Tuesday, January 26, 2010

Hikayat Sentul Perdana...

Syahdan, seperti dilipurkan kepada fakir oleh leluhur zaman dahulu kala, maka telah datanglah rombongan dari nun negeri kenya lang buana ke ibu kota. Adapun rombongan yang tiba bukanlah seumpama orang semenda, disuruh pergi pergi mereka, disuruh datang datang mereka. Rombongan yang tiba tidak lain tidak bukan adalah kerana jemputan orang besar ibu kota nan bertiga belas semata-mata ingin memaklumkan sendiri perkhabaran terjah dan ziarah beberapa purnama merindu lalu.

Sekira-kira fakir ini, bagai senandika orang matang bertam, sebagai melukut tepian gantang, ada tiada bertambah berat, tiada tiada berkurang sukat. Fakir bukanlah sesiapa sangat dalam pemakluman perkhabaran itu, sekadar tukang penjaga kekunci. Kerja fakir bermula sebaik sahaja fakir terkocoh-kocoh menunggang kancil selesai mengambil herba di mustasyfa selayang. Ghadan bakal menyambut rombongan, ba'da zuhr barulah hendak mengadakan syura. Sungguh wala' paduka demang akan suruhan agama, sebagai peri hukama syura didahulukan taqwa diutamakan. Tapi wala' paduka demang menggerhana perasaan, lantas fakir menyurat kalam dengan wajah nihil senyuman. Bahana gegasan pulang dari mustasyfa belumlah hilang, akibat rehat tiada kecukupan. Semua jadi punca tensi, bergolak darah dalam diri. Terfikir juga akan fakir, semuanya petanda fakir bakal terkentoi-kentoi sendiri tatkala merangkak senja hari. Teringat-ingat fakir bahawasanya si kancil perlu akan ia rawatan tulang belakang segera, kelak malam tiba mengundang bahaya.

Jungkir ke hari semasa, tercatatlah satu peristiwa. Entah fakir mahu ketawa, boleh jadi sedikit cuak bergalau jua. Sampai satu bab pada pemakluman perkhabaran kepada rombongan negeri kenya lang buana, tanpa semena-mena salah seorang ahli rombongan bergelar tabib memusykilkan diri sendiri. Kata tuan tabib, bukankah jajahan hurairah tiada ada padanya tolok cemar, seperti halnya jajahan-jajahan lain.

Paduka demang tercengang, dan sebagaimana biasa dipakai akan ia muslihat kalih pandang. Maka kalih pandangnya jatuh pada fakir, sambil bertanya siapakah gerangan sebenar-benar ahli terjah dan ziarah yang mengetahui perihal keberadaan tolok cemar di jajahan hurairah.

Tiadalah terlintas di medula oblongata fakir bahawa tiada dicatat nama jajahan hurairah pada bab pada lembaran bukanlah ertinya ia ada memiliki tolok cemar. Bak kata orang lanca, tiada tertulis tiada bererti berada tiada berada. Tiada tertulis puncanya bab dibicara bab jajahan-jajahan lemah terkecuali jajahan hurairah.

Maka dijawab oleh fakir yang sebenar-benar ahli terjah dan ziarah perihal dimaksudkan sama ada fakir atau jiran kepada fakir. Masalah sungguh masalah, kerana masa itulah jiran kepada fakir keluar entah beruzlah entah menyedut racun pemusnah. Dengan selawat tafrijiyyah dan bacaan ayat-ayat ruqyah maka fakir pun menjawab kepada datuk penghulu bendahari bahawa memang jajahan hurairah ada memiliki tolok cemar, hanyasanya digunakan apabila perlu sahaja.

Tuan tabib kedengaran di telinga fakir mengomel secara berjemaah bersama. Selang suasana tenang seketika, fakir meminta lembaran bercatat pengalaman terjah dan ziarah ke jajahan hurairah. Dalam hati fakir bertawakal, wahai Tuhan tolonglah adakan sungguh-sungguh tolok cemar dalam lembaran. Seraya dibuka helaian, tulisan jiran fakir terpampang. Cis! Rupa-rupanya memang dia yang ahli perihal dimaksudkan. Terpempan fakir terpempan, ternyata tiga sifar tanda memang jajahan hurairah tiada bertolok cemar. Jelas tuan tabiblah yang benar.

Syyy... Jangan pula tuan-tuan hamba ceritakan rahasia ini kepada sesiapa. Kelak fakir juga beroleh naya.

Demikianlah adanya.

4 comments:

Anonymous said...

Adapun tolok cemar itu menjunjung adat walau dimana jajahan ia dibawa,apatah lg jajahan humairah walau adat bersulam org melayu dan koling,jgnlah ia dilupa ketika rombongan ketigabelas menyusun kata,kelak nanti buleh naya... adapun peri hukama "syura didahulukan taqwa diutamakan" amat suka akan hamba

smdbest

Anonymous said...

hang punya blogging kali ni aku paham dgn x paham sama byk sja..gaya org nk kawin lagu tu la kot...hahaha...

Anonymous said...

abih dah title bujang tu hehehe syok ka kawin?dari adindamu...

Anonymous said...

pasni sure lambat update blog ni, almaklum dh berdua, so masa nk update pun kureng la sbb kena layan tuan (puan) puteri baru..heheh...

slamat bersalam dgn tok kadi n slamat membatalkan ayaq semayang noo...heh...