-18 iaitu Perancis dan Britain (Richmond 1993).

Matlamat Penubuhan:

Section I, Principles, Clause 2, Perlembagaan Konfederasi Senegambia telah menggariskan matlamat penubuhan yang disepakati bersama. Matlamat-matlamat tersebut ialah:

(i) Integrasi angkatan tentera dan pasukan keselamatan di Senegal dan Gambia untuk mempertahankan kedaulatan, integriti wilayah dan kemerdekaan;

(ii) Pembangunan kesatuan ekonomi dan matawang;

(iii) Penyelarasan polisi hubungan luar;

(iv) Penyelarasan polisi komunikasi; dan

(v) Klausa dalam bidang-bidang lain yang dipersetujui bersama.

Serentak dengan itu, tiga institusi utama dalam pembentukan Konfederasi Senegambia juga ditubuhkan. Ketiga-tiga institusi tersebut ialah:

(i) Institusi Eksekutif

Section II, The President And Vice-President Of The Confederation, Clause 6, Perjanjian Konfederasi Senegambia memaktubkan bahawa Presiden bagi Konfederasi Senegambia ialah Presiden Senegal manakala Naib Presiden bagi Konfederasi Senegambia ialah Presiden Gambia. Persepakatan ini dicapai kerana Senegal merupakan negara anggota Konfederasi Senegambia yang lebih besar berbanding Gambia.

Walaupun sekali imbas kelihatan pembahagian jawatan tertinggi dalam Konfederasi Senegambia lebih menyebelahi Senegal, namun peruntukan Perjanjian sebenarnya seimbang. Buktinya, Clause 7 menyatakan, Presiden Konfederasi Senegambia tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian tanpa dipersetujui bersama oleh Naib Presiden Konfederasi Senegambia dalam perkara-perkara tertentu terlebih dahulu. Misalnya, keputusan melibatkan polisi-polisi penting Konfederasi Senegambia seperti pertahanan dan keselamatan, serta pelantikan jawatan-jawatan utama di peringkat Konfederasi.

(ii) Institusi Legislatif

Perjanjian Konfederasi Senegambia memperuntukkan penubuhan dua instrumen iaitu:

(a) Majlis Menteri-Menteri (Section III, The Council Of Ministers, Clause 10)

Majlis ini akan dianggotai oleh Presiden Konfederasi selaku Presiden Majlis, Naib Presiden Konfederasi sebagai Naib Presiden Majlis dan Ahli-ahli Majlis yang dilantik oleh Presiden Konfederasi hasil persetujuan Naib Presiden Konfederasi. Bilangan Ahli Majlis hampir seimbang iaitu lima dari Senegal dan empat dari Gambia (Kupchan 2010). Tujuan penubuhan Majlis ini adalah bagi meneliti perkara-perkara yang dikemukakan kepada Presiden Konfederasi untuk dipertimbangkan; dan

(b) Parlimen Konfederasi (Section IV, The Confederal Parliament, Clause 11)

Bersidang dua kali setahun dan terdiri daripada 60 ahli (40 dari Senegal dan 20 dari Gambia). Ahli Parlimen dipilih secara tidak langsung menerusi Parlimen negara masing-masing. Dalam usaha mengurangkan kebimbangan Gambia terhadap dominasi Senegal dalam Konfederasi Senegambia, mekanisme telah diwujudkan bagi memastikan undian majoriti di kalangan Ahli Parlimen perlu mengandungi sekurang-kurangnya lima undian daripada Ahli Parlimen Gambia. Malah, seorang Ahli Parlimen Gambia juga dilantik sebagai Speaker;

(iii) Institusi Kehakiman

Menerusi Section V, Settlement Of Differences, Clause 15, Perjanjian Konfederasi Senegambia, sebarang perbezaan tafsiran dan pelaksanaan Perjanjian akan dikemukakan kepada Presiden Konfederasi untuk diselesaikan hasil persetujuan bersama dengan Naib Presiden Konfederasi. Sekiranya Presiden dan Naib Presiden gagal untuk bersetuju dengan penyelesaian tersebut, salah seorang daripada mereka boleh merujuk perkara tersebut kepada penimbang tara. Dalam usaha menyelesaikan perbezaan tafsiran dan pelaksanaan Perjanjian secara lebih berkesan, Confederal Court of Appeal telah ditubuhkan pada tahun 1987. Mahkamah tersebut akan diketuai oleh seorang hakim daripada negara berkecuali (Touray 2000).

Kejayaan 1: Mengukuhkan Tahap Keselamatan

Penubuhan Konfederasi Senegambia yang meletakkan aspek keselamatan sebagai salah satu daripada matlamat utamanya telah berjaya mengekang ancaman terhadap kedua-dua negara. Menurut Fagbayibo (2010), Senegal misalnya terpaksa berdepan dengan ancaman kumpulan fundamentalis Islam, kumpulan pemisah etnik di wilayah Casamance, dan golongan anti kerajaan yang didalangi oleh para pemimpin negara berjiran seperti Kwame Nkrumah (Ghana), Ahmed Sékou Touré (Guinea) dan Muammar Ghaddaffi (Libya). Sementara itu, Gambia pula perlu menghadapi kumpulan penentang yang dipercayai mendapat sokongan Libya dan Guinea Bissau. Selaras dengan protokel keselamatan yang terkandung dalam Perjanjian Konfederasi Senegambia, pasukan tentera bersama yang dikenali sebagai “Confederal Brigade” telah ditempatkan di enam lokasi strategik kedua-dua negara bagi mengawal keselamatan daripada ancaman anasir-anasir terbabit. Menerusi kerjasama pertahanan ini, Gambia menyumbang satu pertiga daripada anggota tentera dan satu pertiga daripada dana (Kupchan 2010).

Kejayaan 2: Kerjasama Bidang Kebudayaan

Menurut Touray (2000) dalam buku The Gambia and the World: A History of the Foreign Policy on Africa’s Smallest State, 1965-1995, kerjasama dalam bidang kebudayaan merupakan kerjasama paling dinamik merangkumi pendidikan, pertukaran budaya, belia dan sukan, penerangan, pelancongan, kesihatan, kebajikan dan Palang Merah. Contohnya, bagi pendidikan peringkat menengah, kerajaan Senegal memperuntukkan kuota sebanyak empat tempat kepada remaja Gambia yang berminat untuk belajar di Prytanée Militaire de Saint-Louis yang memberi pendidikan percuma kepada anak-anak anggota tentera. Bagi pendidikan tinggi pula, kerajaan Senegal menaja sepuluh tempat di University of Dakar untuk mahasiswa Gambia. Sebagai balasan, kerajaan Gambia memberi peluang kepada pelajar dari Senegal untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke Gambia yang merangkumi pengajian bahasa Inggeris (Touray 2000).

Kejayaan 3: Hubungan Luar

Penyelarasan polisi hubungan luar, seperti dinyatakan menerusi protokol yang terkandung dalam Perjanjian Konfederasi Senegambia, juga merupakan pencapaian yang membanggakan bagi konfederasi ini. Seperti diungkapkan oleh Menteri Hal Ehwal Luar Gambia menerusi wawancara dengan Radio Gambia pada Julai 1982, beliau menganggap protokol penyelarasan hubungan luar sebagai mustahak kerana ia memberi kuasa tawar-menawar yang lebih besar kepada kedua-dua negara dalam konteks perundingan antarabangsa (Touray 2000).

Kejayaan 4: Bidang Komunikasi dan Pengangkutan

Antara kejayaan dalam aspek ini adalah melibatkan penerimaan terhadap penggunaan permit perjalanan 120 hari untuk pengguna jalan raya di dalam Konfederasi Senegambia. Pembiayaan kewangan daripada Jepun juga diperolehi untuk Lembaga Pelabuhan Gambia dengan penyertaan Senegal bertujuan menaik taraf dan mengendalikan feri di Sungai Gambia. Selain itu, Dana Pembangunan Arab Saudi juga bersedia menawarkan pinjaman bernilai 40 juta franc untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi projek jalan raya Velingara-Badiana-Basse yang akan menghubungkan bahagian hilir Sungai Gambia yang bersempadan dengan Senegal (Touray 2000).

Kegagalan:

Satu hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah perpecahan Konfederasi Senegambia pada 30 September 1989 merupakan kegagalan terbesar lantas menggerhanakan kejayaan-kejayaan yang dikecapi sebelumnya. Terdapat masalah-masalah tertentu yang menyumbang kepada perpecahan tersebut:

Masalah 1:Persepsi Pemimpin Tertinggi Masing-masing yang Berbeza

Kepimpinan tertinggi kedua-dua negara mempunyai pandangan berbeza tentang matlamat sebenar penubuhan Konfederasi Senegambia. Presiden Senegal berpendapat penubuhan sebuah konfederasi sebagai batu loncatan ke arah penubuhan sebuah federasi dan seterusnya menjadi sebuah unitari. Presiden Gambia pula berpendapat bahawa penubuhan konfederasi merupakan satu-satunya pilihan terbaik dan beliau secara langsung mengenepikan sebarang usaha ke arah penubuhan sebuah federasi atau unitari (Touray 2000; Senghor 2008).

Masalah 2: Tuntutan Gambia

Pada 1 Ogos 1989, Presiden Gambia mengemukakan tuntutan supaya jawatan Presiden Konfederasi dan Naib Presiden Konfederasi digilirkan (Awasom 2006; Senghor 2008). Hal ini disebabkan Section II, The President And Vice-President Of The Confederation, Clause 6, Perjanjian Konfederasi Senegambia menyatakan Presiden bagi Konfederasi Senegambia ialah Presiden Senegal manakala Naib Presiden bagi Konfederasi Senegambia ialah Presiden Gambia. Senegal menganggap tuntutan tersebut sebagai taktik untuk melengah-lengahkan usaha mencapai bentuk integrasi yang lebih besar (Awasom 2006).

Sebenarnya tuntutan tersebut bukanlah merupakan tuntutan pertama oleh Presiden Gambia. Pada tahun 1985, beliau telah menulis surat rasmi kepada Presiden Senegal meminta supaya perisytiharan perintah darurat bagi negara Gambia oleh Presiden Konfederasi dibuat “dengan persetujuan” Presiden Gambia dan bukannya “hasil perundingan dengan” Presiden Gambia. Asas tuntutan beliau pada waktu itu ialah Perlembagaan Gambia menetapkan bahawa Presiden Gambia sahaja yang berkuasa mengisytiharkan perintah darurat di Gambia (Senghor 2008).

Pada masa yang sama, Senegal juga menghadapi konflik dengan dua lagi negara tetangga iaitu Mauritania (isu sempadan dan keganasan perkauman) dan Guinea Bissau (isu kawasan perairan yang kaya dengan perikanan dan minyak mentah). Walaupun berdepan dengan konflik sedemikian, Senegal masih komited untuk mengukuhkan Konfederasi Senegambia termasuk dalam bentuk kewangan. Misalnya, Senegal yang turut berdepan dengan krisis ekonomi dari tahun 1987 sehingga tahun 1988 masih menyumbang USD$5 juta untuk belanjawan Konfederasi Senegambia (Senghor 2008). Justeru, tindak-tanduk Presiden Gambia yang seolah-olah tidak menghargai komitmen Senegal terhadap Konfederasi Senegambia dalam tempoh yang sukar sebegitu sudah pasti menimbulkan kekecewaan dan kemarahan di pihak Senegal.

Masalah 3: Pengunduran Tentera Senegal yang Berpangkalan di Gambia

Pada 19 Ogos 1989, Senegal telah mengundurkan 300 orang tenteranya yang sebelum itu berpangkalan di Gambia selaras dengan Perjanjian Konfederasi Senegambia tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada kerajaan Gambia (Touray 2000; Awasom 2006; Senghor 2008). Senegal menerusi Menteri Angkatan Tenteranya, Medoune Fall memberi alasan kononnya tindakan tersebut adalah perlu disebabkan konflik dengan Mauritania di sempadan yang semakin memuncak sejak April 1989. Walhal sebab sebenar pengunduran tersebut seperti dinyatakan terus-terang oleh Presiden Senegal menerusi siaran langsung di televeisyen pada September 1989 ialah kegagalan Konfederasi Senegambia mengintegrasikan kedua-dua negara dan justeru tidak berbaloi untuk diteruskan. (Touray 2000). Presiden Gambia berasa tercabar dengan tindakan tersebut lantas memulakan usaha perundangan untuk membubarkan Konfederasi Senegambia (Touray 2000; Awasom 2006).

Masalah 4: Konfederasi Tidak Mendapat Sokongan Menyeluruh

Menurut Senghor (2008) dalam bukunya “The politics of Senegambian integration, 1958-1994”, rakyat melihat pembentukan Konfederasi Senegambia sebagai percaturan pemimpin dua negara dan elit politik masing-masing. Pernyataan ini ada asasnya kerana sebelum perjanjian penubuhan Konfederasi Senegambia ditandatangani oleh pemimpin kedua-dua negara, tiada sebarang pungutan suara dijalankan bagi mendapat maklum balas dan pandangan daripada rakyat negara masing-masing sama ada menyokong atau menentang pembentukan Konfederasi Senegambia.

Menerusi karya yang sama, Senghor (2008) menyatakan bahawa, Presiden Gambia umpamanya menegaskan bahawa referendum tidak diperlukan kerana kedaulatan Gambia tidak terjejas menerusi pembentukan Konfederasi Senegambia. Sikap simplistik beliau terserlah apabila menjadikan kemenangan besar dalam pilihan raya umum tahun 1982 sebagai petunjuk sokongan rakyat Gambia terhadap penubuhan Konfederasi Senegambia.

Justeru, rakyat melihat bahawa perjanjian tersebut dibuat disebabkan kepentingan peribadi pemimpin masing-masing. Misalnya, Presiden Gambia, Sir Dawda Kairaba Jawara memerlukan pembentukan konfederasi bersama Senegal agar beliau bebas daripada ancaman rampasan kuasa seperti yang berlaku pada tahun 1981 memandangkan Gambia tidak mempunyai pasukan tentera seperti Senegal (Kupchan 2010).

Masalah 5: Eksploitasi oleh Parti Pembangkang di Gambia

Berbeza dengan penerimaan rakyat Senegal yang lebih positif, rakyat Gambia diapi-apikan oleh parti pembangkang utama di negara mereka supaya bersikap negatif terhadap pembentukan Konfederasi Senegambia. Misalnya, parti People’s Democratic Organization for Independence and Socialism mengeluarkan risalah yang mendakwa kerajaan Gambia merupakan “pak turut” kepada kerajaan Senegal. Parti berkenaan juga mendakwa penglibatan Gambia dalam konfederasi merugikan rakyat dari segi politik dan ekonomi (Kupchan 2010).

Masalah 6: Gagal Bersetuju Tentang Kesatuan Ekonomi dan Kewangan

Senegal mengharapkan kerjasama yang lebih jitu ke arah kesatuan ekonomi dan kewangan supaya perbezaan harga barangan di kedua-dua negara dapat diseimbangkan dan seterusnya mengatasi masalah penyeludupan yang berleluasa di sempadan (Kupchan 2010). Caranya adalah dengan merealisasikan kesatuan kastam (customs union). Sementara itu, Gambia menganggarkan mereka akan kehilangan sekurang-kurangnya 25% daripada keseluruhan hasil cukai sekiranya kesatuan kastam diwujudkan. Sehubungan itu, Gambia mencadangkan pendekatan yang tidak tergesa-gesa bermula dengan penetapan kawasan perdagangan bebas (Senghor 2008; Fagbayibo 2010). Walau bagaimanapun, pada akhirnya liberalisasi perdagangan dengan Senegal juga ditolak oleh Gambia pada Ogos 1989 (Bach 1999). Sikap Gambia yang acuh tak acuh dalam kerjasama membuatkan Senegal begitu tersinggung (Awasom 2006; Senghor 2008).

Masalah 6: Perasaan Terancam Rakyat Gambia

Selaras dengan Perlembagaan Konfederasi Senegambia berkenaan protokol pertahanan bersama, pasukan tentera yang dikenali sebagai “Confederal Brigade” ditempatkan di enam lokasi strategik di kedua-dua negara. Walaupun penempatan pasukan tentera di lokasi-lokasi tersebut berjaya mengekang ancaman kumpulan radikal di kedua-dua negara, namun timbul pula perasaan terancam di kalangan rakyat Gambia sendiri kerana berasakan penempatan tentera Senegal di bumi mereka sebagai satu bentuk penjajahan secara tidak langsung (Fagbayibo 2010). Antara lokasi penempatan tentera Senegal ialah di kawasan pejabat-pejabat kerajaan, lapangan terbang dan stesen radio utama (Kupchan 2010). Walhal, pihak Senegal hanya melaksanakan kesepakatan yang dicapai semasa penubuhan Konfederasi Senegambia. Bantuan yang diberi juga adalah atas semangat kekitaan kerana kedua-dua negara berkongsi sejarah dan budaya yang sama sebelum era penjajahan oleh kuasa-kuasa asing seperti Britain dan Perancis. Atas dasar yang sama jugalah Senegal menghulurkan bantuan ketenteraan semasa Gambia diancam rampasan kuasa pada tahun 1981, tetapi pada masa itu tidak timbul pula kebimbangan ditakluk oleh Senegal.

Masalah-masalah yang timbul telah menyebabkan pemimpin kedua-dua negara yang terdahulu pada 12 Disember 1981 menandatangani perjanjian untuk menubuhkan Konfederasi Senegambia di Dakar, menandatangani satu lagi perjanjian di Banjul pada 21 September 1989, kali ini untuk membubarkan Konfederasi Senegambia.

RUJUKAN

Mwakikagile, G. 2009. A profile of African countries. Dar es Salaam, Tanzania. New Africa Press. hlm. 111.
Fagbayibo, B.O. 2010. A politico-legal framework for integration in Africa: exploring the attainability of a supranational African union. Tesis Ph.D. University of Pretoria. hlm. 84-87.

Richmond, E. 1993. Senegambia and confederation: History, expectations and disillusions. Journal of Third World Studies. hlm. 176.

Awasom, N.F. 2006. Anglo-Saxonism and Gallocism in Nation Building in Africa: The Case of Bilingual Cameroon and the Senegambia Confederation in Historical and Contemporary Perspective. Afrika Zamani. Council for the Development of Social Science Research in Africa & Association of African Historians, hlm. 89-90.

Ibid., hlm. 107-108.

Bach, D. 1999. The revival of regional integration in Africa. Lisboa: Universidade de Bordéus-Montesquieu, hlm. 17.

Senghor, J.C. 2008. The politics of Senegambian integration, 1958-1994. Bern: Peter Lang AG, International Academic Publishers, hlm. 255-258.

Ibid., hlm. 275.

Ibid., hlm. 279.

Touray, Omar A. 2000. The Gambia and the world: a history of the foreign policy on Africa’s smallest state, 1965-1995. Hamburg: Institute of African Affairs, hlm. 109-111.

Ibid., hlm. 114-115.

Ibid., hlm. 116-118.

Kupchan, C.A. 2010. How enemies become friends: the sources of stable peace. Princeton University Press, New Jersey. hlm. 354.

Ibid., hlm. 356.

Ibid., hlm. 360-361.

Rouvez, A., Coco, M. & Paddack, J.P. 1994. Disconsolate empires French, British and Belgian military involvement in post-colonial Sub-Saharan Africa. University Press of America, Inc. Maryland, hlm. 176.

Nohlen, D., Krennerich, M. & Thibaut, B. 1999. Elections in Africa: a data handbook. Oxford University Press Inc., New York, hlm. 411-412.

Perlembagaan

Senegambia. 1981. Perlembagaan Konfederasi Senegambia 12 Disember 1981.

Friday, January 28, 2011

Harapkan Pagar, Pagar Tak Boleh Harap...

Tanah bagi orang Melayu Islam di Pulau Pinang, terutama di daerah Timur Laut merupakan isu survival yang sangat kritikal. Kampung-kampung tradisional yang sesetengahnya telah wujud sejak lebih seratus tahun dahulu memberi nilai estetika dan makna mendalam kepada mereka, sama seperti status Kampung Baru di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Paling utama, di situlah tersergamnya lambang maruah bangsa yang masih tega bertahan di kawasan hartanah bernilai tinggi walaupun rakan-rakan sebangsa dan seagama kian lama terpaksa akur untuk tersingkir dari halaman tanah tumpah darah sendiri.

Sayangnya, entah mengapa, kewujudan kampung-kampung tradisional begini sangat-sangat tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan. Seolah-olah sakit sangat mata mereka dengan pemandangan yang kununnya tidak selari dan sesuai dengan latar belakang bangunan-bangunan pencakar langit dan binaan-binaan lain yang serba moden di sekeliling kampung-kampung tradisional tersebut. Tidak kelas dan memalukan jika dilihat pelancong, pihak-pihak tersebut antara lain beralasan.

Benar, antara aspek perkampungan tradisional yang mencacatkan pemandangan ialah masalah sistem perparitan, kurang ceria dan banyak rumah yang nampak uzur. Tapi, adakah dengan memaksa orang Melayu Islam yang menghuni perkampungan tersebut keluar dengan pelbagai alasan teknikal perundangan satu tindakan yang munasabah, bertimbang rasa dan bijaksana dalam konteks survival jangka panjang saudara sebangsa dan seagama? Bukankah lebih baik sejumlah dana diperuntukkan bagi menambah baik lanskap, prasarana dan taraf kampung tradisional sedia ada seterusnya membiarkan orang Melayu Islam mengekalkan cara hidup sedia ada?

Rupa-rupanya wawasan dan dhamir pihak-pihak yang diberi amanah, yang sepatutnya untungnya tapi malangnya orang kita juga, hanya cenderung berbentuk hal-hal tahana. Sudahlah tak mampu meramaikan orang Melayu Islam di daerah Timur Laut, yang tak berapa cangok tu pun lagi nak kena perambat. Kalau nasib baik dapatlah duduk flat atau apartment di kawasan kampung halaman sedia ada. Ibarat melukut di tepi gantang, sebab di kejiranan baru apa sangatlah flat atau apartment kalau nak dibandingkan dengan rumah semi-D, banglo atau suite. Maka penduduk asal akan benar-benar jadi seumpama setinggan seperti didakwa.

Para pelancong asing pada tahun-tahun berikutnya pula akan dibawa ke kawasan tarikan pelancongan yang baharu; sebuah muzium tanda suatu ketika pernah ada kampung tradisional orang Melayu di situ. Orang lain semua ada identiti sendiri. Depa ada ‘town’. Depa ada ‘street’. ‘Town’ dan ‘street’ lambang dinamika masa kini dan akan datang. Orang kita cuma layak ada ‘muzium’; lambang sesuatu yang telah lama berlalu, sesuatu yang telah lama pupus, tapi dikutip serdak-serdak yang tinggal lalu dihimpun buat pameran. Baguslah cara kita mengangkat martabat bangsa sendiri dengan cara begitu. Buatlah selalu.

Demikianlah nantinya pihak-pihak berkenaan akan langsung tidak punya locus standi untuk bercakap sebagai pejuang bangsa, apatah lagi untuk mempertikaikan tindak-tanduk jiran seberang tambak melainkan ditempelak, “Piiiraaahhh! Hampa pun sama!”.

Thursday, January 06, 2011

Fardhu Kifayah: Suatu Tuntutan Di Pulau Pinang...

Aku sebenarnya mengamati perkara-perkara berkaitan fardhu kifayah ini sudah lama. Tapi dengan senario semasa aku berasakan bahawa keperluan melaksanakan perkara-perkara bersifat fardhu kifayah ini sudah menghampiri tahap wajib. Itu pandangan peribadiku, dengan menyedari bawah fardhu kifayah tetap sifatnya fardhu kifayah. Cuma apabila aku sandarkan pada latar belakang geografi, khususnya di Pulau Pinang, aku rasa masanya sangat-sangat kena, malah sepatutnya jauh lebih lama maslahah umat Melayu Islam ditangani sewajarnya. Yang aku maksudkan ialah perkhidmatan bidang kepakaran profesional tertentu yang sangat sulit untuk orang Melayu Islam di negeri aku mendapatkannya, hatta di kawasan sempadan negeri yang terdekat sekalipun.

Aku akui, aku tiada kemampuan untuk merealisasikan hasrat itu. Utama, dari segi kelayakan akademik mustahil untuk aku sediakan perkhidmatan yang diperlukan.Walau bagaimanapun, satu perkara yang pasti, insya-Allah aku dan ramai lagi umat Melayu Islam akan sentiasa sokong perkhidmatan orang Melayu Islam yang lain sekiranya ditawarkan dan munasabah dari segi mutu perkhidmatan dan harga. Aku dan mereka memang mencari alternatif kepada perkhidmatan sedia ada. Masalahnya ada jenis perkhidmatan kepakaran yang langsung tiada.

Aku berikan satu contoh. Aku nak bawa bayiku berjumpa dengan pakar kanak-kanak sebab ada masalah kesihatan terutamanya ruam. Mak aku kata ada Klinik Tan & Tan di Bukit Mertajam. Klinik ini bagi aku memang popular sejak dahulu, dan established, tapi aku cuba mencari yang lebih dekat dengan rumah, area Nibong Tebal dan Parit Buntar. Selain Google, aku juga baca beberapa blog yang menyarankan klinik pakar kanak-kanak di kawasan yang aku cari. Dua blog yang aku baca, para penulisnya orang Melayu, seakan-akan endorse Ho Specialist di Parit Buntar, ada sebab cajnya yang berpatutan, ada sebab rawatan yang berkesan.

Dalam perjalanan ke Parit Buntar, aku terperasan Singapore Family & Child Clinic di Nibong Tebal sebab kedudukannya di tepi jalan. Tapi sebab endorsement di blog-blog, aku teruskan mencari lokasi Ho Child Specialist di Parit Buntar. Dalam Google kata Jalan Menteri letaknya sekitar Permatang Tok Mahat. Setahu aku, dan setelah memandu untuk mencari, memang tak ada pun sebarang klinik di kawasan Permatang Tok Mahat itu. Lalu aku teruskan ke Pekan Lama Parit Buntar, sebab di Pusat Bandar pun memang tak pernah lagi aku perasan ada klinik kanak-kanak kat situ, sementelahan cik raja kata hasil carian Google dia menyatakan lokasi klinik berkenaan di Pekan Lama.

Sejak wujudnya Pusat Bandar, Pekan Lama Parit Buntar boleh dikatakan lengang berbanding zaman kegemilangannya. Meriah seminggu sekali sahaja, petang Jumaat sebab ada pasar malam. Tapi bukanlah maksudnya aku tak pernah langsung menjejakkan kaki ke situ, cuma tak perasan pula ada klinik apatah lagi klinik pakar kanak-kanak. Akhirnya jumpa juga klinik tersebut, setelah pusing dua-tiga kali. Tengok dari luar memang colourful dari segi warna papan iklan. Kasut tinggal di luar.

Memandangkan ini kali pertama mendaftarkan bayiku, aku dan cik raja berpandangan bagaimana prosedurnya. Adakah nak dihulur I/C aku atau cik raja. Rupanya misi (aku panggil misi la dalam entri ini walaupun lebih kepada petugas kaunter dan ubat-ubatan dengan uniform pun tak pakai atau memang tak ada). Diberi kepadaku sekeping kertas yang lebih kecil daripada 1/4 kertas A4 yang dilipat empat. Ada ruang nama, alamat, nama ibu bapa, nombor telefon dll. Selepas diisi ku kembalikan semula kepadanya. Kemudian tunggu bersama cik raja dan Raihan sementara dia key in guna komputer yang terletak di bahagian bawah paras kaunter pendaftaran dialas dengan kaca lutsinar.

Sampai waktu, kami pun bertemu doktor, kebetulan tak ada pesakit lain masa itu.

Yang mengejutkan aku ialah cara layanan si Ho ini. Mungkin benchmark aku tinggi berbanding penulis-penulis blog yang recommend klinik ini, tapi expectation aku ialah sebagai doktor, tambahan pula doktor yang kepakarannya bidang kanak-kanak, layanan termasuk nada pertuturan lebih lembut dan mesra pelanggan. Tapi ciri-ciri itu aku tak dapati pada dia. Yang aku dapati ialah approach dia yang bertanya cara-cara kami handle bayi (sukatan bancuhan susu, susu jenis apa yang diberi, jenis sabun mandian bayi, cara tepuk kalau burp dll.). Tak dinafikan, sebagai pasangan yang kali pertama menimang cahaya mata, sudah tentu terdapat kelemahan dan kesilapan tertentu dalam teknik menjaga bayi. Tapi, instead of jelaskan dengan tutur kata yang berhemah, dia response dengan nada sinis lalu membebel. Hampir semua soalan tentang penjagaan bayi yang dia tanya tu kami tak lakukan kesalahan pun, tapi sama ada betul atau silap (pada pandangan dia), ulasan susulan dia tetap dalam format yang sama. Contohnya, masa dia tanya tentang sukatan bancuhan susu, berapa auns, kami jawab 30 ml satu scoop. Mana ada orang guna sukatan British dah la ni. Entah dia ni memang pak awang ka apa (sila rujuk karekter dalam drama radio Kebun Pak Awang) dia ingat kami jawab 3 auns satu scoop, then dia start nak membebel macam nak marah. Buat kerja menulis apa ntah sambil bertanya, memang la tak fokus. Bila bagitau sekali lagi kata 30 ml satu scoop sambil disahkan oleh misi, still dia response secara tak menyenangkan, "Tadi u kata 3 auns", memang sah pak awang. Nampak sangat approach nak menyalahkan client. What the heck!

Ya, dia ada juga senyum, tapi senyum dia tu bukan jenis senyuman doktor yang kita tau mesra pelanggan. Yang paling ridiculous ialah apabila dia tanya berapa lama sekali beri susu kepada bayi. Apabila cik raja menjawab setiap sejam, dia start lagi pot-pet-pot-pet dia tu. Kalau ikut dia tau berapa jam? Tiga jam sekali. Alasan: 1) Kalau nak bagi setengah jam sekali pun boleh tapi tak buleh buat kheja lain la, 2) Kat hospital pun dia buat macam tu, 3) Supaya bayi berdisiplin dan tak minta susu setiap masa, 4) Supaya kita tau sama ada bayi tu menangis sebab lapar susu atau sebab lain.

Oleh yang demikian, saja aku tanyakan soalan kat dia, so, kalau baby menangis dalam tempoh tiga jam tu biar saja la. Tau dia jawab apa? Biar saja. Satu praktis yang karut bagi aku, sebab 1) Bila bayi tegheyak, of course la kita check segala-galanya pada baby; lampin dia, perut dia kembung ka dak, then baru bagi susu. Let say, tunggu juga sampai tiga jam, then baru nak bagi susu, tak ka kembung perut budak tu. Dan kita pun larat ka nak dengar budak tu melahang tak berenti, 2) Kalau praktis dia kat hospital tu macam tu, aku rasa tu sama spesies dengan misi-misi kat hospital tertentu yang pemalas nak buat kheja lebih, lagi tak cukup jam, atau kalau budak kheyau jugak walaupun baru minum susu jugak, depa akan buat derk sampai time minum susu seterusnya, maklum la bukan anak depa, dan depa buleh la boh dalam satu bilik bagi budak-budak tu pakat-pakat kheyau ramai-ramai. Aku & cik raja bukan jenis balo' liat macam dia & co.

Satu perkara yang aku terkesan dengan keadaan ini ialah, sepatutnya semakin tinggi ilmu seseorang, dalam konteks ini semakin pakar doktor itu, semakin terserlah top-notch of his public relations and treatment. Aku teringat Dr. Mohd Hishamudin Harun, Pakar Perubatan (Haemato-Onkology) yang merawat aku di Al-Islam Specialist Hospital (sorry doc, lama tak jumpa). Hampir sepanjang masa aku lihat dia ke Masjid Kampung Baru untuk solat jemaah, memperlihatkan bagaimana orangnya, walaupun premis ni tak adil bagi doktor kat Parit Buntar tu. Cara cakapnya, cara explain kepada pesakit, at least dari segi psikologi pesakit rasa selesa. Plus point ialah every advices given will be accompanied with nasihat-nasihat agama yang ada kaitan dengan ketentuan Allah dalam kesihatan. Begitu juga kata cik raja di Hopsital Sultanah Nur Zahirah, doktor-doktor pakar kerajaan ni memang berhemah dalam berbicara, padahal ada yang dah bergelar Dato' pun. Malangnya aku tak jumpa sifat-sifat ni kat Parit Buntar tu. Sesi konsultansi rasa macam dalam keadaan tension ada la.

Aku sarankan kepada cik raja untuk dapat second opinion, sebab aku tak puas hati terutama tentang tempoh pemberian susu. So, lepas pi beli pampers dan alat-alat bayi kat Manjaku, kami gerak sekali lagi ke Singapore Children & Family Clinic (Nibong Tebal) yang buka semula pada pukul 2 petang. Kasut boleh letak di dalam, ada ruang petak segi empat selepas pintu masuk, ruang tersebut lebih rendah dan berlainan warna dengan jubin lain di luar petak. Di sini, aku dapati elemen profesionalisme lebih meyakinkan berbanding klinik di Parit Buntar itu. Semasa pendaftaran, petugas wanita, yang walaupun tidak beruniform, mengeluarkan satu folder kertas lebih kurang saiz A4 untuk particulars pesakit. Folder macam tu mengingatkan aku kepada standard yang terdapat di hospital swasta. One good impression at first sight. In fact, at first dia nak tolong isikan nama Raihan dan particulars seterusnya, tapi sebab aku rasa daripada aku menyebut dan mengeja kat dia lebih baik aku tulis sendiri. So, dia bagi sebatang pensel untuk aku tulis sebelum dia key ini dalam database.

Kami menunggu untuk dipanggil masuk. Rupanya, petugas itu nak timbang berat Raihan. Another good impression. Ini baru profesional, siap timbang berat bayi. 3.2 kg dah. Then, baru dipanggil masuk oleh doktor lelaki itu sendiri. "Amnaa...". Wah, ada kemajuan.

Seriously, obviously ada ketenangan fikiran dan perasaan apabila pintu dibuka. Hello, doktor menyapa. Cakapnya pun lembut. Sepanjang sesi konsultansi, dia bersikap terbuka dengan soalan-soalan yang ditanya kerana katanya memang itu soalan-soalan biasa bagi bayi pertama. Mungkin dia boring nak jawab soalan-soalan yang sama, tapi bagi kami ini pengalaman pertama. Cuma kalaupun dia boring semua soalan tu dia still jawab dengan nada suara yang munasabah dan melegakan kami.

Cuma masalah orang sains ni selalu berpegang kepada logik dan penemuan saintifik. Misalnya, bab pakai barut, dia propose theory bahawa bayi dipakaikan barut kerana takut angin (sebenarnya ada rasional lain bayi dipakaikan barut). Kalau ikut kata dia, manusia ni sepanjang masa dalam badan dia ada angin. Then, bila dia start nak bagi ulasan berangkai aku rasa dia ni dah macam hat Parit Buntar tadi dah ni. Antaranya, dia kata kalau angin boleh masuk kot pusat bayi yang dibarut tu, kalau mandi pun air boleh masuk jugak. So katanya, bila pusat bayi dah tanggal then automatically ruang dah ditutup. Dan dia tambah lagi, kalau betul-betul tak mau angin masuk ke badan bayi, kena tutup seluruh badan, which for me is a lame reasoning (and irritating too). Dalam hal ini, aku mengambil sikap taking the best from both worlds. Sebab sains tak semestinya menawarkan nasihat yang terbaik dan paling mujarab. Tradisi dan kaedah alternatif juga bukan superstitious yang menghasilkan petua-petua out of nowhere. Orang tua-tua berpetua berdasarkan pengalaman. Mana kita tahu berapa banyak juga trial and error dalam proses tersebut, tapi rumusannya sudah tersedia untuk kita amalkan. Macam jugak aya' dan minyak selusuh untuk mudah bersalin, sains bukan percaya tu semua. Aku beri satu analogi kepada cik raja, dalam proses penyembuhan kanser, doktor akan sarankan supaya buat kemoterapi. Kesan pada tubuh pesakit jangan cerita la, rambut gugur, badan jadi seghoh. Tapi ada rawatan alternatif, cara Islam misalnya, macam Ustaz Mail dekat rumah aku ni buat aya' yang dibaca ayat-ayat suci. Ada pesakit yang hilang kanser dengan izin Allah, sampai doktor pun naik hairan, dah tentu ada perkara-perkara yang sukar dijelaskan secara saintifik. Cuma masalahnya doktor bagi kata dua kalau tak teruskan perubatan dengan cara kemoterapi ni depa takkan bertanggungjawab kalau apa-apa jadi. Rawatan kemoterapi diteruskan dan sel kanser menyerang kembali. Maknanya, kita jangan taksub dengan satu-satu pegangan, tak kira la dalam mazhab akidah atau maslahah hidup. Ada la sebab-musababnya bayi dibarut, dibedung dll. yang pada pandangan sains bukan satu keperluan. Sains mungkin memandang amalan-amalan macam tu tak relevan dalam aspek tertentu, tapi sains terlepas pandang aspek lain yang dititikberatkan oleh amalan tradisi. Dan kadang-kala, layman terms macam angin dan sebagainya mungkin ada istilah lain dalam bidang perubatan, cuma orang biasa kalau perut kembung kita kata la angin. Cuba ambil perumpamaan darah. Semua orang ada darah, tapi sebab apa bila tak sihat boleh ada istilah darah rendah atau darah tinggi. Same goes to angin, when there are times that certain amount of angin could harm us. But as usual, science is always right. Disgusting.

Taksub aside, aku ajukan soalan kat dia tentang tempoh masa pemberian susu kepada bayi. Tau apa dia jawab? "On demand". See, always seek for second opinion. Kalau ikut hat Parit Buntar tu alamat menangis kehausan la anak aku sebab belum cukup tiga jam. This is not the case of wishing for the most soothing answer, but listening to the most reasonable opinion. Selain itu, doktor ini hanya beri krim untuk sapu bagi ruam Raihan, itupun paling mild katanya sebab kalau boleh kanak-kanak dia tak mau bagi ubat sangat. Pertanyaan tentang kadang-kadang nafas Raihan macam berbunyi sikit katanya normal sebab saluran pernafasan bayi belum matang. Konsultansi RM20, ubat RM10. Berbanding hat Parit Buntar tu tiga jenis ubat dibaginya; krim fungal la, ubat mandi la, ubat titik untuk hidung la, semua sekali RM69. Aku tak melihat dari segi kos ubat, tapi penting untuk tak percaya bulat-bulat pendapat sorang saja dalam apa hal pun termasuk kesihatan. To top the good impression, doktor ni siap offer untuk telefon dia kalau ada apa-apa nak tanya. Aku katakan pada cik raja, this doctor is merely being diplomatic, but in terms of offering something extra, he deserves a credit. By the way, kata pembatu perubatan tu doktor tu namanya Thomas. Walaupun dia bukan Pediatrician sebaliknya Family Practitioner, tapi layanan dan nada suara dia mengatasi orang yang kununnya pakar kanak-kanak. Raihan pun kata cik raja khusyuk saja melihat doktor tu bagi explanation tadi, masa kat Parit Buntar tu bukan main punya kheyau. Budak-budak pun boleh menilai, apatah lagi orang dewasa. Doktor pompuan di klinik ini hari Selasa, Doktor Loh.

*****
Berbalik kepada persoalan fardhu kifayah, aku harapkan orang-orang Melayu Islam yang ada kepakaran dalam bidang tertentu supaya tawarkanlah kepakaran anda tu untuk saudara Melayu Islam yang lain. Yang aku maksudkan dengan kepakaran ialah kalau doktor bukan setakat MD, sebaliknya bidang pengkhususan seperti Pediatrics dan sebagainya. Analoginya ialah seperti Radix Fried Chicken. Walaupun dari segi kualiti belum cecah tahap KFC, tapi tengoklah bagaimana sambutan orang Melayu Islam kat tempat2 yang ada Radix Fried Chicken ni, penuh sentiasa. Moralnya ialah for sure orang Melayu Islam akan sokong perusahaan saudara sebangsa seagama dia sebab orang Melayu Islam dah ada kemampuan ekonomi pun. Cuma sebab depa tak dak pilihan, so terpaksa la pi mengadu hal kat orang lain jugak walaupun depa bukannya redha sangat pun. Hakikatnya perancangan kita ni tak strategik. Kita ada ribuan doktor generalist seluruh Malaysia, tapi kita tak cater secukupnya keperluan orang Melayu Islam di Pulau Pinang terutamanya. Cuba pi ke hospital-hospital kerajaan di Pulau Pinang, betapa susahnya kelahiran anak nak diharap untuk disambut oleh doktor Melayu Islam. Doktor-doktor memang ada etika perubatannya (walaupun banyak juga yang tak beretika pun) dengan memegang Sumpah Hippocrates, tapi isunya di sini ialah keselesaan pesakit Melayu Islam. Keselesaan di sini bukan setakat terhad kepada sama agama, sama bangsa bahkan persamaan dari sudut budaya dan adat resam. Misalnya, kalau jumpa Pediatrician Melayu Islam, lebih besar kebarangkalian isu nilai-nilai tradisi seperti bagi susu kepada bayi secara kerap serta barut, bedung dan sebagainya tidak timbul. Sebab apa, sebab sesama Melayu Islam ni lebih memahami. Proses rawatan pun dekat dengan hati orang Melayu Islam. Bak kata orang-orang kampung, kurang-kurang kalau nak cucuk depa baca bismillah. Skop yang lebih luas kita boleh huraikan sendiri.

Perancangan strategik juga perlu mengambilkira penempatan golongan profesional dengan kepakaran khusus tertentu di lokasi-lokasi strategik bagi kemudahan orang Melayu Islam. Apa gunanya kita menghasilkan, contohnya, ribuan doktor Melayu Islam yang generalist, tapi bila mai tang pakar nu pakar ni kita still kena refer kat orang lain. Tak semestinya setiap daerah ada orang yang pakar, cukup kalau ditempatkan di kawasan-kawasan yang boleh memberi khidmat kepada sejumlah orang Melayu yang signifikan dalam radius yang besar. Contoh, kalau letak di kawasan Transkrian, orang Seberang Perai Selatan boleh mai, orang Parit Buntar boleh mai, orang Bandar Baharu pun boleh mai. Apapun, penempatan ni bergantung juga kepada kesesuaian, contohnya kalau Neurologist mungkin perlu letak di tempat lebih urban seperti Bandar PERDA.

Hanyasanya ingin aku ingatkan, apabila kita melibatkan diri dalam sesuatu perusahaan / bidang perniagaan dengan membawa nama Melayu Islam, kualiti dalam segenap segi termasuk layanan pelanggan perlu dipastikan berada pada tahap tip-top, kalau tidak kita hanya akan memusnahkan reputasi bangsa dan agama kita sendiri. Setakat ni memang banyak kes nama sahaja Melayu Islam di premis berlabelkan Islam, tapi servis out, sama ada tak cekap mahupun tak mesra pelanggan. Memanglah susah, tapi kita kena set benchmark macam tu, sebab tu yang membezakan kita dengan depa. 


12.34 malam
Kampung Gurun