Friday, November 18, 2005

Tazkirah Buat Diri Yang Dijadikan Keterlupaan dan Ketergesaan...


Kalaulah ada bakti, kita sandarkan pada Tuhan. Kerna Tuhan, sebagaimana sabda Nabi, tak pernah mengecewakan. Sedangkan manusia, beranganlah mendengar lemak merdunya puji-pujian, bahkan bukan kejutan andainya menghunjam kita semula dengan belati yang tajam menikam. Itulah bezanya manusia dan Tuhan. Perbezaan yang teramat mahal apabila Dia masih sudi menghulur kuntuman bunga tatkala manusia mencurah tuba.

Tuhan, walau kita ini seorang pendosa, lalu kita tadahkan tangan tanda bertaubat, maka kita amatlah disukai-Nya. Meskipun kita ini kembali berbuat dosa lantaran lemahnya iman di dada. "Telah ku mungkiri janjiku lagi setelah ku berpaling dari pandangan-Mu yang kabut kerna jahilnya aku.". Kerana Dia Maha Mengerti, bahawa hamba-Nya yang serba dha'ifun jiddan ini tiada pernah berputus asa akan rahmat-Nya. "Aku di sini tetap kan terus mencuba untuk peroleh cinta-Mu walau ranjaunya menusuk pedih.". Sedangkan manusia, hilang panas setahun dek hujan sehari.

Lantaran begitu sifatnya manusia, justeru kesilapan dan kekhilafan akan mengusir kita sejauh-jauhnya. Betapa kita cuba menghampiri, semakin jauh mereka berlalu walhal kita telah membuka lembaran baru. Di sinilah juga agungnya Tuhan, mendatangi kita sesungguhnya ketika Dia sebenarnya Pencipta, dengan segala kehebatan bersemayam di 'Arasy sana, pada saat kita sekadar mencuba seadanya.

Nukil sebuah hadis qudsi, "Sesiapa yang hampir kepada Aku sejengkal, Aku hampir kepadanya sehasta. Sesiapa yang hampir kepada Aku sehasta, Aku akan hampir kepadanya sedepa. Sesiapa yang datang kepada Aku berjalan, Aku akan datang kepadanya berlari." (Ya Allah, malunya, manalah hamba-Mu yang hina-dina ini hendak menyorokkan muka?)

”Ku hanyutkan sisa dengan tadahan tangan penuh luka mengharap keredupan pawana langit akhirat terbentang megah.”.

No comments: