Tuesday, January 02, 2007

'Eidul Adha Yang Luka...

Dua bulan yang pasif bukanlah ertinya blog ini, bak kata seorang penulis, telah dilitupi salji. Aku, di tengah-tengah kesibukan hingga nihil segala kesempatan untuk berbuat seperti kebiasaan, ada menulis dua catatan. Malangnya, setiap kali hendak diposkan, seolah-olah aplikasi blog telah di'block'. Maka berlalulah dua bulan tanpa sebarang coretan. Terfikir juga aku, andainya aku benar-benar pergi tanpa sebarang coretan, tentulah takkan ada langsung sebarang penjelasan. Lambat-laun, hari itu akan datang juga.

* * * * *

Aku tidak pernah tahu maksud namanya. Sehinggalah beberapa bulan yang lalu, ketika aku cuba-cuba mengisi masa lapang waktu cuti mingguan di Universiti Malaya, Ustaz Zul dari Muassasah Al-Bai’an menjelaskan bahawa nama yang dieja dengan huruf 'sod' bukan 'sin' itu bererti 'Pemusnah'.

Ketika dunia dijarah dengan hegemoni Pax-Americana, pemimpin dunia Arab dan Islam yang memegang tampuk kekuasaan hampir kesemuanya bungkam seribu bahasa. Sikap sedemikian sememangnya sudah sinonim dengan mereka, yang hanya berani berkeras dan berbuat tahana kepada sesama bangsa dan agama. Itu kesan utama korupsi yang berleluasa, contoh yang kita boleh temui di mana-mana. Waktu itu, dialah antara pemimpin Islam, yang walaupun takwanya diragukan, sementelahan ideologi parti Baath yang dipimpinnya pun bukanlah berpaksikan Islam, secara terang-terangan berani berkata tidak kepada keangkuhan Rumah Putih.

Dia juga sekurang-kurangnya ada memberi sokongan material berbentuk imbuhan kewangan selain sokongan moral kepada pejuang Palestin. Maklumat ini dicatatkan menerusi entri yang lepas bertajuk "Mencari Nasrallah Di Chowrasta". Niatnya tentulah sukar ditebak kerana seperti ahli politik yang lain, sudah tentu ada unsur mencari political mileage. Sungguhpun demikian, berbanding boneka Oval Office yang sudahlah takut memberi sumbangan kepada perjuangan Palestin bahkan menghalang pula usaha rakyat sendiri untuk memberi bantuan, maka tindakannya berdasarkan logik sudah tentulah jauh lebih terpuji.

Aku boleh faham punca golongan Syi’ah dan masyarakat Kurdis sangat-sangat membencinya, sehinggakan sesudah mayatnya terbujur kaku pun api kemarahan tidak juga padam-padam. Kalau kita berada di tempat mereka pun kita akan berasa begitu kerana dialah yang mendalangi setiap seksaan dan pembunuhan kejam golongan Syi’ah dan masyarakat Kurdis. Sayugia juga dicatatkan bahawa dia juga bertanggungjawab membunuh ramai ulama. Dia memang wajar menerima hukuman setimpal atas perbuatannya selama ini. Dalam Islam sendiri ada 'qisas', antara lain "bunuh dibalas bunuh". Persoalannya, adakah dalam keghairahan menghukumnya, kaedah dan layanan sewaktu penahanan, perbicaraan dan penjatuhan hukuman dibuat seadil-adilnya.

Aku masih belum lupa bagaimana imejnya yang seolah-olah tidak bermaya dengan jambang tidak terurus dipaparkan ke seluruh dunia sejurus ditemui bersembunyi dalam sebuah lubang. Sejak itulah penghinaan bermula, bercanggah langsung dengan hak-hak asasi manusia yang selalu dilaungkan oleh satu-satunya kuasa besar dunia. Umum selalu berkata Taliban itu pengganas. Tapi anehnya, sebagaimana dinyatakan oleh Yvonne Ridley si wartawan bekas tahanan, Taliban melayan tahanan dengan penuh kemanusiaan walaupun tahanan tersebut berlainan agama. Agak-agaknya sewaktu Slobodan 'Balkan Butcher' Milosevic ditahan dan dibicarakan dahulu, ada atau tidak imej-imej berbentuk penghinaan disebarkan secara meluas oleh CNN.

Elok dicatatkan bahawa hakim yang menjatuhkan hukuman ke atasnya adalah seorang Kurdis. Dalam kes berprofil tinggi sebegini, tidak adakah hakim lain yang neutral dan dilihat sebagai neutral. Apabila tertuduh yang diadili merupakan pembunuh kejam beramai-ramai bangsa sendiri, pastilah hakim tersebut mengadilinya dengan penuh emosi.

Teringat aku pada sejarah Perang Salib. Suatu ketika, Richard I 'The Lion Heart' jatuh sakit. Saat-saat genting sebegitu, sudah tentu satu kelebihan kepada tentera Islam tatkala panglima perang musuh sedang uzur. Namun Salahuddin Al-Ayyubi menunjukkan contoh teladan yang mekar zaman-berzaman. Beliau bukan sahaja menziarahi Richard bahkan mengubatinya sedangkan kalau hendak diracunnya tentulah mudah sekali untuk dijustifikasikan. Sebabnya, Richard mendalangi pembunuhan kejam ribuan umat Islam di tanah Arab yang ditakluk oleh tentera Kristian. Selain itu, barang harus diingat, "all is fair in love and war". Ironinya, sebagaimana si hakim, Salahuddin juga berbangsa Kurdis.

‘Eidul Adha kali ini akan sentiasa dikenang dalam lipatan sejarah umat Islam sampai bila-bila. Hanya umat Islam yang tiada sensitiviti sahaja akan meraikan detik penjatuhan hukuman ke atasnya dengan berpesta ria. Mereka, dek ammarah teramat sangat, terlupa umat Islam seluruhnya sebenarnya dihina. Bersorak-sorailah mereka walhal musuh cuba menyampaikan mesej bahawa pada hari umat Islam mengorbankan 'al-An’am' atas nama Allah, mereka mengorbankan seorang manusia beragama Islam atas nama dendam.

Aku pernah mencoretkan, bahawa terdapat ramai bayi di Selatan Thailand dinamakan sempena namanya pada penghujung tahun 2004 dahulu. Apabila ditanya akan sebab-musababnya, jawab seorang pemimpin pemuda, "Saddam mempunyai kebaikan dan keburukan tapi kami memilih untuk mengingati kebaikannya". Sama ada dia syahid atau tidak, Allah terlebih berhak menentukan. Cuma sebagaimana sabda nabi dalam sebuah hadis sahih, mafhumnya, sesiapa yang mati dengan mengucapkan dua kalimah syahadah, maka syurgalah tempatnya.

11 Zulhijjah 1427 Hijriyyah
Kampung Gurun
Sungai Bakap
Seberang Perai Selatan

No comments: