Friday, January 28, 2011

Harapkan Pagar, Pagar Tak Boleh Harap...

Tanah bagi orang Melayu Islam di Pulau Pinang, terutama di daerah Timur Laut merupakan isu survival yang sangat kritikal. Kampung-kampung tradisional yang sesetengahnya telah wujud sejak lebih seratus tahun dahulu memberi nilai estetika dan makna mendalam kepada mereka, sama seperti status Kampung Baru di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Paling utama, di situlah tersergamnya lambang maruah bangsa yang masih tega bertahan di kawasan hartanah bernilai tinggi walaupun rakan-rakan sebangsa dan seagama kian lama terpaksa akur untuk tersingkir dari halaman tanah tumpah darah sendiri.

Sayangnya, entah mengapa, kewujudan kampung-kampung tradisional begini sangat-sangat tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan. Seolah-olah sakit sangat mata mereka dengan pemandangan yang kununnya tidak selari dan sesuai dengan latar belakang bangunan-bangunan pencakar langit dan binaan-binaan lain yang serba moden di sekeliling kampung-kampung tradisional tersebut. Tidak kelas dan memalukan jika dilihat pelancong, pihak-pihak tersebut antara lain beralasan.

Benar, antara aspek perkampungan tradisional yang mencacatkan pemandangan ialah masalah sistem perparitan, kurang ceria dan banyak rumah yang nampak uzur. Tapi, adakah dengan memaksa orang Melayu Islam yang menghuni perkampungan tersebut keluar dengan pelbagai alasan teknikal perundangan satu tindakan yang munasabah, bertimbang rasa dan bijaksana dalam konteks survival jangka panjang saudara sebangsa dan seagama? Bukankah lebih baik sejumlah dana diperuntukkan bagi menambah baik lanskap, prasarana dan taraf kampung tradisional sedia ada seterusnya membiarkan orang Melayu Islam mengekalkan cara hidup sedia ada?

Rupa-rupanya wawasan dan dhamir pihak-pihak yang diberi amanah, yang sepatutnya untungnya tapi malangnya orang kita juga, hanya cenderung berbentuk hal-hal tahana. Sudahlah tak mampu meramaikan orang Melayu Islam di daerah Timur Laut, yang tak berapa cangok tu pun lagi nak kena perambat. Kalau nasib baik dapatlah duduk flat atau apartment di kawasan kampung halaman sedia ada. Ibarat melukut di tepi gantang, sebab di kejiranan baru apa sangatlah flat atau apartment kalau nak dibandingkan dengan rumah semi-D, banglo atau suite. Maka penduduk asal akan benar-benar jadi seumpama setinggan seperti didakwa.

Para pelancong asing pada tahun-tahun berikutnya pula akan dibawa ke kawasan tarikan pelancongan yang baharu; sebuah muzium tanda suatu ketika pernah ada kampung tradisional orang Melayu di situ. Orang lain semua ada identiti sendiri. Depa ada ‘town’. Depa ada ‘street’. ‘Town’ dan ‘street’ lambang dinamika masa kini dan akan datang. Orang kita cuma layak ada ‘muzium’; lambang sesuatu yang telah lama berlalu, sesuatu yang telah lama pupus, tapi dikutip serdak-serdak yang tinggal lalu dihimpun buat pameran. Baguslah cara kita mengangkat martabat bangsa sendiri dengan cara begitu. Buatlah selalu.

Demikianlah nantinya pihak-pihak berkenaan akan langsung tidak punya locus standi untuk bercakap sebagai pejuang bangsa, apatah lagi untuk mempertikaikan tindak-tanduk jiran seberang tambak melainkan ditempelak, “Piiiraaahhh! Hampa pun sama!”.

No comments: