Wednesday, September 24, 2008

Sekuntum Kemboja Yang Gugur...

Aku kurang mengenalinya. Hampir nihil kesempatan. Aku pun pendiam juga sementelahan. Cuma setakat pandangan 'ainul yakin, aku tahu ia seorang yang taat beragama. Ada aura dan nuansa Islam di wajah dan perawakannya.

His English is impeccable. Pra-persembahan Makan Malam Bersama KSN di INTAN, ia yang menterjemah puisi "Mencari Damai Abadi" ke bahasa Inggeris. Apakala aku baca terjemahannya itu, sangat-sangat kagum aku akan penguasaan bahasanya. Menterjemah dengan mengekalkan unsur sastera bukan senang. Gaya bahasanya mengingatkan aku kepada terjemahan Al-Quran Abdullah Yusuf Ali. Sayangnya, ia tak dapat turut serta bersajak ramai-ramai aneka bahasa kerana komitmen bermain gamelan. Lalu aku minta bantuan seorang kawan yang sekarang ini mengawal selia bekalan air di Pahang.

Semasa malam terakhir di INTAN, beberapa kadet lelaki memanfaatkan peluang penghabisan menunjukkan bakat. Antaranya, firqah Soutul Burtuqal mendendangkan lagu nasyid. Aku sudah lupa apa lagu yang dibawakan, tapi aku masih ingat yang ia ada bertanyakan soalan seusai persembahan. Tika itu aku duduk di suatu sudut bahagian hadapan Auditorium, mencari ketenangan sebelum bersyair. Kurang lebih bunyinya, "Macam mana persembahan tadi?". "O.K. lah", aku menjawab secara berlapik, menyedari manakan sama harmoni amatur dengan FeelHeart, apatah lagi NowSeeHeart. Ia masih inginkan aku beri jawapan seikhlas hati, namun yang ia dapati tetap nada diplomasi.

Kata Pak Samad Said, "Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja, Bila tiba detik kembalilah kita kepada-Nya". Dunia ini pinjam-pinjaman, akhirat jua akan sudahnya. Selamat berangkat ke negeri abadi, semoga tenang dalam lingkungan rahmah rimbunan maghfirah kurniaan Allah.

"Assalamu’alaikum ya ahlad diyari minal mukminin. Inna insya Allahubikum lahiqun, nas alullaha lana walakumul ‘afiah".

Nota :

- "Sekuntum Kemboja Yang Gugur" dedikasi Hijjaz untuk anggotanya Allahyarham Salleh bin Ramli yang pergi buat selama-lamanya pada 15 Februari 2001.

- "Ia" dalam entri ini ialah Allahyarham Khairil Hisham bin Ahmad, Second Secretary / Head of Chancery Kedutaan Besar Malaysia di Libya, kembali menghadap Ilahi pada 18 September 2008.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Nasional/20080923000400/pda/artikel

- Sekalung Al-Fatihah dan doa buat kedua-duanya.

No comments: