Wednesday, August 17, 2005

Wacana Sepetang Bersama Mat Ghoset & Mat Redth...


Nota :

Aku tak rasa pertukaran pandangan aku dengan Mat Ghoset sesuatu yang kontroversi, sekontroversi hemat Farish A. Noor atau Fathi Aris Omar. Sungguhpun aku (aku tak tahu sama ada Mat Ghoset juga begitu) tak minat diasosiasikan dengan mana-mana jamaah atau pertubuhan, bukanlah maksudnya aku tak berdunia dengan orang. Juga bukanlah ertinya aku anti kepada pihak-pihak tertentu. Tidak juga aku nafikan sumbangan mereka untuk kemaslahatan agama dan ummah, tidak sama sekali. Sama ada mahu percaya atau tidak, terpulanglah tapi aku masih seorang simpatisien kepada gerakan-gerakan yang tega menjadi "al-Ghuraba" meski dipandang asing dan sinis oleh orang lain, menjadi mustadh'afin dulu, kini dan mungkin selamanya seperti Ikhwanul Muslimin di Mesir. Cuma apa yang telah aku catatkan merupakan pengalaman aku, sebuah kisah benar (dan ngeri) bila cuba dibasuh minda secara agresif oleh manusia yang bernaung di bawah label tertentu. Itu sahaja.

Aku orang kecil dan orang kecil itu seringkali dikatakan cenderung berbicara soal manusia, bukan idea. Sayugia diingatkan, apabila memperkatakan soal manusia, aku tidak menyentuh sebarang aspek fizikal kerana itu suatu pemalar, mempertikaikannya bererti menghina kurniaan Tuhan. Yang aku sentuh adalah pendekatan. Tidak tahulah pula aku kalau-kalau menyelar sikap disinonimkan dengan mengutuk jamaah walau aku tahu jamaah juga bukan suatu yang syumul seumpama Islam. Analoginya seperti orang awam menegur ulama. Biasanya kredibiliti orang awam dipertikaikan lebih awal sebelum mendengar apa yang disuarakan. Mungkin sesetengah teguran terlalu lancang lantas menyalahi adabul ikhtilaf yang bersopan. Kalau teguran sebegitu sesungguhnya aku tidak bersetuju. Namun, umumnya sebarang bentuk teguran sama ada secara berhemah atau tidak jarang diberi peluang. Penegur dibunuh siap-siap, meminjam istilah Fathi Aris Omar, 'character assassination'. Dipersoalkan apa authority, lulusan mana, sama ada fasih berbahasa Arab dan sebagainya. Sungguhpun aku percaya ulama bercakap berlandas ilmu bukan beralas nafsu, namun ulama juga manusia biasa, tiada tercipta sempurna, maksum macam Rasulullah.

Aku hormat permintaan orang, sama ada dia menganggap aku sebagai kawannya atau sebaliknya, apatah lagi teman lama, satu dorm satu kelas, sama-sama tekong nasyid Suara Putera. Demikian, coretan asal berjudul Wacana Sepetang Bersama Mat Ghoset & Mat Redth... aku gelapkan dari penglihatan. Meski aku masih kekal meyakini akan kebenaran pada sebuah catatan, bagaimanapun orang mentafsirkan.

2 comments:

Anonymous said...

Tahniah Mad Radt.
Kita jadikannya ia satu telahan bersifat peribadi sebenarnya. Aku tak akan lupa orang-orang yang aku ingat dan bukan mudah untuk 'buat-buat' lupa kerana aku pernah mengingatinya. Bagaimanapun, terima kasih aku ucapkan. Kita berpijak pada bumi yang sama, bernaung di bawah langit yang sama.

"Free Al-Aqsa, Allahu Akbar!"

Anonymous said...

Ya, salam :) character assassination ini (dalam satu tulisan saya) sebetulnya muncul kerana kata yang lebih tepat (dengan maksud saya) argumentum ad hominem (waktu menyiapkannya) terlupa! Hehehe ...

Kedua-duanya -- character assassination & argumentum ad hominem (kata Latin) atau juga boleh disebut argumentum ad personam -- konsep ilmiah dalam tradisi Barat (asalnya).

Untuk dua kata Latin itu, lihat ... http://www.fallacyfiles.org/adhomine.html

Saya telah sediakan satu senarai lengkap di ruang forum AstoraJabat.com -- ttg panduan menulis, berfikir dan berhujah dengan kritis faomar@yahoo.com