Friday, September 24, 2010

Tarawih Yang Lain...

Pertama kali menjejak kaki ke Masjid Baru sempena bulan puasa nan mulia semenjak berumah tangga ini. Mungkin sebab aku jarang-jarang berkesempatan pulang ke kampung, atau memang sebenarnya suasana sudah berbeza, yang nyata ada ikon-ikon tertentu yang biasanya memeriahkan solat tarawih di Masjid Baru tidak kelihatan. Barangkali memang aku yang tidak perasan kerana sembahyang di tepi ruang solat utama meskipun masih di saf antara terkehadapan, tapi suasana memang lain macam sedikit.

Biasanya aku akan nampak Pak Cik Shamsuddin, ayah kepada kawan aku si Hishamuddin dengan jubah dan serbannya walaupun dia hanyalah mantan pegawai TUDM dan bukanlah seorang ustaz. Waktu aku sekolah rendah dalam darjah lima dan enam dahulu, si Hishamuddin ada bawa nasi lemak buatan ayahnya itu untuk dijual kepada kawan-kawan. Pada masa itu aku rasa satu kelainan juga pada nasi lemaknya berbanding nasi lemak sedia ada di pasaran tempatan yang dibungkus bentuk piramid. Nasi lemak buatannya itu dibungkus bentuk nasi bungkus, dilapik di bahagian dalam dengan plastik putih, dibalut dengan kertas surat khabar, diikat getah bulat, dan lebih banyak berbanding biasa, walaupun lauknya seingat aku tetap sambal tumis ikan bilis, kacang dan hirisan timun. Dia ada datang ke kenduri aku bulan dua lalu, ada gambarnya dalam album perkahwinan sebelah Sungai Bakap tengah riang-ria dengan kawan-kawan. Masa itu dia tak pakailah serban dan jubah, hanya kepiah putih dan kemeja. Rupa-rupanya itu kali terakhir, dan sesudah itu dia pun pergi menghadap Ilahi. Patutlah tarawih kali ini berlainan sekali.

Waktu tarawih di Masjid Baru juga biasanya akan ada tok bilal yang salawat paling kuat, maklumlah dalam keadaan biasa pun dia kalau bercakap memang kuat pun. Non Bilai nama dia. Masa tu aku terpikia' jugak, awat la dok pi jerit kuat-kuat sangat kalau nak selawat pun, sakit telinga aku aih. Selain kerja jadi bilai, dia juga seingat aku jadi tukang panggil makan kenduri dalam karyah Masjid Baru ni. Dia akan pakai kepiah putih dan t-shirt lengan pendek, lepas tu kayuh beskat mini, kad kenduri dia boh dalam raga depan beskat tu. Kad kenduri masa tu jenis kertas A4, kaler tak banyak pilihan sangat, selalunya merah, putih pun kerap jugak, ada la sekali-sekala kot hijau dengan biru, kaler-kaler lain aku dah tak ingat. Depa buat satu master copy, lepas tu depa fotostat la banyak-banyak, dan lipat empat. Paling hebat pun masa tu pakai taip. Peta setengah tu pakai lukis dengan tangan saja, hat rajin sikit guna guna pembaris. Macam gambar dalam kertas ujian atau kertas periksa kat Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap pun ada yang cikgu-cikgi cetak guna stensil. Zaman-zaman tu best, tak gaduh nak pikia' pasai status dalam masyarakat ka hapa ka kalau kad kahwin jenis murah pun. Cuba buat zaman la ni, ibarat mendengar lagu Chu dari tiga penjuru la aba' hang. Orang tu risau, orang ni marah. Tapi Non Bilai pun dah pergi beberapa tahun sudah. Patutlah tarawih kali ini berlainan sekali.

Kalau Non Bilai walaupun pakai baju melayu tapi ikat serban putih dia tu kemaih-kemaih, hat pak kawan aku ni, Kamarudin namanya, pulak lain macam sikit. Dia ada dua nama, satu Haji Ishak, satu lagi macam tok ayah aku biasa dok panggil Haji Deghih, hat bahasa baku Haji Idris la. Dia ni, ish, lagu mana punya ikat serban pun tak tau, jenis macam sepuk ataih kepala pun ada aku tengok. Biasanya kain serban hat ada kaler merah bintik-bintik tu la. Kadang-kadang dia jadi tok bilai jugak. Tapi dia pun dah tak dak lama jugak dah. Patutlah tarawih kali ini berlainan sekali.

Tok ayah aku ada lagi. Dulu dia macam ayah aku jugak la, mengkala sembahyang tarawih kat Masjid Baru tu bukan takat saf depan, 20 rakaat pulak tu, campur witir sekali, habis moreh baru balik. Tu dia la rajin tak rajin dan berstamina tinggi tak berstamina tinggi. Cucu dia bukan tak buleh buat lagu tu, tapi sejak kecederaan luaran susulan pertarungan hebat dengan Majin Buu yang nak menawan bumi, maka dia tak berapa buleh lama-lama berdiri (cewah, baik punya alasan, padahal ada faktor lain sama). Tapi la ni tok ayah aku dah tak larat sejak kecederaan tulang paha beberapa tahun lalu (ayah aku walaupun tak berapa baik betul lagi lepas kena strok masih konsisten dengan standard tarawih sebelum ni kat Masjid Baru, hat ni sapa-sapa hat kerja dia sebagai penukar tiub patut bagi salut jugak). Sembahyang pun atas katil, sebelah katil dia katil tok aku.
Patutlah tarawih kali ini berlainan sekali.



~ Catatan Asal Dalam Ekspres Sinaran Utara bertarikh 15 Ogos 2010, Nibong Tebal - Sentral Kuala Lumpur.

No comments: