Sunday, June 28, 2009

Menanti Advencer Terhenti...

Telinga disumbat earphone menyalurkan ritma Hindi dari MP3 player yang ku beli di Miri.

Hidup adalah satu perjuangan. Dalam sudut pandang yang lebih sempit, perjuangan aku sekarang ini ialah pembebasan diri dari status quo sedia ada. Oh, tidak, perjuangan aku tanpa kod warna tertentu, apatah lagi didanai oleh alat imperialis bentuk baru.

Seperti juga dalam konsep ekonomi, membuat pilihan lazimnya berdepan dengan kos lepas. Yang aku nak sangat, tawaran kursusnya agak terhad. Yang kursusnya lebih rencam, lokasinya dan suasananya pula aku kurang teruja.

Ada satu hal lagi. Katakanlah aku memohon dan permohonan diterima. Apakah saat dan ketika serta cara dan pendekatan yang paling sesuai untuk aku maklumkan kepada bos. Sedang ke hadapan-hadapan ini advencer berterusan sampai ke ceruk ulu banat. Merancang satu perkara, tapi bila sampai saat penentuan adalah satu hal yang lain pula.

Semoga Tuhan menunjukkan dan mempermudahkan jalan. Kalau ikut hati, cukuplah setakat ini. Terngiang-ngiang aa aab laut chalen dan phir bhi dil hai al-bakafi.


MH 2742
KLIA – Bintulu
28 Jun 2009 (Ahad)
1.17 petang

Nota : Si pramugara boleh tersasul lak buat pengumuman landing di Sibu. Kah, kah, kah, pertama kali seumur hidup aku dengar salah pengumuman tempat landing. Warghahaha! Terhibur aku.


Nota Tambahan : Dibawa oleh pihak yang kena advencer minum kat satu gerai seusai sampai. Orang lain pakat order roti canai la, roti telur la. Hat PSU ni mintak tisu, yang pembantu kedai pula tengah ambil order. Aku dah agak dah, satgi buleh benda-benda sentul dah ni. Betui pun macam aku dok agak, sekali pelayan tu bawak apa hang tau, "ROTI TISU". Muarghahaha! Tapi tisu pun dia bagi sekali.

Tuesday, June 09, 2009

Jangan Hang Dok Tegheyak...

Dari kejauhan, Dek Zek pulun sakan lagu Hattan, part chorus pulak tu "…terasakah langkahku makin laju…". Part Dek Zek tarik "Laju" tu memang laju semacam, Pian macam biasa la candek tak ingat walaupun hamba Allah tu pernah jadi sleeping partner dia kat Kolej MAS dulu, "Memang laju la!", sambil kami bertiga gelak-gelak terbahak-bahak dan gerak-gerak-gerakan cukup laju pi kereta Pian. Anyway, sogha hang not bad la Zek. Banding dengan sorang minah ni yang bawak lagu Nurul, sib bait aku dah sudah makan walaupun tak la basuh tangan dengan aya' mineral sekali lagi. Lagu ni halwa telinga, kalau dah pitching terbabas kerap sangat apa lagi memang jadi laughing stock la jawabnya.

Pian pulak bawak pi satu empangan kat situ. Ada la 2 eko' guard baguih punya lepak tepi ofis. Mengkala pi dulu ada siap taklimat apa semua, cuma kali ni aku menghayati keindahan empangan waktu petang sementara adik Pian si Suhaimi menggambari keadaan sekitar. Kuala Kubu Bharu ni bukan apa, mengingatkan aku pada banyak perkara. Selain empangan tadi, dan masa hari terakhir modul bomba mengkala dibawa naik berhimpit-himpit dalam kereta bomba sampai terpaksa menunduk sepanjang perjalanan dok round kawasan sekitar termasuk jalan berdekatan empangan, juga kampung Dek Zek, aku turut teringat pada Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia masa aku jadi kadet dulu. Malam last tu, sebagai melepas geram dan sebagai pengarah persembahan group aku, aku boh sebaris dua sebuah lagu sebagai intro babak-babak drama tentang kehidupan ahli-ahli bomba. "...Kalau pergi Kuala Kubu, tulis nama atas batu...", kata Sudirman la, dan juga kata sorang mamat ni masa karaoke kat kenduri Dek Zek. Kalau nak tau apa Jamal kata dan lagu apa yang aku pinjam sat daripada dia, hah, layan zasss lagu kat bawah ni. Pak Ngah aku pernah kata lagu ni lagu lama masa aku cerita kat dia. Mau tak lama, aku tak masuk TASKI lagi pun lagu ni dah keluar. Apa-apa pun lagu ni aku memang suka. Aduhai nostalgia aduhai. Sayu pun ada. Macam nak pergi jauh sahaja bunyinya. Isk, isk, isk.


Saturday, June 06, 2009

Fitnah Takkan Datang Kalau Tak Dicari, Fitnah Takkan Dapat Kalau Menghindari...

Sebab itu adalah lebih afdhal guna perkhidmatan MAS. Satu, sebab dahulu aku menghuni Kolej MAS. Alasan pertama memang tidak relevan, tapi sebab kedua ialah MAS sungguhpun dari satu segi nampak mahal, tapi banyak bahagian yang ia lebih fleksibel. Contohnya, boleh daftar masuk seawal yang mungkin asalkan ada kaunter dibuka tanpa terikat dengan had masa. Lagi, boleh cuba untuk dapatkan penerbangan lebih awal tanpa perlu membayar harga tiket yang baru. Dan lagi, ada budi bicara kalau terlebih bagasi yang didaftar masuk. Bukan macam syarikat penerbangan yang itu. Gimik macam murah, tapi surcaj hat tu surcaj hat ni. Lebih setiap kilo dicaj RM15, buat duit tak ingat. Aku petik kata-kata Haziq dalam Syurga Cinta, "Agak-agak la sikit abang!". Sistem menaiki pesawat pun tidaklah setara mana. Langsung tiada pengumuman waktu bila perlu berbaris di pintu masuk, kena pandai-pandai sendiri bertanya, tak kiralah untuk Xpress Boarding ataupun tidak. Reputasi macam hebat dan gah sangat. Apa punya wak long. Wak lu la!

Di atas merupakan coretan berdasarkan advencerku ke Kuching. Sepatutnya lebih banyak boleh dicoret andai komputer riba dibawa bersama. Namun setelah ditimbang dengan saksama dengan mengambil kira bilangan beg dan berat bagasi yang akan berganda sewaktu bertolak pulang ke Semenanjung semula, terpaksalah aku batalkan hasrat itu. Berikut merupakan antara idea entri yang membuak-buak untuk dicatatkan :

Ketika itu sumber maklumat tentang perkembangan kisah tanah air belum berleluasa seperti sekarang. Memang Internet telah ada, tapi akses belum cukup memberangsangkan. Bagi warga Sintok macam aku, hendak melayari Internet di makmal komputer pun jenuh berebut. Asal singgah sahaja makmal penuh, asal singgah sahaja makmal penuh, asal makmal penuh sahaja aku singgah. Waktu yang sama ada sebuah nama yang sedang harum subur di hati. Aku tertarik sebab dia contoh seorang yang telah jauh mencapah merapu dana, tapi hidayah Allah menyinari hatinya lalu berubah menjadi seorang manusia yang kalau orang tak pernah tahu masa silamnya tidak akan pernah menyangka dia pernah bergelar seorang kutu berahak.

Walhasilnya, aku membunuh rasa gementar bercampur-baur dengan rasa berdosa dan kontradiksi dengan imej aku dengan membeli sebuah majalah hiburan keluaran 13 - 28 September 2000 di STM Foyer UUM. Semata-mata ingin mengetahui cerita kehidupannya setelah mengucapkan selamat tinggal kepada kehidupan yang lagha. Aku masih ingat, sewaktu di bilik Kolej MAS, si Helmi and the gang yang auw-auw datang bertandang. Si Helmi mengungkapkan rasa tidak sangkanya kerana aku membeli majalah itu. Biasalah set-set ini, kalau bercakap memang terasa laser walaupun kadang-kala tidaklah mereka berniat begitu. Aku masih terasa berdosa dan tercalar imej yang aku pertahankan, lalu kataku, aku hanya hendak mengetahui cerita tentang dia itu. Lalu ku keluarkan poster cun yang tertera beberapa foto bahagia dia dan isteri, waktu itu dia masih bercermin mata berserban dan berbaju ala Raihan, sementara baki majalah yang lain ku beri pada si Helmi. Poster cun itu masih tersimpan di dalam folder bersama surat-menyurat dan sijil-sijilku.

Aku biasa mendengar dia berceramah sewaktu slogan refleksi penghijrahannya bergema dan bercetak pada poster yang bertampalan. Memang lucu, ditambah suaranya yang cukup merdu berlagu dalam sela-sela hujah. Habis semua artis dicandeknya, Awie datang ke rumah orang mati dengan motor Harley Davidsonlah katanya. Juga katanya pernah jumpa set-set Wings yang katanya suruh dia jalan terus sementara diorang follow dari belakang, menampakkan keyakinan dia kepada artis-artis seangkatan dengannya untuk turut berubah. Aku terfikir juga pada ketika itu, meski tertawa dengan leluconnya, ada harapan artis-artis pakat bermusuh dengannya. Lagipun, menyebut nama individu dalam ceramah, apatah lagi berbaur candek sangatlah kurang menyenangkan. Ketika itulah kali pertama aku mendengar nama sebuah tempat di utara disinonimkan dengan Copenhagen di Denmark. Pada penghujung ceramah yang aku dengar, dia promosi produk tertentu yang dibawanya bersama.

Kata ayah aku beberapa ketika selepas ceramah, ada pesara cikgu di tempat aku tidak senang akan kehadiran dia. Ayah aku menghujahkan padaku tentang Umar Al-Khattab. Aku pula dengan alasan yang sedikit berbeza, bahawa setiap orang ada masa silamnya, demikian apabila ada usaha untuk kembali ke pangkal jalan perlulah ada dorongan dan sokongan tanpa melihat dengan pandangan penuh sangsi. Seperti halnya penagih dadah yang kembali ke pangkuan masyarakat, kalau kehadiran mereka tidak diterima alamat kembalilah mereka kepada kehidupan lama.

Sebelum itu, dalam ceramah-ceramahnya dia lebih cenderung mempromosi marhaban dan barzanji sebagai kesenian Islam yang wajar dipraktiskan sesuai dengan fitrah seorang Muslim. Suatu ketika, semasa aku menetap di Putrajaya dan selalu membeli-belah item-item tertentu di Warta Bangi, aku terlihat dan beli sebuah kaset berlabel indie yang memuatkan lagu-lagunya selain kaset alunan marhaban dan barzanji. Pada masa itu aku terdetik, bahawa sangat sukar untuk melupakan terus bidang seni yang suatu ketika seseorang itu pernah menjadi sebahagian daripadanya. Walau bagaimanapun, aku masih terasa o.k. sebab dia setakat berkecimpung secara bawah tanah dalam dunia hiburan. Mendengar kasetnya itu, harus diakui walaupun suara dia sedap tetapi lagu-lagu tersebut sukar hendak aku layan sangat, tak masyuk kata orang sekarang. Pada masa itu dia masih berjual kitab-kitab agama di sebuah toko buku di negeri kelahirannya.

Zaman berlalu pusaka bergilir, tahu-tahu aku terbaca hasratnya kembali ke dunia hiburan arus perdana. Hatiku berkata, dia bakal menjebakkan dirinya ke dalam dunia fitnah. Sebabnya, dalam tempoh masa yang sama, telah disepakati berdasarkan contoh kontemporari yang akan kekal klasik, bahawa seorang individu takkan mampu mengubah bi'ah sedia ada yang diselubungi perkara-perkara lagha dan menyimpang apabila terjun ke dalamnya, bahkan individu tersebut yang perlahan-lahan akan menyerap unsur-unsur dalam persekitaran berkenaan hingga akhirnya dihanyutkan arus fitnah. Tambahan pula, aku masih belum pasti bagaimana dia akan menghadapi artis-artis yang pernah dikutuknya dalam ceramah sebelum-sebelum ini. Barangkali dia mengambil pendekatan seperti Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna yang berdakwah di kalabun malami di kotaraya Mesir. Tapi Asy-Syahid tekal dengan prinsipnya, bahkan Ikhwanul Muslimin pun tidak dihinggapi fitnah lantaran uslub beliau. Tapi dia ini bagaimana? Mampukah dia?

Islam tidak mengehadkan pakaian-pakaian tertentu, asalkan menutup aurat sudah memadai. Hanyasanya, apabila dia meninggalkan serban dan jubah lantas mengenakan pakaian lain yang lebih moden dan ranggi, aku mula berasa ragu. Aku tertanya-tanya sendiri, bukankah ada orang yang masih berserban dan berjubah tetap disanjung tinggi oleh segenap lapisan masyarakat; kawan mahupun lawan. Yang penting kualiti yang ada pada diri, dan tahu pula membawa diri. Pada hematku, biarpun uslubnya adalah untuk mudah mendekati golongan muda, namun aku terkesan bahawa unsur-unsur komersial yang lebih mendominasi. Hinggakan apa yang dilakukannya setelah masuk kembali ke dunia hiburan arus perdana bercanggah dengan hujah yang pernah dia utarakan semasa ceramah. Contohnya, bagi menyokong kenyataan kalangan tertentu yang menyatakan suara wanita ialah aurat, dia pernah katakan bahawa antara sebabnya ialah mengasyikkan pendengar, maka sebab itu wanita tidak boleh memperdengarkan bacaan Al-Quran di khalayak ramai ataupun melaungkan azan. Tetapi sebaik sahaja dia kembali ke dunia lamanya, dia bahkan berduet dengan penyanyi wanita meskipun lagu yang didendangkan condong ke arah kerohanian. Manakala kalangan yang menentang keras memperdengarkan suara wanita di khalayak menerusi sebarang medium termasuk nyanyian ternyata konsisten dengan prinsip mereka, dia ternyata tidak konsisten dengan pendiriannya.

Hampir terkini, aku lihat dia semakin mencapah, dan tidak ketara usaha dia untuk meminimumkan kalaupun tidak mampu menutup langsung ruang fitnah. Dia tidak kelihatan istiqamah dan thiqah dalam menjaga statusnya sebagai orang yang terpandang dalam masyarakat. Hanya katanya, "Jangan bangkitkan fitnah yang sedang tidur". Apa barang punya kenyataan itu? Menjawab kesangsian tidak juga. Kalau orang biasa pun harus berhati-hati dalam menjauhkan diri dari fitnah yang antara lain melibatkan wanita, dia seharusnya lebih berhati-hati berkali-kali ganda. Kerana kesan fitnah sangatlah dahsyat, apa yang pernah diceramahkan olehnya walaupun bermanfaat akan serasa jadi nihil sia-sia. Bukan itu sahaja, kiranya ada lagi orang lain yang dalam proses penghijrahan buat kembali ke pangkal jalan, masyarakat akan melihat dengan penuh prasangka.

Akhirnya semuanya jadi terbarai, tak mampu diselamatkan lagi.

Nota : Perkataan fitnah dalam ayat 191 surah Al-Baqarah, "Wal fitnatu asyaddu minal qatl" bukan bererti "fitnah" dalam erti kata yang biasa difahami. "Fitnah" dalam ayat tersebut bererti "syirik". Maka maksudnya, "Dan syirik itu lebih dahsyat daripada membunuh".