Thursday, December 23, 2010

Anakku Yang Pertama Berkongsi Tarikh Lahir Yang Sama...

Tahun 2010 ini sesungguhnya tahun penuh advencer bagi aku. Bermula mengakhiri zaman perseorangan, berpindah rumah selepas tol LDP kerana rumah lama bermisteri, kemudian berpindah rumah lagi kerana kawasan kejiranan pusat kegiatan jenayah, menghuni pula kawasan elit dengan kadar sewa berserta deposit pun elit juga, kejayaan meninggalkan tapak pembinaan piramid tapi hampir punah harapan berhijrah di jalan ilmiah kerana arahan bertugas sebagai penyelia peserta kursus datang dari pucuk pimpinan peringkat tertinggi, lalu entah macam mana nasib baik dapat juga menelusuri jalan ilmiah walaupun kemudiannya mendatangkan reba kerana orang lain sudah dua tiga minggu masuk belajar, seterusnya bertungkus-lumus dengan tugasan dan peperiksaan, dan akhir sekali menempuh pengalaman kelahiran anak sulung pada hari jadiku. Memang tahun advencer.

*****

1.47 pagi - 2.10 pagi. Perjalanan dari Sungai Bakap ke Dewan Bersalin Muslimah (DBM), Permatang Pauh. 26 km. Tahap kelajuan pada awalnya begitu santai, lebih kurang 60 kilometer sejam. Lama-kelamaan semakin laju mencecah 110-120 kilometer sejam. Di lebuh raya lengang kenderaan pun kurang. Sepanjang perjalanan agak gementar memegang stereng dan memijak pedal minyak kerana teringat kisah peserta kursus semasa program anak angkat yang memohon kebenaran dariku untuk pulang ke kampung menemani isteri bersalin anak pertama. Meskipun sedikit gementar, undang-undang trafik dipatuhi hampir kesemuanya, kecuali lampu merah di laluan keluar rumahku, itupun sebab memang jalan raya sunyi sepi dan aku dalam emergency. Oh, satu lagi lampu merah simpang ke jalan menuju plaza tol Bukit Tambun, itupun bertukar dari merah ke hijau sebaik aku membelok masuk. Sekiranya aku ditahan mata-mata, memang aku minta budi bicara sebab cik raja sudah sakit setiap lapan minit sekali.

Mak aku di belakang sekali, sebelah cik raja. Plastik kereta pun belum berbuka, sengaja dibiarkan manalah tahu ada ketumpahan.

Cik raja sakit berat yang lama. Sat saja yang lega sikit, lepas itu sakit berat itu berlama-lama semula. Mak aku jenuh juga membaca dan menjampi air mineral dan zam-zam untuknya, sambil menghembus-hembus apa yang patut. Aku pun membaca sama apa-apa yang aku tahu. Kesian cik raja. Doktor pula pada masa yang sama masih berada di sebelah Tanjung untuk kes yang sama. Lambat juga sementara hendak sampai ke DBM ini.

Aku melihat-lihat jam di bilik. Mungkinkah Raihan lahir jam 12.30 tengah hari lalu menyerap unsur-unsur ketega’ juga? Oh, nampaknya tidak kerana jam kemudiannya sampai juga ke pukul 1.00 petang.

Cik raja meminta kalau-kalau ada dos penahan sakit. Epidural saja yang ada jawab misi bertugas, melibatkan suntikan pada belakang. Aku bila bab-bab suntik kawasan tulang belakang ini memang aku minta simpanglah. Cik raja dalam sakit-sakit itu sempat SMS kepada Nani bertanya tentang dos penahan sakit. Pethidine, kata Nani. Patutlah cik raja kata memang ada dos lain selain Epidural. Misi pun tak sama level pengetahuan amnya. Bidan setuju nak beri, tapi dengan syarat doktor perakukan. Masalahnya doktor masih di Tanjung.

Bidan cuba menolong dengan menyapu dan mengaplikasikan minyak selusuh pemberian kingtimah yang diberi kepada cik raja. Dari 3 sentimeter sejak beberapa jam lalu beliau cuba menambah bukaan.

Sewaktu aku di kamar kecil untuk bersiram, kedengaran seolah-olah suara doktor memeriksa cik raja. Kemudian tiada lagi suara-suara manusia kedengaran, kecuali satu ketukan di pintu kamar kecil. Entah misi, atau mak aku, kerana sebaik keluar, siapa pun tiada.

Aku mengesyaki semuanya ke dewan bersalin. Setelah ku pastikan dengan misi-misi yang ada, aku terus ke sana. Cik raja minta aku baca Yasin.

Detik kelahiran bayi perempuanku juga seakan refleksi kelahiranku. Kerana mak dan aku ada bersama-sama cik raja hari ini. Berdekad-dekad lalu, pada tarikh yang sama, emak melahirkan aku di Hospital Daerah Bukit Mertajam. Hari ini, tarikh yang sama, kami membantu cik raja melahirkan anak sulungku, cucu pertamanya. 

Cik raja bertanya pukul berapa sekarang? Seraya aku melihat jam di tangan. Kalau ikutkan standard penetapan masa di jam tanganku, maknanya 10 minit awal. Ketika itu waktu menunjukkan pukul 3.31 petang campur beberapa puluh saat. Sekiranya kiraan minit seragam sepertimana warta berita, maka detik kelahiran bayi perempuan ini ialah 3.21 petang. Tapi ketika itu sebenarnya aku anggarkan ada barang seminit juga bayi dilahirkan. Ertinya, waktu kelahiran sekitar 3.20 petang. Nanti aku semak semula waktu sebenar tanah air sama ada selaras dengan jam tanganku. Kalau aku jadikan 3.21 petang dalam sijil kelahiran “…pun cantik juga”, bak kata Hasbullah Awang.

Kasihan bayi perempuanku, walaupun tidak sampai ke peringkat pembedahan, tapi kerana susah sungguh maka doktor terpaksa menggunakan alatan besi yang mencengkam kepalanya bagi ditarik keluar. Waktu dia keluar itu, ya Allah, seram juga aku melihat kepalanya berbekas dengan bekas cengkaman vakum itu. Sudahlah tarikh kelahirannya sama dengan hari lahirku, cara kelahirannya pun ada serba-sedikit persamaan dengan nama blogku. Aku harap kepalanya akan kembali seperti sedia kala.

Rupa-rupanya doktor dan misi serta bidan yang ada bertungkus-lumus menyelamatkan anakku yang hampir kelemasan akibat digenangi najisnya di dalam perut cik raja. Sebaik dikeluarkan misi bergelut menyalurkan saluran tiub kecil ke dalam mulut dan ke lubang hidung anakku itu, memang dalam masuknya saluran itu, aku rasa sampai ke bawah saluran kerongkong kalau pun tidak sampai ke dalam perut. Kesian aku melihatnya menangis. Apalah yang ia tahu sehingga terpaksa menderita sebegitu.

Ku hubungi mak mertua di KT dan semua kakak dan abang ipar (kecuali kinghar yang tidak menjawab panggilan) menggunakan telefon bimbit cik raja memandangkan telefon bimbitku sedang diperbaiki (kalau aku kaya sudah tentu sudah lama aku sambar Blackberry). Mak mertua yang dipanggil che itu kedengaran macam terharu dengan kelahiran cucunya oleh anak bongsunya itu. Sampai di penghujung, aku menangkap nada terkesima kerana che tidak bersuara walhal signal di skrin telefon menandakan perbualan belum terputus. Mungkin dia sebak mengenangkan anak perempuan bongsunya sudah pun menjadi seorang ibu.

*****

Anwar Ridhwan, semasa Pidato Penerimaan Anugerah Sastera Negara bertajuk "Citra Sastera dan Keprihatinan Sastera" sempena Anugerah Sastera Negara Ke-10, pada 20 Oktober 2009, di Grand Ballroom, Palace of The Golden Horses, The Mines, Kuala Lumpur, ada mengungkapkan rangkap ketujuh Syair Perang Siak:

"Sudahlah dengan takdir Allah,
Tiadalah dapat lagi disalah,
Di Luh Mahfuz suratan terjumlah,
Barang yang datang disyukurkanlah."

Zaman perseorangan dahulu aku sering juga memasang kaset Dato' MDK semasa memandu Kanc. Antara lagu yang selalu ku dengar ialah dan kini menjadi lebih bermakna ialah "Anakku Yang Pertama".


"Kini aku gembira, yang ku tunggu telah tiba, anakku lahir sudah, hai anakku yang pertama."




Kamar Siti Khadijah, DBM
Rabu, 22 Disember 2010.

2 comments:

A Shy Millionaire said...

tahniah bro...

Anonymous said...

Tahniah mat redh,hang bukan saja bercerita tp membawa kami bersama dalam cerita hang seolah2 kami ada kat sana, semoga raihan dan ibunya sihat seadanya

smdbest