Tuesday, August 30, 2005

Wira Tak Didendang (Yang Sebenarnya)...

Pernah dengar nama Hashim bin Saad? Ataupun Khatijah binti Sidek? Yusof bin Rono? Tak pernah dengar? Sayang seribu kali sayang tapi itulah hakikatnya kerana merekalah sebenarnya di antara sekian ramai wira tak didendang.

Kita mulakan dengan Yusof Rono. Pastinya setiap tahun kita disajikan, terutamanya menjelang Hari Kebangsaan seperti Ahad malam nan lalu (juga kerana strategi tertentu pada pilihan raya 1999) dengan filem Bukit Kepong. Pada 23 Februari 1950, dalam peristiwa serangan segerombolan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Muar, beliau antara empat orang yang terselamat. Tapi apa penghargaan kita kepadanya? Pingat pun macam nak bagi tak bagi. Janji kenaikan pangkat oleh seorang bekas menteri kanan entah ke mana. Minta tanah lagilah tak dapat. Tahu bagaimana akhir hayatnya? Pada usia 83 tahun beliau meninggal dunia setelah tiga minggu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, menderita barah usus. Sedih bukan? Namun cerita kesedihan ini belum berakhir lagi.

Seterusnya Khatijah Sidek. Namanya seringkali disebut-sebut apabila PAS ingin membuktikan bahawa mereka tidak mendiskriminasikan wanita. Kedengaran seolah benar, tapi hakikatnya orang dan organisasi politik mana pun cenderung menguar-uarkan yang sedikit walhal banyak rahsia disembunyikan. Baru-baru ini aku menekuni Memoir Khatijah Sidek: Puteri Kesateria Bangsa. Rupanya sudah memang resmi pejuang, meski terbilang selalu terbuang sedangkan beliau berkorban jiwa raga untuk melihat sebuah negara merdeka. Dalam memoir terjemahan UKM itu, diceritakan bagaimana beliau dengan segala kesusahan hidup hampir sahaja tidak dapat menyaksikan turunnya Union Jack dan berkibar megahnya bendera Malaya. Di tengah-tengah lautan manusia, beliau yang bertungkus-lumus menyebarkan semangat Merdeka di seluruh pelusuk negara termasuk di ceruk-ceruk kampung paling terpencil dan mengalas perut seadanya dengan makanan harian penduduk desa yang sangat sederhana, dipinggirkan begitu sahaja. Beliau yang bersusah-payah sekian lama, orang lain mendapat nama. "Itu sudah kehendak Allah", katanya penuh tabah. Seumur hidupnya memang derita, diburu Jepun di Indonesia, melahirkan anak dalam tahanan di Singapura, mengambil upah menjahit dan menjual insurans di Malaysia. Mahu tahu apa untung nasibnya? Bekas Ahli Parlimen Dungun itu meninggal dunia pada usia 64 tahun, setelah sekian lama berkerusi roda dan menderita sakit buah pinggang dan paru-paru pada 1982.

Kalau Yusof Rono dan Khatijah Sidek sayup daripada kebiasaan kalian, apatah lagi Hashim Saad. Tapi jasanya tidak kurang daripada tokoh berbintang di dada dan bersemayam di singgahsana. Berkelana menjadi kadet polis di Singapura, meredah rimba Pahang memburu komunis supaya negara kekal sentosa (tanpa baju kalis peluru tapi berpantang maut sebelum ajal walaupun beberapa kali ditembak komunis durjana), merantau sana-sini bersama keluarga sehingga ke ibu kota demi tugas. Tapi tahu apa terjadi kemudiannya? Terpaksa bertungkus-lumus mencari rezeki untuk anak-anak, menjadi mekanik (orang kita berhutang, tapi liat membayar), pemandu lori (pernah terbalik), membuka kedai runcit (itupun ditipu orang sebangsa, tak malu punya orang) dan pemandu kereta sewa (sudahlah sikit punya susah memohon pinjaman MARA, ditipu lagi orang kita, ptuih, tak guna punya orang, kereta itu dulunya dirayu jemuan tak guna itu untuk dipajak semasa beliau hendak ke Makkah tapi kemudiannya dijual dan malaun itu ghaib entah ke mana). Apa, tak cukup sedih? Baik, tambahan kesedihan itu adalah beliau kini sedang uzur di sebuah rumah serba sederhana di Kampung Gurun. Keturunan komunis yang dulu diburunya kini sesuka hati memperkotak-katikkan hidup orang tak bertanah milik sendiri sepertinya dan keturunannya.

Entah di mana silapnya orang-orang kita, kita kerapkali terlupa akan mereka yang benar-benar berjasa memperjuangkan harga diri sekalian warga demi sebuah kemerdekaan selaras dengan mutiara hikmah ulama, "Hubbul watan minal iman" (Cintakan tanah air itu sebahagian daripada iman). Tapi, itulah kita, terkenal bangsa yang berbudi bahasa tapi kita cenderung berbuat tahana pada orang yang sepatutnya dinobat sebagai wira bangsa. Kita anugerahkan tanah dan rumah lengkap dengan segala kemudahan asas kepada bekas komunis sedangkan kesatria yang mempertahan negara kita langsung tidak diendahkan. Kita anugerahkan pingat kepada mereka yang tidak seberapa sumbangannya tapi pandai bermuka-muka sedangkan yang yang mempertaruhkan nyawa, menumpahkan darah dan berjejeran air mata kita kesampingkan. Kita tidak berkira dengan limpahan wang ringgit untuk "bersaudara dengan syaitan" tapi kita terlalu mencongak-congak RM1,000 secara one-off yang kita berikan untuk political mileage semasa. Memang, mereka tidak pernah meminta kita membalas jasa mereka hatta kalungan bunga di Tugu Negara. Tapi apa salahnya berterima kasih dengan cara sewajarnya. Orang berbudi kita berbahasa. Orang politik terutamanya seringkali meminta kasih mereka diterima tapi terlupa (atau buat-buat lupa) perkara-perkara sebegini sesudah pilihanraya. Dalih mereka, seperti kata seorang ahli siasah ternama, "rakyat ini cuma membuang SATU undi, tapi BANYAK yang mereka minta". Barangkali ia yang kini sudah lanjut usia terlupa, kerana undi yang SATU itulah, apabila dijumlahkan ia memegang kuasa untuk sekian lama.

Kita selalunya hanya benar-benar menghargai seseorang sesudah terlambat. Dalam konteks ini, Jalaluddin Ar-Rumi tepat sekali tatkala mengungkapkan kata-kata ini, "Sesudah pergi, usah ditanya di mana letaknya kubur di dunia ini. Kubur letaknya di hati, orang-orang yang mengingati".

Penghargaan aku yang tidak terhingga untuk mereka para pejuang sejati, Rabbul 'Izzati jua memberkati.

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum

Itulah masalahnya...tatkala berjuang menghadapi orang asing, bantuan bangsa sendiri tak kunjung tiba. yang diminta membantu berpaling tadah, memuja orang luar yang kononnya berperibadi tinggi walhal mereka hanya manis di bibir. lantas...apa yang sepatutnya menjadi hak, tergadai begitu sahaja. sudahlah begitu dipaksa pula menyewa tanah yang sekian lama didiami beberapa generasi(melalui saluran undang-undang yang nyata berat sebelah) bila-bila masa saja boleh dihambat dan diperkotak katik sesuka hati. sampai bila akan jadi begini?