Sunday, August 07, 2005

*Khairil Umuuri Ausatuha...

Aku ingat lagi, suatu masa dulu, zaman apabila mengikuti usrah bermula dari tingkatan satu di sekolah, ada suatu macam tema untuk sesetengah naqib untuk semacam marah-marah. Itu tak kena, ini tak kena. Mungkin itu uslub dakwah mereka tapi aku rasa macam tak masyuk dengan jiwa aku. Kala itu aku di persimpangan dilema sebab dalam diri aku ada elemen untuk jadi terlalu ideal tapi dalam masa yang sama aku sukakan juga perkara-perkara yang dianggap taboo atau lagha dalam jemaah. Sukar juga sebenarnya memilih antara benda yang kita tahu tersangatlah baik dan bagusnya dengan benda yang kita minat dan suka.

Aku dah boleh menduga, andainya aku join service ini, akan ada sikit sebanyak perubahan kat diri aku ni. Kalau istilah Liberal Muslim tidak salah di sisi agama, aku rasa itulah yang paling tepat untuk aku. Aku rasa aku dah mengamalkan dasar pintu terbuka. Macam negeri China (yang bergelar The Sickman Of The East sebelumnya) lepas mengalu-alukan pelaburan asing. Aku akhirnya menemui jalan tengah antara kegemaran dan idealisme. Rasanya sekarang aku lebih terbuka dalam menghargai kesenian walau apa jua bentuknya, tidak terhad kepada seni Islam seperti nasyid semata-mata. Aku juga tidak lagi dihantui rasa bersalah dan takut-takut macam dulu-dulu untuk meneruskan minat aku. Ya, sejak kecil aku bukan sekadar bernasyid bahkan lagu-lagu popular masa tu pun aku nyanyikan. Cuma masa tu lebih kepada hiburan untuk diri sendiri. Tak pernah aku nyanyikan secara terbuka untuk orang ramai pun. Keluarga sendiri ada la dengar. Kelakar jugak bila depa nyanyikan semula lagu-lagu lama yang aku pernah nyanyi tu dengan pelat budak-budak. Yalah, aku masa tu kan kecik lagi, beza la dengan lenggok suara aku la ni.

Walau bagaimanapun, aku masih pegang lagi idealisme aku. Demikian, walaupun aku seronok tengok dan appreciate koreografi dan seni persembahan, aku tetap tapis bab-bab tertentu seperti bersentuhan lelaki perempuan. Aku seronok dan gembira tengok Mawi menang AF3 dan bolot hadiah Vokal dan Persembahan. Itu rezekinya ketetapan Allah Taala. Tak payalah baca terlalu jauh sama ada ada keberkatan atau sebaliknya. Namun aku tetap harap AF3 ni sekadar batu loncatan untuk dia mengubah nasib diri dan keluarga dan lepas ni dia kembali ke landasan yang sepatutnya. Aku berdoa dia tak hanyut dalam arus yang bukan-bukan. Berdasarkan alasan itulah aku tidak dapat elak daripada tegur dengan lisan setiap kali ada perbuatannya yang kontra dengan dhamir aku. Meskipun demikian, ketidaksukaan aku tu adalah pada tingkah lakunya yang padaku tidak selari dengan ilmu yang ada padanya, bukan seperti kebencian segelintir manusia termasuk ahli akademik yang membandingkannya dengan P. Ramlee; seorang lagenda, ketidakmampuan bermain alat muzik dan kekurangan Mawi berbahasa Inggeris. Pandangan yang tersasar jauh daripada ruang lingkup perbincangan sebenarnya. Nadanya nada iri hati terlalu dan meluat melulu. (Nota: Aku pernah tanya lelaki dan wanita apa yang menyebabkan depa suka kat Mawi. Depa tak boleh bagi jawapan yang tepat. Lalu aku bagi pendapat aku, "Adakah sebab Mawi ni nampak innocent dan lurus?". Nyata depa setuju dengan pendapat aku tu. Manusia secara umumnya memang suka dengan orang baik. Aku pernah kata dulu bahawa kita takkan tahu bagaimana orang melihat kita sedangkan tiada apa pun yang kita lakukan seingat-ingat kita begitu istimewa. Kita takkan mampu menghalang orang menyukai sebagaimana kita tak daya menghalang orang membenci. Aku sendiri pun tak tau apa persepsi orang pada aku.).

Aha, sebelum terlupa, orang kata service kita ni banyak function yang memerlukan kita ada pelan kecemasan kalau disuruh menyanyi tiba-tiba. Aku pun saja-saja takkan offer diri dan kalau ditawarkan pun akan seboleh-bolehnya menolak. Cuma kalau dah tak larat tepis, maka terpaksalah juga nampaknya. Aku rasa aku dah tambah koleksi repertoire aku dan cukup bersedia dalam keadaan darurat begitu sebab lagu siulan aku masa kecik-kecik tu aku dah ingat keseluruhan liriknya sekarang. Tak la asyik recycle 2-3 lagu yang sama saja. Cemuih dok ada. Lagu tu ciptaan Husein Bawafi, nyanyian pertama oleh S. Effendi dan pernah dikumandangkan oleh Al-Jawaher dan Sharifah Aini. Aku bayangkan arrangement dia yang asal, bukan arrangement untuk album Aku Penghibur oleh Jamal Abdillah. Waktu habis aku nyanyikan rangkap pertama dengan syahdu sesyahdu-syahdunya dan penuh perasaan serta bahasa badan, kedengaran suara harmoni di balik tirai di belakangku mengulangi bait serupa. Perlahan-lahan tirai disingkap dan tersergamlah sekumpulan koir menambahkan kemerduan lagu dan berpadu suara denganku sepanjang persembahan.

Lagu apa? Liriknya di bawah ini. Tajuk kalau tak tau saja sangat la.

"Mari menyusun seroja bunga seroja aaa...
Hiasan sanggul remaja puteri remaja
Rupa yang elok dimanja jangan dimanja aaa...
Pujalah ia oh saja sekadar saja

Mengapa kau bermenung oh adik berhati bingung (2x)
Janganlah engkau percaya dengan asmara (2x)

Sekarang bukan bermenung zaman bermenung (2x)
Mari bersama oh adik memetik bunga (2x)

Mari menyusun seroja bunga seroja aaa...
Hiasan sanggul remaja puteri remaja
Rupa yang elok dimanja jangan dimanja aaa...
Pujalah ia oh saja sekadar saja"

*Sebaik-baik perkara adalah yang bersederhana...

No comments: