Thursday, May 25, 2006

Di Bumi Ini Kita Ditemukan...

Ana ada satu cerita. Perihal empat orang pelajar Tingkatan Dua Al-Farabi kira-kira 13 tahun nan lalu.

Malam itu Malam Kebudayaan Islam. Bersama-sama 17 orang penyanyi latar di belakang, mereka dengan segak bergayanya mengenakan songkok hitam berlilit riben biru muda. Entahlah siapa empunya idea. Sampin songket bagi 17 orang di belakang itu cuma dua warnanya; hitam dan merah. Bagi para pelajar berempat, sebagai tekong-tekong nasyid, sampin-sampin songket mereka sudah tentulah lebih istimewa, maklumlah siapa lagi pembekalnya kalau bukan Abang Taufik.

Dewan penuh sesak dengan para pelajar ASPURA dan ASPURI. Penghuni ASPUCAW di Padang Menora pun ada sekali, datang dengan bas. Gilang-gemilang kelihatan suasana, sesudah tahun-tahun sebelumnya sekadar persembahan ala kadar. Waktu itu dewan sekolah belum wujud, justeru dewan makan jadi galang gantinya. Belon warna-warni bergantungan, renda pintal-pintalan bersilangan. Permaidani biru pengalas pentas, lebihan permaidani lama Masjid Negeri.

Kesemua lagu pernah dibawakan oleh kumpulan nasyid paling popular waktu itu, Nada Murni. Lagu pertama berentak boria, dibawakan semula oleh Mat Fudge, satu-satunya manusia di atas pentas yang berkasut hitam. Kasut teman pengawas manalah dipinjamnya.

"Assalamu'alaikum kami mulakan,
Ahlan wa sahlan kami ucapkan
Saudara saudari tuan dan puan
Malam Budaya Islam kami sembahkan"


Kumpulan Suara Putera tampil ke hadapan
Mengajak kebaikan sambil menghiburkan
Mana yang baik jadi teladan
Semoga hidup dalam keredhaan"


Kalau antum terperasan, nama kumpulan itu sepatutnya Nada Murni tetapi telah ditukar ganti hasil pemikiran kreatif Mat Fudge sendiri.

Lagu nyanyian Min sebuah lagu Arab mengenai seorang pemuda Bani Tamin. Ada unsur-unsur propaganda kehebatan Abuya di situ. Lagu dendangan Mat Redth pula terlebih tarik disebabkan sukar untuk berhenti. "Janjiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii... Allah pasti akan tiba, asalkan syaratnya dapat dipenuhi". Ana secara kebetulan tercuri dengar seorang senior Dorm Hamzah berkata kepada Mat Redth sesudah selesai persembahan, "Budak-budak pompuan teruja tengok hang tarik macam tu".

Lagu nyanyian Mat Ghoset, mengundang geli hati para hadirin dan anggota kumpulan nasyid. "Untuk mandi, untuk minum, untuk tanaman, untuk ambil ikan, untuk main sampan, ambil pasir, di antara nikmatnya...". Maaflah Mat Ghoset, baris itu masih memberi ana rasa kecindan walau enta saat itu sedaya upaya 'mengawal ketampanan'.

Lagu terakhir bertajuk Zikir Kifarat, gabungan nasyid dan dikir barat. Sekira-kiranya, malam itu, Mat Fudge membolot 2 lagu. Begitu mendayu-dayu di permulaan dan di pengakhiran, begitu rancak di pertengahan.

Persembahan kemudiannya ditutup dengan bertelutnya Mat Fudge, tanpa diduga, memohon maaf di atas segala kekurangan. Aduhai, Mat Fudge, aduhai.

Itu cerita 13 tahun nan lalu. Apa pula cerita mereka tahun 2006 ini? Baiklah, ana ceritakan seorang demi seorang.

Tekong nasyid bernama Mat Ghoset @ Mohd Nasir Che Embee telah pun berkeluarga. Bertemu jodoh dengan orang Kajang, waktu sama-sama menuntut di UIAM. Satu al-Kuliyyah pula. Sekarang ini bekerja di sebuah syarikat perunding IT di Lembah Klang.

Tekong nasyid berikutnya, kawan-kawan menggelarnya Min @ Azmin Mat Shariff. Teman sekamar Mat Ghoset di UIAM. Juga bekerja di sebuah syarikat IT. Sudah sebulan lebih dia bergelar suami. Cinta rakan sebaya di bumi Irshad yang kekal karar. 3 & 4 haribulan baru berkenduri. Ana pun dijemputnya sekali. Kalau tiada aral melintang, insya-Allah ana pasti datang.

Tekong nasyid yang namanya Mat Fudge @ Mohd Fadzil Ismail terdahulu menuntut di UM, Jurusan Syar'iyyah. Kini menjadi ustaz KAFA, mengajar di Prai. Dengarnya bulan Julai ini bakal mengadakan walimah. Bakal orang rumahnya seorang ustazah, anak mami kata Min. Sudah jodohnya.

Mereka pun hidup bahagia aman sentosa buat selama-lamanya. Demikianlah adanya.

Eh, apa pula cerita tekong nasyid yang seorang lagi itu? Oh, dia itu. Nama penuhnya ana kurang periksa, tapi kawan-kawan memanggilnya Mat Redth sahaja. Kelihatannya masih thiqah seperti dulu. Entah betul entahkan tidak. Masih lagi mengejar cita-citanya, dengar-dengarnya pegawai jabatan agama. "Ligan jangan tak ligan", kata ana apabila berjeromoh dengannya di Masjid Pongsu Seribu, tempat kami warga ASPURA sembahyang Jumaat selalu, "Tak buleh ligan enta dok Bagan". Dia tersengih. Tapi ana tahu, dalam diam-diam dia sedang mengusahakan sesuatu.

Kata Mat Redth, dia pernah ditanya oleh seorang pegawai Bank Islam Parit Buntar, "Ni yang dulu dok nasyid tu kan? La dok nasyid dak lagi?". Rupa-rupanya pegawai itu senior kami semasa di Irshad dulu. Kakak angkat kepada teman sekelas kami, Cikgu Nor Hanita (Selamat Pengantin Baru, Cikgu!). Cerita Hanita, kakak angkatnya pernah berkata, "Mat Redth tu comel la". "Ha, ha, ha,", ana dan Mat Redth sama-sama tertawa. "Iya ka comel?", dia bertanya, sebelum ketawa bergema semula.

"Bila lagi?", ana menduga Mat Redth. "Pernah dengar penyanyi bernama Jasni?", gilirannya bertanya. "Suami kepada Neng Yatimah dan bapa kepada Roseyatimah itu bukan?" balas ana, kurang pasti. "Dia pernah menggubah sebuah lagu untuk isterinya, antara barisnya berbunyi begini : Sudah memang di dalam suratan, Jodoh pertemuan takdirnya Tuhan". Dan ana segera tahu, bahawa Mat Redth telah menjawab persoalan ana nan itu.

No comments: