Sunday, February 13, 2011

Memahami Konflik Rumah Tangga & Perangai Jiran Tetangga...

Menurut Kamus Sains Politik: Politik Perbandingan (Halimah & Rohaida 2007), konflik merujuk kepada “...Pertentangan secara sedar dan langsung antara individu atau kelompok kerana sesuatu kepentingan. ...Dalam konteks politik pula, konflik sering melibatkan persaingan merebut kuasa dan kejayaan menjatuhkan lawan. ...Secara amnya, konflik dapat dibahagikan kepada empat jenis iaitu pertikaian, ketegangan, krisis dan peperangan. ...”

Sebagai sebuah negara, walaupun kecil dari sudut geografi, Singapura tidak terkecuali daripada konflik. Pada asasnya, konflik yang dihadapi oleh Singapura boleh dikelaskan kepada tiga peringkat seperti berikut:

(i) Konflik Dalaman

- Tuntutan wanita untuk mendapat layanan sama rata

(ii) Konflik Serantau

- Pertikaian dengan Malaysia melibatkan isu semakan harga air dan tuntutan Pulau Batu Putih, Pedra Branca dan Middle Rocks

- Keselamatan Selat Melaka

(iii) Konflik Antarabangsa

- Sokongan terhadap Amerika Syarikat dalam tindakan ketenteraan terhadap Iraq dan memerangi keganasan antarabangsa

- Hubungan dengan China dan Taiwan

- Pelaksanaan hukuman mati ke atas penjenayah

Berdasarkan maklum balas dan tindak balas Singapura terhadap konflik-konflik yang berbangkit, dapat dikesan bahawa Singapura sentiasa bersikap tegas dan berkeyakinan tinggi terhadap pendiriannya terutama apabila melibatkan konflik serantau dan antarabangsa. Singapura tidak dibelenggu rasa rendah diri walaupun berdepan dengan kuasa besar dunia. Misalnya, meskipun China mendesak supaya lawatan ke Taiwan oleh Lee Hsien Loong pada tahun 2004 dibatalkan kerana didakwa tidak selaras dengan dasar One China Policy, namun lawatan tersebut tetap diteruskan. Justeru, tidak hairanlah konflik dengan negara kurang berpengaruh lebih mudah ditangani. Umpamanya, apabila Malaysia menuntut kenaikan terhadap harga air per seribu gelen yang lebih munasabah berbanding harga sedia ada iaitu tiga sen, Singapura tidak akur dengan tuntutan tersebut. Sebaliknya, isu dialihkan dengan berhujah bahawa kadar harga baru perlu dipersetujui bersama selaras dengan Perjanjian Air 1961 dan 1962. Singapura juga tidak sewenang-wenangnya berganjak apabila mereka telah membuat sesuatu keputusan. Contohnya, sungguhpun kepimpinan baru menerajui Malaysia pasca-Mahathir lebih berdiplomasi dalam menyelesaikan konflik, namun Singapura tidak menarik semula proses perundangan yang telah dimulakan.

Namun demikian, dalam menangani konflik dalaman tertentu, Singapura mempamerkan sedikit sikap bertolak-ansur dan bersedia untuk memenuhi tuntutan yang pada hematnya tidak keterlaluan dan sudah sampai masa untuk diberi perhatian sewajarnya. Contohnya, dalam isu layanan tidak sama rata terhadap kaum wanita, pada tahun 2004 Singapura akhirnya menghapuskan kuota mahasiswa wanita yang menuntut di National University of Singapore dalam jurusan perubatan. Faedah perubatan kepada keluarga dan anak-anak yang selama ini hanya dinikmati oleh pekerja lelaki sahaja turut diperluaskan kepada pekerja wanita.

Asas pertimbangan Singapura dalam konteks hubungan antarabangsa ialah pendekatan strategik. Oleh yang demikian, Singapura bukan sahaja mempunyai hubungan diplomatik yang erat dengan Amerika Syarikat bahkan dengan China. Hubungan dingin di antara Amerika Syarikat dan China tidak dipedulikan oleh Singapura asalkan hasratnya untuk mengekalkan tahap keselamatan bagi mencapai kemakmuran ekonomi berjaya. Walau bagaimanapun, hubungan akrab yang dijalin dengan negara-negara kuasa besar tersebut tidak menjadikan Singapura “pak turut” kepada mereka. Malah, Singapura sering menegaskan keperluan negara dan pihak lain untuk menghormati pendiriannya. Perkara utama yang selalu ditekankan oleh Singapura ialah mempertahankan kedaulatannya dengan menjadikan hubungan diplomatik dengan negara-negara lain termasuk kuasa-kuasa besar dunia sebagai hubungan dua negara yang setaraf. Pendekatan unik Singapura inilah yang kebiasaannya tidak difahami oleh pelbagai pihak lalu cenderung melabelkan Singapura sebagai pro negara-negara tertentu. Hakikatnya, Singapura akan menyokong sesiapa dan apa sahaja asalkan selari dengan kepentingannya.

Senarai Rujukan

Hajah Halimah Haji Ahmad & Rohaida Baharudin (pngr.). 2007. Kamus sains politik: politik perbandingan. Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 93.

Simon Tay, S.C. 2004. Singapore: Review of major policy statements. 2004 Singapore Year Book of International Law and Contributors. hlm. 219-234.

Tuesday, February 08, 2011

Sebuah Konfederasi Di Barat Afrika...

Pengenalan

Dari segi geografi, Senegal dan Gambia terletak di sebelah Afrika Barat. Gambia merupakan negara paling kecil di benua Afrika dengan kelebaran 20 batu dan sepanjang 200 batu dari timur ke barat. Ia dilingkungi oleh Senegal kecuali kawasan persisiran pantai Lautan Atlantik Utara sepanjang 50 batu (Mwakikagile 2009).

Idea penubuhan sebuah konfederasi yang menggabungkan Senegal dan Gambia bertitik tolak daripada peristiwa rampasan kuasa di Gambia yang berjaya ditumpaskan melalui bantuan ketenteraan oleh Senegal dengan kekuatan seramai 3,000 anggota (Rouvez et al. 1994; Nohlen et. al 1999). Semasa rampasan kuasa pada 30 Julai 1981 yang diketuai oleh Kukoy Samba Sanyang berlaku, Presiden Gambia iaitu Sir Dawda Kairaba Jawara berada di England untuk menghadiri majlis perkahwinan Putera Charles dengan Lady Spencer. Sehubungan itu, Sir Dawda Kairaba Jawara telah meminta bantuan ketenteraan daripada kerajaan Senegal selaras dengan Perjanjian Pertahanan 1965 (Awasom 2006; Fagbayibo 2010).

Oleh yang demikian, pada 17 Disember 1981, presiden kedua-dua negara iaitu Abdou Diouf (Presiden Senegal) dan Sir Dawda Kairaba Jawara (Presiden Gambia) telah mendandatangani perjanjian di Dakar untuk menubuhkan Konfederasi Senegambia (Touray 2000). Selaras dengan Section VII, Final Provisions, Clause 18, Konfederasi Senegambia berkuatkuasa secara rasmi pada 1 Februari 1982 (Fagbayibo 2010). Nama ‘Senegambia’ digunakan sebagai nama konfederasi ini sempena nama yang digunakan semasa perjanjian di antara dua kuasa penjajah yang pernah menjajah Senegal dan Gambia pada kurun ke-18 iaitu Perancis dan Britain (Richmond 1993).

Matlamat Penubuhan:

Section I, Principles, Clause 2, Perlembagaan Konfederasi Senegambia telah menggariskan matlamat penubuhan yang disepakati bersama. Matlamat-matlamat tersebut ialah:

(i) Integrasi angkatan tentera dan pasukan keselamatan di Senegal dan Gambia untuk mempertahankan kedaulatan, integriti wilayah dan kemerdekaan;

(ii) Pembangunan kesatuan ekonomi dan matawang;

(iii) Penyelarasan polisi hubungan luar;

(iv) Penyelarasan polisi komunikasi; dan

(v) Klausa dalam bidang-bidang lain yang dipersetujui bersama.

Serentak dengan itu, tiga institusi utama dalam pembentukan Konfederasi Senegambia juga ditubuhkan. Ketiga-tiga institusi tersebut ialah:

(i) Institusi Eksekutif

Section II, The President And Vice-President Of The Confederation, Clause 6, Perjanjian Konfederasi Senegambia memaktubkan bahawa Presiden bagi Konfederasi Senegambia ialah Presiden Senegal manakala Naib Presiden bagi Konfederasi Senegambia ialah Presiden Gambia. Persepakatan ini dicapai kerana Senegal merupakan negara anggota Konfederasi Senegambia yang lebih besar berbanding Gambia.

Walaupun sekali imbas kelihatan pembahagian jawatan tertinggi dalam Konfederasi Senegambia lebih menyebelahi Senegal, namun peruntukan Perjanjian sebenarnya seimbang. Buktinya, Clause 7 menyatakan, Presiden Konfederasi Senegambia tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian tanpa dipersetujui bersama oleh Naib Presiden Konfederasi Senegambia dalam perkara-perkara tertentu terlebih dahulu. Misalnya, keputusan melibatkan polisi-polisi penting Konfederasi Senegambia seperti pertahanan dan keselamatan, serta pelantikan jawatan-jawatan utama di peringkat Konfederasi.

(ii) Institusi Legislatif

Perjanjian Konfederasi Senegambia memperuntukkan penubuhan dua instrumen iaitu:

(a) Majlis Menteri-Menteri (Section III, The Council Of Ministers, Clause 10)

Majlis ini akan dianggotai oleh Presiden Konfederasi selaku Presiden Majlis, Naib Presiden Konfederasi sebagai Naib Presiden Majlis dan Ahli-ahli Majlis yang dilantik oleh Presiden Konfederasi hasil persetujuan Naib Presiden Konfederasi. Bilangan Ahli Majlis hampir seimbang iaitu lima dari Senegal dan empat dari Gambia (Kupchan 2010). Tujuan penubuhan Majlis ini adalah bagi meneliti perkara-perkara yang dikemukakan kepada Presiden Konfederasi untuk dipertimbangkan; dan

(b) Parlimen Konfederasi (Section IV, The Confederal Parliament, Clause 11)

Bersidang dua kali setahun dan terdiri daripada 60 ahli (40 dari Senegal dan 20 dari Gambia). Ahli Parlimen dipilih secara tidak langsung menerusi Parlimen negara masing-masing. Dalam usaha mengurangkan kebimbangan Gambia terhadap dominasi Senegal dalam Konfederasi Senegambia, mekanisme telah diwujudkan bagi memastikan undian majoriti di kalangan Ahli Parlimen perlu mengandungi sekurang-kurangnya lima undian daripada Ahli Parlimen Gambia. Malah, seorang Ahli Parlimen Gambia juga dilantik sebagai Speaker;

(iii) Institusi Kehakiman

Menerusi Section V, Settlement Of Differences, Clause 15, Perjanjian Konfederasi Senegambia, sebarang perbezaan tafsiran dan pelaksanaan Perjanjian akan dikemukakan kepada Presiden Konfederasi untuk diselesaikan hasil persetujuan bersama dengan Naib Presiden Konfederasi. Sekiranya Presiden dan Naib Presiden gagal untuk bersetuju dengan penyelesaian tersebut, salah seorang daripada mereka boleh merujuk perkara tersebut kepada penimbang tara. Dalam usaha menyelesaikan perbezaan tafsiran dan pelaksanaan Perjanjian secara lebih berkesan, Confederal Court of Appeal telah ditubuhkan pada tahun 1987. Mahkamah tersebut akan diketuai oleh seorang hakim daripada negara berkecuali (Touray 2000).

Kejayaan 1: Mengukuhkan Tahap Keselamatan

Penubuhan Konfederasi Senegambia yang meletakkan aspek keselamatan sebagai salah satu daripada matlamat utamanya telah berjaya mengekang ancaman terhadap kedua-dua negara. Menurut Fagbayibo (2010), Senegal misalnya terpaksa berdepan dengan ancaman kumpulan fundamentalis Islam, kumpulan pemisah etnik di wilayah Casamance, dan golongan anti kerajaan yang didalangi oleh para pemimpin negara berjiran seperti Kwame Nkrumah (Ghana), Ahmed Sékou Touré (Guinea) dan Muammar Ghaddaffi (Libya). Sementara itu, Gambia pula perlu menghadapi kumpulan penentang yang dipercayai mendapat sokongan Libya dan Guinea Bissau. Selaras dengan protokel keselamatan yang terkandung dalam Perjanjian Konfederasi Senegambia, pasukan tentera bersama yang dikenali sebagai “Confederal Brigade” telah ditempatkan di enam lokasi strategik kedua-dua negara bagi mengawal keselamatan daripada ancaman anasir-anasir terbabit. Menerusi kerjasama pertahanan ini, Gambia menyumbang satu pertiga daripada anggota tentera dan satu pertiga daripada dana (Kupchan 2010).

Kejayaan 2: Kerjasama Bidang Kebudayaan

Menurut Touray (2000) dalam buku The Gambia and the World: A History of the Foreign Policy on Africa’s Smallest State, 1965-1995, kerjasama dalam bidang kebudayaan merupakan kerjasama paling dinamik merangkumi pendidikan, pertukaran budaya, belia dan sukan, penerangan, pelancongan, kesihatan, kebajikan dan Palang Merah. Contohnya, bagi pendidikan peringkat menengah, kerajaan Senegal memperuntukkan kuota sebanyak empat tempat kepada remaja Gambia yang berminat untuk belajar di Prytanée Militaire de Saint-Louis yang memberi pendidikan percuma kepada anak-anak anggota tentera. Bagi pendidikan tinggi pula, kerajaan Senegal menaja sepuluh tempat di University of Dakar untuk mahasiswa Gambia. Sebagai balasan, kerajaan Gambia memberi peluang kepada pelajar dari Senegal untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke Gambia yang merangkumi pengajian bahasa Inggeris (Touray 2000).

Kejayaan 3: Hubungan Luar

Penyelarasan polisi hubungan luar, seperti dinyatakan menerusi protokol yang terkandung dalam Perjanjian Konfederasi Senegambia, juga merupakan pencapaian yang membanggakan bagi konfederasi ini. Seperti diungkapkan oleh Menteri Hal Ehwal Luar Gambia menerusi wawancara dengan Radio Gambia pada Julai 1982, beliau menganggap protokol penyelarasan hubungan luar sebagai mustahak kerana ia memberi kuasa tawar-menawar yang lebih besar kepada kedua-dua negara dalam konteks perundingan antarabangsa (Touray 2000).

Kejayaan 4: Bidang Komunikasi dan Pengangkutan

Antara kejayaan dalam aspek ini adalah melibatkan penerimaan terhadap penggunaan permit perjalanan 120 hari untuk pengguna jalan raya di dalam Konfederasi Senegambia. Pembiayaan kewangan daripada Jepun juga diperolehi untuk Lembaga Pelabuhan Gambia dengan penyertaan Senegal bertujuan menaik taraf dan mengendalikan feri di Sungai Gambia. Selain itu, Dana Pembangunan Arab Saudi juga bersedia menawarkan pinjaman bernilai 40 juta franc untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi projek jalan raya Velingara-Badiana-Basse yang akan menghubungkan bahagian hilir Sungai Gambia yang bersempadan dengan Senegal (Touray 2000).

Kegagalan:

Satu hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah perpecahan Konfederasi Senegambia pada 30 September 1989 merupakan kegagalan terbesar lantas menggerhanakan kejayaan-kejayaan yang dikecapi sebelumnya. Terdapat masalah-masalah tertentu yang menyumbang kepada perpecahan tersebut:

Masalah 1:Persepsi Pemimpin Tertinggi Masing-masing yang Berbeza

Kepimpinan tertinggi kedua-dua negara mempunyai pandangan berbeza tentang matlamat sebenar penubuhan Konfederasi Senegambia. Presiden Senegal berpendapat penubuhan sebuah konfederasi sebagai batu loncatan ke arah penubuhan sebuah federasi dan seterusnya menjadi sebuah unitari. Presiden Gambia pula berpendapat bahawa penubuhan konfederasi merupakan satu-satunya pilihan terbaik dan beliau secara langsung mengenepikan sebarang usaha ke arah penubuhan sebuah federasi atau unitari (Touray 2000; Senghor 2008).

Masalah 2: Tuntutan Gambia

Pada 1 Ogos 1989, Presiden Gambia mengemukakan tuntutan supaya jawatan Presiden Konfederasi dan Naib Presiden Konfederasi digilirkan (Awasom 2006; Senghor 2008). Hal ini disebabkan Section II, The President And Vice-President Of The Confederation, Clause 6, Perjanjian Konfederasi Senegambia menyatakan Presiden bagi Konfederasi Senegambia ialah Presiden Senegal manakala Naib Presiden bagi Konfederasi Senegambia ialah Presiden Gambia. Senegal menganggap tuntutan tersebut sebagai taktik untuk melengah-lengahkan usaha mencapai bentuk integrasi yang lebih besar (Awasom 2006).

Sebenarnya tuntutan tersebut bukanlah merupakan tuntutan pertama oleh Presiden Gambia. Pada tahun 1985, beliau telah menulis surat rasmi kepada Presiden Senegal meminta supaya perisytiharan perintah darurat bagi negara Gambia oleh Presiden Konfederasi dibuat “dengan persetujuan” Presiden Gambia dan bukannya “hasil perundingan dengan” Presiden Gambia. Asas tuntutan beliau pada waktu itu ialah Perlembagaan Gambia menetapkan bahawa Presiden Gambia sahaja yang berkuasa mengisytiharkan perintah darurat di Gambia (Senghor 2008).

Pada masa yang sama, Senegal juga menghadapi konflik dengan dua lagi negara tetangga iaitu Mauritania (isu sempadan dan keganasan perkauman) dan Guinea Bissau (isu kawasan perairan yang kaya dengan perikanan dan minyak mentah). Walaupun berdepan dengan konflik sedemikian, Senegal masih komited untuk mengukuhkan Konfederasi Senegambia termasuk dalam bentuk kewangan. Misalnya, Senegal yang turut berdepan dengan krisis ekonomi dari tahun 1987 sehingga tahun 1988 masih menyumbang USD$5 juta untuk belanjawan Konfederasi Senegambia (Senghor 2008). Justeru, tindak-tanduk Presiden Gambia yang seolah-olah tidak menghargai komitmen Senegal terhadap Konfederasi Senegambia dalam tempoh yang sukar sebegitu sudah pasti menimbulkan kekecewaan dan kemarahan di pihak Senegal.

Masalah 3: Pengunduran Tentera Senegal yang Berpangkalan di Gambia

Pada 19 Ogos 1989, Senegal telah mengundurkan 300 orang tenteranya yang sebelum itu berpangkalan di Gambia selaras dengan Perjanjian Konfederasi Senegambia tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada kerajaan Gambia (Touray 2000; Awasom 2006; Senghor 2008). Senegal menerusi Menteri Angkatan Tenteranya, Medoune Fall memberi alasan kononnya tindakan tersebut adalah perlu disebabkan konflik dengan Mauritania di sempadan yang semakin memuncak sejak April 1989. Walhal sebab sebenar pengunduran tersebut seperti dinyatakan terus-terang oleh Presiden Senegal menerusi siaran langsung di televeisyen pada September 1989 ialah kegagalan Konfederasi Senegambia mengintegrasikan kedua-dua negara dan justeru tidak berbaloi untuk diteruskan. (Touray 2000). Presiden Gambia berasa tercabar dengan tindakan tersebut lantas memulakan usaha perundangan untuk membubarkan Konfederasi Senegambia (Touray 2000; Awasom 2006).

Masalah 4: Konfederasi Tidak Mendapat Sokongan Menyeluruh

Menurut Senghor (2008) dalam bukunya “The politics of Senegambian integration, 1958-1994”, rakyat melihat pembentukan Konfederasi Senegambia sebagai percaturan pemimpin dua negara dan elit politik masing-masing. Pernyataan ini ada asasnya kerana sebelum perjanjian penubuhan Konfederasi Senegambia ditandatangani oleh pemimpin kedua-dua negara, tiada sebarang pungutan suara dijalankan bagi mendapat maklum balas dan pandangan daripada rakyat negara masing-masing sama ada menyokong atau menentang pembentukan Konfederasi Senegambia.

Menerusi karya yang sama, Senghor (2008) menyatakan bahawa, Presiden Gambia umpamanya menegaskan bahawa referendum tidak diperlukan kerana kedaulatan Gambia tidak terjejas menerusi pembentukan Konfederasi Senegambia. Sikap simplistik beliau terserlah apabila menjadikan kemenangan besar dalam pilihan raya umum tahun 1982 sebagai petunjuk sokongan rakyat Gambia terhadap penubuhan Konfederasi Senegambia.

Justeru, rakyat melihat bahawa perjanjian tersebut dibuat disebabkan kepentingan peribadi pemimpin masing-masing. Misalnya, Presiden Gambia, Sir Dawda Kairaba Jawara memerlukan pembentukan konfederasi bersama Senegal agar beliau bebas daripada ancaman rampasan kuasa seperti yang berlaku pada tahun 1981 memandangkan Gambia tidak mempunyai pasukan tentera seperti Senegal (Kupchan 2010).

Masalah 5: Eksploitasi oleh Parti Pembangkang di Gambia

Berbeza dengan penerimaan rakyat Senegal yang lebih positif, rakyat Gambia diapi-apikan oleh parti pembangkang utama di negara mereka supaya bersikap negatif terhadap pembentukan Konfederasi Senegambia. Misalnya, parti People’s Democratic Organization for Independence and Socialism mengeluarkan risalah yang mendakwa kerajaan Gambia merupakan “pak turut” kepada kerajaan Senegal. Parti berkenaan juga mendakwa penglibatan Gambia dalam konfederasi merugikan rakyat dari segi politik dan ekonomi (Kupchan 2010).

Masalah 6: Gagal Bersetuju Tentang Kesatuan Ekonomi dan Kewangan

Senegal mengharapkan kerjasama yang lebih jitu ke arah kesatuan ekonomi dan kewangan supaya perbezaan harga barangan di kedua-dua negara dapat diseimbangkan dan seterusnya mengatasi masalah penyeludupan yang berleluasa di sempadan (Kupchan 2010). Caranya adalah dengan merealisasikan kesatuan kastam (customs union). Sementara itu, Gambia menganggarkan mereka akan kehilangan sekurang-kurangnya 25% daripada keseluruhan hasil cukai sekiranya kesatuan kastam diwujudkan. Sehubungan itu, Gambia mencadangkan pendekatan yang tidak tergesa-gesa bermula dengan penetapan kawasan perdagangan bebas (Senghor 2008; Fagbayibo 2010). Walau bagaimanapun, pada akhirnya liberalisasi perdagangan dengan Senegal juga ditolak oleh Gambia pada Ogos 1989 (Bach 1999). Sikap Gambia yang acuh tak acuh dalam kerjasama membuatkan Senegal begitu tersinggung (Awasom 2006; Senghor 2008).

Masalah 6: Perasaan Terancam Rakyat Gambia

Selaras dengan Perlembagaan Konfederasi Senegambia berkenaan protokol pertahanan bersama, pasukan tentera yang dikenali sebagai “Confederal Brigade” ditempatkan di enam lokasi strategik di kedua-dua negara. Walaupun penempatan pasukan tentera di lokasi-lokasi tersebut berjaya mengekang ancaman kumpulan radikal di kedua-dua negara, namun timbul pula perasaan terancam di kalangan rakyat Gambia sendiri kerana berasakan penempatan tentera Senegal di bumi mereka sebagai satu bentuk penjajahan secara tidak langsung (Fagbayibo 2010). Antara lokasi penempatan tentera Senegal ialah di kawasan pejabat-pejabat kerajaan, lapangan terbang dan stesen radio utama (Kupchan 2010). Walhal, pihak Senegal hanya melaksanakan kesepakatan yang dicapai semasa penubuhan Konfederasi Senegambia. Bantuan yang diberi juga adalah atas semangat kekitaan kerana kedua-dua negara berkongsi sejarah dan budaya yang sama sebelum era penjajahan oleh kuasa-kuasa asing seperti Britain dan Perancis. Atas dasar yang sama jugalah Senegal menghulurkan bantuan ketenteraan semasa Gambia diancam rampasan kuasa pada tahun 1981, tetapi pada masa itu tidak timbul pula kebimbangan ditakluk oleh Senegal.

Masalah-masalah yang timbul telah menyebabkan pemimpin kedua-dua negara yang terdahulu pada 12 Disember 1981 menandatangani perjanjian untuk menubuhkan Konfederasi Senegambia di Dakar, menandatangani satu lagi perjanjian di Banjul pada 21 September 1989, kali ini untuk membubarkan Konfederasi Senegambia.

RUJUKAN

Mwakikagile, G. 2009. A profile of African countries. Dar es Salaam, Tanzania. New Africa Press. hlm. 111.
Fagbayibo, B.O. 2010. A politico-legal framework for integration in Africa: exploring the attainability of a supranational African union. Tesis Ph.D. University of Pretoria. hlm. 84-87.

Richmond, E. 1993. Senegambia and confederation: History, expectations and disillusions. Journal of Third World Studies. hlm. 176.

Awasom, N.F. 2006. Anglo-Saxonism and Gallocism in Nation Building in Africa: The Case of Bilingual Cameroon and the Senegambia Confederation in Historical and Contemporary Perspective. Afrika Zamani. Council for the Development of Social Science Research in Africa & Association of African Historians, hlm. 89-90.

Ibid., hlm. 107-108.

Bach, D. 1999. The revival of regional integration in Africa. Lisboa: Universidade de Bordéus-Montesquieu, hlm. 17.

Senghor, J.C. 2008. The politics of Senegambian integration, 1958-1994. Bern: Peter Lang AG, International Academic Publishers, hlm. 255-258.

Ibid., hlm. 275.

Ibid., hlm. 279.

Touray, Omar A. 2000. The Gambia and the world: a history of the foreign policy on Africa’s smallest state, 1965-1995. Hamburg: Institute of African Affairs, hlm. 109-111.

Ibid., hlm. 114-115.

Ibid., hlm. 116-118.

Kupchan, C.A. 2010. How enemies become friends: the sources of stable peace. Princeton University Press, New Jersey. hlm. 354.

Ibid., hlm. 356.

Ibid., hlm. 360-361.

Rouvez, A., Coco, M. & Paddack, J.P. 1994. Disconsolate empires French, British and Belgian military involvement in post-colonial Sub-Saharan Africa. University Press of America, Inc. Maryland, hlm. 176.

Nohlen, D., Krennerich, M. & Thibaut, B. 1999. Elections in Africa: a data handbook. Oxford University Press Inc., New York, hlm. 411-412.

Perlembagaan

Senegambia. 1981. Perlembagaan Konfederasi Senegambia 12 Disember 1981.