Monday, February 14, 2005

Al-Iman Asasun Najah...

Membaca kisah orang-orang besar dalam negara, aku bukan setakat melihat komitmen depa menjalankan tugas tapi mengambil iktibar dari kisah2 peribadi dan nasihat depa pasal perkara2 di luar tugas rasmi. Salah satu daripadanya adalah filial depa. Salah sorang merupakan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Hassan Nawawi yang always make a point to visit his parents. So, bila bapanya meninggal dunia, dia taklah rasa ralat sangat. Aku harap aku pun macam tu.

Aku balik kampung lagi dengan pak ngah aku dan Idah. Petang tadi sembahyang Jumaat kat Masjid Baru. Hah, ada citer menarik pasal sembahyang Jumaat kat Sungai Bakap ni. Kalau hampa orang luar dan tiba kat tempat aku ni pada hari Jumaat dengan harapan nak sembahyang kat sini, jangan terkejut kalau masjid yang hampa kunjungi tu kosong. Tak nampak tanda2 akan diadakan solat Jumaat kat situ. Janganlah su'udzzon dulu kat orang tempat aku ni. Bukanlah maknanya kami tak sembahyang Jumaat. Sembahyang Jumaat tetap diadakan seperti biasa. Cuma, mungkin hampa singgah di masjid yang gilirannya minggu depan. Tak faham? O.K., aku citer.

Di Sungai Bakap ada 2 masjid, satu nama dia Masjid Baru, dekat-dekat kedai Telekom. Satu lagi nama dia Masjid Lama, dekat-dekat hospital. Dua-dua masjid ni terletak di hujung pekan, satu belah sana, satu lagi belah sini. Aku pernah tanya tok ayah aku, awat yang depa gilir2 macam tu? Dah macam orang bermadu aku tengok. Kata tok ayah aku, citernya zaman-zaman dulu lagi. Bukannya sebab politik kepartian terlampau macam selalu dok jadi kat Terengganu tu. Itu satu masjid pun 2 imam. Satu qaryah pulak tu. Apekebende. Ini pasal Kaum Tua dan Kaum Muda sebenarnya. Masjid Lama tu adalah masjid asal kat Sungai Bakap. Ada la perselisihan sikit, ntah hapa yang depa selisihkan aku pun tak tau. Berselisih kat tengah jalan kot. Jadi, sebuah masjid lagi pun didirikan dan dinamakan Masjid Baru. Tapi kira o.k. la sebab dua-dua masjid ni cater jemaah dari qaryah yang berlainan. Ada la kompromi dan buktinya bergilir-gilir buat sembahyang Jumaat. La ni dah tak berbangkit dah isu tu, tapi status quo tetap diteruskan. Amacam, ada faham?

Aku ingatkan dah takdak scoop bila aku balik kampung ni. Rupa-rupanya ramalanku tak benar belaka. Habih sembahyang Jumaat, pak ngah aku ajak keluar. Ingatkan takat nak top-up kad Touch 'n Go, rupa-rupanya nak jalan-jalan. Pagi tadi pak ngah aku dah bawak tok ayah aku, adik aku dan Idah pi Batu Feringghi tengok kesan tsunami. Jalan-jalan kat Kepala Batas rupanya. Mula-mula round-round kat dalam Kolej Matrikulasi Pulau Pinang kat Pongsu Seribu tempat Idah study dulu. Ntah macam mana aku tergerak nak mintak tolong pak ngah aku belok ke kanan masa keluar dari Pusat Matriks tu. Semakin hampir aku ke tempat dituju, jantung aku berdegup kencang. Dah sampai depan pintu pagar, nampak separuh terbuka aje. Aku tak yakin boleh lepas guard post tu. Tapi pak ngah aku memang slumber. Pak guard tu pun bagi line, mungkin sebab pak ngah aku guna Perdana kot. Cuba kalau aku dengan Kancil aku tu, mungkin dia still bagi jugak la kot sebab aku ni tak dak la dikhuatiri mendatangkan ancaman pun.

Keter Perdana pak ngah aku meluncur terus di atas jalan yang lurus. Aku cuba menghayati setiap monumen yang tersergam di kiri kanan. Dari kantin, tapak perhimpunan, padang, semuanya. Keter pak ngah aku berhenti di surau. Tuhan selalunya kurniakan sesuatu yang tak terjangkakan. Sepuluh tahun dulu, aku sangkakan solat Asar itulah solat aku terawal dan terakhir di surau itu. Siapa sangka, sedekad kemudian, pada hari yang sama, pada petang yang damainya hampir serupa bagai waktu dulu, aku dihidangkan lagi peluang untuk melepaskan kerinduan aku pada alma mater. Perasaan aku pada masa tu sukar digambarkan.

