Friday, December 16, 2005

Blues Untuk Aku...

"Menyanyi kerana gembira
Menyanyi kerana sedih
Menyanyi kerana rindu
Aduh siapa dapat membaca hatiku saat ini..."


Suratan yang telah tertulis di dedaunan Lauhun Mahfudz hanya bisa tertunda-tunda tapi sememangnya takkan bisa dielakkan. Sampai masanya, ia 'kan jadi nyata jua.

Agak kontras sebenarnya menggagahi mendaki puncak ini waktu tengah hari rembang begini. Di puncaknya sebuah gereja tersergam. Petang jumaat pula itu. Bukankah seharusnya aku bersiap-siap untuk ke masjid membaca Yasin? "Gerangan apa buatku ke mari?", tanya M. Nasir dan Mawi. "Aku sendiri pun tidak mengerti", balas Al-Bakafi.

Berada di sini dan menyeluruhi seluruh kawasan di bawah sana suatu impian yang tertangguh semenjak kali pertama memasang angan-angan itu lebih setahun dahulu. Sayup-sayup kelihatan kenderaan berjejal-jejal dan bangunan berselerak-tarak. Kedengaran biasa tapi menjadikannya istimewa kerana dilihat dari puncak yang menjadi saksi peristiwa demi peristiwa.

Kalau ikutkan hati, mahu saja aku menjerit sekuat-kuatnya, menyanyi lagu demi lagu semahu-mahunya, biar suara itu bersipongang lantas menyatu dengan angin lalu. Tempat ini sememangnya ideal untuk melayan perasaan. Namun keadaan tidak mengizinkan aku berbuat demikian. Orang terlalu ramai dan tempat agak sempit. "Sekarang Zaman Bermenung", demikian tajuk cerpen Anwar Ridhwan dalam Berita Minggu yang lepas. Dan itulah pun yang aku lakukan tatkala keringat terus berjejeran. Bermenung. Bermenung. Bermenung.

"Lagu jiwa bukan lagu mengadu nasibku
Lagu cinta bukan lagu meratap hidupku
Hanya nak menyatakan tuah dan untung badan
Diuji hebat cinta sehebat begini
Hebat begini..."


Bukit St. Paul, Bandar Hilir
15 Disember 2005

No comments: