Tuesday, March 28, 2006

The Truth Is Here...

Hamka pernah menyebutkan dalam "Membahas Kemusykilan Agama". Katanya, menurut alim ulama yang menjadi gurunya, "La mazhaba li ’awamin ghaira at-taqlid" (tiada mazhab bagi orang awam melainkan bertaklid). Memang itulah sifat orang awam yang serba kekurangan ilmu pengetahuan. Namun, sebaik menemukan kebenaran, taqlid yang dulu perlu dilempar jauh-jauh.

* * * * *

Suatu hari, seorang ustaz sebuah akademi dalam sebuah universiti bertanya kepada para pelajarnya yang terdiri daripada golongan separa usia walaupun kedapatan juga dua tiga kerat anak-anak muda sama ada sudah atau belum berkerjaya. Soalannya, seperti berikut, "Benarkah Al-Quran itu sejumlah 6,666 ayat kesemuanya?".

Selama berdekad-dekad, para pelajar tersebut memang berpegang kepada angka keramat berkenaan. Senang disebut, mudah diingat. Tapi bila sahaja ditanya sebegitu, tergugah juga kepercayaan. Mungkinkah ayat-ayat Al-Quran itu bukan sedemikian banyaknya?

Lalu ustaz itu memberikan satu tugasan. Setiap pelajar dikehendaki mengira sendiri bilangan ayat-ayat Al-Quran dan menyediakan jawapannya pada minggu berikutnya. Ustaz memberi idea, bahawa barangsiapa yang telah berkeluarga, bolehlah kiranya memaksimumkan kegunaan anak masing-masing untuk menjumlahkan angka terakhir pada setiap 114 surah. Namun pelajar yang muda belia terfikir sendiri, terlebih afdhal kalau diri sendiri menekuni, kelak keyakinannya takkan goyah lagi.

Maka sementara menunggu minggu berikutnya tiba, pelajar yang muda belia itu pun menghitung-hitung bilangan ayat Al-Quran demi sebuah kebenaran. Renyah memang renyah, tapi dipaksa juga dirinya sendiri. Alangkah takjubnya apabila sesudah lebih suku abad menghirup udara dunia fana ini, ia mendapati ayat-ayat Al-Quran bukannya berjumlah 6,666 ayat lagi.

Ijmak para penghitung bilangan ayat-ayat Al-Quran sepakat menyatakan bahawa bilangan ayat-ayat Al-Quran hanya enam ribu dua ratus ayat lebih. Hitungan paling sedikit datangnya daripada penduduk Basrah iaitu 6,205 ayat. Hitungan paling banyak pula datangnya daripada penduduk Kufah, sama bilangannya dengan yang dikira oleh pemuda tadi, 6,236 ayat.

* * * * *

Kebenaran itu sememangnya di sini, bukan di luar sana.

No comments: