Friday, December 26, 2008

*Rab Ne Bana Di Jodi...

Sewaktu zaman muda-muda dahulu, aku sering mendengar dan membaca kisah-kisah teladan khususnya berkaitan umat Islam. Salah satu kisah yang paling mengesankan ialah tentang seorang pemuda yang ingin menuntut ilmu di tempat yang jauh. Diberitahu kepada ibunya, tapi si ibu agak keberatan pada mulanya. Lalu setelah dipujuk-pujuk, akhirnya si ibu dengan berat hati melepaskan si anak pergi. Kemudian si ibu berdoa menzahirkan ketidak redhaannya.

Sampailah pemuda ini di negeri berkenaan. Suatu malam, sewaktu beriktikaf di dalam masjid, pada masa yang sama seorang pencuri juga berlari menyelamatkan diri ke dalam masjid tersebut. Orang yang mengejar menyangkakan pemuda tersebutlah pencuri, lalu dihukum hudud.

Setelah disiasat, didapati pemuda tersebut bukanlah pencuri yang dimaksudkan, lalu dihantar pulang ke kampungnya. Sesampai di depan pintu rumahnya, pemuda tadi memohon ibunya sepotong roti. Si ibu yang berlindung di sebalik tabir kerana menjaga batas-batas mahram, meminta si pemuda yang disangka pengemis menghulurkan tangannya untuk menerima roti. Tiadalah dapat si pemuda berbuat demikian kerana tangannya telah dipotong.

Dipendekkan cerita, si ibu akhirnya mengenali juga bahawa yang disangka pengemis rupanya anaknya sendiri. Lalu, dek tidak sanggup lagi melihat keadaan anaknya itu, dia pun berdoa semoga Allah mengambil nyawa kedua-dua mereka.

Menerusi kisah tersebut, aku membuat kesimpulan bahawa sebarang perkara, walaupun perkara yang mulia di sisi agama, haruslah mendapat keredhaan orang tua sepenuhnya. Andaikata ada sedikit pun ketidak redhaan mereka, nescaya buruk padahnya. Sebaik-baik keredhaan ialah seikhlas hati tanpa rasa keterpaksaan atau kerana pujukan. Barangkali tafsiran aku bertentangan dengan orang lain, tapi aku tetap berpegang kepada pendirian itu seterusnya.

Masa DPA dulu, kebetulan serentak dengan album Pelita Hidup III, Hijjaz. Selain Hukum Tuhan, Renungkanlah dan Ke Dalam Diri, ada satu lagu lagi yang bila aku dengar sangat menginsafkan dan merenggut tangkai hatiku. Rasa seram sejuk pun ada. Memandangkan aku tak ambil Bahasa Arab Tinggi, aku pun minta bantuan Ustaz Azham 'Features' Bachok untuk memahami beberapa perkataan. Ketika itu, aku hanya faham separuh. Separuh lagi berjaya juga aku selesaikan dengan bertanya Ustaz Zul sewaktu kelas bahasa Arab di Institut Al-Bayan, Universiti Malaya beberapa tahun lalu. Lalu aku sesuaikan senikatanya dengan senilagu.

"Ma ridhallahu illa fi ridha-il-walidaini
(Redha Allah terletak pada redha ibu bapa)

Ma baqa-ul-kaunu illa bi hanani-l-abawaini
(Tiada kejadian yang kekal tanpa kasih keduanya)

Abul insanu ba'dah Allah aula bil mahabbah
(Lepas Allah keduanya paling utama dicinta)

Kullu man yughdhibu umma au aba yughdhibu rabbah
(Kemarahan keduanya kemurkaan Allah jua)

Fa-ahibbu abawaikum lita'isyu su'adak
(Cintailah keduanya agar hidupmu bahgia)

Wabzulur ruha fidahum tajidu khairal jazak"
(Pertahan sepenuh jiwa sebaik-baik perkara)

Walaupun ingin membantu pada saat-saat diperlukan, tiada apa dapat aku lakukan, kerana sudah begitu pesanan.

Hanyasanya, semoga tidak bermusuhan, kalaupun tidak bisa kekal karar berkawan. Sepatah kata Zainuddin kepada Hayati dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karangan Hamka, "Hati lelakilah yang kerap remuk lama. Perempuan dapat segera melupakan kisah hidupnya di zaman muda".




*Jodoh Kita Telah Ditakdirkan.

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum,

Syabas, Bagus le kau punya Arabic...

Syukran jazilan ya sheikh, kerana sebut nama ana. Sorry le tak sempat nak balas SMS enta, ya sheikh...
Salam maal hijrah, kullu a'min wa antum bi khair.

Wassalam.
E3, KPT