Monday, December 27, 2010

Kabhi Khushi Kabhi Gham (Kadang Bahagia, Kadang Duka)...

Sunnatullah dijadikan setiap makhluk berpasang-pasangan. Ada pasangan jantina, ada pasangan angka, ada pasangan perasaan. Malam ini aku begitulah juga; satu seronok, satu sedih.

*****


Perasaan Seronok


Empat orang ahli keluargaku ke Batu Caves menghadiri kenduri kahwin sepupuku Yon. Jadi tinggal enam orang di rumah termasuk pembantu rumah. Seperti sedia maklum, malam ini, Tanah Tumpahnya Darahku ada perlawanan besar dan getir di Stadium Nasional Bukit Jalil. Final pertama Piala AFF Suzuki; Malaysia lawan Indonesia.


Dari riak wajah para pemain Malaysia masa nyanyian lagu Negaraku memang semangat berkobar-kobar. Habis menyanyi ada tiga empat orang players tunduk kesat air mata sebelum berlari ke tengah padang. Penyokong Malaysia pun supportive, giler penuh stadium tu dengan warna kuning. Tapi yang slack tu, ada unsur kurang integriti juga dari segi nisbah penonton. Makumat yang dihebahkan di dada akhbar bahawa Indon hanya akan dapat 15 ribu tiket. O.k., fine, walaupun aku rasa penyokong Malaysia kalau pi Gelora Bung Karno nak dapat seribu tiket pun payah. Malaysia sememangnya berbudi-bahasa dan banyak bertolak-ansur. Tu pun Indon asalnya didakwa minta 25 ribu tiket. So, nisbah tiket ialah Malaysia 75 ribu, Indon 15 ribu. Adil la tu, kalau tak apa guna Malaysia jadi tuan rumah kalau penyokong tempatan dapat tiket nak sama banyak dengan penyokong luar. Hanyasanya, berbalik kepada integriti ialah Hasbullah Awang maklumkan hampir 30 ribu penyokong Indon mengisi ruang stadium. Diulas oleh Wani, ada siaran berita siang tadi kata penjaga kaunter tiket tak larat nak check I/C. Wak long tul, tak amanah dalam berkerjaya. Tu baru pegang kuasa peringkat bawahan pun dah culas. Jadi tak hairanlah kalau Indon yang patut hanya dapat 15 ribu tiket dah dapat 30 ribu tiket. Bila tak check I/C maknanya adalah orang Indon ambil kesempatan beli tiket untuk kuota penyokong Malaysia. Dejei betui.


Permulaan permainan hampir seimbang dengan penguasaan bola lebih sedikit sahaja di pihak Malaysia. Defenders Malaysia kental bertahan, siap nampak sangat bermain secara santai yang mengakibatkan penonton di rumah macam aku dan Wani dug dag dug dag suspense isy kalaulah Indon boleh potong hantaran pendek tu memang nahas Malaysia. Indon memang bahaya dengan sayapnya, Okto yang kecil tapi lincah, sekali pandang macam Shaun Wright-Phillips pun ada termasuk dari segi tekstur warnanya. Memang kucar-kacir banyak kali jugalah pertahanan Malaysia dibuatnya.


Di pihak Malaysia, masalahnya bagi penonton yang beremosi macam aku ini ialah setiap kali menyerang nampak sangat striker kita tak dapat banyak support dari kawan-kawan, salah satu sebab utamanya ialah lambat naik ke atas. Giler ah kalau Messi jadi striker Malaysia pun mati keras la dia sorang-sorang terkentoi2 nak gelecek sampai 5-6 orang defenders Indon. Sekali-sekala mungkin boleh la, tapi setiap kali serang takdak support memang sia-sia la peluang yang ada. Ternyata, Indon belajar dari taktik Malaysia di Stadium My Dinh tempoh hari.


Kalau tadi penjaga tiket tak berintegriti, kali ni pulak cerita segelintir penyokong Malaysia yang mangka’. Semua penyokong Malaysia nak Malaysia menang, tapi takkan kita nak menang dengan cara yang hina dan keji sampai menjatuhkan maruah negara. Ini siaran langsung yang kalau satu dunia tak tengok pun satu Asean gerenti tengok. Aku merujuk kepada mamlak2 yang pi suluh laser kat keeper Indon dan benda ni berterusan sampai awal second half yang Malaysia control game. Indon sebenarnya tertekan dengan asakan Malaysia, tapi dengan tembakan laser tu Indon ambil kesempatan mencuri nafas dengan cara kunun-kunun tak mau teruskan permainan. Alasan tahap cipan saja tu sebenarnya, sama cipan dengan perangai penyokong Malaysia yang tembak laser tu. Pikia’ la panjang sikit, macam-macam kemungkinan boleh terjadi. Sekali perlawanan betul2 dihentikan dan Indon diberi kemenangan percuma tak ke naya. Tak pun perlawanan dibuat di tempat berkecuali, so takdak home advantage. Sepatah kata Wani, tak tembak laser pun Malaysia boleh menang la. Masa tu aku kata kalau selama ni penyokong salahkan players Malaysia yang main menyakitkan hati, tapi kalau apa-apa jadi sebab laser ni bukan players Malaysia dah yang perlu disalahkan sebaliknya penyokong yang tak bertamadun ni yang perlu dikutuk kaw-kaw oleh majoriti penyokong Malaysia lain. Sebab tindakan depa tu jadi bahan serangan penyokong Indon di alam siber. Lepas ni memang Vietnam tag team la dengan Indon lawan Malaysia. Kerana tindakan depa tu juga, buah-buah kilas yang penyokong Malaysia rentang kat stadium, antaranya, “100% Rakyat Malaysia” jadi tawar.


Perkara lain yang menjadi kemusykilan aku ialah macam mana alat laser tu boleh dibawa masuk. Dan jangan lupa juga ada mercun dan bunga api. Takdak ka mesin atau mekanisme yang boleh periksa dan scan penyokong yang nak masuk stadium. Begitu juga dengan tindakan lembab yang nak diambil terhadap mal’un yang mencetus sinaran laser tu. Takdak ka CCTV ka untuk mengesan lokasi dan seterusnya zoom in kepada jibauk yang suluh laser tu. Ni sampai orang-orang kenamaan kena turun ni apa cerita walaupun aku setuju patutnya depa tu awai-awai lagi dah turun dah.


Walau macam manapun players Malaysia memang superb malam ni. Bagi aku sebagai pemerhati bebas ni, yang paling rajin Kunanlan. Kalau semua pemain Malaysia macam tu bungkus lama dah Indon tu. Cuma biarpun dia sangat rajin tapi kalau member tak support tak pi mana jugak bola tu melainkan kepada keeper Indon. Yang lincah, top assist of course Norshahrul Idlan Talaha. Walaupun baru balik dari Newcastle lepas kahwin, tapi dia memang bagi Indon makan asap la. Kepakaran dia ialah bola garisan gol. Gol pertama tu menampakkan kelicikan dia mengelak body touch defender Indon. Timing dia cantik, dia biar defender Indon nak touch dia padahal tak kena pun sebab dia masih di belakang, dan dengan liciknya dia cilok bola dari dalam sebelum pass kepada Safee Sali. Giler mantap. Gol kedua pun dari gerakan garisan gol jugak. Bila masuk gol ketiga, Wani berkata hasil pembacaan akhbar ada players Malaysia yang nak balas dendam kekalahan 1-5 kat Jakarta. Dan seperti penyokong Malaysia yang lain juga rasanya, memang mengharapkan Markus tewas lagi. Kalau tak dapat 5 gol, 4 gol pun jadi sebab dari segi Matematiknya balance dengan nilai bersih keputusan di Jakarta tempoh hari. Seharusnya jaringan Malaysia bertambah sebab banyak sangat clear chance yang disia-siakan, antaranya oleh Safiq Rahim. Satu ketika juga aku dah terteka-teka sapa la gerangan penalty taker Malaysia selepas Kunanlan dijatuhkan oleh keeper. Rupa-rupanya tunggu punya tunggu punya tunggu game sambung macam biasa. Padahal keeper tu sah-sah meluru dan tangkap kaki Kunanlan bukannya tangkap bola.


Dari segi strategi di penghujung permainan nampak Malaysia agak slow down dan fokus defenders merosot. Akibatnya, Indon ambil peluang mengasak. Nasib baik Indon tak berapa sharp malam ni, kalau tak alamat bocor jaring Malaysia dan boleh kirim salam la kat Gelora Bung Karno.


Anyway, tahniah kepada skuad Harimau Malaya kerana tanpa star players anda dah buktikan bahawa anda setahap lebih padu dari skuad bola negara Asean lain. Pada hemat aku, selain boleh dijadikan alasan kalau tak dapat keputusan positif bagi setiap perlawanan, ketiadaan star players ni melonjakkan motivasi pemain-pemain yang hanya kurang ternama tetapi tidak terbelenggu dengan cerita-cerita sensasi dan ada kalanya lebih bersemangat waja untuk mengangkat maruah negara. Cuma kalau dapat approach pemain macam Brendan Gan bagus juga, bukan apa, FIFA dah bagi jalan, gunalah kemudahan yang ada. Satu lagi, yang terakhir, diet tu jagalah sama, ni kalau atlit makan laksa macam orang biasa tentulah ada tak berapa kena.


Ada temujanji yang sangat getir di Gelora Bung Karno Rabu ini, bak kata Rizal Hashim di TV1, belum tentu dua jam Malaysia boleh keluar dari stadium tu. Tapi aku tak risau sangat, sebab aku dah ternampak-nampak bas warna kuning parking depan pintu gol Malaysia dalam game tu.


Biru jersi bertuah!


*****


Perasaan Dukacita


Anakku yang pertama diserang kuning, terpaksa aku tinggalkan dia di wad untuk rawatan rapi. Kesian aku tengok dia yang kheyau most probably sebab lapar dan terutamanya waktu dinihari. Dan akulah yang menimang-nimang dan memujuknya dengan pelbagai alunan genre sama ada kalimah-kalimah zikir mahupun lagu pelbagai era. Kebanyakan masa dia akan berhenti menangis apabila aku berbuat begitu, walaupun aku ini bukanlah seorang yang berkemahiran dalam hal-hal sebegini. Kata cik raja, anakku ini kelihatannya akan kamceng dengan aku. Kata Wani, jangan jadi macam seorang anak saudara pupuku yang langung tidak boleh berenggang dengan ibunya sudah. Ada persamaan dari segi jantina yang kontra di situ, anakku perempuan sedang anaknya lelaki. Aku harap pun begitu juga.


Melihat kedua-dua belah matanya diletakkan kain penutup yang berplaster tambah menyedihkan. Di depanku kaca lutsinar, ku pandang sebelah kananku, cik raja menitiskan air mata melihatkan anakku hanya berlampin Pet-Pet dalam bekas seperti besen plastik disinari cahaya kebiru-biruan lima tiub lampu. Teringat lagu Far East, Saat Lafaz Sakinah yang aku dengar dalam perjalanan ke DBM. Ada kemungkinan aku pun nantinya menitiskan air mata seperti Chef Wan semasa hari pernikahan anaknya. Orang-orang seni ini cepat tersentuh jiwanya. Mana tahu, hari berbahagia itu, kalau panjang umur, saat aku menggenggam tangan si jejaka, aku terbayang menimang-nimang anakku saat ia menangis.


Anakku, segeralah sembuh hendaknya.



Kampung Gurun
11.59 malam

Thursday, December 23, 2010

Anakku Yang Pertama Berkongsi Tarikh Lahir Yang Sama...

Tahun 2010 ini sesungguhnya tahun penuh advencer bagi aku. Bermula mengakhiri zaman perseorangan, berpindah rumah selepas tol LDP kerana rumah lama bermisteri, kemudian berpindah rumah lagi kerana kawasan kejiranan pusat kegiatan jenayah, menghuni pula kawasan elit dengan kadar sewa berserta deposit pun elit juga, kejayaan meninggalkan tapak pembinaan piramid tapi hampir punah harapan berhijrah di jalan ilmiah kerana arahan bertugas sebagai penyelia peserta kursus datang dari pucuk pimpinan peringkat tertinggi, lalu entah macam mana nasib baik dapat juga menelusuri jalan ilmiah walaupun kemudiannya mendatangkan reba kerana orang lain sudah dua tiga minggu masuk belajar, seterusnya bertungkus-lumus dengan tugasan dan peperiksaan, dan akhir sekali menempuh pengalaman kelahiran anak sulung pada hari jadiku. Memang tahun advencer.

*****

1.47 pagi - 2.10 pagi. Perjalanan dari Sungai Bakap ke Dewan Bersalin Muslimah (DBM), Permatang Pauh. 26 km. Tahap kelajuan pada awalnya begitu santai, lebih kurang 60 kilometer sejam. Lama-kelamaan semakin laju mencecah 110-120 kilometer sejam. Di lebuh raya lengang kenderaan pun kurang. Sepanjang perjalanan agak gementar memegang stereng dan memijak pedal minyak kerana teringat kisah peserta kursus semasa program anak angkat yang memohon kebenaran dariku untuk pulang ke kampung menemani isteri bersalin anak pertama. Meskipun sedikit gementar, undang-undang trafik dipatuhi hampir kesemuanya, kecuali lampu merah di laluan keluar rumahku, itupun sebab memang jalan raya sunyi sepi dan aku dalam emergency. Oh, satu lagi lampu merah simpang ke jalan menuju plaza tol Bukit Tambun, itupun bertukar dari merah ke hijau sebaik aku membelok masuk. Sekiranya aku ditahan mata-mata, memang aku minta budi bicara sebab cik raja sudah sakit setiap lapan minit sekali.

Mak aku di belakang sekali, sebelah cik raja. Plastik kereta pun belum berbuka, sengaja dibiarkan manalah tahu ada ketumpahan.

Cik raja sakit berat yang lama. Sat saja yang lega sikit, lepas itu sakit berat itu berlama-lama semula. Mak aku jenuh juga membaca dan menjampi air mineral dan zam-zam untuknya, sambil menghembus-hembus apa yang patut. Aku pun membaca sama apa-apa yang aku tahu. Kesian cik raja. Doktor pula pada masa yang sama masih berada di sebelah Tanjung untuk kes yang sama. Lambat juga sementara hendak sampai ke DBM ini.

Aku melihat-lihat jam di bilik. Mungkinkah Raihan lahir jam 12.30 tengah hari lalu menyerap unsur-unsur ketega’ juga? Oh, nampaknya tidak kerana jam kemudiannya sampai juga ke pukul 1.00 petang.

Cik raja meminta kalau-kalau ada dos penahan sakit. Epidural saja yang ada jawab misi bertugas, melibatkan suntikan pada belakang. Aku bila bab-bab suntik kawasan tulang belakang ini memang aku minta simpanglah. Cik raja dalam sakit-sakit itu sempat SMS kepada Nani bertanya tentang dos penahan sakit. Pethidine, kata Nani. Patutlah cik raja kata memang ada dos lain selain Epidural. Misi pun tak sama level pengetahuan amnya. Bidan setuju nak beri, tapi dengan syarat doktor perakukan. Masalahnya doktor masih di Tanjung.

Bidan cuba menolong dengan menyapu dan mengaplikasikan minyak selusuh pemberian kingtimah yang diberi kepada cik raja. Dari 3 sentimeter sejak beberapa jam lalu beliau cuba menambah bukaan.

Sewaktu aku di kamar kecil untuk bersiram, kedengaran seolah-olah suara doktor memeriksa cik raja. Kemudian tiada lagi suara-suara manusia kedengaran, kecuali satu ketukan di pintu kamar kecil. Entah misi, atau mak aku, kerana sebaik keluar, siapa pun tiada.

Aku mengesyaki semuanya ke dewan bersalin. Setelah ku pastikan dengan misi-misi yang ada, aku terus ke sana. Cik raja minta aku baca Yasin.

Detik kelahiran bayi perempuanku juga seakan refleksi kelahiranku. Kerana mak dan aku ada bersama-sama cik raja hari ini. Berdekad-dekad lalu, pada tarikh yang sama, emak melahirkan aku di Hospital Daerah Bukit Mertajam. Hari ini, tarikh yang sama, kami membantu cik raja melahirkan anak sulungku, cucu pertamanya. 

Cik raja bertanya pukul berapa sekarang? Seraya aku melihat jam di tangan. Kalau ikutkan standard penetapan masa di jam tanganku, maknanya 10 minit awal. Ketika itu waktu menunjukkan pukul 3.31 petang campur beberapa puluh saat. Sekiranya kiraan minit seragam sepertimana warta berita, maka detik kelahiran bayi perempuan ini ialah 3.21 petang. Tapi ketika itu sebenarnya aku anggarkan ada barang seminit juga bayi dilahirkan. Ertinya, waktu kelahiran sekitar 3.20 petang. Nanti aku semak semula waktu sebenar tanah air sama ada selaras dengan jam tanganku. Kalau aku jadikan 3.21 petang dalam sijil kelahiran “…pun cantik juga”, bak kata Hasbullah Awang.

Kasihan bayi perempuanku, walaupun tidak sampai ke peringkat pembedahan, tapi kerana susah sungguh maka doktor terpaksa menggunakan alatan besi yang mencengkam kepalanya bagi ditarik keluar. Waktu dia keluar itu, ya Allah, seram juga aku melihat kepalanya berbekas dengan bekas cengkaman vakum itu. Sudahlah tarikh kelahirannya sama dengan hari lahirku, cara kelahirannya pun ada serba-sedikit persamaan dengan nama blogku. Aku harap kepalanya akan kembali seperti sedia kala.

Rupa-rupanya doktor dan misi serta bidan yang ada bertungkus-lumus menyelamatkan anakku yang hampir kelemasan akibat digenangi najisnya di dalam perut cik raja. Sebaik dikeluarkan misi bergelut menyalurkan saluran tiub kecil ke dalam mulut dan ke lubang hidung anakku itu, memang dalam masuknya saluran itu, aku rasa sampai ke bawah saluran kerongkong kalau pun tidak sampai ke dalam perut. Kesian aku melihatnya menangis. Apalah yang ia tahu sehingga terpaksa menderita sebegitu.

Ku hubungi mak mertua di KT dan semua kakak dan abang ipar (kecuali kinghar yang tidak menjawab panggilan) menggunakan telefon bimbit cik raja memandangkan telefon bimbitku sedang diperbaiki (kalau aku kaya sudah tentu sudah lama aku sambar Blackberry). Mak mertua yang dipanggil che itu kedengaran macam terharu dengan kelahiran cucunya oleh anak bongsunya itu. Sampai di penghujung, aku menangkap nada terkesima kerana che tidak bersuara walhal signal di skrin telefon menandakan perbualan belum terputus. Mungkin dia sebak mengenangkan anak perempuan bongsunya sudah pun menjadi seorang ibu.

*****

Anwar Ridhwan, semasa Pidato Penerimaan Anugerah Sastera Negara bertajuk "Citra Sastera dan Keprihatinan Sastera" sempena Anugerah Sastera Negara Ke-10, pada 20 Oktober 2009, di Grand Ballroom, Palace of The Golden Horses, The Mines, Kuala Lumpur, ada mengungkapkan rangkap ketujuh Syair Perang Siak:

"Sudahlah dengan takdir Allah,
Tiadalah dapat lagi disalah,
Di Luh Mahfuz suratan terjumlah,
Barang yang datang disyukurkanlah."

Zaman perseorangan dahulu aku sering juga memasang kaset Dato' MDK semasa memandu Kanc. Antara lagu yang selalu ku dengar ialah dan kini menjadi lebih bermakna ialah "Anakku Yang Pertama".


"Kini aku gembira, yang ku tunggu telah tiba, anakku lahir sudah, hai anakku yang pertama."




Kamar Siti Khadijah, DBM
Rabu, 22 Disember 2010.

Saturday, December 18, 2010

Bila Ada Yang Buat Ramai...

Interlok bukan sebuah karya picisan, atau tulisan belia hingusan yang baru hendak cuba-cuba mencipta nama dalam dunia penulisan. Interlok pernah meraih Hadiah Saguhati Peraduan Mengarang Novel 10 Tahun Merdeka pada tahun 1967. Kalaulah kununnya Interlok sepertimana kata segolongan orang tak lebih daripada sebuah penghinaan kepada golongan tertentu, tentulah pada tahun tersebut lagi Interlok telah pun dibelasah habis-habisan bukan sahaja oleh panel penilai bahkan daripada rakyat Malaya ketika itu, lantas tidak layak langsung dinilai dan apatah lagi diberi hadiah. Tapi peliknya, Interlok boleh pula menang walaupun sekadar hadiah saguhati.

Abdullah Hussain dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara ke-8 pada tahun 1996. Sebelum dianugerahkan gelaran tersebut, sudah tentu karya-karya beliau sebelumnya, termasuk Interlok dinilai juga. Sekali lagi tidak terdengar pun suara-suara protes bahawa Abdullah Hussain tak layak jadi Sasterawan Negara kerana salah sebuah karyanya iaitu Interlok menghina kelompok tertentu termasuk orang Melayu. Panel hakim pun tak kata apa. Sepatutnya masa inilah pakat-pakat berhimpun ramai-ramai depan Dewan Bahasa dan Pustaka sambil melonggokkan novel Interlok kemudian pakat-pakat cucuh api. Tapi kali ini pun tak ada. Musykil kabir la juga.

40 tahun berlalu. Apabila Interlok hendak dijadikan bahan bacaan bagi Komponen Sastera (KOMSAS) Tingkatan Lima, tiba-tiba timbul cerita kununnya Interlok menghina golongan tertentu. Eh, lawak juga manusia-manusia di tanah tumpahnya darahku ini. Interlok layak menang Hadiah Saguhati Peraduan Mengarang Novel 10 Tahun Merdeka pada tahun 1967. Abdullah Hussain layak jadi Sasterawan Negara menerusi karya-karyanya termasuk Interlok. Tapi Interlok tak layak untuk jadi bahan bacaan KOMSAS. Eh, layak juga sebenarnya. Cuma kenalah pinda sikit perkataan tertentu dalam Interlok. Wah, kira-kiranya tahap KOMSAS ini tinggi betullah ya, orang yang bukan ahli dan tak berkaitan langsung dengan pembelajaran bahasa Melayu pun boleh tumpang sekaki nak itu ini. Lepas ni apa kata cikgu-cikgu bahasa Melayu pula bagi komen fasal teks sastera Inggeris. Barulah adil dan saksama dan caca-marba sistem pendidikan kita, ye tak? Tapi Pak Abdullah janganlah rasa kena tahana dengan depa ini. Ilmu karang-mengarang Pak Abdullah banyak sangat kelemahan sampai yang depa faham cuma sekerat dua ayat sahaja. Tok sah ambil hati jugalah dengan kelaku orang kita, bukannya depa baca dan mesyuarat pun sebelum pilih novel Interlok ni. Tu yang cepat sangat tarik buang buku tu.

Bangsar South la dowh apa kelas Kampung Kerinchi,
Tahun depan bulan sepuluh kita sambut Bulan Bahasa lagi.

~ Kampung Gurun, Sungai Bakap

Friday, November 05, 2010

Cuti-Cuti Sekolah...

Hidup umpama seorang musafir yang pandai bertukang dan bersilat sekotak cekelat, kita tak tau apa kita akan dapat. Begitu kata-kata Ahmad Darurah Forrest Gump. Sebenarnya kata-kata mak kepada Forrest Gump. Yang paling sebenarnya kata-kata mak kepada Forrest Gump kepada Forrest Gump.

Penggal persekolahan sudahlah lepas seusai peperiksaan akhir tahun. Apa yang aku belajar sepanjang penggal? Lima matapelajaran; dua kena ambil periksa, tiga lagi pun kena ambil periksa juga. Jadi sebab apa aku tak rangkumkan sahaja bahawa kesemua lima matapelajaran itu semuanya memerlukan aku menduduki peperiksaan. Sebabnya mudah sahaja. Sebab pada peringkat awal aku memang sangkakan semua lima matapelajaran memerlukan aku menduduki peperiksaan. Cikgu-cikgu pun sangka begitu, pada hemat aku. Sehinggalah minggu terakhir sebelum peperiksaan aku merujuk ke pejabat kerana jadual peperiksaan untuk tiga matapelajaran tidak tertera di papan kenyataan. Pejabat pun tak tahu, lalu disuruhnya aku rujuk kepada pejabat lebih atas. Kata pejabat lebih atas, sebenarnya tiga matapelajaran itu tak perlu pun aku duduki peperiksaan. Sebabnya, seperti dimaklumkan pada awal-awal penggal, bermula dari penggal ini pelajar menengah atas yang mengambil matapelajaran asas tak perlu lagi menduduki peperiksaan bagi matapelajaran asas tersebut. Dulu prasyarat sekarang audit, begitulah slogan yang digunakan.

Cikgu-cikgi di dalam kelas matapelajaran asas tiada pernah menyebut bahawa aku dan tiga orang lagi pelajar menengah atas tak perlu pun mengambil peperiksaan. Jadi, deduksi yang boleh aku bentangkan di sini ialah mereka pun tidak tahu-menahu tentang perkara ini. Aku lagilah tidak tahu kerana waktu mendaftar pun kelas sudah masuk minggu kedua, sedangkan maklumat terkini untuk pelajar menengah atas yang mengambil matapelajaran asas dimaklumkan semasa taklimat minggu pendaftaran. Itulah kelemahan dan ketinggalan bagi pelajar yang lewat dapat mendaftar masuk ke kelas. Harap pihak berwajib pada masa hadapan jangan lagi memandang enteng perkara ini dan cepatkanlah membuat dan memaklumkan keputusan dan kelulusan sambung belajar secara rasmi. Kerana belum dikira lagi kelas-kelas yang tak fasal-fasal tuang kerana permohonan cuti belajar lambat lulus. Pelajar lain sudah mencari-cari buku teks rujukan, sudah ada pun kumpulan tugasan, sudah pun mencari bahan tugasan individu dan berkumpulan padahal aku masih terkial-kial proforma pun baru nak fotostat. Ada juga perancangan hidup yang tergendala dan kuca-lana; perancangan pindah rumah, balik kampung dan sebagainya sebab tarikh sambung belajar belum dimuktamadkan. Kalau sudah bergelar sarjana, orang bawahan yang mengimpikan peluang yang sama jangan dilupa.

Makanya, apa pelajaran berguna yang aku dapat sepanjang penggal ini? Untuk penggal ini aku beroleh beberapa pelajaran. Pelajaran yang aku maksudkan lebih kepada pendekatan dan pengharapan cikgu-cikgi.

Ada cikgu yang masa mengajar macam semua perkara diulasnya dari pelbagai perspektif yang tak terjangkau pada pemikiran pelajar menengah atas seperti aku. Perkara-perkara itu bukanlah dibaca atau dirujuk pada nota pun, semuanya sudah ada dalam ingatan. Hebat betul. Kalau bab bersyarah, pergh, semua nama-nama sarjana, nama-nama buku, penerangan tentang konsep2 tertentu, tahun-tahun penting seperti tahun buku ditulis atau konsep diperkenalkan (sekadar menyebut beberapa contoh) macam kacang sahaja disebut mereka.

Ada cikgu yang berpesan, apabila membaca penulisan seseorang sarjana, jangan lekas percaya, sebaliknya kena berfikiran kritis dan analitikal. Sesetengah sarjana katanya, mempunyai agenda tertentu apabila menulis, sesetengahnya didalangi oleh pihak tertentu. Perkara ini satu ilmu baru pada aku, sebab selama ini aku cenderung untuk terima sahaja apa yang ditulis. Justifikasinya, aku selalu percaya setiap orang ada pendapat masing-masing yang sudah tentu berbeza, jadi apa salahnya. Rupa-rupanya, ada satu aspek yang juga perlu diberi perhatian iaitu aspek kritis terhadap idea dan pandangan seseorang sarjana. Dalam kelas, cikgu mengajar supaya karya sarjana yang hebat-hebat pun dikritik, cuma kenalah kritikan yang berasas dan disandarkan kepada pandangan sarjana lain juga. Susah juga, bayangkan bagaimana mahu mengkritik artikel “The Clash of Civilizations?” Samuel P. Huntington dan “The End of History?” Francis Fukuyama yang sangat terbilang dalam bidang mereka sedangkan aku dan rakan-rakan sekelas hanyalah pelajar menengah atas.

Cikgu juga berpesan bahawa dalam menulis, elemen debat di kalangan sarjana tentang sesuatu tajuk perlu juga dimasukkan. Nampaknya, penulisan pada peringkat menengah atas ini bukan setakat memastikan soalan terjawab bahkan kena menggali lebih dalam lagi aspek-aspek yang lain. Contohnya, soalan tentang contoh peranan kerajaan sementara di negara tertentu mesti juga dihuraikan tentang sama ada terdapat pelanggaran bidang kuasa kerajaan sementara atau tidak. Waduh, sampai begitu sekali. Banyak membaca juga sering ditekankan.

Tapi pesanan paling hebat ialah pada kelas terakhir dua minggu sebelum peperiksaan akhir. Seorang cikgu, yang rupa-rupanya pelajar ekspres semasa zamannya berpesan bahawa seseorang sarjana yang baik ialah yang tidak bersikap bangga diri mahupun merendah-rendahkan hasil karya orang lain. Dia juga meletakkan pelajar seperti aku dalam keadaan kurang tekanan apabila menyebut bahawa harapan dia ialah pelajarnya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Lalu, keutamaan beliau bukanlah pada menyukarkan pemberian gred lebih baik. Pergh, giler ah cikgu yang berfalsafah begitu, kena sangat dengan matapelajaran falsafah yang diajarnya.

Ada juga pesanan; daripada cikgu-cikgi dan rakan-rakan sekelas, supaya mulakan tesis dari awal, jangan tunggu sehingga penggal terakhir. Idea awal yang terdetik dalam medula oblongata aku ialah membuat tesis mengenai isu tanah yang melibatkan orang Melayu di Pulau Pinang dan kesannya kepada sokongan politik. Tapi apabila aku fikir-fikir balik, satu, bab-bab nak jawab goresponden tak ramai yang berminat nak menjawabnya. Tak payah tanya pembanci-pembanci penduduk tahun 2010 baru-baru ini, pengalaman aku sendiri buat survey pun dah cukup. Macam-macam persepsi orang ramai, ada yang memang malas nak jawab, macam cikgu pengantar statistik waktu menengah rendah di sintok dulu, walhal dia pesan di dalam kelas kalau orang datang buat survey sila beri kerjasama. Ada juga yang ingat nak jual produk atau minta sedekah. Macam-macamlah. Dua, di mana pula aku nak cari orang Melayu Pulau Pinang yang terusir dari tanah mereka sendiri. Sebabnya, mereka sudah tentulah bertebaran di mana-mana sahaja di atas muka bumi ini sama ada di Sungai Petani, Seberang Perai atau di mana-mana jua. Jadinya sudah tentu juga mereka pun tidak lagi mengundi di Dun atau Parlimen asal mereka. Oleh yang demikian, bagaimana aku nak kaitkan pertalian antara isu tanah dengan sokongan politik mereka.

Persoalan-persoalan tersebutlah yang menggencatkan hasrat aku. Walaupun tajuk itu sangat penting bagi aku kerana beberapa sebab. Satu, sudah menjadi tekad aku dengan sambung belajar ini aku akan dapat balik kampung lebih kerap. Dengan tajuk sebegitu, maka perancangan sejak Rancangan Malaysia Kesembilan aku itu akan dapat direalisasikan. Dua, setakat ini belum ada lagi orang buat kecuali sipi-sipi iaitu tentang tanah wakaf. Tiga, kalau nanti ada penulisan rencana, akademik mahupun blog yang menyentuh tentang survival orang Melayu di Pulau Pinang, maka tesis aku akan menjadi rujukan muktabar. Empat, buat dalam negara lebih jimat dan lebih dekat dengan ahli keluarga. Cikgu-cikgi pernah menyebut, ada orang yang tesisnya tentang hal-ehwal negara luar, jadi banyaklah kesukaran nak mendapatkan bahan, silap-silap sangkut. Iyalah, tambang kapal terbang pun dah berapa banyak, tak campur kos-kos lain lagi. Bila dikenang-kenang halangan yang aku nyatakan pada para di atas, ditambah pula biaya sendiri bukan dapat tajaan mana-mana pihak, terdapat keperluan untuk aku buat penyesuaian sewajarnya.

Andaikata aku tak buat tesis melibatkan Pulau Pinang, ada kemungkinan aku buat di luar negara. Tapi aku perlulah buat perhitungan bijak. Kalau luar negara yang aku pilih itu di United Kingdom ataupun negara-negara maju lain, alamatnya kenalah aku kerja sebagai tukang cuci atau pelayan kedai di sana sebab nilai matawang Malaysia rendah. Memanglah ada sesetengah pelajar nama sahaja buat tesis tentang negara luar seumpama globalisasi di China kununnya, tapi tak pergi pun ke sana, bahan semua dapat di Malaysia, apa ketoootnya.

Ada dua negara terlintas dalam pemikiran analitikal aku ini. Satu Iran, dua Mesir. Di Iran aku cadang nak buat tentang Mousavi atau aliran kepembangkangan di sana. Di Mesir, aku nak buat tentang Ikhwanul Muslimin dan pengaruh dalam politik Mesir, secara spesifik lagi boleh diperincikan dalam konteks perwakilan di Parlimen.

Kira-kira dari aspek kewangan yang aku buat nampaknya Iran mengatasi Mesir. Setiap RM1 kalau ditukar bersamaan Rial Iran 3,378.18 berbanding Pound Mesir 1.85. Antara sebabnya Iran dikenakan sekatan ekonomi, maka nilai matawangnya jauh lebih teruk dari Indonesia.

Kira-kira dari aspek mazhab, Mesir mengatasi Iran. Mesir Sunni, Iran Syiah. Dua-dua pada aku Islam, cuma lebih mudah nak menyesuaikan diri dengan suasana ibadat orang semazhab bagi orang awam macam aku. Orang yang terer bab-bab agama depa tak kisah la kalau tercampak kat Kutub Utara pun.

Kira-kira dari aspek keselamatan, Iran mengatasi sedikit Mesir. Di Mesir, kalau aku teruskan dengan tesis fasal Ikhwanul Muslimin, ada harapan aku hilang secara tiba-tiba. Tahu-tahu dibicarakan di Mahkamah Tentera, atau langsung ditahan entah di mana-mana tanpa bicara. Adegan yang pada mulanya aku sangkakan jalan cerita Ayat-Ayat Cinta sahaja. Rupa-rupanya dalam buku John L. Esposito bertajuk “Ancaman Islam: Mitos atau Realiti?”, memang disebut perkara yang sama. Di Iran lebih terbuka walaupun kalau membaca buku-buku tokoh pembangkang (yang biasanya liberal dari segi ideologi dan cara hidup seperti Shirin Ebadi, pemenang Anugerah Nobel Keamanan tahun 2003 dan penulis buku “Iran Awakening”) timbul juga kebimbangan dicekup dan diseksa macam di Mesir.

Dari segi rasuah, Mesir baik sedikit dari Iran. Kalau “Indeks Persepsi Rasuah 2010” oleh Transparency International menjadi kayu pengukur, Iran di tangga ke-148 berbanding Mesir di tangga ke-98 daripada keseluruhan 178 buah negara. Dalam buku “The World Is Flat: A Brief History of the Twenty-First Century”, Thomas L. Friedman berkata pegawai pemeriksa di lapangan terbang di Iran pun makan suap juga. Buat malu kampeni betul la Iran ni, merosakkan imej negara teokratik sahaja. Sepatutnya, berilah contoh teladan yang mulia sedikit sebab Iran ini nama penuhnya Republik Islam Iran dan melaksanakan hukuman jenayah mengikut syariah. Tambahan, ada Pemimpin Agung iaitu seorang ulama yang hirarkinya lebih atas daripada Presiden, bertujuan menentukan hala tuju negara selaras dengan semangat Revolusi Islam 1979. Lainlah Mesir yang nama penuhnya Republik Arab Mesir, Presidennya bukan ada semangat Islam pun sebaliknya pro-Israel dan Amerika Syarikat, kontra dengan dasar luar Iran. Peliknya, bab rasuah Iran ditinggalkan oleh Mesir. Menjadikan Iran semakin luka parah dari segi moral ialah mengenangkan Amerika Syarikat yang ditentangnya habis-habisan berada di tangga ke-22 manakala Israel di tangga ke-30 Indeks Persepsi Rasuah 2010.

Apapun, semuanya baru merancang. Ada banyak penggal lagi. Tak mustahil tesis dibuat seputar Pulau Pinang juga.

Thursday, September 30, 2010

Qulil Haq Walau... (Katakanlah Yang Benar, Walaupun...)

LOKASI: 
Bilik kuliah tingkat kedua teratas sebuah blok.

WATAK:
- Lecturer wanita
- Student lelaki ijazah pertama
- Student lelaki prasyarat

BABAK:
Lecturer wanita sedang mengajar subjek ekonomi politik di bawah tajuk kemiskinan. Slaid powerpoint dipasang dan dipancarkan ke skrin. Student lelaki prasyarat duduk di kerusi lipat baris ketiga dari depan; student lelaki ijazah pertama duduk di sebelah kiri student lelaki prasyarat selang satu baris kerusi lipat.

DIALOG:
Lecturer wanita: Kemiskinan selalunya diukur melalui indeks tertentu. (lecture berterusan)

Student lelaki: (sambil tertanya-tanya sendiri dengan rakan sebelah) Apa indeks dia? Haq tu ke?

Student lelaki prasyarat: (menggunjing dalam hati dengan muka yang serius) Ish, ish, ish, mai tang mana pulak indeks tu nama Haq. Kan ka kat slaid tu tulis Haq (1995). Mat ngot betui, klu sikit punya besa’ dok ada, kalau Conan Edogawa buleh cakap Tamil, nescaya dia akan berkata, “Yennadey…!”


Nota:
Sekadar gambar hiasan
Haq (1995) ialah cara hujah dipetik dalam penulisan akademik. Dalam konteks ini, Haq merujuk kepada nama seorang sarjana, Mahbub ul Haq, yang terkenal dalam perbincangan mengenai kemiskinan, dan 1995 merujuk kepada tahun karya beliau diterbitkan.
Sementara itu, beberapa ketika kemudian student lelaki ijazah pertama sedar akhirnya apa itu Haq sebenarnya.

Friday, September 24, 2010

Jalan Ka-Sorga...

Masih ingat lagi dengan seorang hamba abdi yang cuba melarikan diri dari kekejaman firaun-firaun besar dan penyelia tapak pembinaan piramid suatu ketika dahulu? Iya, si hamba abdi yang kadang-kala bekerja sambilan di sarkis itulah. Menurut perkhabaran dinding-dinding batu yang bertelinga, si hamba abdi telah selamat menyeberangi lautan merah. Bagaimana caranya ia sampai ke seberang sana usah ditanya. Kerana ia sendiri pun sama sekali langsung tidak menduga. Apa tidaknya, lima orang lain yang sama-sama di gigi pantai kembali ditawan oleh rejim totalitarian. Memang khawariqul 'adah; mencarik adat, tetapi keajaiban Tuhan memang tiada terduga, bukan?

Sehelai sepinggang sesudah menyeberang, ia pun berbaring-baring di keteduhan melepaskan kelelahan. Dengan tidak disangka-sangka, sekawanan merpatih putih terlihat mengepak-ngepak sayap di angkasa. Menurut firasat, merpatih putih sebegini pernah ia lihat dalam babak Face Off arahan John Woo. Apa petandanya tiada pula ia tahu.

Takdir Tuhan, seekor daripada merpati putih itu patah sayapnya di udara, lalu melayang jatuh ke pangkuannya.

Di kaki merpati terikat segulung kertas. Diuraikan tali, seraya dibentang kertas untuk diteliti. Masya-Allah, kecilnya tulisan. Demikian, ia mengeluarkan kanta pembesar, barulah dapat ia membaca isi kandungan warkah berdaun papyrus itu:
Ada sorang member sePenang kia, Pian namanya, baik punya candek aku apabila aku kata kat dia lama tak update blog ni bukan pasaipa, tapi sibuk dengan esainmen. Tau dia kata apa? “Dr. FaTa lagi sibuk”. Dia nak haba’ bagi bahawa sesibuk-sibuk bakal Sasterawan Negara berijazah PhD tu pun dan lagi update blog, inikan pulak takat sambung belajar. Amboi aih hang, satgi aku haba’ kat orang rumah kata hang dok pi melepak minum teh halia dekat kedai makan Pak Rahman tepi Caltex sambil2 ushar lawyer tu baru hang tau.
Aku bukannya apa, ada sekali tu masa bulan posa time naik koc-koc kereta api kelas pertama (zaman-zaman kelas ketiga kedua tu bagi aku cukuplah sekadar waktu), aku ada mengarang blog pasai watak-watak tertentu di Sungai Bakap yang memeriahkan sembahyang tarawih. Tapi tu la, dari dulu tu dia la yang aku dok type kat Word dulu baru copy paste kat blog, pasai blog ni perangai dia macam rejim Zionis sikit mengkala sangkut dengan connection pakai lebuh chulia street la tulisan aku tu. Nak copy dari blog kendian nak paste kat Word tak buleh. Tabuh cuma!

Satu sebab lagi ialah mengkala aku nak tulis blog, teringat “alangkah comeinya anak mami, kulit hitam manis hidung tinggi, bila berjalan pakai minyak wangi, mirip rupanya heroin filem hindi, yang lain yang lain yang lain yang lain yang lain...”. kan ka baguih masa yang aku guna untuk update blog ni aku guna untuk perabih esainmen. Esainmen nak haba’ bagi nala punya banyak, hat nak present nak present, hat nak buat karangan buat karangan, berderet-deret. Tau-tau bulan depan dah final exam. Tu dia aih.

Ya salam (bak kata Shah Rezza dalam Ali Setan)...! Aku ni bukannya perunding peserta kursus lagi, aku dah transform jadi student dah pun. Justeru, mengapakah soalan2 yang diajukan kepadaku sama spesies macam soalan peserta kursus. “Konfederasi tu macam mana sebenarnya?”. Begitulah soalan yang diajukan kepadaku menjelang cuti raya. Aku tau la aku satu takah ataih sikit daripada depa, dari segi umur dan tahap pengajian, tapi soalan tu lebih aula kalau lecturer bertaraf doktor menjawabnya, sebab dia yang bagi soalan tu. Tapi tu la, mungkin pasai ciri-ciri tertentu yang sama yang menjadikan aku perunding peserta kursus, maka soalan group mates yang baya-baya Wani tu aku jawab macam soalan tu baru pertama kali ditanya kat aku (padahal aku rasa sejak beberapa minggu terkebelakang dah 5-6 kali dah aku jawab berdasarkan serba-sedikit ilmu pengetahuan yang aku ada hasil rujukan kepada buku & internet; keghin ghengkong jugak la siap bagi guidelines lagi macam mana flow esainmen tu, padahal banyak lagi benda aku tak dan explore). Dalam konteks ini, seorang student dari Kubang Tepak yang sekursus denganku menyuarakan rasa tak puas hati, “Jangan suap sangat depa tu!”, katanya. Amboi aih hang, awat cengil satu macam ni, makan tebuan ka hapa? Dalam hal ini, selaku seorang saasatul ibad yang licik, aku mengambil pendekatan terpuji dengan melayan permasalahan-permasalahan macam tu. Cari bala la nak dengki sama-sama group mates, dah la subjek ni kena dapat score tertentu walaupun takat prasyarat saja.

Time belajar macam ni selalu aku teringat peribahasa Cina yang aku goreng masa public speaking kat KL Federal. “Ibarat menghayun kapak di depan Lu Ban”. Yang paling kena dengan peribahasa tu adalah apabila sesi round table. Lecturer suruh bagi pendapat, kritikan dan sebagainya. Ada kawan-kawan sekuliah bagi pandangan masing-masing; segelintir memetik kata-kata sarjana tertentu dalam buku tertentu. Part ni aku menggunjing sendiri dalam hati, macam mana la lecturer tu buleh bertahan dengan petikan satu-dua pendapat sarjana dalam satu-dua buku oleh student, padahal lecturer tu sendiri yang membaca dan hadam ntah berapa ribu buku pun jarang sangat nak memetik nama sarjana & nama buku, walaupun kuliahnya meliputi pelbagai perpspektif yang ada masanya tak terjangkau pun di minda student. Dalam erti kata lain, student tu ialah “si penghayun kapak” yang ilmu tak tegha mana, tapi kunun2 nak tunjuk tera depan lecturer, “si Lu Ban” tu la.

Raya hari tu, orang kita amboi aih punya sakan beraya. Budak Manir ni pulak kelaparan (sebenarnya aku pun lapa’ sama, tapi dah biasa setiap kali hari raya mana ada sapa nak masak nasik sangat, makan la ketupat kuih-muih yang ada, bukanlah tak masak nasik langsung, cuma lauk ayam tu aku bukan makan sangat, hat budak Manir ni pulak tak buleh makan pedaih-pedaih). Sebelah rumah aku memang la ada kedai makan, tapi sebagai tanda protes sebab guna duit lumba kuda kedai makan tu punya pasai rumah aku punya banyak nyamuk, makanya aku memandu soyuz dari Sungai Bakap membawa ke Jawi sampai ke Nibong Tebal akhirnya tiba ke Parit Buntar sebelah Transkrian. Haram satu kedai orang kita pun tak bukak. Nampak gaya tak dak pilihan lain la selain kedai mamak. Memang depa buat duit sungguh-sungguh la malam-malam raya ni, mau ka dak orang mana nak larat makan ketupat lemang saja, nasik kena pekena jugak. Buleh la gagah, kedai tak la kemas sangat dari segi susunan atur dan kebersihan. Takat nak makan tu buleh la, tapi nak feel kalu aku masih teringat Nasi Kandar Merlin Hotel yang aku pekena time nak gerak ke Seberang Perai selepas selesai survey sebelah Tanjung. Kedai tu belah Union Street dengan Penang Street. Walaupun kedai lama & tak sebesar kedai nasi kandar kat Parit Buntar tu, tapi kemas dan bersih dan lauk semua fresh. Makan pulak time tengah hari, orang tu dia la nak haba’ kat hang berkeghatu’, semua ada termasuk la anak mami. Muarghahahaha!
Warkah berdaun papyrus pun digulung kembali. Beberapa ketika dari sekarang, ia berhajat meneruskan perjalanan, mana tahu terserempak kafilah membawa dagangan, dapatlah ia menumpang minum dan makan. Merpati yang cedera ia letakkan di atas alas baldu. Sehingga kafilah lalu, berilah kesempatan ia beradu.

Tarawih Yang Lain...

Pertama kali menjejak kaki ke Masjid Baru sempena bulan puasa nan mulia semenjak berumah tangga ini. Mungkin sebab aku jarang-jarang berkesempatan pulang ke kampung, atau memang sebenarnya suasana sudah berbeza, yang nyata ada ikon-ikon tertentu yang biasanya memeriahkan solat tarawih di Masjid Baru tidak kelihatan. Barangkali memang aku yang tidak perasan kerana sembahyang di tepi ruang solat utama meskipun masih di saf antara terkehadapan, tapi suasana memang lain macam sedikit.

Biasanya aku akan nampak Pak Cik Shamsuddin, ayah kepada kawan aku si Hishamuddin dengan jubah dan serbannya walaupun dia hanyalah mantan pegawai TUDM dan bukanlah seorang ustaz. Waktu aku sekolah rendah dalam darjah lima dan enam dahulu, si Hishamuddin ada bawa nasi lemak buatan ayahnya itu untuk dijual kepada kawan-kawan. Pada masa itu aku rasa satu kelainan juga pada nasi lemaknya berbanding nasi lemak sedia ada di pasaran tempatan yang dibungkus bentuk piramid. Nasi lemak buatannya itu dibungkus bentuk nasi bungkus, dilapik di bahagian dalam dengan plastik putih, dibalut dengan kertas surat khabar, diikat getah bulat, dan lebih banyak berbanding biasa, walaupun lauknya seingat aku tetap sambal tumis ikan bilis, kacang dan hirisan timun. Dia ada datang ke kenduri aku bulan dua lalu, ada gambarnya dalam album perkahwinan sebelah Sungai Bakap tengah riang-ria dengan kawan-kawan. Masa itu dia tak pakailah serban dan jubah, hanya kepiah putih dan kemeja. Rupa-rupanya itu kali terakhir, dan sesudah itu dia pun pergi menghadap Ilahi. Patutlah tarawih kali ini berlainan sekali.

Waktu tarawih di Masjid Baru juga biasanya akan ada tok bilal yang salawat paling kuat, maklumlah dalam keadaan biasa pun dia kalau bercakap memang kuat pun. Non Bilai nama dia. Masa tu aku terpikia' jugak, awat la dok pi jerit kuat-kuat sangat kalau nak selawat pun, sakit telinga aku aih. Selain kerja jadi bilai, dia juga seingat aku jadi tukang panggil makan kenduri dalam karyah Masjid Baru ni. Dia akan pakai kepiah putih dan t-shirt lengan pendek, lepas tu kayuh beskat mini, kad kenduri dia boh dalam raga depan beskat tu. Kad kenduri masa tu jenis kertas A4, kaler tak banyak pilihan sangat, selalunya merah, putih pun kerap jugak, ada la sekali-sekala kot hijau dengan biru, kaler-kaler lain aku dah tak ingat. Depa buat satu master copy, lepas tu depa fotostat la banyak-banyak, dan lipat empat. Paling hebat pun masa tu pakai taip. Peta setengah tu pakai lukis dengan tangan saja, hat rajin sikit guna guna pembaris. Macam gambar dalam kertas ujian atau kertas periksa kat Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap pun ada yang cikgu-cikgi cetak guna stensil. Zaman-zaman tu best, tak gaduh nak pikia' pasai status dalam masyarakat ka hapa ka kalau kad kahwin jenis murah pun. Cuba buat zaman la ni, ibarat mendengar lagu Chu dari tiga penjuru la aba' hang. Orang tu risau, orang ni marah. Tapi Non Bilai pun dah pergi beberapa tahun sudah. Patutlah tarawih kali ini berlainan sekali.

Kalau Non Bilai walaupun pakai baju melayu tapi ikat serban putih dia tu kemaih-kemaih, hat pak kawan aku ni, Kamarudin namanya, pulak lain macam sikit. Dia ada dua nama, satu Haji Ishak, satu lagi macam tok ayah aku biasa dok panggil Haji Deghih, hat bahasa baku Haji Idris la. Dia ni, ish, lagu mana punya ikat serban pun tak tau, jenis macam sepuk ataih kepala pun ada aku tengok. Biasanya kain serban hat ada kaler merah bintik-bintik tu la. Kadang-kadang dia jadi tok bilai jugak. Tapi dia pun dah tak dak lama jugak dah. Patutlah tarawih kali ini berlainan sekali.

Tok ayah aku ada lagi. Dulu dia macam ayah aku jugak la, mengkala sembahyang tarawih kat Masjid Baru tu bukan takat saf depan, 20 rakaat pulak tu, campur witir sekali, habis moreh baru balik. Tu dia la rajin tak rajin dan berstamina tinggi tak berstamina tinggi. Cucu dia bukan tak buleh buat lagu tu, tapi sejak kecederaan luaran susulan pertarungan hebat dengan Majin Buu yang nak menawan bumi, maka dia tak berapa buleh lama-lama berdiri (cewah, baik punya alasan, padahal ada faktor lain sama). Tapi la ni tok ayah aku dah tak larat sejak kecederaan tulang paha beberapa tahun lalu (ayah aku walaupun tak berapa baik betul lagi lepas kena strok masih konsisten dengan standard tarawih sebelum ni kat Masjid Baru, hat ni sapa-sapa hat kerja dia sebagai penukar tiub patut bagi salut jugak). Sembahyang pun atas katil, sebelah katil dia katil tok aku.
Patutlah tarawih kali ini berlainan sekali.



~ Catatan Asal Dalam Ekspres Sinaran Utara bertarikh 15 Ogos 2010, Nibong Tebal - Sentral Kuala Lumpur.

Sunday, June 20, 2010

Sepucuk Surat Buat Man Tongkat...

Ke hadapan rakan sepembinaan piramidku, Man Tongkat semoga dalam keadaan sihat walafiat juga hendaknya walau dilibas cemeti piap piap piap oleh penyelia tapak tanpa menentu masa.

Perasaan sebegini bukanlah sekali ini sahaja aku rasai. Ketika engkau menghulur sepucuk warkah berdaun papyrus bergaris-garis bercatat senikata “Berita Kepada Kawan” terubahsuai sebelum aku menaiki hafilah ke sebelah timur negeri, lalu ku baca di suatu subuh hening keesokan hari sesudah semalaman sukar melelap mata. Itulah dia perasaannya.

Kata orang, berkawan biar ramai, berkasih biar satu. Pada hematku yang sekejap-sekejap mengunjungi ghurfah engkau di tapak pembinaan piramid dahulu, atau takdan sat menghujani engkau dengan panggilan menerusi hatif, kawan perlu juga sefikrah. Tiada gunanya kawan semasa senang sahaja, apabila taraf jawatan semakin berbeda lantas kita dipinggir dan dilupa. Berkawan bagiku bukan bertujuan melolos diri ala houdini waktu tersepit, berkawan bagiku apabila sampai ke tahap percaya untuk berkongsi cerita-cerita di luar bidang kerja. Kawan yang baik adalah kawan yang seringkali ada masa meski sebentar untuk kita, bukannya melepas tangan mentang-mentang telah sampai takah yang diidam.

“Perjalanan ini terasa sungguh menyedihkan, Sayang engkau tak ada di sampingku kawan, Banyak cerita yang mestinya kau saksikan, ‘Kan sidang kita berlainan...”. Teringat-ingat lagi kata-kata engkau dalam warkah berdaun papyrus itu. Sedih memanglah sedih, di kalangan mereka yang tidak semacam engkau belum aku ketahui hati budinya, dengan bi’ah yang serba asing budayanya. Apakan daya sudah tertulis di lauhun mahfudz bahawa aku ini sedemikian nasibnya.

Aku kini berada di hadapan lautan merah. Di belakangku bala tentera firaun besar mengejar. Semakin mampir mereka. Seharusnya aku nihil ketakutan sementelahan tongkat bersain autograf telah ada di tangan. Tapi sentiasa ada tapi, tongkat bersain autograf semata-mata belum memadai. Bak kata Ally Noor kepada Mastura, “...Baru bacadang orang pulak motong jalan...”. Aku setakat mampu berdoa campur tawassul dengan serba-sedikit amal kebajikan yang pernah aku lakukan, mudah-mudahan bongkah batu penutup pintu gua akan bergerak ke tepi jua. Juga mohon kepada ayahanda dan bonda dan orang soleh bersolat hajat dan mengapungkan doa kepada Yang Maha Kuasa.

Setakat ini aku hanya mampu merenung lautan merah nan terbentang luas. Andaikata tiada terbelah juga lautan ini tatkala gerombolan firaun besar merapati untuk agenda pembantaian, maka ternyata aku bakal tersungkur di pintu kebebasan. Andai itu terjadi, doakanlah aku syahid seumpama para syuhada yang tega mengirim bekal ke ghazzah dengan safinah. Lantas aku bersenandung lagu jamal ubaidillah ali, yang kali terakhir aku lontarkan suatu malam di hadapan para the oranje di kuala kubu bharu. Ku tujukan buat ayahanda, bonda, adinda-adinda, nenda-nenda, isteriku; kalau-kalau aku terkorban sewaktu bertemankan antenolol 50 miligram seharian di nogoghi nan bersombilan. Sekira-kira beginilah bunyinya:

“Usah kau tangiskan perpisahan ini dengan air matamu

Usah kau nantikan bila ku kembali ke pangkuan kasih

Setulus doamu cukuplah bagiku sebagai azimat

Senyuman manismu kasih dan cintamu menjadi temanku

Usah kau pintakan sejuta harapan dariku yang berjuang

Telah ku serahkan jiwa dan ragaku demi ibu pertiwi

Andainya ku gugur sebelum kembali usah kau ratapi

Jangan kau kesalkan pengorbanan ini demi bakti yang suci...”

Tuesday, May 11, 2010

Menanti Tongkat Bersain Autograf...

Langkah merentas laut merah kian hampir. Tongkat yang diperlukan sebagai wahana paluan akan berada dalam genggaman. Hanyasanya perlu autograf pengerusi nescaya tongkat tersebut pasti absah digunakan. Nazar puasa tiga hari wajib ditunaikan. Aku berharap hari-hari pada bulan Mei 2010 akan berlalu dengan sangat tenang. Aku juga berdoa agar pada penghujung bulan ini eyjaffjallajokull akan meletup meletus lantas asap hitamnya menyelubungi langit eropah selama mungkin lantas menggendalakan penerbangan sehingga hujung bulan Jun 2010. Semoga doaku untuk kemaslahatan warga sekantor bisa makbul. Amin.

Note: Anyway, at the moment, Malaysia in on the verge of losing to Japan in Thomas Cup Group B match. We have just lost in the second doubles. Now, Hafiz Hashim for the decider. Can he?

http://smp.ukm.my/ppsinfo/sf001keputusan_info.cfm

Friday, April 30, 2010

Dua Bulan Lagi Sebelum Sarkis Berakhir...

Ketika pesarkis-pesarkis yang lain gigih ditindas rejim tirani pengurusan sarkis yang durjana, seumpama aksi balik kuang trapeze di awangan, ataupun menjinakkan rimau bengal kebuluran 10 hari, ataupun membuat aksi badut slapstick, seorang pesarkis lain mencongak masa hadapannya sendiri. Menjadikan peristiwa tongkat dipalu lantas membelah laut merah sebagai inspirasi, maka terilhamlah karya kreatif secara rawak.

Lagu / Filem / Sajak / Buku Popular Sepanjang Musim Salju:

1. Emancipation of Me

2. Re-Born on 6th July

3. Escape from Alcatorah

4. Awan Hitam di Escapetorah

5. I Say It Best When I Say Nothing At All

6. Lord of the Circus Ring

7. Ayat-Ayat Nista

8. Cari Pasal Dengan...

9. Free Willingly

10. Kingdom of Hell

11. Entahbetul Spoilthemen Ribut

12. A Nightmare on eHem Street

13. Clash of the Setans


Pesanan Marhaen:

“Janganlah kesakitan hatimu menyebabkan kamu menempelak tajuk pengucapan awam orang lain di khalayak ramai sambil memakai baju sejuk”.

“Janganlah kamu memberitahu ada kerani yang lewat masuk ke pejabat kerana menghantar terlebih dahulu keretanya untuk diservis, sedangkan baru sebentar tadi kawan-kawan kamu dilibas dengan cemeti”.

“Janganlah kebencian kamu kepada orang yang solat awal waktu sedangkan syura baru memasuki pukul 5.00 petang mendorong kamu untuk memfatwakan sedikit atau kurangnya pahala orang itu”.

“Janganlah kamu menyebut-nyebut anekaragam pindaan sebagai alasan kelewatan di hadapan sahabat baik bakal taukehmu”.

Friday, April 16, 2010

My Name Is Red: Jodoh Ketentuan Tuhan, Lelaki Yang Punya Hati Akan Bawa Pengantin Perempuannya Pulang (Episod 2)...

Dipendekkan cerita, saya berjaya juga menaiki kereta api ke Delhi. Frank Martin sempat menghantar saya ke stesen, sebelum bergegas ke lokasi penggambaran filem "Pengangkut".

Koc Kelas Dua berhawa dingin. Kereta api jenama Ala Hazrat Express. Setahu saya perkataan hazrat merupakan gelaran hormat, biasanya untuk alim ulama di India, Pakistan dan sewaktu dengannya. Saya pula memang sangat mudah tertarik dengan sesuatu yang bernuansakan islami secara maildi, bukannya hadkori.

Anda tentu tertanya-tanya, dalam episod terdahulu bukankah saya mengharapkan kuota pelancong atau kuota Tatkal bagi kereta api jenama Gujarat Mail. Memanglah saya berharap, tapi kuota-kuota itu langsung tak boleh harap. Masih nihil ruang untuk saya. Nasib baik saya menggunakan kepintaran tersendiri (ushar kereta la bro) dengan menempah tiket secara online. Kata responden dalam laman web itu, tempahan tiket secara online menjimatkan 50% kos tambang kereta api beliau kerana tidak perlu lagi menghulur duit kopi kepada tukang jual tiket.

Jadinya, pengembaraan bersambung, paling cepat kereta api akan bertolak pada pukul 8.15 pagi waktu tempatan. Itu kalau mengikut jaduallah. Masalahnya janji palsu ini bukan hanya boleh didapati daripada ras tertentu, tetapi sudah menjadi satu isu global bagi negara-negara kurang membangun dan membangun. Cuba pergi ke negara-negara maju, Jepun umpamanya, ketepatan masa sangat maksimum. Sebab itu shinkansen mereka boleh bergerak pada minit yang pelik-pelik. Contohnya, Nozomi 41 dari Tokyo ke Shin-Osaka boleh bertolak pukul 2.10 petang dan sampai 4.43 petang, kemudian shinkansen yang lain, Rail-star Hikari menyambung pecutan ke Okayama pada pukul 4.59 petang dan tiba pada pukul 5.45 petang. Amacam, ada beran? (Oh, ya, sebuah syarikat bas di Hentian Duta ada mengaplikasikan masa bergerak spesies ini. Hanyasanya, aplikasi tersebut lebih kepada penyelarasan kepada hari tiket yang dijual. Sebagai contoh, pada tiket bas tertera waktu bertolak ke Parit Buntar pukul 11.59 malam. Maklumlah, kalau diletaknya pukul 12.00 malam sudah memasuki hari berikutnya dan mencelarukan sistem jualan tiket. Setakat itulah sahaja amalan murni yang dipraktikkan, bas memang akan sampai pada pagi hari berikutnya juga; setengah jam lewat itu biasa, berjam-jam lewat sebab bas dari Puduraya rosak sudah menjadi KPI mereka.)

Berbalik kepada cerita kereta api, apakan daya, saya sedang menggunakan perkhidmatan kereta api di India. Memanglah mereka tiada beran. Yang saya nampak berberan-beran hanyalah beg-beg yang diangkut oleh para penumpang ke dalam kereta api.

Kereta api yang sepatutnya berjeda seketika sekira-kira 20 minit telah terbabas waktunya sehingga dekat setengah jam. Sudahlah tiba dari Phulera pun lewat, bertolak pun lewat. Appa punya turrr la.

Berbeza dengan persepsi umum, kereta api ini menempatkan penumpang di dalam koc. Ulang suara, di dalam koc. Makanya tidak kedapatan penumpang berchaiyachaiyachaiya di atas bumbung kereta api.

Dalam perjalanan, saya berbual panjang dengan seorang budak kanyiar berjaket hitam, Raj namanya. Yang banyak bicara takkan tak tahu kot, siapa lagi kalau bukan si Raj. Saya seperti biasa menjadi pendengar setia. Kata Raj, dia dalam rangka advencer, untuk menemui kekasih hatinya bernama Simran. Sungguhpun misi beliau begitu mencabar, Raj masih boleh berlawak Bedtime Stories kartunis Lambok. Ada 3 perkara dilakukan beliau tidak semena-mena.

Pertama, membengkokkan ibu jari ke belakang. Sepupunya juga boleh berbuat demikian, katanyalah. Kedua, depaan tangannya lebih panjang berbanding ketinggiannya. Hat ni saya tidak dapat mengesahkan kerana tiada tali tape. Cuma apabila Raj berdiri, nampak macam hujung jarinya agak dekat jugak dengan sisi lutut. Ketiga, beliau kata tapak kakinya rata, tidak berlekuk seperti orang biasa. Bia’ betui hang ni Raj oi. Yang ini pun saya sukar mahu percaya, tapi apabila Raj mengugut hendak membuka stokinnya, terpaksalah saya berkompromi walaupun saya lebih cenderung memilih untuk mengutamakan rasa tidak percaya.

Namun demikian, sambung si Raj, beliau bernasib baik kerana features tersebut, yang hanya dikesan apabila beliau dimasukkan ke wad kerana sakit dada, bukanlah full set serta tidaklah menjejaskan mata, sendi dan sebagainya. Doktor yang merawatnya juga berpesan supaya beliau bersyukur dengan features yang kebarangkaliannya 1 nisbah 5,000 itu. Features yang dikenali sebagai Marfan Syndrome itu hanya membuatkan beliau menjadi ahli bersekutu Transformers dengan gelaran Marfanoid. Hakikatnya si Raj berkencindan lagi dengan watak kekartunan beliau itu, tapi saya yang tidak menyedari kekal terlongo.

Tambah Raj lagi, selain Marfanoid, beliau juga dikesan mengalami Mild Trigaspic Gigitation. Lain macam punya penyakit. Acah saja, kata si Raj (saya dah agak dah), Mild Tricuspid Regurgitation lah. Ada kaitan dengan jantung sedikit. Kalau ada rawatan pergigian dan sebagainya yang melibatkan pembedahan, perlu dimaklumkan kepada doctor untuk diberi antibiotik.

Si Raj yang berbual dengan saya ini ada membawa bersama ukulele, apa lagi, memang menjadi-jadilah aura doladoladola (masa kecil dahulu saya selalu candek seorang adik saya dengan nama Dollah Salleh, hahaha!). Raj perasan akan pengusharan saya akan alat muzik tersebut. "Saya ada hypertension...", kata Raj, "...jadi ukulele ini sebagai ubat hatilah kiranya, selain Antenolol 50 miligram.".

Ukulele pun dipetik. Pergh, lain macam saya punya layan. Memang lain macam sungguh.

"Ni daoh, awat intro macam Sweet Home Alabama pulak ni, hang ingat Lynyrd Skynyrd ka? Dola Dola Dola la mat oi!". Demikian saya sound si Raj, sudah barang tentu dalam bahasa Inggeris, yang tadi itu terjemahannya. Ikut hati saya begitulah bunyi sound of musicnya, namun begitu memandangkan saya masih terpengaruh dengan unsur-unsur diplomatik sebagaimana kerjaya rasmi saya, maka saya susun ayat dengan sebaik-baiknya. "Wahai saudara Raj, apalah sudi kiranya saudara meniunkan petikan ukulele saudara itu kepada lagu Dola Dola Dola.".

Raj tersenyum, seolah-olah gembira berjaya memperdaya orang naïf sebagai saya. Sentul juga perangai si Raj ni, saya menggumam dalam hati, macam budak Kampung Kubang Tepak.
Ukulele dipetik lagi. Kali ini baru betul. Saya seraya mengosongkan fikiran. Sekeping nota bersama sekuntum mawar bertukar tangan di tepian pantai. Imtihan adalah peperiksaan. Nateeja adalah keputusan. Hairaan adalah? Hairan.

"Imtihan hum pyaar ka deke
Raah dekhe kya hai nateeja
Na aaya yakeen dil ko
Jab naam apna dekha
Kagaz pe woh tere dil ke
Ye aakhein huyi hairaan
Sach hai, sach hai
Jo dekha hain
Dilbar tan mann apna hum ne vaara tum pe
Dola dola dola dola, mann dola dola dola"

Nyanyian terhenti apabila saya mengenangkan heronya yang kematian tragis di Oshiwara tahun 2008, dan senikata seterusnya berbaur kemabukan. Biarpun mabuk disebabkan angau, tetapi saya memang pantang, serasa-rasa macam mabuk arak bunyinya. Entahlah bagaimana kadang-kadang manusia begitu bersemangat 'asobiyyah mengangkat orang mabuk dengan alasan-alasan melugaikan. Cuba-cubalah renung kembali pantun Melayu ini:

"Pilih-pilih tempat mandi,
Pertama teluk, kedua pantai;
Pilih-pilih tempat menjadi,
Pertama elok, kedua pandai."


Kereta api singgah sebentar di Rewari selepas hampir 5 jam perjalanan. Satu lagi stesen selepas ini sebelum saya tiba di Delhi. Masalahnya di Delhi ada 3 stesen; Delhi Cantt, Delhi S Rohilla dan Delhi.

Agaknya saya perlu turun di stesen mana?

Tuesday, April 06, 2010

Selamat Tinggal, Jalan-Jalan...

Sekarang ini, apabila aku rasa down tahap lepas kena selagu lagu-lagu yang langsung tak merdu pada pendengaran telinga dan jiwaku, aku akan bangun dari kerusi. Menuju ke dinding hadapan. Sebelah papan tulis putih, ada sekeping kad nipis aku lekatkan pada dinding dengan paku payung. Kad bercop pos 24 Mac 2010. Kad yang menyatakan bahawa permohonan aku telah diterima dan sedang diproses. Aku akan berdiri sambil merenung kad nan itu. Muka serius namun begitu (ada orang tak suka istilah "namun begitu", pedia! tak berkembang langsung gaya bahasa orang yang suka sastera macam aku) dalam hati tersenyum kembang setaman. Sesungguhnya kata-kata pada kad itu memberi sedikit kekuatan untuk aku teruskan hari-hari mendatang, di tengah-tengah keributan yang sengaja dibudayakan, tatkala kawan-kawan seofis pun tercari-cari peluang nak mendiam di padang rumput yang lebih permai seumpama little house on the prairie.

Man tongkat, yang juga berkira-kira hendak berpindah ke kap2lamwau ada berkata, kalau aku pergi terlebih dahulu, seolah-olah kata pak nil akan sahabatnya din beramboi, sebahagian semangat hilang. Adapun semenjak man tongkat bertugas di unit yang sama, sekira-kira aku adalah juga teman bicara yang terpercaya. Andainya aku tiada di bilik sendiri, memanglah ada di bilik dia (di bilik air janganlah pula dicari, sungguh tak senonoh macam perangai jiran sebelah bilik aku). Akan tetapi mahu tidak mahu aku perlu melangkah pergi, jikalau tidak ada harapan aku terpaksa menambahkan dos amlodipine menjadi 10 miligram lagi. Menunggu lagi 3 bulan pun aku sudah rasakan tersangat lama, apatah pula sekiranya perlu terus menunggu pasca 3 bulan ini.

Apabila sampai detik bersejarah itu, aku akan puasa sunat 3 hari. Dan dengan rasa puas hati tidak terhingga dan perasaan amat lega, akan aku tuliskan pada papan putih dengan marker pen, "Phir Milenge, Chalte Chalte".



Tingkat 18
Seberang Jalan Menghadap Kompleks Mahkamah
Jalan Kuching
6 April 2010 (Selasa)

Tuesday, March 23, 2010

My Name Is Red: Jodoh Ketentuan Tuhan, Lelaki Yang Punya Hati Akan Bawa Pengantin Perempuannya Pulang (Episod 1)...

Nama saya Redhuan. Kawan-kawan memanggil saya Red. Pada usia yang masih muda, saya telah dikesan menghidap sejenis penyakit yang dinamakan "Daman Towilan". Penyakit ini terus berlarutan sehinggalah umur saya menginjak jadi belia. Kata Dr. Stickman, tabib yang mula-mula sekali menemui penyakit ini, antara simptom-simptom ketara penderitanya ialah apabila berasa satu macam tatkala terpandang nama pengirim SMS tertentu, hendak-hendak datangnya dari golongan tertentu dari kantor sewaktu penghidap penyakit masih bercuti. Sudahlah susah ya amat mahu dapat cuti, tengah bercuti pun diganggu juga. Appa punya uuud la.

Enggan menyerah semata-mata kepada takdir, saya cuba mencari penawar. Kata Haji Harun Permatang Pauh dan Haji Man Kuala Ketil, penawarnya ada pada seorang sunti priyayi. Berbekalkan nasihat mereka, saya mula menggalas ransel di pundak. Ransel kuning jenama Unta tahan lasak itu saya isi dengan beberapa keperluan, salah satu gayung hijau tua. Peranti itu tidak boleh tidak ada. Tanpanya saya bisa sahaja samsara.

Demikianlah bermula kembara saya naik turun bas melalui jalan raya merentas gurun yang tersangat panas. Iyalah, nama pun gurun, tentulah sangat panas. Kalau sejuk sudah barang tentu dipanggil orang Genting Highlands. Sungguhpun begitu saya masih bersyukur. Sepanas-panas gurun belum lagi memaksa saya bersolat di atas hamparan kain serban corak kekotak. Siap dilengkapi kipas angin lagi. R & R Gurunlah katakan.

Entah bagaimana, sepanjang menaiki bas merentas gurun, tahu-tahu saya terlihat kabilah dengan kawanan unta. Pakaian mereka seumpama warga nomad; tapi mahu dikata badwi bukan badwi, dan bukan juga suku mongolia. Rupa mereka dari spesies Asia Selatan. Saat itu hati kecil saya berkata bahawa saya telah jauh meninggalkan negara saya.

Saya agak-agak luas gurun saujana mata memandang ini kurang lebih 77 ribu batu persegi. Melalui perbualan dengan salah seorang kaum musafir itu yang secara agak-agak kerana bahasa mereka hampir sama dengan bahasa Hindi yang saya ketahui serba-sedikit sejak berguru dengan Andy Hakim melalui THR Hindi Power beberapa tahun lalu, baru saya ketahui bahawa gurun ini digelar Gurun Thar, letaknya dalam Negeri Rajashtan. Negeri Rajashtan? Saya tertanya-tanya dalam hati, macam pernah saya dengar nama itu tapi di mana ya?

Sesudah jenuh menggoogle dalam kotak memori sendiri, akhirnya saya sudah ingat di mana. Dalam kotak memori saya Rajashtan dipadankan dengan seorang keturunan Khan bernama Salman yang pernah didakwa di mahkamah atas kesalahan membunuh dua ekor chinkara, sejenis rusa spesies terancam. Kesalahan dilakukan semasa penggambaran filem "We Stand United".

Suatu malam, selepas beberapa hari tidur baring di Gurun Thar kerana bas yang meragam masih gagal dibaiki, saya mendapat mimpi bahawa penawar penyakit Daman Towilan yang saya cari-cari berada di Delhi. Kalau dari Gurun Thar ke Delhi dengan berunta berkuda begini mahu makan berhari-hari. Maka saya memikir-mikir alternatif yang sesuai dengan belanjawan berhemat saya. Aha! Mengapa tidak saya cuba berkereta api? Hanyasanya masalahnya bagaimana hendak ke stesen kereta api. Aha (sekali lagi)! Frank Martin! Anda kenal nama itu?

BMW 735i E38 hitam membrek jitu pada kelajuan 300 kilometer sejam. Unta, kuda dan haiwan-haiwan ternakan terkejut lantas lari bertempiaran. Manusia-manusia nomad yang lemah semangat terlepas kumuh di perkhemahan. Debu padang pasir berterbangan melitupi kenderaan. Sebaik debu berlalu, kelihatan seorang putih bersut hitam berbadan sasa menurunkan cermin kenderaan dan menjemput saya masuk. Buat pengetahuan anda, beliaulah Frank Martin yang akan membawa saya ke stesen kereta api Jaipur bagi meneruskan perjalanan saya ke Delhi.

Dua jam yang penuh aksi kereta terbang dan pemanduan berbahaya. Calang-calang orang memang akan termuntah terbelahak, tetapi saya tetap cool kerana sepanjang dua jam itu saya tidur tak ingat dunia. Frank Martin mengucapkan selamat jalan kepada saya. Hanya ucapan itu, tanpa meminta walau sesen pun daripada saya sebagai upah. Anda hairan? Oh, saya lupa memberitahu anda bahawa beliau terhutang budi dengan saya. Waktu beliau kenduri kahwin dahulu sayalah yang membiayainya, manakala beliau hanya mengeluarkan belanja untuk buku cenderahati tetamu yang kosnya tak sampai pun sepuluh ribu. Jadi sekarang ini kalau beliau hendak tunjuk ranggi dengan saya memang nahaslah beliau di akhirat sana. (Beliau memang nampak kaha' tapi beliau masih takut akan azab api neraka).

Hasrat di hati ingin menaiki kereta api Palace On Wheels; duduk di Alwar, Bharatpur, Jaisalmer atau mana-mana satu daripada 14 koc yang ada, yang dilengkapi bilik katil berkembar berhawa dingin, pantri mini, launj, bilik air, surat khabar, air mineral dan banyak lagi. Serta tidak dilupa khidmat tukang layan yang dipanggil "Khidmatgar". Namun apakan daya, sejak wang simpanan yang saya kumpul bertahun-tahun hasil usaha tidak menukar kereta berusia hampir satu dasawarsa mahupun membeli rumah tahu-tahu menyusut begitu sahaja dengan dahsyatnya dalam tempoh sebulan dua ini atas sebab-sebab keselamatan dan tertentu, saya juga sudah jarang singgah ke Secret Recipe. Jadi hasrat ber"Istana Di Atas Roda" terpaksa saya ucapkan sayonara meskipun hati saya meronta-ronta menjerit-jerit nota "double-octave high A sharp".

Lalu, menyedari betapa marhaennya diri ini, saya mengambil keputusan untuk menaiki Gujarat Mail, sebuah kereta api yang terkenal laju tetapi hanya memerlukan ongkos yang ciput macam Bas Mini Wilayah suatu ketika dahulu. Sungguhpun ada perkataan "Mail" pada namanya, kereta api ini tidaklah pula membawa surat, suatu kerjaya yang telah lama ditinggalkannya.

Betapa pun manusia mentadbir, Allah juga tetap mentaqdir. Di luar pengetahuan saya, tiket keretapi di India ini sangat laris mengalahkan masalavadai panas. Tiket Kelas Dua Berhawa Dingin pada petang itu sudah pun ditempah orang berminggu-minggu sebelumnya. Nasib baik petugas di kaunter memberitahu bahawa masih ada peluang untuk saya mencongak-congak nasib kalau-kalau mendapat tiket kuota pelancong atau kuota Tatkal. Masalah sekarang ialah paling cepat kuota tiket sebegitu hanya dapat diperolehi dalam masa dua hari, itu pun paling banyak 12 keping tiket teragih ke pelbagai kelas penumpang. Dalam tempoh dua hari ini di mana saya akan menginap. Saya tidak nampak cara lain. Telefon genggam dikeluarkan dari kocek. Menu "Log" dicari, seraya ditekan timbul "Recent calls".

"Frank, aku kat stesen lagi ni. Malam ni aku tido' rumah hang!".



Nota:

- "My Name Is Red" atau "Benim Adim Kirmizi" ialah sebuah buku karya penulis Turki, Orhan Pamuk yang meraih gelar Anugerah Nobel dalam Kesusasteraan pada 2006.

- "Jodoh Ketentuan Tuhan" ialah terjemahan murbawan bagi filem "Rab Ne Bana Di Jodi" lakonan SRK. Dalam filem itu SRK ialah seorang penjawat awam yang skema tetapi sudah tertulis jodohnya dengan gadis riang ria remaja nan tidak sekhufu langsung pada mulanya.

- "Lelaki Yang Punya Hati Akan Bawa Pengantin Perempuannya Pulang" ialah terjemahan murbawan juga bagi filem "Dilwale Dulhania Le Jayenge", juga lakonan SRK. Dalam filem tersebut SRK seorang anak tunggal bangsawan di UK, menjejak cinta sejatinya di Hindustani.

- "We Stand United" = filem "Hum Sath Sath Hain"

Tuesday, January 26, 2010

Hikayat Sentul Perdana...

Syahdan, seperti dilipurkan kepada fakir oleh leluhur zaman dahulu kala, maka telah datanglah rombongan dari nun negeri kenya lang buana ke ibu kota. Adapun rombongan yang tiba bukanlah seumpama orang semenda, disuruh pergi pergi mereka, disuruh datang datang mereka. Rombongan yang tiba tidak lain tidak bukan adalah kerana jemputan orang besar ibu kota nan bertiga belas semata-mata ingin memaklumkan sendiri perkhabaran terjah dan ziarah beberapa purnama merindu lalu.

Sekira-kira fakir ini, bagai senandika orang matang bertam, sebagai melukut tepian gantang, ada tiada bertambah berat, tiada tiada berkurang sukat. Fakir bukanlah sesiapa sangat dalam pemakluman perkhabaran itu, sekadar tukang penjaga kekunci. Kerja fakir bermula sebaik sahaja fakir terkocoh-kocoh menunggang kancil selesai mengambil herba di mustasyfa selayang. Ghadan bakal menyambut rombongan, ba'da zuhr barulah hendak mengadakan syura. Sungguh wala' paduka demang akan suruhan agama, sebagai peri hukama syura didahulukan taqwa diutamakan. Tapi wala' paduka demang menggerhana perasaan, lantas fakir menyurat kalam dengan wajah nihil senyuman. Bahana gegasan pulang dari mustasyfa belumlah hilang, akibat rehat tiada kecukupan. Semua jadi punca tensi, bergolak darah dalam diri. Terfikir juga akan fakir, semuanya petanda fakir bakal terkentoi-kentoi sendiri tatkala merangkak senja hari. Teringat-ingat fakir bahawasanya si kancil perlu akan ia rawatan tulang belakang segera, kelak malam tiba mengundang bahaya.

Jungkir ke hari semasa, tercatatlah satu peristiwa. Entah fakir mahu ketawa, boleh jadi sedikit cuak bergalau jua. Sampai satu bab pada pemakluman perkhabaran kepada rombongan negeri kenya lang buana, tanpa semena-mena salah seorang ahli rombongan bergelar tabib memusykilkan diri sendiri. Kata tuan tabib, bukankah jajahan hurairah tiada ada padanya tolok cemar, seperti halnya jajahan-jajahan lain.

Paduka demang tercengang, dan sebagaimana biasa dipakai akan ia muslihat kalih pandang. Maka kalih pandangnya jatuh pada fakir, sambil bertanya siapakah gerangan sebenar-benar ahli terjah dan ziarah yang mengetahui perihal keberadaan tolok cemar di jajahan hurairah.

Tiadalah terlintas di medula oblongata fakir bahawa tiada dicatat nama jajahan hurairah pada bab pada lembaran bukanlah ertinya ia ada memiliki tolok cemar. Bak kata orang lanca, tiada tertulis tiada bererti berada tiada berada. Tiada tertulis puncanya bab dibicara bab jajahan-jajahan lemah terkecuali jajahan hurairah.

Maka dijawab oleh fakir yang sebenar-benar ahli terjah dan ziarah perihal dimaksudkan sama ada fakir atau jiran kepada fakir. Masalah sungguh masalah, kerana masa itulah jiran kepada fakir keluar entah beruzlah entah menyedut racun pemusnah. Dengan selawat tafrijiyyah dan bacaan ayat-ayat ruqyah maka fakir pun menjawab kepada datuk penghulu bendahari bahawa memang jajahan hurairah ada memiliki tolok cemar, hanyasanya digunakan apabila perlu sahaja.

Tuan tabib kedengaran di telinga fakir mengomel secara berjemaah bersama. Selang suasana tenang seketika, fakir meminta lembaran bercatat pengalaman terjah dan ziarah ke jajahan hurairah. Dalam hati fakir bertawakal, wahai Tuhan tolonglah adakan sungguh-sungguh tolok cemar dalam lembaran. Seraya dibuka helaian, tulisan jiran fakir terpampang. Cis! Rupa-rupanya memang dia yang ahli perihal dimaksudkan. Terpempan fakir terpempan, ternyata tiga sifar tanda memang jajahan hurairah tiada bertolok cemar. Jelas tuan tabiblah yang benar.

Syyy... Jangan pula tuan-tuan hamba ceritakan rahasia ini kepada sesiapa. Kelak fakir juga beroleh naya.

Demikianlah adanya.

Tuesday, January 19, 2010

Separuh Tahun Yang Sangat Lama...

Baru bulan pertama tahun 2010. Belum pun habis lagi. Ada sekira-kira 5 bulan lagi. Tapi...

Tang tapi tu yang berat sikit. Sebenarnya bukan berat sikit. Berat banyak. Sangat-sangat berat. Disebabkan keberatan itulah nak melalui hari demi hari sehingga cukup satu bulan begitu menyeksakan bagi aku. Sebelum ke ofis pagi-pagi, aku dok kelik pok kelik pok dengan perasaan sangat tidak bermotivasi. Perasaan sebegini telah pernah aku alami dulu-dulu. Walau macam mana tak bermotivasi pun enjin kereta terpaksa dihidupkan juga. Cuma sekarang tambah seganda lagi. Sebab aku kena menempuh kesesakan jalan raya yang macam kamjat tambah membuatkan jantung bekerja lebih keras di tengah-tengah darah terasa tersirap sampai ke otak. Jam ntahhapahapa. Menguet sikit jam, menguet sikit jam. Padahal bukan jauh tegha mana sangat pun rumah aku dengan ofis tu. Dalam erti kata lebih mudah, menjadikan aku sangat-sangat stress. Dah la tu, yang ofis aku pulak dah macam budak-budak sekolah tepi rumah aku pagi-pagi. Tiap-tiap pagi ada public assembly. Awat tak buat public canning sekali. Mengkalu lapan setengah baru sampai kan ka berpuluh pasang mata mengushar hamba Allah yang muncul di muka pintu. Ada masa-masanya hamba Allah tu termasuk aku. Aduiyai.

Aku harap semua bala ini akan segera berakhir. Penat dah mat oi.

Arghhhhhhhhhhh...!!!