Menjejak kaki di sini setelah sekian lama, bisa saja mengingatkan aku akan harapan tak kesampaian. Lebur impian aku nak jadi warga Irshad sejati sampai Form Five. Tak sempat nak tebus kehampaan masa PMR ’94. Result aku o.k. termasuk gred A untuk ketiga-tiga bahasa tapi rasa rendah diri bila bandingkan dengan member2 selajur dalam dewan exam tu. Adnin Shahril Dalbadalsa Merican kat depan sekali sekaligus di depan aku, Ahmad Salimi belakang aku, diikuti Ammar Nasran seterusnya Muhammad Najib dan lelaki terakhir dalam lajur ikut kelas tu si Yusfarizal; semua tu 9A. Cita-cita nak menang gold medal untuk Dorm Omar dalam acara sepak takraw masa Form Four pun lebur. Semua tu musnah bila aku dibawa pulang petang itu sesudah menunaikan solat Asar tahun 1995. Demikianlah hidup, kadang-kadang calar-balar sebuah harga diri hanya mampu dituam di tempat lain.

Betapa tenang dan syahdunya solat aku pada masa tu, setenang pemergian dugong bernama Si Tenang yang terlebih dahulu menghadap Ilahi. Ketenangan yang aku dambakan sekian lama, takkan aku temui di tengah-tengah kekalutan dan kepura-puraan ibu kota. Surau itu rupanya dinamakan Surau Al-Ansari. Punyalah lama aku nak menunggu siapnya surau tu. Dari Tingkatan Satu Al-Farabi sampailah Tingkatan Empat Al-Radzi. Macam-macam dibuat untuk mempercepat pembinaan surau. Jual kalendar la, derma la. Akhirnya bila surau dah siap, aku pulak terpaksa undur diri. Sayunya rasa hati. Kata lagu Senandung Kehidupan duet Ramli Sarip & Jay Jay, "Begitu kita merancangkan belum pasti hadirnya kebahagiaan, Fahamlah apa itu takdir akan berseri hidup yang ditadbir". Aku ternampak buku tulis seorang tilmiz, tertera nama tingkatan, '1 Al-Farabi'. Aku menerka nama-nama lain seperti Al-Radzi, Ibnu Rushd, Ibnu Sina dan Ibnu Khaldun juga kekal qarar. Di muka depannya tercatat satu slogan, ”Ke Arah Al-Irshad Gemilang Tahun 2007”. Insya-Allah akan jadi kenyataan. Tambahan masa tu aku dah menggapai Rancangan Malaysia Kesembilan aku dah tu.

Seusai solat Asar, aku melihat-lihat blok-blok bangunan tempat aku menimba ilmu dahulu. (Ikut hati nak aku tawaf keliling Irshad dan menelusuri setiap pelusuk bersejarah. Tapi kang orang ingat aku terrorist tengah memasang bahan letupan pulak.) Telah bercat baru, tapi warnanya tidak segarang dan semengancam dulu. Di situlah tempat aku belajar dan prep. Ada satu citer pasal prep ni yang takkan aku lupakan. Suatu malam, masa sorang warden wanita ni round kawasan, kelas prep macam biasa la punya la hinga’. Dia pun mai. Nasib aku pulak tak berapa nak baik. Aku dok kat tepi tingkap yang dah tak berapa nak ada cermin. Aku pun mencapai buku Sains Paduan Tingkatan Dua. Konon-konon mengulangkaji la tu. Tapi tak berapa pro sebab masa tu dia dah dekat. Dia pun sound, ”Ai, takkan baru nak baca PRAKATA kot?”. Nasib baik tak kena denda, tapi berinci-inci jugak la tebalnya muka.

Di sebelah surau dah ada dewan. Bertuah betul budak-budak la ni. Time aku dulu mana ada lagi dewan ni. Apa-apa function buat kat dewan makan, termasuk la mesyuarat PIBG. Dewan makan itu terletak berdepan dengan surau. Melihat dewan makan itu, teringat aku pelbagai kenangan mengusik jiwa. Aku bukan teringatkan menu dia sangat sebab aku memang tak lalu nak suap nasi, lauk, roti dan telur setengah masak rendah mutu. Aku dok teringat zaman aku dok jadi tekong nasyid start Form One sampai Form Three. Masa tu Nada Murni tengah top. Aku minat kat lagu-lagu nyanyian Asri sebab syahdu berbanding nyanyian Munif yang kureng sikit. Tapi la dah terbalik dah sebab Hijjaz dok nyanyi lagu-lagu yang aku suka. Pertengahan tahun 2005 ni depa nak reunion nasyid klasik. Cayalah.


O.K., berbalik kepada bab jadi tekong nasyid tu. Aku ni kat dalam kelas punyalah diam, dengan member tilmizat lagi la teramatlah jarangnya aku nak bersembang. Ntah la, tak dak idea, depa pulak semua budak pandai. Rasa inferiority complex la jugak walaupun aku pun kelas yang paling pandai tapi tak sepandai depa. Jadi, dengan persembahan masa Malam Kesenian Islam (kadang-kadang sambut Maulidur Rasul pun buat nasyid jugak) hujung-hujung tahun tu lah aku lepaskan tension dan itulah caranya orang boleh kenal aku yang tak terkenal ni pun. Nasyid pertama di Irshad yang aku nyanyikan secara rasmi bertajuk 'Di Bumi Ini Kita Ditemukan'. Mat Fudge pun tekong jugak, dia dok sebelah aku. Fuh, best rasanya. Bersongkok hitam yang dah berapa kali aku gosok jangan tak gosok sampai berkilat sampai tertanggal semua habuk, berpakaian baju Melayu serba putih dan bersampin biru; pakaian rasmi hari Jumaat, pergh, giler ah ding dong. Masa tu lah budak-budak perempuan ASPUCAW kat Padang Menora tu mai naik bas. Penonton terdiri daripada senior lelaki dan perempuan dan member2 seangkatan. Nervous tu nervous la jugak tapi seronok sebab bab menyanyi ni aku memang minat, baik lagu biasa ataupun nasyid. Terbawa-bawak dengan zaman mengaji dan sekolah rendah dulu. Lepas tu baru aku dapat tau yang tajuk lagu tu sebenarnya 'Ukhuwwah Fillah'. Bukan takat tu saja, lirik pun banyak yang salah. Ni semua abang Azizi dengan abang Husaini punya pasal la ni. Patut la aku rasa lirik tu lain macam. Tapi penonton bukan tau pun.

Dewan makan itu membahagikan ASPURA dan ASPURI. ASPURA dah banyak berubah, blok yang terbengkalai dulu dah siap. Tapi sungguhpun berubahnya ASPURA, manakan sama dengan anggunnya ASPURI. Beza, memang berbeza. Dulu masing-masing ada surau sendiri. Aku berkesempatan jugak bersolat kat ASPURI. Masa bila? Takdak la aku menceroboh. Ingat aku spesies tu ka? Aku pi dengan kawan-kawan masa Form Three atau Form Four; solat terawih. Biasanya ustaz imamkan untuk muslimat, tapi kadang-kadang ustaz tak mai. Jadi, kena la aku dan kawan-kawan mengambil tanggung jawab tu. Ingat suka-suka ka nak pi asrama depa? Tapi kalau ustaz mai pun aku rasa syok lagi pi sana. Bukan apa, ingat senang ka nak sembahyang kat surau kayu tu selain bulan posa. Yang lagi best tu, biasanya sembahyang terawih kat situ taklah lama sangat kalau dibanding dengan surau ASPURA. Bertambah laju kalau kawan-kawan tolong imamkan. Maka jadilah para jemaah kat surau ASPURI tu peserta utama ke acara more di dewan makan. Menu yang aku paling ingat masa more tu ialah nasi kerabu. Tapi tak la sedap sangat aku rasa.

Di ASPURA tu la aku dan kawan-kawan bersubahat dengan Rambo-rambo yang menjalankan misi penyusupan ihsan untuk mangsa-mangsa kebuluran. Depa caj la komisen 2-3 kupang, tapi kira adil la sebab misi yang depa jalankan ni bahaya. Silap-silap berjeromoh dengan pak guard, takpun Misteri Nusantara. Tu belum kira nak kena cross padang bola yang luas tu lagi sebelum menyeronot atau melompat pagar sekolah untuk sampai ke destinasi, Simpang Tiga Keling ('Keling' dalam istilah Utara tidak bermaksud penghinaan seperti di tempat lain, maksudnya 'India Muslim'). Biasanya misi depa berjaya dan selamatlah golongan marhaen daripada kelaparan dengan tersantapnya nasi goreng, Maggi goreng dan beraneka jenis minuman.

Akhirnya, sesudah lama membelek-belek koleksi memori, terpaksa juga aku tinggalkan Irshad. Bukan senang nak coretkan pengalaman hampir empat tahun dalam diari internet begini. Ada yang hanya akan aku ceritakan kemudian. Tapi intuisi aku kuat berkata bahawa tahun ini merupakan permulaan gemilang aku. Aku dah dapat contact abang Anang, naqib yang banyak berjasa pada aku. Aku jugak dah re-connect dengan member yang dulu tak 'sempat' aku nak berkawan dan bersembang. Bijak laksana orangnya, Top Five dalam tingkatan dulu. Kalau aku tak dipandangnya pun aku faham sebab siapa sangatlah aku ini. Tak pernah bersembang pun dulu-dulu. Tapi dia bukan macam sesetengah orang; tutur katanya penuh budi bahasa dan merendah diri. Aku harap aku dapat redha mak dan ayah aku dalam re-connection ini. Insya-Allah.


Aku penuh percaya suatu hari nanti aku akan kembali lagi ke sini, kali ini kehadiranku sebagai manusia yang telah tertebus harga dirinya hampir setahun setengah lalu akan disedari.

Sungai Bakap, Kepala Batas & Pokok Sena

10 - 12 Februari 2005

No comments: