Tuesday, May 16, 2006

Selamat Hari Guru, Cikgu...

Sejurus letusan Merapi, ceritera-ceritera ini dikira sesuai diaktifkan sesudah berkurun dipendam.

* * * * *

CERITERA 1

Pada pandanganku ia tergolong orang yang cengil. Cara dan tutur katanya aku kira bercanggah dengan nilai-nilai aku yang sedia ada. Tambahan pula ia bukan orang utara, satu lagi faktor yang menambah burukkan konflik. Demikian, waktunya tidaklah menjadi waktu favourite aku. Begitulah keadaan itu berterusan buat beberapa lama. Suatu hari, ia mengumumkan akan meninggalkan madrasah ini. Kebetulan masa itu baru selesai peperiksaan. Aku masih tidak berasa apa-apa; sedih atau apa jua. Sehinggalah tiba suatu hari cuti hujung minggu. Seseorang menyampaikan sesuatu padaku. Seusai ku buka balutannya, rupa-rupanya hadiah berupa bekas pensel diperbuat daripada kain. Hadiah peribadi sempena tempat pertama dalam kelas. Di dalamnya penuh berisi pen, pensel dan segala macam alat tulis. Kira-kira secekak jugalah. Di tangga kayu, aku melengung buat sekian waktu. Gaji yang ia terima tidaklah seberapa, maklum sahaja Sekolah Agama Rakyat. Tapi masih juga mengeluarkan sejumlah belanja untuk hadiah itu. Tuhan, adakah selama ini pandangan mataku yang menipu? Atau su'uddzon ku yang terlalu?


CERITERA 2

Di penghujung perhimpunan, ada satu pengumuman. Apa yang aku bimbangi telah menjadi kenyataan. Dalam ramai-ramai junior yang terperangkap dengan roll-call hujung minggu, akulah satu-satunya yang senior yang diumumkan nama. Apalah alasan yang hendak diberi kepada warden selepas ini. Menghampiri detik penentuan itu memang menggetarkan sukma. Perlukah aku beritahu bahawa aku menyiapkan kerja kursus Geografi di rumah. Serasa-rasa, tidaklah begitu konkrit alasan itu. "Habislah aku kali ini", aku menyesali diri. Sewaktu saat berjumpa warden, entah bagaimana ia ada sekali. "Dia takdak di asrama sebab demam masa tu", ia bersuara. Memang aku demam pun, tapi itu minggu sebelumnya. Namun alasannya diterima, sementelahan aku menambah perisa dengan raut wajah kesian dan muka innocent yang memang sejak azali telah sedia ada. Tuhan, bantuan-Mu memang datang tanpa disangka, dan ia pula menjustifikasikan sifat mesra pelajar di dalam kelas kepada anak didiknya.


CERITERA 3

Ia sepupuku, walau kami tidak sebaya dan ia pula telah berkeluarga. Goalkeeper di Penang Free School waktu remaja. "Supersafe", demikian tertera dalam The Star pada suatu ketika. Pinjaman JPA, ialah penjaminku. Sewaktu bersiap untuk PAC, ialah yang meminjamkan buku Public Speaking yang menjadi buku rujukannya itu. Tapi suatu ketika, ia dirongrong barah tulang. Dan chemotherapy di USM Kubang Kerian sangat-sangat merenggut mudanya. Hinggakan tatkala aku berziarah ke rumahnya, hampir-hampir aku tidak mengenali susuk seruh dan cengkungnya. Lama ia derita begitu sampai suatu malam, dalam tempoh persiapan ke DPA 2/2003. Buat pertama kali seumur hidup, aku berserta Pak Ngah bergegas pulang menaiki bas haram di Puduraya, apabila ia dijemput pulang menghadap Ilahi. Kad ucapan hari raya dan kad ucap selamat lengkap berstem yang tak sempat dihantar. Biarlah kad-kad itu tersimpan dalam laci ingatan.


CERITERA 4

Ia memang tahu aku ini memang pendiam dan segan-segan orangnya. Maklumlah pelajar baru di sekolah. Berdepan pula dengan masyarakat majmuk sedangkan sebelumnya aku dikelilingi kaum yang sama. Lalu suatu hari ia menyuruhku membawakan buku-buku latihan ke bilik guru. Puas ditolak sedaya upaya, akhirnya terpaksa juga aku melakukan kerja sosial sebegitu. Iyalah, bilik guru itu kan punyalah ramai cikgu, salah seorangnya merupakan kawannya, emak aku. Ish, segan aku.

Suatu hari, semasa kursus DPA 2/2003. 26 Mac 2006, hari Jumaat, 6.55 petang. Aku terima SMS daripada emak mengatakan ia agak kritikal di Hospital Besar Kuala Lumpur. Aku tiada kenderaan sendiri waktu itu. Alternatifnya menumpang kereta kawan-kawan atau teksi. Entah mengapa aku berasakan aku seakan-akan menunggu masa paling sesuai untuk menziarahinya. Tanpa aku sedari, masa paling sesuai itu tidak akan pernah ada. 29 Mac 2006, hari Isnin, 7.12 pagi. Satu lagi mesej daripada emak. Ia telah meninggal dunia malam tadi. Benar-benar kejutan. Kedua-dua mesej itu masih aku simpan dalam handphone sebagai tanda ingatan. Sesekali ingatan itu bertukar jadi kekesalan. Ada masa kebersalahan.


CERITERA 5

Menuruni tangga, tahu-tahu kedengaran suara menjerit-jerit, "Cikgu, cikgu!". Ah, apa pula semua ini? Aku mendongak ke atas. Rupa-rupanya beberapa pelajar perempuan Matrikulasi. Tersilap laluan aku ini, sememangnya di kawasan itu terletaknya kelas-kelas pelajar perempuan. Tahun itu, pelajar lelaki dan perempuan diasingkan kepada kelas-kelas yang berlainan, dengar-dengarnya atas desakan golongan Islamis. Entahlah, tapi aku memang suka begitu, lebih selesa. Barangkali sebab aku bukannya Pemburu Buaya. Aku tahu, di mana-mana sudah menjadi fenomena, pelajar perempuanlah membentuk majoriti 2/3. Tapi mengapa aku dipanggil sebegitu? Melihat-lihat diri sendiri, mungkin disebabkan beg hitam persis dibawa seorang cikgu. Dan mungkin juga sedikit skema apabila berkemeja lengan panjang, bertali leher dan berkaca mata, sungguhpun rambut tidaklah pula dibelah tengah. Ia dan kawan-kawannya hanya ku kenali setahun dua kemudian.

* * * * *

Tarikh keramat ini, perasaan bercampur-baur dengan kenangan suka duka. Kepada Ustazah Noreha yang entah di mana, semoga dimaafkan kekhilafan waktu belumpun menginjak remaja. Kepada Cikgu Khamariah, semoga cikgu sentiasa bahagia, terutama melihatkan tokoh sanjungan cikgu itu kembali menjadi warga merdeka. Kepada Allahyarham Teacher Yasmin dan Allahyarham Abang Mat, sekalung doa dan al-Fatihah sewangi narwastu. Kepada Marina Stephanie Rozels & Associates, aku sudahnya tidaklah pula menjadi cikgu walaupun kalian menggelar aku begitu.

Kepada sekalian warga pendidik yang pernah mengisi lembaran kenanganku, "Selamat Hari Guru, Cikgu!".

Kampung Gurun, Sungai Bakap
16 Mei 2006 (Rabu)

No comments: