Wednesday, September 16, 2009

Di Jalan Ilmiah Aku (Hampir) Berhijrah...

Sebuah universiti apex telah menghancur-leburkan impian aku untuk merealisasikan Rancangan Malaysia Kesembilan dengan sempurna. Makanya, disesuaikan dengan bulan-bulan Islam nan mulia, di bawah ini aku perturunkan sebahagian sangat besar ad verbatim inti pati utama teks ucapan perpisahan aku yang tertunda buat kesekian kalinya. Teks ucapan yang temanya, dengan sedikit pengubahsuaian tajuk buku Ustaz Cahyadi Takariawan, seorang ulama terkemuka sebuah parti siasah islami nun di negara yang mengacung-acung buluh runcing ke negaraku :

Dalam sebuah filem terbitan 1970-an, terdapat sebuah adegan yang memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal sambil dibonceng oleh seorang wanita. Yang menarik perhatian saya bukanlah terhadap ketampanan si jejaka, mahupun kerupawanan si jejaki. Tidak juga kerana kedua-duanya tidak memakai helmet. Pun bukan disebabkan yang membonceng menghadap ke sisi. Yang menarik perhatian saya adalah kepada bait-bait lagu yang dinyanyikan sepanjang perjalanan. Kurang lebih begini bunyinya :

"Zindegi ek safer hai suhana, Yahaa kal kya ho kisne dana...".

Tamat imbas kembali, dan jungkir balik ke tika dan saat ini.

Apabila saya kenang-kenangkan kembali, serasa-rasa ada kebenaran dalam senikata lagu tersebut. "Hidup satu perjalanan yang indah, kita tidak tahu apa yang bakal terjadi keesokan hari". Begitulah juga halnya dengan diri saya, jika lebih setahun yang lalu saya menjejakkan kaki buat pertama kali ke sini, esok lusa tibalah giliran saya untuk melangkah pergi.

"Seminggu dalam politik terlalu lama". Demikian kata-kata Tan Sri Abdullah Ahmad atau lebih mesra dengan panggilan Dollah Kok Lanas dalam beberapa kolum beliau di dada-dada akhbar beberapa ketika. Mungkin beliau memetik kata-kata keramat orang lain. Itu saya kurang periksa.

Hanyasanya bagi saya, seminggu, apatah lagi setahun lebih di XXX pun bukanlah suatu tempoh yang singkat. Pelbagai kenangan silih berganti. Kadang-kadang suka, kadang-kadang duka pun ada juga. Bak kata tajuk filem Hindi, "Kabhi Khushie Kabhi Gham". Yang seronok saya simpan dalam lipatan kenangan abadi, yang tak berapa seronok saya simpan dalam hati.

Antara kenangan yang menyeronokkan ialah apabila diminta mengetuai pasukan untuk kajian soal selidik rintis. Saya tidak ada kecenderungan untuk ke mana-mana, apa sahaja arahan XXX saya terima. Alangkah, tanpa saya duga, XXX yang menyangka saya orang Kedah telah memilih Pulau Pinang sebagai lokasi. Kata beliau kepada saya, dekatlah dengan kampung halaman di Kedah. Saya seperti biasa, dengan muka innocent tanpa perasaan; poker-faced kata orang putih, muka sekupang kata orang hat tak berapa nak putih. Padahal dalam hati mau tak seronok tak sangga. Dekat apanya, dah memang pun Pulau Pinang senantiasa dikenang.
(Amboi, ada unsur boria nampak, pengaruh Maidin & Piee la ni).

Antara kenangan yang menyeronokkan adalah di Pulau Pinang. Sepanjang saya berkecimpung dalam arena penyoal selidikan dan penemubualan setakat ini, belumlah lagi saya bertemu dengan goresponden yang begitu bermurah hati macam di Tanjung itu. Ada 2 goresponden; satu di sebelah pulau dan satu di seberang. Kedua-duanya menjemput saya dan rakan masuk ke dalam rumah. Hat di pulau anak mami jarum dia tolong hidang aya'. Bukanlah mami macam orang Queen Street mahupun warga Jalan Madrasah. Tapi yang nyata memang putih serlah. Cuma hat slack tu tak pakai tudung. Kerja kilang tang mana entah. Ada lagi la kudapan depa jamu juga. Best gila sembang dengan pak cik itu, slang Penang Kia. Selain rumah tepi masjid Kampung Seronok itu, saya juga tidak melupakan sebuah rumah di Taman Sri Acheh, Seberang Perai Selatan. Kalau di Kampung Seronok panas lit-lit waktu petang, di seberang waktu hujan di tengah hari, sib bait tak lokoih. Sungguh baik hati warga tua itu yang menjaga cucu-cucunya termasuk seorang yang mengalami masalah penglihatan, kecil-kecil sudah terpaksa memakai cermin mata. Sungguhpun rumah teres setingkat yang begitu sederhana, dijamu juga saya dan rakan dengan teh o panas dan seumpamanya.

Sebuah kenangan lagi yang tak dapat saya lupakan ialah ketika menemubual seorang mak cik yang meniaga di gerai tolak tepi jalan di hadapan rumahnya. Kisah itu berlaku di destinasi soal selidik terakhir di daerah Barat Daya dalam perjalanan pulang ke hotel. Gerai tolak itu bantuan daripada jabatan kerajaan tertentu. Petang yang panas membahang, sambil berhenti bertanya sesekali tatkala mak cik itu melayani pelanggannya. Tidak semena-mena, mak cik itu pula mengajukan persoalan kepada saya. Saya tak berapa ingat matan soalan beliau, tetapi kurang lebih beginilah soalan jawabnya, "Adik ni dari USM ka?". Memang ada makhluk yang Tuhan jadikan nampak muda, apa daya kita hendak menghalang ketentuan-Nya. "Saya kheja gomen mak cik, XXX. Pasai apa mak cik kata saya dari USM?". "Dak...", mak cik tu kata, "...selalunya yang dok buat soal selidik ni budak-budak USM la." Mungkin masin mulut mak cik itu, menyebabkan saya akhirnya bakal bergelar mahasiswa Universiti Sains Malaysia. (Pergh, tangkap sayu ayat ini kalau diterjemahkan kepada realiti).

Ada kalanya kita rasa kita berkecindan. Tanpa kita sedari, sebenarnya ada hati-hati yang kelukaan. Demikian jika ada kesilapan dan kekhilafan sama ada sengaja atau sebaliknya, saya mohon ampun dan maaf. Almaklumlah, manusia tiada tercipta sempurna, akan ada salah silap kita di mana-mana. Justeru, kalau ada yang terhutang, maka tuntutlah dengan segera. Jikalau ada yang termakan, terminum, harap-harap dapatlah di"Halalan Toyyiba".

Sempena Ramadhan yang masih berbaki beberapa hari, dan Aidil Fitri yang bakal menampakkan diri, saya tampilkan serangkap pantun dalam bahasa Banjar (meski saya bukan urang Banjar dan kadak tahu basurah Banjar) :

"Pinang anum barangkap-rangkap,
Pinang tuha barundun-rundun;
Lawan nang anum maminta maap,
Lawan nang tuha maminta ampun.
"


Sekian dahulu buat kali ini, meminjam kata-kata senior saya semasa di Irshad dahulu, "ada kelapangan dan takdir insya-Allah ketemu lagi". Walau jauh di mata, tapi di hati, "Hathi Mere Sathi". Sehingga itu, saya mohon permisi.

Nota :
Saat ini aku telah kembali ke Nahrul Bakafi kerana masih mencari yang hakiki sinar pasti kasih suci nan abadi dengan harapan dapat merawat Kanc yang tercedera seumpama hatiku jua.

1 comment:

Anonymous said...

amboi lagu nak pi oversea na entri hang..adapun di kesempatan ruang maya ini saya jugak menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf jika tersalah bicara,terlanjur kata,terlajak prasangka,(tersuruh beli GPS) Minal aidil wal faidzin ..Selamat hari raya aidilfitri,maaf zahir dan batin...mai raya tanjung..tp kedai kat caltex tak buka la nak pekena teh tarik baik punya...lg baik pada dafi...

smdbest