Saturday, December 18, 2010

Bila Ada Yang Buat Ramai...

Interlok bukan sebuah karya picisan, atau tulisan belia hingusan yang baru hendak cuba-cuba mencipta nama dalam dunia penulisan. Interlok pernah meraih Hadiah Saguhati Peraduan Mengarang Novel 10 Tahun Merdeka pada tahun 1967. Kalaulah kununnya Interlok sepertimana kata segolongan orang tak lebih daripada sebuah penghinaan kepada golongan tertentu, tentulah pada tahun tersebut lagi Interlok telah pun dibelasah habis-habisan bukan sahaja oleh panel penilai bahkan daripada rakyat Malaya ketika itu, lantas tidak layak langsung dinilai dan apatah lagi diberi hadiah. Tapi peliknya, Interlok boleh pula menang walaupun sekadar hadiah saguhati.

Abdullah Hussain dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara ke-8 pada tahun 1996. Sebelum dianugerahkan gelaran tersebut, sudah tentu karya-karya beliau sebelumnya, termasuk Interlok dinilai juga. Sekali lagi tidak terdengar pun suara-suara protes bahawa Abdullah Hussain tak layak jadi Sasterawan Negara kerana salah sebuah karyanya iaitu Interlok menghina kelompok tertentu termasuk orang Melayu. Panel hakim pun tak kata apa. Sepatutnya masa inilah pakat-pakat berhimpun ramai-ramai depan Dewan Bahasa dan Pustaka sambil melonggokkan novel Interlok kemudian pakat-pakat cucuh api. Tapi kali ini pun tak ada. Musykil kabir la juga.

40 tahun berlalu. Apabila Interlok hendak dijadikan bahan bacaan bagi Komponen Sastera (KOMSAS) Tingkatan Lima, tiba-tiba timbul cerita kununnya Interlok menghina golongan tertentu. Eh, lawak juga manusia-manusia di tanah tumpahnya darahku ini. Interlok layak menang Hadiah Saguhati Peraduan Mengarang Novel 10 Tahun Merdeka pada tahun 1967. Abdullah Hussain layak jadi Sasterawan Negara menerusi karya-karyanya termasuk Interlok. Tapi Interlok tak layak untuk jadi bahan bacaan KOMSAS. Eh, layak juga sebenarnya. Cuma kenalah pinda sikit perkataan tertentu dalam Interlok. Wah, kira-kiranya tahap KOMSAS ini tinggi betullah ya, orang yang bukan ahli dan tak berkaitan langsung dengan pembelajaran bahasa Melayu pun boleh tumpang sekaki nak itu ini. Lepas ni apa kata cikgu-cikgu bahasa Melayu pula bagi komen fasal teks sastera Inggeris. Barulah adil dan saksama dan caca-marba sistem pendidikan kita, ye tak? Tapi Pak Abdullah janganlah rasa kena tahana dengan depa ini. Ilmu karang-mengarang Pak Abdullah banyak sangat kelemahan sampai yang depa faham cuma sekerat dua ayat sahaja. Tok sah ambil hati jugalah dengan kelaku orang kita, bukannya depa baca dan mesyuarat pun sebelum pilih novel Interlok ni. Tu yang cepat sangat tarik buang buku tu.

Bangsar South la dowh apa kelas Kampung Kerinchi,
Tahun depan bulan sepuluh kita sambut Bulan Bahasa lagi.

~ Kampung Gurun, Sungai Bakap

1 comment:

anak beruang kurus said...

tuan, dlm akhbar hari ni dinyatakan interlok mendapat hadiah saguhati kedua, dan pertandingan tu hanya menyediakn hadiah saguhati, xde tmpat pertama, kedua dan ketiga. jdnya, interlok ni mcm dpt tmpt kedua la. para pengkaji sastera pun dh mberi pndpt msg2 yg interlok ni x sebagaimana yg dikeluh kesahkn...