Monday, March 16, 2009

Me, Ri & Auda...

Waktu pukul 10.22 pagi. Kalau di apartment masa ini aku sedang bersantai-santaian depan tivi menonton adiwira-adiwira dua dimensi beraksi. Di sini pun sama juga nampaknya. Cumanya sedikit formal dengan blazer sambil mendongak menonton tivi yang dibingkaibesikan bersambung dengan tiang seri balai berlepas.

Sekelilingku terdapat dua-tiga cangok Pendekar Laut. Besar kemungkinan nama mereka bukan Zonan mahupun Harimau Latin, tapi mereka dengan overall kuning merah akan berada kebiasaannya 2 minggu di tengah-tengah Laut China Selatan. Dengan seragam begitu, sekali pandang macam Ghostbusters @ Armageddon @ Independence Day pun ada. Hanyasanya mereka itu tidaklah kerjanya menangkap hantu atau memecahkan meteor apatah lagi berperang dengan makhluk asing. Kerja mereka adalah berkaitan operasi carigali minyak.

Kerusi balai berlepas yang banyak lompang tadi lebih separuh telah terisi. Hal ini menjejaskan damai abadi sebentar tadi. Seharusnya aku pulang ke KLIA semalam. Tapi apakan daya, penerbangan petang telah penuh sepenuh-penuhnya. Daripada bertaruh senarai menunggu yang tiada menjanjikan apa-apa, lebih baik aku menginap semalam lagi di Hotel Imperial.
Seperti malam-malam sebelumnya, siaran tivi di kamar hotel bukanlah menyeronokkan sangat. Selain menonton siaran WHI yang seorang panelnya bernada gatai meghela membiri-birikan orang muda, hat lain hanya membuatkan aku macam nak terkeluar rangka.

Buat pengetahuan auda, negara Brunei akan menyambut jubli perak darussalam ulang tahun kemerdekaan ke-25 pada 23 Februari. Jadi sebagai satu-satunya saluran yang ada, seringlah diuar-uarkan perihal sambutan kemerdekaannya itu. Siaran tivi Brunei @ RTB majoriti ¾ tertumpu kepada audiens Melayu-Islam, sesuai dengan komposisi penduduk negara tersebut. Hanyasanya aku berasa sangatlah bosannya kerana kurang rencam seperti tivi di Malaysia. Pada hemat aku, sungguhpun Astro Oasis juga bercirikan program Islamik, sekurang-kurangnya adalah kepelbagaian sedikit. Kerap juga mesej menggalakkan rakyat Brunei beramal jariah membantu mangsa banjir dan tanah susur (tanah susur tu tanah runtuh la kot) menerusi SMS. Pada hemat aku, sebenarnya dana kerajaan hasil minyak pun lebih dari cukup tapi mungkin ini anjuran beramal beramai-ramai.

Perkara lain yang auda telah sedia maklum ialah perihal penyampai beritanya yang bertudung, walaupun pada hemat aku belumlah sampai menutup aurat dalam erti kata sebenarnya, maklumlah tudung semi-pro.

Satu hal lagi cahaya tinggi (highlight la tu) kepada program-program sultan sangat hebat dan melibatkan tempoh masa yang besar. Dari penyerahan rumah kepada penduduk Kampung Air, majlis-majlis di kampung-kampung serta lawatan ke kilang produk ayam pun mendapat liputan. Sultan memang kacak gilak dengan seragam tenteranya. Tegha tu punya sakan punya coverage pun aku tak dengar lagi la rakyat dia bermulut capoi, kalau kat negara-negara tertentu alamat ruangan komen kat website kena tutup dah. Itulah bezanya rakyat Brunei dan pengiktirafan depa pada raja dengan negara dan rakyat lain.

Sempena kemerdekaan Brunei juga, sebuah lagu patriotik dikumandangkan. Mendengar suaranya aku dok ingat dalam hati, dahsyat gak Brunei ni sampai import Jamal Abdillah menyemarakkan sambutan hari kebangsaan depa. Taklah menghairankan sangat sebab Rosyam Noor pun jadi tukang kempen keselamatan jalan raya Brunei. Skali bukan Jamal daaa, penyanyi Brunei jugak, tapi dengar suara memang nak irap-irap Jamal, walaupun dia ni kira 2 kali ganda Jamal la.

Sungguhpun demikian, satu perkara yang aku suka fasal Brunei adalah walaupun lambat merdeka, dalam beberapa hal seperti pengabsahan tuntas sistem bernegara secara beraja dengan teras Melayu-Islam mereka nampaknya berjaya menutup sebarang pertikaian pada masa hadapan. Selain itu, peribumi juga pada zahirnya menikmati limpahan kemakmuran hasil bumi secara merata. Juga dipastikan penzahiran citra Melayu-Islam ke seluruh negara melalui tulisan jawi di premis-premis perniagaan dan kenderaan selain tulisan rumi. Lain negara lain caranya, tapi sebagaimana hal-hal tertentu mengenai Iran, tang ni Brunei memikat hatiku. Barangkali itulah hikmahnya depa merdeka lambat, asalkan perkara-perkara mustahak dibereskan siap-siap. Maka hidup pun lebih harmoni dalam jangka masa panjang.

Kalau Kuching aku tahulah apa yang special, sudah barang pasti ikan terubuk masin di Pasar Satok, tapi di sini bukanlah tempatnya untuk hasil laut. Kalau ada pun banyak diimport hatta dari Langkawi dan Sabah seperti ikan bilis. Makanya, yang aku beli adalah 4 jongkong kek lapis yang bukan aku nak makan pun.

Petang ini pukul 3 petang bermula kelas di API, penerbangan pula dijangka tiba di KLIA pukul 1.30 petang. Dengan segala macam urusan, seperti permohonan Sarjana, aku dok tagak-tagak lagi, nak terus balik rumah ambil kereta atau naik ERL Express ke KL Sentral kemudian baik teksi ke API. Ada harapan aku tuang lagi ni.

Pengiran Al-Bakafi melaporkan dari sempadan Brunei-Sarawak.



Lapangan Terbang Miri
21 Februari 2009.

Nota : Sonang-sonang jomputlah datang ko Soghi Monanti yo, eden belanjo. Sir Lancelot anak kelima Northumbra pun ada sekali, bak kata Rib'i bin 'Amir, "Islam datang untuk membebaskan perhambaan sesama manusia". Tu la, sapa suruh Uther Pendragon eksyen sangat. If only he knows who has he let gone.

1 comment:

Anonymous said...

Ni dok tengok Merlin banyak sangat, sampai Lancelot pun ada...