Monday, November 24, 2008

Kuliyyah Cinta : Pertemuan Terakhir Maudhu' Pertama...

...“Tercari-cari pedoman membaiki diri, Namun Nur Ilahi menyedarkan diri, Mutiara itu perlu dicari sendiri”... ~ 'Generasiku', dinyanyikan semula seraya ditekongi oleh Mat Fudge sekitar tahun 1991-1992 dengan judul “Burung Merintih”.

*****

Akhirnya aku kembali lagi ke sini. Kesempatan yang hadir setelah tahun-tahun sebelumnya asyik dikona-kona oleh mereka yang durjana. Ada saja akai nak penaya, sat Johor la, sat Pahang la, tabuh cuma.

Seperti yang aku baca di dada akhbar, ketara tanah runtuh di kawasan aku selalu parkir Kanc. Seperti jua sebelumnya, majoriti peserta terdiri daripada golongan lebih berusia. Aku masih seperti dahulu, dengan ransel tersandang di bahu.

*****

Beberapa tahun nan lalu, aku terkesan ada tenaga pengajar yang berpendekatan salaf, satu pendekatan kontra berbanding golongan khalaf. Golongan salaf cenderung menerima seadanya sebarang perkara berkaitan sifat Tuhan. Seorang tenaga pengajar pernah berhujah berhubung dengan “Tangan Allah”yang aku ingat sampai sekarang. Kalau dahulu, semasa di sekolah menengah, ustazah mentafsirkan sebagai ‘kekuasaan’. Itu tafsiran golongan khalaf yang berfahaman bahawa Allah tidak menyerupai makhluk. Walau bagaimanapun, tenaga pengajar memberi dimensi berbeza. Kalau hendak dikatakan “Tangan Allah” bermaksud kekuasaan, ada ayat Al-Quran lain yang maknanya jelas didefinisikan sebagai ‘kekuasaan’. Katanya, manusia ada tangan, monyet pun ada tangan. Tapi sama tak tangan manusia dengan tangan monyet? Tentulah tak sama, walaupun masing-masing ada tangan. Begitulah juga dengan Allah. Tangan Allah tentulah tak sama dengan tangan manusia. Tambahnya lagi, kalau dikatakan tiada tangan, tentulah ertinya cacat sedangkan Tuhan Maha Sempurna sifatnya. Pada masa itu dan seterusnya aku berasakan lebih baik aku berpegang dengan fahaman salaf. Bak kata ustaz tersebut, kalau dalam Al-Quran kata tangan, tanganlah. Macam mana rupa tangan Allah janganlah dibayangkan.

*****

Ia hanya pengganti si ilmuwan yang tidak dapat hadir kerana menghadiri mesyuarat PIBG. Dari dialeknya, aku syak dia dari suatu daerah di Pahang. Terbukti tepat, ia mengaku dari Jerantut.
Kaedah pengajarannya disulami dengan aksi-aksi tersendiri, bukan setakat perkataan dan memek muka yang melucukan. Seumpama watak Mat yang sering dibuli secara loyar buruk oleh Pok Cik dalam slot iklan Pahang FM. Maklumlah, ustaz muda.

Ada beberapa idea pencerahan yang masuk ke fikiran. Katanya, yang membuat aku teringatkan hujah puak-puak liberal yang cerodong, Allah tidak boleh dikaitkan dengan sebarang penciptaan bersifat kotor dan najis. Contohnya, mengatakan ba-alif-ba-ya dan lain-lain sewaktu dengannya dicipta oleh Allah. Di segi fakta sungguhpun betul tapi salah dari sudut akhlak Islam. Katanya, yang lebih tepat ialah mengatakan sekalian makhluk dijadikan oleh Allah. Puak-puak liberal mana kira semua itu, obsess sangat dengan idea kebebasan berfikir dan bersuara, hatta ayat Al-Quran pun ditafsirkan sewenang-wenangnya tanpa mengetahui asbabun nuzul, kaedah istinbat dan sebagainya. Berani sungguh depa, langsung tak takut dosa.

Ada peserta mengemukakan kemusykilan untuk menjawab pertanyaan golongan bukan Islam akan persoalan mengapa dalam Al-Quran, Allah menyebut ‘Kami’, sedangkan Allah bersifat Maha Esa. Saat ini aku teringatkan pita video yang aku tengok di tingkat atas Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM semasa jeda antara kelas, mengandungi hujah Almarhum Syeikh Ahmed Deedat apabila ditanya semasa sesi soal jawab. Almarhum menjawab bahawa dalam bahasa Arab ada “Plural of Respect” dan “Plural of Numbers”. Tambah Almarhum lagi, orang Arab yang bukan Islam pun takkan tanya soalan tersebut sebab depa faham yang ‘Kami’ dalam ayat Al-Quran bukan bermaksud bilangan ‘ramai’ tetapi menunjukkan ‘keagungan dan kebesaran Allah’. Cuba dapat kat puak-puak liberal, mesti depa terjemah secara literal bahawa ada percanggahan sifat keesaan Tuhan dalam Al-Quran. Takkah haru-biru dibuatnya. Sedangkan nak tafsir Al-Quran ni kena ada ilmu termasuklah gaya bahasa sastera Arab.

*****

Petang itu merupakan kuliah terakhir bagi maudhu’ berkenaan. Sedar tak sedar, sudah empat pertemuan kesemuanya. Setiap kali pertemuan, sering terpana dengan kebersihan wajah si ilmuwan. Walaupun tiada pernah berkepiah apatah lagi berserban berjubah, dengan tanda sujud di dahi jelas kelihatan, sungguh menginsafkan. Si ilmuwan sering menyarankan agar solat berjemaah, mengikuti kuliah di masjid serta qiamullail dimasukkan dalam program sehari-hari.

Kuliah demi kuliah lebih meyakinkan aku pada pegangan Ahlus Sunnah Wal Jama’ah mazhab Syafi’e. Hidup manusia suatu pencarian. Kadang-kadang terasa tersilap dengan apa yang sedia ada. Apakala pencarian diteruskan, sebenarnya yang disangka ‘kesilapan’ merupakan sesuatu yang belum dilengkapkan kepingan ‘jigsaw’nya.

Si ilmuwan sering memberi contoh bagaimana cetusan-cetusan pandangan tertentu mencemperakan masyarakat awam. Sekadar beberapa contoh, antaranya bahawa semua agama menganjurkan kebaikan. Tegas si ilmuwan, pandangan tersebut akan membawa kepada kesimpulan bahawa semua agama adalah sama. (Walhal, agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam). Tambah beliau lagi, sekiranya ada nilai-nilai baik dalam agama lain, kesemuanya itu merupakan nilai-nilai Islam dari zaman Nabi Adam yang masih tersisa dalam agama-agama tersebut.

Begitu juga dengan isu bacaan Yasin pada malam Jumaat. Si ilmuwan berkata, kalau berdasarkan hujah zaman Nabi tak buat semua tu, mengapa kita naik kereta sedangkan Nabi tak pernah naik kereta? Oh, ada yang menjawab bahawa itu bukan melibatkan amal ibadat. Baiklah, kata si ilmuwan, Yasin itu sebahagian Al-Quran, bukan? Adakah had masa untuk membaca Al-Quran? Kalau tiada, bermakna Al-Quran boleh dibaca pada bila-bila masa. Jadi, tiada salahnya memilih membaca Yasin pada malam Jumaat.

Selain itu, isu sapu muka selepas tahiyyat akhir. Kata si ilmuwan, bukanlah sengaja disaran supaya disapu muka. Ada hadis dhai’f mengenai perbuatan tersebut. Hadis dha’if memang tidak boleh dijadikan hujah. Walau bagaimanapun, ijma’ ulama juga sepakat bahawa boleh beramal dengan hadis dha’if dalam perkara berkaitan Fadha’il ‘Amal (Kelebihan Beramal).

Petang itu di penghujung kuliah, si ilmuwan memberi amanat terakhir. Kata ilmuwan itu yang bergelar profesor madya tapi lebih gemar membahasakan dirinya sebagai ustaz, memang ia ada menerima elaun, tapi elaun tersebut tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan peri pentingnya ilmu yang dipraktikkan oleh para peserta. Tambahnya lagi, ia bercakap dari hati dan bukan untuk yang lain-lain. Semoga diberi pahala oleh Allah dan semoga Allah memberi hidayah kepada dirinya dan para peserta. Tatkala itu, terasa seolah-olah keterharuan yang sama ketika membaca siri akhir Ketupat Cinta karangan FaTa.



Dewan Kuliah 2
15 November 2008 (Sabtu)

No comments: