Tuesday, May 02, 2006

Kepada Allah Berserah...

"Tanjung Sekijang nun di kuala,
Tempat nelayan mengail gelama;
Istana Hinggap di Kuala Danga,
Pantai berkelah keluarga diraja."


Apakah lagi antara perkara yang menyukakan aku selain melayan perasaan begini. Lari jauh-jauh dari situasi kalut-serabut-karut di Wilayah Persekutuan Ketiga.

Merenung lautan tak bertepi. Di seberang sana sebuah pulau yang ralit bermain Layang-Layang Tak Bertali, membiarkannya melayah tinggi ke sana ke mari. Telah ditakdirkan ia takkan berdaulat sehingga kiamat, dibayangkan dengan taukan mahkota Sang Nila Utama ke laut waktu gelora. Telah tersurat juga di bumi tandus hasil mahsul itu, orang yang suci hatinya dianiaya saudara sebangsa.

"Carik baju raja,
Dilanggari todak;
Bukan disahaja,
Menurut akal budak."


Ratusan tahun kemudian, kerana 'menurut akal budak' jugalah (walau kali ini spesies limau purut tiga serangkai) aku terseret ke sini.

Cis, berani sungguh tuan hamba membuat onar begini? Kalau diturutkan amarah hamba, mahu sahaja hamba meneladani Sang Rajuna Tapa, membuka luas-luas pintu kota seraya Siam pun menabrak sekalian warga. Cuma hamba ini belumlah lagi tergamak berlaku demikian. Kerana pada fikiran hamba, melakukannya hanya menjerumuskan hamba ke dalam golongan pacal yang hina dina seperti tuan hamba. Masakan hamba semurah itu.

Alang-alang sampai ke sini, bagus juga kalau berkunjung ke Kulai. Ada apa dengan Kulai? Oh, macam-macam ada. Ada FELDA Pengeli Timur, ada FELCRA Sungai Ara, ada Ina Kulai. Eh, tersasul pula menyebut nama itu. Kang tak pasal-pasal aku dihujani jurus Pukul Pelaga. [Oh, dia kira dia punya jurus maut jer, kunci aku dia tak kira. Kunci apa hang ada? Er, kunci rumah...].

Taklah, sebenarnya ada al-ukht al-ustazah. Tapi aku ini nampak sahaja beria-ia bicara begini, singgah pun tidak akan sesekali. It's just not me.

Pawana terus berpuput, mengelus-ngelus muka, merecik sedikit rasa lega meski mentari tetaplah tekal menyimbah bahangnya. Aku jadi sedikit manyau. Di tengah-tengah jeda nyata dan leka, susuk ceding Chairil Anwar terlihat bertelut di Selat Tebrau, seluluh jiwa bersenandika 'Gadisku Jauh Di Pulau'.

"Di angin menderu
Di perasaan penghabisan segala melaju
Ajal tersenyum sambil berkata :
"Tujukan perahu ke pangkuanku saja""


Teruslah berhembus wahai sang bayu, sebelum 'dia' menjemputku...

Danga Bay
30 April 2006 (Ahad)


No comments: